Susunan
Shaikh Sayyid Abu Tohir
Mursyid Silsilah Naqsyabandiah Al-Kholidiyah
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
SETIAP IMAN ADALAH ISLAM. TETAPI ISLAM BELUM TENTU IMAN
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu
"Setiap Iman adalah Islam dan tidaklah setiap Islam itu bererti Iman. Ini kerana Islam bererti penyerahan dan ketundukan. Setiap Mu'min pasti menyerahkan diri dan tunduk kepada Allah, tetapi tidaklah setiap yang berserah diri beriman kepada Allah, kerana (misalnya) dia menyerahkan diri kerana takut pedang. Dengan demikian Iman merupakan nama yang mencakupi berbagai sebutan, baik dalam wujud perbuatan maupun ucapan, sehingga mencakup segala bentuk keta'atan."
[Al-Ghunyah Li Thalibi Toriqil Haqq]
Semua manusia yang beriman adalah dia Islam. Tetapi bukanlah semua yang mengaku Islam itu beriman. Atau di dalam perkataan lain, Islam adalah ungkapan umum kepada semua orang yang masuk di dalam kelompok Islam, sama ada sebab dilahirkan dikalangan ibubapa yang Muslim atau disebabkan dia menganut Islam. Sedangkan orang beriman sudah pun secara otomatik Islam.
Mengapa demikian?
Orang yang beriman telah memperoleh "Cahaya Ketuhanan" di dalam hatinya. Iman di dalam hatinya akan menggerakkannya melakukan keta'atan dan ubudiyyah kepada Allah Ta'ala. Maka dia termasuk orang Islam yang menyerahkan dirinya kepada Allah Ta'ala.
Firman Allah :
أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدۡرَهُ ۥ لِلۡإِسۡلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ۬ مِّن رَّبِّهِۦۚ
“Apakah orang-orang yang dibukakan Allah sudur nya ( dadanya untuk) berserah diri lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang tertutup mata hatinya?)
[Az Zumar (39) : ayat 22]
Sedangkan orang Islam belum tentu dia sudah memperoleh Iman di dalam hatinya. Ini kerana Iman belum masuk ke dalam hatinya. Ertinya dia belum memperoleh Cahaya Ketuhanan di dalam hatinya yang menjadikannya orang beriman. Maka tetaplah dia sebagai Muslim sahaja sehinggalah dia berusaha sungguh2 memproleh cahaya Iman dalam hatinya.
۞ قَالَتِ الْأَعْرَابُ آمَنَّا ۖ قُلْ لَمْ تُؤْمِنُوا وَلَٰكِنْ قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ ۖ
Orang-orang "A’raab" (yang di maksud adalah orang Badwi ) berkata: kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian) ), tetapi berkatalah sahaja: kami telah Islam, kerana Iman belum masuk ke hati kamu."
[Al-Hujurat (49) : ayat 14]
Berbagai sebab orang masuk Islam:
(1) Masuk Islam kerana takut pedang.
Contoh bagi hal ini adalah seperti yang berlaku ketika Rasulullah ﷺ memasuki Makkah pada peristiwa Fath-hul-Makkah (pembukaan Kota Makkah), maka ramai orang kafir Quraisy masuk Islam, tetapi tidaklah semuanya kerana Allah. Sebahagiannya masuk Islam kerana takut nyawa mereka melayang. Mereka ini dianggap Muslim kerana mengucap Syahadah.
Adakah mereka ini sudah beriman? Belum.
Jika mereka benar2 mengkaji Islam dan akhirnya mengakui kebenaran Islam dari dalam hati mereka serta ta'at dari dalam hati mereka, baru dikatakan mereka beriman. Jika mereka terus menerus di dalam keadaan tidak meyakini kebenaran Allah dan Rasul-Nya, iaitu hanya Islam pada zahirnya, maka mereka ini hanya Muslim bukan orang beriman.
(2) Masuk Islam tetapi hakikatnya mereka ini musuh Islam, iaitu Munafiq.
Contohnya adalah orang2 yang dipimpin Abdullah bin Ubai masuk Islam di hadapan Rasulullah ﷺ namun tujuan mereka adalah untuk musnahkan Islam dari dalam.
(3) Mengaku Islam tetapi menganut fahaman sesat.
Ada orang mengaku Islam dan beramal dengan ibadah yang ditentukan di dalam Agama Islam tetapi Aqidah mereka mengikut fahaman sesat yang jelas bertentangan dengan Ahlus Sunnah yang benar (tulen), maka mereka ini Muslim sahaja belum tentu beriman. Jika mereka bertaubat dan kembali kepada Ahlus Sunnah yang benar (tulen), barulah dikatakan beriman.
Contoh yang berlaku di zaman Rasulullah ﷺ adalah seorang Muslim yang bernama Zulkhuwaishirah.
Orang ini berbai'at dengan Nabi tetapi dengan beraninya mengherdik Nabi dengan kata2 biadab, dengan mengatakan : "Ya Muhammad, berlaku adillah". Ketika Rasulullah ﷺ mendengarnya, wajah Baginda menjadi merah, lalu Baginda bersabda, "Celakah engkau. Jika bukan aku yang berlaku adil, siapakah lagi yang berlaku adil?"
(Kisah ini disebutkan di dalam berbagai Kitab Hadith dan Kitab Sirah. Zulkhuwaishirah adalah bibit2 bagi bangkitnya kaum firqah Khawarij yang sekarang ini di sebut Wahhabiyyah)
Contoh lain :
Berbagai firqah sesat yang muncul pada zaman Salaf. Antaranya Khawarij (Wahhabiyyah zaman ini), Syi'ah (rifdhi), Mu'tazilah, Jabariyyah, Mujassimah, Musyabihah, Murjia'ah dll. Kebanyakan firqah ini telah pupus, meskipun wujud sisa2nya kecuali ada beberapa firqah sesat ini yang masih aktif sampai ke zaman ini. Antaranya yang sangat aktif di seluruh dunia : Wahhabiyyah (Khawarij), Syi'ah (Rifdhi), Sekular (Liberal) da beberapa firqah sesat yang lain.
(4) Masuk Islam kerana harta atau wanita atau lainnya:
Hal seperti ini banyak berlaku pada zaman ini.
Orang yang masuk Islam kerana ingin mengahwini seseorang wanita Muslimah, atau kerana mendapat harta atau apa saja habuan duniawi... atau apa saja tujuan lain selain Allah. Mereka ini hanyalah Muslim bukan beriman. Kecuali pada zaman kemudian mereka sedar, bertaubat dan benar2 meyakini Allah dan RasulNya serta ta'at kepada Allah dan Rasul-Nya, maka barulah dia jadi orang beriman.
(5) Orang yang dilahirkan Islam:
Orang dilahirkan di kalangan keluarga Muslim, iaitu ibu bapanya Muslim, dia akan jadi Muslim walaupun tanpa mengucap kalimah Syahadah. Tetapi adakah dia beriman? Belum tentu. Sehinggalah dia datang keyakinan yang teguh di dalam hati akan Allah dan Rasul-Nya serta ketaatan dan ubudiyyah kepada Allah tanpa keraguan, maka jadilah dia orang beriman.
Dasar bagi keterangan ini adalah Hadith Junjungan :
Sabda Rasulullah ﷺ :
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَلِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
“Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat, dan baginya apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau kerana wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya itu sesuai ke mana ia hijrah.”
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
Pengajaran Penting:
Beberapa pengajaran penting untuk direnungkan pada Tazkirah kali ini:
(1) Iman dan Islam adalah dua hal keadaan diri manusia yang jauh bezanya antara langit dan bumi. Seseorang yang beriman dia sudah termasuk Islam, tetapi orang yang Islam pada lisan sahaja belum masuk dalam golongan beriman, walaupun dia mengerjakan solat, puasa dll.
(2) Orang yang beriman mempunyai tingkatan2 tersendiri. Tidaklah semuanya satu peringkat tetapi berbagai2 Darjat dan Tingkatan. Orang yang benar2 beriman dipanggil Mu'min sejati.
(3) Orang Islam yang dilahirkan Islam tetapi tidak mempelajari selok belok Islam, tidak mempelajari Hal Ketuhanan, Kerasulan dan segala yang Ghaib yang Allah ciptkan dan tidak berusaha sungguh2 mencapai Keimanan dengan panduan2 yang telah ditunjukki oleh Masyaikh Ahlus Sunnah maka dia akan kekal sebagai Muslim sahaja dan bukan orang beriman.
Apabila seseorang itu beriman dengan IMAN yang sebenarnya, maka dia telah memperoleh segalanya. Sebaliknya jika dia kehilangan IMAN, maka dia telah kehilangan segalanya.
Wallahu A'lam
🌸🌻🌻🌻🌸🌸🌻🌻🌻🌸🌸🌻🌸🌻🌻🌻🌸🌸🌻🌻🌻🌸🌸🌻🌸🌻🌻🌻🌸🌸🌻🌻
No comments:
Post a Comment