■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 81 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.14 Dosa Besar ke-13: Kazib — dusta, bohong, menipu
Definisi:
Dari segi bahasa :
Perkataan " كَاذِب " = kazib berasal dari kata " كَذَب " yang bermaksud berbohong, menipu, dusta, kepalsuan, kebatilan, lawan bagi kebenaran.
Dari segi lstilah:
Ucapan atau perbuatan atau isyarat yang mengandungi kepalsuan dan tipu daya, menyembunyikan kebenaran, Menggantikan perkara benar dengan yang palsu, Memperlihatkan kebatilan sebagai kebenaran.
Penjelasan :
(1) Perkataan kazib digunakan bagi menggambarkan penyelewengan khabar atau maklumat daripada perkara yang sebenar. Ertinya khabar yang disampaikan oleh seseorang (atau suatu pihak) berlawanan dengan perkara yang benar. Pendustaan dalam bentuk perkataan ini boleh berlaku di dalam perbualan harian, ceramah, seminar, penulisan dan sebaran am seperti tv, radio, ienternet dsb.
(2) Perkataan kazib juga digunakan bagi menggambarkan penyelewengan di dalam bentuk perbuatan yang mana ianya menyalahi kebenaran. Bentuk penipuan ini boleh berlaku di dalam urusan jual beli, penipuan dokumen2, penipuan dalam pengurusan harta benda umum, penipuan di dalam pengurusan harta pusaka, penipuan di dalam pengurusan harta rakyat dan penipuan pemerintahan negara.
(3) Perkataan kazib juga digunakan bagi menggambarkan penyelewengan di dalam bentuk isyarat seperti isyarat tangan, angguk kepala atau kadangkala hanya dengan diam sahaja pun boleh menjadi pendustaan. Ertinya orang menunjukkan "isyarat tangan" atau " angguk kepala " atau " diam " yang membawa maksud berlawanan dengan perkara sebenar.
(4) Di dalam Risalah ini, kita gabungan semua jenis pendustaan ; sama ada pendustaan di dalam kata2 atau perbuatan atau isyarat. Ini kerana semua bahagian pembohongan — sama ada melalui kata2 atau melalui perbuatan atau dengan isyarat mempunyai satu persamaan paling dasar iaitu : Penyakit hati yang berat.
(5) Neraca bagi menentukan "benar atau palsu", "kebenaran atau kebatilan", adalah disandarkan kepada Prinsip2 Ahlus Sunnah wal Jamaah yang tulen. Sekalian suatu yang dipegang oleh Ahlus Sunnah sebagai benar itulah kebenaran dan apa saja yang dipegang sebagai kebatilan oleh Ahlus Sunnah, itulah kebatilan.
(6) Pembohongan, penipuan atau pendustaan berkait rapat dengan dua dosa besar yang lain iaitu "mungkir janji" dan "khianat" di dalam hati. Tidaklah seseorang melakukan "penipuan" atau "pembohongan" terhadap Muslim lain melainkan wujud sifat2 keji dalam hati terutama "khianat".
(7) Semua jenis pembohongan, pendustaan atau penipuan — sama ada skala kecil atau besar, sama ada perkataan atau perbuatan atau isyarat, sama ada hasilnya mudarat kecil atau mudarat besar, .... semua ini adalah dosa yang amat besar sehingga dikaitkan dengan sifat Munafiq.
Wal Iyazubillah
Kata Imam Al-Nawawi Radhiallahu anhu :
Berbohong adalah : Mengkhabarkan sesuatu hal yang berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja atau tidak, dan sama ada perkhabaran itu akan perkara yang telah berlalu atau akan datang:
[Syarah Sahih Muslim]
Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu :
"Pembohongan (dusta, tipu) itu termasuk dosa paling buruk dan 'aib yang paling keji.
[Ihya Ulumuddin]
Perhatian:
Perbincangan darihal dusta / bohong / tipu daya dimasukkan di dalam kitab Tasawwuf dan bukan kitab fiqh kerana ianya terbit dari hati serta berkait rapat dengan dorongan nafsu kejahatan dan bisikan2 Syaitan. Demikian juga dosa besar lain yang tersambung dari perlakuan dusta ini iaitu mungkit janji, khianat dan zalim.
SIRI 82 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.14 Dosa Besar ke-13: Kazib — dusta, bohong, menipu
sambungan....
Dalil Al-Qur'an dan Hadith Rasulullah ﷺ
✨🕌✨ Firman Allah :
وَيۡلٌ۬ لِّكُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ۬
"Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa;"
[Al-Jathiah (45) : Ayat 7]
✨🕌✨ Firman Allah :
إِنَّمَا يَفۡتَرِى ٱلۡكَذِبَ ٱلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡڪَـٰذِبُونَ
"Sesungguhnya mereka yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan mereka itu ialah orang-orang yang bertabiat berdusta."
[An-Nahli (16) : Ayat 105]
✨🕌✨ Firman Allah :
فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ
"Maka jauhilah kamu akan kotoran berhala dan jauhilah kalian ucapan yang dusta.
[Al-Hajj (22) : Ayat 30]
✨🕌✨ Firman Allah :
بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ وَالَّذِي تَوَلَّى كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ
“Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu, maka baginya azab yang besar.”
[An-Nur (24) : Ayat 11]
✨🕌✨ Rasulullah ﷺ. bersabda :
"Awaslah berdusta. Sesungguhnya orang dusta itu bersama orang zalim. Keduanya dalam Neraka,
[Ibnu Majah]
✨🕌✨ Rasulullah ﷺ. bersabda :
إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا
“Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke Syurga. Seseorang selalu bertindak jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai orang yang sangat jujur. Dan sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu membawa ke Neraka. Seseorang selalu berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai pendusta.”
[Imam Bukhari dan Imam Muslim]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :
أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا، وِمَنْ كَانَتْ فِيْهِ خَصْلَة ٌمِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا: إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجََرَ (رواه البخاري ومسلم)
“Empat sifat yang barang siapa ada padanya (mengerjakannya), maka dia menjadi munafiq tulen, dan barang siapa yang melakukan salah satu dari empat sifat itu, maka di dalam dirinya terdapat sifat nifaq sehingga ia meninggalkannya, iaitu: Apabila diberi amanah, dia khianat, Apabila berbicara, dia dusta, Apabila berjanji, dia tidak menepati, dan Apabila bertengkar, dia berlaku fujjar (kebatilan)".
[Imam Bukhari dan Imam Muslim]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ. bersabda :
"Kesaksian palsu sebanding dengan syirik kepada Allah"
[Imam Abu Dawud, Imam Ahmad, Ibn Majah, Ath-Thabrani]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ. bersabda :
"Sesungguhnya dusta itu suatu pintu dari pintu2 nifaq"
[Ibnu 'Adi]
SIRI 83 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.14 Dosa Besar ke-13: Kazib — dusta, bohong, menipu
sambungan....
Contoh-contoh berdusta / bohong / tipu daya:
Bohong / dusta / tipudaya didalam jualbeli:
Contoh 1 : Menjual barang rosak.
Seorang penjual buah-buahan, menjual buah yang rosak / busuk, sedangkan dia tahu buah itu rosak. Biasanya peniaga yang mempunyai niat untuk menipu ini mencampurkan barang rosak dengan barang elok supaya barang rosak terlindung. Ini penipuan yang membawa kepada dosa besar dan hilang keberkatan pendapatannya.
Contoh 2 : Tipu kualiti barang
Peniaga menipu daya kualiti barang dengan berkata kepada pembeli : " Barang ini mahal kerana kualiti barang ini tinggi ". Sedangkan dia tahu barangan tersebut kualitinya memang rendah. Cara lain : Peniaga itu sengaja meletak label yang menunjukkan seolah2 ianya mahal, misalnya dengan menukar labelnya. Atau peniaga menghiasi barang tersebut sehingga kelihatan mewah dan dia dapat menjual dengan harga mahal. Maka semua ini termasuk tipu daya.
Contoh 3: Tipu Timbangan / ukuran / bilangan
Peniaga barang runcit tipu timbangan dengan berbagai cara ; misalnya melaraskan penimbang supaya kelihatan lebih sedangkan belum cukup timbangan, atau menimbang dengan menggunakan pelapik yang berat, atau sengaja kurangkan beberapa gram barang kira2 tidak kelihatan kurang pada pandangan mata kasar, atau basahkan barangan supaya bertambah beratnya. Demikian lagi mengurangkan ukuran. Kurangkan bilangan dsb. Semua ini dosa besar serta musnah keberkatan.
Contoh 4: Tipu ukuran dan bilangan
Peniaga ukur suatu barang seperti kain, plastik, alas meja, kayu, papan dsb. dengan ukuran yang kurang dari sepatutnya. Atau kurangkan bilangan barangan sekira2 tidak disedari oleh pembeli.
Contoh 5: Tipu harga modal
Seorang penjual menipu harga kos (modal) untuk memperdayakan pembeli seolah2 dia (penjual) cuma ambil untung sedikit. Misalnya modal peniaga cuma RM 5, tetapi dia berkata modal dia RM 20. kata peniaga : " Saya beli baju ini RM 20. Saya jual kepada tuan dengan harga RM 22, saya ambik untung RM 2 saja." Kata2 ini adalah jelas penipuan yang memperdaya.
Contoh 6 : Tipu kilang pengeluaran, negeri asal (manufactured)
Setengah peniaga menipu tempat barang dihasilkan (manufactured) untuk menunjukkan seolah2 barangnya bermutu tinggi. Misalnya peniaga meletakkan label "Made in Germany" pada suatu barang sedangkan ianya dihasilkan di negara lain.
Contoh 7 : Penipuan jualan online
Penipuan jual beli online amat banyak sekali. Di antaranya... Menjual barang lain dari yang dijanjikan, atau kualiti barang tidak sama seperti yang dijanjikan, atau mengurangi bilangan / jumlahnya atau tipu daya pada "display" barangan.
SIRI 84 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.14 Dosa Besar ke-13: Kazib — dusta, bohong, menipu
sambungan....
Dusta / tipu daya di dalam pemilikan harta:
Contoh 1: Palsukan dokumen hartanah.
Seseorang bersekutu dengan pihak2 berkuasa (melalui rasuah, sogokan, duit kopi) untuk menukar hak milik sebidang tanah atau sebuah bangunan atau harta lain2 menjadi miliknya sendiri. Dokumen asal dihapuskan diganti dengan dokumen baru yang palsu oleh pihak berkenaan. Sesungguhnya ini tipu daya dan pengkhianatan yang amat keji.
Contoh 2 : Tipu daya pengurusan harta pusaka
Perbuatan keji ini amat banyak terjadi. Harta pusaka wajib dibahagikan kepada mereka yang berhak menerima menurut kadar dan syarat2 hukum faraid. Namun tidak kurang berlaku pada zaman ini saudara kepada si mati menukar nama pemilikan kepada dirinya sehingga mereka yang benar2 berhak tidak mendapat apa2. Amat buruklah apa yang mereka kerjakan.
Contoh 3 : Tipu daya harta perniagaan / perdagangan
Hal ini lazimnya terjadi didalam pernigaan perkongsian. Rakan kongsi didalam suatu syarikat perniagaan membuat tipudaya didalam rekod pembelian, penjualan, perbelanjaan dsb.
Contoh 4 : Tipu daya wang simpanan rakyat umum
Beberapa pertubuhan wang simpanan rakyat umum seperti KWSP, Tabung Haji, Amanah Raya Berhad, Perkeso dll menguruskan wang simpanan rakyat. Setiap pertubuhan ini perlu menguruskan wang tersebut dengan penuh amanah.
SIRI 85 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.14 Dosa Besar ke-13: Kazib — dusta, bohong, menipu
sambungan....
Dusta / tipu daya sebaran 'am
Contoh 1 : Pembohongan Media cetak
Menyebarkan cerita2 dusta melalui surat khabar, majalah, buku2 berkenaan seseorang (atau satu kumpulan manusia) untuk memalukannya atau memfitnahnya sehingga jatuh maruahnya.
Contoh 2 : Pembohongan media Elektronik TV, Radio
Pihak tertentu terutama pihak berkuasa menggunakan medan ini sewenang2nya untuk menyebarkan kepalsuan. Mereka melakukan propaganda untuk mengekalkan kuasa dan kedudukan atau untuk membenteras suatu golongan yang dianggap musuh,
Contoh 3: Fitnah pembohongan melalui internet
Mencipta cerita bohong dan sebarkan melalui intenet — laman web, blog, fb, Whatsapp, Tele, ig dan lainnya. Pada akhir zaman ini, media ini menjadi pilihan utama kerana mudah, murah dan maklumat pantas tersebar. Cerita2 dusta menjadi punca perselisihan, salah sangka, permusuhan dan pergaduhan.
Contoh 4 : Sistem Piramid
Penjaja sistem pyramid mengambil kesempatan menyebarkan pembohongan berkenaan perniagaan internet. Banyak sekali orang muda (bahkan juga orang dewasa) tertipu dengan berbagai skim cepat kaya yang sebenarnya SCAM. Ramai yang cuba nasib ingin menjadi kaya atau sekurang2 menambah pendapatan akhirnya kehilangan harta benda dan simpanan wang. Ada yang menjadi muflis terus. Wal Iyazubillah
Contoh 5: Pembohongan Pakar Perubatan
Bijak pandai didalam perubatan sebarkan maklumat palsu untuk mengelirukan manusia. Sebahagian Pakar2 perubatan yang tidak jujur menjadikan bidang perubatan sebagai profesion mengaut keuntungan dunia.
Contoh 6 : Ahlus Sunnah palsu
Sejak wujudnya Internet, Musuh2 Ahlus Sunnah dari kalangan orang Islam sendiri .... Wahhabiyyah (khawarij), Syi'ah (rafidhi), Sekular (liberal) dll. mewujudkan banyak sekali laman web, Blog, akaun Fb bagi menyebarkan agenda palsu mereka. Mereka mengaku Ahlus Sunnah sedangkan mereka adalah penyebar fitnah. Mereka mengaku Ahlus Sunnah dan menukil kata2 Ulama Ahlus Sunnah, namun mereka menyelewengkan kata2 tersebut kepada kebatilan. Orang awam yang jahil menjadi mangsa kerana menyangka ianya Ahlus Sunnah.
Banyak lagi contoh2 lain berkaitan dengan sebaran am ini, namum memadai dengan beberapa contoh di atas untuk dijadikan i'tibar dan panduan. Sesungguhnya semua penipuan ini menghilangkan keberkatan dan jauhkan Rahmat Allah, Wal Iyazubillah.
Tidak dapat dinafikan lagi, penyebaran pendustaan melalui "penulisan" merupakan jalan paling besar bagi tersebarnya kepalsuan. Perkara dusta akan diperlihatkan sebagai "kebenaran" dengan cara menghiasinya dengan hujjah2 aqal yang bersifat logika dan sesuai dengan kehendak nafsu. Dan sebaliknya perkara yang "benar" akan diperlihatkan sebagai "dusta" dengan menghilangkan sendi2 kebenarannya.
Lebih2 lagi dengan wujudnya kemudahan internet, penyebaran kepalsuan / pembohongan menjadi tersangat mudah. Disebabkan sifatnya yang sangat dinamik dan pantas, cerita pembohongan tersebar merata pelusok dunia dalam hanya beberapa saat. Hanya dengan satu butang CNP (copy n paste), cerita pembohongan telah sampai kepada berjuta manusia. Maka akan tertimpa berjuta dosa ke atas orang yang mulakan cerita bohong / dusta dalam hanya beberapa saat tetapi mereka tidak menyedarinya.
SIRI 86 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.14 Dosa Besar ke-13: Kazib — dusta, bohong, menipu
sambungan....
Dusta, tipu daya Pemerintah / Pemimpin:
Contoh 1: Menipu daya penggunaan wang Baitul Maal.
Penyelewengan penggunaan wang Baitul Maal dengan jalan yang batil / penipuan. Pemerintah2 menggunakan milik Baitul Maal untuk bermewah2 dan melampaui batas tetapi di dalam rekod perbelanjaan direkod sebagai perbelanjaan untuk Ummat. Sesungguhnya ini pengkhianatan dan dosa yang amat besar, namun pemerintah2 tidak pedulikan semua itu. Bagi mereka yang penting adalah "perut mereka".
Contoh 2 : Khidmat Hakim palsu.
Melantik Hakim palsu atau Hakim yang tunduk kepada kemahuan Pemerintah. Tujuannya adalah menjatuhkan hukuman ke atas seseorang (atau suatu jemaah) yang tidak bersalah. Atau bertujuan hapuskan musuh2 politiknya.
Contoh 3 : Merampas hak rakyat melalui penipuan.
Mengubah dokumen hartanah atau sesebuah premis lalu merampasnya dari pemilik asalnya dengan menggunakan kuasa yang ada padanya.
Contoh 4: Sebarkan berita palsu
Menggunakan sebaran am, suratkhabar, TV, Radio dll menyebarkan kepalsuan dengan tujuan mengekalkan kuasa atau suatu kepentingan duniawi yang lain.
Contoh 5 : Fatwa palsu "Ulama jahat"
Menggunakan "Ulama" politik untuk menyelewengkan ayat Allah kepada kebatilan. "Ulama" jahat ini mentafsirkan dengan tafsiran yang bersesuaian dengan kehendak nafsu pemerintah meskipun ianya jelas bertentangan dengan hukum. Sesungguhnya ini adalah perbuatan "khianat" yang amat besar.
Contoh 6: Tuduhan palsu kepada pendokong kebenaran.
Mencipta tuduhan palsu terhadap seseorang atau sesebuah jamaah Islam yang menyampaikan kebenaran. Sesungguh2nya pemerintah2 fasiq dan zalim tidak ingin kejahatan dan kemungkaran mereka diketahui oleh ummat, maka berbagai tipu helah dan cerita dusta direka oleh golongan fasiq ini untuk memadamkan kebenaran.
Sesungguhnya kita sekarang berada pada zaman dimana kebaikan diterbalikkan menjadi kebatilan dan kebatilan diperlihatkan sebagai kebaikan. Hal ini telah diberi peringatan oleh Junjungan Besar Rasulullah ﷺ
✨🕌✨ Rasulullah ﷺ bersabda :
سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ» ، قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: «الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan pendustaan (pembohongan, penipuan). Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang benar dikatakan pendusta, pengkhianat dikatakan amanah sedangkan orang yang amanah dikatakan sebagai pengkhianat. Pada ketika itu Ruwaibidhah akan berbicara.” Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksud Ruwaibidhah?” Baginda menjawab, “Orang at-taafih (jahil, bodoh dan keji yang tidak tahu apa2) yang turut campur dalam urusan umum (yang bukan urusannya dan bukan bidangnya).”
[Imam Ibn Majah, Imam Al-Haakim, Imam Ahmad]
NOTA PENTING :
Sebelum ini telah pun diberikan penjelasan berkenaan maksud "Kebenaran" , "Jalan lurus", "Jalan yang diRedhai Allah". Ia adalah Manhaj Ahlus Sunnah yang tulen yang ada pada tangan Ulama Warisatul Anbiya yang benar.
Semua jenis pembohongan / pendustaan / helah Pemimpin2 negara ini bukan perkara baru. Ianya telah lama berlaku pada zaman Pemerintah Mulkan Addhan, (Zaman Pemerintahan zalim). Zaman tersebut bermula dengan penyerahan jawatan Khalifah Ummat oleh Sayyidina Hasan Radhiallahu anhu. kepada Muawiyah.
SIRI 87 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.14 Dosa Besar ke-13: Kazib — dusta, bohong, menipu
sambungan....
Berdusta atas Nama Allah dan Rasul-Nya:
Sesungguhnya berdusta atas nama Allah dan Rasul-Nya adalah perbuatan orang kafir dan bukan orang beriman. Tidak mungkin seseorang yang beriman (meskipun tersangat lemah Imannya) berdusta atas nama Allah dan Rasul-Nya, Tidak mungkin! Namun hal ini dibincangkan juga di dalam bab "pendustaan" kerana ada orang Islam tertipu dengan bisikan syaitan sehingga dia melakukan pendustaan atas nama Allah dan Rasul-Nya tanpa disedarinya dan akhirnya menjadi sesat. Wal Iyazubillah.
Bahkan di sana wujud satu golongan Muslim yang sengaja mengadakan pendustaan atas nama Allah dan Rasul-Nya kerana kepentingan nafsu dan kerana memperoleh keuntungan dunia yang hina. Atau mereka telah disesatkan oleh Iblis kerana mereka tidak mempunyai seorang Mursyid sebagai pemimpin kepada Allah.
Berdusta atas nama Allah dan Rasul-Nya mempunyai 3 wajah :
Pertama : Mencipta ayat Qur'an palsu atau Hadith Palsu.
Termasuk di dalam bahagian ini adalah mereka yang mengubah atau menokok tambah ayat Allah atau Hadith Rasulullah ﷺ
Ini adalah perbuatan "Ulama" as-su (Ulama jahat), "Ulama" fasiq yang mengaku Ahlus Sunnah dan juga golongan Syi'ah (rafdhi). Hal ini sama seperti pendeta2 Yahudi dan Nasrani yang memahami Kitab Samawi terdahulu, tetapi mereka menyelewengkan kandungannya agar sesuai dengan nafsu selera mereka.
Kedua : Engkar kepada mana2 ayat Qur'an atau Hadith Rasulullah ﷺ, (meskipun hadith dha'if sekalipun kerana Hadith dha'if tetap termasuk dalam Hadith, cuma tidak digunakan oleh Ulama untuk berhujjah menetapkan hukum.)
Ini adalah perbuatan golongan sekular / liberal / fasiq / zindiq.
Ketiga : Mentafsir sendiri Ayat Qur'an atau Hadith dengan aqal fikiran sendiri. (perbuatan ini juga terhitung ke dalam pendustaan terhadap Allah dan Rasul-Nya)
Mereka adalah golongan "muda" yang menyangka sudah mencapai taraf Mujtahid. Mereka sewenang2 mentafsirkan Ayat Qur'an dan Hadith dengan sangkaan mereka sudah mahir kerana mereka memiliki segulung ijazah Universiti atau kerana sudah bergelar Hafiz Qur'an atau kerana sudah hafal beberapa Hadith Nabi. Ini adalah perangai golongan Wahhabiyyah (khawarij). Pada hari ini golongan muda ini bersepah sana sini, membuat video, bahas hukum-hakam dan sewenang keluarkan "fatwa" mengikut nafsu dan bisikan Iblis. Wal Iyazubillah.
Fahamilah hakikat ini ....!
Menurut pendirian Ahlus Sunnah.... Al-Qur'an dan Hadith Rasulullah ﷺ adalah dua gedung Ilmu yang amat besar, lautan yang tidak bertepi, khazanah keilmuan yang tidak akan kering ilmunya sampai Qiamat. Setiap ayat Qur'an dan Hadith mempunyai makna2 yang zahir dan juga yang tersembunyi. Tafsiran bagi setiap ayat Qur'an atau Hadith hanya difahami oleh Ulama Mujtahid. Dengan demikian orang yang belum sampai kepada taraf Mujtahid, diharamkan mentafsir Al-Qur'an atau Hadith Nabi.
Mereka yang dikatakan Ulama Mujtahid adalah Ulama Ahlus Sunnah Mu'tabar yang sudah sampai keilmuan yang amat tinggi sehingga layak mentafsirkan Al-Qur'an dan Hadith Nabi. Mereka mahir di dalam setiap ilmu Syari'at — hafal Qur'an, hafal 300,000 Hadith, mahir di dalam ilmu tafsir, mahir di dalam mustolah Hadith, mahir di dalam ilmu nahwu, sarf, mantiq, bayan, badi', sirah dll. Mereka juga sudah mencapai keilmuan tinggi pada sisi Ma'rifat — mengenal Allah dengan sesungguhnya serta di dalam pimpinan ruhaniyah Rasulullah ﷺ. Mereka hanya mentafsir Al-Qur'an dan Hadith menurut Kehendak Allah, BUKAN menurut kehendak peribadi, BUKAN kerana turutkan nafsu, BUKAN bisikan Iblis, BUKAN menurut kemahuan pemerintah atau lainnya.
Berbeza dengan "ulama" jahat / "ulama" fasiq dari kalangan yang mengaku Ahlus Sunnah, atau "ulama" sesat dari kalangan Wahhabiyyah (khawarij), mujassimah, mu'tazilah, jabariyyah dll....
Kesemua mereka ini mentafsirkan Al-Qur'an dan Hadith menurut pemikiran aqal sempit mereka atau kerana bisikan nafsu dan Syaitan. Betapa tidak, mereka tidak mengenal Allah dan tidak mampu bezakan antara seruan Haq Allah Ta'ala dengan bisikan Syaitan, maka sentiasalah mereka disesatkan oleh Syaitan. Wal Iyazubillah.
Meskipun mereka juga merujuk dalil2 dan hujjah2 Al-Qur'an dan Hadith namun mereka TIDAK mengenal Allah dan tidak mengetahui Kehendak Allah pada satu2 tafsiran ayat Qur'an dan Hadith. Ilmu zahir syari'at sahaja TIDAK memadai bagi mentafsirkan Kalam Allah Yang Maha Tinggi. Ilmu zahir syari'at saja tanpa mengenal Allah dari dalam hati akan menyebabkan tafsiran menyeleweng dari hakikat Kehendak Allah. Akibatnya mereka mentafsirkan menurut pemikiran / nafsu / bisikan Syaitan. Maka inilah sebab dan bukti kukuh mengapa "Ulama" bagi 72 golongan sesat menjadi sesat dan menyesatkan.
Fahamilah sungguh2 apa yang kami katakan ini.
SIRI 88 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.14 Dosa Besar ke-13: Kazib — dusta, bohong, menipu
sambungan....
✨🕌✨ Firman Allah :
وَلاَ تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلاَلٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا عَلَى اللهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللهِ الْكَذِبَ لاَ يُفْلِحُونَ
"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung."
[An-Nahl (16): Ayat 116]
✨🕌✨Firman Allah :
فَوَيۡلٌ۬ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِأَيۡدِيہِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَـٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنً۬ا قَلِيلاً۬ۖ فَوَيۡلٌ۬ لَّهُم مِّمَّا ڪَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٌ۬ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ
"Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu."
[Al-Baqarah (2) : ayat 79]
✨🕌✨Firman Allah :
وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ تَرَى ٱلَّذِينَ كَذَبُواْ عَلَى ٱللَّهِ وُجُوهُهُم مُّسۡوَدَّةٌۚ أَلَيۡسَ فِى جَهَنَّمَ مَثۡوً۬ى لِّلۡمُتَكَبِّرِينَ
"Dan pada hari Qiamat, engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah, muka mereka hitam legam; bukankah (telah diketahui bahawa) dalam Neraka Jahanam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang sombong takabbur?
[Az-Zumar (39) : Ayat 60]
✨🕌✨Firman Allah :
وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلاَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولاً
"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggunganjawabnya."
[Al-Isra’ : 36]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ. bersabda :
"Barang siapa berkata-kata tentang al-Qur'an (tafsir dan ta'wilkan Al-Qur'an) tanpa ilmu, maka hendaklah ia menempati tempat duduknya dari neraka"
[Imam Tirmidzi]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ. bersabda :
"Takutlah kalian berbicara tentang sesuatu yang berasal dariku melainkan pada apa yang telah kalian ketahui. Siapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyimpan tempat duduknya di dalam neraka, Dan barang siapa yang menafsirkan al-Qur'an dengan akal pikirannya, maka hendaklah ia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka" [Imam Ahmad, Tirmizi, Nasai]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ. bersabda :
“Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah dia menyediakan tempatnya di dalam neraka”.
[Imam Bukhari, Muslim]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ. bersabda :
“Barangsiapa menguraikan Al Qur’an dengan akal fikirannya sendiri dan merasa benar, maka sesungguhnya dia telah berbuat kesalahan”.
[Imam Ahmad]
✨🕌✨Rasulullah ﷺ. bersabda :
"Di dalam agama itu tidak ada pemahaman berdasarkan akal fikiran, sesungguhnya agama itu dari Tuhan, perintah-Nya dan larangan-Nya.”
[Imam Thabarani]
SIRI 89 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.14 Dosa Besar ke-13: Kazib — dusta, bohong, menipu
sambungan....
Ancaman dan balasan berat kepada Pendusta / Tipu daya :
Orang2 yang gemar melakukan tipu daya terhadap Muslim lain diancam oleh Allah dan Rasul-Nya dengan berbagai balasan buruk yang amat dahsyat. Mengapakah mereka2 ini diancam dengan balasan berat? Mereka diancam demikian kerana perbuatan menipu daya itu merosak hak Ketuhanan dan merampas hak manusia.
Sebagaimana kami sebutkan pada awal bab ini, tipu daya dan pendustaan berhubung rapat dengan beberapa dosa berat yang lain iaitu fitnah, khianat, mungkir janji dan zalim. Tidaklah seseorang melakukan tipu daya terhadap seseorang atau satu kelompok manusia melainkan kerana tujuan tertentu yang memberi faedah duniawi kepada dirinya sementara orang yang ditipu mendapat mudarat. Dan lazimnya tipu daya dan pembohongan terkait kepada unsur2 khianat, mungkir janji dan kezaliman.
1. Pendusta digandingkan dengan penyembahan berhala.
✨🕌✨ Firman Allah :
فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ
"Maka jauhilah kamu akan kotoran berhala dan jauhilah kalian ucapan yang dusta.
[Al-Hajj (22) : Ayat 30]
2. Pendusta bagaikan orang munafiq:
✨🕌✨ Rasulullah ﷺ bersabda :
“Empat sifat yang barang siapa ada padanya (mengerjakannya), maka dia menjadi munafiq tulen, dan barang siapa yang melakukan salah satu dari empat sifat itu, maka di dalam dirinya terdapat sifat nifaq sehingga ia meninggalkannya, iaitu: Apabila diberi amanah, dia khianat, Apabila berbicara, dia dusta, Apabila berjanji, dia tidak menepati, dan Apabila bertengkar, dia berlaku fujjar (kebatilan)".
[Imam Bukhari dan Imam Muslim]
3. Pendusta adalah orang zalim:
✨🕌✨ Rasulullah ﷺ. bersabda :
"Awaslah berdusta. Sesungguhnya orang dusta itu bersama orang zalim. Keduanya dalam Neraka,
[Ibnu Majah]
4. Pendusta sebanding dengan Syirik kepada Allah:
✨🕌✨ Rasulullah ﷺ. bersabda :
"Kesaksian palsu sebanding dengan syirik kepada Allah"
[Imam Abu Dawud, Imam Ahmad, Ibn Majah, Ath-Thabrani]
5. Pendusta dan penolong2 mereka tidak diakui sebagai Ummat Rasulullah ﷺ.
Balasan yang sangat buruk kepada Pemimpin dan Penolong2 mereka yang berdusta dan juga orang2 yang benarkan pendustaan pemimpin:
✨🕌✨ Rasulullah ﷺ. bersabda :
“Sesungguhnya akan ada setelahku Pemimpin yang berdusta dan zalim. Barangsiapa masuk kepada mereka (menyertai mereka) kemudian membenarkan pendustaan mereka, atau membantu mereka dalam kezalimannya, maka dia bukan dari golonganku dan aku bukan dari golongannya. Dan dia tidak akan minum dari telagaku. Dan barangsiapa tidak membenarkan kebohongan mereka dan tidak membantu mereka dalam berbuat kezaliman, maka dia adalah dari golonganku dan aku adalah dari golongannya. Dan kelak ia akan minum dari telagaku.”
[Imam Ahmad]
6. Pendustaan menghilangkan keberkatan hidup:
✨🕌✨ Rasulullah ﷺ. bersabda :
“Hati-hatilah dengan banyak bersumpah dalam menjual dagangan kerana ia memang melariskan dagangan tetapi menghapuskan keberkatan.”
[Imam Muslim]
7. Dicop sebagai pendusta dan ahli neraka:
✨🕌✨ Rasulullah ﷺ. bersabda :
“Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke Syurga. Seseorang selalu bertindak jujur sehingga ia ditulis di sisi Allah sebagai orang yang sangat jujur. Dan sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu membawa ke Neraka. Seseorang selalu berdusta sehingga ia ditulis di sisi Allah sebagai Pendusta.”
[Imam Bukhari dan Imam Muslim]
SIRI 90 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
7.14 Dosa Besar ke -13: Kazib — dusta, bohong, menipu
sambungan....
Pengecualian — Keadaan diharuskan berdusta / bohong :
Kita telah bicarakan secara panjang lebar berkenaan larangan keras berdusta / berbohong / tipu daya dan bahaya2 yang tertimpa ke atas pendusta. Begitu beratnya dosa tipu daya dan pendustaan sehingga digandingkan dengan kesyirikan dan kemunafikan. Wal Iyazubillah.
Walau bagaimanapun di sana terdapat beberapa keadaan di mana "dusta / bohong" dibenarkan — ada kalanya menjadi harus, dan ada kalanya Sunnat demikian. Bahkan boleh menjadi wajib pada saat2 terjadi ancaman terhadap nyawa, harta dan kehormatan. (Waspada : Keharusan ini diikat dengan penjagaan yang tegas dan teliti, sekira2 tidak menyeleweng kepada terikut hawa nafsu)
Pembahagian perkara2 yang dibenarkan berdusta:
■ Pertama : Harus berdusta:
Harus berdusta ketika peperangan melawan kafir harbi. Ketika itu harus berbohong untuk mengelirukan musuh.
■ Kedua : Sunnat berdusta;
Sunnat berdusta untuk mendamaikan dua orang Muslim yang bersengketa, atau berdusta untuk mendamaikan antara isteri2nya yang berselisih, maka berdusta ketika itu hukumnya Sunnat.
■ Ketiga : Wajib berdusta:
Berdusta adalah wajib pada keadaan2 berikut :
(1) Berdusta untuk memelihara darah (nyawa) seseorang daripada penjahat yang ingin membunuhnya.
(2) Berdusta untuk memelihara harta seseorang daripada dirampas oleh pemerintah zalim atau perompak.
(3) Berdusta untuk memelihara kehormatan wanita.
(4) Berdusta untuk menyembunyikan kekejian diri yang pernah diperbuatnya secara sembunyi dan kekejian tersebut telah ditutupi oleh Allah Ta'ala.
Dalil sandaran Ahlus Sunnah wal Jamaah di dalam hal ini adalah :
(1) ✨🕌✨ Hadith Rasulullah ﷺ :
Daripada Ummu Kulthum kata beliau, "Aku tidak mendengar Rasulullah ﷺ memberi keringanan berdusta pada sesuatu melainkan pada tiga tempat, iaitu : Seseorang mengatakan suatu perkataan, yang dimaksudkan untuk perbaikan, orang yang mengatakan sesuatu di dalam peperangan (fi sabilillah) dan orang yang berbicara dengan isterinya dan isteri berbicara dengan suaminya"
[Imam Muslim]
(2) ✨🕌✨ Rasulullah ﷺ bersabda :
"Tiap2 kedustaan itu dituliskan terhadap anak Adam, selain orang yang berdusta di antara dua orang Muslim untuk memperbaiki antara keduanya."
[Imam Ahmad]
(3) ✨🕌✨ Rasulullah ﷺ bersabda :
"Barangsiapa berbuat sesuatu dari kekotoran ini (berbuat dosa secara tersembunyi / tidak diketahui sesiapa pun), maka hendaklah ditutup dengan tutupan Allah."
[Imam Al-Haakim]
(4) ✨🕌✨ Rasulullah ﷺ bersabda :
Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin (membuka 'aib diri atau dosa dirinya yang telah ditutupi oleh Allah). Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.
[Imam Bukhari]
PERINGATAN DAN AMARAN:
Meskipun diberi keringanan untuk berdusta pada tempat² tertentu seperti yang disebutkan, namun setiap Muslim wajib waspada selalu agar TIDAK menjadikan "berdusta / bohong " sebagai kebiasaan, melainkan hanya ketika darurat atau benar² perlu sahaja, dan benar² bertujuan keselamatan Agama, nyawa, harta kehormatan dan perkara2 lain sepertinya sebagaimana yang telah dijelaskan.*
Bersambung siri 91 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment