Wednesday, June 17, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


FASAL 2 :

FAKTA-FAKTA PENTING BERKENAAN MURSYID


sambungan.....


Fakta 6 :  Mahir Selok-belok Keruhanian

 

Mursyid adalah pakar keruhanian yang sangat mahir di dalam selok-belok perjalanan menuju Allah.  Mereka Mengenal Allah dengan pandangan mata-hati, mata-ruh dan mata-Sirr (rahsia yang sangat mendalam).  Mereka pakar mengenal hakikat insan dan hakikat kehidupan seluruhnya.  Bahkan mereka mengenal seluruh perjalanan keruhanian yang akan ditempuh oleh seseorang salik (murid) sehingga dia selamat sampai ke destinasi terakhir  kepada Tuhan Rabbul Jalil, memperoleh Tauhid yang hakiki, Keimanan sejati. 

 

Sebagai penegasan semula….kemahiran di dalam Ilmu Keruhanian, dan keluasan pengetahuan yang tahqiq berhubung Ketuhanan dan segala yang berhubung dengan alam ghaib, bukan diperoleh oleh Mursyid Pewaris Nabi dengan hanya sekadar mentelaah kitab-kitab tetapi mereka mujahadah sendiri melawan hawa nafsu yang rendah, melawan segala keinginan duniawi yang keji, berzikir, Muraqabah, Musyahadah dan latihan-latihan Keruhanian yang keras selama puluhan tahun sehingga akhirnya Allah Ta’ala sucikan hati mereka sebersih-bersihnya dan Kurniakan mereka Ilmu dari Sisi-Nya.

 

Fakta 7 :  Memiliki Senjata dan Perisai Melawan Bisikan Syaitan

 

Allah Ta’ala Mengurniakan kepada seorang Mursyid Senjata dan Perisai Ghaib bagi melawan dan hapuskan sekalian bisikan syaitan yang mengganggu perjalanan Salik.  Bisikan dan gangguan syaitan datang di dalam berbagai rupa yang amat sulit dikesan.

 

Meskipun seseorang itu bergelar “Ulama” dan alim fiqh atau mempunyai berbagai gelaran PhD, Profesor, Master Universiti atau lain-lainnya, dia tidak dapat mengenal bisikan-bisikan halus syaitan ini.  Ini kerana syaitan datang di dalam berbagai bentuk penyamaran untuk menipu daya manusia.

 

Berdasarkan sejarah Ummat ini, banyak sekali orang alim (alim fiqh) terpedaya dengan bisikan-bisikan halus syaitan dan jatuh tersungkur di kakinya, menjadi manusia terhina.  Bukti paling nyata adalah kesesatan “Ulama” politik, “Ulama” As-su, “Ulama” dunia, dan lain-lain menjadi sesat dan menyesatkan Ummat.  Contoh lain adalah bangkitnya “Ulama” ilmu Kalam yang mendirikan berbagai firqah sesat.

 

 

Fakta 8 :  Memiliki Ubat dan Penawar Bagi Sekalian Penyakit Hati Manusia


Sesungguhnya penyakit hati manusia mempunyai hubungan erat dengan nafsu-nafsu kejahatan.  Nafsu kejahatan yang menguasai hati manusia mempunyai kekuatan dan tingkatan yang berbeza-beza dari seorang kepada seorang yang lain.  Hanya seorang Mursyid mengenal dan mampu merawat segala penyakit hati manusia yang berbagai-bagai rupa dan bercabang-cabang tumbuh subur dari nafsu-nafsu kejahatan. 

 

Mursyid  adalah “Doktor Keruhanian” yang sangat mahir mengenal nafsu-nafsu kejahatan dan penyakit-penyakit hati manusia.  Allah Ta’ala Kurniakan mereka ubat dan penawar bagi sekalian penyakit hati manusia.

 

Sesungguhnya penyakit hati manusia lebih merbahaya daripada penyakit Zahir kerana penyakit Zahir hanya membawa maut kepada tubuh zahir sedangkan “penyakit hati” membawa “maut” kepada Keimanan.  Malangnya kebanyakan manusia buta dari melihat kebenaran ini.


Fakta 9 :  Memiliki Ubat dan Penawar Untuk Penyakit Tubuh Manusia Yang Kronik


Selain dari mengubati penyakit-penyakit hati manusia, seorang Mursyid juga di-Kurniakan oleh Allah kemampuan merawat berbagai penyakit jasad (tubuh) badan manusia yang sangat kronik dan tak mampu dirawat oleh doktor moden termasuk doktor pakar sekalipun.  Di antaranya :  Cancer (barah), sclerosis, bipolar, skizo, stress, thalassemia, anemia, leukemia, myocarditis, fibroid, polyst, cyst dan lain-lain.

 

Berdasarkan pengalaman kami merawat mereka yang terkena penyakit-penyakit kronik ini, mereka telah lama menderita penyakit-penyakit tersebut, namun tiada rawatan dari perubatan moden.  Sebahagian besar daripada mereka telah pun menghabiskan wang puluhan ribu ringgit, namun keadaan penyakit tetap sama bahkan bertambah teruk dari hari ke hari. Kaedah perubatan unik berdasarkan Ma’rifat yang Allah Ta’ala Kurniakan kepada seseorang Mursyid yang Siddiq, membawa berbagai Rahmat kepada pesakit. 


Fakta 10 :  Mujaddid dan Mujtahid Lahir Dari Institusi Mursyid Pewaris Nabi Yang Siddiq


Seluruh angkatan Ulama Ahlus Sunnah Mu’tabar (yang silsilah mereka sampai kepada Rasulullah ) termasuk Ulama bertaraf Mujtahid dan Mujaddid  lahir dari Madrasah Mursyid atau dikenali juga sebagai Madrasah Ahli Sufi atau Ahli Ma’rifat.  Setiap Mujtahid dan Mujadddid telah menempuh tarbiyyah Mursyidnya yang mempunyai Silsilah sampai kepada Rasulullah .  Mereka telah menerima didikan Guru mereka yang benar-benar Arif pada waktu  yang panjang dan menempuh latihan keruhanian yang sangat keras. 

 

Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani, Imam Ghazali, Imam Fakhruddin Ar-Razi, Imam Syazili, Imam Ar-Rifai’e, Imam Asy-Sya’rani, Imam Qusyairi, Imam Rofie’, Imam Abu Hanifah (pendiri mazhab Hanafi), Imam Malik (pendiri mazhab Maliki), Imam Syafi’e (pendiri mazhab Syafi’e), Imam Ahmad Ibn Hanbal (pendiri mazhab Hambali), Imam Sayuthi, Imam Haythami adalah di antara nama-nama besar di kalangan Ulama Ahlus Sunnah yang telah menerima didikan dan asuhan dari Mursyid mereka masing-masing sehingga mereka juga diangkat oleh Allah menjadi Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.

 

Maksudnya sekalian Ulama Ahlus Sunnah yang Mu’tabar yang telah memimpin Ummat Islam sepanjang zaman adalah kesemuanya Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, kesemua mereka adalah Ahli Sufi, Ahli Ma’rifat, Auliya Allah.  Sebahagian dari mereka memperoleh Kurnia Allah yang lebih tinggi sehingga mencapai Darjat Mujtahid atau Mujaddid.  Maka kita katakan Mujtahid dan Mujaddid yang benar hanya wujud dikalangan Ahlus Sunnah dan kesemua mereka adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.

 

Selain dari Ahlus Sunnah, orang-orang yang bergelar “Ulama” bukanlah Ulama pada haqiqatnya.  Mereka hanya “alim fiqh” atau “Ulama as-su” yang menjual Agama dengan habuan duniawi.  Mereka memutar-belitkan Ayat Allah dan mentafsirkannya menurut hawa nafsu dan bisikan syaitan. 

Wal Iyazubillah.


Fakta 11:   Berbagai Panggilan Kepada Mursyid


Sebagaimana kami menyebutnya dari awal Risalah ini, Mursyid yang Siddiq (Benar) adalah Pewaris Nabi yang sebenar, yang mewarisi Nabi zahir dan batin.  Mereka juga dikenali dengan istilah-istilah lain sesuai dengan Maqam dan Kelayakan yang Allah Ta’ala Kurniakan kepada mereka, iaitu : Khalifah Allah dan Khalifah Rasulullah  (yang khusus di Pilih oleh Allah), Sahabat, Ahli Sufi, Ahli Ma’rifat.

 

Ertinya apabila disebut Ahli Sufi, maka yang dimaksudkan adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Merekalah Ahli Ma’rifat, Sahabat Rasulullah   dan  Khalifah  Rasulullah    di dalam pengertian yang luas.  

 

Fakta 12 :  Khulafa Ar-Rasyidin - Generasi Pertama Mursyid

 

Generasi Mursyid yang pertama adalah sekalian Khulafa Ar- Rasyidin    Sayyidina Abu Bakr, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman, Sayyidina 'Ali Ridhwanullahi alayhi ajma'in.  Kemudian diikuti Generasi Tabi’in,  kemudian diikuti Tabi’it-Tabi’in, kemudian diikuti  generasi Imam dan Masyaikh berikutnya sebagai Mursyid sambung-menyambung, yang di-Pilih khusus oleh Allah sampai Qiamat.

 

Sesungguhnya  Khulafa Ar-Rasyidin  Sayyidina Abu Bakr, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman, Sayyidina Ali Ridhwanullah adalah Generasi Pertama Mursyid.  Kunci memahami hal ini adalah pada ungkapan "Ar-Rasyidin". Istilah "Ar-Rasyidin" bermaksud "Guru-guru yang rasyid" atau Pemimpin-pemimpin yang "rasyid"....  yang menunjukki Jalan Lurus dan Jalan Kebenaran, Jalan Ahlus Sunnah yang benar.  Yang dimaksudkan dengan " Jalan lurus "  adalah " Jalan Allah " sepertimana yang ditunjukki oleh Rasulullah dan pimpinan Baginda ke atas sekalian Sahabat Baginda .

 

Generasi Kedua Mursyid yang Siddiq (Benar) adalah Ulama Tabi'in yang menerima Ijazah kebesaran Mursyid dari Khulafa Ar-Rasyidin yang menerima  isyarat lantikan oleh Allah Ta'ala. 

 

Generasi Ketiga Mursyid yang Siddiq (Benar) adalah Tabi'it-Tabi'in yang menerima Ijazah kebesaran Mursyid dari Tabi'in yang menerima  isyarat lantikan oleh Allah Ta'ala. 

 

Generasi Keempat  Mursyid yang Siddiq (Benar)  adalah Imam-imam, Masyaikh kemudian yang menerima Ijazah kebesaran Mursyid dari Tabi'it Tabi-in yang menerima  isyarat lantikan oleh Allah Ta'ala. 

 

Generasi Kelima Mursyid yang Siddiq dan seterusnya ke bawah dan ke bawah menerima Ijazah kebesaran Mursyid dari Shaikh yang sebelumnya yang menerima  isyarat lantikan oleh Allah Ta'ala.

 

Beginilah berlakunya perlantikan Mursyid-mursyid yang Siddiq (Benar) sepanjang zaman sehingga ke hari ini dan seterusnya hingga hari Qiamat tiada putus.  Iaitu perlantikan itu semata-mata Kurnia Allah kepada seseorang hamba Allah yang telah mujahadah pada waktu yang sangat panjang dengan pimpinan Mursyidnya sehingga dia menewaskan sekalian nafsu-nafsu kejahatan di dalam dirinya, menewaskan nafsu keduniaan, menewaskan tipu daya iblis dan syaitan sehingga akhirnya sampai ke Hadratul Quddus — Hadrat Tuhan Yang Maha Suci,  sehingga Allah Ta'ala Redha serta berkenan mengangkatnya menjadi Warisatul Anbiya atau Pewaris Nabi yang Siddiq.



bersambung Fakta 13....... اِ نْ شَآ ءَ اللّه


MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 2 :

FAKTA-FAKTA PENTING BERKENAAN MURSYID


Alhamdulillah sebesar-besar kesyukuran kepada Allah Ta’ala yang mengutus Junjungan Besar Sayyidina Maulana Muhammad Mustafa , menjadi   Cahaya yang menerangi sekalian Alam Semesta.  Dan sebesar-besar kesyukuran kepada Allah yang mengutus Sekalian Warisatul-Anbiya,  Pewaris Nabi sebagai Khalifah-Nya atas muka bumi bagi menyambung   Risalah Junjungan sampai Qiamat.

 

Berikut adalah sejumlah Fakta Penting berhubung dengan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar) yang perlu diketahui oleh seluruh Ummat Islam agar mereka mencapai keselamatan dunia Akhirat, menurut Jalan Allah dan Rasul-Nya (Ahlus Sunnah Wal Jama’ah) dan selamat daripada penyelewengan, kesesatan dan kekufuran.

 

 Fakta 1 :  Mursyid Adalah Warisatul Anbiya Yang Sebenar

Ketahuilah berdasarkan keterangan Al-Qur’an, Hadith dan Fatwa Ulama Mu’tabar, Mursyid adalah Warisatul Anbiya  Pewaris Rasulullah   yang Siddiq  (benar), yang  mewarisi  zahir dan batin Baginda Nabi   ﷺ.   Mereka mewarisi keseluruhan Agama dari Baginda, meliputi Syari'at dan Toriqat Rasulullah dengan sempurna. Allah Ta’ala memilih mereka dan meninggikan Darjat mereka (Iman, Tauhid, Ma’rifat) mengatasi manusia lain. 


Firman Allah:

 

يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬‌ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٌ

"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan."

[Al-Mujadilah (58) : Ayat 11]

 

Berkata Al Imam Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

Para Ulama (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) adalah hamba-hamba Allah yang memiliki kedudukan istimewa, yang Allah Pilih sebagai Pelita Agama-Nya.  Allah Menganugerahi petunjuk kepada mereka dengan berbagai kelebihan dan keutamaan.  Mereka adalah Pewaris para Nabi, pengganti mereka, dan pemimpin kaum muslimin, sebagaimana Sabda Nabi  :  “Ulama adalah Pewaris para Nabi kerana ilmu yang mereka miliki.  Penduduk langit mencintai mereka, dan bahkan para penghuni lautan pun memohon ampunan untuk mereka hingga Hari Qiamat.”  [Riwayat Imam  Ad-Dailami].

[Tamat nukilan Sirrul Asrar]

 

Orang yang hanya memiliki Ilmu Syari’at sahaja dan tidak mengenal Allah dengan sebenarnya melalui pandangan mata hati, dan tidak mempunyai hubungan keruhanian dengan Rasulullah tidaklah mereka dikatakan sebagai “Pewaris Nabi” tetapi mereka itu hanyalah “alim fiqh” atau disebut “alim kitab”, meskipun mereka sudah menghafal seribu kitab atau mereka memiliki PhD, Profesor, Sarjana atau lain-lain ijazah Universiti yang banyak sekalipun.

 

Berkata Sulton Auliya Imam Jilani Radhiallahu anhu:

"Seseorang tidak dapat dikatakan Ahli Sufi (Mursyid Pewaris Nabi yang Benar) sehingga dia sampai ke maqam di mana dia di-Anugerahi pandangan kepada Rasulullah di dalam mimpinya dan diberi arahan dan tegahan.   Jika keadaan ini terjadi maka hatinya akan dinaikkan ke maqam lebih tinggi serta disucikan batinnya.  Beliau seterusnya akan memperoleh kehampiran dengan Allah Ta'ala sementara tangannya di dalam pimpinan tangan Rasulullah

[Fath-Ar-Rabbaniy Wa Faidh Ar-Rahmaniy]

 

 Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya Allah dan malaikat, penghuni langit serta bumi sehinggakan semut yang berada di dalam lubangnya dan ikan-ikan (di lautan) solawat (berdoa) ke atas Orang alim (Alim Billah) yang mengajar kebaikan kepada manusia.”

[Imam Tirmizi]

 

Rasulullah bersabda:

“Dan sesungguhnya seorang ‘alim (Sohibul Ilm, atau Alim Billah, Ahli Ma'rifat) itu, akan memohonkan ampun baginya penduduk langit dan bumi, dan juga ikan dalam air.”

[Imam Ahmad , Imam  Abu Dawud]

 

 Tafsiran:

Menurut tafsiran Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani, Imam Ghazali, Imam Fakhruddin Ar-Razi, Imam Sayuthi, yang dikehendaki dengan kalimah "orang berilmu", "orang alim", "orang mu'min" di dalam ayat Qur'an dan Hadith di atas adalah ditujukan kepada para Auliya Allah yang telah mencapai Ma'rifat dan mengenal Allah dengan pengenalan yang sempurna. Merekalah Mursyid Pewaris Nabi yang sebenar.  Ikan di lautan, semut di sarang, burung di angkasa raya mengenal para Pewaris Nabi kerana Allah Ta’ala Ilhamkan akan keberadaan mereka sebagai Kekasih-Nya.

 

Fakta 2 :  Mursyid Menduduki Maqam Nubuwwah (Kenabian)

Mursyid yang Siddiq di-Anugerahi oleh Allah akan Maqam Risalah dan Maqam Nubuwwah (maqam Kenabian).  Mereka BUKAN Nabi atau Rasul yang membawa Syari’at baru ,  tetapi mereka menduduki Maqam Kenabian dan menanggung Amanah Rasulullah .

 

Berkata Imam Besar Ahlus Sunnah, Sultan Auliya, Imam Jilani رضي الله عه:

"Wali-wali yang menjadi guru memiliki kehampiran yang serupa dengan Nabi dengan Tuhannya.  Amanah dan penjagaan terhadap ilmu ketuhanan yang serupa di-Anugerahkan kepada mereka.  Mereka merupakan Pemegang sebahagian daripada kenabian.”

[Sirrul Asrar]

 

Berkata Imam Ibn Hajar Asqalani رضي الله عه:

Wafatnya Nabi memberi isyarat terhentinya "wahyu" kepada Rasul yang membawa Syari'at baharu.  Tetapi bukan "wahyu" tanpa Syari'at yang akan berterusan sehingga Hari Qiamat.

[Fathul Bari]

 

Berkata Imam Asy-Sya'rani:

"Wahyu" berserta Risalah Kenabian yang membawa syari'at terhenti dengan kewafatan Rasuulullah ,  Risalah tanpa Syari’at baru," akan tetap ada sehingga ke Hari Qiamat".

[Al-Yawaqeet wal Jawahir]

Berkata Imam Ibn Arabi, Pemimpin Ulama Ahlus Sunnah dan Auliya Allah yang masyhur:

"Wafatnya Rasulullah menunjukkan tamatnya Nubuwaah yang membawa Syari'at baru.  Namun maqam-maqam Kenabian akan berterusan sehingga ke hari Qiamat.”

[Futuhatul-Al-Makkiyah]

 

“Wahyu tanpa Syari’at baru“ yang disebut oleh Imam Ahlus Sunnah) adalah bermaksud : Limpahan Ilmu Allah Ta’ala berupa khitob, iaitu seruan Sirr (seruan rahsia) Allah Ta’ala ke dalam hati mereka.  Mereka sentiasa di dalam Limpahan Petunjuk Allah dan pimpinan Ruhaniyah Rasulullah .  Dengan demikian mereka dipelihara oleh Allah daripada kesesatan (mahfuz). 

 

Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu:

"Para Nabi dan Wali Allah tidak luput dari kegelinciran.  Hanya para Nabi adalah Ma'sum terpelihara dari dosa besar setelah diangkat menjadi Nabi dan Rasul.  Sedangkan para Wali Allah tidaklah Ma'sum tetapi mereka adalah disebut Mahfuz, dipelihara oleh Allah daripada dosa-dosa besar setelah darjat kewaliannya sempurna."

[Sirrul-Asrar]

 

 Fakta 3 :  Mursyid Adalah Pilihan Allah

Mursyid yang sebenar adalah semata-mata Pilihan Allah yang telah mengangkatnya kepada Hadrat-Nya yang Maha Suci.  Pilihan Allah ini diilhamkan kepada Guru yang sedang memimpinnya.  Guru yang memimpinnya juga merupakan Mursyid sebenar yang telah menerima Irsyad  (kelayakan memimpin manusia pada Jalan Ma'rifat Ilahiyyah) dari Guru Mursyid sebelumnya dan ke atas sambung Sisilah Perguruan sampai Rasulullah .  Gurunya tidak menentukan dengan kehendak beliau sendiri, sebaliknya beliau hanya mengisytiharkan apa-apa yang diilhamkan oleh Allah (pemilihan Mursyid)  kepada Jama’ah beliau.  

 

Firman Allah:

 

ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ

 

“Kemudian Kami jadikan Al-Kitab (Al-Quran) itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami Pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah.  Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).”

[Faathir (35) : Ayat 32]

 

Ertinya pemilihan atau perlantikan Mursyid BUKAN barang mainan,  BUKAN boleh dipilih suka-suka nafsu.  Mursyid BUKAN pilihan undian manusia, BUKAN pilihan pemerintah, BUKAN pilihan parti politik atau lain-lainnya. 

 

Berkata Sulton Auliya Imam Jilani Radhiallahu anhu:

“Orang-orang yang berilmu dan hikmah ( Mursyid - Ahli Sufi - Ahli Ma'rifat) adalah hamba Allah yang sejati yang dipilih-Nya untuk menerima  “Risalah-Risalah dari pengajaran-Nya”.   Allah Ta'ala melimpahkan mereka ilmu dan hikmah dan dengan ilmu hikmah itulah mereka menjadi manusia yang lebih tinggi darjatnya dari manusia lain.  Mereka berhubung dengan Nabi melalui perasaan yang halus dan dengan aqal yang bijaksana (Kehalusan Ma’rifat atau disebut juga kasyaf Ilahiyyah).  Allah memuji mereka yang memiliki ilmu Hikmah dengan Firman-Nya:

ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ

[Tamat petikan kitab :  Sirrul-Asrar Fi-ma-Yahtaju Iyahil-Abrar]

 

 Fakta 4 :  Warisan Terpelihara Keaslian dan Kesuciannya

Mursyid menerima dan memindahkan  Ilmu Agama dan rahsia-rahsia Ketuhanan dengan jalan yang sangat murni — yang tetap terpelihara kesuciannya.  Iaitu kaedah pemindahan Ilmu yang terpelihara daripada noda dan gangguan nafsu.  Dan terpelihara daripada dimasuki iblis dan kuncu-kuncunya.   Dan terpelihara daripada dipintas oleh mana-mana Penguasa Dunia, baik kafir, fasiq atau munafiq.

 

Kaedah Kesinambungan yang bersifat Rabbani yang membawa petanda khusus Pemeliharaan Allah ke atas Warisan Suci Rasulullah. Keistimewaan Kesinambungan Generasi Mursyid Pewaris Nabi yang memegang AMANAH Rasulullah sebagai Pewaris Nabi adalah terletak pada kaedah penerimaan atau perpindahan Ilmu dalam bentuk yang sangat rapi dan terpelihara keasliannya, iaitu:

 

(1)    Penerimaan Ilmu zahir syari'at dengan wasilah Bai'at (janji setia) dan Talaqqi Musyafahah (berhadapan dan menerima langsung dari lisan Gurunya, yang sambung-menyambung ilmu sampai Rasulullah ).

 

(2)    Penerimaan Ilmu Haqiqat dan Ma'rifat melalui limpahan HATI (Mursyid)  ke dalam HATI (murid). 

 

(3)    Penerimaan ilmu  langsung dari Allah — Limpahan Anugerah Nur Allah terus  ke dalam dada Mursyid, yang dipanggil Kasyaf, Khitob,  firasat, ladunni.

 

Dengan disiplin perpindahan ilmu yang sangat ketat ini, Warisan Rasulullah terus-menerus terpelihara keaslian dan kesuciannya sampai Qiamat di tangan sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Sementara ilmu yang disebarkan oleh Ulama selain mereka sentiasa terdedah kepada unsur-unsur penyelewengan dan kesesatan.

 

Guru-guru biasa atau Ulama awam, Ulama fiqh, Alim kitab, yang hanya mahir di dalam Syari’at semata-mata, tidak sunyi dari melakukan penyelewengan mengikut nafsu dan bisikan-bisikan syaitan.  Bahkan berdasarkan bukti-bukti sejarah, inilah kebenarannya.  Orang alim fiqh yang tidak mempunyai Mursyid sebagai pemimpin inilah yang jatuh menjadi “Ulama as-su”, “Ulama dunia”, “Ulama politik keji dan kufur”,  “Ulama ilmu Kalam sesat”  yang membuat firqah-firqah sesat yang berjumlah 72 golongan sesat Aqidah dan golongan sesat di dalam keruhanian berjumlah 11 golongan (sebagaimana fatwa oleh Al-Imam Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu).

 

Pada zaman ini lahir lagi berbagai-bagai kelompok yang jelas bertentangan dengan Prinsip-prinsip Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang tulen. Mereka mencipta jalan-jalan sendiri lalu mendakwa merekalah pendokong Ahlus Sunnah yang benar.  Mereka tertipu dengan angan-angan sendiri.

 

Ringkasnya… 

Hanya Ilmu yang diwarisi oleh Mursyid yang Siddiq, turun-temurun daripada Rasulullah , benar-benar terpelihara keaslian dan kesuciannya.  Sedangkan ilmu yang datang dari sumber-sumber lain terdedah kepada pencemaran, penyelewengan dan kesesatan.  Inilah sebabnya setiap Muslim diperintah mencari Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dan berpegang teguh kepada beliau sampai akhir hayatnya.

 

 Fakta 5 :  Mursyid Adalah Pemimpin Ahlus Sunnah

Mursyid adalah Pemimpin bagi Ummat Rasulullah , Pemimpin Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang benar (tulen), satu-satunya golongan yang tidak pernah berpisah daripada Jalan Rasulullah sedangkan selain Ahlus Sunnah adalah kelompok-kelompok yang berpecah daripada Jama’ah induk Ummat Islam – berpisah dari Jamaah Warisan Rasulullah yang suci murni.

 

Setelah kewafatan Rasulullah , merekalah Pemimpin bagi Ummat Islam, merekalah Pemimpin Ahlus Sunnah Wal Jama’ah.  Mursyid pertama bagi Ummat adalah Sahabat Baginda yang terpilih, yang menjadi pemimpin dan Penunjuk Jalan kebenaran kepada bagi Ummat ini.  Kemudian diwarisi oleh Mursyid-mursyid Pewaris Nabi berikutnya dan berikutnya, turun-temurun sampai ke zaman ini dan akan berterusan sampai Qiamat. 

 

 

bersambung Fakta 6....... اِ نْ شَآ ءَ اللّه

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 1 : 

DEFINISI MURSYID



Definisi Menurut Bahasa


Perkataan Mursyid berasal dari bahasa Arab   مُرْشِد - رَشَدَ - يَرْشُدُ (rashada – yarshudu - Mursyid) yang membawa pengertian “memimpin”, “membimbing”, “menunjukki jalan benar, menunjukki jalan lurus, memimpin kepada jalan yang di-Redhai Allah”.


Definisi Menurut Istilah


Menurut Istilah Syara',  Mursyid  adalah sebenar-benar Warisatul Anbiya (Pewaris Nabi ), yang di-Pilih Khusus oleh Allah Ta’ala bagi mewarisi keseluruhan Agama dari Junjungan Besar Nabi Muhammad ,  meliputi  zahir dan batin Baginda menerusi satu rantaian perpindahan Ilmu yang dipanggil Silsilah Rasulullah   dan di-Teguhkan kedudukan mereka dengan berbagai Kurnia Allah Ta’ala yang istimewa sehingga mereka mampu menunaikan Amanah Allah atas muka bumi sebagai Khalifah Allah dan Pewaris Junjungan Besar Rasulullah .  Dalil awal bagi keterangan ini adalah Kalam Allah Yang Maha Tinggi.

 

 Firman Allah:

ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ

“Kemudian Kami jadikan Al-Kitab (Al-Quran) itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami Pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah.  Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata)                                   

[Faathir (35) : Ayat 32]

 

Penjelasan  Tambahan

Berikut adalah beberapa penjelasan tambahan kepada Definisi Mursyid yang Siddiq.

 

Penjelasan 1 :  Tafsiran Al-Imam Sulton Auliya

Menurut tafsiran Ulama Ahlus Sunnah bagi Firman Allah [Faathir (35) : Ayat 32] yang dimaksudkan dengan “Kitab” adalah Al-Qur’an, dan maksud ayat “yang Kami Pilih dari kalangan hamba-hamba Kami” adalah ditujukan kepada  Mursyid  yang benar-benar kenal Allah dan telah mencapai Ma’rifat yang tinggi, iaitu mencapai martabat Tauhid yang hakiki.  Mereka adalah Pilihan Allah yang khusus bagi memimpin Ummat Islam setelah kewafatan Rasulullah .  

Berkata Sulton Auliya Imam Jilani Radhiallahu anhu:

“Orang-orang yang berilmu dan hikmah ( Mursyid - Ahli Sufi - Ahli Ma'rifat) adalah hamba Allah yang sejati yang dipilih-Nya untuk menerima  “Risalah-Risalah dari pengajaran-Nya”.   Allah Ta'ala melimpahkan mereka ilmu dan hikmah dan dengan ilmu hikmah itulah mereka menjadi manusia yang lebih tinggi darjatnya dari manusia lain.  Mereka berhubung dengan Nabi melalui perasaan yang halus dan dengan aqal yang bijaksana (Kehalusan Ma’rifat atau disebut juga kasyaf Ilahiyyah).  Allah memuji mereka yang memiliki ilmu Hikmah dengan Firman-Nya: ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ

[Tamat petikan kitab :  Sirrul-Asrar Fi-ma-Yahtaju Iyahil-Abrar]

 

Penjelasan 2 :  Mursyid Adalah Pilihan Allah

Keseluruhan Firman Allah ini [Surah Faathir (35) : Ayat 32] menegaskan akan lahirnya Pewaris-pewaris Rasulullah yang Benar, yang kemudiannya dikenali sebagai “Mursyid ”atau “Ahli Sufi” atau “Ahli Ma’rifat” dan mereka adalah Pilihan Allah Ta’ala dan BUKAN pilihan manusia, BUKAN pilihan parti-parti politik, BUKAN pilihan pemimpin negara, BUKAN pilihan Jabatan Agama, bahkan BUKAN juga pilihan Gurunya yang telah memimpinnya pada Jalan Ma’rifat, tetapi ia semata-mata Pilihan Allah. Guru beliau hanya menzahirkan kepada umum akan Pilihan Allah tersebut. Bukti bagi kenyataan ini adalah penegasan Allah Ta’ala:

“diwarisi oleh orang-orang yang Kami Pilih dari kalangan hamba-hamba Kami.”


Penjelasan 3 :  Pilihan Allah Diketahui Oleh Gurunya Yang Arif

Jika ditanya bagaimanakah Pilihan Allah ini diketahui oleh Gurunya?

Jawapannya : Pilihan Allah ini diketahui oleh Gurunya yang benar-benar Arif, melalui Petunjuk Allah ke dalam hatinya, iaitu disebut sebagai Kasyaf, Khitob Sirri, Firasat atau Ilham Rabbaniyyah.  Gurunya tidak akan tertipu dengan bisikan-bisikan nafsu atau syaitan kerana beliau sudah mengenal Allah dengan keyakinan yang sempurna dan sangat mahir mengenal segala bisikan-bisikan jahat yang datang dari jinn atau syaitan.

 

Penjelasan 4 :  Sebab-sebab Masyaikh Ahlus Sunnah Menggunakan Istilah “Mursyid”

Ulama Ahlus Sunnah memilih istilah “Mursyid” bagi menunjukkan Ulama Pewaris Nabi yang sebenar kerana berlaku berbagai penyelewengan dan pendustaan di kalangan Ummat berhubung dengan Istilah “Ulama”. Istilah “Ulama” atau “Khalifah” atau istilah-istilah lain yang sudah diketahui umum telah disalah guna oleh Ulama As-su (ulama jahat), Ulama dunia, Ulama nafsu dan Ulama sesat, sama seperti yang dilakukan oleh pendeta-pendeta Yahudi.  Mereka mentafsirkan Al-Qur’an mengikut selera hawa nafsu mereka.  Mereka menjual Ayat-ayat Allah dengan “harga yang murah”.  Mereka mengubah-ubah  Ayat Qur’an demi mencapai dunia yang hina.

Menyedari hal ini, Ulama Pewaris Nabi yang Siddiq, yang benar-benar berdiri pada Manhaj Al-Qur’an dan Sunnah Rasul membentuk pola hidup, prinsip dan sistem tersendiri berdasarkan Al-Qur’an, Sunnah dan Ijma Qias Ulama.  Mereka telah memperkenalkan istilah-istilah tersendiri agar terbeza dengan golongan-golongan yang telah menyimpang dari Jalan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah.   Mereka memperkenalkan istilah “Mursyid”, “Ahli Sufi”, “Ahli Ma’rifat”, “Ulama Billah”  untuk merujuk kepada Ulama Pewaris Nabi yang benar-benar menepati pendirian Ahlus Sunnah.

Kenyataan hal tersebut dapat diperhatikan daripada penegasan Imam-imam Besar Ahlus Sunnah di dalam tulisan-tulisan mereka, di antaranya:  Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani, Imam Ghazali, Imam Asy-Syazili, Imam Rifa’ie, Imam Fakhruddin Ar-Razi, Imam Junaid Al-Baghdadi, Imam Asy-Sya’rani, Imam Qusyairi, Imam Ibnu Abidin, Imam Ibn Hajar Al-Haythami Ridhwanullahi Alayhi Ajma’in menggunakan istilah “Mursyid” atau “Ahli Sufi” atau “Ahli Ma’rifat” untuk merujuk kepada Ulama Pewaris Nabi yang Siddiq (Benar).

Berikut beberapa contoh penegasan Ulama Besar Ahlus Sunnah yang menggunakan istilah Mursyid, Sufi, Ahli Ma’rifat untuk merujuk kepada Ulama Pewaris Nabi yang sebenar:

 

Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Hati adalah ladang akhirat.  Tanamlah benih Keimanan dalam hati kamu. Sirami dan bajai ia dengan amal-amal kebajikan yang berterusan.  Jika hati kamu baik, suci bersih dan teguh, ianya akan subur dan menghasilkan tuaian yang sangat banyak.  Sebaliknya jika hati kamu keras dan degil, ruh kamu  menjadi tandus, kering-kontang dan tiada tanaman mampu tumbuh atasnya.  Pelajarilah Ilmu pertanian dari "peladang" yang mahir, iaitulah Mursyid.  Jangan kamu fikir pendapat kamu itu sudah cukup (untuk penanaman sedang kamu jahil tentang ilmu pertanian). 

 

Rasulullah telah berwasiat, "Mohonlah pertolongan pada setiap pekerjaan dari pakarnya.  (Orang yang pakar di dalam Agama adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq – pent.)"

[Fathur-Rabbaniy Wa Faidur-Rahmaniy]


Berkata Imam Al-Ghazali Radhiallahu anhu:

“Di antara hal yang wajib bagi seorang salik yang menempuh jalan kebenaran adalah dia wajib mempunyai seorang Mursyid - pendidik spiritual yang dapat memberinya petunjuk dalam perjalanannya serta melenyapkan akhlak-akhlak yang tercela dan menggantinya dengan akhlak-akhlak yang terpuji.”

[Ihya Ulumuddin]

 

Berkata Imam Fakhruddin Ar-Razi Radhiallahu anhu:

“Seorang murid tidak memiliki jalan untuk sampai ke maqam-maqam Hidayah (Iman, Taqwa, Tauhid  yang suci murni)  dan Mukashafah, kecuali dia mengikuti Mursyidnya yang menunjukkannya ke jalan yang lurus serta menghindarkannya dari titik-titik kesalahan dan jalan yang sesat.”

[Tafsir Mafatih Al-Ghaib]

 

Penjelasan 5 :  Keberadaan Mursyid Adalah Kemestian

Kewujudan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah suatu kemestian pada setiap zaman.  Mereka tetap akan wujud dengan Kemurahan Allah sampai Qiamat.  Ertinya Allah Ta’ala pasti menzahirkan Mursyid Pewaris Nabi pada setiap zaman dan wilayah bagi memelihara kesucian Agama-Nya dan menunjukki manusia “Jalan Lurus”, “Jalan Kebenaran”, “Jalan Rasulullah yang benar” serta menjauhkan mereka daripada kesesatan.

 

Tanpa pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (Benar) manusia tidak mampu mengenal Allah dengan pengenalan yang hakiki, bahkan sebaliknya mereka akan jatuh kepada kefasikan, kesesatan dan kekufuran tanpa mereka sedari. Mereka akan mengikut jalan-jalan kebatilan yang diwujudkan oleh iblis dan manusia-manusia jahat.  Mereka akan mengikut Ulama As-su, Ulama nafsu, Ulama politik keji dunia seperti yang berlaku pada zaman ini.  Wal Iyazubillah.

 

..... bersambung ke Fasal 2.......اِ نْ شَآ ءَ اللّه



MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 2 : FAKTA-FAKTA PENTING BERKENAAN ...