SIRI 81
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 9: Syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)
Berikut adalah syarat-syarat yang mesti dimiliki seseorang yang bergelar Mursyid Pewaris Nabi, sebagaimana isyarat sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah terdahulu. Semuanya 10 syarat.
Syarat 1: Silsilah beliau sampai kepada Rasulullah ﷺ
Beliau termasuk di dalam 'rantaian' pewaris Nabi iaitu yang dipanggil Silsilah Rasulullah ﷺ . Maksudnya beliau telah menerima Ijazah kebesaran Shaikh daripada Shaikhnya yang telah menerima daripada Shaikhnya dan seterusnya ke atas dan ke atas sehingga bertemu Rahmat-Al-Alameen, Sayyidina Wa Maulana Muhammad ﷺ.
Ini merupakan satu dari tanda-tanda benarnya seorang Mursyid Pewaris Nabi.
Sebagaimana kami menyebutnya berulangkali, “ Cahaya Silsilah Rasulullah ﷺ “ bukan rekaan atau buat-buatan manusia tetapi ia adalah pancaran "Nur Muhammad" yang memancar ke dalam hati para Pewaris Nabi. Dengan pancaran Nur inilah mereka memimpin manusia lain kepada Allah Ta'ala.
Seseorang Guru yang tidak mempunyai Cahaya Nur Muhammad atau Cahaya Silsilah Keruhanian ini tidak akan mampu memimpin manusia kepada Hadrat Ketuhanan kerana mereka sendiri tidak pernah dipimpin dan tidak pernah sampai ke Hadrat Ketuhanan, bagaimana mungkin mereka boleh memimpin orang lain..! Seluruh Pewaris Nabi yang Siddiq, yang terkenal dan diakui seluruh Ahlus Sunnah Wal Jama’ah adalah mereka itu dari Silsilah keruhanian tertentu yang akhirnya sampai kepada Rasulullah ﷺ. Dengan demikian Silsilah yang benar ini akan tetap terpelihara sehingga akhir zaman dan orang-orang yang menentangnya akan binasa.
Wal Iyazubillah!
Sementara itu seseorang Guru yang mengaku Mursyid tetapi tidak dapat membuktikan kelayakannya sebagai Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dengan menunjukkan silsilahnya sampai kepada Rasulullah ﷺ, maka pengakuan ini tidak dapat diterima. Kemungkinan orang ini adalah pendusta yang berpura-pura menjadi Guru Mursyid.
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Muhyiddin Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Seseorang yang menjadi Shaikh kerohanian mesti memiliki lima syarat, jika tidak dia adalah penipu yang hanya memimpin kepada kebodohan. Dia mesti sangat mahir di dalam Syari'at, sementara sangat dalam pengetahuannya di dalam haqiqat. Dia mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu-tetamu yang datang kepadanya dengan penuh kasih sayang. Dia juga mestilah sangat 'alim dalam halal dan haram. Dia memimpin si Salik pada jalan Ma'rifat, sebagaimana dia sendiri telah dipimpin oleh Shaikhnya, sempurna di dalam kemurahan hatinya."
[Qala'id Al-Jawahir]
Berkata Shaikh Muhammad An-Nazili Radhiallahu anhu:
"Orang yang silsilahnya tidak bersambung ke Hadrat Nabi ﷺ, itu terputus dari pancaran ruhaniah dan bukanlah ia Pewaris Rasulullah ﷺ (bukan Mursyid) serta tidak boleh membai'at dan tidak boleh memberi Ijazah."
[Khazinah Al-Asrar]
Berkata Shaikh Ahmad al-Kamashkhanawi Radhiallahu anhu:
"Semua Ulama salaf sepakat bahawa orang yang silsilahnya tidak bersambung kepada Guru-guru Toriqah sehingga Rasulullah ﷺ dan tidak mendapat izin untuk memimpin Ummat di majlis Toriqah, tidak boleh menjadi Mursyid, tidak boleh membai'at dan tidak boleh mengajarkan zikir dan amalan-amalan lain di dalam Toriqah."
[Jami' Usul Fil Aulia]
Demikianlah jelasnya setiap Guru Mursyid wajib mempunyai silsilahnya sampai Rasulullah ﷺ dan beliau sendiri pernah dipimpin oleh Mursyidnya yang Siddiq sehingga wusul (sampai) kepada Allah. Maka sesiapa mengaku Shaikh Mursyid atau Pewaris Nabi tidak dapat buktikan Silsilahnya sampai Rasulullah ﷺ dan dia sendiri tak pernah menempuh sendiri jalan kepada Allah, maka dia bukan Warisatul Anbiya.
SIRI 82
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 9: Syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)
sambongan....
Syarat ke-2 : Alim Di Dalam Syari’at
Alim di dalam Syari'at - Ilmu Fiqh, Tauhid dan Tasawwuf serta mahir di dalam Ilmu Al-Qur'an dan Hadith Nabi ﷺ. Seorang Mursyid yang Benar adalah seorang yang sangat mahir di dalam hukum-hakam agama dan beliau mengetahui halal haram dan dapat membezakan di antara Ilmu Fiqh, Tauhid dan Tasawwuf. Dan seluruh pimpinannya terikat kepada Al Qur'an, Sunnah dan Ijma Qias Ulama Ahlus Sunnah.
Sila rujuk dalil ini dari kata-kata Al Ghawth Imam Jilani pada Syarat 1 di atas.
Syarat ke-3 : Mahir Selok-belok Ma’rifat
Seorang Mursyid Pewaris Nabi yang sebenar mahir (sangat dalam ilmunya) di dalam Ilmu Ma'rifat serta mampu mendidik jiwa manusia kepada ketuhanan. Beliau mestilah seseorang yang telah terdidik dengan Ilmu Keruhanian di bawah bimbingan Gurunya yang juga Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sehingga beliau mendapat curahan berbagai Hikmah Ilahiyyah serta kebijaksanaan.
Beliau telah sampai kepada Maqam _Musyahadah_ (penyaksian kepada ketuhanan) serta sentiasa di dalam bimbingan Rasulullah ﷺ. (Hal ini disahkan oleh Guru yang memimpinnya, BUKAN andaian sendiri atau angan-angan sendiri.)
Seseorang Mursyid mesti seorang yang sangat mahir di dalam hal ehwal keruhanian, di-Kurniakan _Khitob, Kasyaf_ dan Ilham-ilham suci oleh Allah Ta'ala untuk memimpin keruhanian murid-muridnya serta menangkis semua macam gangguan jinn dan syaitan yang cuba menggodanya sehingga Salikin (murid) selamat sampai kepada Maqam-maqam Tauhid yang suci murni.
Alim kitab, orang kelulusan Universiti yang memiliki berbagai ijazah PhD, Ijazah, Profesor, Ahli Usuluddin, Mufti, Pegawai-pegawai Agama atau cendikiawan Agama yang lain-lain TIDAK akan mampu melakukan semua ini kerana mereka tiada pengetahuan tentang rahsia-rahsia Ma'rifat ini. Sedangkan yang benar adalah; Sekalian orang alim ini (alim fiqh semata) mereka sendiri memerlukan asuhan seorang Mursyid, untuk keluar dari kesyirikan (syirik khafi) dan memperoleh Maqam-maqam Tauhid yang suci.
Maka perhatikanlah dari dalam hati yang ikhlas, tujuan Mursyid Pewaris Nabi yang sebenar adalah mendidik hati dan ruh kamu berdasarkan Syari'at dan Toriqat sehingga kamu benar-benar memperoleh hati yang suci murni dari Bahrul Ahadiyyah (Lautan Keesaan) Allah Ta'ala. Tauhid yang suci murni akan terpancar dari hati kamu tanpa sebarang syirik (syirik khafi) atau mazmumah apa pun. Dan jadilah kamu memperoleh Ubudiyyah (ibadah yang penuh ketundukan kepada Allah) yang benar-benar ikhlas.
Sifat ke-3 ini antara sifat terpenting, iaitu _Musyahadah Zat_ (Penyaksian Wajah Tuhan dari pandangan ruh) dan Pimpinan Rasulullah ﷺ kerana tanpa sifat-sifat istimewa ini, tiada bezanya dengan ustaz-ustaz biasa atau orang alim fiqh atau alim kitab.
Berkata Sulton Auliya Imam Jilani Radhiallahu anhu:
"Seseorang tidak dapat dikatakan Ahli Sufi (Mursyid) sehingga dia sampai ke maqam di mana dia di-Anugerahi pandangan kepada Rasulullah ﷺ di dalam mimpinya dan diberi arahan dan tegahan. Jika keadaan ini terjadi maka hatinya akan dinaikkan ke maqam lebih tinggi serta disucikan batinnya. Beliau seterusnya akan memperoleh kehampiran dengan Allah Ta'ala sementara tangannya di dalam pimpinan tangan Rasulullah ﷺ.”
[Fath-Ar-Rabbaniy Wa Faidh Ar-Rahmaniy]
SIRI 83
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 9: Syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)
sambongan...
Syarat ke-4 : Berpegang Teguh dengan Syari’at
Sebahagian daripada Syarat yang wajib ada pada seorang Mursyid Pewaris Nabi adalah : Tetap berpegang teguh dengan Syari’at. Sifat ini merupakan satu lagi penjagaan yang amat penting.
Seorang Mursyid wajib mematuhi hukum-hukum yang termaktub di dalam Al-Qur'an, Sunnah Nabi ﷺ dan Ijma’ Qias Ulama. Beliau sama sekali tidak boleh melanggar hukum Syari'at sewenang-wenangnya sama ada pelanggaran tersebut dilakukan oleh dirinya sendiri secara terang-terangan atau mengadakan atau menganjurkan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Islam. Atau terlibat di dalam menyokong Majlis Mungkar. Semua ini TIDAK layak bagi Mursyid.
Berkata Shaikh Hujweri Radhiallahu anhu:
"Seorang Mursyid (Shaikh) wajib mematuhi hukum Syariat dengan tegas tanpa berbelah bahagi. Tugas beliau adalah untuk menerangi jalan mereka yang telah tersesat kepada kebenaran dan pimpinan yang haq. Seorang Mursyid (Shaikh) yang tidak menghormati hukum Syari'at serta tidak mematuhinya adalah diri sendirinya dalam kegelapan dan mustahil dapat menerangi jalan orang yang dipimpinnya. Orang seperti ini bukanlah Mursyid (Shaikh) tetapi pengikut syaitan dan musuh Islam.”
[Kashful Mahjoob]
Dengan demikian wajib atas seorang Murid menjauhkan diri daripada orang yang mengaku Mursyid tetapi melakukan pelanggaran Syari’at terang-terangan. Bahkan HARAM mengikutinya lagi. Umpamanya ada orang menyamar menjadi Mursyid, mengaku boleh melakukan zina, minum arak atau dosa-dosa lain dengan alasan kononnya dia telah sampai maqam tinggi, atau seseorang yang mengaku Mursyid berkata : Dia tidak perlu solat, puasa, zakat dan lain-lain kewajipan kerana dia telah sampai Maqam Tuhan, maka tidak syak lagi dia adalah orang yang Zindiq. Wal Iyazubillah.
Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu menyenaraikan 11 Golongan yang mendakwa diri mereka sebagai Ahli Sufi pada zaman beliau sedangkan mereka adalah Sufi PALSU yang tertipu dengan angan-angan dan bisikan syaitan. Mereka hanya berpegang kepada hakikat dan melanggar Syari’at sewenang-wenangnya.
Pada zaman ini terdapat lebih 10 kelompok mendakwa diri mereka sebagai Ahli Sufi, Mursyid, Ahli Ma’rifat dan sebagainya. Tetapi mereka terang-terangan melanggar Syari’at Nabi ﷺ. Mereka campur adukkan falsafah orang kafir, haqiqat palsu, ajaran bathiniah, sihir dan lain-lain lalu mendakwa mereka sebagai Ahli Sufi. Mereka menunjuk-nunjuk berbagai keajaiban lalu mendakwanya sebagai karomah. Mereka terpedaya dengan bisikan syaitan. Wal Iyazubillah.
Perhatian:
Maksud pelanggaran hukum syariat, adalah hukum-hukum yang telah disepakati oleh Ulama-ulama Mu'tabar sebagai haram, dan bukan masalah khilafiyah. Jika suatu hukum masih di dalam perselisihan Ulama, iaitu wujud beberapa pendapat Ulama, lalu seorang Mursyid pegang pada satu pendapat, maka ini TIDAK boleh dihukum melanggar hukum syari'at. Jika seorang Shaikh melakukan perkara ma'siat terang-terangan atau menggalakkan muridnya melakukan ma'siat atau merelakan mereka melakukan perkara-perkara mungkar, atau dia menyokong perkara-perkara mungkar yang telah disepakati oleh Ulama Ahlus Sunnah sebagai Haram, maka orang seperti ini tidak layak diikuti sebagai Shaikh. Bahkan para Imam kita menggelarkan mereka sebagai penipu dan pengikut iblis dan terkena Istidraj! Wal Iyazubillah!
SIRI 84
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 9: Syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)
sambongan...
Syarat ke-5 : Da'wah - Amr Bil-Ma'ruf Nahyi Anil Mungkar
Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah penyambung Risalah Rasulullah ﷺ, maka sudah semestinya beliau menjunjung tinggi amanah ini. Seorang Mursyid sangat terlatih untuk menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran melalui nasihat-nasihat, teguran-teguran dan amaran-amaran kepada murid-muridnya, masyarakat dan juga terhadap penguasa-penguasa negeri.
Sepanjang sejarah Islam, Mursyid Pewaris Nabi ini telah terkenal dengan Da'wah mereka kepada Ummat Islam. Mereka sering memberi amaran-amaran kepada semua manusia, termasuk pemerintah-pemerintah yang melakukan pelbagai kezaliman.
Firman Allah:
لُعِنَ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ مِنۢ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُ ۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَ ذَٲلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّڪَانُواْ يَعۡتَدُونَ (٧٨)ڪَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنڪَرٍ۬ فَعَلُوهُ لَبِئۡسَ مَا ڪَانُواْ يَفۡعَلُونَ (٧٩)
“ Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Daud dan ‘Isa putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batasan. Mereka satu sama lain tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat itu. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka lakukan itu.”
[Al-Ma’idah (5) : ayat 78-79]
Firman Allah:
وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةً۬ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةً۬ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
“Dan peliharalah diri kamu dari fitnah yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu secara khusus, (akan tetapi menimpa secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Amat Keras seksaan-Nya.”
[ Al-Anfaal (8) : Ayat 25]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya, kamu wajib menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran, atau kalau tidak pasti Allah akan menurunkan seksa kepadamu, kemudian kamu berdoa, maka tidak diterima doa dari kamu”.
[Imam Tirmizi]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya jika manusia melihat seseorang melakukan kezaliman, kemudian mereka tidak mencegah orang itu, maka Allah akan meratakan azab kepada mereka semua.
[Imam Dawud, Imam At-Tirmizi]
Contoh keperibadian Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
Di antara keunggulan peribadi mulia, Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu Anhu adalah : Sentiasa berpegang teguh dengan Syari'at Nabi ﷺ, menyuruh kepada Ma'ruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran. Beliau sedikit pun tidak gentar kepada siapa pun termasuk pemerintah.
Apabila Khalifah yang memerintah melakukan penyelewengan atau kezaliman beliau segera berikan amaran dan peringatan yang wajar.
Walaupun Shaikh Abdul Qodir Jilani adalah seorang Ahli Sufi — Mursyid Pewaris Nabi yang unggul, yang telah mencapai Ma'rifat yang amat tinggi serta mengekalkan sifat lemah lembut kepada seluruh Ummat, namun apabila Hukum Allah Ta'ala tercabar atau Syari'at Allah dipermainkan, beliau TIDAK akan tolak ansur. Beliau akan segera "memotong" tangan-tangan yang cuba merobek hukum-hakam Syari'at.
Suatu ketika Khalifah yang memerintah di Baghdad melantik Menteri yang tidak layak menduduki posisi sebagai Hakim. Maka segera Shaikh berkhutbah dari mimbar,
"Engkau telah melantik pegawai yang paling zalim sebagai "hakim" atas orang beriman. Apakah jawapan engkau nanti apabila engkau di hadapkan kepada "Hakim Maha Agung" yang Memiliki Semesta alam?"
Mendengar amaran tersebut, Khalifah menangis ketakutan dan terus memecat Hakim yang telah dilantiknya.
[Qala'id Al Jawahir]
SIRI 85
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 9: Syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)
Syarat ke-6 : Bersifat Siddiq (Benar) dalam Perkataan dan Perbuatannya
Seorang Shaikh yang benar adalah sentiasa BENAR di dalam perkataan dan perbuatannya. Dia bukanlah seorang pendusta atau penipu kerana penipuan dan pendustaan adalah sifat orang munafiq.
Mursyid yang Siddiq adalah Pewaris Amanah Rasulullah ﷺ yang sentiasa di dalam kebenaran dan mempertahankan kebenaran. Mereka tidak sesekali bersekutu dengan Pemerintah-pemerintah zalim dan rakus dengan duniawi. Ketika Pemerintahan orang Islam beralih dari Pemerintahan adil kepada pemerintahan fasiq dan zalim, sekalian Mursyid, Ulama Pewaris Nabi yang Siddiq jauhkan diri daripada pemerintahan. Maka tinggallah Ulama as-su (ulama jahat) dan Ulama sesat menyokong pemimpin-pemimpin zalim dan memberi fatwa sesat dan menyesatkan.
Mereka sanggup menjual agama untuk habuan dunia dan nafsu. Mereka sanggup menipu Ummat demi mendapat kedudukan tinggi di sisi Pemerintah atau Pemimpin. Mereka adalah “Ulama-ulama” politik yang menjual Ayat-ayat Allah dengan harga yang murah. Mereka menerima La'nat Allah.
Satu contoh alim ulama yang menipu Ummat dan jual Agama sehingga menjadi orang yang di La'nat Allah adalah Bal'am Baurah, yang kisahnya dirakamkan di dalam Al-Qur'an.
Inilah kisah Bal'am Baurah, seorang alim (pandai di dalam ilmu syariat) dan abid (orang yang rajin ibadah) di kalangan Bani Israel yang maqbul doanya. Namun dia salah gunakan ilmunya. Bal'am Ba'urah bersekutu dengan Penguasa negerinya untuk menentang Nabi Musa Alaihis Salam. Dia rela menggadaikan Agamanya demi dunia yang hina. Maka Allah Ta'ala melaknat orang alim seperti ini dan menggelarnya dengan panggilan "anjing yang menjelir lidahnya".
Firman Allah:
وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَـٰهُ بِہَا وَلَـٰكِنَّهُ ۥۤ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ فَمَثَلُهُ ۥ كَمَثَلِ ٱلۡڪَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُڪۡهُ يَلۡهَث ذَّٲلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ (١٧٦) سَآءَ مَثَلاً ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا وَأَنفُسَہُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ
"Dan kalau Kami Kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya; ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya; ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan Ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan Ayat-ayat Kami dan mereka pula berlaku zalim kepada diri mereka sendiri."
[Al-A'raf (7) : Ayat 176 -177]
SIRI 86
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 9: Syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)
Syarat ke-7 : Tidak mencintai dunia:
Seorang Mursyid Pewaris Nabi mencontohi keperibadian Nabi ﷺ, kurang dunianya, iaitu tidak mencintai dunia atau mengejar dunia. Hidup beliau penuh di dalam kesederhanaan. Beliau bukan seorang yang mengejar pangkat, kemewahan atau kedudukan. Sebaliknya hidup beliau menjauhkan segala urusan yang menghambatnya kepada keduniaan.
Pandangan dan perjuangan beliau adalah seperti perjuangan Nabi ﷺ, bersifat sederhana dan memadai dengan pemberian Allah dan tiada berhenti menyeru manusia kepada Kalimah Tauhid! Demikianlah mereka mencontohi kehidupan Rasulullah ﷺ dalam kepimpinan mereka dan seluruh kehidupan dan di dalam pendidikan mereka.
Seseorang yang mengaku Mursyid tetapi mengumpul-ngumpul kekayaan atau hidup mewah di atas harta yang ditagih dari murid-muridnya, tidak boleh dikatakan Mursyid yang haq, sebaliknya dia adalah hamba dunia dan nafsu!
Berkata Imam Asy-Sya'rani Radhiallahu anhu berkata:
“Di antara tanda benarnya seorang Mursyid adalah; Tidak menyalah-gunakan amanah para muridnya, tidak menggunakan harta benda mereka dalam bentuk dan kesempatan apa pun dan juga tidak menginginkan apa yang ada pada mereka.”
[Lawaqihul Anwaar al-Qudsiyah].
Perhatian dan Penjagaan:
Jika engkau bertanya bagaimana halnya beberapa orang Wali Allah hidup mewah, mempunyai rumah yang besar mewah?
Maka ini jawapannya:
(1) Jika seorang Mursyid itu memperoleh kemudahan-kemudahan berupa kebendaaan atau lain-lain dari sumbangan ikhlas muridnya atau dari orang-orang lain, maka ini tidak menjadi kesalahan. Walau bagaimanapun seseorang Mursyid yang Siddiq TIDAK sama sekali terpengaruh dengan kekayaan yang Allah Melimpahkan padanya. Beliau akan tetap dan terus ubudiyyah dan khidmat kepada Ummat, tanpa henti. Bagi mereka ada atau tiadanya dunia sama sahaja. Jika Allah Ta’ala Kurniakan kepada mereka harta yang banyak, mereka melihat Allah lalu bersyukur dan segera sedekahkannya kepada faqir miskin. Jika tiada harta mereka tetap melihat Allah dan Redha dengan Ketentuan-Nya.
(2) Setengah Auliya Allah yang menduduki Maqam yang sangat tinggi, mungkin kelihatan pada zahirnya hidup mewah dengan kediaman yang besar dan pakaian yang hebat-hebat. Namun semua bentuk kemewahan yang terlihat tidak sedikit pun menyebabkan kelalaian hati mereka, sebaliknya mereka sentiasa di Hadratul Quddus menyaksikan Wajah Zat Yang Maha Agung.
(3) Sesetengah Auliya Allah mempunyai rumah kediaman yang besar. Rumah Kediaman besar adalah digunakan untuk Majlis-majlis Ilmu atau Majlis Zikir mereka, bukan untuk kepentingan mereka. Wang ringgit mereka sekaliannya disedekahkan kepada faqir miskin. Hati mereka tidak sedikit pun terikat dengan harta duniawi. Oleh yang demikian, murid pada Jalan Ma’rifat hendaklah sentiasa sangka baik kepada Masyaikh kita ketika dihadapkan hal-hal demikian.
Contohnya Al-Imam Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu mempunyai rumah kediaman besar namun ia digunakan untuk Majlis-majlis beliau yang dipenuhi ribuan orang. Setiap kali waktu makan tiba, beliau tidak makan sendirian tetapi beliau menyuruh budak-budak beliau untuk menjemput sesiapa yang lalu lalang datang makan bersama Shaikh.
SIRI 87
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 9: Syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)
Syarat ke-8: Lemah Lembut Kasih Sayang kepada orang beriman
Di antara syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar) adalah, lemah lembut dan penyayang kepada Orang Beriman. Beliau memiliki sifat kasih sayang dan lemah lembut kepada manusia di dalam pergaulan serta mencontohi segala akhlaq Rasulullah ﷺ. Beliau mencontohi Baginda di dalam mendidik Ummat kepada ketuhanan. Beliau sangat penyabar dan lemah lembut di dalam pergaulan sesama manusia tanpa mengira pangkat atau darjat manusia. Walau bagaimanapun beliau sangat tegas di dalam mendirikan hukum agama. Beliau tidak akan tolak ansur ketika Agama Allah di-Permainkan atau hukum Allah dipersendakan.
Firman Allah:
مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ
"Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka...."
[Al-Fath (48) : Ayat 29]
Segelintir orang yang baru berjinak-jinak dengan dunia tasawwuf menganggap seorang Mursyid itu mestilah seorang yang pendiam, lemah, diam, jalan tunduk walaupun orang memijak Agama. Bagi mereka Ahli Sufi itu tak patut marah-marah — sebab menurut pendapat mereka konon itu berlawanan dengan Tasawwuf. Pendapat dan pendirian ini adalah pegangan orang yang dangkal ilmu dan aqalnya.
Sedarilah : Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah acuan dari Qur'an dan Sunnah. Mereka bertindak sesuai yang dicontohkan oleh Rasulullah ﷺ. Berdasarkan Sirah, Rasulullah ﷺ bertindak mengikut aqal seseorang dan keadaan sekitar— ada kalanya Baginda lemah lembut, memujuk dan pada ketika lain Baginda merah matanya, marah kepada perkara-perkara mungkar dan sesat.
Demikianlah akhlaq Rasulullah ﷺ dicontohi oleh sekalian Mursyid Perwaris Nabi yang Siddiq. Beliau mungkin memarahi seseorang yang melanggar hukum Agama, ataupun seseorang yang sangat keras hati, atau seseorang yang suka menyombong diri — semua ini bertujuan mendidik, bukan kemarahan kerana nafsu. Namun beliau bukanlah orang yang selalu di dalam keadaan demikian. Inilah yang disebut oleh Imam Jailani Radhiallahu anhu dengan kata beliau:
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Dia (Mursyid) mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu-tetamu yang datang kepadanya dengan penuh kasih sayang."
[Qala’id Al-Jawahir]
Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu, benar-benar mencontohi keperibadian dan Akhlaq Rasulullah ﷺ. Beliau terkenal dengan sifat lemah lembut kepada tetamu dan orang-orang beriman. Beliau sangat pemurah kepada yang memerlukan. Beliau sering makan bersama faqir miskin dan muliakan hamba-hamba Allah yang dipandang hina. Namun ketika hukum Allah di-Permainkan, beliau tidak akan tolak ansur tanpa mengira pangkat atau kedudukannya termasuk Khalifah yang memerintah.
SIRI 88
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 9: Syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)
Syarat ke-9: Wajah dan Perkataannya Berpengaruh kepada Sesiapa Melihatnya
Wajah seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq memancarkan Cahaya Keimanan sehingga orang yang melihatnya terus Ingat Allah. Perkataannya dan gerak-gerinya juga memberi kesan yang mendalam ke dalam hati orang yang melihatnya. Sesungguhnya ciri ini satu daripada tanda terbesar bagi menunjukkan kebenaran seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Benar.
Syarat ini adalah antara bukti paling kuat benarnya dia Mursyid yang Siddiq (benar) kerana seorang Mursyid yang benar membawa Nur Muhammad di dalam dadanya, lalu menyinarinya kepada murid-muridnya dan orang-orang di sekelilingnya. Tetapi cuma hamba-hamba Allah yang suci hati mampu merasainya atau melihat Cahaya ini.
Syarat ini di antara Syarat terkuat seseorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq kerana Cahaya Muhammad tidak mampu direka oleh sesiapa pun. Walaupun seseorang pendusta cuba mereka-reka syarat lain, "Cahaya Muhammad" ini tidak sesekali dapat direka.
Barang siapa mencari dengan penuh keimanan dan keikhlasan, pasti menemui ciri ini pada seseorang Mursyid Pewaris Nabi yang Benar. Orang yang memandang beliau akan membawanya kepada Ingat akan Allah Ta'ala. Bahkan hanya dengan mengingat-ingat wajahnya membawa kepada seribu Rahmat Allah di dalam kehidupan dan menolakkan pelbagai gangguan dan bahaya!
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang apabila dilihatnya, dapat mengingatkan kamu kepada Allah, percakapannya menambahkan ilmu kamu, perbuatannya (amalannya) mendekatkan kamu kepada akhirat.”
[Imam Al-Haakim]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya ada sebahagian manusia menjadi kunci kebaikan dan penutup kejelekan, dan ada pula sebahagian manusia yang menjadi kunci kejelekan dan penutup kebaikan. Maka beruntunglah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan berada di tangannya, dan celakalah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kejelekan berada di tangannya.”
[Imam Ibnu Majah]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sebaik-baik kamu adalah apabila dia dilihat, membawa mengingat Allah.”
[Imam Ibnu Majah]
Para Ulama Ahli Sunnah yang Arif mentafsirkan bahawa yang dikehendaki dengan Hadith-hadith tersebut adalah Mursyid yang mewarisi Rasulullah ﷺ dengan kebenaran. Kamu melihat tanda-tanda ini dan merasai kesannya dalam hati kamu, lalu datang keyakinan yang teguh bahawa inilah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang kamu mencari selama ini.
SIRI 89
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 9: Syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)
Syarat ke-10: Terkenal di tempat jauh
Seorang Mursyid yang benar akan dikenali oleh mereka yang jauh dari tempatnya. Allah Taala akan memberikan ilham dan petunjuk kepada manusia untuk mencari Shaikh ini walaupun dari jauh.
Masyaikh Ahlus Sunnah meletakkan syarat ini sebagai membezakan dengan Guru palsu atau penipu. Ini kerana lazimnya Guru yang penipu akan sedaya upaya mengawal muridnya supaya tidak terbocor rahsia kejahatannya. Salah satu cara adalah dengan mengongkong mereka dengan dakwaan-dakwaan palsu.
Tapi Ingat!!!
Syarat ini bukan bermaksud seorang Shaikh mesti terkenal sebagaimana terkenalnya selebriti TV atau terkenalnya penyanyi-penyanyi, pemain bola sepak dan sebagainya. TIDAK.!
Bahkan dari suatu sudut perhitungan yang lain, seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar) dilindungi "rahsia" nya oleh Allah Ta'ala sehingga orang awam melihatnya sama seperti orang biasa. Mereka tiada keistimewaan sisi dunia, tiada sanjungan dunia, mereka bukan ikon yang dipuja oleh muda mudi, mereka bukan personaliti politik atau sosial dunia.
Sebaliknya hidup mereka penuh kesederhanaan serta kelihatan seperti biasa. Sedangkan cahaya _Sirr_ (rahsia) mereka menyinari seluruh alam. Hanya mereka yang bersih ikhlas hatinya akan mengetahui keberadaan mereka.
Berkata Al-Alim Allamah Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu Anhu di dalam Risalah Naqsyabandi:
"Syarat wasilah (Shaikh Mursyid) yang ke-3 adalah Masyhur namanya di tempat yang jauh."
[Risalah Toriqat Naqsyabandiah, Siri Ma'rifat 1, ms 37]
SIRI 90
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 9: Syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)
Syarat ke-10: Terkenal di tempat jauh:
sambungan....
Satu contoh yang paling dekat adalah Shaikh kami sendiri, Al Marhum _Tajul Arifin_ Shaikh Yahya Al Kholidi, Mursyid Silsilah Nasqsyabandiah Kholidiyah, Pewaris yang ke-36 dari Rasulullah ﷺ. Keilmuan beliau mengatasi keilmuan segala Ulama sezamannya baik dari sudut Syari'at maupun pada sisi Ma'rifat. Beliau dikurniakan oleh Allah Ta'ala "Majlis Khalifah Khususiyah" yang sempurna, suatu kurniaan khusus kepada seorang Wali Allah yang mencapai Darjat Qutb.
Namun kehidupan beliau sangat sederhana, tidak menonjol sehingga tidak terkenal seperti Ulama biasa. Beliau sering pergi ke pasar Kajang dengan pakaian kain pelikat, baju Melayu dan serban dengan tongkat di tangan, tetapi tiada yang mengenali beliau.
Di antara doa-doa masyhur beliau adalah supaya Allah Ta'ala melindungi karomah-karomah hissiyah yang terjadi pada murid-murid beliau daripada pandangan awam. Maka tiada terlihat sekalian keajaiban luar biasa pada murid-murid beliau. Murid-murid kanan beliau juga kelihatan seperti orang biasa. Tetapi keruhanian mereka yang tinggi dapat dilihat dan dirasai oleh mereka yang mempunyai cahaya matahati.
Walaupun tidak terkenal di tempat beliau sendiri mastautin, tetapi nama beliau telah masyhur di tempat-tempat jauh. Beberapa orang Shaikh dari negara timur tengah datang menziarahi beliau sewaktu hayat beliau dan juga mengambil barakah setelah kewafatan beliau. Sebagaimana bicara terdahulu Wali-Wali Allah adalah wangian Allah di muka bumi namun mereka terlindung di dalam Qubah Allah. Hanya mereka yang benar-benar beriman mampu melihat kewalian mereka dan Karomah mereka.
Demikianlah kami himpunkan 10 syarat yang wajib ada pada seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, (yang dikenali juga sebagai Ahli Sufi dan Ahli Ma'rifat dan Warisatul Anbiya' yang Siddiq) untuk melayakkan diri menduduki posisi Agung menanggung amanah Allah — Amanah Keseluruhan Agama — Syari'at Rasulullah ﷺ dan Toriqat Rasulullah ﷺ.
Sebagaimana nasihat sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah, setiap Muslim wajib perhatikan sifat-sifat ini pada diri seorang yang dikenali sebagai Mursyid sebelum berbai'at dengan beliau. Moga pencari-pencari kebenaran bertemu Mutiara Berharga di Samudera Luas Akhir Zaman.
SIRI 90
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 10: Toriqat Benar dan Toriqat Palsu
Penjelasan 1: Toriqat benar menurut Ahlus Sunnah
Pada saat ini, jumlah Toriqah yang sahih dan benar pada sisi Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah semuanya 44 Toriqah seperti yang berikut:
1. Naqsyabandiah
2. Qadiriyyah
3. Shattariyyah
4. Samaniyyah
5. Umariyyah
6. Saziliyyah
7. Rifa’iyyah
8. Ahmadiyyah
9. Dasukiyyah
10. Akbariyyah
11. Maulawiyyah
12. Kubrawiyyah
13. Shahruwardiyyah
14. Khalwatiyyah
15. Jalwatiyyah
16. Bakdasyiyyah
17. Ghazaliyyah
18. Rumiyyah
19. Sa’diyyah
20. Gistiyyah
21. Sya’baniyyah
22. Kalsaniyyah
23. Hamzawiyyah
24. Bairumiyyah
25. Usysyaqiyyah
26. Bakriyyah
27. Idrusiyyah
28. Usmaniyyah
29. Alawiyyah
30. Abbasiyyah
31. Zainiyyah
32. Isawiyyah
33. Buhuriyyah
34. Haddadiyyah
35. Ghaibiyyah
36. Khadiriyyah
37. Bayumiyyah
38. Malamiyyah
39. Uwaisiyyah
40. Idriyyah
41. Akabiral Auliyyah
42. Matbuliyyah
43. Sunbuliyyah
44. Tijaniyyah
Semua Toriqat Ahli Sufi ini telah disahkan sebagai benar pada sisi Ahlus Sunnah oleh Jami'ah Thoriqah Mu'tabarah, Pekalongan, Pulau Jawa, Indonesia.
Semua Toriqat Mu'tabarah, yang sahih mempunyai dasar-dasar pokok yang sama, iaitu:
(1) Silsilah Perguruan sampai kepada Rasulullah ﷺ
(2) Berpegang teguh dengan sekalian Prinsip, Peraturan dan Adab-Adab Toriqat
(3) Berpegang teguh dengan Syariat Nabi ﷺ
(4) Mempunyai manhaj perjalanan yang jelas
(5) Pemimpinnya adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang menepati syarat-syarat sebagai Mursyid
SIRI 92
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 10: Toriqat Benar dan Toriqat Palsu
Sambungan....
Penjelasan 2: Toriqat palsu zaman dahulu (yang bersambung ke zaman ini)
Berikut adalah kata-kata wasiat Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
Berkata Imam Jilani رضي الله عه:
Orang-orang yang mengikuti Jalan keruhanian menuju Allah (Jalan Ma’rifat, Jalan Allah, Jalan Rasulullah ﷺ yang sebenar) terbahagi kepada dua golongan atau kaum.
Golongan pertama adalah yang termasuk ke dalam kumpulan Ahlus Sunnah; iaitu mereka yang mengikuti sepenuhnya Syari’at dan Toriqat. Mereka mematuhi peraturan Quran dan amalan serta peraturan yang berasal daripada kelakuan dan perbuatan Rasulullah ﷺ. Mereka ikuti peraturan ini dalam perkataan, perbuatan, pemikiran dan perasaan, dan mereka mengikuti maksud batin Agama – iaitu mereka mengerti bukan ikut secara taqlid buta. Mereka beramal dan hidup menurut peraturan Agama, merasainya dan menikmatinya, bukan semata-mata menanggung sesuatu yang dipaksakan ke atas mereka. Inilah jalan keruhanian yang mereka ikut. Inilah persaudaraan hamba-hamba Allah yang berkasih sayang. Mereka adalah kaum pencinta Allah yang sebenar!
Sebahagian daripada mereka dijanjikan Syurga tanpa hisab, yang lain akan menderita sedikit azab hari Qiamat dan kemudian masuk Syurga. Namun ada juga sebahagian yang memasuki Neraka beberapa ketika yang singkat untuk menyucikannya daripada dosa sebelum masuk Syurga. Tiada yang akan kekal di dalam Neraka. Yang akan kekal di dalam Neraka ialah orang kafir dan munafiq.
Golongan kedua adalah terdiri daripada kumpulan-kumpulan yang bida’ah sesat. Golongan bida’ah sesat ini banyak. Di bawah ini dinyatakan sebahagian daripada jalan bida’ah sesat yang dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengakui diri mereka orang keruhanian (mengaku mengikut Ahli Sufi atau Mursyid tetapi mengikuti jalan kesesatan):
1. Hululiyyah
Mereka percaya mendakwa halal melihat tubuh dan wajah yang cantik yang menggiurkan nafsu dan mendorong kepada perzinaan sama ada perempuan atau lelaki, siapa sahaja sama ada isteri-isteri atau suami-suami, anak-anak perempuan atau saudara-saudara perempuan orang lain. Mereka juga bercampur dan menari bersama-sama. Ini jelas bertentangan dengan peraturan Islam dan menjaga kesucian dan kehormatan di dalam peraturan tersebut.
2. Haliyyah
Mencari kerasukan dengan cara menari, menyanyi, menjerit dan bertepuk tangan. Mereka mendakwa Syaikh mereka berada dalam suasana yang mengatasi batasan Syari’at. Jelas sekali mereka terpesong jauh daripada perjalanan Nabi ﷺ yang dalam tindak-tanduk Baginda sentiasa mematuhi hukum Agama.
Penjelasan:
Imam Jilani bermaksud dengan Haliyyah ini adalah mereka yang tidak bertujuan zikir kepada Allah. Tetapi sebaliknya sengaja bertujuan mencari kerasukan sedangkan ini dilarang di dalam perjalanan Ma’rifat. Zauk atau pemerasaan mendadak yang mendatang pada hati dan tubuh bagi ahli zikir yang menurut jalan yang benar adalah yang di luar kawalannya (idhtirari). Oleh kerana asyik dengan Allah atau ketika kerinduan yang di luar kawalannya maka terjadi zauk yang tidak dapat dikawal, BUKAN suatu yang diusahakan dengan niat mencari kerasukan zauk. Inilah yang menyebabkan mereka terpesong kerana apabila niat amal berubah kepada lain, maka iblislah yang menjadi pemimpinnya. Wal Iyazubillah.
SIRI 93
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 10: Toriqat Benar dan Toriqat Palsu
Penjelasan 2: Toriqat palsu zaman dahulu (yang bersambung ke zaman ini)
sambungan...
3. Awliya’iyyah
Mendakwa mereka berada dalam kehampiran dengan Allah. Dengan kata lain mereka telah mencapai peringkat Auliya Allah. Menurut mereka, apabila telah menjadi Auliya Allah maka tak perlu solat, puasa, haji dan lain-lain Ibadah (kononnya semua kewajipan Agama terangkat daripada mereka). Seterusnya mereka mendakwa seorang wali, orang yang hampir dengan Allah, menjadi sahabat akrab-Nya, mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Nabi. Mereka mengatakan ilmu sampai kepada Rasulullah ﷺ melalui Jibrail sementara wali menerima ilmu secara langsung dari Tuhan. Pandangan salah tentang suasana mereka dan apa yang mereka sifatkan kepada diri mereka adalah dosa mereka yang paling besar yang membawa mereka kepada bida’ah dan kekufuran.
Syarah:
Golongan ini meniru kata-kata Auliya Allah yang masyhur lalu menjadikan perkataan mereka yang direka-reka sedangkan orang-orang ini BUKAN Ahlillah. Mereka sengaja mereka-reka cerita kononnya sudah sampai kepada Allah dan menerima ilmu terus dari Allah sedangkan ianya pembohongan. Auliya Allah yang sebenar bukan makin meninggalkan Syari’at tetapi sebaliknya lebih teguh Syari’atnya daripada sekalian manusia lain. Maka nyatalah golongan ini tersesat dengan bisikan iblis La’natullah.
4. Syamuraniyyah
Mereka percaya Kalam (Perkataan) Allah adalah kekal dan barangsiapa menyebut Kalam ini (Kalam Allah) tidak terikat dengan hukum atau Syari’at Agama. Mereka tidak peduli halal atau haram. Dalam ibadat mereka menggunakan muzik (yang diharamkan – pent.). Perempuan dan lelaki bercampur gaul. Tiada beza lelaki dan perempuan. Ini sudah menyimpang jauh dari ajaran Al-Qur’an.
5. Hubbiyyah
Golongan ini mengatakan bila manusia sampai ke peringkat cinta mereka bebas daripada semua kewajipan Agama. Mereka tidak memperdulikan tentang pakaian, kadang-kadang mereka bertelanjang bogel. Tiada lagi perasaan malu. Inilah ajaran sesat dan menyesatkan.
6. Huriyyah
Gemar berteriak, memekik, menyanyi, menari dan bertepuk tangan, mereka menjadi kerasukan dan di dalam suasana kerasukan itu mereka mendakwa mengadakan hubungan jenis dengan bidadari, bila keluar dari kerasukan mereka mandi junub. Mereka dimusnahkan oleh pembohongan mereka sendiri.
7. Ibahiyyah
Enggan mengajak kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Mereka menghalalkan yang haram. Mereka mendakwa semua perempuan halal bagi semua lelaki. Ini ternyata golongan sesat yang akan menerima seksaan pedih!
SIRI 94
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 10: Toriqat Benar dan Toriqat Palsu
Penjelasan 2: Toriqat palsu zaman dahulu (yang bersambung ke zaman ini)
sambungan...
8. Mutakasiliyyah
Mengamalkan prinsip bermalas-malas dan mencari nafkah dengan meminta sedekah dari rumah ke rumah. Mereka beranggapan mereka telah meninggalkan segala hal ehwal dunia. Maka musnahlah mereka di dalam perbuatan mereka.
9. Mutajahiliyyah
Berpura-pura jahil dan dengan sengaja berpakaian tidak sopan, cuba menunjukkan dan berkelakuan seperti orang kafir, sedangkan Allah berfirman,
وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَڪُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”
[Hud (11) : Ayat 113]
Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda; “Barangsiapa menyerupai suatu kaum, maka mereka dikira sebagai ahli kaum itu”.
10. Wafiqiyyah
Mendakwa hanya Allah yang boleh kenal Allah. Jadi, mereka membuang jalan kebenaran. Dengan ini mereka enggan berusaha mencari hakikat kebenaran. Kerana kebodohan mereka membawa menuju kerosakan dan kesesatan.
Syarah:
Imam Jilani bermaksud, golongan Wafiqiyyah beri’tiqad bahawa segala peraturan dan adab-adab yang diijtihadkan oleh Ulama sebagai panduan pada Jalan menuju Allah adalah sia-sia kerana mereka berpegang bahawa itu semua urusan makhluk. Mereka menafikan terus usaha ikhtiar yang Allah Ta’ala Kurniakan kepada manusia mencari kebenaran dan berusaha sungguh-sungguh atasnya.
Sebahagian dari mereka menggelarkan diri mereka sebagai “majzub” dan mengaku sudah mencapai maqam yang tinggi tanpa menuntut Ilmu dan tidak mahu berusaha ikhtiar melakukan ibadah dengan bimbingan Mursyid. Menurut I’tiqad mereka, Allah yang kenalkan diri-Nya tanpa asbab apa pun dari hamba. Maka mereka membuang usaha ikhtiar mencari Jalan menuju Allah. Inilah pegangan batil yang sesat dan menyesatkan.
11. Ilhamiyyah
Golongan yang mementingkan ilham (semata-mata) tidak mahu menuntut ilmu. Mereka melarang belajar, dan berkata Quran adalah hijab bagi mereka. Mereka gunakan puisi karangan mereka sebagai ganti kepada Qur’an. Mereka meninggalkan Quran dan sembahyang, sebaliknya mengajarkan anak-anak mereka puisi. Maka jadilah mereka sesat! Demikian banyak ajaran-ajaran sesat dari Guru Sufi Palsu (Guru menyamar sebagai Mursyid atau Ahli Sufi).
Syarah:
Golongan Ilhamiyyah ini gemar berangan-angan mereka sudah mendapat Ilham-ilham dari Allah Ta’ala. Kadangkala mereka mengaku mendapat ilmu Ladunni, mengaku belajar terus dari Allah Ta’ala. Sedangkan pada hakikatnya ia cuma khayalan dan angan-angan yang datang dari bisikan iblis. Iblis menipu daya mereka dengan kepalsuan dan kebatilan.
[Tamat nukilan Kitab Sirrul Asrar Fi Ma Yahtahju Ilayhil Abrar]
SIRI 95
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 10: Toriqat Benar dan Toriqat Palsu
Penjelasan 3: Toriqat palsu zaman sekarang
Golongan-golongan tersesat dari Jalan Keruhanian yang disebutkan oleh Imam Jilani رضي الله عه , seperti di atas adalah golongan yang wujud pada zaman beliau. Kelompok-kelompok ini terus wujud sehingga sekarang dan akan terus wujud sehingga akhir zaman kerana pada hakikatnya mereka adalah kelompok-kelompok yang mengikuti bisikan iblis La’natullah yang sedaya upaya menyesatkan menusia!
Pada zaman ini, sekurang-kurangnya 11 (sebelas) golongan yang telah menyelewengkan maksud Ilmu Ma’rifat dan menyamar seperti Ahli Ma’rifat dan Sufi sedangkan mereka ini sama seperti di atas termasuk golongan tertipu dan menipu daya.
(1) Golongan Silat Ma’rifat (Ma’rifat PALSU)
Golongan ini campur adukkan ilmu Silat dengan sebahagian amalan Toriqat lalu mengakuinya sebagai Ma’rifat. Tujuan mereka adalah memperoleh kekuatan fizikal melalui keruhanian. Mereka melakukan meditasi atau ritual tertentu bagi memperoleh ilmu kebal. Mereka gemar menunjuk-nunjuk berbagai kehebatan ilmu kebal seperti tetak tak lut, bengkokkan besi keras dengan jari dan lain-lain untuk memperlihatkan seolah-olah mereka benar. Sedangkan perbuatan ini jelas kebatilannya. Ini BUKAN Ma’rifat sebaliknya pertunjukan ilmu sihir. Yang dikatakan Ma’rifat adalah Tauhid yang hakiki di dalam hati serta Ubudiyyah setulus hati.
(2) Golongan Perawat Ma’rifat (Ma’rifat PALSU)
Kelompok ini lebih kurang serupa dengan Golongan no. (1) di atas iaitu mereka salah guna ilmu Toriqat untuk kepentingan duniawi atau kerana memenuhi keseronokan nafsu. Tujuan mereka bukan mengenal Allah dan Ubudiyyah tetapi mempunyai niat-niat yang menyimpang dan tujuan-tujuan lain selain Allah.
Perbezaannya dengan yang pertama tadi adalah bidang yang mereka ceburi. Bidang kelompok ini adalah bidang perubatan dan rawatan. Mereka menamakan diri mereka sebagai Perawat Ma’rifat tetapi cara mereka adalah cara-cara bomoh atau dukun atau pawang.
(3) Golongan Ilmu Kebatinan Sesat
Ini adalah golongan yang berangan-angan mencapai maqam tinggi dan menganggap setiap suatu memadai dengan niat. Tidak perlu susah payah melakukan ibadat. Mereka mendakwa ibadat itu untuk orang maqam rendah. Mereka sudah mencapai maqam tinggi, maka tak perlu melakukan ibadat. Menurut dakwaan mereka yang batil lagi, orang yang sampai Maqam Tuhan tak perlu solat dan ibadah lain.
(4) Golongan Ilmu Haqiqat Palsu
Golongan ini sentiasa memandang haqiqat semata-mata. Walaupun mereka minum arak, berjudi, tenung nasib atau lain-lain, bagi mereka semua itu tidak salah kerana semua di-Taqdirkan.
(5) Golongan Asmaul Husna Tarik Rezeki
Mereka melakukan meditasi seperti yoga dengan tangan terbuka, lalu membaca Asmaul Husna tertentu untuk menarik rezeki dari Langit. Mereka mendakwa Rezeki Allah itu luas dan boleh diperoleh dengan cara meditasi.
(6) Reiki, Kundalini, Cakra
Golongan ini melakukan meditasi (cara orang kafir) mengaktifkan lataif-lataif sehingga mengaku boleh menerbitkan cahaya Lataif dan terus mengenal Allah. Tidak syak lagi semua ini hanya mainan iblis kerana tak mungkin seseorang kenal Allah dengan jalan “meditasi” ajaran kafir. Yang datang hanyalah jelmaan iblis dalam rupa Ulama atau Wali.
(7) Golongan Menyedut Tenaga dan Ruh Alam
Golongan ini mengambil konsep Reiki, Cakra, Kundalini dan lain-lain sebangsa dengannya melakukan meditasi menyatukan tenaga dalam badan dengan tenaga alam, lalu mendakwa boleh membawa kepada Tuhan. Mereka mengambil konsep tersebut ubah suai dengan ayat Qur’an. Kemudian mendakwa boleh mencapai Ma’rifat. Sangat besar penipuan mereka.
SIRI 96
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 10: Toriqat Benar dan Toriqat Palsu
Penjelasan 3: Toriqat palsu zaman sekarang
sambungan...
(8) Golongan Ilmu Tapak Tangan Ajaib
Ini adalah golongan yang amalkan wirid tertentu untuk mengeluarkan tenaga dari tapak tangan untuk penyembuhan penyakit. Kata mereka tapak tangan mempunyai kuasa Kalimah Sakti yang berupaya sembuhkan berbagai penyakit.
(9) Pengkaji Toriqat dan Ma’rifat
Golongan ini hanya sibuk mengkaji tanpa sebarang amal ibadah yang disyari’atkan. Mereka mengkaji sendiri kitab-kitab sufi yang tinggi lalu berbahas menurut aqal dan nafsu mereka. Mereka mendakwa maklumat berkenaan Toriqat yang ada padanya sahaja yang benar dan selain mereka sebagai sesat. Mereka menuduh kaifyyat zikir pada Toriqat yang Mu’tabar sebagai sesat sedangkan mereka hanyalah profesor-profesor bodoh yang berbahas menurut pemikiran aqal yang sempit dan bisikan nafsu dan iblis. Mereka tak pernah berguru dengan Pewaris Nabi yang Siddiq dan tak pernah menempuh sendiri perjalanan kepada Allah menurut Disiplin Ahli Ma’rifat, tetapi sangat berani mendakwa diri sebagai pemegang kebenaran. Tiada syak lagi mereka adalah pasukan iblis yang membawa kekacauan kepada orang awam atau masyarakat Islam yang masih di dalam kebingungan memahami Hakikat Agama.
(10) Ilmu Martabat Tujuh sesat
Golongan ini meniru Tujuh Tingkatan Ma’rifat menurut Ahlus Sunnah dan menyelewengkannya kepada kebatilan. Mereka melukis rajah-rajah anggota kemaluan lelaki dan wanita lalu kaitkannya dengan Ma’rifat. Menurut mereka sesiapa yang sudah menghafal dan memahami lukisan-lukisan tersebut, maka itulah haqiqat dan Ma’rifat. Jelas sekali pembohongan dan kesesatan mereka.
(11) Golongan Mahdi palsu
Menuju Akhir Zaman, bangkit kelompok-kelompok di berbagai sudut dunia mengaku pemimpin mereka sebagai Imam Mahdi. Kesemuanya sudah mati. Kesemua manusia yang mengaku Imam Mahdi semuanya sudah mati dan kumpulannya binasa, kecuali satu atau dua kelompok masih percaya pemimpin mereka yang sudah mati akan bangkit menjadi Imam Mahdi. Pegangan mereka telah menyalahi Ijma’ Ulama, maka masuklah mereka ke dalam kelompok sesat.
Demikianlah sebahagian daripada kelompok-kelompok tersesat di dalam ilmu keruhanian yang wujud pada zaman ini. Kebanyakan kelompok ini mempunyai sifat-sifat kelompok sesat yang disebutkan oleh Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu.
Kebanyakan orang awam yang mencari-cari kebenaran atau mencari-cari kebahagiaan hidup tersalah masuk ke dalam kelompok-kelompok sesat ini kerana wujud “penyamaran” iaitu mereka menyamar sebagai Ahli Sufi dengan menggunakan istilah-istilah Ahli Sufi. Anehnya, sebahagian daripada kelompok-kelompok sesat ini turut didokong oleh golongan terpelajar seperti Profesor dan cerdik pandai Agama.
SIRI 97
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 10: Toriqat Benar dan Toriqat Palsu
Penjelasan 4: Tanda-Tanda Toriqat palsu
Secara umum, tanda-tanda Toriqat Palsu adalah sekalian Toriqat yang tidak diiktiraf oleh Masyaikh Ahlus Sunnah pada satu-satu zaman. Secara khusus adalah sekalian sifat-sifatnya bertentangan dengan Sifat dan Syarat Toriqat Mu'tabarah Ahlus Sunnah. Ciri-ciri berikut boleh dijadikan panduan.
(1) Pemimpinnya Mursyid palsu
Pemimpinnya bukan Mursyid Pewaris Nabi ﷺ yang benar. Apabila Pemimpinnya tidak menepati syarat-syarat Mursyid sebagaimana yang telah kami bentangkan sebelum ini, maka seluruh Jemaahnya bukan Jemaah warisan Rasulullah ﷺ
Ini adalah tanda Utama. Apabila Pemimpin sesebuah Toriqat bukan Mursyid Pewaris Nabi yang benar, tidak menepati syarat-syarat sebagai Mursyid yang Siddiq (benar), maka seluruh perjalanannya terbatal dan orang ini hanya memimpin kepada kesesatan. Wal Iyazubillah.
(2) Tidak mempunyai Sistem Tarbiyyah
Sebagaimana kami katakan terdahulu, setiap Toriqat wajib mempunyai Manhaj Tarbiyyah (silibus pendidikan) dan Sistem Tarbiyyah (peraturan, syarat, adab dan kaifiyyat) yang jelas menepati Al Qur'an, Sunnah dan Ijma' Ulama Ahlus Sunnah Mu'tabar, sebagaimana ditentukan oleh Masyaikh terdahulu. Jika tidak, Toriqat tersebut bukan Toriqat yang benar.
(3) Tidak Mematuhi Prinsip Asas, Peraturan, Syarat, Adab
Apabila sesebuah Toriqat tidak mematuhi mematuhi semua prinsip asas, peraturan, syarat dan adab Toriqat yang telah ditetapkan oleh Ulama Mu'tabar terdahulu seperti Imam Jilani, Imam Ghazali, Imam Junaid Baghdadi dan lainnya, maka ia bukanlah Toriqat Ahlus Sunnah yang benar.
(4) Matlamatnya menyimpang
Matlamat setiap Toriqat adalah mencari Redha Allah: "Ilahi anta Maqsudi wa Ridhaka Matlubi"
(Ya Allah Engkaulah maksudku dan Keredhaan Engkau yang aku tuntut)
Apabila matlamatnya selain Allah seperti mencari dunia, mencari karomah hissiyyah dan lain-lain, maka ia bukan Toriqat yang benar.
(5) Campur aduk dengan segala bentuk Ilmu kebatinan sesat
Setiap Toriqat adalah Wahyu Ilahi dan Sunnah Rasulullah ﷺ, yang amat suci, tidak menerima sebarang percampuran ilmu kebatinan sesat.
(6) Bersekutu dengan Jinn Syaitan, sihir
Di antara ciri-ciri Toriqat palsu adalah bersekutu dengan jinn syaitan dan ilmu sihir. Toriqat yang benar tidak sesekali membawa unsur-unsur jinn syaitan, sihir, bomoh atau sebangsanya.
(7) Melanggar Syari'at
Apabila sesebuah Toriqat membawa pengikut-pengikutnya melangar Syari'at seperti menganjurkan majlis tari menari campur lelaki-wanita, minum arak dan sebagainya, maka sudah pasti ia bukan lagi Toriqat yang sahih dari Rasulullah ﷺ, sebaliknya ia jemaah Syaitan.
SIRI 98
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Apakah punca sebenar kesesatan manusia, khususnya orang Islam?
(72 Golongan sesat Aqidah dan 11 kumpulan Golongan sesat keruhanian)
Meskipun mereka mempunyai kitab suci Al-Qur'an dan Hadith Rasulullah ﷺ tetapi mereka menyeleweng kepada kesesatan. Apakah yang menyebabkan mereka sesat?
Bahkan tidak kurang juga orang alim, orang bergelar Ulama (fiqh), PhD, profesor, Masters menjadi sesat dan menyesatkan?
Punca orang awam dan juga pencari Ketuhanan menjadi sesat amat banyak, namun dapat dihimpunkan kepada beberapa sebab berikut.
Punca 1: Tidak mempunyai Mursyid yang Siddiq (benar)
Punca utama dan pertama orang Islam menyeleweng kepada kesesatan adalah: Mereka tidak mempunyai Penunjuk jalan kepada Jalan Allah. Atau mereka mempunyai sorang pemimpin tetapi dia bukan Mursyid yang Siddiq (benar)..... di dalam perkataan lain, pemimpin itu Mursyid PALSU.
Sepertimana yang telah kami huraikan terdahulu, inilah sebab utama kesesatan manusia pada jalan Ketuhanan. Bahkan secara umum inilah punca kesesatan orang-orang awam sekalipun. Apabila kamu tidak mempunyai seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar) iaitu Warisatul Anbiya yang sebenar yang menepati syarat-syaratnya sebagai pemimpin kamu, maka syaitanlah yang akan menjadi Pemimpin kamu lalu menjerumuskan kamu kepada kesesatan.
Di dalam perkataan yang lebih jelas, golongan tersesat bukan saja wujud di kalangab murid (salikin).. bahkan lebih banyak lagi golongan orang awam tersesat kerana tidak mempunyai Mursyid yang Siddiq sebagai pemimpinnya. Buktinya adalah 72 golongan yang tersesat seperti yang tersebut pada Hadith Nabi ﷺ adalah sebahagian besarnya adalah orang awam. Dengan demikian orang-orang awam yang tidak menyertai mana-mana jamaah Ma'rifat (yang dipimpin oleh Mursyid yang Siddiq) jangan sesekali merasa aman dari tipu daya nafsu dan iblis.
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu:
"Hati adalah ladang akhirat. Tanamlah benih Keimanan dalam hati kamu. Sirami dan bajai ia dengan amal-amal kebajikan yang berterusan. Jika hati kamu baik, suci bersih dan teguh, ianya akan subur dan menghasilkan tuaian yang sangat banyak. Sebaliknya jika hati kamu keras dan degil, ruh kamu menjadi tandus, kering kontang dan tiada tanaman mampu tumbuh atasnya. Pelajarilah ilmu pertanian dari "peladang" yang mahir, iaitu lah Auliya Allah (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq). Jangan kamu fikir pendapat kamu itu sudah cukup (untuk penanaman sedang kamu jahil tentang ilmu pertanian)." Rasulullah ﷺ telah berwasiat, "Mohonlah pertolongan pada setiap pekerjaan dari pakarnya."
[Fathur-Rabbaniy Wa Faidur -Rahmaniy]
Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:
"Jalan agama sangatlah samar, (tak dapat bezakan haq dan batil) dan jalan-jalan syaitan sangat banyak dan jelas (terbuka luas untuk di masuki oleh siapa sahaja). Oleh kerana itu, jika seseorang yang tidak mempunyai Shaikh Mursyid yang membimbingnya, maka pasti syaitan akan menggiringnya (memimpinnya) menuju jalannya (kepada kesesatan). Barangsiapa berjalan di jalan yang berbahaya tanpa petunjuk, maka dia telah menjerumuskan dan membinasakan dirinya."
[Ihya Ulumuddin]
SIRI 99
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
sambungan.....
Punca 1: Tidak mempunyai Mursyid yang Siddiq (benar)_
sambungan....
Orang yang tidak mempunyai seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sebagai pemimpin, maka dia sentiasa terdedah kepada berbagai helah dan tipu daya syaitan yang amat halus. Syaitan akan menyamar sebagai orang alim, ahli ibadah hatta boleh menyamar sebagai Wali Allah. Syaitan mengabui mata orang awam dan murid pada jalan Keruhanian dengan berbagai keajaiban dan peristiwa cengangkan aqal. Syaitan akan membawa berbagai cahaya yang kelihatan seperti cahaya yang benar sedangkan itu adalah fatamorgana Iblis. Orang awam atau murid yang tidak mengetahui ianya dari iblis akan terus percaya diri sendiri sudah tinggi dan mempunyai kemuliaan. Maka dari sini bermulalah episod penyelewengan dan kesesatan...!
Tanpa "Penunjuk Jalan Suci", manusia akan sentiasa menyeleweng kepada penyembahan berhala dan "penyembahan" sesama manusia. Iblis dan nafsu sentiasa menunggu peluang menyuruh kepada "sembahan-sembahan" selain Allah.
Menurut ketetapan Ilahi.... Sejarah menulis bahawa Kitab dan Sunnah Nabi ﷺ sahaja tidak memadai, melainkan WAJIB ada "Pemimpin Rabbaniyah (Ketuhanan)" yang menguasai kedua sumber tersebut. Kitab dan Sunnah Nabi ﷺ sahaja tanpa Pemimpin yang mempunyai hubungan dengan Allah, maka manusia akan mentafsir mengikut kehendak nafsu dan bisikan Iblis.
Contoh yang telah berlaku sepanjang sejarah manusia menunjukkan selepas kewafatan seorang Rasul, manusia kembali kepada kesesatan. Paderi dan pendeta Agama mentafsirkan ayat-ayat Allah mengikut hawa nafsu mereka. Mereka mengubah kandungan Kitab-Kitab Allah. Mereka mengubah Sunnah Nabi mereka. Akhirnya mereka mencipta Agama baru mengikut hawa nafsu dan bisikan Iblis. Maka jadilah mereka sesat dan menyesatkan. Wal Iyazubillah.
Apabila telah jelas bahawa kewujudan seorang Rasul di tengah manusia adalah suatu ketetapan Allah bagi menyelamatkan manusia dari lembah kehinaan dan kebinasaan, maka tidak boleh tidak, pasti ada di sana wujud pengganti kepada Junjungan mulia Rasulullah ﷺ dan pengganti ini wajib bersifat dengan Sifat-sifat Rabbaniyyah.... menduduki posisi Kenabian dan memiliki akhlaq Rasulullah ﷺ.
Ulama Ahlus Sunnah telah sepakat bahawa Khatamun-Nabi adalah bermaksud Nabi terakhir yang membawa Syari'at baru, sedangkan hamba pilihan Allah yang menduduki posisi KeNabian pasti ada sepanjang zaman sampai Qiamat. Maksudnya Rasulullah ﷺ adalah penutup bagi Kenabian yang membawa Syari'at yang baru. Tidak akan ada selepas Baginda seseorang bergelar Nabi membawa Syari'at lain. Namun akan ada hamba-hamba Allah yang menduduki Maqam Nubuwwah sebagai pengganti kepada Rasulullah ﷺ. Mereka memperoleh pancaran Nur Rabbaniyyah dan Nur Muhammad di dalam batin mereka. Merekalah Pewaris Nabi yang Siddiq yang dikenali sebagai Mursyid atau Ahli Sufi.
Berkata Al-Imam Sulton Auliya, Ghawthul A'zham Shaikh Muhyidddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu 'Anhu:
"Dalam ayat ini yang dimaksud dengan "orang yang mengikuti daku" adalah manusia sempurna, Guru Keruhanian yang sebenar (Mursyid yang Siddiq) yang akan datang selepas Nabi Muhamamd ﷺ yang akan mewarisi ilmu batin Baginda dan kebijaksanaan Baginda dan yang akan berada hampir dengan Allah. Manusia yang demikian digambarkan sebagai ‘pelindung dan pembimbing sebenar’. ( وَلِيًّا مُّرۡشِدً۬ا = Wali Mursyid)
[Surah al-Kahfi (18) : Ayat 17] "
SIRI 100
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 2: Berubah Niat — hilang keikhlasan
Ini punca kedua Kesesatan. Beberapa fakta penting berkenaan Ikhlas. Di dalam Risalah yang bertajuk 7 Tingkatan Ikhlas, kami telah bentangkan beberapa fakta berkenaan definisi, haqiqat Ikhlas, punca hilang Ikhlas, kaitan Ikhlas dengan ibadah dan punca rosak Iman dan batal ibadah. Berikut kami sebutkan beberapa poin penting sebagai ingatan semula.
Poin 1: Definisi Ikhlas
Dari segi bahasa:
Ikhlas (اِخلاَص) berasal dari kata (خَلَصَ - يَخْلصُ) yang bermaksud:
murni, tidak bercampur, jelas, bersih, ekstrak, saripati, menyuling.
Dari segi istilah:
Memurnikan ketaatan semata-mata kepada Allah.
Poin 2: Tempat Ikhlas
Ikhlas tempatnya di hati.
Poin 3: Haqiqat Ikhlas
Haqiqat Ikhlas adalah Tauhid — melihat Allah pada setiap Ibadahnya.
(salikin yang masih di dalam perjalanan menuju Allah — mengikut Jalan Ma'rifat dengan Pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, dimaafkan jika dia belum sampai kepada martabat Tauhid hakiki yang membolehkan dia "melihat Allah" di dalam setiap Ibadahnya.
Poin 4: Niat bercampur merosak Ibadah atau batalkan Ibadah
Setiap niat (bagi Tauhid dan ibadah) yang dimaqbul di sisi Allah (diterima dan diredhai Allah) hanyalah tujuannya semata-mata mencari Redha Allah. Ketika niat seseorang berubah kepada yang lain dari Allah, atau dia campur adukkan niatnya kerana Allah dan juga kerana selain Allah, maka rosak amal ibadahnya atau batal terus ibadahnya.
Poin 5: Ketika niat berubah, Iblis akan masuk ke hati
Ikhlas merupakan benteng bagi orang beriman. Ketika niatnya berubah kepada selain Allah, maka bentengnya roboh, Iblis akan mengambil tempat dalam hati mendatangkan waswas dan tipu daya.
Poin 6: Berzikir kerana ingin kuat, batalkan perjalanan kepada Allah
Sesetengah ahli silat atau ahli bina badan.... beramal, berzikir dan wirid lain bertujuan lain dari Allah... umpamanya untuk menjadi kuat, untuk mendapat ilmu kebal, untuk memperoleh berbagai keajaiban.. maka BATAL perjalanannya.
Poin 7: Periksa niat pada tiga keadaan
Setiap orang beriman wajib luruskan niatnya kerana Allah pada sepanjang ibadahnya. Untuk memudahkan dia periksa niatnya sama ada kerana Allah atau niatnya sudah menyimpang, dia perlu perhatikan niatnya pada 3 keadaan:
1. Sebelum mulakan amal
2. Ketika sedang beramal
3. Sesudah beramal
Poin 8: Iblis tak mampu sesatkan orang yang ikhlas
Sesungguhnya Allah memelihara orang yang benar-benar Ikhlas. Iblis tidak mampu sesatkan orang ikhlas. Iblis hanya mampu sesatkan orang yang telah terkeluar dari niat ikhlas.
Poin 9: Tujuh Tingkatan Ikhlas
Ahli Ma'rifat membahagikan ikhlas kepada beberapa peringkat seperti:
1. Ikhlas orang awam
2. Ikhlas orang abrar
3. Ikhlas orang Arif
Sebahagian lainnya memberikan perincian lebih halus dengan pembahagian berikut:
1. Ikhlas orang awam - 3 tingkatan
2. Ikhlas salikin - 3 tingkatan
3. Ikhlas Arifin - 1 tingkatan
Poin 10: Orang awam tak mampu mencapai Ikhlas sejati
Orang awam adalah orang yang amalkan Syari'at (fiqh) sahaja sedangkan Toriqat (Tasawwuf) diabaikan. Dia tidak berusaha menyucikan hatinya daripada Syirik (syirik khafi), mazmumah (kekejian hati), ghaflah (kelalaian hati), aghyar (segala sesuatu selain Allah).
SIRI 101
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 2: Berubah Niat — hilang keikhlasan
sambungan.....
Firman Allah:
وَمَآ أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدّينَ
Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadanya.
[Al-Bayyinah (98) : Ayat 5]
Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَلِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
“Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat, dan baginya apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau kerana wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya itu sesuai ke mana ia hijrah.”
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
Rasulullah ﷺ bersabda
"Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap Redha Allah."
[Imam Abu Daud, Imam An-Nasa'i]
Firman Allah:
قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِين
Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan buruk, keji, ma'siat, mungkar) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas".
[Al-'Hijr (15) : Ayat 39-40]
Firman Allah:
إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ إِلا مَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْغَاوِين
"Sesungguhnya kamu (Iblis) tidak kuasa atas hamba-hamba-Ku, kecuali mereka yang mengikutimu, iaitu orang yang sesat".
[Al-Hijr (15) : Ayat 42]
Firman Allah:
قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلاَّ عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِينَ
"Iblis menjawab, demi kekuasaan Engkau, aku akan sesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka."
[As-Sod (38) : Ayat 82, 83]
Inilah sebahagian dalil yang amat jelas menunjukkan sesiapa sahaja yang beramal dengan suatu amal BUKAN kerana Allah, dan sebaliknya kerana mengharapkan suatu dari dunia seperti ingin menjadi kuat, ingin memperoleh ilmu kebal, ingin menjadi terkenal, ingin menjadi perawat, ingin memperoleh karomah yang buat manusia kagum.. maka semua itu akan dia mendapatnya tetapi dari tangan-tangan syaitan. Dan dia sama sekali TIDAK akan mencapai keredhaan Allah, bahkan sebaliknya dia jatuh kepada Kemurkaan Allah.
Apa yang terjadi adalah :
Ketika seseorang berubah niat kepada selain Allah iaitu TIDAK IKHLAS kepada Allah sebaliknya bertujuan mencapai sesuatu dari habuan dunia, maka ketika itu syaitan akan menariknya kepada Gerbang Iblis.
Orang yang beramal tadi menyangka dia memperoleh berbagai kelebihan seperti ilmu sakti, ilmu kebal, ilmu perawat dan lainnya itu dari Allah sedangkan yang sebenarnya semua itu adalah dari bantuan syaitan. Orang itu menyangka dia berjumpa wali Allah, dan memperoleh berbagai karomah sedangkan yang dia berjumpa itu adalah Iblis yang menyamar dengan berbagai pakaian yang kelihatan hebat. Orang itu menyangka dia mendapat berbagai lapisan cahaya yang gemilang sedangkan ia adalah mainan wayang dan fatamorgana Iblis.
SIRI 102
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 3: Melanggar hukum Syari'at
Punca ke-3 kesesatan orang awam atau juga salikin (murid pada jalan Ma'rifat) adalah melanggar hukum-hakam Syari'at sewenang-wenangnya. Setengah dari mereka yang sudah memperoleh maqam tertentu menganggap Syari'at tak perlu lagi kerana kononnya mereka sudah meningkat kepada tahap lebih tinggi. Sesungguhnya ini adalah pendapat orang zindiq.
Kami telah berulangkali menyebut di dalam Risalah ini dan risalah-risalah lain bahawa setiap Muslim wajib berpegang teguh dengan Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ. Syari'at adalah pakaian zahir (anggota zahir) sementara Toriqat adalah pakaian batin (hati). Barangsiapa meninggalkannya (walaupun cuma satu daripadanya) maka jadilah dia fasiq atau zindiq.
Hukum-hakam Syari'at adalah Perintah Allah dan Rasul-Nya yang merupakan pakaian orang beriman. Keseluruhan hukum-hakam tersebut telah dijelaskan oleh Ulama melalui berbagai disiplin ilmu — khususnya Ilmu Fiqh, Usuluddin dan Tasawwuf sedang semua ini diambil dari Al-Qur'an dan Hadith. Ulama Mu'tabar Ahlus Sunnah (Ulama bertaraf Auliya Allah) telah mengkaji sedalam-dalamnya Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya lalu mereka ijtihad menerbitkan sekalian hukum yang diperlukan oleh Ummat.
Dengan demikian wajib atas tiap orang beriman memakainya dengan cantik dan sempurna. Betapa tinggi pun maqam kamu, kamu wajib berpegang teguh dengan hukum-hakam Syari'at.
Bahkan kebenaran mutlaq adalah:
Makin tinggi seseorang mencapai Maqam Ma'rifat (Tauhid peringkat tinggi), makin teguh pegangannya kepada Hukum Syari'at. Makin tinggi Ma'rifatnya, makin halus pula Syari'atnya... bermaksud makin indah amal ibadahnya. Sekalian sunnat akan dikerjakan dan sekalian makruh pun akan ditinggalkan. Semua itu berlaku bukan secara keterpaksaan tetapi ianya menjadi kelaziman yang mengalir bersama ruh dan turun naik nafasnya.
Berkata Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:
"Ada dua macam ilmu yang diturunkan kepada kita.
Pertama ilmu Zahir, disebut Syari'at.
Kedua Ilmu batin, disebut Ma'rifat/ Toriqat.
Syari'at untuk jasad kita dan Ma'rifat (yang terbit dari Toriqat) adalah untuk batin. Kedua-duanya WAJIB dipadu dan dari perpaduannya membuahkan haqiqat. Seperti halnya pohon dan daunnya yang menghasilkan buah. Sebagaimana Firman-Nya di dalam Surah Ar Rahman: ayat 19 (مَرَجَ ٱلۡبَحۡرَيۡنِ يَلۡتَقِيَانِ)
Dengan ilmu zahir sahaja, manusia tidak akan mencapai Haqiqat dan tidak akan sampai kepada Matlamat Ubudiyyah. Ubudiyyah yang benar dan sempurna hanya akan wujud oleh perpaduan antara ilmu zahir (Syari'at Rasulullah ﷺ) dan ilmu batin (Toriqat Rasulullah ﷺ). Dengan ini dapat menyempurnakan tuntutan Ma'rifat dan Ubudiyyah sebagaimana Firman Allah "وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ".
[Tamat Nukilan dari Kitab Sirrul Asrar]
Fatwa Imam Malik Radhiallahu Anhu:
(Mujtahid Mutlaq Mazhab Maliki)
“Sesiapa yang mempelajari ilmu fiqh tanpa mengamalkan Tasawwuf, maka dia telah menjadi fasiq. Dan sesiapa yang mengamalkan Tasawwuf tanpa mempelajari ilmu fiqh, maka dia telah menjadi zindiq. Dan sesiapa yang menggabungkan antara kedua-duanya, maka itulah kebenaran."
[Nukilan Imam Ghazali di dalam Ihya, Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi di dalam Risalah Ma’rifat, Imam Zarruq di dalam Qawaid Tasawwuf, Imam Qusyairi di dalam Risalah Qusyairiyah, Imam Asy-Sya'rani di dalam Tabaqat]
SIRI 103
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 3: Melanggar hukum Syari'at
sambungan....
Berkata Imam Hujweri Radhiallahu Anhu:
"Seorang Mursyid (Shaikh) wajib mematuhi hukum Syari'at dengan tegas tanpa berbelah bahagi. Tugas beliau adalah untuk menerangi jalan mereka yang telah tersesat kepada kebenaran dan pimpinan yang haq. Seorang Mursyid (Shaikh) yang tidak menghormati hukum Syari'at serta tidak mematuhinya adalah diri sendirinya dalam kegelapan dan mustahil dapat menerangi jalan orang yang dipimpinnya. Orang seperti ini bukanlah Mursyid (Shaikh) tetapi pengikut syaitan dan musuh Islam.”
[Kashful Mahjoob]
Sesiapa meninggalkan hukum-hakam Syari'at atau melanggar hukum Syari'at sewenang-wenangnya, maka samalah seperti dia telanjang di hadapan orang lain. Hakikatnya dia telah menanggalkan pakaian Tauhid.
Mana-mana salikin (atau orang awam) yang melanggar hukum Syari'at sewenang-wenangnya — melakukan dosa besar dan tidak bertaubat atau mengekalkan dosa kecil dan tidak bertaubat, maka hatinya akan menjadi kelam sedikit demi sedikit, menjadi gelap, keras dan mati. Wal Iyazubillah. Ketika itu (ketika bergelumang di dalam kekufuran) dia tak akan dapat bezakan haq dan batil. Bahkan seringkali keburukan itu dilihat dan disangkanya sebagai kebaikan. Semua ini berkait rapat dengan peranan nafsu dan bisikan syaitan. Wal Iyazubillah.
Firman Allah:
كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
“Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan (kemungkaran dan kekufuran) itu menutupi hati mereka.”
[Al Mutoffifin (83) : Ayat 14]
Rasulullah ﷺ bersabda:
عن أبي هريرة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال إن العبد إذا أخطأ خطيئة نكتت في قلبه نكتة سوداء فإذا هو نزع واستغفر وتاب سقل قلبه وإن عاد زيد فيها حتى تعلو قلبه وهو الران الذي ذكر الله كلا بل ران على قلوبهم ما كانوا يكسبون
Dari Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, dari Rasulullah ﷺ, beliau bersabda: Sesungguhnya seorang hamba, ketika berbuat dosa, terjadi titik hitam di hatinya. Ketika dia meninggalkan dosanya, memohon ampun, dan bertaubat, hatinya kembali bersih. Dan jika dia kembali (berbuat dosa), titik hitam terus bertambah di hatinya sampai menggunung, dan itulah yang menyelubungi hati (sehingga kelam dan terdinding mendapat cahaya) seperti yang Allah firmankan, “Sama sekali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.”
[Imam Tirmizi]
Demikian lagi mereka yang sengaja meninggalkan kewajipan seperti solat, puasa dan lain-lain atas alasan konon sudah capai Ma'rifat dan tak perlu lagi solat, puasa, zakat dan lain-lain kewajipan Syari'at ... maka ini tidak syak lagi menjadikannya zindiq — hatinya gelap terus sedangkan dia tidak menyedarinya. Wal Iyazubillah.
SIRI 104
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 4: Melanggar Adab Ma'rifat
Punca ke-4 Kesesatan murid pada jalan Ma'rifat (Jalan Rasulullah ﷺ yang sebenar) dan juga kesesatan orang awam adalah pelanggaran adab. Pelanggaran adab meliputi 4 macam:
(1) Pelanggaran adab kepada Allah Ta'ala
(2) Pelanggaran adab kepada Rasulullah ﷺ
(3) Pelanggaran adab kepada Gurunya — Mursyid Pewaris Nabi yang memimpin kepada Allah Ta'ala
(4) Pelanggaran adab kepada sekalian Masyaikh (Ulama Ahlus Sunnah terdahulu yang menjadi Ahli Silsilah Rasulullah ﷺ — Pewaris Rasulullah ﷺ)
Perbincangan hal ini amat panjang, kami ringkaskan dalam bentuk poin-poin penting:
Poin 1: Definisi:
Dari segi bahasa:
Perkataan adab ( أدَب ) berasal adalah perkataan Arab bermaksud:
keperibadian, tatakrama, tatacara, perilaku, budaya, etika, disiplin, tabi'at, perangai.
Dari segi istilah:
Perkataan adab ( أدَب ) adalah perilaku, keperibadian seseorang yang mempunyai hubungan dengan akhlaq yang terpancar dari keadaan jiwa seseorang.
Poin 2: Adab dalam Agama meliputi zahir dan batin:
Setiap adab mempunyai kaitan dengan tingkah laku zahir (anggota zahir) dan pegangan batin (hati). Adab jauh beza dari ungkapan "disiplin, etika, moral dan lain-lain sepertinya".
Point 3: Adab berhubung rapat dengan akhlaq Nubuwwah dan Maqam Ihsan:
Setiap adab berhubung rapat dengan acuan Rasulullah ﷺ yang membawa kepada maqam Ihsan.
Poin 4: Adab lebih halus dari hukum:
Penumpuan adab adalah kehalusan hati sedangkan penilaian hukum halal haram, makruh, wajib, sunnat, harus terhenti pada pandangan zahir.
Poin 5: Adab baik dan terpuji dan Adab buruk yang dikeji:
Adab terbahagi dua secara umum:
Adab baik yang terpuji yang diredhai Allah.
Adab keji yang tercela yang dimurkai Allah.
Poin 6: Penentuan Adab baik yang terpuji dan Adab buruk yang dikeji:
Neraca atau penentuan sama ada sesuatu perilaku itu termasuk ke dalam adab yang baik yang terpuji yang diredhai Allah atau adab buruk yang tercela yang dimurkai Allah adalah Al-Qur'an, Sunnah Rasulullah ﷺ dan Ulama, bukan pendapat peribadi atau pendapat aqal manusia.
Poin 7: Neraca Agama adalah universal dan tetap sedangkan neraca aqal sentiasa berubah-ubah:
Neraca Agama sentiasa tetap tidak sesekali berubah kerana ianya membawa beban hukum ketentuan Allah, sedangkan neraca manusia (pemikiran aqal) sentiasa berubah-ubah menurut pemikiran aqal, bangsa, tempat, keadaan dan zaman.
Poin 8: Adab berhubung rapat dengan Ketuhanan:
Adab berhubung terus kepada Allah. Meskipun sebahagian adab terlihat pada zahirnya terhenti pada manusia, tetapi hakikatnya mempunyai hubungan rapat dengan Ketuhanan; ertinya masuk kepada hitungan amal.
Poin 9: Penilaian berbeza-beza menurut ketinggian tuntutan Allah:
Allah Ta'ala menilai seseorang, bukan sahaja berdasarkan hukum Syari'at tetapi lebih tinggi lagi berdasarkan adabnya kerana meliputi zahir dan batin. Boleh jadi dia seseorang yang kurang amalnya tetapi dia memelihara adab sebaik-baiknya, maka dia lebih utama daripada seseorang yang beramal ibadah yang banyak tetapi buruk adabnya.
SIRI 105
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 4: Melanggar Adab Ma'rifat
sambungan....
Poin 10: Makin tinggi Maqam makin halus adab:
Seseorang yang sudah mencapai kedudukan yang tinggi pada Jalan Ma'rifat wajib memelihara sekalian adab dengan teguh kerana sedikit kesilapan adab akan menjerumuskannya kepada kepincangan atau terus jatuh kepada kesesatan. Wal Iyazubilllah.
Poin 11: Adab Ibarat pagar:
Adab adalah diibaratkan seperti pagar yang memelihara sekalian amal ibadah seseorang. Seperti halnya pagar dengan dusun buah-buahan. Pagar melindungi sekalian hasil tanamannya berupa buah-buahan ranum dan enak daripada dimusnahkan oleh anasir perosak atau dicuri oleh manusia jahat.
Poin 12: Perbezaan antara adab (akhlaq) dengan pelajaran moral:
Orang Islam awam seringkali terkeliru di antara pemakaian istilah adab dengan pemakaian istilah moral. Perbezaan utama adab dengan moral, adab meliputi zahir dan batin manusia sedangkan moral adalah semata-mata pertimbangan zahir sahaja.
*Poin 13: Jalan Ma'rifat paling Tinggi adabnya:*
Jalan Ma'rifat adalah _Manhaj_ Rasulullah ﷺ yang paling tinggi disiplinnya dan paling kuat berpegang teguh kepada adab-adab. Jalan Ma'rifat mempunyai Prinsip tersendiri yang wajib diikuti oleh seluruh salikin yang inginkan kemenangan di negeri akhirat.
Poin 14: Berpegang teguh adab, elakkan kegelinciran:
Jalan Ma'rifat mempunyai Prinsip-prinsipnya yang tersendiri sebagaimana yang telah dihimpun dan dijelaskan oleh sekalian Masyaikh (jamak bagi Shaikh) — iaitu Ulama bertaraf Auliya Allah yang terdahulu. Mereka telah menjelaskan perkara pokok yang merupakan ADAB yang sangat besar pada Jalan Ma'rifat. Sekalian ADAB ini wajib difahami dan diikuti sungguh-sungguh agar tidak tergelincir di pertengahan jalan — mudah-mudahan termasuk janji Allah masuk syurga tanpa hisab.
Poin 15: Kunci keselamatan:
Sekalian Mursyid yang Siddiq (benar) sangat arif akan hal ini kerana merekalah pemimpin Ummat pada Jalan Ketuhanan dan Pemimpin bagi Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Cogan kata muridin, salikin yang menempuh jalan Ma'rifat adalah dengar dan patuh, ertinya patuhi sekalian Prinsip Ma'rifat — ADAB pada jalan Ma'rifat:
Firman Allah :
وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا
"dan mereka berkata: Kami dengar dan kami patuh"
[Al-Baqarah (2) : Ayat 285]
Dan telah masyhur dari kata-kata Ahli Ma'rifat:
"Sesiapa yang tidak beradab, tiada ilmu baginya walau dia alim sekalipun."
SIRI 106
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 4: Melanggar Adab Ma'rifat
sambungan...
Contoh-contoh kebinasaan akibat langgar adab
Berikut adalah beberapa peristiwa kebinasaan manusia (dan jinn) yang telah terjadi di masa lampau, menjadi i'tibar".
Kisah 1: Kisah Kebinasaan Iblis
Iblis yang sebelumnya dikenali dengan nama Azazil adalah Ahli Ibadah yang tekun, Iblis di-La'nat bukan kerana dia enggan beriman kepada Allah, bukan kerana dia enggan beribadah kepada Allah, bahkan dia akui Allah Ta'ala sebagai Tuhan dia dan beribadah dengan ibadah yang sangat cemerlang sehingga sekalian Malaikat menjadi kagum dengannya. Iblis menerima La'nat Allah kerana salah adab (buruk adab) kepada Allah. Iblis enggan sujud (tunduk hormat) kepada Nabi Allah Adam Alaihis Salam. Pada sangkaan Iblis, dia selamat kerana dia cuma enggan sujud (tunduk hormat) kepada makhluq, bukan enggan beriman kepada Allah. Dia dengan beraninya mempersoalkan perintah Allah yang menyuruhnya sujud (tunduk hormat) kepada Adam. Kemudian dengan beraninya mencabar Allah bahawa dia akan menyesatkan sekalian manusia. Memang Iblis biadab dengan Allah, maka jadilah dia kafir, menerima La'nat Allah. Wal Iyazubillah.
Kisah 2: Wasil bin Atho'
Ini adalah kisah Wasil bin Atho, murid kepada Imam Hasan Al-Basri Radhiallahu Anhu. Dia dikatakan murid cemerlang. Pada suatu ketika, Wasil bin Atho keluar dari Majlis Imam Hasan Al Basri kerana menyangka diri dia lebih hebat daripada Gurunya Imam Hasan Al-Basri Radhiallahu Anhu. Setelah keluar dari Majlis, dia (Wasil bin Atho) mengumpulkan teman-temannya dan mengasaskan fahaman baru yang kemudian dikenali sebagai Fahaman Mu'tazilah. Sekalian Ulama Ahlus Sunnah yang Mu'tabar telah mengeluarkan fatwa bahawa fahaman Mu'tazilah telah sesat dan termasuk di dalam 72 golongan sesat yang diberi amaran oleh Rasulullah ﷺ.
Kisah 3: Kisah Zulhuwaishirah
Orang yang bernama Zulhuwaishirah ini bai'at dengan Rasulullah ﷺ dan ahli ibadah yang sangat tekun, tetapi dia biadab kepada Junjungan Rasulullah ﷺ. Dia mengherdik Baginda dengan ucapan biadab, "Wahai Muhammad, berlaku adillah" atau dia berkata, "Wahai Muhammad, bertaqwalah kepada Allah." Maka binasalah dia meskipun dia ahli ibadah yang berjidat hitam dahinya.
Hadith Rasulullah ﷺ:
“Dari Abu Sa'id Al Khudriy Radhiallahu Anhu, beliau berkata; "Ketika kami sedang bersama Rasulullah ﷺ yang sedang membahagi-bahagikan pembahagian (harta rampasan), datanglah Dzul Khuwaishirah, seorang laki-laki dari Bani Tamim, lalu berkata; "Wahai Rasulullah, engkau mesti berlaku adil". Maka Baginda berkata: "Celaka kamu! Siapa yang mampu berbuat adil kalau bukan aku yang berbuat adil. Sungguh kamu telah mengalami keburukan dan kerugian jika aku tidak berbuat adil". Kemudian 'Umar berkata; "Wahai Rasulullah, izinkan aku untuk memenggal batang lehernya! Sabda Baginda: "Biarkanlah dia kerana dia memiliki teman-teman yang salah seorang dari kalian memandang remeh solatnya dibanding solat mereka, puasanya dibanding puasa mereka. Mereka membaca Al Qur'an namun tidak sampai ke tenggorokan mereka. Mereka keluar dari agama seperti keluar anak panah dari sasarannya (haiwan buruan).”
[Imam Bukhari]
SIRI 107
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan
Punca ke-5 kesesatan orang awam, salikin dan juga Mursyid PALSU adalah bersekutu, meminta pertolongan atau bersahabat dengan jinn syaitan sedangkan Allah Ta'ala memerintahkan supaya jauhi jinn syaitan, jangan sesekali dengar nasihat dan bisikan jinn syaitan kerana golongan jinn syaitan musuh yang nyata bagi orang beriman dan dia tiada tujuan lain melainkan menipu daya kamu dan menarik kamu kepada kesesatan dan kekafiran.
Kami telah pun menjelaskan hal ini di dalam risalah kami bertajuk:
Mengapa Orang Alim Hafiz Quran Imam Solat Terkena Gangguan Jinn & Syaitan
Di sini kami hanya menjelaskan beberapa poin penting sebagai i'tibar dan panduan sebagai langkah keselamatan daripada makhluq terkutuk iblis dan anak cucunya syaitan dan sekutu-sekutunya:
Poin 1: Definisi Al-Jinnu (jinn):
Menurut Bahasa :
Al Jinnu ( اَلجِنُّ ) berasal dari kata: Janana ( جَنَنَ ) bermaksud suatu yang tersembunyi atau suatu yang ditutupi, terlindung dari pandangan mata kasar.
Menurut Syara':
Jinn adalah makhluq halus yang tersembunyi atau ditutupi dari pandangan manusia umumnya, sifat biologi hampir serupa seperti manusia (mempunyai anggota tubuh — tangan, kaki, kepala, mulut, hidung, telinga dan lain-lain), tetapi mempunyai tubuh yang boleh berubah-ubah bentuknya, bernafas, makan, minum dan beranak pinak seperti manusia.
Jinn terdiri dari jinn Islam, jinn fasiq, jinn sesat, jinn kafir sama seperti manusia. Jinn yang benar-benar beriman sedikit saja selebihnya menjadi pengikut iblis menjadi jinn kafir.
Manusia (umumnya) tidak dapat mengetahui hal-hal bersangkutan dengan jinn, kecuali orang tertentu yang diberi izin oleh Allah melihatnya.
Poin 2: Definisi Iblis:
Dari segi bahasa:
Iblis ( إِبۡلِيسَ ) adalah dari perkataan al-iblaas yang bermakna “putus" iaitu putus asa dari Rahmat Allah.
Dari segi istilah:
Iblis adalah bangsa jinn yang kafir, kafir mutlaq yang terlaknat, dicampakkan ke muka bumi akibat penderhakaannya kepada Allah, akan masuk Neraka tanpa hisab bersama pengikut-pengikutnya dari kalangan jinn dan manusia.
Maka dikatakan iblis kerana dia telah berputus asa dari Rahmat Allah sejak Allah Ta’ala melaknat dan mengusir dia dari Syurga akibat penderhakaannya.
Nama asalnya Azazil (bahasa Ibrani) atau Haris (bahasa Arab). Ini nama dia ketika dia beribadah bersama Malaikat di Syurga. Sebaik sahaja dia ingkar perintah Allah dengan penuh takabbur, maka dia digelar iblis, iaitu yang berputus asa dari Rahmat Allah. Dia di-La'nat oleh Allah dan dicampak keluar dari Syurga. Iblis dan seluruh keturunannya adalah kafir semuanya dan akan dimasukkan ke dalam Neraka tanpa hisab.
Poin 3: Kerja Iblis:
Kerja iblis tiada lain melainkan membisikkan kesesatan kepada manusia. Dia sentiasa berusaha menjadikan manusia ingkar kepada Allah Ta'ala.
Poin 4: Tentera Iblis:
Tentera iblis terdiri dari tiga golongan:
Pertama: Syaitan — anak cucu keturunannya sendiri.
Kedua: Bangsa jinn yang kafir, fasiq dan sesat
Ketiga: Bangsa manusia yang kafir, fasiq dan sesat.
SIRI 108
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan
sambungan...
Poin 5: Tujuh puluh dua (72) Golongan orang Islam yang sesat adalah tentera Iblis:
Tujuh puluh dua (72) Golongan sesat — Wahhabiyyah (khawarij), Syi'ah (rafidhi), Mujassimah, Mu'tazliah, Jabariyyah dan lain-lain berjumlah 72 golongan Islam semuanya adalah tentera Iblis. Sebab itulah mereka sentiasa memerangi Ummat Islam sejak zaman Rasulullah ﷺ sampai ke saat ini dan akan berterusan sampai Qiamat. Sebahagian dari mereka akan mati kafir ketika memerangi Imam Mahdi Alaihis Salam. Wal Iyazubillah.
Poin 6: Allah panjangkan Umur Iblis dan anak cucunya, Syaitan:
Iblis dipanjangkan umurnya sampai Qiamat. Pada hari Qiamat, iblis (dan anak cucu keturunan dia) akan dicampak terus ke dalam Neraka. Tiada hisab bagi iblis dan anak cucunya.
Poin 7: Ta'rif Syaitan:
Dari segi bahasa:
Syaitan (شَيْطَانٌ) dalam bahasa Arab diambil dari kata (شَطَنَ) yang bererti jauh, makhluk halus yang jauh dari kebenaran, jauh dari Allah dan mempunyai perangai yang jahat menjauhkan manusia dari kebenaran.
Dari segi istilah:
Istilah Syaitan secara khusus adalah merujuk kepada anak cucu Iblis yang sentiasa menghasut manusia dan menarik mereka kepada kesesatan dan kekafiran.
Poin 8: Syaitan manusia dan syaitan jinn:
Istilah Syaitan secara umum adalah semua bangsa manusia dan jinn yang menyokong kejahatan syaitan. Oleh yang demikian manusia dan jinn jahat yang sangat jahat juga digelar Syaitan — Syaitan manusia dan Syaitan Jinn.
Poin 9: Kerja-kerja Syaitan:
(1) Syaitan adalah anak cucu iblis, bermakna syaitan juga dari golongan jinn.
(2) Kejadian dan sifat biologinya sama seperti jinn.
(3) Kerja syaitan tiada lain melainkan membisikkan kesesatan serta memimpin manusia kepada kefasikan, kesesatan dan kekafiran.
(4) Syaitan terdiri dari berbagai tingkatan dan pangkat. (Seperti tentera manusia, dari pangkat prebet sampai general). Ertinya syaitan itu bukan satu macam. Tetapi terdiri dari berbagai tingkatan kekuatan dan kejahatan; bermula dari yang mempunyai kekuatan biasa kepada syaitan paling keras dan jahat.
(5) Syaitan pangkat rendah ditugaskan goda manusia-manusia fasiq dan kafir. Syaitan pangkat tinggi ditugaskan goda orang alim dan ahli ibadah. Apabila seekor syaitan gagal sesatkan seseorang, maka syaitan pangkat lebih tinggi akan dihantar untuk menyesatkannya.
(6) Secara umum, semua jenis jinn dan manusia yang sangat jahat, keras kefasikannya dan kezalimannya juga dipanggil syaitan.
(7) Semua syaitan keturunan iblis dipanjangkan umur sampai Qiamat dan kelak akan dicampak ke Neraka bersama iblis.
SIRI 109
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan
sambungan...
Poin 10: Iblis terusir dari Syurga menjadi makhluq terhina:
Iblis tidak mempunyai pengetahuan tentang kejadian dirinya yang mempunyai sifat membinasakan…! Dia tidak tahu sifat “api tulen yang marak menjulang” itu adalah sifat yang membinasakan. Pada sangkaan iblis, dia lebih mulia dan lebih baik dari Adam. Dengan demikian ketika datang Perintah Allah Ta'ala supaya tunduk hormat kepada Nabi Adam, maka iblis ingkar dengan penuh takabbur.
Firman Allah:
وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأَدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَـٰفِرِينَ
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada Malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis; dia enggan dan takabbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir."
[Al-Baqarah (2) : Ayat 34]
Poin 11: Dendam Iblis kepada Adam dan keturunannya:
Akibat penderhakaannya, iblis terusir dari Syurga dan menjadi makhluq hina dan terlaknat sampai Qiamat. Sejak peristiwa tersebut, iblis berdendam kepada Adam dan keturunannya. Dia bersumpah bahawa dia akan menyesatkan semuanya.
Firman Allah:
قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِين
Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan buruk, keji, ma'siat, mungkar) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas".
[Al-'Hijr (15) : Ayat 39-40]
Poin 12: Langkah-langkah Iblis membawa kesesatan:
Langkah iblis menarik manusia kepada kesesatan dan kekafiran dalam berbagai bentuk dan pendekatan. Bermula dengan pujuk rayu sehingga kepada kekerasan cara halus dengan membawa berbagai penyakit kronik yang tiada rawatan moden.
Langkah 1:
Membisikkan kekufuran kepada orang Islam, sehingga akhirnya orang itu menjadi KAFIR. Jika orang itu sememangnya kafir, dia akan hiasi segala perbuatan orang itu sebagai baik, hebat dan cemerlang... maka kekal dia di dalam kekafiran kerana menyangka diri dia benar.
Langkah 2:
Bisikan ke dalam hati supaya mengikut jalan-jalan lain, jalan yang direka oleh ‘aqal dan nafsu. Akhirnya orang tersebut menjadi SESAT.
Langkah 3:
Bisikan ke dalam hati supaya menjadi riya', takkabur, 'ujub, sum’ah (dan syirik khafi lainnya) serta bisikan berbagai kekejian agar Imannya rosak dan amal ibadahnya terhapus.
Langkah 4:
Memasuki urat-urat darah, jantung, salur pernafasan, otak, perut, tulang belakang, tulang belikat, faraj (wanita) dan lain-lain. Dan mengganggu seluruh perjalanan sistem biologi sehingga terjadi berbagai penyakit yang pelik dan kronik sehingga lumpuh segala ibadah.
Demikianlah langkah-langkah iblis, licik dan tidak putus asa untuk menarik manusia kepada kelalaian, kefasikan, kesesatan dan kekafiran.
SIRI 110
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan
sambungan...
Poin 13: Contoh-Contoh Iblis menarik kepada kekafiran:
(1) Sejarah kemanusiaan menunjukkan bagaimana iblis dan kuncu-kuncunya membisikkan jalan-jalan kufur kepada manusia sehingga kebanyakan mereka menjadi Kafir dan menentang Allah Ta'ala. Buktinya pada saat ini (pada 27 Rabi'ul Awwal 1442H/ 13 Nov 2020 M), jumlah penduduk bumi adalah lebih kurang 7.9 Billion. Dari jumlah ini penduduk Islam hanyalah 1.6 Billion sahaja. (Rekod dari World Population UN)
(2) Sekiranya seseorang telah menerima Islam, iblis akan menggoda dengan berbagai jalan untuk menjadikan dia murtad. Contoh paling jelas adalah murtadnya beberapa orang Islam ketika Rasulullah ﷺ khabarkan peristiwa Isra' dan Mi'raj. Orang-orang Islam yang lemah Iman tak percaya akan khabar Baginda berkenaan peristiwa Isra' Mi'raj, maka jadilah mereka murtad.
(3) Jika seseorang itu memang sudah kafir, dia akan kirimkan syaitan-syaitan untuk menghiasi kekafiran sebagai baik dan benar. Maka tetaplah orang ini di dalam kekafiran sampai mati. Wal Iyazubillah.
(4) Iblis memimpin manusia yang gemar mencari Ketuhanan dan ketenangan hidup supaya menyembah "Tuhan" yang direka-reka. Iblis membuat replikasi "Tuhan-Tuhan" dengan mengambil makhluq menjadi Tuhan. Lalu membisikkan kepada mereka bahawa itulah "Tuhan" yang patut disembah. Maka timbullah di kalangan manusia berbagai agama dan aneka bentuk sembahan. Antaranya Majusi, Hindu, Budha, Zoraster, Bahai dan lain-lain.
(5) Jika ditanya bagaimana taktik iblis memujuk lalu meyakinkan manusia yang mencari Ketuhanan ini, jawapannya adalah: Cara iblis memujuk golongan yang ingin beribadat dan mencari ketenangan ini adalah dengan cara wujudkan "ketenangan palsu", "dunia kayangan palsu", "bayangan Syurga palsu", "dunia fantasi tersendiri yang kelihatan baik dan indah.”
Dengan cara ini iblis dapat mendiamkan manusia yang dahagakan Jalan Ketuhanan yang benar, maka tetaplah golongan ini di dalam khayalan dan sangkaan bahawa mereka benar, sedangkan mereka tenggelam di dalam kekafiran.
(6) Iblis memujuk manusia yang gemar kepada unsur-unsur keruhanian, magik, perkara-perkara ghaib dan sebagainya supaya menyembah dirinya (iblis). Iblis berjanji akan berikan mereka beberapa kelebihan dan keistimewaan. Maka ada di antara manusia ini menjadi penyembah syaitan, mengakui bahawa syaitan adalah Tuhan mereka. Maka bangkitlah di sana golongan ahli sihir dan bomoh, terkurung di dalam kekafiran selamanya. Wal Iyazubillah.
(7) Apabila Allah Ta'ala menurunkan seorang Nabi kepada suatu negeri, iblis dengan pantas menggerakkan sekalian tenteranya menaburkan berbagai fitnah ke dalam hati pemimpin kaum tersebut. Maka jadilah pemimpin negara, menteri-menteri, hulubalang dan lain-lain menjadi penentang keras Rasul dan Nabi yang diutus. Namrud, Fir'aun, Qarun, Haman, Abu Jahal, Abu Lahab tidak asing lagi dalam lipatan sejarah sebagai pemimpin yang amat keras penentangannya kepada Allah dan Utusan-Nya. Menteri-menteri, pembesar dan hulubalang menjadi pendokong pemimpin kafir ini.
(8) Sasaran paling besar iblis adalah pemimpin, alim ulama, pembesar dan orang-orang yang berpengaruh. Apabila iblis berjaya membawa pemimpin, alim Ulama dan pembesar-pembesar suatu masyarakat kepada kekafiran, maka lebih mudah bagi iblis menarik orang-orang di bawah pimpinan mereka kepada kekafiran.
(9) Iblis membisikkan kepada Paderi, Rahib dan Pendeta Agama agar mereka mengubah Kitab-kitab Samawi supaya mereka kekal berkuasa atas manusia dan mendapat habuan dunia.
SIRI 111
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan
sambungan...
Poin 14: Contoh-Contoh Iblis menarik kepada kesesatan
Pada siri yang lalu, kita melihat Langkah Pertama iblis menarik manusia kepada kekafiran dengan berbagai cara yang licik dan tipu daya. Apabila iblis tak mampu menarik manusia kepada kekafiran (menjadi kafir atau murtad), maka langkah seterusnya adalah cuba menarik orang Islam kepada kesesatan.
Maksud iblis menarik kepada kesesatan adalah:
Membisikkan kepada orang Islam supaya keluar dari jama'ah kaum Muslimin, iaitu keluar dari Saf Ahlus Sunnah Wal Jama'ah dan keluar dari keta'atan kepada Pewaris Nabi yang Siddiq. Generasi Pertama Pewaris Nabi yang Siddiq adalah Khulafa' Ar-Rasyidin. Generasi Pewaris Nabi seterusnya dikenali sebagai Imam, Shaikh, Mursyid, Ahli Sufi atau Ahli Ma'rifat yang Siddiq.
Ahlus Sunnah akan sentiasa terselamat kerana mereka mempunyai pimpinan Pewaris Nabi yang Siddiq, iaitu mereka yang telah dipilih oleh Allah mewarisi Nabi ﷺ zahir dan batin.
Firman Allah:
ثُمَّ أَوْرَثْنَا ٱلْكِتَابَ ٱلَّذِينَ ٱصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُّقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِٱلْخَيْرَاتِ بِإِذُنِ ٱللَّهِ ذَلِكَ هُوَ ٱلْفَضْلُ ٱلْكَبِيرُ
“Kemudian Kami jadikan Al-Kitab (Al-Quran) itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).”
[Faathir (35) : Ayat 32]
Menurut tafsiran Ulama Ahlus Sunnah yang dimaksudkan dengan “Kitab” adalah Al-Qur’an, dan maksud ayat Allah “yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami” adalah ditujukan kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:
“Orang-orang yang berilmu dan hikmah (Warisatul Anbiya' atau Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) adalah hamba Allah yang sejati yang dipilih-Nya untuk menerima “Risalah-Risalah dari pengajaran-Nya”. Allah melimpahkan mereka ilmu dan hikmah dan dengan ilmu hikmah itulah mereka menjadi manusia yang lebih tinggi darjatnya dari manusia lain. Mereka berhubung dengan Nabi ﷺ melalui perasaan yang halus dan dengan aqal yang bijaksana. (Kehalusan Ma’rifat Ilahiyyah atau disebut juga kasyaf Ilahiyyah).
Allah memuji mereka yang memiliki ilmu Hikmah dengan Firman-Nya:
ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ
[—Tamat Nukilan dari Sirrul-Asrar Fi-ma-Yahtaju Iyahil-Abrar—]
Dengan demikian siapa sahaja memisahkan diri dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah golongan yang sesat sebagaimana Hadith Nabi ﷺ berkenaan perpecahan Ummat setelah kewafatan Baginda.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“وَالَّذِيْ نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقُ أُمَّتِيْ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً فَوَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِي النَّارِ قِيْلَ مَنْ هُمْ يَا رَسُوْلَ اللهِ قَالَ: أَهْلُ السَّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ
“Demi Tuhan yang jiwa Muhammad di dalam kekuasaan-Nya, Ummatku akan berpecah kepada 73 golongan, maka satu golongan masuk Syurga dan 72 golongan yang lain masuk Neraka, maka para sahabat bertanya siapakah mereka Ya Rasulullah? Nabi bersabda: Ahlus-Sunnah Wa al-Jama`ah”.
[Imam Al-Tabarani]
SIRI 112
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan
sambungan...
Poin 14: Contoh-contoh Iblis menarik kepada kesesatan
sambungan...
Bahkan Allah Ta'ala telah berikan amaran sebelum itu melalui Kalam-Nya Yang Maha Agung supaya berpegang teguh dengan Jalan Rasulullah ﷺ dan jangan sesekali ikut jalan lain kerana jalan lain akan menjadikan kamu sesat.
Firman Allah:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُون
"Dan inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain - jalan sesat), karena jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.”
[Al-An'am (6) : Ayat 153]
Golongan sesat 1:
72 Golongan yang sesat pada Aqidah dan Syari'at:
Menurut Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu, 72 golongan sesat yang dimaksudkan di dalam Hadith Nabi ﷺ adalah:
1. Khawarij - 15 kelompok
2. Mu'tazilah - 6 kelompok
3. Murji'ah - 12 kelompok
4. Syiah - 32 kelompok
5. Jahmiyyah - 1 kelompok
6. Najjariyyah - 1 kelompok
7. Dharariyyah - 1 kelompok
8. Kilabiyyah - 1 kelompok
9. Musyabbihah - 3 kelompok
Jumlah semua 72 golongan
Golongan sesat 2:
11 Golongan Sesat pada Jalan Keruhanian zaman dahulu
Menurut Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu lagi, selain dari 72 golongan yang disesatkan iblis pada sisi Syari'at, terdapat lagi 11 kelompok keruhanian yang disesatkan oleh iblis dengan berbagai "wayang", dan "helah yang sangat halus", iblis menyesatkan mereka dengan cara-cara yang amat halus sekira-kira mereka tidak menyedari yang mereka telah jatuh perangkap iblis.
(1) Hululiah
(2) Haliah
(3) Awliaiyyah
(4) Syamuraniyya
(5) Hubbiyah
(6) Hurriyah
(7) Ibahiyyah
(8) Mutakasyiliyah
(9) Mutajahiyah
(10) Wafiqiyah
(11) Ilhamiyah
Golongan sesat 3:
11 Gongan Sesat pada Jalan Keruhanian zaman ini
Pada zaman ini, kumpulan-kumpulan sesat keruhanian dan Sufi PALSU masih wujud tetapi dengan nama samaran lain dan dengan pendekatan lain. Kesan-kesan penyimpangan golongan Sufi PALSU terlihat dalam beberapa kumpulan keruhanian yang tersesat seperti berikut:
(1) Golongan Silat Ma’rifat (Ma’rifat PALSU)
(2) Golongan Perawat Ma’rifat (Ma’rifat PALSU)
(3) Golongan Ilmu Kebatinan Sesat
(4) Golongan Ilmu Haqiqat Palsu
(5) Golongan Asmaul Husna Tarik Rezeki
(6) Reiki, Kundalini, Cakra
(7) Golongan Menyedut Tenaga dan Ruh Alam
(8) Golongan Ilmu Tapak Tangan Ajaib
(9) Pengkaji Toriqat dan Ma’rifat
(10) Ilmu Martabat Tujuh sesat
(11) Golongan Mahdi palsu
SIRI 113
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan
sambungan...
Poin 15: Contoh-contoh Iblis menarik kepada kefasikan
Apabila iblis telah gagal dalam usaha dia menarik manusia kepada kekafiran atau kesesatan (72 Golongan sesat atau 11 golongan sesat keruhanian), dia akan berusaha pula menarik kepada kefasikan.
Kefasikan lebih umum dari kekafiran atau kesesatan. Setiap orang kafir atau sesat adalah orang fasiq, tetapi orang yang fasiq tidak semestinya kafir atau sesat. Di dalam bahasa yang lebih mudah, Orang yang fasiq masih tergolong ke dalam golongan beriman selama dia masih berpegang kepada Ahlus Sunnah Wal Jama'ah yang benar (tulen), tetapi Iman golongan fasiq ini tersangat nipis akibat kekufuran dan keingkaran mereka, bila-bila masa sahaja boleh terjatuh kepada Golongan sesat. Wal Iyazubillah.
Siapakah yang dikatakan Fasiq?
Apakah tanda-tandanya?
Bilakah dikatakan seseorang itu Fasiq?
Adakah fasiq hanya terbatas kepada orang yang melakukan ma'siat seperti zina, melacur, judi, minum arak dan lain-lain sepertinya. Adakah kalian sedar orang-orang beramal kebaikan dan ibadah juga boleh jatuh kepada Golongan fasiq?
Adakah kalian sedar orang alim yang banyak ilmu juga boleh jadi fasiq?
Ramai orang Islam menyangka mereka sudah selamat dan tidak terkena kefasikan apabila mereka mengerjakan solat, puasa dan lain-lain. Pada sangkaan mereka istilah fasiq hanya terkena kepada orang-orang yang bergelumang di dalam ma'siat seperti zina, minum arak, judi dan lain-lain. Sesungguhnya ini adalah tipu daya iblis kepada orang-orang yang gemar beramal ibadah....!
Seperti yang kami katakan pada awal Risalah ini, pendekatan iblis kepada manusia adalah berbeza-beza dari seorang kepada seseorang lain; tidaklah sama semuanya. Pendekatan iblis kepada orang Islam yang gemar beramal adalah dengan "memperindahkan amalnya" sehingga dia menyangka amal ibadah dan kebajikan yang dia lakukan sudah baik dan terhindar dari kefasikan.
Ketahuilah...
Kefasikan tidak hanya terkena kepada orang yang bergelumang di dalam ma'siat yang terang-terangan atau kerana meninggalkan solat, puasa dan lain-lain, tetapi juga kepada orang yang gemar beramal soleh. Bahkan amal ibadah itu sendiri boleh berubah menjadi ma'siat lalu menjerumuskan seseorang kepada kefasikan, sekiranya amal tersebut terkeluar dari landasan kebenaran akibat terkena tipu daya nafsu dan iblis...!
Wal Iyazubillah.
Susah percaya kenyataan ini?
Baca seterusnya untuk mengetahui bagaimana halusnya tipu daya iblis kepada orang-orang Islam yang gemar beramal ibadah, bahkan melakukan ibadah yang banyak sehingga mereka tidak menyedari mereka telah jatuh kepada Golongan fasiq.
SIRI 114
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan
sambungan...
Poin 15: Contoh-Contoh Iblis menarik kepada kefasikan
sambungan....
Definisi fasiq:
Dari segi Bahasa:
Fasiq berasal dari kata ( فَسَقَ) "fasaqa" bererti keluar dari sesuatu, menyimpang dari jalan lurus, keluar dari keta'atan, ingkar sumpah, melanggar peraturan, ma'siat, penderhakaan.
Dari segi Istilah:
Fasiq adalah keluar dari keta'atan kepada Allah, lupa ikrar janji setia kepada Allah, ingkar kepada Perintah Allah, kufur Ni'mat, melawan hukum-hakam Allah akibat terikut nafsu dan bisikan iblis.
Menurut Ahli Ma’rifat seseorang dikatakan fasiq apabila dia melakukan dosa besar walaupun sekali atau dia kekalkan dosa kecil tanpa melakukan Taubat Nasuha. Jika dia melakukan dosa besar berterusan tanpa Taubat Nasuha, maka ini lebih berat kerana hatinya akan gelap, kelam dan tertutup. Wal Iyazubillah.
Oleh kerana “Fasiq” dan “Kefasikan” berkait rapat dengan dosa, maka setiap Muslim WAJIB mempelajari hal-hal berkaitan dosa, pembahagian dosa, jenis-jenis dosa — dosa besar dan dosa kecil, dosa zahir dan dosa batin, dosa kepada Allah dan dosa sesama manusia. Demikian lagi wajib mengetahui cara-cara tipu daya iblis memasuki hati, memperdaya dia sehingga menjadikannya fasiq.
Pembahagian Dosa:
Ulama Ahlus Sunnah membahagikan dosa manusia kepada beberapa bahagian dan bentuk:
Pertama : Dosa besar dan dosa kecil
Kedua : Dosa zahir dan dosa batin
Ketiga : Dosa kepada Allah dan dosa sesama makhluq
Perbezaan dosa besar dan dosa kecil:
Dosa besar adalah setiap perbuatan yang diancam dengan Neraka atau diancam dengan Kemurkaan Allah atau dikenakan hukum tertentu pada Syara' yang didasarkan kepada Firman Allah atau Hadith Nabi ﷺ atau Ijma' Qias Ulama Mu'tabar. Setiap dosa besar menghampiri kesesatan atau kekafiran, maka WAJIB taubat segera dengan Taubat Nasuha.
Dosa kecil adalah setiap dosa yang berlawanan dengan Kehendak Allah tetapi tidak sampai ke tahap diancam dengan siksaan Neraka dan tidak dikenakan hukum tertentu seperti Hudud atau Ta'zir.
Dosa kecil menjadi dosa besar:
Dosa kecil boleh menjadi dosa besar yang membawa kepada kefasikan atas beberapa sebab.
Dosa-dosa kecil sering terjadi kepada semua orang Islam, namun setengahnya gugur dengan sebab wudhu, setengahnya akan gugur dengan melakukan kebajikan-kebajikan, setengahnya Allah Ta'ala kifaratkan dengan demam, kesakitan, kecederaan atau musibah-musibah lain. Namun sebahagian lagi tidak gugur melainkan dengan Taubat Nasuha. Jika seseorang sering melakukan dosa kecil tetapi tidak mahu Taubat, maka dia terheret kepada dosa besar dan ini membawa kepada fasiq.
SIRI 115
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan
sambungan...
Poin 15: Contoh-Contoh Iblis menarik kepada kefasikan
sambungan....
Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:
Enam sebab dosa kecil berubah menjadi dosa besar.
Pertama: Kerjakan dosa berterusan
Mengerjakan dosa kecil secara terus-menerus hingga menjadi kebiasaan.
Tidak disebut dosa kecil jika dilakukan secara terus-menerus. Dan, tak ada dosa besar jika seseorang segera bertaubat dan tak mengulangi lagi perbuatannya. Satu kali melakukan perbuatan dosa besar, lalu berhenti melakukannya maka harapan untuk diampuni dosanya oleh Allah lebih besar daripada melakukan dosa kecil yang dilakukan terus-menerus.
Seperti titisan air yang terus-menerus menjatuhi sebiji batu dalam waktu yang sangat lama. Tentu kelak akan dapat membekas dan melubangi batu tersebut.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sebaik-baik amal adalah yang dilakukan terus-menerus walau hanya sedikit.”
[Imam Bukhari dan Imam Muslim]
Orang yang beramal soleh, meski sedikit demi sedikit namun jika dilakukan terus-menerus maka kelak menjadi amal yang besar. Hadith ini juga dapat berlaku sebaliknya. Dosa kecil yang dilakukan berulang-ulang dan terus-menerus kelak akan menjadi besar.
Kedua : Meremehkan dosa kecil
Setiap dosa yang dinilai besar oleh pelakunya, lalu disertai dengan penyesalan sesudahnya secara mendalam, maka dosa itu menjadi kecil pada pandangan Allah. Sebaliknya, jika dia menganggap kecil suatu dosa, hal itu menjadi besar pada pandangan Allah. Dosa itu menjadi besar disebabkan oleh kerana hati pelakunya tidak menolak dan tidak membencinya. Padahal, perasaan inilah yang sebenarnya dapat mencegah pengaruh buruk yang ditimbulkannya. Sedangkan, sifat meremehkan suatu dosa berasal dari rasa suka hatinya terhadap perbuatan tersebut.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Seorang Mukmin melihat dosanya laksana gunung di atas kepalanya dan dia khuatir gunung itu akan menimpanya. Sedangkan seorang munafiq melihat dosanya laksana seekor lalat yang lalu di hadapan hidungnya, lalu diusirnya.”
[Imam Bukhari]
Ketiga : Merasa gembira, senang dan bangga terhadap dosa kecil
Jika seseorang terdorong melakukan dosa, dan syaitan berhasil menyeretnya untuk melakukan dosa itu lagi, seharusnya dia insaf bahwa dia sedang berada dalam musibah. Sepatutnya dia merasa menyesal kerana dia telah dikalahkan oleh musuh hingga dijauhkan dari Rahmat Allah. Seorang pesakit yang merasa gembira atas pecahnya botol berisi ubat untuk penyakitnya hanya karena alasan ia terbebas dari rasa pahit ubat tersebut, maka ia tidak perlu berharap dapat sembuh dari penyakit yang dideritanya
SIRI 116
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan
sambungan...
Poin 15: Contoh-Contoh Iblis menarik kepada kefasikan
sambungan....
Keempat : Tidak menghargai Anugerah Allah yang selalu menutupi aibnya
Salah satu yang membuat nilai dosa kecil menjadi dosa besar adalah tidak adanya sikap menghargai Anugerah Allah yang telah menutupi aib-aibnya dan menangguhkan siksa-Nya. Orang tersebut tidak menyedari bahawa sebenarnya dia telah diberi tangguh waktu bertaubat, tapi sebaliknya membuatnya semakin menambah dosa maka Kemurkaan Allah pun semakin besar kepadanya. Bahkan, yang lebih buruk lagi, orang jenis ini menjadikan kesempatan yang diperolehnya itu untuk berbuat maksiat yang lainnya, dia menganggap bahawa Allah telah memerhatikannya dan meredhainya sehingga dia merasa aman dari makar-Nya.
Kelima: Melakukan dosa dengan terang-terangan dan mengumumkan pada orang lain
Dosa kecil akan menjadi besar jika dilakukan secara terang-terangan, di hadapan orang lain, atau bahkan menceritakan perbuatannya kepada orang lain tanpa menyesal. Sikap semacam ini sama saja dengan merobek-robek tabir Allah yang telah ditutupkan padanya.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Semua manusia diampuni, kecuali orang-orang yang mengumumkan perbuatan dosanya kepada orang lain (tiada penyesalan). Salah seorang dari mereka melakukan suatu dosa di malam hari, dan Allah menutupi perbuatannya itu (agar tak diketahui orang lain). Tapi, pada pagi harinya, dia membuka sendiri tabir Allah itu, dan menceritakan tentang dosanya pada orang lain.”
[Imam Bukhari dan Imam Muslim]
Keenam : Dosa-dosa para ulama yang dijadikan ikutan.
Seorang ulama yang menjadi ikutan masyarakat jika sampai melakukan dosa secara sedar (di khalayak ramai atau umum), maka dosanya lebih besar daripada dosa orang biasa. Misalnya dosa seorang ulama yang suka menghujat dan menyerang orang lain di depan umum dengan lisannya, menerima rasuah dari penguasa, suka bermegah-megah dengan kehidupan duniawi, maka dosanya lebih besar daripada orang biasa.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Barang siapa yang pertama kali mengadakan tradisi buruk, ia akan menanggung dosanya dan dosa-dosa orang yang melakukannya tanpa mengurangi sedikit pun dari dosa mereka.”
[Imam Muslim]
[Tamat Nukilan dari Kitab Ihya Imam Ghazali]
SIRI 117
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan
sambungan...
Poin 15: Contoh-Contoh Iblis menarik kepada kefasikan
sambungan....
Perbezaan dosa zahir dan dosa batin:
Dosa besar yang menjadikan seseorang itu fasiq terbahagi dua :
Pertama : Dosa zahir (yang terlihat dan dapat didengar — perkataan atau perbuatan).
Kedua : Dosa batin (dosa dalam hati yang tiada seorang pun tahu melainkan Allah Ta'ala dan dirinya).
Dosa-dosa besar yang zahir adalah seperti : Syirik Akbar — menyembah selain Allah seperti sembah matahari, bulan, bintang, gunung, busut dan lain-lain, zina, minum arak, berjudi, tenung nasib, makan riba', makan harta anak yatim secara batil, derhaka kepada Mursyid yang Siddiq, derhaka (anak) kepada ibu bapa, derhaka (isteri) kepada suami, lari dari medan jihad, mengumpat, caci maki, memfitnah, adu domba, menipu daya, khianat, mungkir janji, membunuh... bahkan banyak lagi.
Dosa-dosa besar yang batin adalah seperti : Syirik Khafi — Syirik Asghar syirik tersembunyi di dalam hati — Mengadakan "sembahan-sembahan" kepada makhluq dalam hati — iaitu Takabbur, Riya', Sum'ah, 'Ujub, Tawakkal kepada makhluq serta sifat-sifat keji dalam hati seperti jahat sangka, tamak haloba, bakhil, dendam...dan banyak lagi.
Kebanyakan orang Islam mengetahui akan dosa besar zahir dan hanya berusaha menjauhinya tetapi tidak mempedulikan dosa batin sedangkan dosa hati atau batin tidak kurang bahayanya, bahkan setengah dosa batin mengancam Iman dan boleh menjerumuskan seseorang kepada kekafiran tanpa dia sedar.
Perhatikan baik-baik...!
Di sini berlaku tipu daya iblis kepada kebanyakan orang Islam termasuk orang-orang yang alim (fiqh), Muallim, Ustaz-ustaz, Kiyai, orang yang rajin solat dan sebagainya. Mereka sungguh-sungguh memerhatikan amal yang zahir tetapi melupakan dosa-dosa batin yang melupuskan segala amal kebaikan. Iblis mendorong golongan yang alim (kitab), dan gemar beramal supaya sibuk memerhatikan amal ibadah yang zahir, merasa bangga dengannya dan da'wahkan orang lain supaya beramal banyak sedangkan mereka lupa kepada penyakit-penyakit hati yang yang amat merbahaya yang ditimbulkan oleh nafsu dan iblis...! Wal Iyazubillah.
Catitan:
Untuk penjelasan lebih lanjut Bab penyakit batin dan dosa-dosa batin, sila baca Risalah kami bertajuk : Penyakit Hati, Bahaya Yang Tidak Disedari.
SIRI 118
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan
sambungan...
Poin 15: Contoh-Contoh Iblis menarik kepada kefasikan
sambungan....
Contoh-contoh untuk dijadikan pengajaran dan i'tibar
Berikut adalah beberapa contoh bagaimana iblis menggoda orang Islam, orang yang rajin mengerjakan tahajjud, rajin puasa, banyak sedekah, Hafiz Qur'an dan terkenal sebagai ahli ibadah berubah menjadi manusia kufur dan fasiq.
Contoh 1 : Kisah Qabil membunuh Habil
Inilah kisah pembunuhan pertama di atas muka bumi. (di kalangan manusia).
Qabil tak puas hati kerana menerima perintah Allah supaya dia berkahwin dengan Lubuda (saudara kembar Habil), sementara Habil dikahwinkan dengan Iqlima (saudara kembar Qabil).
Iblis meniup kebencian di dalam hati Qabil dan mendorongnya melakukan pembunuhan terhadap Habil, saudaranya sendiri.
Iblis mengetahui kelemahan manusia yang gemar pada kemewahan dunia dan wanita, maka dia menggunakan segala peluang meniupkan kedengkian, permusuhan, pergaduhan dan akhirnya berbunuh-bunuhan semata-mata dunia yang hina..!
Contoh 2 : Kisah Pembunuhan Sayyidina Uthman Radhiallahu Anhu
Pembentontak (yang beragama Islam) menyerang dan membunuh Sayyidina Uthman Radhiallahu Anhu, sahabat akrab Rasulullah ﷺ yang dijamin Syurga oleh Allah dan Rasul-Nya. Iblis menanam permusuhan dan syak wasangka ke dalam hati pemberontak sehingga mereka tergamak melakukan perbuatan terkutuk ini. Meskipun mereka juga mengucap Kalimah Syahadah, mengakui Allah sebagai Tuhan mereka dan Sayyidina Muhammad ﷺ sebagai Nabi mereka, namun mereka tewas kepada bisikan iblis yang menguasai hati mereka...! Mereka menjadi tentera-tentera Iblis! Wal Iyazubillah.
SIRI 119
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan
sambungan...
Poin 15: Contoh-Contoh Iblis menarik kepada kefasikan
sambungan....
Contoh 3 : Hafiz Qur'an membunuh Sayyidina 'Ali Radhiallahu Anhu
Namanya Abdur-Rahman Ibnu Muljam, seorang Islam yang Hafiz Qur'an, ahli ibadah, rajin puasa. Akibat bisikan iblis, dia menjadi manusia kejam, zalim, fasiq dan amat keji sehingga sanggup membunuh Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah.
Sudah tentu ramai tertanya-tanya bagaimana seorang yang Hafal Qur'an, rajin beribadah, sentiasa basah lidah dengan ayat Qur'an sanggup melakukan pekerjaan terkutuk itu? Lebih-lebih lagi orang yang dia bunuh adalah insan pilihan Allah yang amat istimewa. Apakah yang mendorong Ibnu Muljam melakukan pembunuhan terhadap seorang Kekasih Allah? Mengapakah dia begitu berani melakukan perbuatan keji itu?
Jawapannya:
Memang benar Ibn Muljam adalah seorang Hafiz Qur'an, menjadi Guru Qur'an di zaman Sayyidina Umar Radhiallahu Anhu, terkenal sebagai ahli ibadah, namun dia menganut fahaman Khawarij (sekarang ini dinamakan Wahhabiyyah, ISIS, kaum muda, Kaum Najdiyyah dan nama-nama lain). Ibnu Muljam sepertimana kawan-kawannya menganggap diri mereka yang benar dan golongan lain salah. Mereka anggap cuma diri mereka beriman dan menuduh Ummat Islam yang lain sebagai kafir. Mereka mentafsirkan ayat Qur'an mengikut nafsu dan fikiran sendiri yang dibisik oleh iblis La'natullah.
Ketika Ibnu Muljam menghadapi hukuman pancung, dia mengulang-ulang ayat Qur'an:
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَشۡرِى نَفۡسَهُ ٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ رَءُوفُۢ بِٱلۡعِبَادِ
“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata dan Allah pula amat belas kasihan akan hamba-hamba-Nya.”
[Al-Baqarah (2) : Ayat 207]
Ibnu Muljam mengulang-ulang firman Allah tersebut kerana pada sangkaan dia ayat tersebut memuji orang seperti dia yang telah membunuh Sayyidina Ali Radhiallahu Anhu. Ibnu Muljam menyangka dia telah melakukan pengorbanan besar dan mendapat keredhaan Allah, sedangkan ayat tersebut adalah khabar gembira kepada orang yang mati Fisabillah menentang orang kafir Harbi.... BUKAN ditujukan kepada orang seperti Ibn Muljam dan kawan-kawannya dari Golongan Khawarij yang sewenang-wenang membunuh orang beriman.
Ini salah satu perangai dan sifat Khawarij (Wahhabiyyah, ISIS, kaum Muda, kaum Najdiyyah), iaitu mentafsirkan Ayat Qur'an mengikut nafsu dan pendapat sendiri. Mereka memalingkan makna ayat Qur'an yang ditujukan kepada orang kafir lalu menimpakannya kepada orang beriman.
Lihatlah bagaimana iblis memesongkan aqidah Golongan Khawarij sehingga mereka sanggup mentafsirkan ayat Qur'an mengikut bisikan nafsu dan iblis...!
SIRI 120
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan
sambungan...
Poin 15: Contoh-Contoh Iblis menarik kepada kefasikan
sambungan....
Lihatlah!
Betapa besar tipu daya iblis ke atas orang Islam yang ahli ibadah sekali pun. Bahkan seorang Hafiz Qur'an. Maka di manakah justifikasinya? Apa sebenarnya terjadi sehingga orang Islam yang terkenal sebagai Hafiz dan ahli ibadah terjemurus kepada kefasikan yang amat berat ini? Mengapa orang yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul sanggup melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya kepada Mu'min lain?
Jawapannya:
Ayat Qur'an yang mereka baca TIDAK melepasi kerongkong mereka; ertinya sekalian bacaan ayat Qur'an itu TIDAK meresap ke dalam jiwa mereka, tetapi hanya terhenti pada lisan dan aqal fikiran mereka. Hafiz Qur'an mereka hanyalah pada aqal mereka: Ertinya hafalan mereka TIDAK memasuki HATI sebaliknya hanya berlegar pada aqal mereka. (Keadaan ini sama seperti Yahudi yang hafal Qur'an dengan tujuan memerangi Islam. Hafalan si Yahudi ini hanya berada pada aqal BUKAN di dalam HATI!)
Meskipun mereka fasih membaca Ayat-ayat Al-Qur'an dan "kelihatan" hebat mentafsirkan ayat Qur'an, namun ianya keluar dari nafsu dan bisikan iblis La'natullah, BUKAN ilham Ketuhanan yang suci. Inilah golongan yang diisyaratkan oleh Junjungan Rasulullah ﷺ.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Akan ada di akhir zaman suatu kaum yang usianya muda, dan pemahamannya dangkal, mereka mengucapkan perkataan manusia yang paling baik (Rasulullah ﷺ), mereka lepas dari Islam sebagaimana lepasnya anak panah dari busurnya, iman mereka tidak sampai ke tenggorokan..”
[Imam Bukhari]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Sesungguhnya di antara Ummatku ada orang-orang yang membaca Al-Quran, tetapi tidak melampaui tenggorokan mereka. Mereka membunuh orang Islam dan membiarkan penyembah berhala. Mereka keluar dari Islam secepat anak panah keluar dari busurnya. Sungguh, jika aku mendapati mereka, pasti aku akan bunuh mereka seperti (Nabi Hud) membunuh kaum Aad,"
[Imam Muslim]
Golongan Khawarij (Wahhabiyyah) mengucapkan kata-kata yang baik dan meniru ungkapan mulia, namun mereka gunakannya dengan cara yang batil.
Hadith Rasulullah ﷺ:
Ketika kaum Khawarij Haruriyah memberontak kepada pemerintahan Sayyidina Ali Radhiallahu Anhu, mereka mengatakan, "Tidak ada hukum kecuali milik Allah". Maka Sayyidina Ali berkata, "Perkataan yang benar, namun yang diinginkan dengannya adalah kebatilan. Sesungguhnya Rasulullah ﷺ pernah menjelaskan kepadaku tentang ciri-ciri sekelompok orang yang telah aku tahu sekarang bahawa ciri-ciri tersebut ada pada mereka (Khawarij), iaitu mereka mengucapkan perkataan yang benar hanya dengan lisan-lisan mereka, namun tidak melewati kerongkongan mereka.”
[Imam Muslim]
Pada akhir zaman ini, Golongan Khawarij bangkit dengan nama-nama lain — seperti Wahhabiyyah, Najdiyyah, Kaum Muda, ISIS dan lain-lain... semua ini adalah Golongan Khawarij yang telah menyimpang dari kebenaran mengikuti bisikan iblis La'natullah. Amat malang pendokong-pendokong Iblis!
Wal Iyazubillah
Bersambung siri 121 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
____________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment