SIRI 281
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Tanda ke-2: Musnah Syirik Khafi (syirik tersembunyi)
Di antara tanda-tanda yang menjadi keberuntungan bagi Salikin yang sampai ke Maqam Tauhid ini adalah terhapusnya sekalian Syirik Khafi, iaitu takabbur, riya', 'ujub, sum'ah dan lain-lainnya yang merosakkan Iman dan batalkan Ibadah.
Orang yang sampai ke Maqam Tauhid Af'al tidak akan ego, megah, sombong, _takabbur_ atau lainnya, sebaliknya semua kesyirikan (Syirik Khafi) itu musnah dengan sendirinya. Dia akan sentiasa merendah diri kepada sekalian hamba-hamba Allah. Meskipun dia hartawan atau jutawan atau cendekiawan atau Raja yang memerintah sekalipun, dia tidak akan membesarkan dirinya, sebaliknya sifat tawadhu' menguasai dirinya. Dia sentiasa menyedari kehinaan dirinya di hadapan Allah. Dia sedar segala harta, pangkat, kekayaan, kedudukan atau apa saja keistimewaan yang ada padanya bukan miliknya tetapi milik Allah Yang Maha Agung.
Orang Islam yang berada pada tingkatan awam seringkali tewas dengan nafsu kesombongan, iaitu takabbur, riya', 'ujub, sum'ah dan lain-lain terutama ketika mereka sedang melakukan kebaikan atau mencapai suatu kejayaan hidup atau mereka memiliki suatu keistimewaan atau mereka mempunyai pangkat, kedudukan, ketinggian di kalangan masyarakat.
Misalnya apabila mereka mengerjakan solat sunnat yang banyak atau sedekah, atau qiamullail yang banyak maka datanglah perasaan takabbur, riya', 'ujub, sum'ah, atau seseorang pelajar mencapai kejayaan cemerlang lalu datang perasaan hebat di dalam dirinya, atau seorang pensyarah, guru, pakar motivasi dan sebagainya mencapai kecemerlangan di dalam kerjaya masing-masing, lalu mereka merasai kemegahan di dalam diri mereka.
Setengah orang awam yang mempunyai kesedaran, cuba atasi masalah tersebut dengan berbagai cara. Kadangkala mereka cuba menafikan, namun sifat-sifat tersebut tetap datang menguasai mereka berulang-ulang. Kadangkala mereka berjaya menolak dengan cara menggagahinya iaitu buat-buat merendah diri atau buat-buat menghina diri, namun ianya sebentar sahaja, sifat-sifat tersebut kembali menguasainya.
Tetapi jauhnya perbezaan hal-ehwal orang awam ini dengan hamba-hamba Allah yang sudah sampai ke Maqam Tauhid yang hakiki. Bagi mereka semua macam kesyirikan (syirik khafi) musnah berkat Zikrullah dan mujahadah pada Jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi ﷺ yang Siddiq. Hati mereka yang sentiasa berzikir Allah Allah menolak semua macam kesombongan atau kesyirikan. Maka selamatlah Tauhid mereka daripada kerosakan.
Tanda ke-3: Musnah Sifat Mazmumah (kekejian)
Sesungguhnya sifat Mazmumah (sifat kekejian) menguasai hampir seluruh kehidupan orang Islam. Mereka sentiasa bergelumang dengan sifat-sifat kekejian — jahat sangka, hasad dengki, mengumpat, adu domba, tipu daya, fitnah dan lain-lain tanpa henti.
Namun Alhamdulillah, berkat didikan pada Jalan Ma'rifat, mereka akan menjadi hamba-hamba Allah yang suci bersih hatinya. Mereka akan dapat melepaskan diri daripada belenggu kekejian ini. Sekalian sifat-sifat kekejian akan hancur musnah apabila Cahaya Ketuhanan meliputinya.
Inilah hasil didikan pada Jalan Ma'rifat. Dan inilah setengah dari tanda menunjukkan seseorang yang telah sampai ke Maqam Tauhid Af'al.
SIRI 282
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Tanda ke-4: Melihat Rahmat Allah pada setiap ibadah atau kebajikan
Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Af'al akan melihat Kurnia Allah dan Rahmat-Nya pada setiap ibadah dan kebajikan yang dilakukannya. Hilang keupayaan dirinya. Hilang keakuan dirinya.
Ketika berdiri untuk solat, dia akan melihat Rahmat Allah. Ketika dia ruku' dan sujud, dia melihat Rahmat Allah. Ketika dia bersedekah dia melihat Rahmat Allah yang membolehkannya sedekah. Ketika dia melakukan kebajikan, dia melihat Anugerah dan Rahmat Allah. Ketika dia mencapai kejayaan dia melihat di dalamnya Rahmat dan Ke-Agungan Allah.
Inilah sebenar-benar Tauhid, iaitu sentiasa melihat Anugerah dan Rahmat Allah pada setiap ibadah dan kebajikan yang dilakukannya dan hilang keupayaan dirinya untuk melakukan sesuatu. Hilang keakuan dirinya walau apa pun kejayaan yang dia capai.
Firman Allah:
وَمَا تَشَآءُونَ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًۭا
“Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang Di-Kehendaki Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (Mengaturkan sebarang perkara yang Di-Kehendaki-Nya)”.
[Al-Insan (76) : Ayat 30]
Firman Allah:
مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ
"Sekaliannya menurut barang yang Di-Kehendaki Allah. Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah".
[Al-Kahfi (18) : Ayat 39]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Dan ketahuilah bahawa jikalau makhluq sekaliannya berhimpun untuk memberi kamu suatu manfaat tidaklah perkara itu bermanfaat bagi kamu melainkan Allah telah menetapkannya untukmu dan jikalau mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu maka tidaklah akan memudaratkan kamu melainkan Allah jua yang telah menetapkannya bagimu, telah diangkat Qalam dan telah selesai ditulis suhuf (tempat tulisan Taqdir)”.
[Imam Tirmizi, Imam Ahmad]
Sesungguhnya pandangan dan perasaan Tauhid ini merupakan di antara tanda-tanda pencapaian Salikin yang terpenting. Orang awam yang belum sampai ke Maqam ini akan mendapati diri mereka amat sukar berdiri pada Maqam ini, iaitu hati mereka tidak melihat Rahmat Allah sebaliknya mereka akan melihat kekuatan dan keupayaan diri sendiri untuk melakukannya, maka sentiasalah mereka dikuasai Syirik Khafi. Wal Iyazubillah.
SIRI 283
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Tanda ke-5: Memperoleh Ikhlas yang sebenar
Di antara tanda-tanda hamba Allah telah mencapai Maqam Tauhid yang hakiki adalah, memperoleh Ikhlas yang sebenar-benar suci murni.
Maksud Ikhlas yang suci murni adalah:
(1) Setiap ibadah yang dikerjakannya hanya semata-mata kerana Allah, mencari Keredhaan dan Kasih-Nya BUKAN kerana mencari pahala-pahala, BUKAN kerana ganjaran-ganjaran, BUKAN juga kerana inginkan mahligai indah, bidadari atau kebendaan lain yang disukai nafsu di Syurga. Sebaliknya matlamat dan harapannya hanya Allah, berserta Allah, daripada Allah, kembali kepada Allah.
(2) Setiap amal kebajikan yang diperbuatnya atau sedekah atau kerja-kerja kebaikan untuk Ummat, jihad fi Sabilillah, semua itu hanya kerana Allah. BUKAN kerana pujian, BUKAN kerana habuan dunia, BUKAN kerana nama, pangkat, kedudukan. BUKAN kerana merebut-rebut kerusi politik dunia (seperti yang banyak berlaku pada zaman ini).
(3) Niat sekalian suatu "kerana Allah" adalah: Melihat dari dalam hati bahawa setiap Ibadah, ketaatan dan kebajikan yang dilakukannya adalah dari Rahmat Allah dan Kemurahan-Nya, BUKAN kerana usaha ikhtiar atau kemampuannya atau kekuatannya.
Ketika berdiri untuk solat, dia melihat Rahmat Allah dan Kemurahan-Nya untuk melakukannya. Ketika takbiratul ihram, ketika ruku', ketika sujud semuanya dipandang Kurnia Allah kepadanya BUKAN keupayaan dirinya atau kekuatannya.
Ketika dia mengerjakan puasa, haji, da'wah, jihad, sedekah dan ibadah yang lain-lain tidak dipandang akan kekuatannya atau kemampuannya, melainkan hanya dipandangnya Kurnia Allah dan Kemurahan Allah kepadanya.
Jika pada suatu saat dia berjaya melakukan suatu perkara misalnya kejayaan di dalam pelajaran, cemerlang di dalam perniagaan atau mencapai kemajuan di dalam pentadbiran atau lain-lain sepertinya, semua kejayaan, kecemerlangan, kehebatan tersebut dilihatnya Rahmat dan Kurnia Allah kepadanya, BUKAN kerana keupayaannya.
(4) Tidak sama sekali mempersekutukan Allah di dalam ibadahnya dengan kebanggaan, kemegahan, takabbur, riya', 'ujub, sum'ah dan lain-lain. Sekalian keakuan diri sudah musnah apabila Cahaya Af'al Allah menyinari hatinya.
(5) Tidak sama sekali merasakan dirinya sudah "ikhlas" sebaliknya dia hanya melihat dirinya berserta Allah di dalam setiap Ibadah dan ketaatannya. Ini kerana merasa sudah ikhlas belum ikhlas lagi. (Akan datang keterangan)
(6) Segala daya upayanya hilang di dalam _Qudrat_ Allah dan Limpahan Kurniaan dan Kemurahan-Nya, lalu dia berkata: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّه
(Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan Allah).
SIRI 284
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Sesungguhnya inilah gambaran hamba Allah yang sebenar-benar mencapai Maqam Ikhlas dan inilah hakikat Ikhlas yang dituntut atas setiap orang beriman sebagaimana Firman Allah:
Firman Allah:
وَمَآ أُمِرُوۤاْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya".
[Al-Bayyinah (98) : Ayat 5]
Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu:
"Kalam Allah _mukhlisin_ (orang yang sebenar Ikhlas sebagaimana perintah Allah pada ayat di atas) adalah Tauhid yang murni".
[Tafsir Ibnu Abbas]
Tafsiran Ibnu Abbas menunjukkan hubungan antara "Ikhlas" dan "Tauhid", seolah-olah beliau berikan isyarat bahawa niat Ikhlas yang suci murni itulah Tauhid yang hakiki. Mereka yang menempuh Jalan Ma'rifat akan dipermudahkan mencapai Maqam Ikhlas yang sebenar-benar suci ini kerana Cahaya Af'al Allah yang melimpah ke dalam hati dan ruhnya. Mereka akan memperoleh "Ikhlas suci" ini tanpa menggagahi dirinya atau memaksa-maksa fikirannya, sebaliknya semua itu terjadi secara langsung dengan penuh kelembutan.
Penjelasan Ringkas:
Tujuh Tingkatan Ikhlas
Ini suatu penjelasan ringkas berkenaan maqam-maqam Ikhlas orang beriman sebagai tambahan kepada huraian sebelumnya.
Sesungguhnya Maqam Ikhlas tidak sama di antara seorang dengan seorang yang lain. Ia bergantung kepada Keimanan, Tauhid atau _Ma'rifat_ seseorang iaitu sama ada hatinya dikuasai oleh Syirik Khafi (syirik tersembunyi) ataupun "Cahaya Ketuhanan" yang melimpah ke dalam hatinya.
Ulama Mu'tabar membahagikan Ikhlas kepada beberapa peringkat dan tingkatan seperti:
1. Ikhlas orang awam
2. Ikhlas orang abrar
3. Ikhlas orang 'Arif
Sebahagian lainnya memberikan perincian lebih halus dengan pembahagian berikut:
1. Ikhlas orang awam - 3 tingkatan
2. Ikhlas Salikin - 3 tingkatan
3. Ikhlas 'Arifin - 1 tingkatan
SIRI 285
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Cabang: Tiga tingkatan Ikhlas orang awam
Peringkat 1 (awam):
Melakukan amal ibadah dengan qasad (niat) kerana Allah, tetapi pada masa yang sama dia menuntut pahala-pahala atau ganjaran-ganjaran dari Allah Ta'ala atau dia mempunyai cita-cita di dalam hatinya kepada kesenangan-kesenangan syurga berupa bidadari, mahligai indah-indah, segala macam makanan enak dan hiburan Syurga.
Peringkat ke-2 (awam):
Melakukan amal ibadah dan ketaatan dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah, dan tiada keinginan atau menuntut-nuntut pahala atau ganjaran-ganjaran tetapi dia melihat kemampuan dirinya untuk melakukan amal ibadah dan ketaatan.
Peringkat ke-3 (awam):
Melakukan amal ibadah dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah dan tiada cita-cita melainkan Allah saja, tetapi dia merasakan dirinya sudah Ikhlas, iaitu dia melihat dirinya mempunyai kemampuan melakukan Ikhlas.
Inilah 3 peringkat dan Tingkatan ikhlas orang awam.
Pada sisi Fiqh, ketiga-tiga bentuk "Ikhlas orang awam" ini adalah SAH, yakni sah amal ibadahnya dan terlepas daripada taklif syara' (kewajipan sebagai mukallaf) namun apabila direnungi pada sisi Tasawwuf atau Ma'rifat , ketiga-tiga bentuk Ikhlas ini masih belum bebas sepenuhnya daripada 'mempersekutukan' Allah. Ini kerana menuntut selain Wajah Allah di dalam ibadah adalah suatu bentuk 'penyekutuan' kepada Ketuhanan. Demikian lagi melihat keupayaan dan kekuatan diri untuk melakukan ketaatan dan ibadah, merupakan satu lagi bentuk Syirik khafi yang sangat tersembunyi.
Firman Allah:
ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُوا۟ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًۭا صَـٰلِحًۭا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدًۢا
"Barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah mengerjakan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya”.
[Al-Kahfi (18) : Ayat 110]
Berkata Ibn Abbas Radhiallahu Anhu:
“Jangan mempersekutukan suatu apa pun di dalam ibadahnya, maksudnya adalah: Janganlah dia riya' dan jangan sertakan di dalam ibadahnya itu sesuatu benda atau sesiapa pun".
[Tafsir Ibn Abbas]
SIRI 286
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Tanda ke-6: Khusyu’ di dalam Solat
Di antara tanda-tanda lain seseorang yang diangkat ke Maqam_Tauhid yang benar adalah: Khusyu’ di dalam solat. Pada saat seseorang Salikin sampai ke Maqam Tauhid yang suci bersih, dia akan memperoleh Khusyu’ yang sebenar di dalam solatnya iaitu Khusyu’ dengan penghayatan hati dan ruh, menepati tuntutan Allah.
Firman Allah:
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ
"Sesungguhnya mencapai kemenangan (kejayaan, selamat) orang Mu'min, iaitu mereka yang khusyu' di dalam Solatnya".
[Al-Mu'minun (23) : Ayat 1-2]
Khusyu’ — tanda Mu'min ini sudah pasti khusyu' di dalam pengertian sebenar, iaitu "Hadir hati berserta Allah" tanpa paksaan, tanpa digagahi. Bukan buat-buat khusyu' sedangkan hati masih lalai dari mengingat Allah.
Khusyu’ ini hadir sendiri sebaik sahaja Salikin ini mengangkat Takbiratul Ihram. Bahkan sebelum angkat Takbir pun dia sudah merasai dirinya menghadap Allah tanpa sebarang kaifiyyat yang dapat huraikan bagaimana caranya. Ianya semata-mata sebuah "perasaan" dan "pandangan mata hati" yang terbuka kepada Ketuhanan. Inilah Rahmat dan Kurniaan Allah kepada Salikin yang telah mujahadah menyucikan hatinya sehingga memperoleh Cahaya Ilahiyyah.
Inilah Khusyu' sebenar sebagaimana tuntutan Allah ke atas orang beriman. Sebelum Salikin memperoleh Khusyu' yang sebenar ini, iaitu ketika dia masih di peringkat awam, dia pun cuba juga untuk khusyu' dengan berbagai cara, iaitu memaksa diri atau menggagahi untuk berbuat khusyu' mengingat-ingat Allah, namun tak berjaya. Terkadang dia rasa mula khusyu' namun selang beberapa saat fikirannya sudah pun melayang jauh kepada pekerjaan dunia seperti ke pejabat, kedai kopi, taman permainan, tepi pantai, kenduri kahwin dan lain-lain.
Mengapakah orang awam tersangat susah untuk khusyu' ?
Mengapakah dia sering terhalang dari berbuat khusyu' ?
Apakah anasir yang menyebabkan halangan tersebut?
Penjelasan bagi persoalan ini amat panjang kerana sebab-sebab yang menghalang seseorang dari khusyu' juga amat banyak. Namun punca dan sebab-sebabnya dapat dihimpunkan jadi satu, iaitu hatinya terhijab.
Maksud hati yang terhijab adalah:
Hatinya terhalang dari menyaksikan Ketuhanan. Hatinya masih diselaputi berbagai lapisan-lapisan syirik khafi, mazmumah, dosa-dosa zahir dan dosa-dosa batin, maka terhalanglah dia dari menyaksikan Ketuhanan. Apabila hatinya terhalang dari menyaksikan Ketuhanan, maka terhalanglah dari khusyu', kerana terbitnya khusyu' itu dari hati, bukan aqal fikiran.
Maksud khusyu' adalah Hadir Hati berserta Allah, Merasai Keagungan-Nya, Merasai Kehebatan-Nya sehingga terasa diri tersangat hina, lemah, faqir, takut dan mengharap Keampunan dan Rahmat-Nya.
Inilah sebabnya Salikin dididik, diasuh, dilatih membersihkan hatinya dengan zikrullah, mujahadah melawan nafsu-nafsu jahat dan bisikan syaitan serta latihan-latihan khusus yang lain sehingga hatinya benar-benar suci bersih. Ketika hatinya suci bersih dari sekalian aghyar, maka cermin hatinya memancarkan Cahaya Ketuhanan yang melimpah ke atasnya.
Ketika cermin hatinya memancarkan Cahaya Ilahiyyah yang terlimpah ke atasnya, maka melihatlah dia kepada Ketuhanan sehingga hatinya menjadi Khusyu'. Sekalian anggota zahir dan batinnya tunduk Mengagungkan-Nya. Ketika dia angkat Takbiratul Ihram, hati dan ruhnya sudah pun menghadap Rabbul Jalil, Tuhan Yang Maha Agung.
SIRI 287
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Tanda ke-7: Zikrullah di dalam hati pada setiap masa
Sesungguhnya Zikir kepada Allah di dalam hati (Zikir mengingat Allah atau Zikir Allah Allah di dalam hati) berterusan tanpa putus adalah wajib atas semua orang Islam yang mukallaf. Dalil dan fatwa Ulama Ahlus Sunnah berkenaan kewajiban ini adalah:
Firman Allah Ta'ala:
فَٱذْكُرُواْ ٱللَّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَىٰ جُنُوبِكُمْ
"Maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring".
[An-Nisaa (3) : Ayat 103]
Berkata Ibn Abbas Radhiallahu Anhu:
“Allah Ta'ala memerintahkan orang beriman untuk berzikir kepada-Nya di dalam setiap keadaan (setiap masa). Allah berfirman: "Berzikirlah kamu kepada Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring”.
[Haqaaiq At-Tasaawuf]
Firman Allah:
وَٱذۡكُر رَّبَّكَ فِى نَفۡسِكَ تَضَرُّعً۬ا وَخِيفَةً۬ وَدُونَ ٱلۡجَهۡرِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأَصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ
“Dan ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai".
[Al-A'raf (7) : Ayat 205]
Berkata Imam Fakhruddin Ar-Razi (Mujaddid kurun ke-6 Hijriyyah):
"Berdasarkan Ayat 205 Al-A’raf ini, Rasulullah ﷺ (dan Ummat Baginda) diwajibkan berzikir dalam hati (senyap — tanpa suara) dengan ingatan Allah, Allah terus-menerus sepanjang waktu siang dan malam. Kalimat ini "بِٱلۡغُدُوِّ" mewakili seluruh waktu siang dan "وَٱلۡأَصَالِ" mewakili seluruh malam".
[Tafsir Al-Kabir Tafsir Ar-Razi]
Firman Allah Ta'ala:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًۭا كَثِيرًۭا
"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya”.
[Al-Ahzab (33) : Ayat 41]
Berkata Al Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi _Radhiallahu Anhu:
"Ya anakku! Adapun hukum Zikrullah (ingat Allah Allah berterusan di dalam hati) itu wajib, kerana Perintah Allah yang mutlaq: يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًۭا كَثِيرًۭا
[Risalah Ma'rifat]
■ Apakah definisi Zikrullah ?
■ Zikrullah yang manakah wajib atas setiap Muslim?
■ Bagaimanakah cara kekal hati dengan Zikrullah?
■ Adakah mungkin kekal hati Zikrullah sedangkan manusia mempunyai banyak urusan duniawi?
Semua persoalan di atas telah dijelaskan di dalam Tajuk Risalah kami: “Keagungan dan Kewajiban Zikrullah". Di dalam risalah ini, kami jelaskan secara ringkas sahaja. In Shaa Allah.
SIRI 288
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Cabang: Kekalkan hati Zikrullah setiap masa
(ringkasan)
■ Apakah definisi Zikrullah?
Jawapan:
Zikirullah adalah menyebut Kalimah "Allah" atau Kalimah "La Ilaha Illallah" atau Asma' Allah (Nama-nama Allah yang Maha Agung dan Indah) yang lain dengan lisan atau mulut atau lidah berserta ingatan kepada Allah di dalam HATI atau semata-mata mengingat Allah di dalam HATI terus-menerus.
■ Zikrullah yang manakah wajib atas setiap Muslim?
Jawapan:
Zikir yang diwajibkan atas setiap orang Islam adalah: Ingat Allah Allah terus-menerus di dalam HATI. Adapun Zikir yang dilakukan dengan lisan (dengan keluarkan suara) sama ada dengan lafaz "Allah Allah" atau "La-Ilaha Illallah" atau "Ya Hayyu Ya Qayyum" atau "Ya Qahhar" atau lain-lain Asma' Allah, semua ini adalah hukumnya sunnat.
■ Apakah cara mencapai Zikrullah di dalam hati yang berterusan tanpa putus?
Jawapan:
In Shaa Allah dengan Rahmat Allah dan Kurniaan-Nya, seseorang mampu kekalkan hati berzikir kepada Allah, sebagaimana Perintah Allah, dengan cara mengikuti Manhaj Tarbiyyah Rasulullah ﷺ, yang diwarisi oleh Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq. Ertinya semua orang Islam sama ada lelaki atau perempuan, sama ada orang cerdik pandai mahupun orang yang tiada pelajaran tinggi akademik, semua mempunyai peluang yang sama mencapai Darjat Kemuliaan ini.
■ Adakah mungkin kekal hati Zikrullah sedangkan manusia mempunyai banyak urusan duniawi?
■ Apakah justifikasi dan penjelasan wajar yang mampu diterima aqal?
Jawapan:
Orang Islam yang tidak pernah mendengar hal ini menjadi hairan dan tidak percaya wujud hamba-hamba Allah yang mampu melakukan Zikrullah berterusan di dalam hati.
Rahsianya dan Kunci memahami hal ini adalah:
Sistem Warisan Suci Rasulullah ﷺ.
Sekalian rahsia ini cuma wujud di dalam Sistem Warisan Suci Rasulullah ﷺ. Sistem ini diterima dan dipindahkan daripada satu Generasi Pewaris Nabi kepada Pewaris Nabi berikutnya dengan jalan yang penuh rahsia, teliti, beradab dan terpelihara keaslian dan kesuciannya. Sistem ini cuma ada pada Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq. Moga penjelasan ringkas berikut dapat berikan gambaran akan rahsia kemuliaan ini.
SIRI 289
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Penjelasan Pertama:
Setiap Salikin yang menempuh jalan Ma'rifat, menerima latihan-latihan khusus daripada Mursyid, Pewaris Nabi yang memimpinnya.
(1) Latihan Zikrullah, solawat dan taubat berterusan dengan kaifiyyat-kaifiyyat khusus.
(2) Mujahadah melawan nafsu kejahatan dan bisikan-bisikan syaitan.
(3) Mujahadah menahan godaan dunia dan makhluq.
(4) Latihan-latihan Muraqabah dan Musyahadah (mengikut kelayakan).
(5) Latihan-latihan lain yang diperlukan oleh Salikin sesuai dengan keruhaniannya.
Semua jenis latihan ini tidak diajar di sekolah-sekolah dan tiada di dalam bengkel-bengkel kemahiran dan tiada diketahui oleh pakar-pakar motivasi mana pun, cuma ada pada Mursyid yang Siddiq.
Penjelasan Kedua:
Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq mewarisi kemahiran merawat hati manusia daripada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ. Mereka mempunyai seribu penawar dan seribu jalan bagi menyembuhkan segala penyakit hati manusia. Mereka memiliki perisai bagi menangkis segala macam godaan dan bisikan nafsu, syaitan, makhluq dan dunia yang membinasakan.
Penjelasan Ketiga:
Salikin diasuh dan dipimpin satu peringkat demi satu peringkat sehingga hatinya benar-benar suci bersih dari sekalian kekotoran ma'nawiyyah — Syirik khafi, Mazmumah, Ghaflah dan dosa-dosa lain sehingga cermin hatinya bersinar dengan Cahaya Zikrullah dan Cahaya Rabbaniyyah. Wujudnya Cahaya Rabbaniyyah ini yang membolehkan hati Salikin berzikir kepada Allah berterusan tanpa henti.
Ertinya hatinya tiada pernah berhenti berzikir meskipun dia sibuk dengan berbagai urusan dunia.
Khulasahnya yang mencapai Maqam Tauhid yang hakiki akan dipermudahkan melakukan Zikrullah yang Allah Ta'ala wajibkan atas setiap orang beriman, iaitu Zikir Allah Allah di dalam hati terus-menerus tanpa henti. In Shaa Allah.
In Shaa Allah. Alhamdulillah.
SIRI 290
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Tanda ke-8: Bertemu Rasulullah ﷺ
Hamba-hamba Allah yang telah disucikan hatinya dan Cahaya Ketuhanan menyinarinya, akan memperoleh Kurnia Allah melihat Rasulullah ﷺ sama ada di dalam mimpinya atau di dalam keadaan sedar (jaga). Dalil dan syarah bagi keterangan ini:
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Barangsiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya, bererti dia akan dapat melihatku di dalam keadaan sedar (jaga). Sesungguhnya syaitan tidak boleh menjelma dengan rupaku".
[Muttafaq Alaih]
Berkata Imam Sayuthi Radhiallahu Anhu berkenaan Hadith tersebut:
"Dari hadith ini kita faham bahawa sesiapa yang benar-benar beriman dengan Nabi ﷺ (Mukmin sejati) tetapi tidak dapat melihat Baginda kerana mereka tidak hadir (di zaman Nabi ﷺ), Hadith ini memberikan khabar gembira bahawa mereka akan dapat melihat Baginda sebelum mereka mati. Hadith-hadith ini juga dalil yang mengesahkan sesiapa yang pernah melihat Baginda di dalam mimpinya, pasti akan melihat Baginda di dalam keadaan jaga (yaqazah)".
Selanjutnya Imam Sayuthi menambah:
Ada sebahagian orang tidak mempercayainya dan berkata: "Bagaimanakah mungkin orang hidup melihat orang mati?"
Untuk dakwaan ini, Imam Sayuthi menjawab:
"Orang-orang yang berkata demikian jatuh kepada dua bahaya: Pertama kerana tidak mempercayai kebenaran Hadith Nabi ﷺ yang sahih dan yang kedua kerana mengingkari Kekuasaan Tuhan Yang Maha Perkasa".
[Tamat nukilan Kitab — Al Hawi-Lil Fatawi]
Fatwa Imam Ibnu Hajar Al-Haythamy Radhiallahu Anhu:
Imam Ibn Hajar Al-Haythamy ditanya: "Adakah mungkin bertemu Nabi ﷺ di dalam keadaan sedar (jaga)?" Beliau menjawab: "Ya. Benar. Melihat dan bertemu Nabi ﷺ di dalam keadaan sedar adalah mungkin (harus) hukumnya. Telah dikhabarkan kepada kami bahawa ianya adalah Karomah para Auliya Allah oleh Al-Ghazali, Al-Barizi, Al-Taj Al-Subki, dan Al-Yafi`i dari kalangan Asy-Syafiiyah dan Al-Qurtubi dan Ibn Abi Jamra dari kalangan Malikiyah".
Beliau seterusnya menegaskan:
"Sesiapa yang menafikannya, adalah dia tersesat. Mereka yang menafikannya adalah mereka menafikan kebenaran Nabi ﷺ dan menafikan Kekuasaan Tuhan serta menafikan juga Karomah Auliya Allah yang telah dibuktikan oleh Sunnah yang sahih".
[Fatawa Hadithiyyah, Ibnu Hajar Al-Haythamy]
SIRI 291
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
(1) Fatwa Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:
"Seseorang tidak dapat dikatakan Ahli Sufi (Ulama Pewaris Nabi yang Siddiq) sehingga dia sampai ke maqam di mana dia dianugerahi pandangan kepada Rasulullah ﷺ di dalam mimpinya dan diberi arahan dan tegahan. Jika keadaan ini terjadi maka hatinya akan dinaikkan ke maqam lebih tinggi serta disucikan batinnya. Beliau seterusnya akan memperoleh kehampiran dengan Allah Ta'ala sementara tangannya di dalam pimpinan tangan Rasulullah ﷺ".
[Fath-Ar-Rabbaniy Wa Faidh Ar-Rahmaniy]
(2) Fatwa Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:
"Dalam semua itu mereka mengikut teladan daripada pengikut-pengikut Rasulullah ﷺ yang terkenal sebagai Golongan Tasawwuf (Pewaris Nabi yang Siddiq) yang memakai pakaian bulu yang telah meninggalkan semua urusan keduniaan untuk berdiri di pintu Rasulullah ﷺ dan berada hampir dengan Baginda. Mereka menyampaikan khabar sebagaimana mereka menerimanya secara langsung daripada mulut Rasulullah ﷺ".
[Sirrul Asrar Fi ma Yahtaju Ilaihil Abrar]
(3) Fatwa Shaikh _Waliyullah_ Ad-Dahlawi Radhiallahu Anhu:
Berkata Imam Mujaddid Shah Waliyullah Dahlawi,
“Ayahanda saya As Shaikh Abdul Rahim juga dari segi kerohaniannya pernah bertemu dan berguru terus kepada Rasulullah ﷺ melalui jalan rohani. Hal ini berlaku pada suatu masa ayahanda saya pernah bertemu dengan Rasulullah ﷺ dalam mimpi gembira di mana dalam mimpi itu Rasulullah ﷺ telah menerima bai’ahnya dan telah mengajar beliau cara-cara berzikir kalimah nafi dan ithbat”.
[Al- Qaulul Jamil, Shaikh Waliyullah]
(4) Fatwa Imam Ash-Sha'rani Radhiallahu Anhu:
"Hukum-hukum yang mereka (Imam yang empat) keluarkan adalah bersumberkan Al-Qur’an, Sunnah Nabi, perkataan sahabat, Imam mujtahid dan kasyaf. Kasyaf itu ialah bertemu langsung dengan ruhaniyah Rasulullah ﷺ dan bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah ini (suatu Hadith) dari engkau atau tidak?”.
[Al-Mizan, Shaikh Abdul Wahab Sha'rani]
(5) Al-Imam Abu Thana Shihabuddin Sayyid Mahmud Ibn Abdullah Husayni Al-Alusi Al Baghdadi:
"Terdapat bukti-bukti kukuh dari hal bolehnya bertemu Nabi ﷺ. Ini bukanlah perkara baru, bahkan ramai orang soleh dari kalangan Ummah ini telah melihat Baginda Nabi ﷺ di dalam keadaan sedar dan menerima Ilmu dari Baginda".
[Ruhul Ma'ani, Al-Alusi]
(6) Fatwa Imam Tajuddin Ibn Atha Illah As-Sakandari:
"Jika aku tidak melihat Nabi ﷺ di dalam satu kerdipan mata, maka aku tidak menganggap diriku Muslim pada saat tersebut".
[Lataiful Minan, Imam Ibn Atha Illah]
SIRI 292
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Antara Imam-Imam Ahlus Sunnah yang memberikan pengertian serupa seperti yang telah diriwayatkan adalah:
(1) Imam Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fathul Bari.
(2) Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim.
(3) Imam Ibn ‘Ato illah al-Sakandari dalam kitab Lata’if al-Minan.
(4) Imam ‘Izzuddin Ibn ‘Abdus-Salam dalam al-Qawa'id al-Kubra.
(5) Imam al-Ghazali dalam al-Munqiz min al-Dhalal.
(6) Imam Al-Munawi dalam Faidh al-Qadir.
(7) Imam Syihabuddin al-Qarafi.
(8) Imam al-Qastallani dalam kitab al-Mawahib al-Laduniyyah.
Kesemua Imam Ahlus Sunnah yang benar tanpa kecuali telah membenarkan perkara tersebut. Mengakuinya adalah kewajipan dan mengingkarinya adalah kekufuran.
Rumusan ringkas:
■ Hadith Rasulullah ﷺ ini adalah khabar gembira bagi Mu'min yang benar-benar mencintai Baginda.
■ Hanya mereka yang mencapai darjat Mu'min sejati di-Kurniakan oleh Allah keluasan untuk melihat Baginda setelah kewafatan Baginda.
■ Permulaan melihat Baginda adalah di dalam bentuk mimpi. Kemudian Allah Ta'ala akan bukakan lagi hijabnya bagi melihat Baginda di dalam keadaan sedar (jaga).
■ Kurnia Allah kepada Mu'min pilihan ini adalah suatu Karomah (Kemuliaan), ertinya bukan kemampuan dirinya, tetapi semata-mata Anugerah Allah kepada hamba-hamba Allah yang benar-benar suci hatinya.
■ Sebahagian murid tidak terbuka hijab melihat Baginda meskipun mereka telah sampai Maqam Tauhid yang benar-benar suci. Ini mempunyai hikmah tersendiri bagi memelihara murid itu daripada kebinasaan, iaitu kerosakan akibat 'ujub atau riya'.
■ Guru yang memimpinnya (Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq) akan mengesahkan sama ada murid itu telah benar-benar melihat Rasulullah ﷺ atau semata-mata angan-angannya. Ini kerana setengah dari khayalan atau angan-angan atau cita yang kuat boleh dimanipulasi oleh syaitan dan mendatangkannya di dalam bentuk bayangan mimpi. Maka pengesahan Gurunya yang benar-benar 'Arif adalah ukuran kebenaran.
■ Tujuan Allah Ta'ala Kurniakan kemuliaan ini bagi Salikin adalah bagi memantapkan lagi Keimanan dan Keyakinannya kepada Allah Ta'ala. Dan juga lebih yakin dengan Jalan Ma'rifat yang diwarisi dari Rasulullah ﷺ. BUKAN untuk kebanggaan atau riya'. Dengan demikian Salikin dilarang keras hebah-hebahkannya kepada umum.
SIRI 293
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Tanda ke-9: Berpegang Teguh dengan Syari'at Rasulullah ﷺ
Setengah dari tanda-tanda benarnya seseorang Salikin sampai kepada Maqam Tauhid hakiki adalah: Berpegang teguh dengan Syari'at Rasulullah ﷺ, bahkan lebih kukuh daripada sebelumnya. Tanda ini adalah di antara bukti-bukti terpenting benarnya seseorang Salik sampai ke Maqam Tauhid yang hakiki dan bukan pura-pura, bukan dibuat-buat, bukan kepalsuan, bukan penyamaran dan bukan tertipu dengan angan-angan atau bisikan syaitan.
Cahaya Ketuhanan yang meliputi menjadikannya mudah melakukan sekalian tuntutan Allah tanpa sebarang keterpaksaan. Dia dipermudahkan menunaikan segala ketaatan kepada Allah dengan penuh kesungguhan dan kerelaan. Dia sempurnakan ibadah yang wajib dengan segera, dan banyakkan perkara sunnat dan tinggalkan perkara makruh.
Hal ini jauh berbeza dengan suasana ketika dia masih di peringkat orang awam. Di peringkat orang awam, terasalah baginya amat berat melakukan ibadah yang fardhu sekalipun. Apa lagi yang sunnat-sunnat. Bahkan ada waktu-waktu tertentu dia tinggalkan ibadah yang fardhu dan sewenang-wenang melanggar yang dilarang. Ini sebabnya kita perhatikan ramainya orang Islam tinggalkan solat sewenang-wenangnya. Ilmu fardhu 'ain diabaikan. Para wanitanya mendedahkan aurat.
Di peringkat Maqam Tauhid yang suci murni, kesyirikan (syirik khafi), mazmumah (kekejian) dan dosa-dosa batin yang lain hilang musnah dan diganti dengan Cahaya Keimanan yang sentiasa menarik kepada ketaatan, kebaikan dan ubudiyyah setulus hati. Jika pada suatu ketika dia tertarik kepada kejahatan, maka segeralah Cahaya Keimanan di dalam hatinya segera menolaknya.
SIRI 294
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Ringkasnya, orang yang di-Kurniakan Maqam Tauhid yang suci murni, (iaitu permulaan Ma'rifat) akan tetap berpegang teguh dengan Syari'at zahir (hukum-hakam zahir syara') dan bukan melemahkannya atau abaikannya. Apa lagi hamba-hamba Allah yang di-Kurniakan Maqam Tauhid yang lebih tinggi atau Ma'rifat lebih tinggi, maka lebih teguh pegangannya pada Syari'at, bahkan sempurna Syari'atnya. Tidak mungkin seseorang yang telah diangkat ke peringkat Ma'rifat meninggalkan Syari'at zahir kerana pada setiap ketika mereka melihat Suruhan dan Tegahan Allah Ta'ala.
Dengan demikian orang-orang yang mengaku sudah sampai Ma'rifat tetapi abaikan Syari'at Nabi ﷺ atau mengurangkannya atau melemahkannya atau mereka menganggap tidak perlu lagi memakai Syari'at lalu abaikan solat, puasa, zakat dan lain-lain, maka dia bukan Ahli Ma'rifat sebaliknya dia adalah termasuk golongan zindiq. Wal Iyazubillah. Hal ini telah disepakati sekalian Ulama Mu'tabar.
Berkata Imam Malik _Radhiallahu Anhu:
"Amalkan fiqh tanpa tasawwuf adalah fasiq. Amalkan tasawwuf tanpa fiqh adalah zindiq. Barangsiapa menghimpun keduanya itulah muhaqqiq (yang benar)".
[Nukilan kitab: Qutul Qulub, Ihya Ulumuddin dan Risalah Ma’rifat]
Sememangnya telah lama wujud sebahagian orang Islam salah gunakan Ilmu Tasawwuf atau Ma'rifat untuk kepentingan nafsu dan dunia mereka. Setengah mereka campur adukkan teori-teori Tasawwuf dengan ilmu batiniah, ilmu silat, ilmu nujum, ilmu sihir. Golongan ini cuba meniru-niru Ahli Tasawwuf dan menamakan diri mereka sebagai Ahli Tasawwuf sedangkan mereka adalah Sufi PALSU, Ahli Ma'rifat PALSU, Mursyid PALSU.
Ulama Mu'tabar telah lama berikan amaran akan wujudnya golongan ini. (Rujuk Risalah: Sufi benar dan Sufi Palsu). Orang awam tidak mampu membezakan antara kebenaran dengan kelompok-kelompok tersesat disebabkan penyamaran dan tipu daya iblis yang amat halus. Ini sebabnya orang Islam diperintah mencari Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq dan berguru dengan mereka.
SIRI 295
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Tanda ke-10: Sempurnakan Amanah
Setengah daripada tanda-tanda benarnya seseorang sampai ke Maqam Tauhid yang suci bersih adalah "Amanah" iaitu dia sempurnakan sekalian Amanah yang dipikulkan ke atas bahunya. Hal ini adalah sebagaimana penegasan Allah Ta'ala:
Firman Allah Ta'ala:
وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمۡ وَعَهۡدِهِمۡ رَٲعُونَ
"Dan (tanda orang yang benar-benar beriman adalah) mereka yang menjaga amanah dan janjinya".
[Al-Mu'minoon (23) : Ayat 8]
Di antara Amanah terbesar yang dipenuhi berbagai cabaran adalah Amanah mentadbir manusia sama ada di peringkat kampung, pekan, daerah, negeri atau negara seluruhnya. Hanya hamba-hamba yang suci hatinya sehingga bercahaya dengan Keimanan sejati mampu menunaikan Amanah ini dengan sempurna menurut Ketentuan Allah Ta'ala. Pada setiap ketika mereka akan melihat diri mereka berdiri di hujung pedang yang tajam kerana mereka sedar kesilapan yang sedikit membawa padah yang amat berat! Setiap langkah dan tindakan ditimbang pada neraca "Keredhaan Allah" bukan keredhaan manusia.
Contoh terbaik bagi menggambarkan kebenaran ini adalah para Sahabat yang dididik oleh Junjungan Rasulullah ﷺ selama 13 tahun di Makkah. Rasulullah ﷺ telah mendidik mereka menjadi insan yang benar-benar suci hatinya dan bersinar dengan Cahaya Ketuhanan. Mereka telah menempuh perjalanan yang panjang, mujahadah melawan nafsu-nafsu rendah sehingga tiada lagi kecintaan mutlaq melainkan semata-mata kepada Allah. Hanya insan-insan yang memiliki jiwa suci ini mampu mentadbir dan tunaikan Amanah menurut Kehendak Allah. Hasilnya terlihat pada era kepimpinan Khulafa Ar-Rasyidin Ridwanullah.
Sistem Pendidikan unggul Rasulullah ﷺ diwarisi oleh Sahabat-sahabat Baginda, kemudian bersambung kepada Ulama Warisatul Anbiya sehingga ke hari ini, tiada putus. Pewaris Nabi yang Siddiq (Benar) yang dikenali sebagai Mursyid, Ahli Sufi atau Ahli Ma'rifat meneruskan Warisan Rasulullah ﷺ dengan penuh dedikasi dan Amanah sampai Qiamat. Hanya mereka yang mendapat didikan Jalan Ma'rifat yang diwarisi daripada Rasulullah ﷺ ini, mampu tunaikan segala Amanah Allah dengan sempurna menurut Kehendak-Nya.
SIRI 296
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Adapun manusia Muslim yang tidak melalui proses pendidikan seperti ini, tidak akan mampu menunaikan segala Amanah Allah atas muka bumi. Jiwa mereka belum cukup bersih, bahkan dipenuhi oleh segala ketamakan dunia yang hina. Jiwa mereka berkobar-kobar ingin mengaut keuntungan duniawi. Mereka tak mampu menahan nafsu terhadap kilauan harta kekayaan yang membayangi mereka. Apabila mereka diberikan Amanah dan kuasa, mereka memerintah mengikut nafsu. Hati mereka tertutup daripada Akhirat.
Hal ini terang-terang berlaku di hadapan Ummat pada zaman ini. Orang-orang Islam "berubah" menjadi korup, _fasiq_ dan zalim apabila mereka berkuasa. Sewaktu mereka berkempen, mereka bentangkan manifesto yang mengandungi janji-janji manis dan indah. Setelah mereka mendapat kuasa, mereka menjadi syaitan. Mereka melakukan berbagai penipuan, kejahatan dan kezaliman. Hal ini termasuklah mereka yang bergelar "Ulama". "Ulama-ulama" ini sewenang-wenang menjual Agama mereka dengan secebis dunia yang hina. Mereka memutar belitkan ayat Al-Qur'an demi membenarkan pendapat nafsu mereka.
Mengapakah pemimpin-pemimpin Islam ini gagal tunaikan Amanah Allah?
Mengapakah mereka menjadi korup, jahat, fasiq dan zalim?
Mengapakah mereka sanggup menipu Ummat?
Puncanya: Keimanan belum masuk ke dalam hati. Cahaya Ketuhanan belum masuk ke hati mereka. Hati mereka dipenuhi kesyirikan (syirik tersembunyi), kekejian dan nafsu ketamakan kepada dunia.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Tanda orang munafik itu ada tiga; jika berkata, ia berdusta; jika berjanji, ia ingkar; jika diberi amanah, ia berkhianat”.
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita terhadap kepemimpinan, padahal kelak di Hari Qiamat ia menjadi penyesalan”.
[Imam Bukhari]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Tidak ada seorang hamba diberikan kepimpinan oleh Allah, mati pada hari matinya dalam keadaan khianat kepada rakyatnya kecuali Allah haramkan ke atasnya syurga”.
[Imam Muslim]
SIRI 297
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Tanda ke-11: Menyeru kebaikan Mencegah Kemungkaran
Tanda seterusnya yang wajib wujud dan pasti terlihat pada orang yang benar-benar sampai kepada Maqam Keimanan sejati adalah Amr-bil-Ma'ruf Nahyi Anil Mungkar, iaitu mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia daripada kemungkaran, kefasikan dan kekufuran tanpa mengira darjat, pangkat atau kedudukan mereka, meskipun dia Raja atau Pemerintah tertinggi sekalipun.
Hamba-hamba Allah yang suci hatinya bukanlah orang yang pentingkan diri sendiri, hanya beramal untuk dirinya sendiri sebaliknya dia akan mengajak manusia lain berbuat kebaikan dan amal soleh sebagaimana Allah Ta'ala Kurniakan Hidayah dan Taufiq kepadanya untuk menjadi hamba Allah. Demikian lagi dia juga tidak akan berdiam diri terhadap apa jua kemungkaran yang berlaku di hadapannya. Dia akan sedaya upaya mencegahnya menurut kemampuannya kerana telah terdahulu amanat Rasulullah ﷺ, bahawa menolak kemungkaran itu sebahagian dari tanda-tanda benarnya Iman seseorang.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman”.
[Imam Muslim]
Kemungkaran dan kekufuran adalah penentangan terhadap Allah, serta mencabar Kekuasaan-Nya, maka tak mungkin seseorang yang benar-benar beriman berdiam diri menyaksikannya, apa lagi bersubahat kepadanya, tidak mungkin! Sekiranya hamba Allah yang mencapai Keimanan sejati ini seorang pemimpin yang berkuasa, dia akan gunakan segala kuasanya untuk mencegah sebarang kemungkaran.
Jika dia cuma seorang alim yang hanya mampu berbicara, maka dia akan berikan nasihat-nasihat yang berguna dengan kelembutan dan jika tidak dipedulikan nasihat-nasihat yang lemah lembut, maka dia akan berikan peringatan keras dan amaran-amaran sesuai dengan Perintah Allah dan Rasul-Nya. Inilah sebenar-benar orang alim yang benar-benar beriman, iaitu orang alim yang sampai kepada Maqam Tauhid yang hakiki.
SIRI 298
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Andainya seseorang yang telah mencapai Maqam Tauhid sebenar itu bukan orang berkuasa dan bukan juga orang alim yang pandai bicara untuk berikan nasihat dan amaran-amaran kepada manusia, maka dia akan menolak segala kemungkaran dan kekufuran di dalam hatinya.
Mencegah kemungkaran dengan "hati" bermaksud: Benci dan marah di dalam hati segala kemungkaran dan kekufuran. Inilah setengah dari maksud "marah kerana Allah" dan "benci kerana Allah" yang dituntut atas setiap Mu’min. Dan lagi dia tidak pernah meredhainya. Ini kerana meredhai kemungkaran sama dengan melakukan kemungkaran. Maka tak mungkin seseorang yang telah suci hatinya bersifat demikian.
Firman Allah:
وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
"Dan sungguh Allah telah menurunkan ketentuan bagimu di dalam kitab (Al-Qur'an) bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olok (oleh orang kafir) maka janganlah kamu duduk bersama mereka sebelum mereka memasuki pembicaraan lain kerana (kalau tetap duduk dengan mereka) tentulah kamu serupa dengan mereka, sungguh Allah akan mengumpulkan semua orang munafiq dan orang orang kafir di neraka jahanam".
[An-Nisaa' (4) : Ayat 140]
Rasulullah ﷺ bersabda:
إِذَا عُمِلَتِ الْخَطِيئَةُ فِي الْأَرْضِ كَانَ مَنْ شَهِدَهَا فَكَرِهَهَا كَمَنْ غَابَ عَنْهَا، وَمَنْ غَابَ عَنْهَا فَرَضِيَهَا، كَانَ كَمَنْ شَهِدَهَا
“Apabila dilakukan satu kesalahan di atas muka bumi, sesiapa yang menyaksikannya lalu membencinya adalah seperti orang yang tidak berhadapan dengannya. Sesiapa yang tidak menyaksikannya (tidak berhadapan dengan maksiat), lalu dia redha dengan maksiat itu, adalah seperti orang yang menyaksikannya”.
[Imam Abu Daud]
Qaidah umum Fiqh:
Redha dengan ma'siat (kemungkaran) adalah ma'siat (kemungkaran) (الرِّضَا بِالْمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةً).
SIRI 299
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Tanda ke-12: Hati tenang tenteram
Orang yang sampai ke Maqam Tauhid hakiki akan di-Kurniakan oleh Allah ketenangan, ketenteraman dan kedamaian hati.
Ketenangan dan ketenteraman yang dimaksudkan adalah ketenangan dan ketenteraman berserta Allah, yang terhasil secara automatik tanpa dipaksa-paksa atau diusahakan dengan kekuatan fikir aqal. Hal ini cuma mampu dihayati oleh hamba-hamba Allah yang telah disucikan hatinya. Inilah setengah daripada tanda-tanda kebenarannya.
Hidup manusia umumnya dan Muslim khususnya dipenuhi berbagai ujian, cabaran dan dugaan. Kadangkala mereka diuji dengan kemiskinan atau diuji dengan kehilangan pekerjaan, hilang mata pencarian atau diuji dengan penyakit-penyakit berat yang tidak tertanggung atau diuji dengan kematian anak, isteri, suami, sanak saudara yang tersayang. Pada saat-saat seperti ini ketenangan dan ketenteraman jiwa akan hilang, diganti dengan keresahan, ketakutan. Kadangkala dia menjadi marah tidak menentu. Kadangkala dia menyalahkan Taqdir. Atau dia mempersoalkan ketentuan Allah dan keadilan-Nya. Setengahnya putus asa dari Rahmat Allah. Semua ini amat merbahaya kepada Aqidah atau Iman atau Tauhidnya.
Orang awam akan mendapati amat sukar menghadapi dugaan-dugaan berat ini kerana hati mereka tertutup dari melihat Ketuhanan. Meskipun kadangkala mereka sudah pun mempelajari Sifat 20, sudah mahir memahami teori-teorinya, namun mereka tak mampu menghadapinya kerana pelajaran mereka masih berada pada aqal (ilmu-yaqin).
Berbeza dengan hamba-hamba Allah yang telah terbuka mata hatinya kepada Ketuhanan, iaitu mereka yang telah mencapai Maqam Tauhid yang suci bersih, mata hati mereka terbuka kepada Ketuhanan, mereka melihat dengan ainul-yaqin akan segala ketentuan Allah Ta'ala.
SIRI 300
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Pertama:
Melihat Ni'mat Allah yang telah mereka kecapi teramat banyak sehingga mereka tak mampu mensyukurinya.
Firman Allah Ta'ala:
وَءَاتَٮٰكُم مِّن ڪُلِّ مَا سَأَلۡتُمُوهُۚ وَإِن تَعُدُّواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ لَا تُحۡصُوهَآۗ إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَظَلُومٌ۬ ڪَفَّارٌ۬
“Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menentukan bilangannya (menghitungnya). Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat kufur (kepada Ni’mat Allah)”.
[Ibrahim (14) : Ayat 34]
Kedua:
Mereka sabar ketika diuji dan penuh yakin bahawa Allah Ta'ala akan menolong mereka.
Firman Allah:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ
“Sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan khabar gembira bagi orang-orang yang bersabar”.
[Al-Baqarah (2) : Ayat 155]
Ketiga:
Mereka sedar bahawa ujian Allah itu akibat dosa-dosanya dan Allah ampuni dosa-dosanya jika dia sabar.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sentiasalah ujian itu menerpa Mu’min atau Mu’minah pada jasadnya, harta dan anaknya sampai ia bertemu dengan Allah dalam keadaan tidak mempunyai dosa”.
[Imam Ahmad dan Imam Tirmidzi]
Keempat:
Mereka yakin bahawa diri mereka dan sekaliannya akan kembali kepada Allah untuk menerima balasan. Segala Pemberian Allah Ta'ala hanya pinjaman (yang mengandungi dugaan) dan Dia berhak mengambil kembali menurut Kehendak-Nya.
Firman Allah:
كُلُّ نَفْسٍ ذَاۤىِٕقَةُ الْمَوْتِۗ ثُمَّ اِلَيْنَا تُرْجَعُوْنَ
“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kemudian hanya kepada Kami, kamu dikembalikan”.
[Al-Ankabut (29) : Ayat 57]
Maka kembalilah jiwa ini kepada Allah dengan penuh ketenangan.
SIRI 301
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Tanda ke-13: Pegang Teguh Ahlus Sunnah
Hamba-hamba Allah yang diangkat oleh Allah kepada maqam Tauhid yang suci murni, akan tetap berpegang kepada Ahlus Sunnah Wal Jama'ah yang benar (tulen), kerana Ahlus Sunnah yang benar (tulen) adalah satu-satunya Jama’ah Warisan Rasulullah ﷺ yang dijamin kebenaran dan keselamatannya.
Mereka sama sekali tidak akan menyeleweng kepada fahaman batil dan sesat. Mereka tidak akan jatuh kepada kelompok Syi'ah (rafidhi) atau Khawarij (wahhabiyyah) atau sekular (liberal) atau kelompok ilmu batiniah atau kelompok ilmu hakikat palsu atau kelompok-kelompok lain yang telah menyimpang dari Ahlus Sunnah.
Siapakah yang dikatakan Ahlus Sunnah?
Ahlus Sunnah Wal Jama'ah yang benar (tulen) adalah Jama’ah Warisan Rasulullah ﷺ yang turun-temurun daripada Sahabat Ridhwanullah, kepada sekalian Pewaris Nabi berikutnya dan berikutnya dengan kaedah perpindahan Ilmu yang khusus berterusan, terpelihara daripada penyelewengan sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dan Rasul-Nya.
Firman Allah:
قُلْ هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدْعُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى ۖ وَسُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ
“Katakanlah: ‘Inilah jalanku, yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku menyeru (manusia) kepada Allah dengan basirah (penyaksian yang jelas, penyaksian mata hati). Maha Suci Allah! Dan bukanlah aku dari golongan musyrikin”.
[Surah Yusuf (12) : Ayat 108]
Berkata Al-Imam Sulton Auliya, Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qodir Jilani Radhiallahu 'Anh:
"Dalam ayat ini yang dimaksud dengan "orang yang mengikuti daku" adalah manusia sempurna, Guru Kerohanian yang sebenar yang akan datang selepas Nabi Muhammad ﷺ yang akan mewarisi ilmu batin Baginda dan kebijaksanaan Baginda dan yang akan berada hampir dengan Allah. Manusia yang demikian digambarkan sebagai ‘pelindung dan pembimbing sebenar’. ( وَلِيًّا مُّرۡشِدً۬ا = Wali Mursyid). [Surah al-Kahfi (18) : Ayat 17]".
[Tamat nukilan kitab : Sirrul Asrar Fi Ma Yahtaju Ilayhil Abrar]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sebaik-baik manusia adalah generasiku kemudian orang-orang setelah mereka (yang telah mengikuti sahabat) kemudian orang-orang setelah mereka (yang mengikut atas orang yang mengikuti sampai silsilahnya kepada Rasulullah ﷺ)”.
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Aku berwasiat kepada kamu untuk mengikuti Sahabat-sahabatku, kemudian mengikuti orang-orang yang datang setelah mereka, kemudian mengikuti yang datang setelah mereka”. Dan termasuk rangkaian hadith ini: “Tetaplah bersama Al-Jama’ah dan jauhi perpecahan kerana syaitan akan menyertai orang yang sendiri. Dia (syaitan) dari dua orang akan lebih jauh, maka barangsiapa menginginkan tempat lapang di Syurga hendaklah dia berpegang teguh pada Al-Jama’ah”.
[Iman Turmizi, Imam Haakim]
SIRI 302
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Apakah rahsia keselamatanAhlus Sunnah? Apakah faktor-faktor yang menentukan keselamatan dan kebenarannya? Kami sudah pun huraikan hal ini secara panjang lebar di dalam tajuk bicara Ahlus Sunnah. Di sini kami cuma menyebut ringkas:
Pertama:
Penerimaan Ilmu zahir syari'at dengan wasilah Bai'at (janji setia) dan Talaqqi Musyafahah (berhadapan dan menerima langsung dari lisan Gurunya — yang sambung-menyambung silsilah pengambilan ilmu sampai Rasulullah ﷺ.
Kedua:
Penerimaan Ilmu Haqiqat dan Ma'rifat melalui limpahan — tuangan daripada HATI (Mursyid) ke dalam HATI (murid).
Rasulullah ﷺ bersabda:
مَا صَبَّ اللهُ فِى صَدْرِىْ إِلاَّ صَبَبْتُ فِى صَدْرِ أَبِى بَكـْرٍ
“Apa-apa yang Allah tuangkan ke dalam dadaku, aku tuangkannya ke dada Abu Bakar”.
[Imam Bukhari]
Ketiga:
Penerimaan ilmu langsung dari Allah — Limpahan Anugerah Nur Allah terus ke dalam dada Mursyid — dipanggil Ilham, firasat, ladunni, khitob, kasyaf.
Firman Allah:
وَعَلَّمۡنَـٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلۡمً۬ا
"....dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami".
[Al-Kahfi (18 ) : Ayat 65]
Melalui kaedah yang sangat rahsia, berdisiplin, beradab, rapi dan sistematik ini, Ilmu Ahlus Sunnah akan terpelihara sampai Qiamat. Inilah Jalan Lurus, Jalan Kebenaran mutlaq.
Firman Allah:
يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٌ۬
"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan".
[Al-Mujadilah (58) : Ayat 11]
Berkata Al-Imam Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:
Para ulama (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) adalah hamba-hamba Allah yang memiliki kedudukan istimewa, yang Allah pilih sebagai Pelita Agama-Nya. Allah Menganugerahi petunjuk kepada mereka dengan berbagai kelebihan dan keutamaan. Mereka adalah Pewaris para Nabi, pengganti mereka, dan pemimpin kaum muslimin, sebagaimana Sabda Nabi ﷺ: “Ulama adalah Pewaris para Nabi kerana ilmu yang mereka miliki. Penduduk langit mencintai mereka, dan bahkan para penghuni lautan pun memohon ampunan untuk mereka hingga Hari Qiamat”. [Riwayat Imam Ad-Dailami].
[Tamat nukilan Sirrul Asrar]
Inilah rahsia yang tidak dimiliki oleh Golongan sesat dan pembuat bid'ah sesat Khawarij (wahhabiyyah), Syi'ah (rafidhi), sekular, demokrasi, kapitalis dan lainnya. Akibatnya mereka membuat fatwa menurut nafsu, dunia dan bisikan syaitan. Pimpinan mereka sentiasa dibayangi kesesatan. Wal Iyazubillah.
SIRI 303
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Apakah rahsia keselamatan Salikin ini?
Rahsia teragung adalah Allah Ta'ala telah memperlihatkan kepada mereka kebenaran Mutlaq. Mereka diperlihatkan kepada Haqiqat Rabbaniyyah (Ketuhanan), Haqiqat Nubuwwah (Kenabian) sehingga bertemu Junjungan Rasulullah ﷺ di dalam keadaan sedar (jaga), dan juga diperlihatkan haqiqat kehidupan dan kematian,haqiqat Dunia dan Akhirat, haqiqat Mahsyar dan Mizan,haqiqat Syurga dan Neraka... sehingga hilanglah sekalian keraguan atau syak, sebaliknya penuh keyakinan yang tidak boleh digoncangkan.
Inilah bukti-bukti yang cukup banyak yang Salikin saksikan sendiri dan menghayatinya dari pandangan ainul yaqin (pandangan mata hati yang penuh yakin) tanpa sebarang syak atau keraguan apa pun bahawa satu-satunya jalan kebenaran dan keselamatan adalah Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang dipimpin oleh sekalian Warisatul Anbiya (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) sepanjang zaman sampai Qiamat.
Tanda-tanda lain:
Selain daripada Tanda-tanda Utama Mu'min sejati seperti yang telah disebutkan, masih banyak lagi sifat-sifat kemuliaan dan kepujian lain yang bercabang-cabang daripadanya seperti berikut:
(1) Berkata benar
(2) Pemurah
(3) Sabar
(4) Wara'
(5) Zuhud
(6) Syukur Ni'mat Allah
(7) Harap Rahmat Allah
(8) Takut Kemurkaan Allah
(9) Baik sangka kepada Allah
(10) Makmurkan rumah Allah
(11) Berpada dengan yang ada
(12) Damaikan antara manusia
(13) Jaga lidah dari umpatan, caci maki
(14) Jauhi dunia dan makhluq yang merosak Iman
(15) Kurang makan (tidak terlalu kenyang)
(16) Kurang bercakap (yang sia-sia)
(17) Tidak kejar kuasa dan pangkat
(18) Baik sangka sesama makhluq
(19) Jauhi fitnah, mengumpat
(20) Sentiasa membantu manusia lain
(21) Mengasihi faqir miskin, kanak-kanak, orang tua
(22) Sentiasa kasih kepada ibu bapanya
(23) Kasih sayang sesama Mu'min dan keras terhadap orang kafir
(24) Kasihi sekalian Malaikat
(25) Kasihi sekalian Auliya Allah
SIRI 304
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama: Iman Salikin – Maqam Tauhid Af’al
Tanda-Tanda Maqam Tauhid Af'al
sambungan....
Demikianlah sifat-sifat kemuliaan dan kepujian yang akan terlihat pada hamba-hamba Allah yang sampai ke Maqam Mu'min sejati yang semuanya datang dalam bentuk "penghayatan hati dan ruh", bukan sekadar ucapan atau pengakuan lidah semata-mata dan bukan pula teori yang diulang-ulang.
Sifat-sifat kemuliaan ini tidaklah kami huraikan panjang lebar di sini kerana ianya sudah pun sebati di dalam pengertian "Tanda-tanda Mu'min sejati" seperti yang telah dijelaskan. Ertinya apabila seseorang mencapai hati yang suci murni serta memperoleh limpahan Nur Rabbaniyyah, dia telah pun di-Kurniakan oleh Allah Ta'ala dengan Tauhid hakiki dan sekalian sifat-sifat kemuliaan dan kepujian yang di-Redhai-Nya menjadi penghayatan zahir dan batinnya tanpa perlu memaksa-maksa diri atau cuba-cuba melakukannya dengan daya fikir.
Sebahagian orang awam yang membaca keterangan di atas musykil dan berkata begini:
"Bagaimanakah mungkin seseorang mampu memiliki demikian banyak sifat-sifat kemuliaan dalam bentuk "penghayatan" di dalam dirinya sekaligus? Itu mustahil”. Kata mereka.
Untuk persoalan ini kami menjawab:
"Semua itu bukan mustahil, bahkan sudah terbukti sepanjang sejarah Ummat ini, mulai dari para Sahabat Ridhwanullah, kemudian diikuti zaman-zaman kemudiannya telah lahir demikian banyaknya hamba-hamba Allah yang di Kasihi-Nya, sebahagiannya mencapai Darjat Mu'min sejati dan sebahagian lagi di tingkatkan Darjat mereka lagi menjadi Kekasih Allah yang Khawasul-Khawas (Mu'min pilihan Allah yang terlebih khusus dari yang khusus). Ertinya beberapa DarjatMu'min sejati. Merekalah yang di-Kurniakan oleh Allah dengan segala sifat-sifat kemuliaan dan kepujian yang di-Redhai-Nya.
Jika engkau bertanya....
Apakah kelayakan mencapainya?
Adakah orang tertentu yang mempunyai kedudukan atau pangkat?
Atau orang bergelar profesor yang pandai syarah Agama?
Maka Jawapan kami:
Sesungguhnya semua orang Islam mempunyai keluasan yang sama untuk menjadi Mu'min sejati; baik lelaki mahupun wanita, tua mahupun yang masih muda, kaya atau miskin, profesor Universiti atau ilmuan biasa, dengan SYARAT: Mereka mengikuti Jalan yang benar, Jalan Ma'rifat, Warisan Suci Rasulullah ﷺ, berpegang teguh dan amalkan kedua-dua bahagian Agama (Syari'at dan Toriqat Nabi yang sahih) dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq (yang benar-benar menepati Syarat sebagai Pewaris Nabi).
Mereka hendaklah bersedia tundukkan diri kepada Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq untuk dipimpin. Mereka mesti membuang segala ego kesombongan diri, sama ada mereka ilmuan Agama atau jutawan harta benda atau karyawan berpangkat menteri sehingga dia seorang Raja sekalipun, hendaklah bersedia menundukkan diri, buang segala keakuan diri atau ego diri, moga Cahaya Rabbaniyyah masuk ke dalam hati dan terbuka pintu-pintu Tauhid yang hakiki atau menjadi Mu'min sejati.
Moga Allah Ta'ala memberi faham akan kamu apa yang kami perkatakan ini!
SIRI 305
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tauhid Tingkatan Kedua – Maqam Tauhid Asma’
Ketika seseorang hamba Allah yang telah pun sampai ke Maqam Af'al, meneruskan mujahadahnya bersungguh-sungguh berzikir dan Muraqabah serta wirid-wirid lainnya seperti yang disuruh, tanpa henti, maka dengan Kemurahan Allah Ta'ala Yang Maha Pengasih, terlimpahlah kepadanya Nur Asma' Allah (Cahaya Nama-nama Allah Maha Agung).
Ketika itu terbukalah hijab hatinya sehingga diperlihatkan Asma’ Allah (Nama-nama Allah Yang Maha Agung dan Sempurna). Sebagaimana sebelumnya, pandangan ini adalah ainul basirah (pandangan mata hati) yang terbuka kepada Ketuhanan. BUKAN fikir aqal, BUKAN khayalan, BUKAN teori-teori yang diulang-ulang tetapi sebenar penghayatan hati dan ruh daripada pancaran Cahaya Ketuhanan ke dalam hatinya.
Hamba Allah yang sampai ke Maqam ini akan melihat haqiqat di sebalik setiap Asma' Allah yang Maha Agung. Diperlihatkan kepadanya bahawa tidak ada suatu nama pun yang indah-indah serta memiliki Keagungan, melainkan semuanya milik Allah.
Ketika mereka di peringkat awam mengkaji Sifat 20, mereka hanya kenal nama-nama Allah berdasarkan teori sahaja. Mereka tahu dan yakin wujudnya nama-nama Allah Yang Maha Agung, namun mereka belum saksikannya. Mereka tahu wujud Asma' Allah yang Maha Suci, namun keyakinan mereka hanya berada pada peringkat Ilmul-yaqin (yakin dengan pengetahuan yang dapat difikir aqal), keyakinan mereka belum penuh. Keyakinan mereka masih terumbang-ambing antara syak, zonn dan waham.
Ketika mereka sampai ke Maqam Tauhid Asma' ini, maka terbukalah baginya haqiqat di sebalik setiap Asma' Allah, maka penuhlah keyakinannya 100% tanpa sedikit pun keraguan di dalamnya kerana mereka saksikan setiap Asma' Allah dari mata hatinya yang terbuka kepada Ketuhanan.
SIRI 306
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tauhid Tingkatan Ketiga: Maqam Tauhid Sifat
Salikin pada Tingkatan ini, dibukakan hijabnya, maka melihatlah dia sekalian Sifat Allah Yang Kamalatz (Maha Sempurna) dari mata hati dan ruhnya tanpa kaifiyyat apa pun. Terbuka baginya rahsia Sifat Istighna dan Iftiqar. Inilah sebenar Tauhid hakiki Maqam Sifat, iaitu MengEsakan Allah pada sekalian Sifat-Sifat-Nya.
Pada peringkat awam, ketika mempelajari Sifat 20, Sifat Ma'ani, Ma'nawiyyah, Istighna, Iftiqar, mereka hanya tahu Sifat-Sifat tersebut pada aqal, belum dapat penghayatan sebenar dalam hati. Tetapi apabila mereka mujahadah sungguh-sungguh pada jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq, sehingga mencapai Maqam Sifat ini dengan Rahmat Kurniaan Allah, maka terbuka baginya sekalian Sifat-Sifat Allah itu nyata dalam hati mereka. Inilah Tauhid Hakiki, Tauhid yang sebenar.
Mereka yang sampai ke Maqam Sifat ini tak perlu lagi bahas-bahas Sifat Allah berdasarkan aqal fikiran kerana ianya sudah tertanam kukuh dalam hatinya, menjadi penghayatan hati dan ruh yang tak boleh digoncangkan lagi. Keyakinan Salikin pada peringat Maqam Sifat ini adalah Haqqul-Yaqin (lebih tinggi dari keyakinan Ainul-Yaqin yang diperoleh sebelumnya).
SIRI 307
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tauhid Tingkatan Keempat: Maqam Tauhid Zat
Hamba Allah yang sampai ke Maqam ini diperlihatkan kepada wujud Zat Mutlaq, iaitu semata-mata Wujud Zat Allah sebelum diciptakan sekalian makhluq. Mereka beriman kepada Allah dengan benar-benar melihat kepada Wajah ( Zat ) Allah Yang Laisa Kamithlihi Syai'un. Mereka akan dibukakan haqiqat Firman Allah;
Firman Allah Ta'ala:
كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو ٱلْجَلاَلِ وَٱلإِكْرَامِ
"Segala suatu akan binasa. Dan Kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan".
[Ar-Rahman (55) : Ayat 26-27]
Firman Allah Ta'ala:
كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلاَّ وَجْهَه
"Segala sesuatu pasti binasa, kecuali Wajah ( Zat ) Allah".
[Al-Qasas (28) : Ayat 88]
Firman Allah Ta'ala:
وَقُلْ جَآءَ ٱلْحَقُّ وَزَهَقَ ٱلْبَاطِلُ إِنَّ ٱلْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقاً
"Dan katakanlah: Telah datang Yang Haq dan hilang lenyaplah yang batil. Sesungguhnya yang batil itu sememangnya akan lenyap".
[Al-Israa (17) : Ayat 81]
Apabila dibukakan haqiqat Ayat-ayat suci ini, maka nyatalah bagi mereka akan Haqiqat kewujudan Allah sebagai Tuhan Yang benar-benar Haq dan kewujudan makhluq yang pada haqiqat nya binasa atau tak wujud. Maka penuhlah Tauhid di dalam diri mereka, menyaksikan Zat Allah yang Laisa Kamithilihi Syai'un, tanpa sebarang kaifiyyat atau cara yang dapat melafazkannya.
Pada peringkat awam, orang Islam lazimnya akan berkata begini:
"kehidupan makhluq itu hanyalah pinjaman",
atau....
"kuasa makhluq hanya pinjaman",
atau....
"Nikmat yang ada pada makhluq hanya sementara",
atau...
"Kewujudan makhluk adalah fana', sedangkan Allah itu baqa' ".
dan lain-lain ungkapan seperti itu.
Sedangkan pada peringkat penyaksian Zat Allah, hamba-hamba Allah yang dibukakan Hijabnya, mereka benar-benar melihat dengan penyaksian hati, ruh dan sirriyah (rahsia Ketuhanan yang sangat dalam) bahawa sesungguhnya yang wujud hanya Zat Allah Yang Maha Agung sedangkan sekaliannya tak wujud pada haqiqatnya.
Zahirnya wujud, sedangkan hakikatnya " fana' " atau "binasa" atau "tak wujud".
Ahli Ma'rifat berikan beberapa tamsilan (perbandingan) bagi memahami keadaan ini:
SIRI 308
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjelasan Tauhid Tingkatan Keempat: Maqam Tauhid Zat
sambungan...
Tamsilan Pertama: Cahaya matahari dengan cahaya pelita
Kamu menyalakan pelita di siang hari ketika matahari terik memancar. Kamu hanya melihat cahaya matahari, sedang cahaya dari pelita tidak kelihatan, meskipun pada zahirnya pelita itu wujud dan cahaya pelita itu juga wujud, namun keduanya tenggelam atau hilang atau tak wujud pada padangan. Maka kamu katakan: "Cahaya pelita" tak wujud dan "Pelita itu juga tak wujud" kerana dihilangkan oleh Cahaya Matahari yang terang.
Tamsilan Kedua: Kayu dan bayang-bayangnya
Kamu pacakkan sebatang kayu ketika siang hari maka kelihatanlah “bayang-bayangnya". Wujud bayang-bayang adalah kerana wujudnya kayu itu. Apabila kayu itu dialihkan, maka hilanglah bayang-bayangnya. Moga memperoleh faham.
Inilah Keimanan tertinggi, Maqam Tauhid Tertinggi kepada Allah. Hamba-hamba Allah yang sampai peringkat ini tidak lagi dinamakan Salikin, tetapi mereka adalah 'Arifin atau disebut 'Arif Billah atau Ahli Ma'rifat yang sebenar. Maqam ini adalah Maqam khawasul-khawas terlebih khusus daripada yang khusus — Hanya Kurnia Allah kepada hamba-hamba-Nya yang mengabdikan diri dengan penyerahan penuh di dalam Persulukannya. Keyakinan hamba Allah ini dikenali sebagai Kamalul-Yaqin — Keyakinan yang sempurna.
Penjelasan Tauhid Tingkatan Kelima – Maqam Tajalli Zat
Ini setinggi-tinggi Maqam hamba Allah mencapai Darjat Kekasih Allah. Tidak dihuraikan keadaannya kerana tak layak didedahkan kepada umum. Memadailah bagi orang awam dan Salikin mengetahui bahawa pada setiap zaman wujud hamba-hamba pilihan Allah ini, menjadi kekasih Allah terulung. Namun bilangannya amat sedikit.
SIRI 309
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Fakta-fakta Penting Maqam Tauhid Zat
Berikut adalah beberapa fakta penting berhubung dengan "Maqam Tauhid Zat" yang kami ringkaskan. Ia amat berfaedah bagi hamba-hamba Allah yang baru sampai ke "Maqam Tauhid Zat" agar mereka tetap waspada dengan Kurniaan Allah Yang Amat besar ini dan tidak "terbawa-bawa" oleh perasaan sendiri.
Selain itu fakta-fakta penting ini boleh dijadikan sebagai panduan dan pengetahuan umum bagi sekalian Salikin yang masih di dalam perjalanan kepada Allah.
Demikian lagi fakta-fakta ini juga berfaedah bagi orang awam yang masih tercari-cari “Jalan Ma’rifat” dan “Mursyid yang Siddiq” agar mereka tidak terpedaya dengan golongan Ma’rifat PALSU seperti "golongan batiniah" atau "golongan hakikat palsu" atau “golongan Silat Ma’rifat palsu” atau golongan-golongan lain yang hanya berpura-pura mencapai “Ma’rifat” demi mencari kemasyhuran atau harta dan pangkat duniawi. Mereka adalah golongan tertipu dengan nafsu dan bisikan iblis.
Mereka mencemarkan nama “Ahli Ma’rifat”, “Ahli Sufi” dan “Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq”. Orang awam yang jahil menyangka pendusta-pendusta tersebut sebagai “Ahli Ma’rifat”, “Ahli Sufi”, “Mursyid sebenar” lalu terjemurus kepada kesesatan. Sebahagian cerdik pandai Agama juga tertipu dengan “penyamaran” golongan pendusta ini lalu menjadi penentang buta kepada Jalan Ma’rifat yang suci murni.
Allah Penyelamat hamba-hamba Allah yang benar-benar mencari Jalan Kembali dengan hati yang Ikhlas.
Fakta 1: Maqam Tertinggi Tauhid atau Ma'rifat
Maqam Tauhid Zat adalah Maqam Tertinggi pada perjalanan menuju Allah, kembali kepada Allah sebagai hamba-Nya yang sejati, kembali kepada kesucian ruh sebagaimana keadaannya ketika dia di Alam Nur. Di Alam Nur, setiap ruh insan adalah suci bersih, tiada noda dan tiada hijab. Mereka melihat Allah Ta'ala tanpa sebarang hijab.
Ketika seseorang hamba Allah sampai ke Maqam Tauhid Zat, ruhnya bebas daripada keterikatan dengan jasad yang membalutinya, maka memandanglah ruh mereka kepada Zat Allah sebagaimana mereka pernah melihat Zat Allah ketika di Alam Nur.
SIRI 310
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Fakta-fakta Penting Maqam Tauhid Zat
sambungan....
Fakta 1: Maqam Tertinggi Tauhid atau Ma'rifat
Maqam Tauhid Zat adalah Maqam Tertinggi pada perjalanan menuju Allah, kembali kepada Allah sebagai hamba-Nya yang sejati, kembali kepada kesucian ruh sebagaimana keadaannya ketika dia di Alam Nur. Di Alam Nur, setiap ruh insan adalah suci bersih, tiada noda dan tiada hijab. Mereka melihat Allah Ta'ala tanpa sebarang hijab.
Ketika seseorang hamba Allah sampai ke Maqam Tauhid Zat, ruhnya bebas daripada keterikatan dengan jasad yang membalutinya, maka memandanglah ruh mereka kepada Zat Allah sebagaimana mereka pernah melihat Zat Allah ketika di Alam Nur.
Firman Allah:
وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡۖ قَالُواْ بَلَىٰۛ شَهِدۡنَآۛ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ
"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Bahkan (Benarlah Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Qiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".
[Al-A'raf (7) : Ayat 172]
Ketahuilah...!
Inilah kemuncak Tauhid. Iaitu ketika hati dan ruh seseorang hamba Allah (yang telah mujahadah dengan ikhlas dan sunggguh-sungguh pada Jalan-Nya) mencapai kesucian yang sempurna, maka pada ketika itu ruhnya menghadap Allah sebagaimana ia melihat-Nya ketika di Alam Nur. Hal inilah yang diisyaratkan oleh Junjungan Besar Rasulullah ﷺ di dalam Hadith Jibril.
Rasulullah ﷺ bersabda:
أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
"(yang dikatakan Ihsan) ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia (Allah) Melihat engkau".
[Imam Muslim, Imam Abu Dawud, Imam Tirmizi, Imam Ahmad]
Sesungguhnya, inilah kemuncak Tauhid, kemuncak mengenal Allah, kemuncak Ubudiyyah kepada Allah Ta'ala. Iaitu ketika hati dan ruhnya benar-benar suci bersih daripada semua jenis kesyirikan, kekejian, dosa-dosa dan segala suatu selain Allah, maka ketika itulah sekalian hijab (dinding penghalang) terangkat dan dia melihat akan Zat Allah Yang Maha Agung — Zat Tuhan Yang Laisa Kamithilihi Syai'un (tiada umpama sesuatu seperti-Nya) melalui pancaran cahaya ruh (roh) dan sirrnya (rahsia Ketuhanan yang sangat dalam).
Tiada yang mampu menyelami maksud "Ihsan" dan mencapai "Maqam Ihsan", (Maqam kesempurnaan Tauhid) ini melainkan mereka yang telah bersungguh-sungguh mujahadah pada Jalan Allah dan mematuhi syarat-syaratnya sebagaimana yang telah ditegaskan oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah.
SIRI 311
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Fakta-fakta Penting Maqam Tauhid Zat
sambungan....
Fakta ke-2: Gelaran atau Nama lain
Maqam Tauhid Zat yang sempurna dikenali dengan berbagai istilah lain, antaranya:
1. Maqam Ihsan (sempurna melihat Zat Yang Maha Quddus)
2. Maqam Taqwa (sebenar-benar Taqwa atau sempurna Taqwa)
3. Maqam Ma'rifat (yang sempurna Ma'rifat)
4. Maqam Wasil (sampai Hadratul Quddus)
5. Maqam Kasyaf (yang sempurna terbuka kepada Ketuhanan)
6. Maqam Rijal (Lelaki Allah atau Pahlawan Allah)
7. Maqam Baqa' (sempurna tetap berserta Allah)
8. Maqam Khawasul Khawas (terlebih khusus)
9. Maqam Auliya (Wakil dan Kekasih Allah)
10. Maqam Sahabat atau Khalifah Rasul (Wakil Rasulullah)
Catitan ringkas bagi menjelaskan berbagai istilah ini:
1. Maqam Ihsan
Hamba Allah yang sampai Maqam Tauhid Zat yang tahqiq dipanggil Muhsinin, iaitu sempurna penyaksian mereka kepada Allah Ta'ala. Mereka melihat Allah di dalam setiap ibadah. Bahkan mereka tidak terpaling daripada memandang Wajah Allah pada setiap saat dan ketika.
Orang awam musykil, bagaimanakah mungkin hal ini terjadi?
Adakah mungkin seseorang menghadap makhluq dan pada waktu yang sama dia juga melihat Allah?
Jawapan:
Yang demikian merupakan Karomah yang Allah Kurniakan kepada Kekasih-Nya. Mereka melihat dengan penglihatan Allah, atau dikatakan mereka memandang dengan Nur Rabbaniyyah (Cahaya Ketuhanan).
Kunci memahami hal ini pada Hadith Qudsi:
Hadith Qudsi:
"..... فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِيْ يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِيْ يُبْصِرُ بِهِ....."
"Maka Aku akan mencintainya dan apabila Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat...".
[Imam Bukhari]
2. Maqam Taqwa
Hamba Allah ini dipanggil Muttaqin, iaitu Taqwa yang sempurna, mencapai Taqwa seperti yang di-Kehendaki Allah. Permulaan Taqwa adalah pada Maqam Tauhid Af'al dan kesempurnaannya ketika Salikin sampai ke Maqam Tauhid Zat yang tahqiq. Oleh kerana ini hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat dikatakan mencapai Maqam Taqwa yang sebenar-benar Taqwa.
3. Maqam Ma'rifat
Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat dikenali sebagai 'Arif Billah, iaitu Maqam Ma'rifat yang sempurna, penuh Ma'rifatnya kepada Allah.
Maksudnya adalah Ma'rifat yang dicapai oleh Salikin pada peringkat Af'al, Asma' dan Sifat belum cukup sempurna. Mereka masih di peringkat latihan dan sedang di dalam proses membina keyakinan mereka kepada Allah.
Walau bagaimanapun Salikin yang mencapai Maqam Tauhid Af'al saja pun sudah mencapai kedudukan yang tinggi di Sisi Allah, cahaya hati mereka memenuhi langit dan bumi. Hal ini (hal Salikin yang mencapai Maqam Af'al) amat jauh beza dengan orang awam yang sentiasa bergelumang di dalam kesyirikan dan kekejian hati.
SIRI 312
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Fakta-fakta Penting Maqam Tauhid Zat
sambungan....
Fakta ke-2: Gelaran atau Nama lain
sambungan...
4. Maqam Wasil
Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat yang tahqiq ini dipanggil Wasilin, iaitu orang yang sampai kepada Hadratul Quddus, "bertemu" Allah dan berkasih-kasih dengannya.
Penjagaan: Maksud wasil (sampainya hamba kepada Hadrat Tuhan) di sini adalah bermaksud terangkat hijab-hijab hati hamba sehingga dia "Melihat Allah dari dalam hati" dan maksud "bertemu" adalah pertemuan ruh dengan Zat Allah yang Laisa Kamithlihi Syai'un tanpa kaifiyyat atau caranya, BUKAN bermaksud seperti sampainya makhluq menghadap makhluq, misalnya kamu katakan: "Si fulan sampai ke istana Raja dan bertemu Raja di singgahsananya"... TIDAK! Bukan demikian.
5. Maqam Kasyaf
Hamba Allah ini dipanggil Ahli Kasyaf, dalam pengertian yang sempurna iaitu "terbuka" kepada melihat Allah Ta'ala dan juga terbuka kepada sekalian yang ghaib menurut Kehendak Allah (BUKAN KEHENDAK DIRINYA), sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini.
6. Maqam Rijal
Hamba Allah ini juga dikenali sebagai Rijalullah. Rijalullah lazimnya ditafsirkan dengan makna "lelaki Allah", iaitu bersemangat waja, sentiasa mendahulukan Kehendak Allah mengatasi kehendak makhluq, sentiasa berada di hadapan di dalam Ketaatan dan Ubudiyyah kepada Allah. Mereka menjunjung tinggi panji-panji Agama dan mempertahankan Allah dan Rasul-Nya. Mereka inilah sebenar Pahlawan Allah di atas muka bumi.
7. Maqam Baqa'
Hamba Allah ini dikatakan sampai ke Maqam Baqa' yang bermaksud Di-Kurniakan ketetapan oleh Allah Ta'ala, kekal berserta Allah, tiada berubah-ubah lagi. Inilah pengertian lain bagi Maqam Istiqamah.
Pegangan ini membanteras pendapat kaum Batiniah atau ilmu Haqiqat Palsu yang mendakwa diri mereka sudah kekal seperti Allah dan bebas daripada hukum Syara'. Mereka ini adalah kaum zindiq yang jelas sudah terkeluar dari Agama. Wal Iyazubillah.
8. Maqam Khawasul Khawas
Hamba Allah ini dikatakan mencapai Maqam Khawasul Khawas, iaitu hamba-hamba Pilihan Allah yang sangat khusus daripada yang khusus, menjadi Kekasih-Nya. Huraian lanjut sama seperti huraian berkenaan Maqam Auliya Allah peringkat tinggi.
SIRI 313
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Fakta-fakta Penting Maqam Tauhid Zat
sambungan....
Fakta ke-2: Gelaran atau Nama lain
sambungan...
9. Maqam Auliya
Hamba Allah ini termasuk Auliya Allah, iaitu Wakil Allah dan Kekasih-Nya atas muka bumi bagi memakmurkannya dengan Kalimah Allah. Mereka bekerja dengan cara dan kaedah yang tidak difahami oleh kebanyakan manusia awam. Zahir tubuh mereka di atas muka bumi sedang ruh mereka menghadap Allah tanpa sebarang kaifiyyat yang mampu dihuraikan dengan kata-kata. Mereka menyebarkan Ilmu dan Cahaya Ketuhanan kepada seluruh dunia, khususnya kepada orang-orang beriman dengan Jalan Rahsia yang di luar pengetahuan manusia awam.
10. Maqam Sahabat atau Khalifah Rasul
Hamba Allah ini diberi gelaran "Sahabat Rasulullah ﷺ" dan "Khalifah Rasulullah ﷺ" disebabkan ketinggian Maqam Kurniaan Allah kepada mereka. Sesungguhnya mereka benar-benar menjadi Sahabat dan Wakil Rasulullah ﷺ setelah ketiadaan Baginda kerana merekalah Pewaris dan Penyambung Warisan Suci Rasulullah ﷺ. Allah Ta'ala meninggikan darjat mereka mengatasi manusia lain dan menjadikan mereka Pahlawan Islam.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Dahulu kaum Bani Isra’il dipimpin oleh para Nabi. Setiap seorang nabi meninggal dunia, maka diganti seorang nabi lainnya. Maka sesungguhnya tidak ada nabi yang menggantikan setelah aku meninggal dunia, namun yang menggantikanku adalah khalifah-khalifah. Maka mereka banyak mempunyai pengikut-pengikut”, Sahabat bertanya, “Wahai Rasul apakah yang engkau perintahkan pada kami?” Rasul menjawab, “Laksanakan bai’at seperti bai’at pertama kali di hadapan mereka dan tunaikan hak-hak mereka. Kalian mintalah kepada Allah yang menjadi bahagian kalian, kerana Allah Ta’ala menanyakan tentang apa yang mereka pimpin”.
[Imam Bukhari, Imam Muslim]
Pengertian khusus istilah "Khalifah" dan "Sahabat" Rasul, adalah tertuju kepada orang-orang yang benar-benar beriman dengan Nabi ﷺ dan berjuang bersama Nabi ﷺ ketika hayat Baginda. Namun pada pengertian umum, semua hamba-hamba Allah yang mencapai Maqam yang tinggi di Sisi Allah, memperoleh pancaran Nur Muhammad di dalam hati mereka, istiqamah mengikuti jejak Baginda zahir dan batin (Syari’at dan Toriqat) dan memperjuangkan Risalah Baginda adalah termasuk ke dalam pengertian "Khalifah" dan "Sahabat" Baginda.
Dengan pentafsiran tersebut, kamu tentu sudah mendapat gambaran tepat berkenaan "Khalifah Rasulullah ﷺ” – kesucian hati mereka, Ketaqwaan mereka, keperibadian mereka yang unggul, akhlaq mereka mencontohi Junjungan Rasulullah ﷺ.
Maka tak mungkin yang dikatakan "Khalifah Rasulullah ﷺ” itu seorang yang hipokrit, pentingkan diri, mengejar pangkat dan kemegahan duniawi, kedudukan dan lain-lain mengikut nafsu. Maka ternafilah sekalian orang-orang bergelar “Amir” atau "Khalifah” atau “Pemimpin Ummat” tetapi pada hakikatnya mereka menuruti hawa nafsu, rakus, fasiq dan zalim. Orang-orang seperti ini BUKAN "Khalifah Rasulullah ﷺ” meskipun mereka berbangga-bangga dengan gelaran tersebut dan duduk di kerusi empuk pemerintahan. Mereka hanyalah manusia-manusia fasiq yang menjual Agama. Wal Iyazubillah.
SIRI 314
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Fakta-fakta Penting Maqam Tauhid Zat
sambungan....
Fakta ke-3: Maqam Tauhid Zat bertingkat-tingkat
Maqam Tauhid Zat bukan satu tingkatan, tetapi terdiri dari beberapa tingkatan bermula dari Musyahadah Mutlaq sehingga setinggi-tingginya Maqam Tajalli.
Para Sahabat Rasulullah ﷺ terdiri dari berbagai Tingkatan — mempunyai Maqam Tauhid atau Ma'rifat masing-masing, sebahagian mereka lebih tinggi dari yang lain. Sahabat Nabi yang paling tinggi adalah Khulafa Ar-Rasyidin (sahabat empat), kemudian Sahabat 10 yang terpilih, kemudian Sahabat Ahl-Badar (Sahabat perang Badar) dan lain-lain menduduki Maqam masing-masing. Hanya Allah Ta'ala mengetahui kesemuanya. Rasulullah ﷺ juga mengetahui sebahagian rahsia-rahsia ini daripada Wahyu Allah kepada Baginda.
Bagi hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat, semua macam Kesyirikan (Syirik Khafi — syirik yang bersarang di dalam hati) terhapus, tiada lagi tersisa sebarang bentuk kesyirikan di dalam hati, dan terhapus segala macam mazmumah, sifat keji. Bahkan tiada ghaflah (kelalaian) dan aghyar (segala suatu melainkan Allah)... semuanya terhapus. Secara tegas: Di dalam hati mereka tiada lain melainkan Allah.
Fakta ke-4: Istiqamah pada Syari'at dan Haqiqat
Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat akan benar-benar Istiqamah kerana ia adalah sebenar-benar Maqam Istiqamah, iaitu tetap berpegang teguh dengan Syari'at Rasulullah ﷺ dan Adab-adab Toriqat Rasulullah ﷺ tanpa abaikan mana-mana satu daripadanya.
Fakta ke-5: Ikhlas yang sempurna
Pencapaian Maqam Tauhid Zat yang sempurna membawa kepada kesempurnaan di dalam Ikhlas. Sebagaimana yang telah dihuraikan, keikhlasan seseorang bergandingan dengan Tauhidnya. Ertinya mereka yang telah sampai Maqam Tauhid Zat itulah sebenar-benar Ikhlas di dalam Ubudiyyah kepada Allah Ta'ala. Mereka menafikan segala keupayaan diri dan hanya menyerahkan diri kepada Kekuasaan dan Kemurahan Allah Ta'ala. Bahkan mereka tidak melihat wujud diri mereka melainkan hanya Wujud Allah. Apabila mereka melakukan kebajikan, sedekah dan khidmat kepada Ummat, tiada yang mereka pandang melainkan perencanaan Ilahi yang Maha Rapi dan Maha Sempurna. Sesungguhnya semua kelebihan ini tidak mampu dihayati melainkan mereka yang benar-benar sampai ke Maqam ini.
SIRI 315
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Fakta-fakta Penting Maqam Tauhid Zat
sambungan....
Fakta ke-6: Sempurna Khusyu' di dalam Ibadah
Khusyu' di dalam Solat adalah tanda Mu'min sejati. Alhamdulillah, Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat, memperoleh keluasan untuk menyempurnakan kewajiban ini dengan ketenangan tanpa perlu memaksa-maksa dirinya. Jika engkau bertanya apa perbezaannya dengan orang yang sampai Maqam Tauhid Af'al yang juga diberi keluasan untuk Khusyu' , maka jawapannya: Memang benar orang yang telah mencapai Maqam Tauhid Af'al sudah pun mencapai Khusyu' di dalam solat, namun mereka sesekali akan terpaling tanpa sedar. Sedangkan orang sudah mencapai Maqam Tauhid Zat sudah sempurna Khusyu'nya.
Fakta ke-7: Pentadbir Dunia Ma'rifat
Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat adalah Ahli Marifat yang diberikan berbagai Amanah yang berat-berat, di antaranya mentadbir Dunia Marifat . Dunia Marifat adalah Dunia Rahsia yang ditadbir oleh Majlis Wali-Wali, yang keberadaannya juga sangat rahsia. Tiada yang mengetahui melainkan ahlinya. Mereka mentadbir dunia dengan cara-cara yang tidak difahami oleh kebanyakan manusia.
Fakta ke-8: Sentiasa di dalam Pimpinan Allah dan Rasul-Nya
Hamba Allah ini sentiasa di dalam Pimpinan Allah dan Rasul-Nya. Ertinya setiap perbuatan dan perkataan mereka tiada keluar dari Ketaatan dan Ubudiyyah kepada Allah Ta'ala. Mereka sentiasa memperoleh Ilmu ladunni dan "Ilham-ilham suci" daripada Allah Ta'ala. Jika pada suatu ketika mereka tersilap, maka teguran Allah Ta'ala akan sampai kepada mereka seketika itu juga. Ini sebabnya mereka dipanggil mahfuz, dipelihara oleh Allah.
SIRI 316
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Fakta-fakta Penting Maqam Tauhid Zat
sambungan....
Fakta ke-9: Selamat dari Tipu daya Iblis dan Syaitan
Hamba-hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat yang tahqiq ini tidak akan jatuh kepada tipu daya iblis dan kuncu-kuncunya kerana mereka telah mujahadah lama memerangi nafsu jahat dan bisikan-bisikan iblis. Dengan pimpinan dan tunjuk ajar Guru mereka yang 'Arif (Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq), mereka mengenali iblis dan syaitan dan mengenali cara-cara mereka masuk menipu daya manusia. Maka selamatlah mereka dengan Rahmat Allah, daripada tipu daya iblis yang amat licik dan halus.
Hal ini berbeza dengan orang awam yang cuma menuntut ilmu zahir Syari'at semata-mata dan abaikan Toriqat (Tasawwuf) serta tidak mendapat pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, seringkali tersungkur di kaki iblis dan kuncu-kuncunya lantaran tidak mengenali helah licik dan tipu dayanya. Meskipun dia seorang yang sangat alim di dalam memahami segala kitab Fiqh dan mahir berdebat Sifat 20, dia tetap terdedah kepada bahaya bisikan nafsu kejahatan dan godaan syaitan. Bahkan orang alim yang hanya mahir ilmu zahir dan tidak menuntut Tasawwuf dan tidak mendidik hatinya dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq, maka orang itu lebih banyak terdedah kepada bisikan-bisikan halus iblis dan syaitan.
Bukti bagi hal ini adalah:
Pelopor kepada Golongan sesat (72 golongan sesat) adalah orang-orang alim fiqh dan cerdik pandai Agama. Golongan cerdik pandai Agama inilah yang memimpin manusia kepada kesesatan; bermula dari Khawarij (Wahhabiyyah sekarang), Syi'ah (rafidhi), Mu'tazilah, Jabariyyah, Mujassimah, Musyabbihah dan lain-lain semuanya berjumlah 72 firqah sesat. Mereka BUKAN orang bodoh yang tak tahu hukum-hakam fiqh, sebaliknya cerdik dan pintar memahami Zahir Syari’at Agama. Namun kepintaran yang tidak mendapat Limpahan Cahaya Ketuhanan akan membawa kepada kesombongan, takabbur, riya, 'ujub dan kekejian hati yang akhirnya memadamkan cahaya hati. Apabila hati telah gelap, maka masuklah syaitan memimpin mereka kepada kesesatan sedang mereka tidak menyedarinya. Wal Iyazubillah.
Pada zaman ini, penyambung warisan firqah-firqah sesat ini wujud di dalam pakaian kemegahan Univerisiti bergelar PhD, Profesor dan Ijazah Sarjana. Sebahagiannya duduk di kerusi jabatan Agama sebagai Mufti dan pegawai Agama. Mereka melakukan berbagai dakyah, menuduh sana sini bid'ah sesat. Mereka sewenang-wenang mengeluarkan fatwa sesat dan menyesatkan.
Orang-orang awam yang jahil menjadi pendokong buta kepada golongan cerdik pandai Agama ini. Mereka disesatkan oleh iblis dan kuncu-kuncunya. Iblis memperdaya golongan ini dengan sangkaan bahawa mereka melakukan kebaikan, sedangkan ianya terbalik. Iblis pakar di dalam hal menimbulkan sangkaan-sangkaan seperti ini terhadap golongan cerdik pandai Agama, iaitu memperlihatkan kesesatan, kebatilan dan kefasikan sebagai perkara yang baik dan soleh.
Firman Allah:
قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِين
Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan buruk, keji, ma'siat atau mungkar) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas".
[Al-'Hijr (15) : Ayat 39-40]
Betapa halus tipu daya iblis sehingga orang cerdik pandai Agama pun tertipu dengan helah liciknya. Amatlah malang mereka yang terus menjadi pendokong-pendokong firqah-firqah sesat. Wal Iyazubillah.
SIRI 317
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Fakta-fakta Penting Maqam Tauhid Zat
sambungan....
Fakta ke-10: Mujtahid dan Mujaddid — Ahli Ma'rifat yang tinggi
Suatu fakta yang amat penting berhubung dengan Mujtahid dan Mujaddid, namun jarang didedahkan kepada umum adalah kedudukan mereka yang tinggi di Sisi Allah. Mereka menduduki Maqam Tauhid tertinggi, menghadap Allah pada setiap ketika serta di dalam pimpinan tangan Rasulullah ﷺ. Mereka adalah Ahlut-Taqwa yang di-Kasihi Allah. (Rujuk penjelasan-penjelasan sebelum ini berkenaan mereka yang mencapai Maqam Tauhid Zat).
Ketahuilah, sekalian Mujtahid dan Mujaddid yang benar hanya wujud di dalam Ahlus Sunnah Wal Jama'ah. Mereka adalah hamba-hamba Allah yang takut kepada Allah dengan sebenarnya. Mereka mentafsirkan Ayat Al-Qur'an dan Hadith Nabi ﷺ berdasarkan Petunjuk Allah. Sebelum mengeluarkan suatu fatwa, mereka mengumpulkan segala keterangan Al-Qur'an dan Hadith lalu munajat kepada Allah. Setelah mereka memperoleh jawapan dan yakin bahawa yang demikian itu di dalam Keredhaan Allah, barulah mereka mengeluarkan fatwa.
Perhatikanlah hal keadaan sekalian Mujtahid dan Mujaddid, di antaranya yang sangat terkenal di Dunia Islam:
1. Imam Hasan Al-Basri
2. Imam Sufyan Ath-Thawri
3. Al-Imam At-Toriqah Wal Haqiqah, Imam Ja'afar Siddiq
(Guru kepada Imam Abu Hanifah dan Imam Malik)
4. Imam Junaid Al-Baghdadi
5. Imam Abu Hanifah
6. Imam Malik
7. Imam Syafi'e
8. Imam Hambali
9. Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani
10. Imam Ghazali
11. Imam Fakhruddin Ar-Razi
12. Imam Sayuthi
13. Imam Al-Haythami
Ridhwanullahi Alaihi Ajma'in, Allah Yang Maha Pengasih Meredhai kesemua mereka.
Kesemua mereka adalah Ulama Ahlus Sunnah yang Mu'tabar, setengah mereka Mujtahid dan setengah yang lain adalah Mujaddid. Mereka adalah Kekasih Allah yang telah mencapai Maqam Tauhid atau Ma'rifat yang amat tinggi. Cahaya mereka menyelubungi seluruh pelusuk alam dan tetap bersinar sampai ke saat ini dan akan terus bersinar sampai Qiamat.
SIRI 318
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Fakta-fakta Penting Maqam Tauhid Zat
sambungan....
Amat jauh perbezaannya dengan "Ulama" dari kalangan firqah-firqah sesat. Mereka mengeluarkan fatwa sesuka hati dan mengikut nafsu atau bisikan iblis ataupun mereka mengeluarkan fatwa sesuai dengan kehendak Pemerintah atau Pemimpin. Sesungguhnya mereka tidak layak menjadi Mujtahid apa lagi Mujaddid, amat jauh sekali. Ini kerana setiap Mujtahid dan Mujaddid mempunyai syarat-syarat yang sangat berat.
Selain dari menguasai sekalian Ilmu-ilmu zahir, syarat terpenting adalah dia mesti orang yang bertaqwa dan mampu berhubung dengan Ketuhanan dan memperoleh pimpinan Rasulullah ﷺ. Tanpa Petunjuk Allah dan pimpinan Rasul-Nya, maka dia akan mentafsirkan Al-Qur'an dan Hadith serta mengeluarkan fatwa menurut nafsu dan pendapatnya. Maka binasalah dia dan pengikut-pengikutnya. Wal Iyazubillah.
Firman Allah:
وَلَا تَقُولُوا۟ لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ ٱلْكَذِبَ هَـٰذَا حَلَـٰلٌۭ وَهَـٰذَا حَرَامٌۭ لِّتَفْتَرُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung”.
[An-Nahl (16) : Ayat 116]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Barang siapa berkata-kata tentang Al-Qur'an (tafsir dan ta'wilkan Al-Qur'an) tanpa ilmu, maka hendaklah ia menempati tempat duduknya dari neraka".
[Imam Tirmidzi]
Fakta ke-11: Maqam Mursyid Pewaris Nabi yang Tertinggi
Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat menjadi Mursyid, Pewaris Nabi yang paling tinggi dan sempurna, iaitu sempurna Ma'rifat dan 'Ubudiyyah — sempurna pengabdiannya kepada Allah Ta'ala dan juga sempurna pimpinannya — di-Kurniakan kemampuan untuk mendidik manusia daripada Tingkatan Tauhid paling rendah sehingga ke setinggi-tinggi Tauhid.
SIRI 319
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjagaan Penting Salikin
Ini suatu bab pada menyatakan "Penjagaan" yang wajib diperhatikan oleh sekalian Salikin yang di-Kurniakan oleh Allah mencapai Maqam Tauhid Pertama — Maqam Tauhid Af'al dan juga Maqam-maqam Tauhid yang lebih tinggi.
Sesungguhnya pencapaian Salikin ke Maqam Tauhid yang hakiki atau Iman sejati adalah suatu Rahmat Allah yang tiada tolok bandingnya. Dunia dan seisinya tidak akan mampu membayar nilainya, bahkan jika ditambah lagi beribu kali ganda sekali pun tidak sama sekali menyamai satu zarrah Ni'mat Allah tersebut. Dengan demikian hamba-hamba Allah yang di-Kurniakan Ni'mat tersebut, wajib memeliharanya sungguh-sungguh sampai mati. Moga mencapai kemenangan Abadi di Sisi-Nya.
Penjagaan Pertama: Kekalkan Zikrullah dan Mujahadah terus-menerus
Salikin yang sampai Maqam Tauhid hakiki yang pertama ini, meskipun sudah cukup tinggi berbanding dengan Iman orang awam, namun mereka belum mendapat jaminan ketetapan hati. Keimanan mereka akan turun naik menurut kadar mujahadah mereka. Jika mereka terus dan tetap mengerjakan zikrullah, mujahadah dan menjaga adab-adabnya, maka Tauhid mereka akan terus bersinar. Jika mereka kurang berzikir atau lemah dari mujahadah, maka Keimanan mereka mungkin turun sedikit.
Penjagaan ke-2: Kekalkan keyakinan bahawa ianya Rahmat Kurnia Allah
Kekalkan keyakinan bahawa segala pencapaian mereka adalah Kurnia dan Rahmat Allah Ta'ala semata-mata dan BUKAN kerana usahanya yang gigih. Sememangnya semua orang Islam diperintah jihad sungguh-sungguh melawan hawa nafsunya siang dan malam tanpa henti. Sememangnya mereka wajib mujahadah sungguh-sungguh menyucikan hati mereka dengan sungguh-sungguh zikrullah siang dan malam. Namun kejayaan mereka BUKAN kerana usaha mereka yang gigih, BUKAN kerana mujahadah mereka, BUKAN kerana kepandaian mereka tetapi kejayaan yang mereka capai adalah Rahmat dan Kurnia-Nya yang Maha Pengasih. Hal ini sudah pun diyakini oleh Salikin yang sampai maqam kesucian hati, namun keyakinan ini wajib dikekalkan sepanjang masa.
Penjagaan ke-3: Dilarang keras buka rahsia Ketuhanan
Sekalian pemberian berupa berbagai jenis Zikrullah dan Natijah Zikrullah seperti cahaya-cahaya istimewa, pemandangan istimewa, kenyataan Alam Ghaib dan lain-lain sepertinya merupakan Rahsia Ketuhanan dan Amanah yang wajib disimpan baik-baik dan dilarang keras sebarkannya kepada umum. Jika dia sebarkan, maka dia telah khianat kepada Allah. Perbuatan ini merupakan pelanggaran adab yang amat besar, maka segala _Ni'mat_ akan ditarik balik dan dia akan jadi orang awam, bahkan dikhuatiri menjadi istidraj. Wal Iyazubillah.
SIRI 320
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 4: Huraian Iman Salikin
Penjagaan Penting Salikin
sambungan....
Penjagaan ke-4: Jangan abaikan Syari'at
Hal ini telah pun dijelaskan, namun di sini kita ulang sebagai penjagaan penting. Seseorang yang di-Limpahi Cahaya Ketuhanan sehingga mencapai Keimanan sejati adalah hamba Allah yang berdiri teguh pada sekalian hukum Syara', bukan abaikannya apa lagi ingkarinya. Jika ada manusia mengaku sudah mencapai haqiqat dan Ma'rifat, lalu menganggap Syari'at tidak penting lagi, maka dia adalah zindiq (kafir yang tidak sedar, sudah jatuh kepada kekafiran). Wal Iyazubillah. Orang-orang seperti ini BUKAN Salikin yang mengikut Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq, sebaliknya mereka menganut fahaman "ilmu batiniah" atau "ilmu haqiqat palsu".
Penjagaan ke-5: Pegang teguh pada adab
Hal ini juga telah dijelaskan sebelum ini beberapa kali. Namun di sini perlu diingatkan lagi bahawa "Adab" adalah ibarat "Pagar" yang melindungi dan memelihara tanaman di sebuah kebun. Jika seseorang Salikin melanggar "adab-adab besar" seperti Jahat sangka dengan Allah, atau jahat sangka pada Gurunya, maka binasalah sekalian buah-buahan yang lazat-lazat di dalam kebunnya.
Pada beberapa siri sebelum ini kami telah jelaskan asas-asas pengetahuan berkenaan sampainya Salikin kepada Tingkatan Pertama Tauhid yang sebenar-benar suci murni, iaitu Maqam Tauhid Af'al — Esakan Allah Ta'ala pada sekalian Af'al-Nya.
Pada peringkat-peringkat mujahadah seterusnya, seseorang Salikin yang sungguh-sungguh abdikan diri kepada Allah dengan mengekalkan keikhlasan dan adab-adab perjalanan Ma'rifat dengan teguh, maka di sana akan terbukalah kepadanya pintu-pintu Tauhid yang lebih tinggi, dengan Limpahan Rahmat Allah dan Kemurahan-Nya.
Oleh kerana ini adalah forum umum, maka tidaklah kami terangkannya secara mendalam, melainkan sedikit sahaja, sekira-kiranya memadai bagi orang awam dan Salikin yang mubtadi dan mutawassit memperoleh gambaran keseluruhan perjalanannya kepada Allah.
Bersambung siri 321 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment