B63 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 621 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



Fatwa Ulama Ahlus Sunnah Mu'tabar


(1) Fatwa Imam Syafi'e Radhiallahu anhu

 “Bid’ah ada dua macam: Bid’ah yang terpuji (bi'dah hasanah) dan bid’ah yang tercela (bid'ah dholalah). Bid’ah yang sesuai dengan Sunnah adalah bid’ah terpuji, dan bid’ah yang menyalahi Sunnah adalah bid’ah tercela.” 

[Nukilan dalam Fathul Bari]


(2) Fatwa Imam Izzudin Abdus-Salam

“Bid’ah adalah perkara yang tidak pernah dikenal pada masa Rasulullah ﷺ.  Bid’ah terbahagi menjadi lima; bid’ah wajibah, bid’ah muharramah, bid’ah mandubah, bid’ah makruhah dan bid’ah mubahah.  Dan jalan untuk mengetahui hal itu adalah dengan membandingkan dengan qawaid Syar'iyyah (oleh Ulama yang memenuhi Syarat-syarat sebagai Mujtahid).


Apabila bid’ah itu masuk pada kaedah wajib, maka menjadi bid’ah wajibah.  Apabila masuk pada kaedah haram, maka jadi bid’ah muharramah.  Apabila masuk pada kaedah sunnat, maka jadi bid’ah mandubah.  Apabila masuk pada kaedah mubah, maka jadi bid’ah mubahah. 


Bid’ah wajibah memiliki banyak contoh. 

Salah satunya adalah menekuni ilmu nahwu sebagai alat memahami Al-Quran dan Sunnah Rasulullah ﷺ.  Hal ini hukumnya wajib, karena menjaga syari'at itu wajib dan tidak mungkin dapat menjaganya tanpa mengetahui ilmu nahwu. Sedangkan sesuatu yang menjadi sebab terlaksananya perkara wajib, maka hukumnya wajib. 

Contoh kedua, perbahasan mengenai jarh dan ta’dil untuk membedakan hadith yang sahih dan yang lemah. 


Bid’ah muharramah memiliki banyak contoh, di antaranya  bid’ah ajaran orang-orang Khawarij, Jabariyah, Murji’ah dan Mujassimah.  Sedangkan menolak terhadap bid'ah-bid’ah tersebut termasuk hukumnya wajib.


Bid’ah mandubah memiliki banyak contoh, di antaranya mendirikan sekolah-sekolah dan setiap kebaikan yang tidak pernah dikenal pada abad pertama, dan di antaranya solat Tarawih berjamaah.


Bid’ah makruhah memiliki banyak contoh, di antaranya memperindahkan bangunan masjid dan menghiasi kitab (mus-haf) Al-Quran. 


Bid’ah mubahah memiliki banyak contoh, di antaranya menjamah makanan dan minuman yang lazat-lazat, pakaian yang indah, tempat tinggal yang mewah, memakai kopiah,memperlebar lengan baju dan lain-lain.” 

[Qawa’id Al-Ahkam]


SIRI 622 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



(3) Fatwa Imam Ghazali Radhiallahu 'anhu 

"Ketahuilah, walaupun kami menyatakan makan atas safrah (makan sambil duduk atas lantai) itu lebih afdhal, tetapi tidak bererti makan atas meja itu dilarang; sama ada makruh atau haram, kerana tidak thabit larangan mengenai dengannya. Dan tidak juga dikatakan orang itu (makan atas meja) telah melakukan bid'ah selepas Rasulullah ﷺ, kerana bukannya semua bid'ah (perkara baru)  itu dilarang.  Tetapi yang dilarang adalah bid'ah yang bertentangan dengan Sunnah Nabi ﷺ yang sahih dan menolak satu perkara yang diperintahkan oleh Syara' sedangkan  illahnya (sebab yang mewajibkannya) masih ada.  Bahkan melakukan perkara-perkara baru itu menjadi wajib pada keadaan tertentu jika berubah sebab-sebabnya.  Dan meja itu tidak digunakan melainkan untuk meninggikan makanan agar mudah dijamah."

[Ihya Ulmuddin]


(4) Fatwa Imam Nawawi Radhiallahu 'anhu

Imam Nawawi menukil fatwa Imam Izzuddin Abdus-Salam Radhiallahu anhu:

Telah berkata Syaikh dan Imam yang telah disepakati akan ketokohannya serta sangat 'alim dalam berbagai cabang ilmu,  Abu Muhammad Abdul Aziz bin Abdus-Salam menyebut di akhir kitab beliau, Al-Qawa'id : “Bid’ah itu terbahagi pada perkara-perkara wajib, haram, sunnat, makruh dan harus."

[Tahdzib Al-Asma wa al-Lughat]


(5) Fatwa Imam Ibnu Abidin Radhiallahu 'anhu

Bid’ah itu ada lima macam (ucapan beliau Pelaku Bid'ah) yang dimaksud adalah pelaku bid’ah yang haram.  Karena terkadang bid’ah hukumnya wajib seperti menegakkan dalil-dalil untuk menolak golongan sesat, mempelajari nahwu yang tujuannya untuk memahami Al-Quran dan Hadith, mendirikan madrasah, dan setiap kebaikan yang belum dilakukan di zaman Nabi.  Terkadang bid’ah makruh seperti menghias masjid.  Terkadang bid’ah mubahah seperti berlebihan dalam hal makanan, minuman enak, dan pakaian yang bagus. 

[Hasyiah Ibnu Abidin]


(6) Fatwa Imam Ibnu Hajar Asqolani Radhiallahu 'anhu

"Menurut bahasa, bid’ah adalah sesuatu yang dikerjakan tanpa mengikuti contoh sebelumnya.  Dalam syariat, bid’ah diucapkan sebagai lawan sunnah, sehingga bid’ah itu pasti tercela.  Sebenarnya, apabila bid’ah itu masuk dalam naungan sesuatu yang dianggap baik menurut syariat, maka disebut bid’ah hasanah.  Bila masuk dalam naungan sesuatu yang dianggap buruk menurut syariat, maka disebut bid’ah dholalah.  Dan bila tidak masuk dalam naungan keduanya, maka masuk kepada mubah (harus).  Dan bid’ah itu terbahagi menjadi 5 hukum.” 

[Fath Al-Bari]


SIRI 623 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



Contoh Bid'ah Wajib


Bid'ah wajib bermakna perkara baru yang wajib diadakan demi memelihara Agama dan demi kebaikan orang-orang Islam memahaminya dengan benar menurut Kehendak Allah dan Rasul-Nya.


(1) Membukukan Al-Qur'an

Menurut Ulama Ahlus Sunnah,  mengumpulkan ayat-ayat Qur'an menjadi kitab yang tersusun adalah WAJIB.   Ertinya menulis Al-Qur'an pada lembaran kertas dan menjilidkannya menjadi satu jilid kitab yang tersusun adalah WAJIB.   Semasa hayat Rasulullah ﷺ,  Al-Qur'an terdiri dari lembaran daun, kulit unta dan batu-batuan.  Sahabat membaca Al-Qur'an dari kulit kayu dan kulit unta.  Rasulullah  ﷺ sendiri tidak pernah menyuruh menjilidkan Al-Qur'an (dan juga tidak melarangnya).  Tetapi Ulama Ahlus Sunnah melakukan ijtihad menyatakan wajib bukukan Al-Qur'an untuk memelihara kesuciannya dan keselamatannya.  Selain itu memudahkan orang awam membacanya dengan tepat dan baik.  


(2) Memberikan titik dan baris kepada ayat Qur'an

Ayat Qur'an yang Nabi dan Sahabat baca tidak mempunyai baris dan titik. Ulama pada zaman Tabiin melakukan ijtihad meletakkan titik dan baris untuk memudahkan Ummat Islam awam membacanya.  Perbuatan ini adalah bid'ah wajib menurut Ahlus Sunnah kerana tanpa titik dan baris tak mungkin bagi orang 'ajam (selain Arab)  membacanya.


(3) Ijtihad menerbitkan Ilmu Syari'at — Fiqh

Menyusun hukum, syarat, rukun di dalam solat (dan juga puasa, zakat, Haji, jual beli, jenayat, munakahat dan lain-lain) menjadi satu disiplin ilmu tersendiri dinamakan Ilmu Fiqh adalah bid'ah wajib. 


Pada zaman Rasulullah ﷺ dan sahabat segala macam ilmu wujud dalam bentuk yang satu - belum ada pembahagian ilmu.


Ulama Ahlus Sunnah  mengatakan Wajib mengadakan Ilmu Fiqh bagi memudahkan orang awam memahami syarat, rukun dan peraturan lain.  Tanpa ilmu fiqh, kebanyakan orang Islam (orang awam) tidak mengetahui cara-cara melakukan ibadah. 


Dengan sebab itu, mengadakan Ilmu Fiqh dalam bentuk tersusun sebagai sebuah ilmu tersendiri adalah wajib.


(4) Ijtihad Ilmu Usuluddin

Menerbitkan Ilmu Usuluddin bagi memahami Dasar-dasar I'tiqad dan Keimanan.  Iaitu cara-cara memahami pengertian Rukun Iman dan kaedah-kaedah khusus i'tiqad berkenaan beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul-Rasul, Hari Qiamat dan Qadha Qadar. 


Nabi tak pernah suruh mencipta Ilmu Usuluddin.  Tetapi para Ulama Ahlus Sunnah melakukan ijtihad menghimpun hal-hal keyakinan, keimanan menjadi satu disiplin ilmu tersendiri kerana tanpa mempelajarinya tak mungkin seseorang Islam menjadi orang beriman. Bahkan mereka akan jatuh kepada kekufuran.  Dengan demikian ijtihad menghimpunkan Ilmu Usuluddin adalah termasuk bid'ah wajib.


(5) Ijtihad Ilmu Tasawwuf

Menyusun hukum-hakam berkaitan dengan hati, penyakit hati, bahaya-bahaya penyakit hati kepada amal ibadah dan Iman seseorang menjadi satu disiplin ilmu tersendiri adalah wajib -  dinamakan Ilmu Tasawwuf.


Ulama Ahlus Sunnah yang 'arif mengenal Allah mengatakan Wajib menuntut Ilmu Tasawwuf (dan amalkan menurut disiplin Toriqat) serta menghayatinya kerana tanpa Ilmu Tasawwuf dan Toriqat, semua manusia akan berdosa besar bahkan akan menjadi syirik tanpa disedari (termasuk orang-orang bergelar alim, Profesor, Kiyai, ustaz sekalipun)


SIRI 624 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....


Contoh Bid'ah Sunnat:


Bid'ah sunnat bermakna perkara baru yang menepati Dasar-dasar Al-Qu'ran dan Hadith Nabi serta qawaid (kaedah Agama) yang di ijtihad oleh Ulama Mu'tabar dan dikategorikan sebagai Sunnat.    


Contoh 1 : Sambutan Maulidur-Rasul

Imam-Imam Ahlus Sunnah berpegang bahawa menyambut Maulid Nabi adalah Sunnat kerana ianya menepati kaedah-kaedah Agama, iaitu segala amal di dalam Sambutan Maulid Nabi ﷺ menepati Perintah Allah dan Rasul-Nya.


Sebagaimana Tradisi Ahlus Sunnah sejak dahulu, amal soleh yang terkandung di dalam Sambutan Maulid adalah :


1. Istighfar memohon keampunan Allah:

Dimulai Majlis Perhimpunan dengan memohon keampunan Allah.  Dalil Perintah menyuruh taubat dan istighfar amat banyak. 


2. Berzikir memuji Allah:

Berkumpul, berjemaah memuji Allah dengan pujian yang sebanyak-banyaknya atas Kemurahan-Nya mendatangkan seorang Rasul yang menerangi setiap pelusok langit dan bumi. Dalil diperintah berzikir serta  memuji Allah tak perlu disebutkan lagi kerana sudah umum mengetahuinya.


3. Bacaan Solawat atas Nabi ramai-ramai secara berjemaah.

Dalil yang memerintahkan membaca Solawat tersangat banyak.  Bahkan menurut Fatwa Ulama Ahlus Sunnah, siapa yang paling banyak solawatnya maka dia bersama Rasulullah ﷺ di Akhirat dan di dunia lagi dia akan di-Kurniakan Ma'rifat (Tauhid) yang tinggi mengatasi manusia lain (apabila dia menepati syarat-syarat Ma'rifat).


4. Membaca qasidah atau Barzanji:

Membaca bait-Bait Sya'ir yang mengandungi puji-pujian kepada Junjungan Rasulullah ﷺ,  pujian kepada Ahlul Bayyit Baginda serta sekalian isteri-isteri Baginda yang suci.  Dalil bagi hal ini juga teramat banyak.  Dalil paling umum adalah sambutan penduduk Madinah ketika Baginda Hijrah ke Madinah Al-Munawwarah.   Penduduk Madinah berdiri berbaris dan menyanyikan syair yang sangat indah memuji Rasulullah ﷺ.


طلع البدر علينا من ثنيات الوداع وجب الشكر علينا ما دعى لله داع أيها المبعوث فينا جئت بالأمر المطاع جئت شرفت المدينة مرحباً يا خير داع


“Telah datang kepada kami bulan purnama (Nabi Muhammad) 

Lahir di antara dua lembah 

Wajib bagi kita bersyukur dan bahagia Utusan Allah di tengah kita.  Wahai Rasul yang diutus Pembawa amanat suci   

Engkau datang membawa kemuliaan ke kota ini

Selamat datang sebaik-baik utusan”.


(5) Membaca sejarah perjuangan Rasulullah ﷺ:

Amalan membaca dan mengenang kembali sejarah Perjuangan Rasulullah ﷺ dan mengambil i'tibar serta kekuatan ruh perjuangan Baginda adalah amalan yang sangat dituntut.


(6) Menjamu makanan atau sedekah makanan dan dimakan secara berjemaah.

Dalil yang menganjurkan “memberi makan” kepada manusia berulang- ulang di dalam Kalam Allah dan Sunnah Rasul-Nya. 


(8) Doa kebaikan dan keselamatan untuk seluruh Ummat:

Memohon kepada Allah Ta'ala agar seluruh orang beriman di-Kurniakan kemenangan dan kesejahteraan.


Fatwa Imam As-Suyuthi, Mujaddid Kurun ke-9 Hijriyyah:

Sambutan Maulid Nabi ﷺ itu adalah berkumpulnya manusia, membaca apa yang dirasakan mudah pada al-Qur’an, Riwayat hadith-hadith berkenaan permulaan kelahiran Nabi ﷺ   serta hal-hal yang terjadi dalam kelahiran Baginda, kemudian mereka menjamu makanan dengan beberapa hidangan. Selanjutnya mereka pulang setelah menikmatinya tanpa ada tambahan-tambahan lain, hal tersebut  termasuk  bid’ah _Hasanah_ (bid’ah yang terpuji) yang diberi pahala bagi orang yang merayakannya kerana ia bertujuan untuk mengagungkan kedudukan Nabi ﷺ serta menampakkan rasa gembira atas kelahiran yang mulia Nabi Muhammad ﷺ.

[Al-Haawi-Lil- Fatawi]



SIRI 625 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



Contoh-contoh Bid'ah Sunnat yang lain:


Contoh 2 : Majlis Sambutan Ma'al Hijrah

Contoh 3 : Majlis Sambutan Isra' Mi'raj

Contoh 4 : Majlis Tahlil Arwah

Contoh 5 : Mendirikan sekolah Agama

Contoh 6 : Mengadakan Jabatan Agama bertujuan uruskan Hal Ehwal Ummat berkaitan Agama.

Contoh 7 : Menganjurkan Bengkel Ibadah

Contoh 8 :  Mengadakan Sijil Agama bagi Siswazah Universiti.

Contoh 9 : Mengadakan Kursus, Seminar, Forum Agama

Contoh 10 : Menganjurkan kem Tazkiyyatun-Nafs

Contoh 11 : Solat tarawih berjemaah


Perkara-perkara di atas tidak wujud pada zaman Rasulullah ﷺ tetapi Ulama Ahlus Sunnah melihat wujud maslahat yang banyak kepada Ummat dan tiada bertentangan dengan Al-Qur'an dan Sunnah, maka ia dikategorikan sebagai Sunnat.


Fatwa Imam Izuddin Abdus-salam

Bid’ah mandubah (bid'ah sunnat) memiliki banyak contoh, di antaranya mendirikan sekolah-sekolah dan setiap kebaikan yang tidak pernah dikenal pada abad pertama, dan di antaranya solat Tarawih berjemaah. 

[Qawa'id Al-Ahkam]



Contoh Bid'ah Makruh

1. Menghiasi bangunan masjid 

2. Menghiasi kitab Al-Qur'an


Contoh Bid'ah Harus

1. Makan makanan lazat-lazat

2. Pakai pakaian indah dan mewah

3. Rumah besar dan mewah-mewah


Fatwa Imam Izuddin Abdus-salam

" Bid’ah makruhah (makruh) memiliki banyak contoh, di antaranya memperindah bangunan masjid dan menghiasi kitab Al

Quran.  Bid’ah mubahah (harus) memiliki banyak contoh, di antaranya menjamah makanan dan minuman yang lazat-lazat, pakaian yang indah, tempat tinggal yang mewah, memakai songkok thaylasan, memperlebar lengan baju dan lain-lain.” 

[Qawa’id Al-Ahkam]


(5) Fatwa Imam Ibnu Abidin Radhiallahu 'anhu

(Di antara bid'ah Sunnat) adalah dirikan madrasah, dan setiap kebaikan yang belum dilakukan di zaman Nabi.  Terkadang bid’ah makruh seperti menghias masjid.  Terkadang bid’ah mubah (harus) seperti: berlebihan dalam hal makanan dan minuman enak, dan pakaian yang bagus-bagus. 

[Hasyiah Ibnu Abidin]


SIRI 626 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....


Bid'ah Haram (sesat)

Bid'ah haram adalah setiap "perkara baru" yang menyimpang dari jalan kebenaran, keluar dari jalan lurus, bertentangan dengan Al-Qur'an, Sunnah dan Ijma Qias Ulama iaitu 72 kelompok bid'ah sesat sebagaimana amaran Nabi ﷺ.


Contoh 1: Kelompok bid'ah sesat berjumlah 72 kelompok


Semua kelompok orang Islam yang keluar dari Saf Ummat dan mencipta ideologi, pegangan, keyakinan, i'tiqad yang berlawanan dengan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. 


Kelompok bid'ah sesat pertama yang memisahkan diri dari Ahlus Sunnah adalah : Kaum Khawarij (sekarang ini dianut oleh Wahhabiyyah, ISIS dan lain-lain).  Kumpulan inilah kumpulan bid'ah sesat yang pertama yang keluar dari barisan Ummat dan memerangi Ummat Islam.  


Bibit-bibit Khawarij sudah muncul pada zaman hayat Rasulullah ﷺ lagi (bermula dari orang yang dikenali sebagai Zulkhuwaishirah) tetapi berkembang menjadi satu pasukan pemisah yang sesat pada zaman Pemerintahan Sayyidina Ali _Radhiallahu anhu_.  Mereka memusuhi Saf Ummat dan menuduh Sayydina 'Ali Radhiallahu anhu sebagai kafir yang wajib diperangi.  Tanpa sedikit pun takut kepada Allah, dengan nafsu ammarah yang berkobar-kobar mereka memerangi Sayyidina Ali dan Saf Ummat Islam. 


Di dalam Perang Nahrawan, pasukan Ummat Islam dipimpin oleh Sayydina Ali Radhiallahu anhu kalahkan Golongan Khawarij.  Kesemua mereka (khawarij) mati sia-sia. Ini kerana mereka memerangi Imam yang adil dan taqwa adalah kekufuran yang nyata.

(3 orang khawarij melarikan diri dan hidupkan semula ideologi Khawarij).


Pada abad ke-12 Hijriyyah,  Golongan wahhabiyyah muncul dengan prinsip-prinsip Khawarij. 


Ringkasnya mereka  membid'ahkan Ulama Ahlus sunnah serta memerangi Ummat Islam.  Mereka mengikut perangai Khawarij menuduh buta orang Islam selain mereka sebagai kafir dan wajib diperangi.  Akibatnya ramai sekali Ulama Ahlus sunnah menjadi korban keganasan Wahhabiyyah. 


Ulama Ahlus sunnah dari semua mazhab yang hidup pada zaman itu mengeluarkan Fatwa Wahhabi sebagai Golongan sesat.  Maka nyatalah bahawa Golongan Wahhabi adalah golongan yang membawa bid'ah sesat.


Dengan pendedahan ini, kalian tentu faham mengapa golongan Wahhabi seringkali menuduh pendokong Ahlus sunnah sebagai bid'ah sesat kerana yang sebenar-benar kelompok bid'ah sesat adalah mereka sendiri.  Bahkan Khawarij adalah pembuat bid'ah sesat paling awal di kalangan orang Islam, iaitu bermula dari orang biadab bernama Zulkhuwaishirah mengherdik Baginda.


Berkata Imam Ibnu Abidin Radhiallahu Anhu:

Al-Imam Ibnu Abidin yang hidup sezaman ketika munculnya fahaman Wahhabiyyah menyatakan:  "Wahhabi pada zaman kita sekarang adalah Khawarij yang membangkitkan dan mendokong fahaman Khawarij terdahulu."

[Hashiyyah Radd Al-Mukhtar]


SIRI 627 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....


Contoh ke-2 Bid'ah Haram:

Sengaja menambah atau mengurangi bilangan rakaat pada Solat fardhu


Solat fardhu 5 waktu adalah Ibadah khassah  yang telah ditentukan waktunya dan kadarnya.  Maka haram dan dosa menambah-nambah bilangan rakaat atau menguranginya.  Misal seseorang sengaja mengerjakan solat subuh 3 rakaat.  Atau Solat Isya' 5 rakaat.  Atau solat zohor 3 rakaat dan sebagainya.  Semua ini bid'ah sesat kerana bertentangan Al-Qur'an, Hadith dan Ijma Qias Ulama.


Contoh ke-3 Bid'ah Haram:

I'tiqad Allah mempunyai tangan, kaki, mata, telinga 


Asalnya ini adalah pegangan golongan Mujassimah.  Mereka i'tiqad Allah mempunyai jisim, tangan, kaki, mata, telinga seperti manusia.  Pada zaman ini pegangan ini menjadi anutan Golongan Wahhabiyyah.


Contoh ke-4 Bid'ah Haram:

I'tiqad Allah duduk atau menetap atau bertahta di Arasy


I'tiqad bahawa Allah duduk atau menetap atau bersela atau bersimpuh atau bertahta di Arasy atau lain-lain sepertinya adalah bid'ah sesat.  I'tiqad seperti ini jelas syirik akbar (besar) kerana menyamakan Allah dengan makhluq.  Golongan yang berpegang kepada i'tiqad demikian adalah Golongan Wahhabiyyah (khawarij) dan Mujassimah dan sekutu-sekutu mereka yang jahil. 


I'tiqad yang benar menurut Ahlus Sunnah Wal Jama'ah adalah:

 "Allah Istiwa di Arasy dan kaifiyyatnya tidak diketahui.


Berkata Al-Imam Arif Billah Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Al-kaif (caranya) Tuhan istiwa di atas 'Arasy tidak diketahui.  Maka dilarang bertanya bagaimana Tuhan di Arasy.  Bertanya atau membincangkan atau membahaskan cara Tuhan istiwa di atas Arasy adalah bid'ah kesesatan."

[Al Ghunyah]


Catitan penting:

Banyak lagi bid'ah-bid'ah sesat menjadi pegangan Wahhabiyyah (khawarij), Syi'ah (rafidhi) dan lain-lain berjumlah 72 golongan semuanya.  Setiap Muslim wajib mengetahui sifat-sifat semua golongan ini agar tidak terjatuh kepada golongan ini tanpa disedari.  Dan juga supaya tidak tertipu oleh penyamaran mereka sebagai Ahlus Sunnah. 


SIRI 628 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....


Kemusykilan dan Jawapan Bab Bid'ah


Sesungguhnya persoalan "bid'ah" telah lama selesai perbincangannya oleh Imam-Imam Ahlus Sunnah yang terpercaya.  Pendokong Ahlus Sunnah sudah lama memahami sekalian persoalan "bid'ah" dan hubungannya dengan Aqidah, Ibadah dan Muamalah.  Mereka memahami pembahagian perkara bid'ah kepada 5 hukum sebagaimana ketentuan hukum-hukum ini dilakukan oleh Ulama sehingga menjadi ijma' (sepakat) Ulama Ahlus Sunnah:

1. Wajib  

2. Sunnat  

3. Haram   

4. Makruh   

5. Harus


Walaupun sudah jelas fatwa Ulama Ahlus Sunnah, tetapi mereka yang ada penyakit dalam hatinya sentiasa cenderung kepada mengikut hawa nafsu dan bisikan Iblis.  Mereka sangat berani menghalalkan atau mengharamkan mengikut hawa nafsu mereka dan bisikan teman mereka Iblis La'natullah. Mereka berani mengatakan "ini bid'ah sesat", "ini kafir", "ini syirik" mengikut pendapat sendiri sedangkan telah jelas amaran Allah dan Rasul-Nya bahawa mereka akan jadi habuan Neraka Jahannam. 


Firman Allah:


وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلاَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولاً


Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.  Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggunganjawabnya.

[Al-Isra’ (17) : Ayat 36]


Firman Allah:


وَلاَ تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلاَلٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا عَلَى اللهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللهِ الْكَذِبَ لاَ يُفْلِحُونَ


Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah.  Sesungguhnya orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung. 

[An-Nahl (16) : Ayat  116]


Sabda Rasulullah ﷺ:

"Barang siapa berkata-kata tentang al-Qur'an (tafsir dan ta'wilkan Al-Qur'an) tanpa ilmu, maka hendaklah ia menempati tempat duduknya dari neraka"

[Imam Tirmidzi]


Sabda Rasulullah ﷺ:

“Barangsiapa menguraikan Al Qur’an dengan akal fikirannya sendiri dan merasa benar, maka sesungguhnya dia telah berbuat kesalahan."

[Imam Ahmad]


Sabda Rasulullah ﷺ:

"Takutlah kalian berbicara tentang sesuatu yang berasal dariku melainkan pada apa yang telah kalian ketahui.  Siapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyimpan tempat duduknya di dalam neraka, dan barang siapa yang menafsirkan al-Qur'an dengan akal fikirannya, maka hendaklah ia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka." 

[Imam Ahmad, Tirmizi, Nasai]


Siapakah orang-orang yang berani tafsirkan ayat-ayat Allah dan Hadith Rasulullah ﷺ mengikut pendapat sendiri walaupun Allah dan Rasul-Nya sudah memberikan amaran sedemikian rupa?  Merekalah orang-orang Islam yang menjadi pengikut-pengikut Iblis.  Mereka adalah orang-orang jahil yang tidak memahami hakikat Agama. Mereka tiada ilmu nahwu, saraf, mantiq, bayan dan lain-lain yang diperlukan untuk mentafsirkan Al-Qur'an dan Hadith.  Mereka tiada llmu ulumul Qur'an dan ulumul Hadith.  Ringkasnya mereka TIDAK layak sebagai mujtahid yang layak, tetapi mereka berlagak seperti mujtahid.  Dengan hanya berbekalkan beberapa hadith yang mereka hafal, mereka sewenang-wenang mengatakan "ini halal", "ini haram", "ini bid'ah sesat" ikut nafsu dan  syaitan. 


Siapakah sebenarnya mereka ini?

Pada hari ini mereka menjelma di kalangan Ummat dalam rupa profesor, Drs, mufti, kiyai dan lainnya dengan sijil Universiti yang dimiliki mereka sewenang-wenang menaburkan kebatilan di kalangan Ummat.  Orang-orang Islam yang JAHIL mudah saja percaya dengan Prof jahil, ulama-ulama jahil atas alasan mereka mempunyai sijil Universiti. 


SIRI 629 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



Kemusykilan 1:

Ada segolongan cerdik pandai Agama lulusan Universiti memberi "fatwa" semua bid'ah itu sesat dan setiap bid'ah itu masuk neraka.  Apakah penjelasan Masyaikh Ahlus Sunnah?"


JAWAPAN:

Menurut Masyaikh Ahlus Sunnah, maksud Hadith Nabi "setiap bid'ah itu sesat dan setiap bid'ah itu dalam Neraka" adalah dituju kepada "perkara baru" yang berlawanan dengan Al-Qur'an dan Sunnah.  Jika suatu baru yang diijtihad Ulama bersesuaian dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya, maka ianya masuk kepada beberapa hukum; sama ada ianya menjadi wajib atau sunnat atau harus. (menurut fatwa Ulama Ahlus Sunnah yang benar, bukan pendapat orang jahil)


Menurut Ulama Ahlus sunnah, maksud Hadith "semua bid'ah itu sesat"  atau  "semua yang bukan berasal dari kami tertolak"....  adalah ditujukan kepada semua bid'ah yang berlawanan dengan Al Qur'an atau Hadith atau Ijma Ulama.  Inilah pegangan Ahlus Sunnah.  Sedangkan golongan Wahhabiyyah menghukum terus semua yang baru sebagai bid'ah sesat.


Berkata Ibn Hajar al-Haythami Radhiallahu Anhu:

(Mujaddid Kurun ke-10 Hijriyyah)

"Maksud Hadith" suatu yang bukan berasal dari kami adalah tertolak"  (atau "setiap bid'ah itu sesat") adalah bermaksud.... 

Perkara baru yang berlawanan dengan hukum agama atau perkara yang tidak ada petunjuk daripada qaidah-qaidah atau dalil-dalil umum agama."

[Fath al-Mubin]


Imam Nawawi, Imam Suyuthi dan Imam-Imam Ahlus Sunnah yang lain mentafsirkan Makna "suatu yang tidak berasal dari kami itu tertolak"  sebagai perkara yang berlawanan dengan Petunjuk Al Qur'an dan Sunnah.  Iaitu BUKAN semua yang baru itu bid'ah sesat tetapi "perkara baru" yang bertentangan dengan Al-Qur'an atau Hadith atau qaidah-qaidah Agama,  maka ini yang dikatakan bid'ah sesat.   


Kemusykilan 2:

Sebahagian pelajar berkelulusan di bidang Hadith balik ke negara masing-masing dan mula mengeluarkan " fatwa" semata-mata berdasarkan satu dua hadith.  Apakah hukum orang yang mengeluarkan fatwa sedangkan dia tiada kelayakan?


JAWAPAN

Sebagaimana kami huraikan sebelum ini, Fatwa sama ada suatu perkara baru itu bid'ah dholalah atau bid'ah hasanah  adalah hak Imam Mujtahid yang benar-benar layak sebagai mujtahid.


"Budak-budak mentah" yang lulus Universiti atau orang-orang tertentu yang dilantik sebagai "mufti" sedangkan mereka tidak langsung menepati syarat-syarat mujtahid tidak layak memberi fatwa.  Barang siapa menghukum sesuatu sebagai "bid'ah sesat" sedangkan dia   bukan mujtahid maka tanggunglah dosa yang amat berat. 

Orang-orang ini hanyalah pengikut syaitan yang menjadi "mainan" pihak tertentu untuk tujuan dunia.  Mereka akan menerima balasan buruk yang amat dahsyat sebagaimana amaran Allah dan Rasul-Nya.


Kemusykilan 3:

Beberapa orang Profesor, mufti, ustaz mengeluarkan fatwa bahawa "Zikir kalimah Allah Allah" adalah bid'ah sesat kerana tiada dalil Al-Qur'an menyuruh demikian.  Mereka mendakawa Sahabat-sahabat juga tidak berbuat demikian.


JAWAPAN:

Mereka yang menuduh demikian adalah Profesor dan mufti bodoh dari kalangan Wahhabiyyah.  Mereka hanya hafal beberapa hadith terus menghukum Zikir Allah Allah itu sebagai bid'ah sesat.  Sedangkan kamu perhatikan sekalian _Mujathid_ dan Mujaddid telah memberi fatwa bahawa "Zikir Allah Allah" adalah Ingat Allah dalam hati sebanyak-banyaknya dengan lidah berserta hati atau Ingat Allah semata-mata dalam hati, bahkan Zikir Allah Allah itulah Kalimat Paling Agung yang menerbitkan Cahaya Iman dalam hati. 


SIRI 630 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....


Dalil Al-Qur'an 1

Firman Allah Ta'ala :


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ ذِكۡرً۬ا كَثِيرً۬ا 


"Wahai orang-orang yang beriman,  ingatlah serta sebutlah Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”

[Al-Ahzab (33) : Ayat 41]


Berkata Ibn Abbas Radiallahu‘anhu:

"Allah Ta'ala tidak mewajibkan atas hamba-Nya hal-hal yang fardhu, kecuali  yang telah diketahui olehnya.  Dan orang yang meninggalkan fardhu-fardhu tersebut kerana alasan tertentu boleh dimaafkan,   kecuali Zikrullah.  Zikir kepada  Allah tidak memiliki batas dan tidak ada alasan  bagi seseorang untuk meninggalkannya kecuali dia kehilangan aqal.  Manusia diperintahkan untuk berzikir kepada Allah dalam segala kesempatan."

[Tafsir Ibnu Abbas}


Kata Imam Ibnu Jarir At-Tabari Radhiallahu anhu:

"Maksud ayat ini adalah, wahai orang-orang beriman, sebutlah Allah dengan hati, lidah, dan tubuh kalian dengan sebutan yang banyak.  Janganlah tubuh kalian berhenti dari berzikir kepada-Nya menurut kesanggupan kalian."

[Tafsir Tabari]


Kata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

"Orang yang banyak berzikir kepada Allah itu adalah panggilan untuk seseorang yang berzikir secara tulus ikhlas dari hatinya, sedangkan orang yang sedikit berzikir (kepada Allah) adalah orang yang memiliki tanda-tanda orang munafiq.  Kerana dia hanya berzikir dengan lisan dan bertujuan untuk dilihat oleh orang lain sahaja."

[Tafsir Qurtubi]


Kata Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Radhiallahu anhu:

"Ya anakku, adapun hukum Zikir Allah itu adalah wajib, seperti Firman Allah di dalam Surah Al-Ahzab, ayat 41."

[Risalah Ma'rifat ; Bab Zikrullah]


Penjelasan:

(1) Perintah Allah di atas menyuruh orang-orang beriman Zikir Allah dengah Zikir yang banyak.  Zikir yang banyak bermaksud tiada had atau batas dan diperintah terus-menerus di dalam semua keadaan.


(2) Ayat ini perintahkan Zikrullah, ertinya Zikir ingat Allah, sama ada dengan lisan (berserta ingatan di dalam hati akan Allah) atau semata-mata Ingat Allah di dalam hati. 


(3) Perintah Allah ini menyebut Zikir kepada Allah dengan zikir yang banyak, ertinya apa saja lafaz Zikir yang membawa ingat kepada Allah.  Sama ada kamu zikir dengan Ismuz-Zat, iaitu "zikir Allah"  atau "La-ilaha-Illallah"  atau kamu berzikir dengan ismus-Sifat, iaitu Sifat Allah dengan menyebut Asma Allah yang Maha Sempurna, seperti :  Ya Latiff, Ya Qahhar, Ya hayyu Ya Qayyum dan lain-lain. Semuanya menuju kepada hakikat Zikrullah, iaitu Ingat Allah terus-menerus.


(4) Daripada Tafsiran Ibnu Abbas yang tersebut tadi, kita memahami adalah wajib atas setiap orang beriman melakukan Zikrullah dengan sebanyak-banyaknya dan di dalam semua keadaan.  Bagaimanakah cara menyempurnakan kewajipan ini?

Pertama : Diperintah berzikir sebanyak-banyaknya 

Kedua :   Diperintah Zikir di dalam semua keadaan.  (ertinya ketika berjalan, duduk, berbaring, ketika makan minum, ketika bekerja cari rezeki... bahkan semua keadaan)

Apakah mungkin seseorang mampu berzikir dengan zikir yang banyak dan pada masa yang sama dilakukan di dalam semua keadaan?  

Kedua-dua ini tak mungkin dilakukan oleh seseorang melainkan dengan Zikir khafi, iaitu Zikir Allah Allah di dalam hati atau maksudnya : Ingat "Allah" terus-menerus di dalam hati."

Ini bermakna Zikrullah yang diwajibkan atas setiap orang beriman adalah Zikir Allah Allah di dalam hati.


(5) Menurut keterangan Ulama di atas juga, kita dapat faham ayat Allah ini berikan isyarat bahawa di antara tanda-tanda orang beriman dengan keimanan yang benar adalah dia melakukan Zikrullah dengan zikir yang banyak sementara orang berzikir sedikit atau malas berzikir adalah tergolong ke dalam orang yang mempunyai sifat munafiq.


Catitan:

Untuk membaca jawapan lengkap sila rujuk Risalah kami bertajuk: 

"Zikir Allah Allah"



Bersambung siri 631 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=======================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI  

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 661) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...