Friday, July 03, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN


10.1   Pengenalan



Setelah kami jelaskan Sistem Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (Jalan Ma’rifat), yang mereka warisi daripada Junjungan Besar Rasulullah  , maka di sini kami jelaskan pula berkenaan Tingkatan Pencapaian Salikin yang menempuh Sistem Pendidikan tersebut.

Tingkatan Pencapaian Salikin yang menempuh jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq terdiri dari 5 Tingkatan Tauhid:

Tingkatan 1 :  Maqam Tauhid Af'al

Tingkatan 2 :  Maqam Tauhid Asma'

Tingkatan 3 :  Maqam Tauhid Sifat

Tingkatan 4 :  Maqam Tauhid Zat

Tingkatan 5 :  Maqam Kesempurnaan Tauhid Zat (Tajalli Zat)

 

Setiap Tingkatan Tauhid ini terdiri dari beberapa darjat yang lain yang bercabang-cabang, masing-masing dengan Amanah tersendiri.  Sesungguhnya setiap Maqam ini adalah semata-mata Anugerah Allah Ta'ala kepada Salikin yang telah mujahadah sungguh-sungguh pada Jalan-Nya dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. 

 

Firman Allah:

 

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَا‌ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh pada jalan Kami nescaya Kami tunjukkan mereka jalannya.  Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat ihsan”

[Al-Ankaboot (29) : Ayat 69]


Sebagaimana kita bicarakan hal ini di dalam beberapa siri yang telah lalu, sesungguhnya Pencapaian Tauhid inilah sebenar-benar Tauhid, iaitu Tauhid yang terbit dari hati yang suci bersih dari kekotoran ma'nawiyyah yang menutup pandangan mata hati.  Inilah Ma'rifat dan Ubudiyyah yang dituntut oleh Allah Ta'ala sebagaimana Isyarat-Nya:

 

Firman Allah:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

“Dan tidaklah Aku ciptakan jinn dan manusia kecuali untuk berubudiyyah kepada-Ku”

[Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 56]


Kata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

"Pengertian  "  يَعْبُدُونِ  "   (Ya'budun) pada ayat ini adalah  " يعرفون "  (Ya'rifun), iaitu Mengenal Allah dan berubudiyyah kepada-Nya,  (bukan dengan maksud fahaman ibadah yang sempit)".

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Manusia tidak akan mampu beribadah secara sempurna kepada Allah tanpa Ma'rifat yang sebenar.  Ma'rifat dapat terwujud setelah hilangnya segala sesuatu yang menghalangi cermin hati dengan terus sungguh-sungguh membersihkannya sehingga manusia dapat melihat indahnya sesuatu yang terpendam dan tertutup di dalam rasa di lubuk hati."

[Sirrul Asrar Fi-Ma-Yahtaju Ilayhil-Abrar]


Setiap Salikin yang mujahadah sungguh-sungguh, menempuh perjalanan yang panjang dengan penuh keikhlasan serta kesabaran, dan mematuhi sekalian adab-adabnya, maka akan terbuka baginya pintu-pintu Tauhid yang hakiki ini. Maka jadilah dia hamba Allah yang Kenal Allah dengan sebenarnya dan Ubudiyyah setulus hati.


Mengenal Allah dan Ubudiyyah ini BUKAN fikir aqal, BUKAN berhujjah-hujjah, BUKAN berdebat-debat berkenaan Ketuhanan, sebaliknya ia adalah pancaran Cahaya Rabbaniyyah  kepada Salikin yang melaluinya dia melihat kepada Ketuhanan dari dalam hati dan ruhnya.  Inilah Tauhid yang hakiki yang di-Kehendaki oleh Allah.


Firman Allah:

أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدۡرَهُ ۥ لِلۡإِسۡلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ۬ مِّن رَّبِّهِۦ‌ۚ

Apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya (untuk) berserah diri lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang tertutup mata hatinya?)”

[Az Zumar (39) : Ayat 22]



....bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.2   Fakta-fakta Penting Tauhid Hakiki, Iman Sejati, Ma’rifat Suci Murni

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه


MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 9

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 9:

SISTEM TARBIYYAH dan TAZKIYYAH MURSYID 


9.5  Proses Penyucian Hati

 

Proses penyucian hati melibatkan usaha yang sungguh-sungguh bagi hapuskan berbagai bentuk kekotoran ma'nawiyyah dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq.

 

Pertama : Hapuskan Syirik khafi

Syirik Khafi adalah syirik tersembunyi di dalam hati ; iaitu Takabbur, Sum'ah, Riya', Ujub, Tawakkal bi Gharillah.

 

Kedua: Hapuskan Sifat-sifat Mazmumah (sifat kekejian)

Mujahadah hapuskan sifat-sifat keji yang bersarang di dalam hati — hasad, khianat, bakhil, adu domba, mengumpat, tajassus, dusta, fitnah dan lain-lain.

 

Ketiga: Hapuskan Ghaflah (kelalaian)

Mujahadah hapuskan ghaflah, yang menjadi sebab-sebab manusia lupa Syukur kepada Allah, lupa segala Ni'mat-ni’mat Kurnia Allah yang tidak terkira banyaknya, tidak khusyu’ di dalam solat, lupa kepada Amaran Allah, lupa kepada suruhan dan larangan Allah sehingga menjadi manusia zalim.  Tidak ikhlas di dalam ibadah kerana ibadah hanyalah dianggap oleh mereka sekadar "rutin yang diulang-ulang”.

 

Keempat : Hapuskan Aghyar (sesuatu selain Allah)

Aghyar adalah perkara-perkara yang asalnya "harus" tetapi boleh menjerumuskan seseorang kepada kebinasaan kerana tidak berhati-hati mengendalikan atau menggunakannya.

 

Inilah Kejayaan dan kemenangan!

 

Setiap murid pada jalan Ma’rifat dilatih menempuh mujahadah melawan segala nafsu-nafsu jahat dan bisikan syaitan yang sentiasa menariknya kepada kefasikan, penyelewengan, kesesatan dan kekafiran. Setelah seseorang salikin menempuh perjalanan yang jauh dan mencabar ini, dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq, sehingga berjaya di dalam mujahadahnya, maka inilah Langkah permulaan bagi memperoleh Keimanan sejati atau Tauhid yang hakiki.  Inilah keberuntungan dan kemenangan terbesar.

 

Firman Allah:

 

قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا   وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan merugilah orang yang mengotorinya”

[Asy-Syams (91) : Ayat 9-10]

 

Ayat Allah ini dengan tegas menyebut bahawa orang yang beruntung adalah mereka yang menyucikan jiwanya dan sebaliknya orang yang membiarkan hatinya di dalam kekotoran, maka menemui kerugian. 

 

Penjelasan yang luas dan terperinci berkenaan hal ini iaitu “ penyakit hati, jenis-jenis penyakit hati, punca penyakit hati dan bahayanya kepada keimanan” kami sudah himpunkan  di dalam Risalah kami Tajuk “Penyakit Hati Manusia Bahaya Yang Tidak Disedari”.  Sila Rujuk.

 

Jika kamu perhatikan dari dalam hati yang murni, maka kamu akan mendapat jawapan kepada tujuan Rasul dan Nabi diutuskan oleh Allah ke muka bumi,  yang ini selalu disebut-sebut sebagai menyeru kepada Mentauhidkan Allah. Sesungguhnya proses untuk Mentauhidkan Allah bermula dari penyucian hati, iaitu suci hati daripada syirik khafi (dalam hati), mazmumah, ghaflah dan aghyar.  Ertinya seseorang Islam tidak akan menjadi orang yang benar-benar beriman dan Mentauhidkan Allah sebelum dia menyucikan hatinya daripada segala kekotoran hatinya.  Cahaya Tauhid tidak akan masuk ke dalam hati yang di dalamnya bersarang Syirik yang tersembunyi, mazmumah dan kekotoran ma’nawiyyah yang lain.

 

Firman Allah:

 

هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬

Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Ilmu rahsia dan pengetahuan mendalam).  Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”

[Al-Jumu’ah (62) :  Ayat 2]

 

Inilah matlamat sekalian Anbiya dan Mursalin yang diutuskan ke muka bumi, iaitu mendidik jiwa manusia supaya tunduk kepada Allah dengan cara menyucikan batin mereka. Maka inilah juga yang diwarisi oleh sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.

 

Tanpa melalui proses penyucian hati yang telah dilaksanakan oleh Junjungan Besar Rasulullah  , yang kemudian diwarisi turun- temurun oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah (Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat, Warisatul Anbiya yang sebenar) manusia Muslim tidak akan mencapai Keimanan Sejati atau Tauhid yang hakiki atau Ma'rifat yang suci murni ; iaitu tanpa sungguh-sungguh berusaha menyucikan hati dan sungguh-sungguh mujahadah melawan sekalian nafsu-nafsu kejahatan sehingga tumpas semuanya dan terus-menerus berzikir sehingga hatinya bersinar dengan cahaya Rabbaniyyah dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq, maka tidak mungkin seseorang muslim memperoleh Keimanan sejati atau Tauhid yang suci murni.  Mereka tetap akan berada di dalam tingkatan keimanan orang awam yang bergelumang dengan kekeruhan hati, kekejian dan sifat nifaq.   Wal Iyazubillah.


 

....bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.1   Pengenalan

  ..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه


MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 10: TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN...