Tuesday, July 21, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 14

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Fasal 14 :  Penjagaan Ahli Makrifat


Berikut kami jelaskan peringatan dan penjagaan berhubung dengan Salikin yang di-Kurniakan oleh Allah ke Maqam Tauhid yang tinggi, atau Ma’rifat. 

       

Peringatan ini telah berulangkali disebut oleh sekalian Ulama Arif Billah terdahulu di dalam kitab-kitab mereka, agar sekalian hamba-hamba Allah sentiasa waspada dan tidak terpedaya dengan penyelewengan halus yang berlaku tanpa disedari.


Barangkali ada yang musykil:

"Mengapakah perlu waspada sedangkan pencapaian Maqam Tauhid hakiki itu semuanya dituntut dan Hamba-hamba Allah yang sampai ke Maqam-maqam tersebut mendapat pujian dan Keredhaan Allah?"

 

Jawapannya:

Memang benar setiap Muslim wajib berusaha menyucikan batinnya daripada sekalian kesyirikan (Syirik khafi) dan mazmumah (kekejian) dan dosa-dosa hati yang lain, sehingga akhirnya mencapai Maqam-maqam Tauhid yang hakiki atau Keimanan sejati.  Walau bagaimanapun, setiap Salikin perlu sedar bahawa di sana terdapat Syubhat tersembunyi  serta  tipu daya syaitan yang tidak diketahui dan disedari oleh Salikin.

Maksud "penyelewengan halus tanpa disedari" adalah penyelewengan dari jalan kebenaran akibat bisikan nafsu atau syaitan atau kedua-duanya yang datang dalam berbagai bentuk yang pada zahirnya kelihatan seperti kebaikan sedangkan pada hakikatnya kebinasaan.  Iblis mahir di dalam penyelewengan halus ini.

Firman Allah:

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِين

Iblis berkata:  "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan buruk, perkara mungkar, kesesatan) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas".

[Al-'Hijr (15) : Ayat 39-40]

 

Firman Allah:

قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٲطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ثُمَّ لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡ‌ۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِينَ

"Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) Jalan-Mu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."

[Al-A'raf (7) : Ayat 16-17]

Saksikanlah bahayanya...!!!

Akibat penyamaran dan tipu daya halus iblis ini, ramai Ulama fiqh dan Ulama Ilmu Kalam pun tertipu dan masuk perangkap halusnya.  Berdasarkan sejarah Ummat, iblis telah memperdaya dan menyesatkan sejumlah orang-orang bergelar "Ulama",  di antaranya Ulama politik, Ulama dunia, Ulama Syi'ah (Rafidhi), Ulama Khawarij (Wahhabiyyah sekarang), Ulama Mu'tazilah, Ulama Jabariyyah dan lain-lain.  Wal Iyazubillah.

Demikian lagi sebahagian Salikin yang menempuh Suluk pun boleh terpedaya dengan muslihat dan tipu daya halus iblis ini, jika mereka tidak berhati-hati dan waspada selalu.  Inilah sebabnya Masyaikh Ahlus Sunnah terdahulu telah meletakkan peraturan, syarat-syarat dan adab-adab  tertentu bagi Salikin. Dan akhir sekali mereka kemaskan dengan berbagai Peringatan dan Amaran, moga mereka selamat sampai kepada Allah dan tetap Istiqamah sesudahnya.

 

Peringatan 1 :  Maqam Tauhid Zat adalah Anugerah Allah

Ketahuilah, Maqam Tauhid Zat ini adalah Maqam tertinggi Keimanan yang merupakan Anugerah Allah dan Rahmat-Nya, sebagaimana juga Maqam-maqam Tauhid hakiki sebelumnya.

Maksud ungkapan "Anugerah Allah dan Rahmat-Nya adalah" : 

Seseorang hamba sampai ke Maqam ini atas Pilihan Allah dan Kurniaan-Nya semata-mata dan BUKAN kerana banyaknya mujahadah seseorang, BUKAN juga banyaknya zikir dan wiridnya, BUKAN juga kerana banyaknya pengorbanan dan khidmatnya pada Jalan ini.

Salikin sememangnya wajib bersungguh-sungguh mujahadah menyucikan batinnya, bersungguh-sungguh sempurnakan Zikir, Muraqabah dan Musyahadahnya, sungguh-sungguh mematuhi sekalian adab-adab kepada Allah, Rasul dan Gurunya yang memimpin kepada Allah, namun semua itu BUKAN penentu kepada sampainya seseorang kepada Maqam-maqam Tauhid Zat (dan juga sekalian Maqam-maqam Tauhid sebelumnya), sebaliknya ia semata-mata Rahmat Allah dan Kasih-Nya.

 

Peringatan 2 :  Mujahadah Lama

Maksud "Mujahadah lama", ertinya mereka telah menempuh perjalanan keruhanian yang jauh, menempuh berbagai rintangan, halangan, cubaan, penderitaan pada jangka waktu yang sangat lama — sehingga puluhan tahun, dengan penuh kesabaran, kesungguhan dan keikhlasan semata-mata mencari Wajah-Nya Yang Maha Mulia.

 

Ertinya Anugerah Allah ini bukan datang bergolek bagi mereka yang baru mujahadah beberapa tahun, melainkan ia hadir dengan Pilihan Allah semata-mata setelah Allah Ta'ala melihat kesungguhan, adab dan keikhlasan seseorang, pada masa yang panjang.

 

Firman Allah:

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَا‌ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh pada jalan Kami nescaya Kami tunjukkan mereka jalannya.  Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat ihsan”

[Al-Ankaboot (29) : Ayat 69]

Jika seseorang mengaku telah sampai kemuncak Tauhid Zat, Maqam Keimanan tertinggi dengan hanya satu dua tahun mujahadah, maka ini pengakuan dusta. 

 

Memang benar, tidaklah suatu hal yang mustahil bagi Allah Kurniakan seseorang Maqam Tauhid Zat  dalam waktu yang singkat, namun hal ini bertentangan dengan Ketetapan Allah ke atas makhluq-Nya. 

 

Apakah maksud Ketetapan tersebut?

                                                                                                                                     

Ketetapan tersebut adalah:

Allah Ta'ala menyempurnakan kejadian makhluq-Nya menurut  kadar, ukuran, susunan dan nisbah tertentu serta merapikan segala sesuatu menurut ketetapan-Nya yang Azali. Allah Ta'ala tidak mengikut Kehendak manusia tetapi Dia sempurnakan menurut Kehendak-Nya.

 

Firman Allah:

وَتَرَى ٱلْجِبَالَ تَحْسَبُهَا جَامِدَةًۭ وَهِىَ تَمُرُّ مَرَّ ٱلسَّحَابِ ۚ صُنْعَ ٱللَّهِ ٱلَّذِىٓ أَتْقَنَ كُلَّ شَىْءٍ ۚ إِنَّهُۥ خَبِيرٌۢ بِمَا تَفْعَلُونَ

"Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) Perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu     dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Dia Amat Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan."

[An-Naml (27) : Ayat 88]

Hal tersebut (mujahadah lama untuk mencapai Keimanan Sejati) benar-benar terbukti ke atas Para Sahabat Ridhwanullah yang berjuang selama 13 tahun di Makkah sebelum mencapai Maqam-maqam Keimanan Sejati.  Demikian juga sekalian Auliya Allah berjuang selama puluhan tahun sebelum diangkat oleh Allah kepada kesucian hati yang mutlaq.

 

Peringatan 3 :  Dipimpin oleh Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq

Guru yang memimpinnya kepada Allah adalah Mursyid, Pewaris Nabi yang siddiq.  Iaitu Gurunya yang membawanya mengenal Allah dengan sebenarnya sampai kepada Maqam Tauhid Zat (dan juga Maqam-maqam Tauhid sebelumnya) adalah Pewaris Nabi yang mempunyai Silsilah keruhanian sampai kepada Junjungan Besar Rasulullah serta menepati Syarat-syarat lain sebagai seorang Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq.  (10 syarat semuanya). 

Jika seseorang mengaku telah sampai Maqam Tauhid Zat (atau Maqam-maqam Tauhid sebelumnya), sedangkan Gurunya bukan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq, maka pengakuannya adalah dusta.  Syarat pertama dan utama yang wajib ada pada Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq adalah " Silsilahnya yang sahih sampai kepada                 Rasulullah  ". 

Jika seseorang Guru yang memimpin manusia pada Jalan Ma'rifat tak dapat buktikan Silsilah keruhaniannya sampai kepada Rasulullah  , maka dia adalah pembohong yang memimpin kepada kebodohan dan kesesatan. Wal Iyazubillah.

 

Berkata Al Imam Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu:

 "Seseorang yang menjadi Shaikh kerohanian mesti memiliki lima syarat, jika tidak dia adalah penipu yang hanya memimpin kepada kebodohan.  Dia mesti sangat mahir di dalam Syari'at, sementara sangat dalam pengetahuannya di dalam haqiqat. Dia mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu-tetamu yang datang kepadanya dengan penuh kasih sayang.  Dia juga mestilah sangat 'alim dalam halal dan haram.  Dia memimpin si salik pada jalan ma'rifat, sebagaimana dia sendiri telah dipimpin oleh Shaikhnya  (Silsilah Keruhanian Nabi ), sempurna di dalam kemurahan hatinya."

[Qala'id Al-Jawahir]

 

Berkata Shaikh Muhammad An-Nazili Radhiallahu anhu:

"Orang yang silsilahnya tidak bersambung ke Hadrat Nabi , itu terputus  dari pancaran ruhaniah dan bukanlah ia Pewaris Rasulullah , serta tidak boleh membai'at dan tidak boleh memberi ijazah."

 [Khazinah Al-Asrar]

 

Berkata Shaikh  Ahmad al-Kamashkhanawi Radhiallahu anhu:

"Semua Ulama salaf sepakat bahawa orang yang Silsilahnya tidak bersambung kepada Guru-guru Toriqah sehingga Rasulullah   dan tidak mendapat izin untuk memimpin Ummat di majlis Toriqah, tidak boleh menjadi Mursyid (dia bukan Pewaris Nabi yang siddiq), tidak boleh membai'at dan tidak boleh mengajarkan zikir dan amalan-amalan lain di dalam Toriqah."

[Jami' Usul Fil Aulia]

 

Pada zaman ini wujud beberapa orang mengaku Mursyid, Pewaris Nabi, tetapi tak dapat buktikan Silsilahnya sampai kepada Nabi .  Mereka membuat dakwaan-dakwaan begini:

(1)    Guru itu bertapa di Gunung Ledang dan berjumpa dengan Wali Songo yang melantiknya menjadi Mursyid.

(2)    Guru itu enggan tunjuk Silsilah Nabi dengan alasan ianya rahsia.

(3)    Guru itu mimpi Nabi Khidir yang melantiknya menjadi Mursyid Pewaris Nabi.

(4)   Guru itu mimpi Tuhan yang melantiknya menjadi Mursyid.

 

Semua dakwaan ini adalah pendustaan yang jelas berlawanan dengan Fatwa Sekalian Ulama Mu'tabar. Guru begini takkan mampu memimpin kepada Allah, kerana dia tak Kenal Allah dan tidak memiliki Keruhanian yang menyambung kepada ruhaniyah Rasulullah , maka apa yang akan berlaku adalah penyelewengan dan kesesatan. 

Wal Iyazubillah

 

Peringatan 4 :  Tauhid Zat, Haqiqat, Ma'rifat bukan teori aqal

Perlu diulangi ....

Sesungguhnya Maqam Tauhid Zat yang juga disebut sebagai kemuncak Maqam Taqwa, kemuncak Tasawwuf, Maqam Ihsan, Maqam Ma'rifat dan Haqiqat adalah hasil Mujahadah, hasil penyucian jiwa, yang membawa kepada penghayatan hati, ruh, sirriyah (rahsia Ketuhanan yang sangat dalam), ia BUKAN teori-teori aqal, BUKAN hasil kajian buku-buku, BUKAN hasil diskusi, BUKAN hasil seminar, forum dan sebagainya.

Bahkan ditegaskan….sekalian Maqam-maqam Tauhid murni peringkat awal yang dibicarakan sebelum ini (Maqam Tauhid Af'al, Asma', Sifat) juga merupakan hasil mujahadah dan penyucian jiwa dengan kaedah-kaedah Manhaj Ahli Ma'rifat atau Ahli Sufi sebagaimana kami bentangkan  sebelum ini.  Ia BUKAN teori-teori aqal atau hujjah-hujjah ilmiah berdasarkan kajian-kajian.

Dengan demikian betapa hebat pun seseorang menguasai teori-teori berkenaan Ilmu Tasawwuf, dan membaca 1,000 kitab sekalipun tidak akan mencapai Maqam-maqam Tauhid hakiki atau Keimanan Sejati (walaupun yang paling rendah sekalipun) sehingga dia sendiri terjun ke Lautan Mujahadah, menempuh sendiri perjuangan sengit memerangi nafsu-nafsu kejahatan dan bisikan-bisikan iblis, dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq sehingga Allah Ta'ala berkenan membuka Maqam-maqam Tauhid murni. 

 

Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu:

"Sesiapa tidak memperoleh Ilmu ini (Ilmu Ketuhanan yang terpancar dari hati yang telah disucikan), tidak akan menjadi Arif (Maqam Tauhid hakiki), walaupun dia membaca seribu kitab.  Walau bagaimana tinggi pun ilmu zahir seseorang, ia tidak akan membantunya memasuki Hadratul Quddus (mencapai Tauhid hakiki atau Keimanan sejati).”

[Sirrul Asrar]

 

Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu:

“Hal ini (Rahsia Ketuhanan Mu'min sejati) hanya difahami dan mampu dihayati oleh mereka yang di-Kurniakan "faham" oleh Allah disebabkan kesucian ruhaniyah yang terlengkap di dalam batinnya.  Orang yang terhijab batinnya daripada rahsia Ketuhanan ini akan tinggal "jahil" selama tidak terarah kepada tugas menyucikan batinnya.”

[Sirrul Asrar]

 

Ini hakikat penting yang wajib difahami oleh semua orang Islam, termasuk mereka yang cenderung kepada Tasawwuf atau Haqiqat atau Ma'rifat. Tidak memadai dengan hanya mentelaah kitab-kitab atau sekadar berseminar, diskusi, forum atau lainnya.  Atau sekadar hafal sifat 20 dan bijak berdebat sifat-sifat Ketuhanan.  Tidak memadai...!  

 

Semua bentuk teori-teori yang dipelajari ini hanyalah langkah permulaan mengenal Allah, bukan kesudahannya.  Mereka perlu melanjutkan perjalanan mereka dengan menempuh sendiri perjalanan ini sehingga Allah Ta'ala berkenan membuka pintu-pintu Tauhid yang murni kepadanya.

 

Kita tegaskan hal ini berulangkali kerana dua sebab utama:

 

Pertama:

Orang-orang Islam yang cenderung kepada Ilmu Tasawwuf atau Ma'rifat atau Haqiqat, hanya sibuk mengkaji sana sini berhubung Ma'rifat tanpa sebarang usaha menyucikan hatinya atau mereka membaca sendiri kitab-kitab Tasawwuf yang tinggi, lalu mengaku sudah sampai kepada Allah. Sesungguhnya ini adalah tipu daya nafsu dan bisikan iblis.

Kedua:

Cerdik pandai Agama (gelaran Mufti, Dr. Drs, Profesor, Sarjana dan lain-lain) yang tak pernah menuntut Ilmu Tasawwuf daripada Guru yang Arif, Pewaris Nabi yang Siddiq dan tak pernah menempuh sendiri perjalanan kepada Allah menurut disiplinnya tetapi sangat berani menuduhnya sebagai sesat.  Mereka ini hanya orang-orang jahil yang membawa kesesatan. Mereka tersesat jauh dan terputus dari Rahmat Allah kerana menentang Wahyu dan Sunnah Rasul yang agung.

Wal Iyazubillah.

 

Peringatan 5 :  Cemerlang Syari'atnya

Hamba-hamba Allah yang sampai kepada Maqam Tauhid Zat yang sempurna adalah hamba-hamba Allah sejati, yang berpegang teguh dengan Syari'at Nabi , iaitu sangat halus Fiqhnya, sangat cemerlang ibadahnya dan sangat indah akhlaqnya.

Maksud "sangat halus fiqhnya" adalah: 

Mereka menunaikan sekalian perkara fardhu dan ditambah dengan semua perkara yang sunnat-sunnat.  Mereka meninggalkan segala hal yang makruh, bahkan yang harus sekalipun kecuali yang benar-benar bermanfaat pada Akhirat, demi mencapai Keredhaan Allah.

Maksud "sangat cemerlang ibadahnya" adalah:

Setiap ibadah mereka adalah Ikhlas murni yang tidak terselit apa pun di antara mereka dengan Allah Ta'ala.  Tiada niat sedikit pun di dalam hati mereka mencari keuntungan duniawi atau keuntungan ukhrawi sekalipun (iaitu keuntungan berupa kesukaan nafsu di dalam Syurga seperti istana, makan minum yang lazat-lazat dan sebagainya).  Mereka hanya harapkan Wajah Allah, Keredhaan-Nya yang abadi. 

Maksud "sangat indah akhlaqnya" adalah:

Maqam Ihsan, Sempurna penyaksian terhadap Zat-Nya Yang Maha Suci.  Tiada terpaling walau sesaat daripada memandang Zat-Nya Yang Maha Agung.  Mereka beribadah di dalam keadaan mereka melihat-Nya dari Sirriyyah (rahsia Ketuhanan yang sangat dalam) sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini.

Di dalam pergaulan dengan manusia mereka mencontohi akhlaq-al-karimah (akhlaq mulia) Junjungan Rasulullah .  Inilah adalah Akhlaq Nubuwwah (Kenabian) yang terkait langsung kepada "Maqam Ihsan" kerana mereka melihat sekalian kewujudan dengan pandangan kasih.

Sebahagian dari Akhlaq Nabi adalah lemah lembut sesama orang beriman dan keras terhadap orang kafir (kafir Harbi).  Maka demikianlah mereka juga mencontohinya dengan muliakan tetamu dan faqir miskin.  Mereka sentiasa muliakan hamba-hamba Allah yang (dianggap oleh masyarakat sebagai)  hina dina, faqir miskin, wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua yang lemah tiada upaya.  Sebaliknya, mereka keras terhadap orang-orang kafir Harbi dan golongan sesat dan menyesatkan Ummat.            

                                                                                                                                                                                                                   

Kesimpulannya, di sini ditegaskan beberapa hal:  

 

(1) Hamba-hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat atau Maqam Ma'rifat yang tahqiq, paling teguh Syari'atnya, paling cemerlang ibadahnya dan paling indah akhlaqnya.  Mereka TIDAK akan sesekali abaikan Syari'at apa lagi ingkarinya.  Mana mungkin mereka ingkari Syari'at (zahir) sedangkan ianya perintah Allah dan Sunnah Rasul ?  Mana mungkin mereka abaikan sekalian perintah Allah sedangkan mereka adalah Pemegang Amanah Allah dan Rasul-Nya atas muka bumi?

 

(2) Mereka yang mengaku sudah mencapai Ma'rifat tetapi abaikan Syari'at  Nabi  apa lagi ingkarinya, maka pengakuannya batil. Dia bukanlah ahli Ma'rifat sebaliknya pendusta yang membawa kesesatan.

(3) Akhlaq Nubuwwah bukan bermaksud sentiasa lemah lembut terhadap semua manusia tanpa mengira keadaan dan sikap mereka terhadap Allah dan Rasul-Nya.  Pada suatu keadaan  tertentu, perlu lemah lembut dan penuh kasih ; misalnya terhadap orang beriman, anak-anak kecil, orang tua yang lemah, faqir miskin.  Pada keadaan lain wajib tegas dan keras  ; misalnya golongan kafir Harbi atau orang-orang Islam yang menyebarkan kesesatan atau fahaman-fahaman sesat seperti Syi'ah (Rafidhi), Wahhabiyyah, Sekular atau fahaman-fahaman sesat yang lain, menurut fatwa Ulama Mu'tabar.  Golongan ini perlu diluruskan dengan ketegasan dan kekerasan.

 

Firman Allah Ta'ala:

مُّحَمَّدٌ۬ رَّسُولُ ٱللَّهِ‌ۚ وَٱلَّذِينَ مَعَهُ ۥۤ أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلۡكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيۡنَہُمۡ‌ۖ

"Nabi Muhammad adalah Utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir (yang memusuhi Islam) dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (orang beriman).”

[Al-Fath (48) : Ayat 29]

 

Peringatan 6 :  Larangan keras buka Rahsia Ketuhanan

Hal ini telah pun disentuh ketika bicara maqam-maqam Tauhid sebelumnya. Di sini kita ulangi kerana mengingatkan betapa berat dan bahayanya menyebarkan rahsia Ketuhanan sewenang-wenangnya kepada umum.

Apakah yang dimaksudkan dengan "Rahsia Ketuhanan" ?

Apakah akibat buka "Rahsia Ketuhanan"?

Dikehendaki dengan "Rahsia Ketuhanan" adalah rahsia tertentu yang Allah Ta'ala masukkan ke dalam hati hamba-hamba Allah yang sedang mujahadah pada Jalan-Nya, iaitu meliputi:

(1) Rahsia Ketuhanan dan kehambaan

(2) Rahsia Kenabian

(3) Rahsia alam ghaib

 

Rahsia-rahsia ini akan terbuka beransur-ansur dan berperingkat-peringkat kepada Salikin, menurut peningkatan keruhaniannya dan menurut Kehendak Allah (bukan kemahuan salik).  Sekalian rahsia ini merupakan "Amanah Allah" kepada Salikin yang WAJIB disimpan baik-baik dan dipelihara lebih dari emas dan perak.

Mana-mana Salikin membuka Rahsia-rahsia ini kepada umum atau menjadikannya "bahan bualan kedai kopi", maka dia telah khianat kepada Allah.  Pengkhianatan ini amat besar sehingga dia boleh jatuh kepada dua macam bahaya:

Pertama     :  Allah Ta'ala menahannya daripada peningkatan maqam lebih tinggi. 

 

Kedua        :  Allah Ta'ala lucutkan maqamnya dan terkena istidraj.

(Allah Ta'ala Murka dan biarkan dia di dalam kesesatan sedangkan dia menyangka dia di dalam kebaikan). 

Wal Iyazubillah.

 

Inilah sebabnya sekalian Masyaikh telah berikan amaran berulangkali akan bahaya membuka rahsia Ketuhanan (yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada mereka) kepada orang lain.  Apa jua rahsia yang mereka peroleh sama ada ketika Zikir sendirian atau tawajjuh (zikir berjemaah) atau Suluk semuanya WAJIB disimpan baik-baik dan hanya boleh dilaporkan kepada Guru (Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq) yang memimpinnya.  Setelah ditafsirkan oleh Gurunya (atau tidak tafsirkan),  hendaklah diam dan simpan semua rahsia tersebut. Dilarang keras sebarkannya.

Pada hari ini (dan juga zaman sebelum ini), didapati ada orang-orang yang sewenang-wenang sebarkan berbagai Rahsia Ketuhanan kepada umum sama ada di dalam perbualan harian mahupun melalui aplikasi    internet — laman web, blog, youtube, facebook, instagram  dan lain-lain. 

Misalnya mereka sebarkan bahawa mereka mimpi Allah, jumpa Nabi Khidir, jumpa Imam Mahdi, jumpa Wali Songo dan lain-lain sepertinya.  Orang-orang Islam awam yang bodoh terikut-ikut dengan pengakuan mereka ini, bahkan setengahnya menjadi "penyokong buta" yang tegar.

Jika benarlah mereka telah diperlihatkan oleh Allah akan segala rahsia-rahsia Ketuhanan tersebut dan mereka sebarkannya kepada umum, maka ini adalah pengkhianatan dan kekufuran.                                                           

Wal Iyazubillah.

 

Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu:

"Meskipun (para Kekasih Allah), diberi Ilham akan Rahsia-rahsia Allah, namun rahsia-rahsia tersebut tidak dibuka atau diceritakan kepada orang lain, kerana membuka rahsia Ketuhanan itu adalah kekufuran"

[Sirrul Asrar]

Jika mereka (yang buat dakwaan dan hebahan tersebut), mengada-adakan cerita dusta berhubung dengan Rahsia Ketuhanan, maka mereka adalah pendusta yang layak menerima La'nat Allah. Wal Iyazubillah.  

                                                                         

Firman Allah Ta'ala:

قُلۡ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَفۡتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ لَا يُفۡلِحُونَ  مَتَـٰعٌ۬ فِى ٱلدُّنۡيَا ثُمَّ إِلَيۡنَا مَرۡجِعُهُمۡ ثُمَّ نُذِيقُهُمُ ٱلۡعَذَابَ ٱلشَّدِيدَ بِمَا ڪَانُواْ يَكۡفُرُونَ

"Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya orang-orang yang  mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya.   (Apa yang mereka beroleh hanya) kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka. Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang berat disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan."

[Yunus (10) : Ayat 69-70]

 

Peringatan 7 :  Jangan mendakwa diri kamu Wali Allah

Secara umumnya, seseorang Salik dilarang keras mendakwa-dakwa dirinya Wali Allah atau sewenang-wenang mengangkat dirinya kepada Maqam Wali Allah atas sangkaannya, lalu "menjaja" di sana sini akan Kewaliannya. Meskipun dia sudah sampai ke Maqam Tauhid Zat sekali pun, dia tetap dilarang mendakwa-dakwa demikian.  Sebab-sebab larangan ini adalah:

Pertama:

Perbuatan membesarkan diri sebagai Wali Allah kembali kepada maksud riya' dan takabbur.  Ertinya kembali kepada kesyirikan (syirik khafi) seperti orang awam.  Mereka tertipu dengan diri sendiri.  Sesungguhnya ini tipu daya Iblis yang paling halus kepada Salikin yang mencari kebenaran.

Kedua:

Maqam Kewalian adalah setengah daripada rahsia Ketuhanan yang wajib dipelihara lebih dari emas, perak dan permata yang paling berharga sekalipun.  Ertinya dilarang keras sebarkannya kepada umum.  Mendedahkan rahsia Ketuhanan adalah kekufuran sebagaimana yang telah kami bentangkan sebelum ini.

Ketiga:

Maqam Kewalian bukan barang mainan untuk kamu bersuka ria sehingga kamu jadikannya bahan bualan "kedai kopi".  Sebaliknya setiap Maqam Kewalian membawa "AMANAH ALLAH".  Seseorang hamba yang diangkat ke Maqam Auliya Allah menanggung amanah yang berat sebagai Warisatul Anbiya (Pewaris Nabi).

 

Ringkasnya, kita katakan:

Orang-orang yang suka mencanang sana sini bahawa dirinya sudah mencapai Kewalian atau mengaku dirinya dilantik menjadi Wali Agung sedunia atau lain-lain seperti itu, maka orang ini tak sedar akan hakikat Kewalian dan tidak sedar bahawa ianya membawa maksud Amanah Allah yang sangat berat. Boleh jadi dia cuma pencari kemasyhuran atau mempunyai kepentingan nafsu dan dunia. 

Sesungguhnya Salikin yang Ikhlas dan benar, ketika mengetahui bahawa dia telah diangkat oleh Allah kepada darjat Kewalian tertentu (melalui khabar dari Gurunya yang Arif Billah), akan menjadi gerun, takut dan amat malu kepada Allah Ta'ala.  Mereka akan merendah diri dan kekalkan sifat kehambaan — Ubudiyyah zahir dan batin.  Mereka tetap memelihara sekalian adab, peraturan dan undang-undang Syari'at.  Mereka TIDAK ghairah menyebarkan kepada umum bahawa mereka  sudah menjadi Wali. Sebaliknya mereka akan sangat berhati-hati agar tidak terkena istidraj.  Mereka sedar bahawa Maqam Kewalian bukan barang mainan sebaliknya mengandungi Amanah besar dari Allah Ta'ala.


Pengecualian:

Di sana terdapat pengecualian kepada persoalan ini.  Iaitu terdapat keadaan di mana seseorang Auliya Allah yang telah mencapai Maqam Kewalian yang luar biasa mendapat petunjuk Allah supaya beliau mengisytiharkan kewaliannya.  Walau bagaimanapun, hal ini amat jarang terjadi.  Di dalam Sejarah Ummat, di antara Ulama yang mengisytiharkan kewalian mereka (setelah menerima Petunjuk Allah) adalah :  Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani, Imam Ibnu Araby, Imam Ghazali dan beberapa Auliya  Allah lagi yang luar biasa maqam Kewalian mereka.

Di antara bukti kebenaran pengisytiharan mereka adalah; Sekalian Ulama Ahlus Sunnah ketika itu mengakui kebenaran pengisytiharan tersebut dan mengakui ketinggian Kewaliannya. 

Satu contoh yang sangat masyhur di dalam sejarah Ummat adalah ; Pengisytiharan Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu, kata beliau:

[I]  قدمی ھذه علی رقبة کل ولی الله  [I]

 "Tapak kakiku berada di atas tengkuk sekalian Auliya Allah" 

Ketika Imam Jilani isytiharkan demikian di Kota Baghdad, maka seketika itu juga sekalian Mursyid-mursyid satu dunia dapat mendengar suara beliau lalu mereka menundukkan kepala mereka tanda mereka akur kepada Ketinggian beliau sebagai Mahkota Auliya.

[Rujuk catitan Shaikh Yahya Tadhifi di dalam Kitab Qala'id Al-Jawahir]



...bersambung ke Fasal 15 :  Khotimah

...اِ نْ شَآ ءَ اللّه 














No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 14

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Fasal 14 :   Penjagaan Ahli Makrifat Be...