بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Fasal 13 : Penjelasan - Kasyaf
Kasyaf adalah sebahagian
daripada Karomah, iaitu Kemuliaan yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada
hamba-hamba Pilihan-Nya. Maka penjelasan
bab ini lebih kurang sama saja dengan penjelasan bab Karomah. Walau
bagaimanapun kami bangkitkan tajuk Kasyaf ini secara khusus disebabkan
banyaknya terjadi kekeliruan, kepincangan dan penyelewengan di kalangan orang
yang gemar kepada ilmu keruhanian.
Setengah daripada kebodohan
mereka yang tak tahu apa-apa berkenaan dunia Ma'rifat dan tidak pernah menempuh
perjalanannya secara benar dengan pimpinan Pewaris Nabi yang Siddiq, tiba-tiba
mengaku sudah kasyaf. Mereka mengaku
kasyaf kerana kemampuan melihat berbagai cahaya hijau, kuning, ungu ketika berzikir. Atau mereka dapat melihat gambaran dan
pemandangan-pemandangan hebat ketika berzikir. Atau mereka melihat manusia
berpakaian putih dan berjanggut lalu mereka menyangka mereka sudah kasyaf. Setengah lagi mengaku sudah kasyaf
semata-mata kerana boleh melihat jinn syaitan.
Sesungguhnya semua ini adalah tipu daya nafsu dan syaitan sedang mereka
tidak menyedarinya.
Berikut kami sampaikan secara
ringkas sahaja berkenaan pengertian dan haqiqat Kasyaf, sebagaimana yang telah
dijelaskan oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah.
Poin 1 : Definisi:
Kasyaf ( اَلْكَشْفُ ) dari sudut bahasa adalah:
Menyingkap,Terbuka, membongkar, buka tutupan, selak tabir.
Kasyaf ( اَلْكَشْفُ )
pada sisi Ilmu Tasawwuf atau Ma'rifat adalah:
Terbuka mata hati kepada menyaksikan Af'al, Asma', Sifat dan Zat Allah
serta perkara-perkara ghaib menurut Kehendak Allah Ta'ala. (Perhatikan kunci di
sini : Kasyaf yang haq berlaku menurut Kehendak Allah Ta'ala, bukan kehendak
manusia, bukan dibuat-buat oleh manusia atau jinn syaitan).
Poin 2 : Kasyaf ( اَلْكَشْفُ )
secara umum terbahagi dua:
(1)
Kasyaf
Haqq — Ini Kurnia Allah kepada hamba-hamba Pilihan-Nya yang benar ikhlas
mujahadah pada jalan-Nya.
(2)
Kasyaf
Batil — Ini adalah ilusi dan mainan Iblis yang dipamerkan oleh Iblis kepada
manusia bagi memperdayakan mereka dengan khayalan dan kepalsuan.
Poin 3 : Kasyaf Kurnia Allah terbahagi dua:
(1)
Kasyaf
Hakiki (Kasyaf Ma'nawiyyah)
(2)
Kasyaf
Suri (Kasyaf Hissiyyah)
Kedua-dua bentuk Kasyaf ini
adalah daripada Allah Ta'ala, di-Kurniakan kepada Salikin yang telah mujahadah
sungguh-sungguh pada Jalan-Nya dengan penuh keikhlasan.
Poin 4 : Kasyaf Hakiki ( Ma'nawiyyah
)
Kasyaf Hakiki ( Ma'nawiyyah
) adalah terbuka hati menyaksikan Af'al Allah, Asma', Sifat dan Zat-Nya
yang Maha Agung sebagaimana yang telah dijelaskan pada bicara Tingkatan
Maqam-maqam Tauhid sebelum ini. Inilah sebenar kasyaf yang dikehendaki pada
Sisi Agama iaitu terbuka hati Salikin kepada pintu-pintu Tauhid atau Iman atau
Ma'rifat.
Poin 5 : Kasyaf Suri ( Hissiyah
)
Kasyaf Suri ( Hissiyah )
adalah terbuka mata hati Ahli Ma'rifat yang sudah tetap, kepada melihat segala
dunia ghaib dan dunia keruhanian keseluruhannya menurut Kehendak Allah. Kurnia Allah ini adalah semata-mata kepada
Hamba-hamba-Nya yang telah tetap Maqam Tauhidnya dan telah istiqamah pada
Syari'at dan adab-adab Ma'rifat. Mereka
adalah Kekasih-kekasih Allah yang tidak terpegun dengan segala Kasyaf Hissiyah
ini, jauh sekali bermegah-megah dengannya.
Mereka serah diri kepada Allah
dan tetap menjaga Amanah Allah dan takut dengan Kemurkaan-Nya.
Poin 6 : Jangan mencari-cari
Kasyaf Suri (Hissiyyah)
Salikin (yang masih di dalam
perjalanan) yang memperoleh Kasyaf Suri
(Hissiyyah) bukanlah suatu kemuliaan atau Anugerah Allah
kepadanya, melainkan ia adalah sebagai dugaan kepada mereka. Allah Ta'ala menguji mereka dengan berbagai
Pembukaan, untuk mengetahui Salikin yang benar-benar mencari Allah. Jika mereka
sentiasa waspada dan serahkan semuanya kepada Allah dan menafikan kelebihan apa
pun pada dirinya, maka dia akan
selamat. Sebaliknya jika dia asyik dengan pandangan-pandangan ghaib tersebut
lalu bermegah-megah dengannya (walaupun sekadar di dalam hatinya), maka yang demikian
itu adalah istidraj dan kebinasaan.
Wal Iyazubillah.
Poin 7 : Tidak berlaku kasyaf
yang Haq kepada orang awam Kasyaf yang Ma'nawi mahupun Kasyaf Hissi (yang
kedua-duanya dari Allah Ta'ala) tidak
sama sekali di-Jadikan oleh Allah ke atas orang awam, sekalipun orang itu
cerdik pandai Agama bergelar prosesor sekalipun. Ini kerana mereka belum masuk
ke Hadrat Ketuhanan yang melayakkan mereka mencapai kemuliaan tersebut. Hati mereka terhijab dengan berbagai
kesyirikan, penyakit hati dan kekejian
(takabbur, riya', ujub, sum'ah dan lainnya), maka tidak mungkin mereka
memperoleh pembukaan daripada Allah Ta'ala.
Jika terdapat orang awam mendakwa bahawa dia sudah kasyaf, maka ini
adalah dakwaan dusta. Dia menipu diri
sendiri dan menipu orang lain.
Poin 8 : Melihat jinn syaitan
bukan kemuliaan dan bukan kasyaf Orang awam yang dapat melihat jinn syaitan
BUKAN suatu keistimewaan, BUKAN kemuliaan dan BUKAN kasyaf seperti sangkaan
kebanyakan orang. Sebaliknya yang demikian itu hanyalah dampingan jinn syaitan
kepada orang-orang tertentu yang terpedaya.
Sekurang-kurangnya tiga golongan yang terpedaya dengan dampingan jinn
syaitan ini:
Pertama:
Orang yang sering khayal
berkenaan dunia keruhanian, lalu terkena
ilusi syaitan, jinn atau Iblis akibat khayalan yang melampau.
Kedua:
Orang yang mewarisi jinn
keturunan yang dipanggil saka dan bersungguh-sungguh menyambung tradisi
tersebut.
Ketiga:
Tukang Sihir, ahli nujum,
bomoh, dukun, pawang, ahli silat dan lain-lain sepertinya yang sekutu dengan
jinn syaitan untuk mendapat berbagai pertolongan dan kelebihan dunia yang hina.
Poin 9 : Kasyaf batil adalah
mainan syaitan
Kasyaf batil adalah
"Ilusi atau gambaran palsu" yang diterbitkan oleh iblis, syaitan dan
jinn ke dalam minda manusia. Misalnya
iblis boleh masukkan ilusi cahaya-cahaya atau ilusi alam ghaib yang hebat-hebat
lalu memperdayakan mereka kepada kesesatan tanpa disedarinya. Atau iblis sendiri menyamar menjadi
"Tuhan" atau menjadi "Wali Allah" lalu pamerkan diri di
hadapannya.
Khulasahnya:
Kasyaf yang sebenar yang
dikehendaki pada Agama adalah "terbuka mata hati" menyaksikan Af'al,
Asma', Sifat dan Zat Allah Yang Maha Agung, iaitu Tauhid yang hakiki, Tauhid
yang sebenar yang terpancar dari hati yang telah disucikan. Hal ini hanya terjadi kepada Salikin yang
mujahadah pada Jalan Allah dengan pimpinan Guru Pewaris Nabi yang benar-benar
Arif. Peringkat Kasyaf tertinggi adalah ketika seseorang Salikin sampai ke
Maqam Tauhid Zat yang tahqiq. Dan inilah
setinggi-tinggi Ilmu, iaitu Ilmu Mukasyafah.
Kasyaf berupa pandangan kepada
dunia Ghaib, alam Barzakh dan sekalian alam yang tersembunyi hanya terjadi
kepada hamba-hamba Allah yang telah sampai kepada Maqam Tauhid Zat yang sudah
teguh pendiriannya. Hal ini merupakan kemuliaan Allah Ta'ala kepada mereka. Ia dikatakan Kemuliaan Kurnia Allah kepada
mereka kerana mereka tidak terpesona dengannya sebaliknya tetap Agungkan Allah
Ta'ala. Mereka tetap tunaikan Amanah Allah dan tidak akan sewenang-wenang
membuka rahsia Ketuhanan kepada orang awam.
...bersambung ke Fasal 14 : Penjagaan Ahli Makrifat
...اِ نْ شَآ ءَ اللّه
No comments:
Post a Comment