Monday, July 20, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 12

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Fasal 12 :  Penjelasan - Karomah


Ketahuilah.... Setengah daripada dugaan berat ke atas hamba-hamba Allah yang sedang mujahadah pada Jalan Allah adalah terjadinya berbagai Karomah Hissiyyah ke atasnya.

Mereka tersangat bimbang terkena Istidraj akibat memandang berbagai Karomah Hissiyyah.  Hal ini termasuklah mereka yang baru sampai ke Maqam Tauhid Zat kerana   kedudukan mereka belum kukuh dan belum benar-benar tahqiq.


Huraian kepada hal ini amat panjang.  Berikut disampaikan penjelasan secara ringkas sahaja:


Poin 1:

Rasul dan Nabi diteguhkan kedudukan mereka oleh Allah dengan Mu'jizat sementara Auliya Allah dan Mu'min sejati diteguhkan kedudukan mereka oleh Allah dengan Karomah dan Ma'unah.  Sekalian Mu'jizat, Karomah, Ma'unah adalah perkara-perkara luar biasa yang Allah Ta'ala jadikan kepada Kekasih-kekasih-Nya, yang mencengangkan aqal manusia dan melemahkan orang yang cuba memperbuat sepertinya.                                                                                         

 

Poin 2:

Karomah terbahagi dua:

(1)  Karomah Haq — dari Allah.


(2)  Karomah Batil —dari iblis, jinn, ahli sihir.

 

Poin 3:

Karomah dari Allah terbahagi dua:

(1) Karomah Ma'nawiyyah

         (2) Karomah Hissiyah

 

Poin 4:

Karomah Ma'nawiyyah

Yang dikehendaki dengan Karomah Ma'nawiyyah adalah sekalian Kurnia Allah berupa Cahaya Iman, Tauhid, Taqwa, Ihsan, Ma'rifat serta Istiqamah atasnya sampai mati.  Dan inilah sebenar-benar Karomah (kemuliaan) di Sisi Allah yang dituntut atas setiap orang beriman mencarinya.

 

Firman Allah:

إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di Sisi Allah ialah orang yang paling     tinggi taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

[Al-Hujurat (49) : Ayat 13]

 

Poin 5:

Karomah Hissiyyah

Yang dikehendaki dengan Karomah Hissiyyah adalah sekalian Kurnia Allah berupa hal-hal ajaib yang "merobohkan adat kebiasaan manusia", atau  "menembusi hukum Alam", yang terjadi ke atas Salikin.  Misalnya:  Menukar kertas biasa menjadi wang, atau terbang di udara tanpa alat penerbangan, atau bergerak pantas dari satu tempat ke tempat lain sekelip mata atau lain-lain seumpamanya.

 

Semua ini, apabila terjadi kepada Salikin ketika mujahadahnya pada Jalan Allah, maka ini yang dipanggil Karomah Hissiyyah.  Ini bermakna Allah Ta'ala sedang mengujinya sama ada dia benar-benar ingin mencari-Nya ataupun   dia mempunyai niat-niat lain selain Allah.

 

Hamba-hamba Allah yang benar-benar ikhlas mujahadah sehingga mencapai berbagai Maqam Tauhid atau Maqam Keimanan yang tinggi, tidak akan terpengaruh dengan segala kejadian-kejadian istimewa ke atasnya,  apa lagi bermegah-megah dengannya.  Tidak!  Salikin yang ikhlas dan beradab akan sentiasa waspada dan amat takut ketika terjadi berbagai Karomah hissiyyah ke atasnya kerana dia tahu Allah Ta'ala sedang mengujinya dan amat takut terkena istidraj, sehingga hilang musnah Tauhidnya.

 

Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu:

"Semua perkara yang dikatakan "keramat" yang mencarik adat atau luar biasa itu adalah hijab  (tabir penghalang) yang melalaikan seseorang dari jalan yang benar dan dari matlamatnya yang sebenar.  Bagi mereka, apabila berlaku perkara luar biasa itu terjadi, mereka menganggap seperti perempuan yang didatangi haid, sibuk berusaha mengatur diri disebabkan kekurangan yang menimpa dirinya"

[Sirrul Asrar]

 

Dengan demikian sedarilah hakikat ini.  Andainya seseorang mengaku sudah sampai kepada Maqam-maqam Tauhid lalu bermegah-megah dengan berbagai Karomah Hissiyyah, maka dia tertipu — dia bukanlah Salikin yang benar.  Atau kemungkinan lain adalah karomah hissiyyah yang dimegahkan itu juga bukan dari Allah tetapi dari tipu daya Syaitan.  Wal Iyazubillah.

 



...bersambung ke Fasal 13 :  Penjelasan - Kasyaf

...اِ نْ شَآ ءَ اللّه 

No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 14

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Fasal 14 :   Penjagaan Ahli Makrifat Be...