A5: KEWAJIPAN AMALKAN TASAWWUF-TORIQAT (10)


■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

KEWAJIPAN AMALKAN TASAWWUF-TORIQAT 

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 41 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

       Wahyu Pertama   "  اقْرَأْ " (iqra') " dan Missi Rasulullah ﷺ


Ini suatu cabang penting menyatakan hubungan Wahyu Pertama "  اقْرَأْ "  (iqra')  dengan keseluruhan Agama — Risalah yang dibawa oleh junjungan Rasulullah  ﷺ.     


Sedarilah,  Agama Islam bukan semata² da'wah di dalam pengertian sempit, bukan semata² ibadah tertentu, bukan semata² amal zahir, bukan semata² amal batin.  Sebaliknya Islam adalah sebuah Kehidupan Agung zahir dan batin,  Risalah Pengabdian makhluq kepada Tuhan yang Maha Agung, undang² Universal yang menuntut  Penyerahan kepada Al-Haqq, dan  Pernyataan  Rabbaniyah meliputi seluruh alam.    


Semua yang tersebut di atas.....

Pengisyitharan Kehidupan Agung ini,

Undang² Universal ini,

Pernyataan Ketuhanan ini, 

dibuka dengan Kalimat Agung   "  اقْرَأْ "  (iqra') 


Cabang 1 :

Wahyu Pertama dan Pengisytiharan Agung


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Amat Mengasihani.

✨🕌✨Firman Allah :

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَق َ(1)

خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَق ٍ(2) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ(3)الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4) عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ(5)"

"Iqra’ (bacalah) dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah Menciptakan manusia dari segumpal darah. Iqra’ (bacalah), dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah, Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan Kalam. Dia Mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." 

[Al ‘Alaq (96): ayat 1-5]


Kalimat "  اقْرَأْ "  (iqra)   lazim diertikan secara umum sebagai "baca".    Ini kita semua tahu dan kenal.

Walau bagaimanapun Kalimat ini tidak hanya terbatas pada makna "baca"  menurut pengertian sempit.  Tetapi ianya suatu "pengisytihan Agung"  yang mengandungi makna yang sangat mendalam.


WAHYU Pertama kepada Junjungan Besar kita Nabi Muhammad  ﷺ ....Kalimat Allah Yang Maha Agung yang menjadi GERBANG PEMBUKAAN kepada suatu perubahan peradaban manusia sejagat...!


●Apakah rahsia Kalimat "  اقْرَأْ "  (iqra') ?

●Apakah hikmah di sebalik kalimah "  اقْرَأْ "  (iqra') ?

●Apakah kandungan perintah kalimah "  اقْرَأْ "  (iqra') ?


Apakah maksudnya Allah Memerintah kepada Nabi "bacalah"  sedangkan Allah Maha Mengetahui Nabi kita tak pernah belajar membaca? (dan menulis)!

Apakah yang patut dibaca?

Apakah rahsia membaca?

Bagaimanakah cara membacanya?


Nabi tidak tahu membaca,  Lalu Allah Ta'ala mengajar Nabi "Rahsia membaca" sehingga Nabi telah "membacanya"  dengan sempurna.  Kemudian Nabi mengajar dan mendidik Ummat Baginda "membaca" dengan sempurna.


Apakah yang di baca?

Bagaimanakah "membaca"?

Apakah hakikat "membaca"?


Menurut Ulama Arif Billah, Kalimat Allah Yang Maha Agung ini membawa perutusan makna yang sempurna bagi menunjukkan suatu cara kehidupan agung Rabbaniyyah (yang bersifat Ketuhanan).


Kalimat " Iqra' "  (bacalah) mengandungi pengertian abstrak sebagai isyarat kepada dua macam Ilmu Allah yang wajib didukung oleh Nabi serta Ummat Baginda bagi mencapai kejayaan dan kemenangan Abadi di Sisi Allah Yang Maha Agung..!



SIRI 42 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0 Cabang Penting

sambungan...


Cabang 2 : Wahyu Pertama dan Dua macam Ilmu


Kalimat   "  اقْرَأْ "  (iqra')   lazimnya ditafsirkan dengan makna "baca"   sedangkan pengertian sebenar- nya melangkaui pengertian  baca yang difahami umum.     Sebagaimana huraian terdahulu,  Kalimat Agung ini  mengandungi pengertian abstrak sebagai Isyarat kepada dua macam Ilmu Allah yang wajib didukung oleh Nabi serta Ummat Baginda bagi mencapai kejayaan dan kemenangan Abadi di Sisi Allah Yang Maha Agung..!


Apakahkah dua macam Ilmu tersebut?


Yang Pertama adalah :     "  اقْرَأْ "  (iqra') — bacalah  dengan  pengertian ilmu  syari'at zahir  — Imu yang membicarakan hukum-hakam yang takluk kepada anggota zahir insan yang kemudiannya dikenali juga sebagai  Ilmu Syari'at  atau Ilmu Fiqh.


Yang Kedua adalah :     "  اقْرَأْ "  (iqra') — bacalah  dengan  pengertian ilmu syari'at  batin  — Imu yang membicarakan hukum-hakam yang takluk kepada hati dan ruh yang kemudiannya diberi nama Ilmu Toriqat dan Ilmu Tasawwuf.


Perhatikan baik²,

Kedua² ilmu ini wujud dan hanya wujud di dalam Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang benar (tulen).    

JIKA INI KALI PERTAMA kalian mendengar perincian pertama seperti ini kalian perlu tarik nafas panjang,  memandang jauh kepada Al-Haqq,  tenang sebentar bersama ketenangan alam yang bertasbih dan bertahmid memuji Allah.  JANGAN cepat melatah, bersangka buruk atau membuat tuduhan tanpa ilmu.


Sebagaimana biasa kita sampaikan semua ini BUKAN ilmu baru bahkan ilmu Ahlus Sunnah yang benar TETAPI ianya tenggelam bersama arus kejahilan akhir zaman...!


Dengar dan fahamilah baik²..!


Para Ulama Ahlus Sunnah membicarakan hal ini secara terprinci  di dalam kitab² mereka yakni PENGERTIAN serta KEWAJIPAN amalkan kedua² Ilmu ini dan BAHAYA meninggalkan salah satu dari Ilmu tersebut.  


Sejak kurun kedua Hijrah bermulanya ijtihad Ulama bagi mengumpulkan berbagai disiplin Ilmu Islam, kedua² bahagi Ilmu ini telah mendapat dukungan yang sungguh² dari kalangan Ulama Ahlus Sunnah.  Mereka telah sungguh² menda'wahkan,  mengajar serta  mendidik ummat kepada dua² ilmu tersebut. 


Sedangkan selain dari Golongan Ahlus Sunnah, Ilmu² ini diabaikan sama ada mereka abaikan salah satu darinya atau abaikan kedua² sekali. Akibat dari  perbuatan ini membawa mereka kepada kesesatan dan penyimpangan dari Jalan Rasul, penyimpangan dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah.  Wal Iyazubillah.


Huraian lanjut telah dibicarakan sebelum ini dan tidaklah diulangi lagi di sini.


SIRI 43 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

sambungan


Cabang 3 : 

Wahyu Pertama  dan Rahsia Tarbiyyah Rasulullah ﷺ


Kita semua sedia maklum, sejak Kalimat Agung yang pertama "  اقْرَأْ "  (iqra') "  diturunkan, Nabi kita telah bersungguh² memikul AMANAH ALLAH iaitu untuk melaksanakan Missi  Baginda atas muka bumi — mendirikan Kalimah Suci La Ilaha Illallah, dengan cara  menyeru manusia kepada Tauhid yang benar dan  menjauhi segala macam kesyirikan (syirik Jali dan Syirik Khafi),  kemunafikan dan kekafiran.  Kemudian Baginda mendidik mereka  supaya manusia menjadi hamba² yang sebenar — bertauhid mengenal Allah dengan sebenar kenal dan  mendirikan Ubudiyyah menjadi hamba² yang di- redhai Allah .   


Ringkasnya Baginda menggalas dua tugas besar:

(1)  Da'wah secara umum kepada semua manusia.

(2) Tarbiyyah (didikan) khusus kepada para sahabat Baginda.


Yang pertama adalah lebih umum,  yang kedua adalah lebih khusus dan inilah fokus Utama Rasulullah ﷺ iaitu melahirkan seberapa banyak Sahabat Nabi yang cemerlang, mencapai Ma'rifat yang tinggi dan  sanggup mempertahankan kesucian Agama dengan harta dan nyawa mereka.  Sungguh ini suatu TUGAS yang amat berat.


Di dalam jangkamasa perjuangan 10 tahun (sebelum turun kewajipan Solat), Baginda telah berjaya membentuk sejumlah insan² yang bertaqwa — ahli Ma'rifat yang tinggi yang benar² kenal Allah, berubudiyyah tulus ikhlas kerana Allah, serta sanggup mati kerana Allah.  Dalam hati mereka tiada lain melainkan Allah.  Mereka berdiri menghadap Allah dengan penuh khusyu'.   Mereka berdiri menghadap musuh² Allah bagaikan singa yang berani.  Matlamat mereka tiada lain melainkan Allah...!


Pernahkah kita bertanya apakah dia Tarbiyyah yang Nabi lakukan ke atas para Sahabat Baginda?

Pernahkah kita mengkaji sungguh²  jalan yang ditempoh oleh insan² yang mendapat Tarbiyyah Baginda?

Pernahkah kita bertanya apakah rahsia didikan Baginda sehingga terbentuknya Sahabat² yang cemerlang zahir batin?


Renungi  fakta ini sungguh2 ....

Selama 10 tahun itu Nabi  ﷺ sungguh² mendidik para sahabah dengan suatu sistem Tarbiyyah khusus sehingga para sahabah menjadi manusia² terunggul.   Pernahkah kita selidik apakah rahsia didikan Nabi ini?


Renungi fakta ini sungguh²...

Dalam masa 10 tahun tersebut, tiada satu pun Syari'at (zahir) diturunkan —  Solat belum diturunkan.  Puasa, Zakat, Haji belum diturunkan.  Belum ada kewajipan jihad qital (memerangi musuh dengan senjata).  (Ibadah syari'at yang pertama adalah fardhu solat yang diwajibkan oleh Allah pada tahun ke- 10 Kenabian pada malam Isra' Mi'raj.       Jika demikian, apakah ibadah Rasulullah dan para sahabah selama 10 tahun tersebut?  Tidak mungkin mereka cuma duduk goyang kaki tak berbuat apa².


Renungi fakta ini sungguh²...

Tempoh 10 tahun adalah suatu masa yang sangat panjang.  Dalam tempoh itu Nabi telah mendidik para sahabat shingga mencapai keimanan dan Ma'rifat yang amat tinggi (baca : TAUHID yang amat tinggi).  

Apakah Sistem Tarbiyyah Baginda sehingga terbentuk satu generasi insan yang sangat hebat, beriman teguh bertaqwa?


Renungi fakta ini sungguh²...

Bagaimanakah caranya para Sahabat mencapai keimanan yang tinggi?   TIDAK mungkin para sahabat cuma duduk tak berbuat apa² lalu  mencapai kecemerlangan Iman / Tauhid / MA'rifat.   TIDAK mungkin.   Memang benar — tidak mustahil bagi Allah untuk anugerahkan seseorang dengan Keimanan tanpa usaha, tetapi ianya mustahil pada hukum ketentuan Allah demikian.   Ini kerana Allah Ta'ala melakukan setiap sesuatu dengan hukum, peraturan, syarat, adab serapi²nya.  Allah Ta'ala menjadikan setiap suatu dengan asbab dan musabbab.      Allah Ta'ala menjadikan sekalian makhluq saling berkait dan bergantng kepada yang lain    Jika bodoh, dan kamu ingin pandai, maka wajiblah  kamu menuntut ilmu,   Jika lapar berusaha lah cari rezeki.   Jika ingin anak, berkahwin dan bersatulah dengan isteri kamu.

Ini lah ketentuan Allah Ta'ala sebagai hukum Sunnatullah atas muka bumi.

Sebahagian orang islam mendakwa para sahabat mencapai keimanan yang tinggi dengan membaca kelebihan² amal dan pahala².

Sebahagian orang Islam menyangka para Sahabat mencapai kecemerlangan kerana ekonomi.

Sebahagian lagi menyangka para Sahabat menjadi insan pilihan kerana mereka pandai berpolitik, 

Yang akhir sekali ada yang beranggapan, para sahabat tak berbuat apa², cuma duduk  diam terus mendapat Iman yang tinggi.


Semua pendapat ini adalah pendapat nafsu dan tertolak.  Semua dakwaan tersebut hanyalah dakwaan tanpa sebarang bukti.  Ataupun dakwaan yang ditiup dari sangkaan longgar berdasarkan profession seseorang...!


Apakah rahsia sebenarnya?


SIRI 44 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 4 :  Wahyu Pertama dan Ilmu Toriqat


Telah sepakat sekalian Arif Billah (Ulama Mu'tabar Ahlus Sunnah /  Ulama bertaraf Auliya Allah) bahawa sesungguhnya yang membangkitkan Generasi Pertama yang paling cemerlang, Generasi Sahabat yang paling istimewa, Generasi Rabbaniyyah yang terulung adalah tazkiyyatun-nafs  — Ilmu menyucikan JIwa dan ruh.       Ilmu dan amal soleh yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ dan para Sahabat selama 10 tahun setelah turunnya Wahyu pertama "  اقْرَأْ "  (iqra') "    adalah Ilmu Menyucikan Jiwa —  jelasnya iaitu Ilmu mengerjakan zikrullah dan mujahadah melawan nafsu² rendah / nafsu kejahatan yang kemudian dinamakan Ilmu Toriqat.


Maksudnya mulai dari saat Peristiwa Agung Kenabian Sayyidina Muhammad Rasululllah ﷺ di- angkat menjadi Rasul dengan turunnya Wahyu pertama  "  اقْرَأْ "  (iqra') "  sampai 10 tahun lamanya Rasulullah ﷺ  mendidik jiwa para sahabat dengan Ilmu tetentu yang sangat istimewa —  dengannya para sahabat menjadi manusia² yang suci, mulia,  diredhai dan dikasihi  Allah.  Dengan ilmu yang khusus ini para sahabat menjadi insan² cemerlang, memperoleh Taqwa yang tinggi, menjadi Ahli Hikmah dan Ahli Ma'rifat yang tinggi.  


Dalil yang menguatkan keterangan tersebut bersumber dari Kalimat Allah yang Maha Agung ini.

✨🕌✨Firman Allah :

هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬

“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul  dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan menyucikan mereka   serta mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam Rahsia² Ketuhanan dan kehambaan) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”

[Al-Jumu’ah (62) ; ayat 2]


Terdapat faedah yang amat besar dari Kalimat Allah Yang Maha Agung ini, hampir serupa dengan kalimat pertama  "  اقْرَأْ "  (iqra') "  yang mengandungi dua pengertian Agung ;  

Pertama :   يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِ   —   yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah           

Kedua     :    وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ   —    menyucikan mereka   serta mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam Rahsia² Ketuhanan dan kehambaan)                           


Kalimat yang kedua itu mengandungi pengertian berkenaan Tarbiyyah khusus kepada para sahabat, sehingga mereka benar² menjadi insan suci, insan mulia di sisi Allah Ta’ala.  


Ungkapan…   وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ

( "…..dan menyucikan mereka,  serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah…” )


mendokong perutusan khusus ini, iaitu para sahabat adalah golongan terpilih yang diasuh, dididik, di- pimpin oleh Rasulullah   ﷺ dengan ilmu yang  sehingga mereka menjadi manusia² istimewa.    Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat sungguh² sehingga hati mereka suci bersih dari semua macam  syirik (syirik jali  dan syirik khafi), bersih dari mazmumah  (sifat keji), ghaflah  (kelalaian)  dan keluarkan mereka dari segala suatu selain Allah. Maka terbentuklah di sana satu generasi Ahli Ma’rifat yang  mengenal Allah dengan sebenar kenal, serta ubudiyyah dengan tulus ikhlas.


SIRI 45 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 4 :  Wahyu Pertama dan Ilmu Toriqat

sambungan....


Ungkapan…   وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ

( "…..dan menyucikan mereka,  serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah…” )


mendokong perutusan khusus ini, iaitu para sahabat adalah golongan terpilih yang diasuh, dididik, di- bimbing dan dipimpin oleh Rasulullah   ﷺ dengan ilmu yang  sehingga mereka menjadi manusia² istimewa.    Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat sungguh² sehingga hati mereka suci bersih dari semua macam  syirik (syirik jali  dan syirik khafi), bersih dari mazmumah  (sifat keji), ghaflah  (kelalaian)  dan keluarkan mereka dari segala suatu selain Allah. Maka terbentuklah di sana satu generasi Ahli Ma’rifat yang  mengenal Allah dengan sebenar kenal, serta ubudiyyah dengan tulus ikhlas.


Kenyataan dari Al-Qur'an yang telah dijelaskan memberikan kita fakta terpenting pendidikan Rasulullah selama 10 tahun di Makkah:


Pertama :   Jawapan kepada pertanyaan sebelum ini, apakah amalan Rasulullah dan sahabat selama 10 tahun sebelum turunnya fardhu solat, maka jawapannya yang terang tanpa keraguan adalah :  Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat dengan Ilmu Sucikan Jiwa —  Ilmu Toriqat selama 10 tahun.  

Kedua  :     Ilmu  Toriqat  — iaitu ilmu menyucikan jiwa di turunkan terlebih dahulu sebelum di- turunkan ilmu Syari'at


Al Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi menjelaskan perkara ini,


"Ya anakku, terdahulu syari'at yang  batin (Ilmu Toriqat untuk menyucikan jiwa) diturunkan untuk mendidik hati dan ruh Nabi dan sahabat iaitu 10 tahun sebelum Mi'raj dan Syari'at zahir diturunkan selepas Mi'raj (iaitu bermula dengan diwajibkan fardhu solat)

[Risalah Ma'rifat, Jilid 1,  ms 6]


Apakah Ilmu mendidik jiwa ini?

Apakah dia Ilmu Menyucikan jiwa?

Bagaimanakah Rasulullah ﷺ melakukan penyucian tersebut?

Bagaimanakah kaifiyyat   (cara) melakukan penyucian jiwa ini?


Ketahuilah  ilmu Menyucikan jiwa tersebut adalah  tersebut adalah Ilmu mengerjakan  zikrullah  (dan amal lain yang berkaitan dengannya — akan dijelaskan kemudian)  serta berbagai latihan melawan nafsu² rendah dan nafsu kejahatan. Para Ulama Ahlus Sunnah yang Mu'tabar (Ulama bertaraf Auliya Allah) mengambil dalil²  dari Kitabullah dan Sunnah Rasul dan  melakukan ijtihad  menyusun kaifiyyat  (cara²) mengerjakan zikrullah dan cara² memerangi nafsu² jahat  sehingga terbentuklah Suatu Sistem Tarbiyyah / Tazkiyyah yang lengkap dinamakan Toriqat Rasulullah.


Ilmu Toriqat diturunkan terlebih dahulu untuk  membersihkan hati para sahabat dari segala kekufuran, kesyirikan, mazmumah  dan ghaflah sehingga hati mereka  bersinar bagaikan mutiara yang sangat cemerlang.    Pendidikan Rasulullah ﷺ benar² berkesan di dalam hati mereka sehingga mereka menjadi  kekasih Allah.


SIRI 46 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 4 :  Wahyu Pertama dan Ilmu Toriqat

sambungan....


Beberapa Rumusan Penting yang perlu diperhatikan di sini adalah :

(1) Selama 10 tahun di Makkah,  Rasulullah ﷺ mendidik jiwa para sahabat dengan Ilmu Tazkiyyatun-nafs — yang kemudiannya dinamakan Toriqat Rasulullah ﷺ     Ini adalah BUKTI KUKUH berkenaan ilmu Penyucian Jiwa atau Ilmu Toriqat yang diwarisi turun-temurun oleh Sekalian Mursyid — Pewaris Nabi yang sebenar.  


(2) Ilmu mendidik jiwa — Ilmu Toriqat diturunkan terlebih dahulu dari Ilmu Syari'at bertujuan mendidik jiwa sahabat menjadi suci bersih dan bersedia menanggung Amanah Besar — Amanah Syari'at.  Ini menunjukkan keutamaan pendidikan jiwa dan nafs sehingga hati dan ruh ditundukkan untuk menjadi hamba² Allah yang sebenar.  Tanpa pendidikan kejiwaan ini, manusia tidak akan memperoleh sifat kehambaan dan ubudiyyah sebenar.  Tanpa pendikan melalui Ilmu Toriqat Rasulullah ﷺ , tidak mungkin bagi seseorang memperoleh Iman, Taqwa dan Ihsan.  


(3) Selama proses penyucian tersebut (10 tahun di Makkah)  tidak ada satu pun perintah Syari'at di turunkan.  Tidak diperintahkan Solat, puasa, zakat, haji atau lain² nya.   Ibadah Syari'at yang pertama di- fardhukan kepada Rasulullah ﷺ    dan Ummat Baginda adalah Ibadah Solat yang diterima oleh Rasulullah ﷺ pada Peristiwa Isra' Mi'raj. Hal ini BUKAN menunjukkan Syari'at tidak penting, bahkan menurut Ulama Mu'tabar kedua²nya sama penting dan WAJIB didokong oleh semua orang beriman. 


(4) Bagi ummat Islam selepas turun perintah Solat, kedua² Ilmu menjadi Wajib serentak.  Maksudnya WAJIB amalkan Syari'at dan Toriqat Rasulullah serentak, tanpa meninggalkan salah satu darinya.  Ertinya  dilarang meninggalkan syari'at dan semata² menumpukan kepada Toriqat dengan alasan sirah Rasul demikian.  Ini kerana apabila Agama telah sempurna turun, maka WAJIB secara mutlaq  bagi setiap orang yang aqil baligh memperlajari dan amalkan kedua²nya (syari'at dan Toriqat) sekaligus.   


 (5) Ulama MU'tabar Ahlus Sunnah telah sepakat bahwa sesiapa meninggalkan salah satu dari Ilmu tersebut, maka adalah dia termasuk ke dalam golongan fasiq atau zindiq — sebagaimana peringatan terdahulu.  Wal Iyazubillah


(6) Barangkali kini sudah terbuka sedikit minda orang² islam awam  yang selama ini keliru,  ragu²,  musykil dan tertanya² berkenaan Ilmu Toriqat.   Barangkali selepas membaca keterangan ini terbuka kefahaman berkenaan jalan sebenar Rasulullah ﷺ — jalan Lurus kepada Allah.   Orang² awam telah sekian lama dikelirukan dengan dakyah propoganda yang amat keji  bahawa semua Toriqat adalah bahaya, syirik, bidah sesat.   Iblis dan kuncu²nya dari bangsa jinn dan manusia  Yahudi Nasrani, kafir asli, munafiq dan golongan sesat terus berusaha momokkan nama "toriqat"  dengan wajah yang amat buruk sehingga banyak orang Islam  menjadi mangsa kepada dakyat jahat tersebut.


Semua ini terjadi kerana beberapa faktor kejahilan diri dan dakyah musuh² Allah  seperti yang telah di- sebutkan terdahulu. 


SIRI 47 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 5 :  Wahyu Pertama dan  Zikir Allah Allah Allah


Pada beberapa siri yang lalu,  kita telah menjelaskan hubungan erat di antara Wahyu Pertama dengan Toriqat, 

Matlamat Toriqat adalah untuk menyucikan batin (hati dan ruh)  daripada semua macam kekotoran maknawiyah  (yang tersembunyi) sehingga jiwa nya benar² suci bersih.     Iaitu suci bersih daripada  syirik khafi  (syirik tersembunyi),  mazmumah  (kekejian) dan ghaflah (kelalaian) sehingga apabila jiwa itu telah benar² suci bersih, maka di sana akan bercahaya lah Iman / Tauhid yang benar² bersih — di panggil Ma'rifat.  


Baik.  

Persoalan sekarang apakah amalan yang terkandung di dalam Toriqat Rasulullah  ﷺ  itu?   Apakah amalan yang diwahyukan kepada Baginda ?      Apakah amalan yang dilaksanakan oleh Rasulullah ﷺ untuk mendidik jiwa  supaya amalkannya sungguh2 untuk mencapai Keimanan yang teguh? sahabat?


Jawapannya terkandung di dalam Wahyu pertama  [    ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ    ]  —   "Iqra'   bi ismi Rabbikallazi khalaq"   (bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan)


Menurut penjelasan Ahli Ma'rifat, pengertian kedua bagi ayat tersebut iaitu :


Maksud "Bacalah" itu adalah :


"Sebutlah   nama Tuhanmu"   


"Sebutlah nama Allah," 


"Sebutlah Allah Allah banyak²"  


"Zikirlah Allah Allah terus-menerus" 


"Ingatlah kepada Allah terus-menerus di dalam hati"


Berkata Al-Qutb Tajul Arifin  Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu :


"Ya anakku, Wahyu permulaaan Risalah  (Iqra') adalah menyuruh Zikr akan Kalimah Allah.  Kerana makna Iqra'  dan zikir bersamaan jua.  (pada pengertian kedua — pent)  —  yakni Kalimah yang muradif  — berlainan lafaz bersatu makna."

[Risalah Ma'rifat :  Siri 1,  ms 26]


Intisari dari penjelasan ini adalah :


Wahyu pertama memerintahkan :  " Ingat  Allah banyak² dan terus-menerus di dalam hati.   


Atau di dalam perkataan lain :


Wahyu pertama memerintahkan —  " Zikirlah Allah Allah Allah di dalam hati — terus-menerus tanpa henti siang dan malam.


Adakah dalil² sokongan lain  bagi semua keterangan ini?

Dalil2 yang menyokong keterangan ini amat banyak sekali di dalam Kitabullah, Hadith serta fatwa Ulama Mu'tabar Ahlus Sunnah (Ulama bertaraf Auliya Allah) —  sila baca terus.


Catitan Paling Penting:


(1) Wahyu pertama memerintahkan —  " Zikirlah Allah Allah Allah di dalam hati — terus-menerus tanpa henti siang dan malam.


(2) Inilah Toriqat Pertama yang diwahyukan kepada  Rasulullah ﷺ  iaitu Toriqat  yang amalannya ASASNYA melakukan Zikir Allah Allah di dalam hati.


(3) Toriqat yang pertama diwahyukan kepada Rasulullah  ﷺ    inilah yang dikenali sebagai Toriqat Naqsyabandiah pada zaman ini. 


(Bab ini akan datang penjelasan lebih lanjut.  in shaa Allah)


SIRI 48 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 5 :  Wahyu Pertama dan   Zikir Allah Allah Allah  ( sambungan... )


Sekali lagi diberi peringatan:

Maksud daripada Zikir Allah Allah Allah di dalam hati  itu adalah bermaksud :  

Terus-menerus mengingat Allah di dalam hati tanpa putus


Jika kalian dapat memahami maksud ini dan kaitannya dengan Wahyu Pertama (ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ)  maka kalian sudah mendapat faedah besar di dalam memahami pengertian Zikir Allah Allah Allah dan memahami maksud Toriqat Rasulullah ﷺ yang paling awal ini.


Dalil2 Al-Qur'an yang memerintahkan Zikir Allah Allah di dalam hati /   Ingat  Allah terus-menerus di dalam hati:


✨🕌✨Dalil 1 :  Firman Allah :

وَٱذۡكُر رَّبَّكَ فِى نَفۡسِكَ تَضَرُّعً۬ا وَخِيفَةً۬ وَدُونَ ٱلۡجَهۡرِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأَصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ 

" Dan ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai."

[Al-A'raf (7) : ayat 205]


Kalam Allah ini hampir serupa seperti Wahyu pertama yang memerintah : Sebut atau ingat Tuhanmu...!

Apakah nama bagi  Rabb  (Tuhan )  yang disuruh ingat / zikir padanya?

Apakah nama Paling Agung bagi Tuhan yang menciptakan ?

Nama Paling Agung atau disebut  Ismul A'zhom  iaitu nama "Allah" ...!

Maksud keterangan di sini :

 " Zikirlah Allah Allah di dalam hati terus-menerus.


Imam Fakhruddin Ar-Razi (Mujaddid kurun ke 6 Hirriyyah) menafsirkan ayat ini:

"Berdasarkan ayat 205 al-A’raf ini, Rasulullah ﷺ (dan Ummat Baginda)  diwajibkan berzikir dalam hati  (senyap —tanpa  suara)   dengan ingatan Allah,  Allah,  Allah ....  terus-menerus sepanjang waktu siang dan malam.   

Kalimat  ini  " بِٱلۡغُدُوِّ  "     mewakili seluruh waktu siang dan  "  وَٱلۡأَصَالِ  "    mewakili seluruh malam"

[Tafsir Al-Kabir /  Tafsir Ar-Razi]


✨🕌✨Dalil 2 : Firman Allah : 

        وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَڪۡبَرُ‌ۗ  

"...dan Zikir Allah itu sebesar-besar ibadah ..... "

[Al-Ankabut (29):  Ayat 45]    

Menurut Tafsiran Ibnu Abbas dan Ahli Ma'rifat lain²nya:


(1) Zikrullah (ingat Allah di dalam hati, sebut nama Allah, tafakkurkan nama Allah)  adalah sebesar² Ibadah.  Orang yang tekun mengerjakan ibadah zikrullah (ingat Allah )  siang malam tanpa berhenti dgn penuh ikhlas dan menurut adab, hukum dan kaifiyyatnya, maka dia akan memperoleh  darjat kedudukan paling tinggi di sisi Allah. 


(2) Setiap ibadah yg dikerjakan dgn zikrullah (ingat Allah) di dalamnya,  maka ibadah tersebut adalah ibadah yg terlebih baik, sempurna yang memperoleh redha Allah.  Ibadah yg tiada zikir di dalamnya adalah "kosong" dan "kerugian". 


(3) Ingatan Allah terhadap hamba²-Nya yang zikrullah (mengingat Allah) adalah lebih utama.  Ertinya Limpahan Rahmat dan Inayah (pertolongan Allah) terhadap hamba2-Nya yang zikrullah adalah jauh lebih hebat dari ingatan hamba kepada Tuhannya.  Hamba cuma buat sedikit tetapi Allah Taala melimpahkan Rahmat yang banyak.


✨🕌✨Dalil 3 :  Firman Allah : 

      وَٱذۡكُرِ ٱسۡمَ رَبِّكَ بُكۡرَةً۬ وَأَصِيلاً۬

"Dan zikir akan nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang."

[Al-Insan (76) : ayat 25]

Ayat ini adalah ayat amr  — Perintah — Suruhan yang wajib — amalkanlah  Zikirkanlah  nama Allah terus-menerus /  ingat nama Allah terus-menerus di dalam hati.


Sekali lagi Perhatikanlah sungguh2 :


Sama maksudnya apabila disebut  : 

Zikirlah kamu Allah Allah Allah di dalam hati kamu sebanyak²nya — ingat lah Allah  terus-menerus tanpa henti siang dan malam.


SIRI 49 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 5 :  Wahyu Pertama dan   Zikir Allah Allah Allah   ( sambungan )


✨🕌✨Dalil  4: Firman Allah :

     يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ ذِكۡرً۬ا كَثِيرً۬ا

"Wahai orang-orang yang beriman,  ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya"

[Al-Ahzab (33) :  ayat 41]


✨🕌✨Dalil 5 :  Firman Allah :

وَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا لَّعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

"Dan  ingatlah akan Allah banyak-banyak (terus-menerus tanpa henti siang malam), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)."

[Al-Jumu'ah (62) : ayat 10]


✨🕌✨Dalil 6 : Firman Allah :

قَدۡ أَفۡلَحَ مَن تَزَكَّىٰ (١٤) وَذَكَرَ ٱسۡمَ رَبِّهِۦ فَصَلَّىٰ

"Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya,  Dan zikir menyebut nama Tuhannya serta mengerjakan solat.

[Al-A'la ( 87:  ayat 14-15]


✨🕌✨Dalil 7 :  Firman Allah :

ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمً۬ا وَقُعُودً۬ا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَڪَّرُونَ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلاً۬ سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka"

[Aali Imran (3) : ayat 191]


Perintah Allah di dalam Kalimat² Agung di atas ini sangat nyata —   perintah Wajib supaya ingat Allah banyak². Iaitu apabila dikatakan  Zikirlah kamu akan Allah atau ingatlah kamu akan Allah dengan ingatan yang banyak —  Zikir  Allah Allah di dalam hati atau terus-menerus mengingat di dalam hati adalah ibadah tersendiri yang agung.


Sekali lagi Perhatikanlah sungguh² :


Semua keterangan ini membawa maksud :


Zikirlah Allah Allah Allah di dalam hati kamu sebanyak²nya —  ingat  Allah terus-menerus tanpa henti siang dan malam.


SIRI 50 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 5 :  Wahyu Pertama dan   Zikir Allah Allah Allah   ( sambungan )


✨🕌✨Dalil 8:  Rasulullah   ﷺ  bersabda:

مَثَلُ الَّذِيْ يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِيْ لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ مَثَلُ الْحَيِّ وَالْمَيِّتِ

“Perbandingan orang yang berzikir kepada Allah dengan orang yang tidak berzikir kepada Allah adalah seperti orang yang hidup dan mati.”

[Imam Bukhari dan Imam Muslim] 


✨🕌✨Dalil 9:  Rasulullah   ﷺ  bersabda:

Dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata, “Rasulullah ﷺ  selalu berzikir  Allah (ingat Allah) pada setiap waktunya.” 

[Imam Bukhari dan Imam Muslim] 


✨🕌✨Dalil 10:  Rasulullah   ﷺ  bersabda:

"Zikir yang tidak terdengar oleh malaikat pencatat amal (zikir khafi - senyap di dalam hati) mengungguli atas zikir yang dapat didengar oleh mereka (zikir Jihar) sebanyak tujuh puluh kali ganda." 

[Imam  Baihaqi ]


✨🕌✨Dalil 11: Rasulullah   ﷺ  bersabda:

"(Seseorang bertanya kepada Rasulullah  ﷺ)  Jihad manakah yang terlebih besar di dalam memperoleh pembalasan baik (keredhaan Allah) wahai Rasulullah ?  Baginda menjawab, "Mereka yang paling banyak berzikir mengingat Allah".   dia bertanya lagi, "Siapakah di kalangan orang berpuasa yang terlebih hebat?  Baginda menjawab, "Mereka yang paling banyak berzikir mengingat Allah."  kemudian dia bertanya berkenaan solat, zakat, haji dan sedekah yang mana bagi setiap pertanyaan tersebut Baginda menjawab,  "Mereka yang paling banyak berzikir mengingat Allah"

[Imam Ahmad]


✨🕌✨Dalil 12: Rasulullah   ﷺ  bersabda:

لا تقوم الساعة حتى لا يقال في الأرض الله الله

"Tidak akan tiba Qiamat hingga tidak ada yang mengucapkan di atas bumi (kalimat) Allah, Allah" 

[Imam Muslim]


✨🕌✨Dalil 13: Rasulullah   ﷺ  bersabda:

"Di bumi terdapat orang yg menyebut "Allah Allah", kemudian apabila tiada lagi orang yang menyebut "Allah Allah" maka di saat itulah berlakunya Qiamat. 

[Imam Muslim]


✨🕌✨Dalil 14: Rasulullah   ﷺ  bersabda:

"Islam tidak akan hilang sehingga tiada siapa lagi yang menyebut Allah Allah."

[Imam Ibn Abi Dunya]


Dalil 15: Rasulullah   ﷺ  bersabda:

"Qiamat tidak akan dirasakan oleh orang yang mengucapkan (kalimat) Allah, Allah".

[Imam Muslim]


PENTING:


Berdasarkan keterangan Hadith² tersebut, ada tiga perkara perlu dinyatakan dengan jelas :


Pertama:

Dalil² Hadith di atas lebih dari cukup sebagai  bukti² kukuh  menguatkan hujjah "Zikir Allah Allah Allah di dalam hati"  sebagaimana Perintah Zikir yang terkadung di dalam Wahyu pertama :   [    ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ    ]  


Kedua :

Sebagaimana kita sebut awal² tadi,  inilah Toriqat Pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah ﷺ untuk diamalkan oleh Baginda dan para Sahabat.   Iaitu Toriqat yang di dalam nya diperintah amalkan Zikir Allah Allah berterusan di dalam hati atau di dalam perkataan lain "Ingat Allah berterusan tanpa henti siang dan malam.  

Rasulullah ﷺ mendidik para Sahabat dengan Zikir dan mujahadah memerangi nafsu2 kejahatan di dalam diri sehingga para sahabat mencapai kcemerlangan Iman / Tauhid / Ma'rifat.  

(penjelasan lanjut akan datang in shaa Allah)


Ketiga:

Toriqat yang amalkan Zikir Allah Allah Allah...  di dalam hati (Ingat Allah berterusan di dalam hati) adalah dikenali sebagai Toriqat Naqsyabandiah pada zaman kemudiannya — sehinggalah ke saat ini dipegang teguh oleh sekalian Mursyid Naqsyabandiah.   Dan ianya tetap akan bertahan sampai Qiamat. 


Isyarat di dalam Hadith Muslim dan lain²nya : "Di bumi terdapat orang yg menyebut "Allah Allah", kemudian apabila tiada lagi orang yg menyebut "Allah Allah" maka di saat itulah berlakunya Qiamat. 

[Imam Muslim]

(penjelasan lanjut akan datang in shaa Allah.)



bersambung siri  51  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

      🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳  


          

         

       

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...