B42 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 411 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke- 55 : Abaikan Toriqat (Tasawwuf)

..... Sambungan....


(8) Adapun orang Islam yang ingkar kepada Toriqat Rasul ﷺ

hanyalah orang jahil, golongan Syi'ah (rafidhi), Wahhabiyyah (khawarij), Sekular (liberal) dan lain-lain kelompok yang sudah lama terkeluar dari Ahlus Sunnah Wal Jama'ah (72 golongan sesat).


(9) Sebahagian orang Islam yang jahil (termasuk Ustaz Ustazah, Kiyai pondok, Profesor Universiti yang jahil) seringkali melontarkan tuduhan buruk, jahat dan keji terhadap Toriqat (Tasawwuf).  Di antaranya sangkaan dan tuduhan mereka:


■ Menyangka Toriqat (tasawwuf) itu suatu yang asing yang tiada kena mengena dengan Islam.

■ Menuduh amal ibadah yang terkandung di dalam Toriqat (Tasawwuf) sebagai rekaan Ulama, bukan wahyu.

■ Mengejek, mempersenda, mengolok-olok Toriqat dan Tasawwuf.

■ Menuduhnya sesat.


Wal Iyazubillah. 


(10) Orang yang ingkar, mengejek-ejek serta abaikan Toriqat wajib Taubat segera dan kembali kepada kebenaran pegangan Ahlus Sunnah.  Jika tidak, dikhuatiri mati jahat kesudahan.  Wal Iyazubillah



Fatwa Ulama Terkemuka

==================


Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu berkata :

Dengan ilmu zahir (Syari'at) sahaja, manusia tidak akan mencapai Haqiqat  (Tauhid hakiki atau Tauhid yang sebenar) dan tidak akan sampai kepada Matlamat Ubudiyyah.  Ubudiyyah yang benar dan sempurna hanya akan wujud oleh perpaduan antara ilmu zahir (Syari'at Rasulullah) dan ilmu batin (Toriqat Rasulullah). Dengan ini dapat menyempurnakan  tuntutan Ma'rifat dan Ubudiyyah  sebagaimana Firman Allah  :

I[    "وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ "    ]I

(Tidak Aku Ciptakan jinn dan manusia melainkan supaya menjadi Ubudiyyah (Ma'rifat) kepada-Ku.)

[Nukilan kitab : Sirrul Asrar Fima Yahtaju Ilaihil Abrar]


Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi menyebut di dalam Risalah Ma'rifat : 

"Ya anakku, adapun ilmu Toriqat itu terbit dari Wahyu yang dibawa oleh Jibril Alahis-Salam kepada Nabi Muhammad ﷺ , dengan hadith  Mutawathir pada Silsilah Toriqat itu dengan Qudsi (penuh kesucian) seperti Sabda Nabi , :مَاصَبَّ اَللّهُ صَدْرِى صَبَبْتُ فِى صَدْرِى اَبُوبَكْرٍ

"Apa-apa yang di-Tuangkan oleh Allah ke dalam dadaku, aku tuangkan pula ke dalam dada Abu Bakar"

[Imam Bukhari]

[Tamat nukilan dari Risalah Ma'rifat, Jilid  1 ms 5]


Imam Malik Radhiallahu Anhu berkata :

“Sesiapa yang mempelajari ilmu fiqh tanpa mengamalkan (hayati) Tasawwuf, maka dia telah menjadi fasiq.  Dan sesiapa yang mengamalkan Tasawwuf tanpa mempelajari ilmu fiqh, maka dia telah menjadi zindiq.  Dan sesiapa yang menggabungkan antara kedua-duanya, maka dia telah mencapai kebenaran. ”

[Nukilan di dalam kitab : Ihya Ulumuddin - Imam Ghazali]


Imam Ghazali Radhiallahu Anhu berkata :

"Sesiapa yang tidak mendapat bahagian di dalam Ilmu Qaum Sufi (Toriqat-Tasawwuf), maka ditakuti mati terkekang lidah (tiada dapat mengucap Kalimah)."

[Ihya Ulumuddin]


SIRI 412 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-55:

Abaikan Toriqat (Tasawwuf)

..... Sambungan....



Dalil-Dalil Penting

==============


Dalil 1 : Firman Allah :


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ


“Dan tidaklah Aku ciptakan Jin dan Manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku” 

[Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 56]


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu :

"Yang dikehendaki dengan  Kalam Allah  "  يَعْبُدُونِ  "   (Ya'budun)  pada ayat di atas adalah sebenarnya   " يعرفون "  (ya'rifun)  iaitu Mengenal Allah (Ma'rifat).   

[Tafsir Ibnu Abbas]


Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu berkata :

Dengan ilmu zahir sahaja, manusia tidak akan mencapai Haqiqat (Tauhid yang suci murni) dan tidak akan sampai kepada Matlamat Ubudiyyah.  Ubudiyyah yang benar dan sempurna hanya akan wujud oleh perpaduan antara ilmu zahir (Syari'at Rasulullah ﷺ) dan ilmu batin (Toriqat Rasulullah ﷺ).  Dengan ini dapat menyempurnakan  tuntutan Ma'rifat dan Ubudiyyah  sebagaimana Firman Allah    "وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ". 

[Tamat Nukilan dari Kitab Sirrul Asrar]


Syarahan ringkas :


(1) Berdasarkan tafsiran Ibn Abbas dan Imam Jilani _Ridhwanullah_ _alaihim ajma’in_, bahkan kesepakatan Ulama Ahlus Sunnah, kita dapat memahami tujuan penciptaan manusia adalah untuk Ma’rifat (Mengenal Allah) dan Ubudiyyah (Mengabdikan kepada-Nya zahir dan batin). 


(2) Ungkapan Ubudiyyah itu pada hakikatnya adalah "Perhambaan" dan bukan semata-mata ibadah.  Pengertian "ibadah"   membawa maksud umum kerana pekerjaan "ibadah" dikerjakan  juga oleh manusia lain yang menganut agama lain,  atau tegasnya orang kafir dan Musyrik.   Berbeza dengan Ubudiyyah, ia membawa pengertian yang amat suci dan mulia — Penyerahan diri sebagai hamba yang faqir secara mutlaq  di hadapan Allah.  Oleh yang demikian pengertian "Ma'rifat"  (Mengenal Allah dengan sebenarnya) dan "Ubudiyyah" (Perhambaan yang sempurna)  itulah sebenarnya yang dikehendaki oleh Allah Ta'ala ke atas manusia, (tujuan penciptaan manusia),   BUKAN pengertian sempit "ibadah".  


(3) Rasulullah ﷺ mendidik para Sahabat Mengenal Allah dengan cara menghayati hakikat ke-Wujudan Allah di dalam hati. Baginda menyucikan batin mereka daripada kesyirikan (syirik khafi), mazmumah, aghyar dan segala kekotoran ma’nawiyyah.  Baginda ﷺ mendidik para Sahabat secara praktikal (bukan sekadar teori), melatih mereka dengan Zikrullah dan mujahadah sungguh-sungguh sehingga hati mereka benar-benar suci bersih dan memancar Cahaya Ketuhanan.  Inilah jalan sebenar Mengenal Allah dan Ubudiyyah.   Jalan Ma’rifat ini kemudiannya diwarisi oleh para Sahabat dan seterusnya para Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sambung menyambung sampai ke hari ini dan bersambung sampai Qiamat.


(4) Sebahagian Ummat Islam tidak berpegang kepada Jalan Ma’rifat yang diwariskan oleh Rasulullah ﷺ ini untuk Mengenal Allah dan Ubudiyyah.  Sebaliknya mereka habiskan masa berdebat Sifat-Sifat Allah sehingga jatuh kepada firqah-firqah sesat seperti Mu’tazilah, Jabariyyah, Syi’ah (rafidhi), Khawarij (wahhabiyyah) dan lainnya berjumlah 72 firqah sebagaimana telah dihuraikan.  Mereka tertipu dengan was-was Iblis.  Wal Iyazubillah.


(5) Jika seseorang hanya amalkan ilmu zahir (Syari'at) sahaja dan tinggalkan ilmu batin (Toriqat)  atau dia hanya amalkan ilmu batin (Toriqat ) sahaja dan abaikan Ilmu Zahir (Syari'at), maka dia sama sekali tidak akan dapat Mengenal Allah dengan sebenar dan tidak mungkin dapat Ubudiyyah (perhambakan diri) di dalam ertikata yang sebenar sebagaimana yang dituntut oleh Allah.  Bahkan golongan seperti ini di dalam bahaya kebinasaan Iman.  


Point paling penting di sini :

Seseorang TIDAK sama sekali mencapai Tauhid hakiki, Iman sejati —  Mu'min dan Muttaqin yang sebenar tanpa amalkan Toriqat berserta Syari'at. 


SIRI 413 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-55:

Abaikan Toriqat (Tasawwuf)

..... Sambungan....



Dalil 2 : Firman Allah :


هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬


“Dia-lah yang Mengutus kepada kaum yang buta huruf,   seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan Ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Ilmu rahsia dan pengetahuan mendalam).  Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”

[Al-Jumu’ah (62) :  Ayat 2]


Ibn Abbas mentafsirkan :

“Rasulullah ﷺ diutus untuk mendidik para Sahabat sehingga suci bersih hati mereka  dari Syirik   (syirik khafi), iaitu mencapai Tauhid.”

[Tafsir Ibn Abbas]


Ahli Ma'rifat memberikan tafsiran lanjut :

Allah Ta'ala Mengutus Rasulullah ﷺ untuk menyucikan batin para Sahabat daripada semua jenis Syirik — Syirik Jali (Syirik akbar) dan Syrik Khafi (syirik tersembunyi di dalam hati) sehingga mereka menjadi insan-insan suci dan  Mengenal Allah Ta'ala dengan sebenar-benarnya, menyempurnakan Ubudiyyah dengan tulus ikhlas,  memperoleh Ilmu Hikmah, Ma'rifah  dan  Taqwa yang tinggi. 


Pada Ayat Suci Al-Qur'an ini terdapat banyak sekali faedah kepada orang beriman merenung dan mengambil i'tibar sesuai dengan Pendirian Ahlus Sunnah Wal Jamaah berhubung dengan  Qaidah-Qaidah  Rasulullah  ﷺ   yang mendidik dan memproses batin hati para Sahabat bagi menerbitkan "kesucian"   di dalam diri mereka.  Pada hakikatnya ini adalah  Manhaj Al-Qur'an yang Allah Ta'ala Perintahkan kepada Baginda Rasul ﷺ.  Qaidah Tarbiyyah Rasul ﷺ  kepada Sahabat  inilah yang dinamakan Jalan Ma’rifat, iaitu dengan jalan bersungguh-sungguh amalkan Toriqat Rasulullah ﷺ dan tetap berdiri pada Syari’at Rasulullah ﷺ. 


Qoidah Tarbiyyah Rasulullah ﷺ ini diwarisi oleh Sahabat, kemudian Tabiin, kemudian Tabiit-Tabiin, Masyaikh, Imam... turun-temurun melalui silsilah yang terpelihara keasliannya sampai ke saat ini di tangan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Orang Islam yang enggan mengambil ilmu ini dan enggan amalkannya sungguh-sungguh, maka mereka akan kekal di dalam kesyirikan (syirik khafi) dan mazmumah (kekejian hati) kerana mereka tiada jalan untuk sucikan hati mereka. 


SIRI 414 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-55:

Abaikan Toriqat (Tasawwuf)

..... Sambungan....



Dalil 3 : Firman Allah :


قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا   وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا


“Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan merugilah orang yang mengotorinya”

[Asy-Syams (91) : Ayat 9-10]


Berikut ringkasan  berkenaan Perintah Allah menyuruh sucikan hati sebagaimana difatwa oleh sekalian Ulama Mu'tabar (Ulama bertaraf Auliya Allah).


1. Ayat ini ayat Perintah WAJIB atau Fardhu ‘Ain di atas setiap individu Muslim, iaitu menyucikan hatinya daripada kekotoran dan kekejian maknawiyyah adalah Fardhu 'Ain atas setiap diri Muslim,  dan membiarkannya di dalam kekotoran (syirik, mazmumah dan ghaflah) adalah suatu keingkaran yang membawa kepada kefasikan.


2. Keberuntungan serta  kejayaan dunia Akhirat dihubungkan dengan "Penyucian Jiwa" dan Kegagalan serta  Kerugian dunia Akhirat dihubungkan dengan "Hati yang kotor"


4. Sesiapa yang TIDAK berusaha menyucikan hatinya yang kotor dan ternoda, maka dia jatuh kepada dosa besar tanpa disedari, bahkan semua amalnya akan terhapus  dan IMAN-nya hampir saja musnah (disebabkan syirik khafi dan mazmumah). 


5. Perhatikanlah dengan mata hati yang tajam....

Ayat yang cukup pendek, tetapi membawa makna yang sangat mendalam...!

Bahkan boleh dikatakan inilah intisari Agama, intisari TAUHID, intisari kehidupan dan kesudahan INSAN,  Natijah di Akhirat menghadap Rabbul Jalil Yang Maha Perkasa.


6. Apabila Allah Ta'ala Memerintah suatu Kewajipan di dalam Agama,  Ubudiyyah dan Tauhid, maka  pasti di sana Allah Taala Wahyukan cara-caranya, qaidahnya, syarat dan peraturannya.  Tidak mungkin Allah Ta'ala Memerintah suatu hal dan biarkan manusia tercari-cari tanpa panduan.


Jika demikian, bagaimanakah caranya? 

Bagaimanakah cara mendapatkan qaidah, peraturan dan syarat-syaratnya?

Siapakah yang mengetahuinya secara pasti?


Jawapannya :

Semua hal yang berhubung dengan HATI, JIWA, AQAL, RUH dan cara-cara menyucikannya ada di dalam diri Rasulullah  ﷺ.        Allah Ta'ala Kurniakan Baginda ﷺ segala ilmu yang diperlukan untuk menyucikan hati manusia.  Allah Ta'ala Kurniakan kepada Baginda ﷺ ubat dan penawar bagi setiap penyakit hati manusia.  Rasulullah ﷺ memiliki jawapan kepada setiap persoalan berhubung dengan kejiwaan dan kemanusiaan.  Allah Ta'ala Kurniakan kepada Baginda ﷺ segala kelengkapan zahir dan batin bagi menyempurnakan tuntutan Allah yang Maha Agung ini.


Cara-cara penyucian hati,  qaidahnya, peraturannya, syarat dan langkah-langkah ini kemudian diwarisi oleh Sekalian Pewaris Baginda yang Siddiq, yang dikenali sebagai Mursyid yang Siddiq  dengan jalan yang amat seni dan penuh Rahsia Ketuhanan.  Inilah sebabnya Ulama Ahlus Sunnah sepakat bahawa mencari Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (Yang sebenar mewarisi Nabi ﷺ ) serta ambil dari mereka ubat dan penawar bagi penyakit hati mereka adalah fardhu Ain tanpa khilaf.


Perhatikanlah dengan hati yang jernih, inilah Toriqat Rasulullah ﷺ, di mana sekalian persoalan, cara-cara, qaidah, peraturan, syarat dan langkah-langkah terperinci tersusun rapi bagi menyempurnakan Perintah Allah tersebut.  Akur kepada kenyataan sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah adalah keselamatan sedangkan keingkaran kepada mereka adalah kedegilan yang membinasakan.


SIRI 415 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-55:

Abaikan Toriqat (Tasawwuf)

..... Sambungan....


Dalil 4 : Firman Allah :


 وَمَآ أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدّينَ  


"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya Menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya."

[Al-Bayyinah (98) : Ayat 5]  


Rasulullah ﷺ  bersabda :

"Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap Redha Allah. 

[Imam Abu Daud, Imam An-Nasa'i]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu :

" Kalam Allah “ مُخْلِصِينَ “ (Ikhlaskan Ibadah) adalah Tauhid yang murni.  Tidak diterima ibadah melainkan berserta di dalamnya Tauhid”

[Tafsir Ibn Abbas]


Tafsiran Ibn Abbas berkenaan “Ikhlas” sebagai “Tauhid yang murni” menunjukkan kedudukan beliau sebagai  Arif Billah yang tinggi yang di-Kurniakan oleh Allah Ilmu Mukasyafah dan Ilmu Ta’wil, berkat doa Rasulullah ﷺ kepada beliau. 


Di sini Ibn Abbas telah menunjukkan bahawa yang dimaksudkan dengan "Ikhlas”  yang sebenar adalah “Cahaya Tauhid yang hakiki" yang terpancar dari hati seseorang yang telah suci bersih dari segala macam kesyirikan (Syirik khafi). Pandangan Ahli Ma’rifat benar-benar menepati Tafsiran Ibn Abbas berkenaan hakikat Ikhlas. 


Apakah itu Ikhlas?

Apakah hakikat Ikhlas?

Bagaimanakah cara sebenar mencapai "Ikhlas"?

Bagaimanakah langkah-langkah mencapainya sebagaimana ditunjukki dan dilatih oleh Rasulullah ﷺ?

Apakah bukti seseorang telah benar-benar Ikhlas?

Apakahkah tanda-tanda amal ibadah seseorang diterima oleh Allah yang menunjukkan dia telah masuk ke dalam Keredhaan Allah?  


Semua ini amat rumit difahami oleh kebanyakan orang awam.  Apa lagi untuk benar-benar menghayatinya, jauh sekali.  Hanya mereka yang sungguh-sungguh mujahadah pada jalan Ma’rifat (amalkan Toriqat dan Syari’at) dengan pimpinan Guru yang Arif akan mencapainya.



SIRI 416 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-55:

Abaikan Toriqat (Tasawwuf)

..... Sambungan....


Dalil 5 : Firman Allah:


قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ


"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman (iaitu) orang-orang yang khusyu' dalam solatnya,...."

[Al Mu'minoon (23) : Ayat 1-2]


Firman Allah Ta'ala:


فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡمُصَلِّينَ  ٱلَّذِينَ هُمۡ عَن صَلَاتِہِمۡ سَاهُونَ


".... Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat ; iaitu mereka yang lalai di dalam solatnya..."

[Al-Ma'un (107) : Ayat 4- 5]


Beberapa kunci penting pada Perintah Allah ini:

1. Di antara tanda Mu'min (orang yang benar-benar beriman) adalah Khusyu’ di dalam Solat.

2. Khusyu’ merupakan Syarat sah batin di dalam solat.  Tanpa khusyu’ solat akan menjadi sia-sia dan mendapat Kemurkaan Allah.  

3. Allah Ta'ala Murka kepada orang yang solat tetapi lalai di dalam solatnya. 


Kebanyakan orang Islam yang sedang membaca Risalah ini sudah pun melakukan ibadah Solat selama puluhan tahun.  Di dalam tempoh tersebut masing-masing sudah berusaha untuk mencapai "khusyu' " namun tak berjaya.  Jasad berdiri di atas tikar sejadah, tetapi hati telah melayang jauh ke alam raya.  Jasad berdiri di dalam masjid, tetapi hati sedang berjual beli di pasaraya atau sedang asyik dengan kerja-kerja pejabat atau sedang memikirkan jawapan kepada perdebatan. 


Kesukaran untuk khusyu' bukan sahaja dialami oleh orang-orang yang kurang ilmu tetapi juga orang alim fiqh yang sangat mahir. Bahkan setengah orang alim fiqh lebih kuat kelalaiannya berbanding si jahil kerana dia didatangi perbagai persoalan fiqh atau berbagai perdebatan ilmiah ketika mengerjakan solat. 


Apakah itu khusyu’?

Apakah hakikat khusyu’ menurut Kehendak Allah?

Apakah cara-cara berkesan mencapai khusyu’ di dalam solat?


Persoalan khusyu’ berkait rapat dengan hal ehwal hati, haqiqat hati, anasir yang menguasainya dan suasana yang menyelubunginya.  Untuk mencapai khusyu’ di dalam solat, setiap orang Islam WAJIB menyucikan hatinya menurut Manhaj Ahli Ma’rifat (amalkan Toriqat berserta Syari’at) dengan pimpinan Guru yang Arif.  Jika dia tidak berbuat demikian, maka selamanya dia akan melakukan solat di dalam keadaan lalai, meskipun dia seorang alim fiqh atau dia seorang professor atau seorang yang mahir di dalam berbagai ilmu Islam.  Akibatnya sentiasalah dia di dalam keadaan menanggung dosa besar. 


Bukti bagi kenyataan ini adalah kisah Imam Ghazali Radhiallahu Anhu ketika beliau belum masuk ke Jalan Ma'rifat. 

Pada saat itu beliau sudah pun bergelar Hujjatul Islam, menjadi alim fikih, mahir segala ilmu alat dan menjadi rujukan murid-murid seluruh dunia.  Meskipun demikian tinggi ilmu syari’at (Zahir) pada saat itu, namun beliau tak mampu khusyu’ di dalam solat beliau. Beliau juga akui bahawa ketika itu beliau  merasakan diri beliau tidak Ikhlas.  


Akhirnya beliau meninggalkan segala jawatan dan kebesaran beliau dan berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi selama 11 tahun.  Beliau mujahadah menurut  Jalan Ma’rifat dan bersuluk lama sehingga akhirnya Allah Ta’ala Kurniakan beliau ilmu Mukasyafah, Tauhid hakiki, haqiqat Ikhlas dan Khusyu’ di dalam solat.

[Kisah Imam Ghazali di dalam Munqiz Min-adh-Dholal]


SIRI 417 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 55:

Abaikan Toriqat (Tasawwuf)

..... Sambungan....




Dalil 6 : Firman Allah Ta'ala:


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ ذِكۡرً۬ا كَثِيرً۬ا 

"Wahai orang-orang yang beriman,  ingatlah serta sebutlah Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.

[Al-Ahzab (33) : Ayat 41]


Berkata Ibn Abbas Radiallahu‘anhu:

"Allah Ta'ala tidak mewajibkan atas hamba-Nya hal-hal yang fardhu, kecuali  yang telah diketahui olehnya.  Dan orang yang meninggalkan  fardhu-fardhu tersebut kerana alasan tertentu boleh dimaafkan, kecuali Zikrullah. Zikir kepada  Allah tidak memiliki batas, dan tidak ada alasan  bagi seseorang untuk meninggalkannya kecuali dia kehilangan aqal. Manusia diperintahkan untuk berzikir kepada Allah dalam segala keadaan."

[Tafsir Ibnu Abbas]


Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Radhiallahu anhu berkata:

"Ya anakku, adapun hukum Zikir Allah itu adalah wajib, seperti Firman Allah di dalam Surah Al-Ahzab, ayat 41."

[Risalah Ma'rifat ; bab Zikrullah]


Kata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

"Orang yang banyak berzikir kepada Allah itu adalah panggilan untuk seseorang yang berzikir secara tulus ikhlas dari hatinya, sedangkan orang yang sedikit berzikir (kepada Allah) adalah orang yang memiliki tanda-tanda orang munafiq.  Kerana dia hanya berzikir dengan lisan dan bertujuan untuk dilihat oleh orang lain sahaja."

[Tafsir Qurtubi]


■ Apakah pengertian Zikrullah menurut Kehendak Allah?

■ Zikir yang manakah dikatakan wajib?

■ Bagaimanakah cara, peraturan, syarat dan adabnya?

■ Apakah maksud Perintah Allah "Zikir yang banyak"?

■ Bagaimanakah melakukan Zikir yang banyak?  Apakah hadnya? Apakah kaedahnya?


Penjelasan bagi sekalian persoalan ini hanya wujud di dalam Toriqat, Jalan Ma'rifat.  Masyaikh Ahlus Sunnah sekian lama tetap teguh mendirikan Zikrullah dengan Zikir yang banyak.  Mereka telah menunjukkan syarat, peraturan dan adab-adab menunaikannya dengan sempurna menurut Kehendak Allah.


Orang awam termasuk ustaz-ustaz, kiyai, PhD, Drs, Prof tidak mengetahuinya kerana mereka tak pernah mempelajarinya dari Guru Pewaris Nabi yang benar-benar Arif dan tidak pernah amalkannya menurut Perintah Allah di atas. 

Dengan demikian, orang yang enggan amalkan Toriqat tidak mampu menyempurnakan Perintah Allah supaya berzikir dengan zikir yang banyak sehingga terhindar dari sifat orang munafiq yang malas berzikir, sedikit zikirnya atau langsung tidak berzikir. 



SIRI 418 :



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-55:

Abaikan Toriqat (Tasawwuf)

..... Sambungan....



Dalil 7: Firman Allah Ta'ala:

(Dosa besar Takabbur)


وَإِذَا قِيلَ لَهُ ٱتَّقِ ٱللَّهَ أَخَذَتۡهُ ٱلۡعِزَّةُ بِٱلۡإِثۡمِ‌ فَحَسۡبُهُ ۥ جَهَنَّمُ‌ وَلَبِئۡسَ ٱلۡمِهَادُ 


"Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah engkau kepada Allah", timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu).  Oleh itu padanlah dia (menerima balasan azab) Neraka Jahanam dan demi sesungguhnya, (Neraka Jahanam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal"

[Al-Baqarah (2) : Ayat 206]


Rasulullah ﷺ bersabda:


“Tidak akan masuk Syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat  takabbur sebesar biji sawi.” 

[Imam Muslim]


Beberapa catitan penting berkenaan bahaya Takabbur kepada IMAN dan AMAL IBADAH seseorang:

■ Takabbur (sombong, ego, megah) adalah membesarkan diri, merasai diri lebih hebat, lebih mulia, lebih tinggi dari orang lain serta memandang orang lain dengan pandangan hina dan menolak kebenaran.    


■ Takabbur merupakan dosa batin, maka ia terpendam di dalam hati, namun adakalanya sifat terpendam ini terkeluar lalu terlihat di dalam tutur kata, perbuatan dan tingkah laku.


■ Manusia yang mempunyai sifat Takabbur adalah sehina-hina manusia pada pandangan Allah Ta'ala sedangkan orang itu menyangka dirinya mulia, maka binasalah dia dengan angan-angannya.  Wal Iyazubillah


■  Takabbur adalah sebesar-besar dosa batin dan sebesar-besar syirik Khafi (syirik tersembunyi dalam hati).  


■ Takabbur hapuskan amal kebaikan dan merosakkan Iman atau boleh jadi musnahkan terus Imannya.


■  Takabbur adalah "selendang Allah", maksudnya hanya Milik Allah Ta'ala Yang Maha Agung, maka sesiapa cuba merampasnya akan binasa.


■ Iblis menerima La'nat Allah sehingga Qiamat akibat keingkaran kepada Allah Ta'ala dan Takabbburnya terhadap Nabi Adam Alayhis-Salam.


■ Orang yang takabbur, menyombong diri, menunjuk kemegahan diri diancam dengan Neraka Jahannam.  Wal Iyazubillah.


■ Takabbur menyebabkan hati menjadi keras membatu, gelap, mati  dan tertutup.  Wal Iyazubillah


■ Takabbur itu boleh berlaku kepada siapa sahaja, namun ia berlaku terutama mereka yang mempunyai kelebihan tertentu.  Ini beberapa contoh yang lazim terjadi:


(1) Profesor, Drs, Masters yang menguasai ilmu syari'at yang banyak.  Makin banyak ilmunya, makin besar takabburnya.


(2) Orang yang memiliki kekayaan yang melimpah, jutawan, hartawan.


(3) Orang yang mempunyai rupa paras yang sangat cantik dan menawan.


(4) Orang yang terkenal kepetahan berpidato.


(5) Pemimpin, penguasa, Raja, Sultan, Perdana Menteri, Presiden, Pembesar-pembesar, Dato', Tan Sri


Sifat keji takabbur ini sebati di dalam hati orang yang gemar melakukannya atau berperangai dengannya, sehingga sukar untuk dikikis dan buang habis.  Meskipun mereka cuba berusaha menepisnya, mereka tak mampu..... Sifat takabbur tetap datang menguasai hatinya.  Maka selamanya dia bergelumang dengan dosa besar ini.


Bagaimanakah cara membuang sifat keji yang di-Murkai Allah ini? 

Apakah langkah dan cara sebenar yang wajib diikuti untuk membuang dari akar umbinya sehingga hatinya menjadi benar-benar bersih?


Jawapan :

Satu-satunya jalan yang benar untuk merawat hati dan hapuskan terus sifat takabbur adalah dengan amalkan Toriqat (Tasawwuf)  yang diwarisi oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah turun-temurun dari Rasulullah ﷺ.  Ilmu fiqh, Ilmu sirah, Ilmu tajwid, usuluddin dan lainnya tidak akan mengajar kamu cara-cara menyucikan hati kamu dari takabbur (dan juga syirik khafi yang lain).  


Maka barangsiapa tidak masuk mempelajari Toriqat (Tasawwuf) dan mujahadah sungguh-sungguh menurut sekalian prinsip, peraturan, syarat dan adab-adabnya sehingga menjadi penghayatan hati dan ruh, maka kekallah dia bergelumang dengan dosa besar ini.  Wal Iyazubillah. 


SIRI 419 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besark ke- 55:

Abaikan Toriqat (Tasawwuf)

..... Sambungan....


Dalil 8: Berkenaan Dosa Besar ‘Ujub

===============================

‘Ujub adalah rasa hairan dengan diri atau membanggakan diri atau merasai aman dengan adanya suatu kelebihan ni’mat pada diri seseorang.  (Sifat ini berlaku di dalam diri seseorang walaupun tanpa hadir seseorang di hadapannya)


Firman Allah :


    يأَيُّهَا الَّذِينَ ءامَنُواْ لاَ تُبْطِلُواْ صَدَقَـتِكُم بِالْمَنّ” وَالاْذَى……”


Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan kebanggaan dan cercaan….……” 

[Al-Baqarah (2) : Ayat 264]


*Sabda Rasulullah ﷺ:*

"Tiga perkara yang membinasakan, iaitu kikir yang dituruti, hawa nafsu yang diikuti dan menghairani manusia (ujub) dengan dirinya.” 

[Imam At-Tabarani]


Dalil 9: Berkenaan Besar ‘Riya

=========================

Riya’ dalam beramal adalah melakukan sesuatu amal atau kebajikan dengan niat mendapat pujian makhluk atau bertujuan mendapat pangkat dan kedudukan.  (Ianya berlaku apabila hadir manusia lain di hadapannya atau sekitarnya. ) (Lawannya adalah ikhlas!)


Firman Allah:


 فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَـتِهِمْ سَاهُونَ الَّذِينَ هُمْ يُرَآءُونَ


“Maka celakalah bagi orang-orang yang bersembahyang, iaitu yang lalai di dalam sembahyangnya.  Yang mengerjakan kebajikan untuk dilihat orang” 

[Al-Ma’un (107) : Ayat 4,5,6]


Sabda Rasulullah  ﷺ :

 “Aku sangat takut syirik pada Ummatku.  Walaupun mereka tidak menyembah berhala, matahari, bulan dan batu.  Akan tetapi memperlihatkan kepada orang (berbuat riya’) dengan amal mereka.”

[Imam Ibnu Majah, Al-Hakim]


SIRI 420 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-55:

Abaikan Toriqat (Tasawwuf)

..... Sambungan....



Dalil 10: Berkenaan Dosa Besar Sum'ah

=============================

Sum’ah adalah memperdengarkan suatu amal atau kebajikan atau kelebihan dirinya kepada manusia dengan harapan mereka memujinya.  Sedangkan amal atau kebajikan yang diperbuat olehnya pada awalnya adalah terlindung atau tidak diketahui oleh manusia.


 Firman Allah Ta'ala :


  يأَيُّهَا الَّذِينَ ءامَنُواْ لاَ تُبْطِلُواْ صَدَقَـتِكُم بِالْمَنّ” وَالاْذَى……”


Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan kebanggaan dan cercaan….”

[Al-Baqarah (2) : Ayat 264]


Sabda Rasulullah ﷺ :

 “Sesiapa melakukan perbuatan sum’ah, nescaya Allah akan memperdengarkan aibnya dan sesiapa yang melakukan perbuatan riya', nescaya Allah akan memperlihatkan aibnya” 

[Imam al-Bukhari dan Muslim]



Dalil 11 : Berkenaan Dosa Besar

Tawakkal kepada makhluq

=======================


Tawakkal kepada makhluq bererti bergantung hati kepada makhluq, meyakini makhluq mempunyai kuasa mutlaq menentukan sesuatu, lupa pergantungan hati kepada Allah.  Lupa bahawa Allah Taala Maha Berkuasa Menentukan segala sesuatu.  Kebanyakan orang awam akan menyangkal hal ini sedangkan ianya benar-benar terjadi di dalam kehidupan harian.   Tetapi mereka tak menyedari syirik ini kerana ia tersembunyi di dalam hati. 


Misalnya seseorang yang berjaya di dalam pelajaran menyangka kejayaannya itu hasil usahanya. Atau peniaga merasakan keuntungan yang dicapai kerana kebijaksanaannya.  Atau pemerintah menyangka kemajuan negara di dalam tadbirnya sebagai kehebatan kepimpinannya.  Atau secara umumnya seseorang menyangka makhluq mampu memberi manfaat dan berkuasa menolak mudarat, maka semua ini adalah syirik dalam hati yang wajib dihapuskan.


Firman Allah:


 وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ


 “dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan cara yang di-Atur oleh Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan seluruh alam”.

[At-Takwir (81) : Ayat 29]


Firman Allah :


  وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلَـكِنَّ اللَّهَ رَمَى “


“……………. dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang Melempar……”

[ Al-Anfal (8) : Ayat 17]


Sabda Rasulullah ﷺ :

“dan ketahuilah bahawa jikalau makhluk sekaliannya berhimpun untuk memberi kamu suatu manfaat tidaklah perkara itu bermanfaat bagi kamu melainkan Allah telah Menetapkannya untukmu dan jikalau mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu maka tidaklah akan memudaratkan kamu melainkan Allah jua yang telah Menetapkannya bagimu, telah diangkat Qalam dan telah selesai ditulis suhuf (tempat tulisan takdir)”.

[Imam Tirmizi, Imam Ahmad]



Ringkasan Penjelasan :


(1) Dalil 8, 9, 10, 11 — adalah berkenaan Dosa Besar 'Ujub, Riya, Sum'ah dan Tawakkal kepada makhluq. 


(2) Semua ini merupakan Syirik khafi (syirik tersembunyi) sama seperti Takabbur yang telah berlalu bicara pada Siri yang lalu, iaitu sekutukan Allah dalam hati. 


(3) Penjelasan berkenaan keempat-empat Syirik khafi ini adalah sama seperti penjelasan berkenaan Takabbur.  Ertinya semua ini termasuk ke dalam dosa besar yang binasakan amal ibadah yang merosak Iman. 


(4) Oleh kerana dosa-dosa besar ini berhubung dengan hati, mencengkam kuat di dalam hati, maka satu-satu Jalan untuk melepaskan diri dari belenggu dosa-dosa ini tiada lain, hanyalah dengan mengamalkan Toriqat (Tasawwuf).


Bersambung siri 421 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...