A6: KEWAJIPAN AMALKAN TASAWWUF-TORIQAT (10)

 

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

KEWAJIPAN AMALKAN TASAWWUF-TORIQAT 

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 51 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 5 :  Wahyu Pertama dan   Zikir Allah Allah Allah   ( sambungan )


Peringatan semula:


🌟Toriqat adalah bersumber dari wahyu Allah Ta'ala,  iaitu Allah Ta'ala wahyukan  kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ melalui kalimat Agung   "  اقْرَأْ "  (iqra') "  


🌟Toriqat diturunkan kepada Baginda untuk Baginda amalkan dan juga  mendidik para Sahabat Baginda untuk menyucikan batin mereka dari kekejian lalu menerbitkan Iman, Ma'rifat dan Taqwa.


🌟Asas pendidikan didalam Toriqat pertama ini adalah Zikir Allah Allah di dalam hati atau sama maksud nya :  Ingatan di dalam hati kepada Allah berterusan tanpa henti siang dan malam.


Dalil 16 :  Keterangan / Fatwa Ulama Mu'tabar Ahlus Sunnah :


🌻🕌🌻Imam Besar Ahlu Sunnah, Imam at-Toriqat wal Haqiqat,  Imam Ja'afar As-Siddiq - Radhiallahu Anhu, 

Beliau adalah keturunan Rasulullah ﷺ yang ke-5 dari jalur  Sayyidina Husain Radhiallahu Anhu.  Imam Ja'afar Siddiq posisi Agung sebagai Penyambung Risalah,  penyambung warisan  Ahlus Sunnah yang haq,  menduduki Maqam Auliya tingkatan tertinggi bergelar Ghawth.  

Imam Ja'afar Siddiq digelar Imam Toriqat Wal Haqiqat   kerana  semua Toriqat Ahlus Sunnah yang sahih yang diterima daripada Rasulullah ﷺ melalui tangan beliau.   Khususnya Toriqat pertama yang diwahyukan — yang memerintah zikir Allah Allah di dalam hati atau bermaksud Ingatan di dalam hati yang  berterusan kepada Allah tanpa henti²nya  sepertimana telah dijelaskan sebelum ini.  Pada zaman ini Toriqat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah itu dinamakan Toriqat Naqsyabandiah.   (akan datang penjelasan lanjut ,  in shaa Allah)

(Peringatan :  Imam Ja'afar Siddiq adalah Imam Ahlus Sunnah dan TIDAK ada kaitan apa² pun dengan golongan syi'ah rafidhi sesat.) 


🌻🕌🌻Imam Junaid Al-Baghdadi Radhiallhu anhu :

Beliau adalah Imam Ahlus Sunnah,  Qadhi,  Imam Fiqh,   Ahli Sufi dan Auliya Allah yang ternama,  mengajarkan murid² beliau dengan zikir Allah Allah. 

[Rasail Al-Junaid - Risalah2 kecil Imam Junaid]


🌻🕌🌻Imam Fakhruddin Ar-Razi Radhiallhu anhu:

Beliau adalah  Mujaddid Agung Ahlus Sunnah kurun 6 Hijriyyah, Imam Fakhruddin Ar Razi menyebut:

"Ketahuilah sekalian manusia, sesungguhnya aku menyebut sepanjang hidupku "Allah".  Apabila mati, aku menyebut "Allah".   Apabila disoal didalam kubur aku menyebut "Allah".  Apabila datang di Hari Qiamat aku menyebut "Allah" .  Sewaktu aku mengambil suratan amalan aku menyebut "Allah".  Sewaktu perhitungan amalan aku menyebut "Allah".  Ketika mlintasi titian aku menyebut "Allah".   Apabila masuk ke syurga aku menyebut "Allah" hingga apabila melihat Allah aku juga menyebut "Allah"

[Tafsir Mafatih Al-Ghaib]


🌻🕌🌻Imam ummah,  Qadhi, Mufassir, Muhaddith  Shaikh Thana-Ullah Uthmani:

Ketika mentafsir kan Firman Allah :    "   وَٱذۡكُرِ ٱسۡمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلۡ إِلَيۡهِ تَبۡتِيلاً۬   "

"Zikirlah akan nama Tuhan mu dan renunglah kepada-Nya dengan sungguh²  renungan (muraqabah)"

[Al-Muzammil (73) : ayat 8]      beliau berkata :

"Ketahuilah ayat ini memerintahkan berulang² menyebut nama Tuhan Yang Maha Agung (ismuz-Zat  — nama bagi Zat) iaitu zikir  Allah, Allah"

[Tafsir Mazhari]



SIRI 52 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 5 :  Wahyu Pertama dan   Zikir Allah Allah Allah   ( sambungan )


🌻🕌🌻Imam Nawawi Radhiallahu Anhu:

"Perlu diketahui bahawa pada riwayat² tersebut (Hadith zikir Allah Allah) terdapat kesepakatan pengulangan lafaz Allah pada dua riwayat tersebut. Demikianlah dicatat di dalam seluruh kitab² sahih.

[Syarah Imam Nawawi]


🌻🕌🌻Imam Ghazali  Radhiallahu Anhu:

"Seseorang yang ingin berzikir hendaklah duduk pada suatu tempat yang sunyi, menutup segala pancaindera zahir,  mencelikkan mata hati, pendengaran hati, dan dengan itu menjadikan hatinya sebagai wadah untuk menerima alam malakut  Dalam pada itu hendaklah sentiasa menyebut Allah Allah Allah berterusan dengan hati bukan dengan lidah"

[Kimiya As-Sa'adah]


🌻🕌🌻Imam Asy-Sya'rani  Radhiallahu Anhu:

"Kami telah menerima bai'at daripada Guru kami supaya berzikir menyebut lafaz "Allah Allah" sebanyak 24,000 kali sehari semalam"

[Uhud As-Sughra]


🌻🕌🌻Imam Ibn Hajar Al-Haythami Radhiallahu Anhu:

Beliau adalah Mufassir, Muhaddith,  Imam besar Mazhab Syafi'e. Mujadddid kurun ke-10 Hijriyyah,   

Kata beliau :

"Amalan tersebut (zikir   La-Ilaha Illallah  )  perlu berterusan sehingga kesan zikir menjiwai dirinya dan pada ketika itu lebih utama bagi salik zikir "Allah Allah"

[Miftah Al Falah]


🌻🕌🌻Imam Ahmad ibn Muhammad Ibn Atha’illah As-Sakandar Ibn Atha illah Radhiallahu Anhu:

Beliau adalah Pengarang kitab Hikam dan Guru Besar Syaziliyah berkata:

"Hendaklah kamu berzikir ismuz-Zat  Allah Allah Allah atau hu,  hu,  hu dindalam hati tanpa menyebut di lidah."

[Miftah Al Falah]


🌻🕌🌻Berkata Muhaddith Ummah, Shaikh Zakariyya Kandahlawi Radhiallahu Anhu:

"Kaedah zikir ismuz-Zat (Zikir  Allah Allah)   adalah mengingat Allah  dengan matlamat tiada lain di dalamnya melainkan Allah sebagai maqsudnya,  yang ditujui dan dicintai.   Dengan bentuk ini, ianya merupakan subjek yang tersembunyi di dalamnya predikat,  yang mana menepati secara sempurna akan syarat²  nahwu. (tatabahasa Arab)    Bahkan ianya menepati secara sempurna Kalimat Al-Qur'an :   قُلِ ٱللَّهُ‌ۖ ثُمَّ ذَرۡهُمۡ فِى خَوۡضِہِمۡ يَلۡعَبُونَ  

"Katalah "Allah"  dan tinggalkan mereka di tempat main2 mereka itu", [Al-An'am (6) : ayat 91]    —  di dalam Kalimat ini  terdapat subjek yang mengandungi prediket yang tersembunyi di dalamnya.

[Himpunan Surat² Muhaddith Maulana Zakariyya Kandahlawi]


SIRI 53 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 5 :  Wahyu Pertama dan   Zikir Allah Allah Allah  ( sambungan )


🌻🕌🌻Dalil Terbesar :  Warisan Silsilah Rasulullah  ﷺ  di tangan Mursyid² (Ahli Ma'rifat) zaman ini:


Sesungguhnya ini adalah Hujjah teragung untuk menunjukkan kebenaran Toriqat pertama yang di- wahyukan kepada Rasulullah ﷺ dan amalan Zikir Allah Allah atau Zikir mengingat  Allah  berterusan di dalam hati,   seperti huraian terdahulu.       Maksudnya adalah :  Sekalian Mursyid yang siddiq (benar)  yang wujud pada zaman ini yang mewarisi Ilmu dan keruhanian Rasulullah ﷺ menjadi hujjah yang tiada tolok bandingnya kerana mereka adalah " Hadith "  yang hidup.  


Diri mereka sendiri (Mursyid yang siddiq pada zaman ini)   adalah menjadi bukti kukuh akan Warisan Rasulullah ﷺ yang pindahkan dari generasi kepada generasi berikutnya dengan penuh rahsia,  tertib, dan beradab mulai dari Sahabat Baginda kemudian  Mursyid seterusnya yang menyambung wasilah sampai ke saat ini.   Khabar dari mereka (iaitu mengambil ilmu warisan Rasulullah ﷺ dari mereka)  adalah menempati khabar yang mutawatir   iaitu khabar yang sahih lagi  marfu'    yang tidak mungkin ada kecelaan atau kecacatan dan tidak mungkin mereka berpakat untuk berdusta.   


Maksudnya dilihat dari pandangan atas,  khabar ini ( amal Zikir Allah Allah)  ini seolah² diambil terus dari lisan  Rasulullah ﷺ disebabkan wujudnya rantaian  pengambilan dan penerimaan ijazah amal dari generasi Sahabat,  kemudian Generasi Mursyid yang siddiq (benar) —  turun-temurun  sampai ke saat ini tanpa putus.  (disebut Silsilah Rasulullah ﷺ ).


Semua Mursyid yang siddiq (benar) yang wujud pada zaman ini mempunyai Silsilah Warisan Ilmu Rasulullah ﷺ iaitu mereka mewarisinya daripada Guru mereka yang juga Mursyid yang siddiq (benar)  dan mereka juga mengambil warisan tersebut dari Guru mereka yang Mursyid — begitu bersambung ke atas sehingga menerima warisan dari Sayyidina Abu Bakr,  atau Sayyidina Ali, atau Sayyidina Umar atau Sayyidina Uthman, ridhwanullah   — yang mereka mewarisinya dari Junjungan Besar Sayyidina Wa Maulana Muhammad ﷺ.


Di seluruh dunia pada saat ini wujud  Mursyid² Naqsyabandiah    (Ingat semula : Nama "Naqsyabandiah"  adalah nama yang terbit  pada zaman kemudiannya  bagi Toriqat yang pertama di- wahyukan) yang mengamalkan Zikir Allah Allah di dalam hati (iaitu zikir ingat Allah berterusan di dalam hati) dan mereka mengajarkan kepada ummat  akan zikir ini — wujud di seluruh dunia,    di barat dan timur —   dari benua Amerika di barat sehingga ke Negeri Cina dan Jepun terdapat Mursyid² yang mewarisi dan amalkan Toriqat Rasulullah ﷺ yang pertama ini,  dengan Prinsip² ASAS yang sama,  kaifyyat (asas)  yang sama,,  dengan adab² yang sama dan dengan matlamat yang sama.  


Sesungguhnya ini adalah rencana rapi Ilahi yang Maha Agung, rencana yang tidak dapat dipintas oleh mana² kuasa dunia /  kerajaan dunia.     Ianya merupakan suatu Pancaran Keabadian Alam Alwiyyah  yang akan bertahan sampai Qiamat...!


SIRI 54 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 5 :  Wahyu Pertama dan   Zikir Allah Allah Allah ( sambungan )


Rumusan dari penjelasan berkenaan hubungan Wahyu Pertama (Iqra' )  dan Zikir Allah Allah adalah :


Rasulullah ﷺ mendidik para Sahabat dengan Kalimat Suci ini —  "Zikir Allah Allah di dalam hati "  atau kita katakan "Berzikir mengingat Allah berterusan di dalam hati tanpa henti²nya"    (menurut kaifiyyat,  peraturan dan adab² tertentu),  sehingga hati mereka menjadi suci bersih dari sekalian syirik atau kekejian atau kelalaian.   


Apabila jiwa telah suci bersih dari kekotoran ma'nawiyyah, maka terpancarlah cahaya Ketuhanan di dalamnya.    Jiwa dan jasad  mereka dikuasai dan diliputi oleh  cahaya zikrullah dan Cahaya Tauhid yang suci murni.   Jiwa mereka sentiasa karam di dalam ingatan kepada Allah.  Pandangan, pendengaran, perasaan semuanya lebur di dalam Bahr Ahadiyyah  (Lautan Keesaan).  Bahkan mereka sentiasa muwajihah (menghadap wajah) kepada Allah Ta'ala.  Iaitu mereka sampai kepada Maqam Qurbah,  Mardhiyah,  Mahabbah  sehingga tiada lagi hijab antara mereka dengan Allah Ta'ala (Maqam Ma'rifat yang tinggi /  Tauhid yang suci murni ).


Inilah tarbiyyah (didikan)   yang dilakukan oleh Rasulullah  ﷺ   terhadap para sahabat Ridhwanullah sebagai persediaan kembali kepada Allah, iaitu kembali (ruh) kepada Allah  sebelum jasad kembali kepada Allah dengan berakhirnya kehidupan dunia dengan kematian.   Mereka telah "mati" sebelum mati, maka jadilah kehidupan dunia ini hanya tempat persinggahan yang TIDAK  menggugat keimanan mereka.   Apabila diturunkan perintah Solat, Puasa, Zakat dll  semua itu disambut oleh para Sahabat dengan wajah gembira dan menyempurnakannya dengan ruh kelazatan. Inilah sebenar jiwa Ma'rifat,  jiwa yang telah musyahadah akan Wajah Allah,  jiwa yang terbentuk dengan didikan zikrullah — zikirkan nama Allah terus-menerus di dalam hati / ingat Allah terus menerus didalam hati..!


🏆✨Apabila mereka mendirikan solat,  jiwa mereka terus-menerus berzikir ingat Allah dan musyahadah kepada Allah — maka jadilah solat mereka ikhlas sebenar ikhlas yang suci dan khusyu sepanjang solat mereka. 


🏆✨Apabila mereka berpuasa,  jiwa mereka terus-menerus berzikir ingat Allah dan musyahadah kepada Allah — maka jadilah puasa  mereka ikhlas sebenar ikhlas yang suci dan tunduk khusyu sekalian anggota.  (bukan semata² jaga perut)


🏆✨Apabila mereka tilawah Al-Qur'an, hati mereka tidak lalai,   jiwa mereka terus-menerus berzikir ingat Allah dan musyahadah kepada Allah — maka jadilah bacaan itu suci ikhlas semata² kerana Allah dan bercahaya2 bacaannya.


🏆✨Apabila mereka  berda'wah, berjihad,  jiwa mereka terus-menerus berzikir ingat Allah dan musyahadah kepada Allah — maka jadilah jihad  mereka ikhlas sebenar ikhlas yang suci dan tunduk khusyu semata² kepada Allah.   Mereka telah serahkan jiwa mereka kepada Allah.


🏆✨Apabila mereka bermuamalah, bergaul ke dalam masyarakat,  nikah kahwin,  makan minum dll.   jiwa mereka terus-menerus berzikir ingat Allah dan musyahadah kepada Allah — maka jadilah setiap perbuatan dan perkataan mereka memperoleh keredhaan ALLAH,  tiada yang sia² walau sedikit pun.   


🏆✨Apabila diberi amanah memerintah negara /  wilayah /  daerah...  mereka sempurnakan amanah tanpa mengambil walau satu sen dari hak rakyat.    


🏆✨Apabila datang perintah Jihad, mereka berlumba² untuk mati syahid.


Inilah kehidupan Rabbaniyyah,  sebuah kehidupan yang  tenang aman damai,   bahagia,  diwarnai oleh Syurga yang disegerakan,   iaitu Syurga yang di dalamnya tiada wujud istana atau bidadari tetapi hanya Allah yang Maha Agung.   Kehidupan ini hanya untuk mereka yang sungguh² mujahadah pada Jalan Allah — Jalan Ma'rifat Ilahiyyah. 


Perhatikan sungguh² penjelasan ini dan fahamkanlah.


SIRI 55 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 6 :  Wahyu Pertama dan Ma'rifat Ilahiyyah:


Wahyu Pertama   " ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ   "  juga mendokong pengertian "Ma'rifat"  — perintah supaya baca yang tersirat di dalam diri,  yang tersirat pada alam yang terbentang,    mengenal dan merenung ke dalam diri,   mengenal  sekalian penciptaan Allah, merenung kepada Tuhan yang menciptakan sekalian makhluq.  


Dengan cara berzikir sungguh²  dan merenung (disebut muraqabah di dalam Ilmu Ma'rifat), maka akan sampai hal terbuka pandangan kepada Allah Ta'ala (yang ini disebut Musyahadah di dalam Ilmu Ma'rifat).  Inilah sebenar Tauhid iaitu Tauhid yang suci murni tanpa sebarang kesyirikan,  nifaq atau kekejian.   Inilah  Ma'rifat — Tauhid penghayatan hati dan  ruh, BUKAN pengertian awam Tauhid sekadar mengenal nama dan huruf  serta dalil² tetapi sebaliknya benar² bertauhid dengan Penyaksian mata hati dan ruh kepada Zat Allah Yang Maha Agung.


Kalimat ini .....

 عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

"Dia Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya."   menyuluh perkara ini.    


Maksudnya adalah :  ilmu yang tidak dipelajari tetapi didapati dengan mujahadah pada jalan Allah menurut disiplin tertentu sehingga Allah memperkenan mengajar Insan  ilmu (yang khusus)  dari sisi-Nya.   Dia melimpahkan ilmu ke dalam dada insan yang bersungguh² mencari-Nya sehingga insan ini mengenal Allah dengan pandangan mata hati dan penghayatan ruhnya.  Maka jadilah insan ini melakukan ubudiyyah dengan tulus ikhlas tanpa sekutu dengan apa pun.   Ilmu inilah yang dikenali Ma'rifat.


✨🕌✨Firman Allah :

 وَعَلَّمۡنَـٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلۡمً۬ا 

"....dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami." 

[Al-Kahfi (18 ) : Ayat 65] 


✨🕌✨Firman Allah :

  وَاتَّقُواْ اللَّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ

"Bertaqwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu.” 

[Al-Baqarah(2) : Ayat : 282] 


✨🕌✨Sabda Nabi ﷺ :

“Takutilah firasat orang mu' min kerana mereka melihat dari cahaya Allah.” 

[Imam  Tirmizi]


✨🕌✨Sabda Rasulullah ﷺ :

“Barang siapa yang beramal dengan ilmu yang dia tahu, Allah akan pusakakan padanya ilmu yang dia tidak tahu.” 

[Imam Abu Nuaim] 


Ma'rifat (Tauhid seperti ini)  dicapai dengan mematuhi Disilpin Ilmu Toriqat dan mematuhi hukum Syari'at dengan pimpinan Guru yang arif  (Mursyid yang sddiq).       Perkara ini telah disentuh sepintas lalu di beberapa bahagian Risalah sebelum ini.    Di sini kita mengkhususkan kaitannya dengan Kalimat Pertama."


Fahamilah dengan penjelasan ini bahawa berusaha sungguh² mencapai Ma'rifat itu (Tauhid suci murni /  Tauhid Penghayatan Hati dan Ruh /  Mengenal Allah dengan sebenar kenal )  adalah WAJIB — Fardhu Ain atas setiap Muslim.


✨🕌✨Firman Allah :  

   وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

“Dan tidaklah Aku ciptakan Jin dan Manusia kecuali untuk beribadah kepadaku” 

[Adz-Dzaariyaat (51) : ayat 56]


Menurut tafsiran Ahli Ma'rifat..   

"Illa li ya'budun"     itu adalah sebenarnya "illa li ya'rifun"   Ma'rifat,   iaitu mengenal Allah,   maka yang dikehendaki dengan perintah ini adalah    "Tidaklah Allah ciptakan jinn dan manusia melainkan untuk mengenalnya dengan sebenar kenal (Ma'rifat) dan ubudiyyah kepada Allah dengan tulus hati (ikhlas)."

Maksud penjelasan ini:

(1) Mengenal Allah melalui pengajian sifat 20 adalah permulaan mengenal Allah.  BUKAN kesudahannya.   Maka tidaklah memadai mengenal Allah dengan berhujjah /  dalil² semata² tetapi WAJIB bagi setiap Muslim menaiki bahtera Ma'rifat bagi mengenal Allah dengan haq.


(2) Pencapaian Ma'rifat seseorang adalah berbeza-beza,  bertingkat² mengikut kelayakannya dan Rahmat Allah atasnya. Maksudnya TIDAKLAH semua orang akan mencapai Ma'rifat tertinggi tersebut tetapi apa yang penting adalah setiap orang mujahadah kepada-Nya.


(Penjelasan lanjut akan datang. in shaa Allah)


SIRI 56 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 7 :  Wahyu Pertama dan Kebangkitan Ummat:


Manhaj Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah ﷺ menyuluh jalan terang kaedah membangkitkan ummat manusia yang telah jauh dari Agama atau apabila kekufuran telah meratai ummat.   


Ketika Rasulullah ﷺ diutuskan,  keseluruhan ummat manusia hidup di dalam kekufuran,  jauh dari Petunjuk, jauh dari Agama yang benar, Jauh dari Allah Ta'ala.  Penyembahan  berhala dan penyembahan sesama manusia menguasai kehidupan. Arak dan judi menjadi kebiasaan harian.  Penipuan, kezaliman, pembunuhan di mana².  Tidak ada keadilan — orang kaya dan penguasa² menindas orang miskin. Yang berkuasa pada ketika itu adalah "kegelapan"  dan kekufuran.


Bagaimanakah cara bangkitkan ummat manusia seluruhnya  yang hidup di dalam kekufuran, kejahilan dan kegelapan?


Manhaj Al-Qur'an menunjuk dengan jelas :

Jalan bangkitkan kembali mana² ummat,   pada mana² negeri,   pada mana² zaman — adalah dengan jalan membangkitkan HATINYA terlebih dahulu.   Iaitu jiwa itu mesti disucikan terlebih dahulu sehingga benar² bersih dan bersinar dengan cahaya Tauhid yang murni.   


Jalan menyucikan jiwa itu juga telah ditunjukkan oleh Al-Qur'an iaitu dengan cara  membanyakkan zikrullah — mengingat Allah dalam HATI terus-menerus dan mujahadah melawan nafsu² rendah  sehingga terpancar cahaya Rabbaniyyah kedalam HATINYA.  Semua ini dinamakan Toriqat  (rujuk semua huraian terdahulu berkenaan jalan menyucikan hati). 


Mengapakah Rasulullah ﷺ tidak bangkitkan Ummat di atas kekuatan Politik?

Mengapakah Rasulullah ﷺ tidak bangkitkan Ummat dengan kekuatan ekonomi?

Mengapakah Rasulullah ﷺ tidak bangkitkan Ummat dengan kekuatan kekayaan dan harta benda?


Jika ikut logik aqal, sepatutnya para sahabat diberikan kekayaan supaya  dengan kekayaan itu mereka hidup selesa dan mampu memerintah  manusia dan negara.

Jika ikut logik aqal,  Rasulullah ﷺ  diberikan kuasa politik supaya dengan kuasa politik itu Rasulullah ﷺ dapat menguasai Makkah dan kemudian dunia seluruhnya.

Jika ikut logik aqal, Rasulullah ﷺ diberikan jawatan Ketua kaum Quraisy (Presiden atau Perdana Menteri ) supaya Baginda dapat mengawal manusia dengan pemerintahan tersebut.


Namun adakah semua ini berlaku?

Mengapakah tidak berlaku?

Sebaliknya Rasulullah ﷺ dan sahabat hidup di dalam kemiskinan, sempit makanan, tiada tempat tinggal selesa, tiada tempat berhimpun,  bahkan semua urusan  di dalam kesempitan.  Mengapa Allah Ta'ala biarkan kekasih-Nya di dalam kesempitan dan penderitaan?


Bukankah sangat lumayan, seandainya Allah Ta'ala bekalkan kekayaan kepada Rasulullah ﷺ  dan Baginda tawarkan kekayaan itu kepada orang yang ingin masuk Islam supaya dengan demikian dapat menguasai manusia dengan kekayaan tersebut?


Bukankah sangat beruntung sekiranya Rasulullah ﷺ diberi kekuasaan politik  supaya dengan itu Baginda dapat menguasai negara dan dunia?   


Tetapi semua itu tidak berlaku...!


Apa yang berlaku adalah rencana Ilahi yang berlawanan dengan pemikiran logika manusia. 

Allah Ta'ala TIDAK memerintahkan supaya Rasulullah ﷺ menguasai politik.

Allah Ta'ala TIDAK memerintahkan supaya Rasulullah ﷺ bangkitkan kuasa ekonomi masing².

Allah Ta'ala TIDAK memerintahkan Rasululllah ﷺ mencari pangkat  untuk mengukuhkan kedudukan Baginda.


Sebaliknya Rasulullah ﷺ hanya diperintah menyeru TAUHID....!

Rasulullah ﷺ diperintah melatih jiwa para sahabat sehingga tunduk menyerah, mengabdi diri sepenuhnya kepada Allah Ta'ala.  Rasulullah ﷺ diperintah mendidik manusia sehingga jiwa mereka  dipenuhi dengan Kalimah Allah Allah.  Rasulullah ﷺ diperintah supaya mendidik manusia sehingga jiwa mereka benar² suci bersih dari kekotoran  ma'nawiyyah,  membuang kecintaan kepada dunia dan hanya mencintai Allah dan Rasul-NYA.


Rasulullah ﷺ diperintah supaya bangkitkan kekuatan TAUHID dan Taqwa.   


Apabila jiwa itu telah suci bersih menghadap Allah, apabila jiwa itu telah benar² Mentauhidkan Allah,  apabila jiwa itu tiada lain harapannya melainkan Wajah Allah.... maka dari jiwa yang suci murni itu akan lahir sekalian kebaikan yang dituntut oleh Allah.   Di atas jiwa ini akan berdiri bangunan Agama.  Di atas jiwa ini akan berdiri Syari'at Allah Yang Maha Agung. Di atas jiwa ini akan berdiri keagungan akhlaq Al Qur'an.  Hanya jiwa seperti ini mampu menanggung AMANAH Allah di atas muka bumi.


Maka terbuktilah rencana Ilahi.  Terbuktilah Ummat yang penuh Tauhid yang suci murni di dalam dada- nya bangunkan Agama di dalam diri mereka, di dalam masyarakat, di dalam negara dan dunia seluruh- nya.  Mereka membangunkan Negara Islam Madinah dan mengembangkannya ke seluruh pelusuk dunia.   Mereka berjuang bersungguh² tanpa jemu.   Maka jadilah mereka kekasih² Allah yang berjaya dunia akhirat. 


Pada zaman kemudiannya,  pada zaman kejatuhan ummat,   dan  khususnya zaman ini banyak sekali jemaah² Islam cuba bangkitkan ummat dengan berbagai saluran, jalan,   kaedah, pendekatan yang berlawanan dengan petunjuk Allah.  Mereka mengemukakan berbagai teori dan jalan bangkitkan kembali ummat yang telah mengalami kemunduran. Di antaranya yang selalu kedengaran adalah bangunkan Ummat melalui penguasaan politik dan bangkitkan  kekuatan ekonomi.   


Semua ini ternyata gagal...!    

Sebaliknya apa yang terjadi adalah kebinasaan...!


Orang² Islam  yang menguasai poltik negara TIDAK mengendahkan ajaran Allah.  Mereka TIDAK pedulikan hukum-hakam Allah sebaliknya mereka mempertikaikannya.  Banyak sekali negara² dunia di- kuasai oleh orang Islam, namun mereka engkar kepada Allah.


Di seluruh dunia ramai sekali orang²  Islam menguasai ekonomi dan kaya-raya.  Banyak sekali negara² Arab dan lain²nya yang diperintah oleh orang islam yang kaya-raya.   Mereka memiliki gedung² besar dan syarikat² perniagaan yang besar/   Tetapi apakah yang terjadi?   Adakah mereka menyumbang kepada kebangkitan Ummat?   Adakah mereka menolong di dalam mendirikan syi'ar Islam dan undang² Allah?


Ternyata teori² baru hanyalah kebohongan dan menipu diri sendiri.

Ternyata pakar² motivasi yang mengemukakan berbagai teori bangkitkan ummat hanyalah boneka² nafsu.

Ternyata berbagai teori ekonomi dan politik tidak membawa manusia hampir kepada Allah sebaliknya menjahannamkan mereka sedang mereka tidak sedar.


✨🕌✨Rasulullah ﷺ bersabda :

 " Demi Allah, bukan kemiskinan yang aku khuatirkan akan menimpa diri kalian. Akan tetapi, aku khuatir jika dunia ini dibentangkan untuk kalian sebagaimana ia dibentangkan untuk orang-orang sebelum kalian sehingga kalian berlomba sebagaimana mereka berlomba, dan akhirnya kalian binasa sebagaimana mereka binasa.” 

[Imam Bukhari, Imam Muslim ]


Justru, bukanlah bangkitkan Ummat itu dengan kuasa politik terlebih dahulu walaupun penguasaan politik itu penting untuk ummat.  Atau bukan juga bangkitkan Ummat dengan kekayaan dan ekonomi walaupun ekonomi itu juga penting untuk kehidupan.  Tetapi setiap kebangkitan semula WAJIB di dahului dengan   " ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ   "  — bacalah, zikirlah, sucikanlah hati kamu,  renunglah akan Tuhan kamu, pandanglah akan Wajah-Nya...  sesudah itu kamu akan melihat cahaya Kemenangan seperti mana dicapai oleh para Sahabat Ridhwanullah.


Namun apabila pemimpin²  meninggalkan Jalan sebenar yang ditunjukki oleh Allah dan Rasul-Nya, maka penghujungnya adalah kebinasaan dunia akhirat. Wal Iyazubillah


SIRI 57 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 8 :  Wahyu Pertama dan Rahsia Agung Khilwah (uzlah / suluk):


Sebelum diturunkan Wahyu pertama   " ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ   "  Baginda Nabi ﷺ telah dipersiapkan oleh Allah Ta'ala dengan kelengkapan yang memadai bagi menghadapi suatu perjuangan sengit yang bakal Baginda hadapi ;  bermula dari Perjuangan menyerukan "Tauhid" kepada kaum Quraisy,  kemudian berjuang mendidik pendokong2 setia yang benar2 beriman dan bertaqwa tinggi ...  sehinggalah mendirikan Kalimah La Ilaha Illallah  di atas seluruh muka bumi.  


Kesemua persiapan tersebut dilengkapkan dengan  Tarbiyyah khusus di Gua Hira'.  


✨🕌✨Hadith Rasulullah   ﷺ  :

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah Radiallahu ‘anha,  bahawa beliau berkata:

“Permulaan wahyu yang didatangkan kepada Rasulullah ﷺ ialah mimpi yang baik lagi benar di dalam tidur, maka tiadalah Junjungan bermimpi satu mimpi melainkan datanglah mimpi itu seperti cahaya subuh. Kemudian digemarkan (oleh Allah Ta'ala) kepada Baginda untuk melakukan khilwah, mengasingkan diri.   Junjungan melakukan khilwah di Gua Hira’ lalu  tahannuth  (beribadah dengan cara2 yang diilhamkan oleh Allah) di dalamnya, iaitu beribadah dalam masa beberapa malam.        Setelah itu Baginda ﷺ  kembali kepada ahlinya dan berbekalan untuk menyambung tahannuthnya. Kemudian Junjungan kembali lagi kepada Khadijah dan berbekalan seumpama itu juga hingga datanglah kepadanya kebenaran.”

[Imam Bukhari]


Sesungguhnya khilwah di gua Hira'   sebelum turun Wahyu Pertama adalah rencana Ilahi yang amat rapi bagi mempersiapkan Baginda dengan kekuatan luar biasa bagi mengalahkan kuasa nafsu, syaitan, dunia dan makhluq seluruhnya...!


Apakah itu khilwah.. ?


Khilwah  ( atau disebut suluk kemudiannya)  adalah mengasingkan diri beberapa waktu dari pergaulan manusia umumnya,   jauh daripada hingar-bingar kehidupan, serta  menumpukan segenap ingatan kepada Allah Ta'ala. Lupakan sementara waktu sekalian urusan dunia, hidupkan hati menghadap Allah, karamkan diri berzikir bersama-sama sekalian kewujudan,  sehingga terhubung kepada Pencipta Sekalian Alam.    


🌻Apakah rahsia khilwah ?


🌻Apakah hikmah di sebalik khilwah  — jauh dari manusia?


🌻Apakah rahsia khilwah di Gua  —  di dalam kegelapan?


🌻Apakah i'tibarnya khilwah  di tempat sempit dan terkurung?


🌻Di manakah letaknya  kekuatan khilwah?


🌻Siapakah di antara Ummat ini menyambung warisan  khilwah Rasulullah ﷺ?


SIRI 58 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 8 :  Wahyu Pertama dan Rahsia Agung Khilwah (uzlah / suluk):

sambungan....


Seribu lembaran  belum cukup untuk huraikan Rahsia dan Hikmah Agung di sebalik khilwah Rasulullah ﷺ di Gua Hira'.  Khilwah  terkait rapat dengan sekalian Utusan Allah ;  sama ada itu Rasul, Nabi dan juga Warisatul Anbiya.   Ia juga mengandungi i'tibar dan pengajaran cukup bermakna kepada Pencinta Allah, Pencinta Rasulullah ﷺ,    Pencinta Agama Allah seluruhnya.    Di dalam ruangan terbatas ini,  memadailah menyebut sebahagian yang penting2 kepada ummat.


✍️Pertama:

Rasulullah ﷺ diilhamkan oleh Allah Ta'ala untuk _khilwah_ di Gua Hira',  suatu tempat yang sunyi dan jauh dari Bandar Makkah (lebih kurang 5 km) — rahsianya adalah :  Kesunyian dan suasana ketenangan amat perlu kepada pemusatan hati dan ruh kepada Allah Ta'ala.   Dengan terus-menerus merenung ke dalam diri dan sekalian alam dengan kaifiyyat (cara2)  dan syarat2 tertentu,  di dalam suasana sunyi dan tenang, maka  di sana akan  terhubung kepada Hadrat Tuhan Yang Maha Suci.  Terhubungnya kepada Hadrat Ketuhanan menerbitkan keimanan,  keyakinan,  keteguhan hati yang tidak terkalahkan.  

Kunci:

Berzikir di dalam kesunyian dan keterasingan dari khalayak umum adalah amat penting bagi menerbitkan kekuatan keruhanian, keimanan dan ketqwaan.


✍️Kedua:

Rasulullah ﷺ membawa bekal makanan sendiri ketika khilwah Baginda — ini isyarat  penting bahawa wajib jaga makan minum agar benar2 suci bersih dan jauh dari syubhat.  Sedikit sahaja syuhbat di dalam makan minum akan menyebabkan terhalangnya matlamat khilwah.

Kunci:

Zikir akan meresap ke dalam darah daging yang bersih.  Zikir akan terhalang apabila terdapat makan minum yang haram atau syubhat


✍️Ketiga:

Rasulullah ﷺ khilwah  di dalam tempat yang tekurung dan agak sempit dan BUKAN di tempat lapang.   Tempat yang terkurung dan sempit membolehkan konsentrasi — pemusatan hati kepada Allah. 

Kunci:

Berzikir didalam ruangan yang sempit dan terkurung adalah latihan yang amat baik untuk pemusatan ingatan kepada Allah.


✍️Keempat:

Rasulullah ﷺ  khilwah sendirian di dalam Gua yang gelap, tiada lampu, tiada pelita, tiada cahaya matahari atau bulan.  Ertinya Baginda melakukan sekalian ibadah hati di dalam khilwah  ini di dalam suasana gelap — tiada apa2 pandangan yang menganggu Baginda di hadapan.   I'tibarnya adalah :  Suasana gelap atau hampir2 gelap mempunyai kesan yang sangat kuat ke dalam hati utuk menerbitkan cahaya hati dan kejayaan berbanding di dalam susana keliling yang terang.  

Kunci:

Zikir di dalam keadaan gelap mempunyai kekuatan tersendiri bagi menerbitkan cahaya hati dan Keimanan.


SIRI 59 :


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 8 :  Wahyu Pertama dan Rahsia Agung Khilwah (uzlah / suluk):

sambungan....


Kesemua cara2 yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ di dalam khilwah  seperti tersebut di atas, atau lebih tepat dikatakan "Rencana Ilahi yang amat rapi  bagi Kekasih-Nya",  dicontohi oleh sekalian Warisatul Anbiya  (Pewaris2 Nabi) — iaitu sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq.    Mereka berijtihad menyusun adab, syarat dan kaifiyyat (cara) bagi melakukan khilwah sebagai itba' kepada Rasulullah  ﷺ  dan dijadikan suatu disiplin terunggul di dalam Sistem Pendidikan Ahli Ma'rifat / Ahli Sufi.   (akan datang penjelasan lanjut in shaa Allah).


Setiap Mursyid yang siddiq (yang benar) yang dizahirkan sebagai Pewaris Nabi akan melalui Sistem Pendidikan terunggul ini pada tempoh waktu yang sangat lama — dengan pimpinan Shaikhnya (Guru Mursyidnya yang mempunyai Silsilah Rasulullah ﷺ  yang benar dan menepati syarat2nya)    Yang di- kehendaki dengan "tempoh waktu yang lama"  bukan setahun atau dua tahun tetapi puluhan tahun.  


Umpamanya Imam Besar Ahlus Sunnah Qutb Rabbaniy Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu  melakukan khilwah selama 33 tahun di dalam runtuhan Kota Baghdad  (tempat terbiar yang tiada penghuni).   Imam Ghazali melakukan khilwah dengan pimpinan Shaikh beliau selama 11 tahun. Demikian sekalian Masyaikh  beriltizam dengan khilwah terlebih dahulu pada waktu yang sangat panjang sebelum mereka diperkenan oleh Allah Ta'ala kepada Hadrat-Nya Yang Maha Tinggi.


Maka fahami wahai hamba2 Allah yang dipilih oleh Allah memahami Agama suci ini, dengan benar —  bahawa sekalian perlakuan, perkataan, sikap akhlaq Mursyid yang siddiq (benar) berdiri teguh di atas Sunnah yang suci bersih — Al-Qur'an dan Sunnah Baginda ﷺ  Tiada satu pun terkeluar darinya.  Inilah sebagaimana dipuji oleh Imam Ghazali setelah mengembara mencari kebenaran, akhirnya menemui kebenarannya:

✨🕌✨Berkata Imam Ghazali :

"Selama waktu berkhilwah itu terbukalah bagiku rahsia yang tak terhitung jumlahnya,tak mungkin di- istiqsa  (membahas sesuatu sejauh-jauhnya dan sedalam-dalamnya )  Yang kukatakan untuk mengambil manfaatnya – ialah aku benar2 yaqin, kaum  Sufi ( Mursyid / Ahli Ma'rifat)  itulah yang benar2 telah menempuh jalan yang dikehendaki Allah Ta’ala.  Merekalah  golongan yang paling utama cara2 hidup- nya, paling tepat tindak lakunya dan paling tinggi budi pekertinya.  

Bahkan andai kata aqal para uqala, hikmah para hukama, dan ilmu para ulama yang tahu rahsia syara’,  semua itu dihimpun untuk menciptakan suatu cara yang lebih utama dari cara Ahli Sufi itu, tiada akan memberi hasil;  sebab segala gerak geri mereka (ahli Sufi) baik zahir maupun batin, diterangi cahaya Kenabian.  

[ Kitab Munqiz Min-Adh- Dholal ]


Catitan Penting:

Sebahagian orang yang jahil, termasuk mereka yang menjawat kerusi di Jabatan Agama Negara menuduh dan samakan pekerjaan khilwah  (suluk pada zaman ini)  sebagai bertapa seperti agama hindu, budha dll.  Wal Iyazubillah.  Moga mereka ini TAUBAT sebelum MATI.  

Sebahagian Pegawai2 Agama menangkap orang berzikir di dalam gelap dengan alasan sesat dan khurafat.  Allahu Ya Allah, betapa jahil dan beratnya kejahilan ini pada orang2 berjawatan Agama.  Adakah kamu menuduh Rasulullah itu sesat kerana zikir di dalam Gua yang yang gelap?

Apabila kamu tidak menuntut ilmu dari Guru Mursyid yang siddiq, maka sentiasalah kamu akan disesatkan oleh Iblis La'natullah,   pemikiran jahiliyah dan dakyah2 yahudi dan nasrani..!


SIRI 60 :


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


8.0  Cabang Penting :

sambungan...


Cabang 9 :  Wahyu Pertama dan Hubungannya dengan Mursyid


Turunnya wahyu pertama kepada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ   adalah isyarat kepada Khatamun-Nabi, penutup sekalian Nabi-Nabi.   


Ertinya  Rasul terakhir telah dizahirkan di atas muka bumi. Baginda Rasulullah ﷺ adalah penutup bagi sekalian Mursalin dan Anbiya.  tiada  lagi Nabi selepas Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ  yang membawa  syari'at baru .    

(Perhatikan baik2 ungkapan di atas —  "Tiada lagi Nabi yang akan membawa Syari'at baru"  —  kenyataan ini penting. In shaa Allah dijelaskan berikut nanti.)


Maka menjadi pertanyaan...

Siapakah yang memimpin Ummat selepas kewafatan Baginda?

Siapakah yang akan menunjukki jalan lurus?

Siapakah yang akan mendidik manusia mengenal Allah?

Siapakah yang akan "memelihara"  Kitabullah dan Sunnah Baginda?

Siapakah yang akan mempertahankan kebenaran Agama Islam yang suci?


Sedangkan berdasarkan kenyataan sejarah,telah dimaklumi  bahawa kehadiran Utusan Allah di tengah2 manusia adalah suatu kemestian.  Tanpa utusan Allah, manusia tidak akan mampu mengenal Penciptanya.  Manusia tidak mempunyai pengetahuan berkenaan perkara ghaib.  Apa lagi mengenal Pencipta sekalian alam.   


Berdasarkan kenyataan sejarah apabila seorang Rasul wafat, maka ummatnya kembali kepada kesesatan dan menyembah berhala,  sehingga diturunkan lagi Nabi lain untuk menarik manusia2 sesat itu kepada Tauhid La Ilaha Illallah.  Demikian seterusnya pada setiap kali seorang utusan Allah itu wafat, maka manusia kembali kepada kesesatan, kemudian diturunkan lagi Rasul untuk menarik kembali kepada kebenaran. 


Tanpa "Penunjuk Jalan Suci" , manusia akan sentiasa menyeleweng kepada penyembahan berhala dan "penyembahan"   sesama manusia.  Iblis dan nafsu sentiasa menunggu peluang menyuruh kepada "sembahan2"   selain Allah. 


Sejarah menulis bahawa  Kitab dan Sunnah Nabi sahaja tidak memadai, melainkan WAJIB ada "Pemimpin Rabbaniyah  ( Ketuhanan ) " yang menguasai kedua sumber tersebut.   Kitab dan Sunnah sahaja tanpa Pemimpin yang mempunyai hubungan dengan Allah,  maka manusia akan mentafsir mengikut kehendak nafsu dan bisikan Iblis. 


Contoh2 yang telah berlaku sepanjang sejarah manusia menunjukkan selepas kewafatan seorang Rasul, manusia kembali kepada kesesatan.   Paderi dan pendeta2 Agama mentafsirkan ayat2 Allah mengikut hawa nafsu mereka.  Mereka mengubah kandungan Kitab2 Allah.   Mereka mengubah Sunnah2 Nabi mereka.   Akhirnya mereka mencipta Agama baru mengikut hawa nafsu dan bisikan Iblis.   Maka jadilah mereka sesat dan menyesatkan.   Wal Iyazubillah


Apabila telah jelas bahawa kewujudan seorang Rasul di tengah2 manusia adalah suatu ketetapan Allah bagi menyelamatkan manusia dari lembah kehinaan dan kebinasaan, maka tidak boleh tidak, pasti ada di sana wujud  pengganti kepada Junjungan mulia Rasulullah ﷺ   dan pengganti ini wajib bersifat dengan Sifat2 Rabbaniyyah  menduduki posisi Kenabian  dan memiliki akhlaq Rasulullah ﷺ .


Ulama Ahlus Sunnah telah sepakat bahawa Khatamun-Nabi adalah bermaksud Nabi terakhir yang membawa Syari'at baru, sedangkan hamba2 pilihan Allah yang menduduki posisi KeNabian pasti ada sepanjang zaman sampai Qiamat.   Maksudnya Rasulullah ﷺ adalah penutup bagi Kenabian yang membawa syari'at yang baru.  Tidak akan ada selepas Baginda seseorang bergelar Nabi membawa Syari'at lain.   Namun akan ada hamba2 Allah yang menduduki Maqam Nubuwwah sebagai pengganti kepada Rasulullah ﷺ .  Merekalah Pewaris2 Nabi yang siddiq yang dikenali sebagai Mursyid atau Ahli Sufi.


bersambung siri  61  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

      🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳  


          

         

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 390) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...