KHILWAH / SULUK MENURUT AHLUS SUNNAH

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

KHILWAH / SULUK MENURUT AHLUS SUNNAH

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 11 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



8.0 Sendi2 Utama dan Kunci Kejayaan

Pertama : Adab

sambungan....



Jenis2 Adab :

Pertama : Adab kepada Allah

Kedua :     Adab kepada Rasul

Ketiga :     Adab kepada Mursyid

(Guru yang memimpin kepada Allah, yang merupakan wakil Rasulullah ﷺ , Warisatul Anbiya yang siddiq)

Keempat : Adab kepada keseluruhan Jalan Ma'rifat

(Sistem Tarbiyyah yang diwarisi daripada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ)

Kelima :        Adab kepada Ibu bapa

Keeenam:    Adab kepada orang beriman lainnya.

Ketujuh :      Adab kepada manusia dan alam semesta seluruhnya. 


Cuba fahami sungguh2 hal tersebut di atas.  Allah Ta'ala perintahkan berbuat baik, beradab dan berakhlaq mulia bukan hanya terhadap Allah Ta'ala dan Rasul-Nya, tetapi juga terhadap Ulama Mu'tabar yang menjadi asbab Ilmu sampai kepada kita.   Dengan segala usaha Ulama Auliya Allah manusia dapat memahami hakikat Agama, hukum-hakam dan segala adab2 yang wajib diamalkan.  Demikian lagi wajib beradab kepada Ayah dan Ibu yang melahirkan, sekalian orang beriman dan bahkan sekalian alam semesta.


Ini bermaksud, Adab2 baik dan terpuji bukan hanya terhadap Allah dan Rasul-Nya, tetapi juga terhadap orang2 yang di Kasihi Allah.  Manusia yang memelihara adab2 terhadap hamba2 Allah, bermakna dia juga telah beradab kepada Allah. Sebaliknya mereka yang jahat adab  terhadap hamba2 Allah bermakna mereka telah biadab kepada Allah. 


Perlu ditekankan di dalam hal ini, selepas Allah dan Rasul-Nya... hamba2 Allah yang wajib dimuliakan dan dipelihara adab2 terhadap mereka adalah sekalian Ulama Billah, Ulama Mu'tabar, iaitu Ulama bertaraf Auliya Allah yang telah berjasa kepada Ummat.  


Malangnya pada hari ini cerdik pandai Agama, yang bergelar PhD, Drs, Prof, Master dsb teramat biadab kepada Ulama Mu'tabar terdahulu.  Cerdik pandai agama ini sewenang2 mempertikaikan mereka (Ulama Mu'tabar) dan menuduh mereka sebagai pendusta dan pereka hadith palsu. Bahkan ada yang tak segan silu melemparkan tuduhan syirik, khurafat, bid'ah sesat, tahyul dan kafir terhadap mereka.  Wal Iyazubillah.  Moga Allah Ta'ala pelihara kita semua dari tergolong kepada manusia2 biadab ini. 


Sesungguhnya orang2 yang memusuhi Auliya Allah adalah musuh Allah yang menerima La'nat Allah.


✨🕌✨  Hadith Qudsi :


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ اللهَ تَعَالَى قَالَ : مَنْ عَادَى لِيْ وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِيْ بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عَلَيْهِ، وَلاَ يَزَالُ عَبْدِيْ يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِيْ يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِيْ يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِيْ يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِيْ يَمْشِيْ بِهَا، وَلَئِنْ سَأَلَنِيْ لأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِيْ لأُعِيْذَنَّهُ


Dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu beliau berkata, bahawa Rasulullah ﷺ  bersabda : “Sesungguhya Allah Ta’ala berfirman :

"‘Barangsiapa yang memusuhi Wali-Ku maka Aku telah mengisytihar perang dengannya. Tidak ada taqarrubnya seorang hamba kepada-Ku yang lebih aku cintai kecuali dengan  beribadah dengan apa yang telah Aku fardhukan kepadanya. Dan hamba-Ku yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (perkara-perkara sunnat) maka Aku akan mencintainya dan apabila  Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan.  Jika dia meminta kepada-Ku niscaya akan Aku berikan dan jika dia minta perlindungan dari-Ku niscaya akan Aku lindungi.’ ” 

[Imam Bukhari]


SIRI 12 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0 Sendi2 Utama dan Kunci kejayaan

Pertama : Adab

sambungan....


Contoh2 kebinasaan akibat jahat adab


Mari kita lihat betapa pentingnya adab berdasarkan beberapa contoh kebinasaan jinn dan manusia akibat Jahat Adab / buruk Adab / keji Akhlaq dan hakikat di sebalik makna "Adab".


Contoh 1 :  Iblis La'natullah — Biadab kepada Allah

                                                                                                                 Iblis di La'nat bukan kerana dia enggan beriman kepada Allah, bukan kerana dia enggan beribadah kepada Allah, bahkan dia akui Allah Ta'ala sebagai Tuhan dia dan beribadah dengan ibadah yang sangat cemerlang sehingga sekalian Malaikat menjadi kagum dengannya.  Iblis  menerima La'nat Allah kerana salah adab (buruk adab) kepada Allah. Iblis enggan sujud (tunduk hormat) kepada Nabi Allah Adam Alaihis salam. Pada sangkaan Iblis, dia selamat kerana dia cuma enggan sujud (tunduk hormat) kepada makhluq, bukan enggan beriman kepada Allah. Dia dengan beraninya mempersoalkan perintah Allah yang menyuruhnya sujud (tunduk hormat) kepada Adam.  Kemudian dengan beraninya mencabar Allah bahawa dia akan menyesatkan sekalian manusia. Memang Iblis biadab dengan Allah, maka jadilah dia kafir, menerima La'nat Allah.  Wal Iyazubillah


Contoh 2 :  Zulkhuwaishirah — biadab kepada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ.  

                                                                                                           Orang yang bernama Zulkhuwaishirah ini bai'at dengan Rasulullah ﷺ dan ahli ibadah yang sangat tekun, tetapi dia biadab kepada Junjungan Rasulullah ﷺ.  Dia mengherdik Baginda dengan ucapan biadab, "Wahai Muhammad, berlaku adillah"  atau dia berkata, "Wahai Muhammad, bertaqwalah kepada Allah."   Maka binasalah dia meskipun dia ahli ibadah, berpuasa banyak dan dirikan Qiamullail, namun kebiadaban dia terhadap Rasulullah ﷺ menyebabkan dia menjadi manusia terlaknat. 


Rasulullah ﷺ bersabda:

                                                                                                             “Sesungguhnya akan keluar dari keturunan orang ini satu kaum; yang membaca al-Qur’an, namun tidak melewati kerongkongannya. Mereka membunuh kaum muslimin dan membiarkan para penyembah berhala. Mereka akan keluar dari Islam ini sebagaimana keluarnya anak panah dari buruannya. Jika sekiranya aku menemui mereka, pasti aku bunuh mereka seperti terbunuhnya kaum ‘Aad.” 

[Imam Bukhari, Imam Muslim]


Contoh 3 :  Golongan Khawarij — biadab kepada Sayyidina Ali Radhiallahu anhu.

                                                                                                           Khawarij adalah "keturunan" daripada Zul Khuwaishirah yang biadab kepada Nabi ﷺ sebagaimana tersebut di dalam kisah di atas.

                                                                                                             Sebagaimana kata2 Nabi bahawa akan lahir dari orang ini (Zul Khuwaishirah), manusia yang merasa dirinya bagus, ibadahnya lebih bagus, bacaan Qur'annya lebih bagus (ertinya takabbur). Mereka akan membunuh orang islam dan membiarkan orang kafir. Maka ucapan Nabi menjadi kenyataan ketika pemerintahan Sayyidina Ali Karramallahu wajhah. Mereka menuduh Sayyidina Ali sebagai kafir dan memerangi beliau.  


Contoh 4 : Golongan Wahhabiyah — biadab kepada Ulama Mu'tabar / Auliya Allah


Wahhabiyah pada zaman ini adalah golongan yang menganut prinsip2 Khawarij.


Mereka menuduh Maulid Nabi, Tahlil, Zikir Allah Allah, Ziarah Kubur, Tasawwuf, Toriqat Nabi dll sebagai bid'ah sesat. 


Mereka menuduh Ulama2 Habib dan orang beriman lain yang ziarahi kubur sebagai penyembah kubur dan musyrik. Wal Iyazubillah.

Mereka menghina dan meremehkan segala Ulama Mujtahidin sedangkan ilmu puak2 Wahhabiyyah ini hanya "sekangkang kera". 

 

Khulasahnya:

1. Kesemua golongan di atas di La'nat kerana kebiadaban mereka kepada Allah, Rasul-Nya dan Auliya Allah. 


2. Meskipun mereka ahli ibadah, banyak solat sunnat, banyak puasa sunnat, solat tahajjud dan hidup seperti orang zahid tetapi semuanya binasa akibat jahat adab.


2. Punca mereka biadab adalah kerana Takabbur, ego, besar diri, rasa diri bagus, rasa banyak amal soleh dan lebih alim dari Ulama Billah / Auliya Allah.


Moga Allah Ta'ala selamatkan kita semua dari termasuk kedalam golongan yang menerima La'nat Allah...!


SIRI 13 :


ِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0 Sendi2 Utama dan Kunci kejayaan_

Pertama : Adab

sambungan....


Adab kepada Allah

=================


Adab kepada Allah meliputi seluruh hidup manusia, sama ada perkataan, perbuatan dan lintasan2 hati. Di sini kita akan kemukakan Adab2 kepada Allah terpenting yang wajib diketahui dan diamalkan. 


(1) Ikhlas 

                                                                                                                Ini adab terpenting bagi setiap orang beriman.  Ikhlaskan hati di dalam sekalian Ibadah dan di dalam setiap gerak geri.  Ini yang menjadi pemisah antara haq dengan batil, cahaya dengan kegelapan, Iman dengan kufur, Sah amal dengan batal amalnya.


(2) Lazimkan Taubat

Taubat dan istighfar sebanyak2nya. Walaupun seseorang merasakan dirinya tak ada buat sebarang kesalahan tetapi dia tetap berdosa.. sekurang2 dosa adalah lalai hati dari Zikrullah.


(3) Berzikir kepada Allah setiap waktu,

Setengah dari adab yang paling penting bagi orang beriman adalah sentiasa hidupkan hati dengan Zikrullah.   Yang dimaksudkan dengan Zikir setiap waktu adalah ingat Allah Allah Allah terus- menerus di dalam hati.  Lalai dari Zikrullah menyebabkan keburukan yang amat besar :  Hati sentiasa bergelumang di dalam menjadi kesyirikan (syirik khafi), sifat mazmumah memenuhi hati, tiada khusyu di dalam Solat, melengah2kan Ibadah, dan berbagai kepincangan hidup, bahkan membawa kepada kekufuran dan kesesatan tanpa disedari.  


(4) Syukur dan jangan kufur. 

Sentiasa bersyukur atas Kurnia Allah, meskipun sedikit. Jangan sekali2 kufur.  Syukur menambahkan rezeki. Kufur bawa kepada azab.


(5) Sentiasa Khauf dan Roja'

Hadapi kehidupan dengan khauf (takut) dan roja' (harap).  Takut Kemurkaan Allah kerana banyak dosa namun pada masa yang sama benar2 mengharap Rahmat Allah dan Keampunan-Nya. Yakin bahawa Allah Ta'ala ampunkan dosa2nya.


(6) Sentiasa baik sangka dan jangan sesekali jahat sangka.


(7) Malu kepada Allah


(8) Agungkan Allah

Sentiasa berusaha Agungkan Allah,  iaitu dengan Agungkan Al-Qur'an, Agungkan Rumah2 Allah (Masjid, Surau, Madrasah)


(9) Sabar atas segala dugaan Allah


(10) Kasih kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi segalanya.

Kasih kepada Allah bertingkat2 menurut Keimanan seseorang. Sekurang2 tanda Kasih kepada Allah adalah utamakan Kehendak Allah di atas segala urusan lain. Sentiasa melakukan suatu hal semata2 mencari Keredhaan-Nya.


SIRI 14 :


ِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0 Sendi2 Utama dan Kunci kejayaan_

Pertama : Adab

sambungan....


Adab kepada Rasulullah

=================


(1) Ikhlas

Beriman kepada Rasulullah ﷺ dan mengikut sekalian Sunnah Baginda dengan penuh keikhlasan, bukan pura2 atau terpaksa.


(2) Amalkan Sunnah Baginda.

Amalkan Sunnah Baginda sebanyak mungkin, termasuk memakai serban. jubah dan wangian.


(3) Makhluq Allah terbaik dan Rasul yang terbaik.

Yakin bahawa Sayyidina Muhammad ﷺ adalah makhluq terbaik,  Rasul terbaik dan contoh terbaik bagi sekalian manusia.


(4) Agungkan Baginda di mana jua. 

Hendaklah muliakan Baginda dan Agungkan Baginda. Di antara cara Agungkan Baginda adalah dengan cara mengadakan Majlis2 Solawat atau Majlis2 Maulid Nabi. 


(5) Banyakkan solawat 

Setengah dari Adab besar terhadap Rasullah ﷺ adalah baca Solawat kepada Baginda setiap hari.


(6) Jangan Jahat sangka kepada Rasulullah ﷺ 

Jangan sekali2 jahat sangka pada perbuatan atau perkataan Rasulullah ﷺ walaupun pada zahirnya tidak sesuai dengan fikir aqal atau logik manusia awam.  Misalnya "kisah Rasulullah ﷺ bermasam muka terhadap orang buta" atau  "Baginda kahwini 11 wanita" atau lain2. Semua peristiwa2 tersebut mempunyai rahsia2 tersendiri yang tidak difahami oleh orang awam, maka hendaklah diam dan tetap menta'zimkan Baginda.


(7) Sambut dengan ucapan ﷺ

Apabila mendengar nama "Muhammad" atau "Rasulullah" disebut, maka hendaklah sambut dengan dengan lafaz penuh " ﷺ " (Sollallahu Alaihi Wa Sallam)  dengan penuh kasih. 


(8) Jangan tulis "SAW" atau "Sol"

Ketika menulis atau menyebut nama Rasulullah, sambunglah sengan sebutan  " ﷺ  "  (Sollallahu Alaihi Wa Sallam) dengan lengkap. Jauhkan kata2 singkatan seperti "SAW"  atau "Sol" atau sebagainya kerana perbuatan demikian menunjukkan tiada adab kepada Baginda.


(9) Utamakan panggilan Rasulullah ﷺ

Hendaklah sentiasa utamakan panggilan Rasulullah ﷺ mengatasi segala kerja atau panggilan lain.


(10) Khidmat

Setiap orang beriman hendaklah sentiasa bersedia untuk khidmat kepada Rasulullah ﷺ.  Khidmat kepada Rasulullah ﷺ setelah kewafatan Baginda adalah dengan cara khidmat kepada Wakil Rasulullah ﷺ, iaitu Warisatul Anbiya yang siddiq, Mursyid yang memimpin kepada Allah. 


(11) Kasih kepada Ahlul Bayyit Baginda

Kasih kepada Ahlul Bayyit Rasulullah ﷺ adalah termasuk kasih kepada Baginda. Maka barangsiapa benci atau tidak menghormati Ahlul Bayyit Rasulullah ﷺ adalah sama seperti tidak menghormati Rasulullah ﷺ.


(12) Kasih Rasulullah  ﷺ melebihi segala yang lain.

Hendaklah kasih kepada Rasulullah  ﷺ melebihi kasih kepada Ibu bapa, anak isteri dan dunia seluruhnya.


SIRI 15 :


ِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0 Sendi2 Utama dan Kunci kejayaan_

Pertama : Adab

sambungan....


Adab kepada Guru Mursyid

====================


Orang beriman diperintah beradab kepada Warisatul Anbiya yang siddiq (Mursyid, Ahli Ma'rifat, Ahli Sufi) kerana merekalah Pewaris Rasulullah bagi menunjukki jalan lurus, jalan benar yang di Redhai Allah.  Mereka menerima pusaka Rasulullah ﷺ turun-temurun daripada satu Generasi Imam kepada generasi Imam kemudiannya dengan cara yang khusus yang terpelihara kesucian dan keasliannya. 


Oleh kerana itulah diperintahkan kepada sekalian Ummat agar mereka mencari Pewaris Nabi yang benar ini dan berpegang kepada mereka sungguh2 sampai akhir nafas. 


✨🕌✨  Berkata Imam Jilani Radhiallahu anhu


“Orang2 yang berilmu dan hikmah  (Mursyid / Ahli Ma'rifat) adalah hamba Allah yang sejati yang dipilih-Nya untuk menerima “Risalah-Risalah dari pengajaran-Nya”.   Allah melimpahkan mereka ilmu dan hikmah dan dengan ilmu hikmah itulah mereka menjadi manusia yang lebih tinggi darjatnya daripada manusia lain. Mereka berhubung dengan Nabi melalui perasaan yang halus dan dengan aqal yang bijaksana. (baca : Kehalusan Ma’rifat Ilahiyyah atau disebut juga  kasyaf  Ilahiyyah)


Allah memuji mereka yang memiliki ilmu Hikmah dengan Firman-Nya :


ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ


 [Sirrul-Asrar Fi-ma-Yahtaju Iyahil-Abrar]


✨🕌✨  Berkata Imam Ghazali:


"Sebelum Rasulullah  ﷺ  wafat, Baginda telah menetapkan para khalifah sebagai wakil Baginda untuk menunjukkan manusia ke jalan Allah. Begitulah seterusnya sampai hari Qiamat.  Oleh kerana itu, seorang salik(murid) mutlak memerlukan seorang Mursyid.”

[Khulasah at-Tasaniff Fit-Tasawwuf]


Adab kepada Guru Pewaris Nabi (Mursyid) yang memimpin kepada Allah:


Menurut Imam Ghazali, Adab kepada Guru adalah :


(1) Apabila bertemu dengan Gurunya maka hendaklah dahulu memberi salam.


(2)  Jangan banyak berkata-kata di hadapan guru.


(3) Jangan berkata-kata apa yang tiada ditanya oleh gurunya.


(4) Jangan bertanya guru sebelum meminta izin daripadanya.


(5) Janganlah dia menyangkal perkataan Gurunya, dengan mengatakan si fulan menyalahi apa yang engkau katakan dan sebagainya.


(6) Jangan memberi isyarat kepada Gurunya dengan sesuatu yang menyalahi bicara beliau,  seolah2 dia (murid)  lebih tahu. Ini kurang adab terhadap Gurunya dan hilang keberkatannya. 


(7) Jangan berbisik-bisik dengan sesama sendiri. 


(8) Jangan berpaling ke kiri dan ke kanan ketika di hadapan guru, tetapi hendaklah ia duduk tunduk beradab.


(9) Jangan banyak bertanya ketika Guru letih.


(10) Apabila guru berdiri maka dia hendaklah turut berdiri kerana menta'zimkan Gurunya  dan jangan diikuti pada ketika ia bangun itu, dengan pertanyaan atau soalan dan jangan bertanya masalah ketika dia sedang berjalan hingga dia sampai ke rumah atau ke tempat duduknya.


(11) Jangan jahat sangka terhadap Gurunya pada segala perbuatan yang zahir yang menyalahi i'tiqadnya atau perbuatan guru itu bersalahan dengan pengetahuan atau adatnya, kerana guru itu terlebih mengetahui dengan segala rahsia syariat.


SIRI 16 :


ِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0 Sendi2 Utama dan Kunci kejayaan_

Sendi Kedua : Khidmat


Sendi kedua yang membawa kejayaan salikin adalah "Khidmat". Adalah yang dikehendaki dengan "Khidmat" ialah mencurahkan tenaga, harta, masa dan diri sendiri pada Jalan Allah. 


Orang yang lebih banyak khidmatnya di dalam Suluk (dan umumnya khidmat pada Jalan Ma'rifat keseluruhannya) akan mencapai kejayaan dengan lebih sempurna dan lebih cepat. Proses penyucian jiwanya akan lebih cepat dan hijab2 hatinya akan terangkat dengan sempurna berbanding dengan mereka kurang khidmatnya atau tiada sebarang khidmatnya.


Ini kerana orang yang melakukan khidmat dan kerja2 kebajikan akan memperoleh ganjaran sekalian manusia lain mengambil manfaat daripada kerja kebajikan yang telah dilakukannya, tanpa mengurangi pahala orang yang melakukan ibadah.   


✨🕌✨ Firman Allah :


ۘ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan Taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya."

[Al-Maaidah (5) : Ayat 2]


✨🕌✨ Rasulullah   ﷺ  bersabda:

 “Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan nescaya dia beroleh pahala seperti orang yang melakukannya tidak dikurangi sedikit pun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan nescaya dia beroleh dosa seperti orang yang melakukannya, tidak dikurangi dosa mereka itu sedikit pun.”

[Imam Muslim]


✨🕌✨ Rasulullah   ﷺ  bersabda:


إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لاِبْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ


“Sesungguhnya di antara amalan dan kebaikan seorang mukmin yang akan menemuinya setelah kematiannya adalah: ilmu yang diajarkan dan disebarkannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mush-haf yang diwariskannya, masjid yang dibangunnya, rumah untuk ibnu sabil (musafir)  yang dibangunkannya, sungai (air) yang dialirkannya untuk umum, atau sedekah yang dikeluarkannya dari hartanya di waktu sihat dan semasa hidupnya, semua ini akan menemuinya setelah dia meninggal dunia”.

[Imam  Ibnu Majah, Imam Al- Baihaqi]


Inilah rahsianya... Ahli Khidmat akan memperoleh ganjaran berlipat2 kali ganda serta penyucian jiwanya dengan lebih sempurna disebabkan kerja2 kebajikan yang dilakukannya.


Contoh2 Khidmat di dalam Suluk / khilwah:

(1) Bangunkan Madrasah Persulukan

(2) Sediakan keperluan2 Ibadah seperti sejadah untuk solat

(3) Sediakan bekalan air / saluran paip air 

(4) Sediakan dapur, peralatan masak, barang2 masak 

(5) Bersihkan kawasan di dalam dan luar Surau / Madrasah

(6) Cuci tandas dan bilik air

(7) Keluarkan harta / wang ringgit untuk Ahli Suluk atau Jemaah umumnya.


Semua kerja2 khidmat ini yang membawa kecemerlangan bagi salikin.


SIRI 17 :


ِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0 Sendi2 Utama dan Kunci kejayaan

Sendi Ketiga : Zikrullah


Zikrullah merupakan Asas perjalanan Suluk, iaitu keseluruhan Sistem Persulukan, bahkan keseluruhan Institusi Jalan Ma'rifat didirikan di atas asas ini. 


Tanpa bersungguh2 hidupkan asas yang kukuh ini, seseorang tidak akan sampai kepada Allah — bermaksud dia tidak akan memperoleh  hati yang sebenar2 suci dan tidak akan terbuka pintu2 Tauhid yang hakiki / Keimanan yang sejati.  Tanpa hidupkan hati dengan Zikrullah berterusan menurut Disiplin Jalan Ma'rifat, maka tidak mungkin seseorang mencapai Ma'rifat dan Ubudiyyah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Ta'ala.  Hal ini telah sepakat Ulama Arif Billah.


Hanya dengan bersungguh2 mendirikan Zikrullah sepenuh tenaga dengan ikhlas serta berpandukan adab2nya... seseorang itu memperoleh hati yang benar2 suci daripada kesyirikan  (syirik khafi), mazmumah dan aghyar.  Apabila hatinya benar2 suci, barulah dia memperoleh berbagai Limpahan Cahaya Rabbaniyyah (ketuhanan) sehingga dia mencapai keimanan sejati. Tauhid yang hakiki, Ma'rifat suci murni.


✨🕌✨ Berkata Al Imam Ghawthul A'zham Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu Anhu,

"Jalan untuk  wusul (sampai kepada Allah)  ialah dengan selalu menjaga diri supaya berada di atas jalan yang benar, berpegang teguh kepada hukum Syari'at siang dan malam dan mudawamah  (berkekalan) Zikir  khafi  (zikir dalam hati) maupun Zikir  Jihar (dengan lisan dengan kuatkan suara zikir).    Mudawamah (berkekalan) zikrullah itu hukum nya FARDHU AIN  (wajib)  bagi mereka yang  mencari keredhaan Ilahi,

[ Sirrul Asrar fi ma Yahtaju Ilayhil Abrar,  Fasal 7 : Zikir]


✨🕌✨  Imam Junaid Al Baghdadi Radhiallahu Anhu:


Zikrullah adalah rukun utama (pokok dan terpenting) dalam ilmu Tasawuf (Toriqat) ini , bahkan seseorang tidak   akan   sampai   kepada  Allah (Maqam Tauhid yang hakiki Ma'rifat) kecuali dengan kekalkan berzikir.”

[Rasail Al Junaid]


SIRI 18 :


ِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0 Sendi2 Utama dan Kunci kejayaan

Sendi Ke-4 : Solawat,  Taubat, Wirid Ayat Qur'an


Amal ibadah berikutnya yang terpenting selepas Zikrullah adalah "Solawat atas Nabi sebanyak2nya" dan diikuti dengan "Istighfar / Taubat berterusan".  Ketiga2 Ibadah ini (Zikrullah, Solawat dan Taubat) menjadi tumpuan di dalam Suluk kerana amal Ibadah ini yang menjadi kunci2 utama pembersihan hati,  penghapusan mazmumah (sifat2 keji), penghapusan Syirik khafi (syirik tersembunyi dalam hati) dan seterusnya kunci2 terpenting menerbitkan Cahaya Ketuhanan di dalam hati.


Kemudian dari itu, Ahli Suluk dilatih mengerjakan Solat2 Sunnat — Witir, Tahajjud, Solat sunnat Dhuha, solat sunnat Wudhu, wiridkan Ayat2 Al-Qur'an yang terpilih yang menjadi keutamaan Rasulullah ﷺ


Mungkin ada yang tertanya2...  bukankah semua ini amalan biasa dilakukan juga oleh orang2 Islam awam?  Benar...  amal ibadah tersebut setengahnya diamalkan juga oleh orang awam. Namun perbezaannya antara langit dan bumi.  Perbezaan utama adalah :


(1) Kaifiyyat khusus mengerjakan Zikrullah, Solawat dll.  

Ahli Ma'rifat telah ijtihad menyusun sistem dan kaifiyyat khusus mengerjakan Zikrullah, Solawat dll berdasarkan Al-Qur'an, Sunnah dan Ijma' Qias Ulama Mu'tabar.  Kaifiyyat ini cuma akan diajarkan kepada mereka yang bersedia mematuhi hukum-hakam Syari'at dan mematuhi adab2 Jalan Ma'rifat. 


(2) Zikir khusus menerbitkan Darjat (keimanan / Tauhid / Ma'rifat)

Zikir, Solawat, serta ibadah2 lain yang dilakukan oleh orang awam hanya mendatangkan pahala sedangkan Zikir dan sekalian amal ibadah yang dilakukan oleh salikin akan menerbitkan Cahaya Hati, Cahaya Ketuhanan yang membawa kepada Tauhid yang hakiki / Iman sejati / Ma'rifat dan ubudiyyah yang suci murni. 


(3) Pimpinan Guru Warisatul Anbiya yang siddiq.

Perbezaan ketiga adalah :  Ahli Suluk sentiasa di dalam pengawasan Gurunya yang arif. Dengan demikian mereka akan selamat dari tipu daya nafsu atau Syaitan. 


(4) Doa dan pertolongan Rasulullah ﷺ, Malaikat dan Masyaikh.

Perbezaan keempat adalah : Ahli Suluk memperoleh doa kebaikan doa pertolongan  ruhaniyah Rasulullah ﷺ, Malaikat dan Masyaikh. 


(5) Limpah Rahmat dan Kasih Ilahi.

Perbezaan kelima adalah :  Limpahan Rahmat Allah kepada mereka yang bersuluk.  Sesungguhnya ini yang paling utama.  Ahli Suluk memperoleh Limpahan Rahmat dan Kasih Ilahi yang lebih tinggi kerana sesungguhnya mereka sedang "Jihad pada Jalan Allah".  Maksud "Jihad pada Jalan Allah" di sini adalah :  Jihad melawan nafsu2 jahat dan bisikan2 Syaitan. Hamba2 Allah yang melakukan "Jihad" ini memperoleh Keredhaan Allah dan Kasih-Nya serta memperoleh perlindungan daripada kesesatan. 


✨🕌✨ Firman Allah :

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَا‌ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

“Dan orang2 yang berjihad (bersungguh-sungguh) pada jalan Kami nescaya Kami tunjukkan mereka jalannya. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat ihsan”

[Al-Ankaboot (29) : ayat 69]


Kata Ibn Abbas:

" Orang2 yang berjihad kepada Kami - ertinya bersugguh2 mentaati Perintah Allah untuk mencari Keredhaan-Nya. Nescaya Kami tunjukkan Jalan-Jalan Kami — ertinya orang yang amalkan ilmunya sungguh2, nescaya Allah akan bimbing mereka memahami ilmu yang mereka belum mengetahuinya. (Ilmu Ladunni - Ilmu yang Allah curahkan ke dalam batin mereka tanpa mereka pelajari). Juga dikatakan ini bermaksud : Allah bukakan kepada mereka kemanisan Iman. Dan Allah melindungi mereka dan memelihara mereka dari kekufuran atau kesesatan."

[Tafsir Ibn Abbas]


SIRI 19 :


ِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0 Sendi2 Utama dan Kunci kejayaan

Sendi Ke-5 : Uzlah


Uzlah (asingkan diri seorang2) merupakan satu lagi unsur terpenting di dalam Persulukan. Uzlah mempunyai kesan yang mendalam kepada orang yang berjalan kepada Allah. 


✨🕌✨ Rasulullah   ﷺ  bersabda:

قال رجلٌ : أيُّ الناسِ أفضلُ ؟ يا رسولَ اللهِ ! قال ( مؤمنٌ يجاهد بنفسِه ومالِه في سبيلِ اللهِ ) قال : ثم من ؟ قال ( ثم رجلٌ مُعتزلٌ في شِعبٍ من الشِّعابِ . يعبد ربَّه ويدَعُ الناسَ من شرِّه

“Seseorang bertanya kepada Rasulullah ﷺ  :  "Siapakah manusia yang paling utama wahai Rasulullah?’  Baginda menjawab:  "Orang yang berjihad dengan jiwanya dan hartanya di jalan Allah"  Lelaki tadi bertanya lagi: "Lalu siapa ?". Baginda  menjawab:  "Orang yang mengasingkan diri di lembah-lembah (bukit/gunung) demi untuk menyembah Rabb-nya dan menjauhkan diri dari kepincangan masyarakat”.

[Imam Bukhari,  Imam Muslim ] 


Sepanjang suluk, Salikin dilatih qasad sedang berada di dalam kubur, seolah2 sudah mati. Mereka dilatih sentiasa duduk sendirian dan jauhi semua jenis pergaulan termasuk sesama ahli suluk sekalipun kecuali Majlis Gurunya atau Majlis Zikrullah atau solat berjamaah atau Majlis2 lain yang berhubungan dengan Suluk. 


Dengan cara memutuskan segala pergaulan makhluq, maka hati akan tertumpu kepada Allah,  hati sentiasa zikir Allah Allah, sentiasa ingat Kebesaran dan Keagungan-Nya. Lebih dari itu, Salikin akan sentiasa merenungkan dosa2nya dan kelalaiannya pada masa lampau dan terus-menerus bertaubat.  Tegasnya, orang yang suluk sungguh2 dan penuh ikhlas... akan melihat / diperlihatkan sekalian dosa2nya yang telah lalu.... bagaikan suatu tayangan gambar yang luas.  Ketika itu akan datang penyesalan yang amat berkesan di dalam hati sehingga dia mengalirkan air mata dan mohon ampun kepada Allah. 


Hal ini (qasad sedang duduk di dalam kubur) dan uzlah  memang susah dihayati. Tetapi jika seseorang benar2 qasad demikian, dia akan memperoleh banyak sekali kebaikan di dalam perjalanannya — bagi membersihkan hatinya dan memperoleh Cahaya Tauhid yang hakiki.


Selain dari keterangan Hadith2 Rasulullah ﷺ berkenaan Uzlah, Sunnah Rasulullah ﷺ  khilwah  mengasingkan diri daripada hiruk-pikuk dunia dan pergaulan manusia  sehingga datangnya Wahyu Ilahi Mengangkat Baginda menjadi Rasul dan Nabi terakhir — menjadi hujjah yang kuat bagi keterangan ini. 


Pergaulan yang mengakibatkan kerosakan pada akhir zaman ini tidak hanya akibat pertemuan di alam nyata, bahkan yang lebih buruk daripada itu adalah Pergaulan "dunia maya". Pendedahan terus-menerus kepada info dari internet — laman web, blog, ws, ig, tik tok dll. menjadikan manusia sentiasa sibuk dengan dunia dan lupakan Allah. 


SIRI 20 :


ِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0 Sendi2 Utama dan Kunci kejayaan

Sendi Ke-6 : Sedikitkan makan


Makan banyak dan makan berbagai jenis makanan membawa berbagai penyakit tubuh dan juga hati. 


Dari sudut kajian sains, memenuhkan perut dengan bermacam2 makanan menjadi salah satu sebab utama timbulnya berbagai penyakit. Menurut Ahli Ma'rifat ianya lebih bahaya ...ia bukan saja membawa penyakit tubuh yang zahir, bahkan juga membawa kepada berbagai penyakit batin. 


✨🕌✨ Rasulullah   ﷺ  bersabda:

عَنْ مِقْدَامَ بْنَ مَعْدِ يكَرِبَ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ حَسْبُ الْآدَمِيِّ لُقَيْمَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ فَإِنْ غَلَبَتْ الْآدَمِيَّ نَفْسُهُ فَثُلُثٌ لِلطَّعَامِ وَثُلُثٌ لِلشَّرَابِ وَثُلُثٌ لِلنَّفَسِ.

 “Tidak ada bejana yang diisi oleh anak adam yang lebih buruk dari pada perutnya. Cukuplah bagi anak adam beberapa suap untuk menegakkan tulang belakangnya. Jika tidak sanggup, maka sepertiga dari perutnya hendaknya diisi untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga untuk nafasnya.” 

[Imam Ibn Majah]


Di antara keburukan yang amat besar akibat makan banyak, makan berbagai jenis makanan sehingga sangat kenyang adalah :

(1) Malas beribadat

(2) Membangkitkan nafsu buas

(3) Membangkit sifat2 kesombongan

(4) Tiada timbang rasa kepada faqir miskin

(5) Pembaziran

(6) Hati menjadi keras — sangat susah menerima nasihat Agama


Di dalam Suluk, Salikin dilatih sedikitkan makan (makanan disukat)   Makanan lazim di dalam Suluk adalah :

(1) Nasi satu cawan kecil.

(2) Sayur rebus 

(3) Sambal tumbuk ikan bilis dengan cili 


Waktu makan — tiga kali makan :

1. Sarapan pagi

2. Makan tengahari

3. Makan malam


Jenis makanan yang dipantangkan sepanjang Suluk :

1. Semua jenis makanan dari haiwan bernyawa — daging, ayam, kambing, sotong, udang, ketam, telor dan lain2 sepertinya.

2. Minyak atau santan

3. Makanan dari orang yang berhadath 


Makanan yang dibenarkan :

1. Semua jenis buah2an

2. Semua jenis sayur2an

3. Semua jenis minuman yang halal — susu,  teh, kopi, nescafe dll dibenarkan

4. Semua jenis roti atau biskut yang tiada kandungan makanan haiwan 


Apabila Salik mematuhi peraturan ini sungguh2, dia akan memperoleh berbagai faedah dunia Akhirat. Tubuhnya menjadi ringan melakukan ibadah khususnya Zikrullah. Jiwanya tenang. Hijab hati akan mudah terbuka. 


Bersambung siri 21  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

__________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI   

        🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳                                                             

        



No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 390) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...