B52 : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 511 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-61:

Penjilat - mudahanah (المداهنة)

....sambungan.....



Dalil 3: Firman Allah:


وَٱصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِٱلْغَدَوٰةِ وَٱلْعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُۥ  وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا  وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًۭا 


"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan petang hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.”

[Al-Kahfi (18 ) : Ayat 28]


Dalil 4: Firman Allah:


  وَلَا تَطْرُدِ الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ رَبَّهُمْ بِالْغَدٰوةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيْدُوْنَ وَجْهَهٗ 

Dan janganlah engkau mengusir orang-orang yang menyeru kepada  Tuhannya (berzikir dan beribadah) pagi dan petang (terus-menerus), sedang mereka menghendaki Keredhaan Allah semata-mata.”

[Al-An'am (6) : Ayat 52]


Catitan Penting:

Kedua-dua Perintah Allah ini telah dihuraikan pada Bab Dosa Besar ke 58:  "_Dosa Besar menghina Ahli Zikir_".  Di sini kita ketengahkan sekali lagi ayat Qur'an ini kerana mempunyai hubungan penting dengan bab yang sedang dibicarakan di sini. Iaitu berkenaan "larangan menjilat", "larangan  mengampu" dan "larangan bersekutu dengan orang kafir demi harapkan dunia yang hina."


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

“Allah Ta’ala Memerintahkan Rasulullah ﷺ sentiasa berserta orang-orang yang menyeru kepada Allah (Zikir kepada Allah), pagi dan petang, yang dimaksud di sini adalah Sayyidina Salman Al-Farisi berserta Sahabat lain (Ahlus Suffah yang miskin dan dhaif) yang mengharap Keredhaan Allah dan jangan berpaling dari mereka kerana mengharap perhiasan dunia yang ditawarkan oleh kaum kafir Quraisy, maksud di sini Uyaynah Ibn Hisn al-Fazari.”

[Tafsir Ibn Abbas]


Berkata Sulton Auliya Al-Imam Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Pada saat orang-orang Quraisy yang garang meminta Rasulullah ﷺ untuk menjauhi orang-orang mukmin yang papa dan mengusir  mereka dari Majlisnya—seperti Ummi Maktum, Abu Zar Al-Ghifari, dan para sahabat yang miskin, kerana lusuh pakaian mereka dan begitu melaratnya mereka, sampai duduk bersama Rasulullah ﷺ dan Rasulullah ﷺ pun hampir ingin mengabulkan keinginan dan saranan mereka (kafir Quraisy) dan menyuruh sahabat-sahabat miskin itu tidak datang bersama mereka ke Majlisnya, maka Allah Ta'ala menyangkal Rasul-Nya dengan Penyangkalan yang Tegas dan Melarang Baginda ﷺ dengan Larangan Yang Keras. 

Maka Allah pun Berfirman  bertujuan mendidik dan mengingatkannya (Dan sabarlah engkau), yakni jika ada orang Quraisy menggodamu untuk menjauhkan Sahabat-Sahabat yang faqir itu, dan berlebihan di dalam mengusir dan singkirkan mereka menjauh darimu, maka janganlah engkau menuruti mereka dan jangan kabulkan keinginan mereka.  Sebaliknya engkau bersabarlah dan kekanglah nafsumu yang cenderung kepada kekayaan dan kemewahan baju-baju mereka, bersama sahabat-sahabat faqir itu yang berzikir dan menyembah Allah pada setiap dua hujung siang hari dan waktu-waktu antara keduanya, mereka tumpukan diri kepada-Nya secara suka rela, tanpa keinginan menurut hawa nafsu dan kegemerlapan dunia meskipun sangat faqir dan papa.  Janganlah kamu mengalihkan perhatian kamu, disebabkan kumalnya keadaan mereka dan lusuhnya pakaian mereka—kepada orang-orang kaya dan baju mereka yang bagus kerana harapkan perhiasan dunia dengan beralih kepada mereka. Dan cerderung untuk bersama-sama mereka dan duduk berserta mereka.  Dan tenteram dengan pangkat dan kekayaan mereka. 

[Tafsir Jilani]


SIRI 512 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-61:

Penjilat - mudahanah (المداهنة)

....sambungan.....



Asbab An-Nuzul (Sebab turun ayat):


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

"Orang-orang musyrik berkata kepada Nabi  ﷺ, "Kami tidak sudi duduk dengan orang-orang seperti mereka, iaitu Sayyidina Salman Al-Farisi, Shuhaib, Bilal dan Khabab Ridhwanullah Alaihi Ajmain duduk berserta dengan Baginda ﷺ, maka mereka berkata :  “Usirlah mereka dari sisimu.”


Orang-orang musyrik itu menuntut Rasulullah ﷺ agar mencatat hal itu untuk mereka, sehingga Baginda ﷺ pun berniat untuk melakukan hal itu.  Baginda ﷺ kemudian memanggil Ali untuk mencatit.  Lalu orang-orang miskin tadi (sahabat Ahlus Suffah) berdiri dan duduk di suatu sudut.  Allah kemudian menurunkan ayat ini.  Oleh kerana itu Sa’d memberi isyarat dengan perkataannya : "Maka muncullah di hati Rasulullah ﷺ apa yang Allah Kehendaki untuk muncul." 


Pada waktu itu, Nabi ﷺ condong untuk melakukan hal itu kerana mengharapkan keislaman orang-orang musyrik itu, juga keislaman kaum mereka.  Baginda ﷺ berpendapat bahawa tindakan tersebut tidak sedikit pun akan menyisihkan para sahabat Baginda ﷺ dan juga tidak akan merendahkan darjat mereka, sehingga Baginda ﷺ pun condong kepada hal itu.  Allah kemudian menurunkan ayat ini.  Dalam ayat ini, Allah melarang Baginda ﷺ melakukan apa yang menjadi niat Baginda ﷺ, iaitu hendak menyisihkan mereka, bukan  mengusir mereka. 


Muslim meriwayatkan dari Sa'd bin Abi Waqas dia berkata, "Kami ber-enam pernah bersama Rasulullah ﷺ, maka datang orang-orang musyrik kemudian berkata kepada Baginda: “Usirlah mereka dari sisimu, agar mereka tidak berani terhadap kami."  Sa'd bin Abi Waqas berkata:  "Saat itu aku bersama dengan Ibnu Mas'ud, seorang lelaki Hudzail, Bilal dan dua orang (lainnya) yang aku tidak dapat menyebutkan nama mereka.  Maka muncullah di dalam hati Baginda ﷺ apa yang Allah Kehendaki untuk muncul, sehingga Baginda ﷺ berbicara kepada jiwa Baginda.  Allah Azza Wa Jalla kemudian menurunkan ayat ini.”

[Tamat Nukilan Tafsir Qurtubi]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

Ketika turun ayat Allah:   Al-Kahfi : Ayat 27,28,29, bangunlah Nabi ﷺ untuk mencari mereka (iaitu mereka yang Allah Ta’ala Perintah supaya berserta dengan orang-orang menyeru kepada Allah pagi-pagi dan petang-petang), hingga mendapati mereka di bahagian hujung Masjid hal keadaan mereka sedang berzikir kepada Allah, lalu Baginda ﷺ bersabda, “Segala Puji bagi Allah yang belum mematikanku hingga Memerintahkan kepadaku agar bersabar dengan orang-orang dari Ummatku, bersama-Mu di dalam kehidupan dan Bersama-Mu di dalam kematian.”


Menurut Imam Al-Hasan:  وَلَا تَعْدُ عَيْنٰكَ عَنْهُمْۚ  Jangan kedua matamu melampaui mereka (jangan abaikan mereka dan jangan meremehkan mereka) semata-mata kerana mencari keindahan dunia.  


Pendapat lain mengatakan :  Jangan mencela mereka (jangan menghina mereka disebabkan kemiskinan mereka atau kerana mereka hanya memakai pakaian lusuh).


Dari Adh-Dhahhaq, dari lbnu Abbas, Perintah Allah  “ وَلَا تُطِعْ مَنْ اَغْفَلْنَا قَلْبَهٗ عَنْ ذِكْرِنَا “ adalah larangan mengikuti permintaan Umayyah bin Khalaf Al-Jumahi.  Orang ini meminta kepada Nabi ﷺ agar Baginda jauhkan Sahabat Baginda yang miskin (Ahlus-Suffah) yang sentiasa bersama Baginda agar tokoh-tokoh Quraisy dapat mendekat kepada Baginda.  Golongan kafir Quraisy ini adalah فُرُطًا , iaitu melampau batas, lalai, fasiq dan zalim. 

[Tamat Nukilan Tafsir Qurtubi]


Pengajaran Penting:

Sebagaimana sudah dibicarakan sebelum ini, kedua-dua ayat ini melarang Ummat Islam mengorbankan prinsip pokok Agama demi harapkan tawaran orang kafir.  Prinsip pokok di sini adalah:  "Ahli Zikir yang mereka itu "Kekasih Allah" yang memenuhi bumi dengan Cahaya Keagungan Ilahi pada setiap waktu.


SIRI 513 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-61:

Penjilat - mudahanah (المداهنة)

....sambungan.....



Dalil 5: Firman Allah:

                             

وَلَوْلاَ أَن ثَبَّتْنَاكَ لَقَدْ كِدتَّ تَرْكَنُ إِلَيْهِمْ شَيْئاً قَلِيلاً  إِذاً لأذَقْنَاكَ ضِعْفَ ٱلْحَيَاةِ 

وَضِعْفَ ٱلْمَمَاتِ ثُمَّ لاَ تَجِدُ لَكَ عَلَيْنَا نَصِيراً


Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka.  Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seseorang penolong pun terhadap hukuman Kami.

[Al-Israa (17) : Ayat 74-75]


Dalil 6: Firman Allah:


وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ


“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).  Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya Petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”, dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu”.

[Al-Baqarah (2) : Ayat 20]


Dalil 7: Hadith Rasullullah ﷺ:


Dari Aisyah Radhiallahu anha, beliau mendengar Rasulullah ﷺ  bersabda:

“Barangsiapa yang mencari Keredhaan Allah sedangkan manusia tidak suka, maka Allah akan cukupkan dia dari beban manusia.  Barangsiapa mencari keredhaan manusia sedang Allah Murka, maka Allah akan biarkan dia bergantung pada manusia.”

[Imam At-Tirmizi]


SIRI 514 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-61:

Penjilat - mudahanah (المداهنة)

....sambungan.....



Contoh Penjilat - Pengampu

=====================


Contoh 1:

Seseorang Muslim yang bekerja di sesebuah syarikat milik orang bukan Islam duduk berkumpul dengan pekerja-pekerja lain yang minum arak dengan alasan toleransi beragama dan semangat pasukan.  Wal Iyazubillah.


Contoh 2:

Seorang calon pilihan raya yang Islam, hadir di perhimpunan keagamaan orang kafir untuk menarik undi penganut bukan Islam. 

[Catitan: Perhimpunan keagamaan bermaksud : perhimpunan memuja dewa-dewa atau upacara lain yang membesarkan Agama kafir]


Contoh 3:

Menteri Muslim turut serta di dalam acara tari menari lelaki-wanita dengan alasan toleransi Agama, dan konon supaya Islam tidak dipandang sebagai jumud.  Ini cuma satu contoh kecil.  Realiti yang berlaku pada zaman ini jauh lebih dahsyat. 


Contoh 4:

Seorang siswi yang Muslim melepaskan _jilbab_ (pakaian wanita muslimah yang wajib untuk menutup auratnya) kerana memudahkannya bergaul dengan teman-teman Universitinya atau dia berbuat demikian supaya tidak dianggap kolot, ketinggalan zaman dan sebagainya. 


Contoh 5:

Penguasa Muslim tunduk kepada tuntutan orang kafir yang meminta supaya hukum-hakam Islam dihapuskan atas alasan, mereka (orang kafir) menuduh undang-undang Islam keras dan zalim. 


Contoh 6:

Naib Canselor Univerisiti atau Guru Besar Sekolah tunduk kepada permintaan Guru-pensyarah bukan Islam yang mahukan percampuran bebas pelajar lelaki-perempuan di sekolah - universiti untuk majukan pelajar di dalam pencapaian akademik mereka. 


Contoh 7:

Ustaz-ustazah selebriti, Pendakwah selebriti tolak ansur dengan pendokong dan peminat-peminat mereka yang meminta mereka menyanyi dan menari di atas pentas sama seperti yang dilakukan oleh penyanyi dan pelakon-pelakon. 


Contoh 8:

Orang yang bergelar "Ulama" sewenang-wenang keluarkan fatwa yang menyalahi hukum semata-mata kerana mengambil hati pemerintah — mengampu pemerintah untuk kekal dengan jawatannya atau kerana ingin mencapai kedudukan yang lebih tinggi.  Hal ini benar-benar terjadi di kalangan Ummat Islam, iaitu sebaik sahaja kewafatan Sayyidina Ali Radhiallahu anhu.  Orang-orang jahil dilantik menjadi ulama, mufti dan qadhi yang memutuskan hukum menurut kehendak nafsu Pemerintah. 


Catitan Penting:

Ulama Pewaris Nabi yang Sebenar (Mursyid yang Siddiq) tidak  sama sekali menyokong kefasikan, kejahatan dan kezaliman para penguasa.  Mereka bukan pengampu.  Mereka bukan "Ulama" boneka yang tunduk kepada kezaliman dan kekufuran.  Sebaliknya mereka adalah Ulama Taqwa yang benar-benar takut kepada Allah. 


Untuk jauhkan sebarang bentuk pertentangan dengan pemerintah, para Ulama Pewaris Nabi yang benar  menjauhkan diri daripada semua bentuk politik keji, politik kufur, politik kotor yang merosak Agama. 


Imam Ja'afar Siddiq, Imam Sufyan Ath-Thawri, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi'e, Imam Ahmad ibn Hambal  menolak jawatan mutfi apabila dipanggil oleh khalifah.  Mereka sudah mengetahui sekiranya mereka menyertai pemerintah sebagai Ahli fatwa atau mufti atau qadhi, mereka akan dipaksa tunduk kepada kemahuan Pemerintah yang zalim dan fasiq.  Mereka akan dipaksa mengeluarkan hukum yang bertentangan dengan Kehendak Allah. 


Merekalah Ulama Billah, Mursyid, Ahli Ma'rifat yang sentiasa mendokong Agama Allah, zahir batin sepanjang zaman yang tetap atas Jalan Allah dan Rasul-Nya sampai Qiamat!


SIRI 515 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-61:

Penjilat - mudahanah (المداهنة)

....sambungan.....



Punca manusia menjadi penjilat

========================


Puncanya hampir sama seperti dosa-dosa besar HATI yang telah dijelaskan sebelum ini iaitu kejahilan serta empat macam afaat (halangan, cobaan, dugaan) — nafsu, syaitan, dunia dan makhluq.


Kejahilan boleh menjadi punca kebinasaan seseorang hamba Allah.  Seseorang yang tidak mengetahui dosa, halal haram, dosa hati dan dosa zahir... akan terjatuh ke dalam dosa-dosa besar tanpa disedari.


Seseorang yang tidak mempelajari Ilmu berkenaan hati daripada Mursyid yang benar-benar 'arif, akan mudah terjatuh kepada dosa-dosa besar bersifat hati, sebagaimana kami jelaskan sebelum ini beberapa kali ketika bincangkan dosa-dosa hati.  Oleh kerana ini sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah telah menetapkan bahawa menuntut Ilmu Tasawwuf dan amalkan Toriqat yang sahih adalah fardhu 'ain dan meninggalkannya merupakan dosa besar.  Ertinya jahil berkenaan persoalan hati, dosa-dosa hati, akibatnya dan kesan-kesan bahaya kepada Iman itu sendiri merupakan dosa besar. Fahamilah sungguh-sungguh apa yang kami katakan ini.  Moga Allah Ta'ala Kurniakan Petunjuk-Nya kepada sekalian hamba-hamba Allah yang benar-benar mencari-Nya.



Akibat menjadi penjilat

=================


Sebagaimana kami huraikan sebelum ini, bahawa setiap pengampu akan terjerumus kepada dosa-dosa besar yang lain. Ertinya beberapa dosa besar lain terkumpul padanya.


Akibat 1: Menjadi pendusta

Lazimnya seseorang penjilat, pengampu, pembodek akan  berdusta ketika dia sedang mengampu.  Orang ini akan memuji-muji sesuatu yang tidak wujud pada orang yang dia ampu. Ertinya dia berdusta.  Orang seperti ini akan selalu berdusta sehingga akhirnya "sifat dusta" akan melekat padanya.


Akibat 2: Memuji berlebihan

Sudah dimaklumi, sebagaimana huraian terdahulu, memuji berlebihan kepada seseorang merupakan dosa besar.  Pengampu akan memuji berlebihan untuk meyakinkan orang yang dia bodek. 


Akibat 3: Hilang Tawakkal pada Allah

Orang yang suka menjilat berharap dan bergantung hati kepada orang yang dia "jilat".  Maka hilanglah tawakkalnya kepada Allah. Bergantung hati kepada makhluq merupakan dosa besar. 


Akibat 4: Hilang Agama dalam diri dan hilang maruahnya

Sesungguhnya seorang "Penjilat" telah jatuhkan dirinya sendiri ke dalam kehinaan kerana sanggup merendahkan diri kepada penguasa semata-mata kerana dunia yang hina sedangkan Allah Ta'ala telah memuliakan manusia dengan Iman dan Islam.


Akibat 5: Bersifat munafiq

Orang yang suka menjilat tidak menyedari bahawa dia terjatuh ke dalam sifat-sifat munafiq kerana selalu berdusta dan khianat.


Akibat 6: Jual ayat Allah dengan harga murah

Pembodek yang bertindak seperti ini adalah "Ulama palsu", "Ulama dunia", "Ulama penjual Agama" yang mengeluarkan fatwa menurut selera nafsu pemerintah.  Mereka menerima La'nat Allah kerana mendustakan Agama.  Wal Iyazubillah..


Moga Allah Ta'ala jauhkan kita dari  "golongan Penjilat" atau pembantu mereka.


SIRI 516 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-61:

Penjilat - mudahanah (المداهنة)

....sambungan.....



Rawatan dan Penjagaan

=================


(1) Tuntut Ilmu Ahlus Sunnah yang benar

Seperti pesanan kami kepada semua, ini langkah pertama keselamatan, iaitu tuntut ilmu Ahlus Sunnah dan keluar dari kejahilan.  Ini kerana "kejahilan"  (tidak mengetahui fardhu ain, tidak mengetahui halal haram, tidak tahu hal yang di-Redhai Allah dan hal-hal yang di-Murkai-Nya) itu sendiri merupakan dosa besar. 


Sebahagian orang Islam tidak menyedari bahawa "menjilat" atau biasa dikenali sebagai "mengampu" adalah dosa besar. Moga dengan penjelasan ringkas ini orang Islam akan sentiasa waspada.


(2) Jauhkan diri dari golongan penjilat

Setiap orang Islam yang mahu benar-benar beriman, bukan sahaja wajib jauhkan diri dari perbuatan "menjilat" tetapi juga jauhkan diri dari subahat kepada Golongan "Penjilat" kerana subahat kepada kekufuran adalah kekufuran.  Wal Iyazubullah..


(3) Taubat sungguh-sungguh

Mereka yang pernah melakukan perbuatan "menjilat" sama ada mereka itu orang awam, orang pangkat rendah atau pangkat tinggi wajib Taubat dengan Taubat Nasuha, kerana dosa-dosanya bersangkut dengan sifat munafiq dan kekufuran.


(4) Ustaz selebriti, pendakwah selebriti wajib taubat

Ustaz-ustaz selebriti yang terpedaya dengan dunia jahiliyyah sehingga mereka melibatkan diri dengan acara-acara yang jelas bertentangan dengan hukum, wajib berhenti dan taubat segera. Dosa mereka menjadi berganda-ganda besar kerana mereka menjadi contoh kepada pengikut-pengikut mereka.


(5) Golongan Ulama fatwa dalam bahaya

Golongan Ulama wajib hati-hati. Jangan jadi seperti pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani yang menjual Ayat-Ayat Allah dengan harga yang murah.  Jangan menjadi "penjilat" kepada pemerintah.  Jangan gadaikan Iman kerana secebis dunia yang hina.


SIRI 517 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-62:

Asabiyyah

==============



Definisi Asabiyyah

Taassub

================


Dari segi bahasa:

Asabiyyah (  عصبيية ), diambil dari kata:

i. ( عصب يعصب عصبا) — saraf, melipat, mengikat, membungkus, membalut.    

ii. ( عُصْبَة ) — bersyarikat, sekutu, kumpulan, kelompok, pasukan, liga. 

iii. (تَعَصُّب ) — fanatik kelompok, pegangan melampau falsafah kelompok, semangat pasukan melampau batas, tiada toleransi.

 

Dari segi istilah:

Asabiyyah adalah bersatu dan berjuang atas dasar  perkauman, bangsa, kelompok dan BUKAN atas dasar Keimanan dan Ketaqwaan kepada Allah, serta melakukan berbagai kezaliman, penindasan, kerosakan terhadap kelompok atau golongan lain yang bertentangan dengan mereka. 



Penjelasan:

=========


(1) Allah Ta'ala menciptakan manusia sebaik-baik ciptaan dan Memerintahkan mereka mengenal Allah — Ma'rifat kepada Allah dan Ubudiyyah tulus ikhlas kepada-Nya. 

[Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 56]


(2) Allah Ta'ala mengisytiharkan bahawa manusia dijadikan daripada jiwa yang satu (Adam Alaihis Salam) dan memerintahkan mereka supaya bertaqwa kepada Allah.

[An-Nisaa (4) : Ayat 1]


(3) Allah Ta'ala Ciptakan manusia berbangsa-bangsa, suku, keturunan supaya saling mengenali antara satu sama lain. (ertinya bukan bertujuan bermusuh-musuhan atau saling merendahkan atau berperang antara satu dengan lain)

[Al-Hujurat (49) : Ayat 13]


(4) Allah Ta'ala Isytiharkan kepada manusia seluruhnya, bahawa manusia semuanya sama ; sama ada kamu Raja atau rakyat, sama ada kamu berpangkat tinggi atau tiada pangkat, sama ada kamu jutawan atau papa kedana, sama ada kamu kulit putih atau hitam, sama ada kamu tinggal di rumah mewah atau hidup di pondok buruk...  hal yang membezakan kamu di Sisi Allah, hanyalah TAQWA. 

[Al-Hujurat 49) : Ayat 13]


(5) Allah Ta'ala juga memerintahkan kepada orang beriman supaya tolong menolong di dalam melakukan kerja-kerja kebaikan, kebajikan dan Taqwa serta jauhi sama sekali tolong menolong pada perbuatan pencerobohan, permusuhan dan  kezaliman.

[Al-Maaidah (5) : Ayat 2]


(6) Beberapa penjelasan berkenaan:  

"Tolong menolong pada pekerjaan Kebajikan dan Taqwa"


Menurut pendirian Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang benar, setiap pekerjaan di dalam kehidupan yang asalnya bersifat harus, akan menjadi Ibadah, kebaikan dan kebajikan apabila memenuhi 2 syarat:


Syarat 1: Niat semata-mata kerana Allah

Syarat 2: Pelaksanaannya mematuhi Kehendak Allah dan Keredhaan-Nya. 


Maksud Mematuhi Kehendak Allah dan Keredhaan-Nya adalah:

Wajib mematuhi Prinsip, Syarat, Peraturan dan Adab yang Allah Ta'ala tetapkan — sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Masyaikh Ahlus Sunnah yang benar.


Maksudnya, sesuatu pekerjaan umum tidak akan menjadi ibadah hanya dengan niat ikhlas semata-mata tetapi  wajib disertai kepatuhan kepada Prinsip, syarat dan peraturan Agama — Ahlus Sunnah yang benar. 


Jika seseorang berniat ikhlas melakukan suatu pekerjaan tetapi perlaksanaannya melanggar prinsip, hukum, syarat dan adab yang Allah tetapkan, maka ia termasuk sia-sia atau boleh jadi haram dan berdosa apabila ternyata ia melanggar hukum syara'.


Setengah Ulama membuat syarat-syarat lain untuk sesuatu pekerjaan menjadi ibadah:

1. Niat ikhlas

2. Perlaksanaannya menurut pegangan Ahlus Sunnah

3. Pekerjaan tersebut diharuskan oleh Syara'

4. Hasilnya membawa manfaat kepada manusia

5. Tidak melanggar hukum asas Agama — tidak meninggalkan  Ibadah asas Agama yang telah ditetapkan.


Pada hakikatnya kedua-dua penjelasan ini sama sahaja. Perkara 3, 4, 5 sudah pun termasuk di dalam ungkapan "Menepati Kehendak Allah dan Keredhaan-Nya"


SIRI 518 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-62

Asabiyyah

..... sambungan.....



(7) Sebelum Rasululllah ﷺ diutus sebagai Rasul, masyarakat  Arab jahiliyyah hidup berpuak-puak yang bermusuhan, sering berperang dan berbunuh-bunuhan. Setiap kelompok merasakan kelompok mereka yang benar, kuat perkasa, sehingga tiada tolak ansur melainkan perang sahaja. Mereka 

dikuasai semangat perkauman dan qabilah yang amat tebal. 


(8) Rasulullah ﷺ hapuskan pegangan Arab jahiliyyah yang berjuang dasar perkauman serta kezaliman dan  menggantikannya dengan perjuangan "Jihad kerana Allah berdasarkan Iman dan Taqwa."  

Baginda menyeru sekalian manusia kepada Kalimah Allah yang satu, berjuang atas Kalimah yang satu, dan mati atas Kalimah yang satu...!  

Kalimah ....لا إله إلا الله


(9) Rasulullah ﷺ menegaskan bahwa orang-orang yang menyeru kepada asabiyyah, berjuang atas dasar asabiyyah, dan mati kerana asabiyyah sebagai "mati jahilyyah".   Kata-kata Rasul ﷺ ini merupakan peringatan tambahan bahawa perjuangan atas dasar asabiyyah perkauman, puak, suku, bangsa, daerah dsb benar-benar berlawanan dengan Tauhid Esakan Allah. 


(10) Seseorang Islam yang berjuang di bawah panji-panji asabiyyah (penyatuan atas dasar perkauman, permusuhan, kezaliman) maka dia telah jatuh kepada beberapa kesalahan besar:


Kesalahan 1: 

Menyalahi pengakuan sumpah janji-setia kepada Allah  bahawa dia hanya berjuang dan mati kerana Allah. Ini sifat munafiq. Wal Iyazubillah.


Kesalahan 2:

Menzalimi orang lain, merosak harta benda, membunuh nyawa... semua ini dosa besar. 


Kesalahan 3: 

Membangkitkan permusuhan, pergaduhan dan perpecahan, sedangkan ini jelas melawan Kehendak Allah.


Kesalahan 4:

Setiap amal ibadah yang niatnya selain Allah, maka amal itu tertolak, batil dan sesat.


Kesalahan 5:

Banyak Hadith Rasulullah ﷺ  menyebut tentang kebinasaan orang yang menyeru, berjuang dan mati kerana mempertahankan Asabiyyah sebagai mati jahiliyyah. 


(11) Pada zaman ini sebahagian masyarakat Islam masih berpegang kepada fahaman asabiyyah dan berjuang atas nama asabiyyah. Mereka sering meniupkan semangat perkauman dan kebencian terhadap golongan yang bukan dari kalangan mereka, Akibatnya membawa kepada perbuatan caci-maki, tuduh-menduduh, permusuhan dan perpecahan. 


 (12) Menolak Kekeliruan: 

Bertolong-tolongan sesama ahli keluarga atau berusaha sungguh-sungguh memajukan bangsa, kaumnya dan daerahnya.... atas dasar keimanan dan ketaqwaan tidak termasuk asabiyyah. Sebaliknya ia adalah ubudiyyah yang terpuji apabila menepati syarat-syaratnya. 


SIRI 519 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-62

Asabiyyah

..... sambungan.....


Dalil-Dalil

=========


Dalil 1: Firman Allah

[Manusia diciptakan untuk Kenal Allah (Ma'rifat)]


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ


“Dan tidaklah Aku ciptakan Jin dan Manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku” 

[Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 56]



Dalil 2: Firman Allah

[Sekalian manusia dari jiwa yang satu]


 يٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوباً وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوۤاْ


"Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan perempuan. Kemudian, Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal.

[Al-Hujurat (49) : Ayat 13]



Dalil 3: Firman Allah

[Kedudukan manusia menurut Taqwa dalam hatinya.  Bukan bangsa, warna kulit, suku, raja, pangkat, kedudukan, jutawan atau lain-lain duniawi]


اِنَّ اَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللّٰهِ اَتْقٰىكُمْۗ اِنَّ اللّٰهَ عَلِيْمٌ خَبِيْرٌ


“Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di Sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.”

[Al-Hujurat (49) : Ayat 13]



Dalil 4: Firman Allah

[Allah Perintah tolong - menolong dalam kebaikan dan Taqwa. Jangan tolong- menolong kepada kejahatan dan kefasikan]


ۘ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan Taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.  Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya."

[Al-Maaidah (5) : Ayat 2]



Dalil 5: Firman Allah

[Perintah wajib pegang teguh kepada Agama Allah dan larangan asabiyyah — pecah belah, bermusuhan, perang, berbunuh-bunuhan  seperti di zaman jahiliyyah]


وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللّٰهِ جَمِيْعًا وَّلَا تَفَرَّقُوْاۖ وَاذْكُرُوْا نِعْمَتَ اللّٰهِ عَلَيْكُمْ اِذْ كُنْتُمْ اَعْدَاۤءً فَاَلَّفَ بَيْنَ قُلُوْبِكُمْ فَاَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهٖٓ اِخْوَانًاۚ وَكُنْتُمْ عَلٰى شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَاَنْقَذَكُمْ مِّنْهَاۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللّٰهُ لَكُمْ اٰيٰتِهٖ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُوْنَ


"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).  Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya.”

[Aali-Imran (3) : Ayat 103]


SIRI 520 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar ke-62

Asabiyyah

..... sambungan.....



Dalil 6: Rasulullah ﷺ bersabda:


مَنْ قُتِلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَدْعُو عَصَبِيَّةً أَوْ يَنْصُرُ عَصَبِيَّةً فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ


“Barangsiapa mati terbunuh di bawah bendera ‘immiyyah ( رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ ) mengajak kepada ‘asabiyyah atau membantu ‘asabiyyah maka ia mati dalam jahiliyyah.” 

[Imam Muslim]



Dalil 7: Rasulullah ﷺ bersabda:


مَنْ خَرَجَ مِنْ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً وَمَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً فَقُتِلَ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ وَمَنْ خَرَجَ عَلَى أُمَّتِي يَضْرِبُ بَرَّهَا وَفَاجِرَهَا وَلَا يَتَحَاشَى مِنْ مُؤْمِنِهَا وَلَا يَفِي لِذِي عَهْدٍ عَهْدَهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ   


"Barangsiapa keluar dari ketaatan, dan memisahkan diri (faraq) dari Jama'ah (Saf Ummat Islam) kemudian dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah.  Dan barangsiapa mati di bawah bendera 'Immiyyah (bendera buta) kefanatikan, dia marah karena ‘asabiyyah, menyeru kepada 'asabiyyah atau menolong atas dasar 'asabiyyah kemudian dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah.  Dan barangsiapa keluar dari ummatku, kemudian menyerang orang-orang yang soleh maupun yang fajir tanpa memperdulikan orang mukmin, dan tidak pernah memenuhi janji yang telah dibuatnya, maka dia tidak termasuk dari golonganku dan saya tidak termasuk dari golongannya."

[Imam Muslim, Imam Ibnu Majah, Imam Ahmad]



Dalil 8: Rasulullah ﷺ bersabda:


لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ


“Bukan termasuk golongan kami orang yang mengajak kepada ‘asabiyyah, bukan termasuk golongan kami orang yang berperang kerana ‘asabiyah, dan bukan termasuk golongan kami orang yang mati kerana ‘asabiyyah.”

[Imam Abu Dawud]



Dalil 9: Rasulullah ﷺ bersabda:

 


يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُحِبَّ الرَّجُلُ قَوْمَهُ  ?    قَالَ : لَا وَلَكِنْ مِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُعِينَ الرَّجُلُ قَوْمَهُ عَلَى الظُّلْم


"Wahai Rasulullah! Apakah termasuk dalam `asabiyyah jika seseorang mencintai kaumnya? Jawab baginda: Tidak! Tetapi 'asabiyyah itu seseorang menolong kaumnya atas kezaliman."

[Imam Abu Dawud, Imam Ibnu Majah, Imam Ahmad]


Bersambung siri 521  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...