■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
SIRI 611 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
(4) Zahirnya perbuatan makhluq (af'al makhluq), haqiqatnya Perbuatan Allah (Af'al Allah)
Pada setiap kejadian pada alam ini, terdapat dua hal (keadaan):
1. Zahir kejadian, perbuatan, kelakuan
2. Haqiqat kejadian, perbuatan, kelakuan
Setiap penciptaan yang berlaku di alam ini adalah menurut Ilmu, Iradat (Kehendak) dan Qudrat (Kuasa) Allah Ta'ala Yang Maha Perkasa dengan Kalam Kun, iaitu ketika Allah Berhendak menjadikan sesuatu, Dia hanya berkata "Kun" (Jadilah), "fa yakun" (maka jadilah ia)
Tidak ada suatu zarrah pun bergerak atau diam melainkan dengan Allah. Zahirnya makhluq memperbuat sesuatu sedang pada haqiqatnya ia adalah Perbuatan Allah.
Firman Allah Ta'ala :
وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ رَمَىٰ
"dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allahlah yang melempar."
[Al Anfal (8) : Ayat 17]
Di antara adab terpenting menanggapi Af'al Allah dan af'al makhluq:
Pertama:
Ketika seseorang berada di dalam kebaikan, Keimanan, keta'atan, ubudiyyah. maka wajib atasnya mensyukuri NI'mat Allah yang tiada terhingga kepadanya. Sebaliknya jika dia berada di dalam kejahatan, maksiat, kemungkaran, kekufuran, maka kesalahannya adalah pada dirinya sendiri.
Kedua:
Ketika seseorang mencapai suatu kejayaan, wajib atasnya bersyukur kepada Allah sebanyak-banyaknya serta memandang bahawa sekalian kejayaan tersebut adalah Limpah Rahmat Allah ke atasnya. Jangan sesekali i'tiqad atau menganggap pencapaiannya itu sebagai hasil usahanya sendiri atau kerana kehebatan dan kebijaksanaannya. Jika dia berbuat demikian, maka dia telah syirik kepada Allah Ta'ala. Dari segi yang lain, ketika dia menghadapi kegagalan, kerugian, kemalangan dan sebagainya maka wajib dia mengakui kelemahan dan kekurangan dirinya. Jangan sesekali salahkan Allah Ta'la. (meskipun pada haqiqatnya semua hal tersebut adalah di dalam Genggaman Taqdir-Nya)
SIRI 612 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
(5) Perkataan dan Perbuatan wajib berdiri pada hukum syari'at sedang Hati berdiri pada Haqiqat
Di dalam menanggapi Af'al Allah (Perbuatan Allah) dan af'al makhluq (perbuatan makhluq) setiap orang beriman wajib menetapkan pada dirinya dua hal terpenting:
Pertama: Perkataan dan perbuatan berdiri pada Hukum Syari'at.
Menghukum setiap perlakuan, kejadian, perbuatan manusia menurut undang-undang Syari'at yang Allah Ta'ala tetapkan.
Kedua: Hati berdiri dan memandang haqiqat.
Hati melihat setiap kejadian, perlakuan, perbuatan makhluq seluruhnya adalah pada hakikatnya Perbuatan Allah.
Ertinya tidaklah sesuatu pun terjadi di alam ini melainkan di sebalik setiap kejadian tersebut adalah Af'al Allah. Ketika memandang sesuatu kejadian, wajib bagi setiap orang beriman menghukum menurut Syari'at (hukum dan undang-undang Allah). Dan pada masa yang sama hati wajib berdiri pada haqiqat, iaitu memandang dalam hati bahawa semua yang terjadi adalah di dalam Qadha dan Qadar-Nya yang azali. Tiada suatu pun terkeluar dari Taqdir Allah Yang Azali. Makhluq tiada kuasa apa-apa pada hakikatnya.... termasuk iblis dan syaitan juga tiada kuasa menentukan sesuatu melainkan apa yang ditaqdirkan oleh Allah. Dengan satu penjagaan penting:
DILARANG KERAS (HARAM) melafazkan hal haqiqat dengan perkataan (ucapan lidah) adalah perbuatan orang zindiq.
Contoh:
Orang yang mencuri, menyamun, merompak di hukum potong tangan apabila memenuhi syaratnya. (Ini syari'at). Hati melihat Taqdir Allah yang terjadi pada perompak, pencuri atau penyamun (Ini haqiqat). Haqiqat ini adalah perdirian hati. Maka haram berkata: Si fulan mencuri kerana Allah Taqdirkan dia mencuri. Ini haram, berdosa besar serta menjerumuskan kepada sifat zindiq.
Contoh lain:
Apabila seseorang pembunuh ditanya :
Mengapa engkau membunuh si fulan, dia menjawab: "Allah Taqdirkan aku membunuhnya". Ini perkataan orang zindiq.
Contoh lain:
Ketika seorang yang bergelumang di dalam memakan hasil yang haram termasuk makan riba, rasuah dll. Dia menjawab: "ini semua Taqdir Allah atasku, aku tak bersalah." Ini perkataan orang zindiq.
Seseorang yang enggan mengakui kesalahannya dan berdalih kepada "haqiqat" Ketentuan Allah adalah perangainya seperti Iblis yang enggan mengakui dosa keengkarannya kepada Allah, sebaliknya dia berdalih kepada Taqdir. Maka binasalah dia. Wal Iyazubillah.
Firman Allah :
قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٲطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ثُمَّ لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِينَ
"Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. "
[Al-A'raf (7) : Ayat 16 -17]
Iblis enggan mengakui dosa kekufuran dia terhadap Allah sebaliknya dia salahkan Taqdir. Akibatnya dia menjadi makhluq terlaknat sampai Qiamat. Wal Iyazubillah.
SIRI 613 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
(6) Menyandarkan keberhasilan amal kepada keupayaan diri adalah Syirik
Setiap orang Islam diperintah mencari jalan-jalan kebaikan dan berusaha sungguh-sungguh mencapai Keredhaan Allah, namun kamu dilarang bergantung hati kepada keberhasilannya, sama ada ianya berupa kebaikan-kebaikan di dalam Ibadah maupun kebaikan di dalam muamalah (urusan harian) bersifat duniawi yang membawa kepada Akhirat.
Dengan perkataan lain, menyandarkan keberhasilan, kejayaan, kebijaksanaan, kemenangan dll sepertinya kepada keupayaan atau kemampuan diri adalah dilarang keras kerana ia merupakan syirik kepada Allah. Dan ini dinamakan Syirik khafi (Syirik tersembunyi). Dari satu sudut pandangan Syirik Khafi lebih bahaya dari Syirik Jali (Syirik terang-terangan) kerana ia tidak kelihatan kerana tersembunyi di dalam hati. Kebanyakan orang menganggap ianya tiada apa-apa sedangkan syirik khafi boleh batalkan amal ibadah dan merosakkan Iman seseorang.
Beberapa contoh:
1. Seseorang yang dapat melakukan ibadah yang banyak lalu merasakan dirinya yang memperbuat amal tanpa menyandarkan keberhasilan ibadah kepada Allah adalah melakukan syirik khafi.
2. Seorang doktor yang berjaya mengubati pesakit berkata di dalam hatinya bahawa pesakit tersebut sembuh disebabkan kehebatan usaha ikhtiarnya serta kepakarannya. Ini Syirik.
3. Seorang usahawan yang menjadi kaya-raya mengaku bahawa kekayaan tersebut adalah dari usahanya yang gigih atau kerana kepakarannya di dalam dunia perniagaan.
4. Seorang pemimpin negara merasakan dirinya hebat kerana berjaya membawa kemakmuran kepada negara.
Beberapa contoh ini dll sepertinya adalah Syirik yang batalkan amal ibadah seseorang.
Menurut amaran Rasulullah ﷺ, dosa Syirik khafi (Syirik tersembunyi dalam hati) adalah umpama semut hitam yang merayap di atas batu yang hitam di malam yang kelam. Pemiliknya tidak sedar dia sedang melakukan dosa besar yang boleh batalkan amalnya sedang dia tidak menyedarinya.
Firman Allah:
الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الأرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ فَلا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَنْدَادًا وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
“Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui.”
[Al Baqarah (2) : Ayat 22]
Tafsiran Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:
”Yang dimaksud membuat sekutu-sekutu bagi Allah adalah berbuat syirik. Syirik (dalam hati) adalah suatu perbuatan dosa yang lebih sulit (sangat samar) untuk dikenali daripada jejak semut yang merayap di atas batu hitam di tengah kegelapan malam.”
[Tafsir Ibnu Abbas]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Syirik yang dilakukan ummatku lebih tersembunyi daripada semut halus yang merayap di atas batu yang besar."
[Imam Al Hakim]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Sesungguhnya yang paling aku khuatirkan atas kamu sekalian adalah syirik kecil (syirik khafi), riya'. Pada hari Qiamat, ketika memberi balasan manusia atas perbuatannya, Allah berfirman, "Pergilah kalian kepada orang-orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia. Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?"
[Imam Ahmad]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Aku sangat takut syirik pada Ummatku. Walaupun mereka tidak menyembah berhala, matahari, bulan dan batu. Akan tetapi memperlihatkan kepada orang dengan amal mereka.”
[Imam Ibnu Majah, Imam Al-Hakim]
Isyarat Hadith2 tersebut adalah syirik khafi ( tersembunyi ) yang menerbitkan dosa besar, batalkan amal dan merosak Iman seseorang.
SIRI 614 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
(7) Doa dan usaha ikhtiar (perbuatan manusia) tidak berkuasa mengubah Taqdir
Sebahagian daripada kekeliruan besar berhubung dengan doa, usaha ikhtiar dan Taqdir adalah: Mereka I'tiqad mereka mampu mengubah Taqdir dengan doa dan usaha ikhtiar.
Ini keyakinan yang sangat bahaya kepada Tauhid seseorang. Bukanlah sebuah doa atau usaha ikhtiar manusia mengubah Taqdir yang Allah tetapkan tetapi yang benar adalah:
Doa dan usaha ikhtiar manusia itu pun merupakan Taqdir dari Allah Ta'ala. Dia yang Kurniakan doa dan menggerakkan usaha ikhtiar seseorang sehingga keadaan asalnya berubah. Bukanlah doa dan usaha ikhtiar seseorang berkuasa mengubah Taqdir.
Jika seseorang i'tiqad bahawa doa dan usaha dia berjaya mengubah Taqdir, ini membawa maksud orang itu beri'tiqad Allah Ta'ala lemah kerana terpaksa mengikut kemahuannya. Maka jadilah Allah itu bersifat lemah kerana Dia boleh digagahi.... Wal Iyazubillah. Maha Suci Allah daripada digagahi oleh sesuatu. Sebaliknya Dia (Allah) Yang Maha Gagah dan Berkuasa di atas segala sesuatu
Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu Anh berkata:
"Apabila Allah Ta'ala Mengkabulkan apa yang diminta hamba-Nya, dan Mengkabulkan permintaannya, maka Iradah-Nya tidak akan terkoyak, tidak pula akan membuat kering catatan, akan tetapi permohonan itu sesuai dengan kehendak Tuhan pada waktunya. Sehingga sesuai itu menghasilkan pengabulan dan memenuhi kemahuannya pada waktu yang ditentukan-Nya, untuk menyampaikan Taqdir itu pada waktunya. Seperti yang dikatakan _Alim Billah_ (Ahli Ma'rifat) mengenai Firman Allah: كُلَّ يَوۡمٍ هُوَ فِى شَأۡنٍ۬ — Setiap waktu Dia di dalam kesibukan" [Ar-Rahman (55) : Ayat 29] iaitu mengiring Taqdir sampai waktunya.
Allah Ta'ala tidak memberi sesuatu kepada siapa pun di dunia ini kerana doanya. Begitu juga Allah tidak memalingkan kejelekan dari sesiapa pun semata-mata kerana doanya.
Adapun apa yang diriwayatkan di dalam Hadith Nabi, "Tidak ada yang dapat menolak qadha kecuali doa." [Imam Tirmizi] adalah dikatakan yang dimaksud dengan Hadith ini : "Tidak ada yang dapat menolak qadha kecuali doa yang telah ditetapkan (pada Taqdir Azali) dapat menolak qadha." [Ertinya doa yang menolak qadha tersebut telah pun ditetapkan oleh Allah di dalam Taqdir Azali, bukanlah sebab doa seseorang itu - pent]
[Tamat Nukilan kitab Futuhul-Ghaib]
SIRI 615 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
(8) Masuk Syurga dengan Rahmat Allah, bukan kerana amal kamu
Setiap Mukmin masuk Syurga dengan Rahmat Allah dan Limpah Kurnia-Nya yang Maha Luas, bukan kerana amal ibadahnya.
Sebelum ini kami sebut secara ringkas, di antara tanda orang beriman adalah sungguh-sungguh mengerjakan ibadah dan amal soleh tetapi jangan sesekali bergantung hati kepada amal ibadah; ertinya jangan sesekali kamu merasakan diri kamu mempunyai keupayaan melakukan sesuatu amal kebaikan, ibadah, amal soleh kerana ia termasuk Syirik di dalam ibadah.
Sebaliknya hendaklah kamu mengembalikan sekalian ibadah, kebaikan, amal soleh yang kamu kerjakan kepada Allah. Hendaklah kamu melihat bahawa setiap amal kebaikan dan ibadah yang kamu kerjakan adalah atas Rahmat Allah. Bukan kerana kekuatan yang ada pada kamu, bukan kerana kebijaksanaan kamu, bukan kerana ilmu kamu yang banyak.
Demikian lagi kamu masuk Syurga juga dengan Rahmat Allah, bukan kerana ibadah kamu yang banyak atau cemerlang.
Bagaimanakah penjelasannya?
Apabila kamu memahami bahawa tiada suatu zarrah pun bergerak atau diam melainkan dengan Allah, dan kamu memahami tiada daya upaya sedikit pun untuk kamu melakukan apa jua kebaikan, ibadah dan amal soleh melainkan dengan Kurnia Allah Yang Maha Pengasih, maka kamu akan faham bahawa tiada daya upaya masuk Syurga melainkan dengan Rahmat Allah.
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Tidaklah dimasukkan seseorang daripada kamu ke dalam Syurga kerana amalannya. Dan tidak dijauhkan daripada neraka (kerana amalannya). Dan tidak juga aku. Kecuali dengan Rahmat daripada Allah.
[Imam Muslim, Imam Ahmad]
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu Anhu:
"Seseorang tidak akan masuk Syurga di Akhirat dengan amalnya, tetapi dengan Rahmat Allah. Namun Allah memberikan darjat kepada hamba-Nya di Syurga berdasarkan amal perbuatan mereka (darjat Keimanan — pent). Itu semua kerana Allah Ta'ala tidak dituntut hak oleh siapa pun, tiada yang dapat mengharuskan-Nya menunaikan janji-Nya, akan tetapi Dia melakukan apa yang di-Kehendaki-Nya, menyiksa, mengampuni, memberikan Ni'mat, menyayangi siapa pun yang di-Kehendaki-Nya. Tidak ada yang berhak meminta Allah bertanggungjawab atas apa yang di-Perbuat-Nya, tetapi manusia diminta dan disoal akan pertanggungjawabannya.
Dia memberi rezeki tanpa batas dengan Rahmat-Nya dan menolak siapa pun yang di-Kehendaki-Nya. [Tiada siapa pun layak menyoal perbuatan Allah ini - pent] Bagaimana tidak demikian, sementara makhluq, langit dan bumi dari Arsy yang tinggi hingga tanah yang rendah, Dia yang Menciptakan dan Memilikinya. Tidak ada pemilik dan pencipta lain kecuali Dia Yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia.
[Futuhul Ghaib]
SIRI 616 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
(9) Jangan terlalu mendalam memikirkan Taqdir kerana ia menjerumus kepada zindiq
Sebagaimana kami sebut awal-awal lagi, sesungguhnya ramai sekali golongan ilmuan, cerdik pandai agama, orang "alim" tergelincir menjadi fasiq atau zindiq atau sesat akibat pendirian yang batil berhubung dengan Taqdir Allah. Mereka berbahas tentang Ketuhanan dengan aqal pemikiran sempit sehingga akhirnya binasa. Wal Iyazubillah.
Menurut nasihat sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah, setiap orang Islam hanya di-Perintah beriman sungguh-sungguh dengan Taqdir dan mematuhi setiap Perintah Allah. Mereka dilarang keras terlalu banyak bertanya atau berfikir berkenaan Taqdir ketentuan Allah kerana aqal manusia betapa hebat sekalipun tak mampu mendalaminya rahsia-rahsia Ketuhanan yang sangat halus di dalam simpulan Taqdir.
Dengan mematuhi sekalian nasihat Masyaikh Ahlus Sunnah, maka mudah-mudahan selamatlah mereka dunia Akhirat.
Sebaliknya apabila seseorang cuba mendalami hal ehwal Taqdir menggunakan aqal pemikiran atau perbahasan golongan kafir maka dia akan tergelincir kepada Golongan Zindiq. Wal Iyazubillah.
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Maka yang wajib bagi semua orang beriman adalah berpegang bahawa amal yang baik adalah atas Taufiq Allah dan amal yang buruk (jahat, keji, kufur) adalah dari dirinya, sehingga dia masuk ke dalam Firman Allah:
وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوۤاْ أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسْتَغْفَرُواْ لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلاَّ ٱللَّهُ
"Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah."
[Aali Imran (3) : Ayat 135]
Apabila seorang hamba menganggap bahawa maksiat adalah dari dirinya, maka dia termasuk orang yang beruntung dan selamat, daripada dia menganggap dosanya adalah dari Allah, meskipun pada hakikatnya sememangnya Allah penciptanya.
[Sirrul Asrar]
Berkata Al-Imam lagi:
"Perbahasan di bidang ini (Rahsia Taqdir) yang kalau manusia memaksakan pembahasannya, dia akan terpeleset menjadi Zindiq. Ketika Iblis ditanya: Mengapa engkau tidak mahu menghormati Adam (ketika Allah Perintah dia sujud hormat kepada Nabi Adam), dia menjawab : "Ini Taqdir-Mu Ya Allah". Dengan ucapan itu dia menjadi kafir dan diusir dari Syurga."
[Sirrul Asrar]
SIRI 617 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
Contoh 5: Mentafsir semua "perkara baru" sebagai bid'ah sesat
Setengah dari kejahilan Golongan Wahhabiyyah (Khawarij) yang membawa kepada kecelakaan adalah: mentafsirkan ungkapan "bid'ah" sebagai "sesat" dan "kafir" secara umum, ertinya menurut I'tiqad Wahhabiyyah semua jenis bid'ah adalah haram, syirik, sesat dan kafir. Wal Iyazubillah.
Akibatnya mereka (wahhabiyyah) menuduh Ahlus Sunnah sebagai pembuat bid'ah sesat dan musyrik! Bahkan Wahhabiyyah tak segan silu melemparkan ucapan "kekafiran" terhadap Masyaikh (Ulama) Ahlus Sunnah dan sekalian pendokong-pendokongnya. Wal Iyazubillah
(1) Menuduh Sambutan Maulid Nabi sebagai sesat.
(2) Menuduh Ziarah Maqam Nabi atau Auliya Allah sebagai sesat.
(3) Menuduh orang yang mengambil barakah dari Maqam Auliya Allah sebagai "penyembah kubur" atau "penyembah berhala".
(4) Menuduh Toriqat yang warid (datang) dari Rasulullah ﷺ sebagai sesat.
(5) Menuduh Zikir Jihar (kuat suara) sebagai sesat.
(6) Menuduh Zikir "Allah Allah" di dalam hati sebagai sesat.
(7) Menuduh Auliya Allah bertemu Rasulullah ﷺ sebagai sesat.
(8) Menuduh tawassul sebagai haram dan sesat.
(9) Menuduh Majlis Tahlil sebagai sesat.
(10) Menuduh mazhab-mazhab Fiqh sebagai bid'ah sesat.
Ini hanyalah sebahagian daripada perbuatan biadab Wahhabiyyah (Khawarij) terhadap Ulama Ahlus Sunnah dan ummat Islam seluruhnya. Dengan pegangan mereka yang batil dan sesat itu, Golongan Wahhabbiyyah telah melakukan sejumlah besar dosa besar, kefasikan dan kebiadaban terhadap Allah, Rasul dan Auliya Allah.
Siapakah sebenar golongan wahhabiyyah ini? Siapakah pemimpin Wahhabiyyah (khawarij)?
Mereka adalah kaum yang muda, mentah, jahil, bodoh, aqal masih cetek dan lemah namun mereka berlagak bagaikan Ulama Mujtahid, menaburkan fatwa sesuka nafsu, sewenang-wenang menuduh sesat, musyrik, terhadap Ummat.
Berhubung dengan perangai Wahhabiyyah ini Baginda Rasul ﷺ telah memberi amaran akan datangnya puak-puak seperti ini (wahhabiyyah, Khawarij, Najdiyyah) setelah kewafatan Baginda — Mereka mengaku Islam, fasih bicara bab Agama, fasih membaca Al-Qur'an tetapi bacaan mereka hanya di lisan tak masuk ke hati. Mereka keluar dari Agama sedang mereka hidup dalam sangkaan (perasan, seronok sendri) bahawa diri mereka lebih baik dari orang lain)
SIRI 618 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Akan keluar di akhir zaman suatu kaum yang usia mereka masih muda, dan bodoh, mereka mengatakan sebaik‑baiknya perkataan manusia, membaca Al-Qur’an tidak sampai kecuali pada kerongkongan mereka. Mereka keluar dari Deen (Islam) sebagaimana anak panah keluar dan busurnya.”
[Imam Bukhari dan Imam Muslim]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Di akhir zaman akan muncul kaum yang muda usia dan lemah akal. Mereka berbicara dengan pembicaraan yang seolah-olah berasal dari manusia yang terbaik. Mereka membaca Al-Quran, tetapi tidak melampaui tenggorokan mereka. Mereka keluar dari agama, secepat anak panah meluncur dari busur. Apabila kalian bertemu dengan mereka, maka bunuhlah mereka, karena membunuh mereka berpahala di sisi Allah pada hari Qiamat.
[Imam Muslim]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Suatu kaum dari umatku akan keluar membaca Al-Qur’an, mereka mengira bacaan Al-Qur’an itu menolong dirinya padahal justru membahayakan dirinya. Solat mereka tidak sampai kecuali pada kerongkongan mereka.”
[Imam Muslim]
Mereka mengerjakan solat bahkan mereka mengaku solat mereka lebih hebat daripada orang Islam lain, mereka merasakan ibadah mereka lebih hebat dari orang lain, mulut mereka cakap fasih membaca ayat Al-Qur'an tetapi perangai mereka seperti Syaitan — takabbur, membesarkan diri. Mereka sewenang-wenang menuduh orang beriman sebagai "kafir" dan "musyrik".
Mereka hunuskan pedang mereka terhadap orang beriman lalu membunuh mereka. Mereka keluar dari Agama (murtad). Wal Iyazubillah. Mereka keluar dari Agama (murtad). Wal Iyazubillah.
Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ رَجُلٌ قَرَأَ الْقُرْآنَ حَتَّى إِذَا رُئِيَتْ بَهْجَتُهُ عَلَيْهِ، وَكَانَ رِدْئًا لِلْإِسْلَامِ، انْسَلَخَ مِنْهُ وَنَبَذَهُ وَرَاءَ ظَهْرِهِ، وَسَعَى عَلَى جَارِهِ بِالسَّيْفِ، وَرَمَاهُ بِالشِّرْكِ»، قَالَ: قُلْتُ: يَا نَبِيَّ اللَّهِ، أَيُّهُمَا أَوْلَى بِالشِّرْكِ، الْمَرْمِيُّ أَمِ الرَّامِي؟ قَالَ: «بَلِ الرَّامِي»
“Sesungguhnya yang paling aku khawatirkan atas kamu adalah seseorang yang telah membaca (menghafal) Al-Qur’an, sehingga ketika telah tampak kebagusannya terhadap Al-Qur’an dan dia menjadi pembela Islam, dia terlepas dari Al-Qur’an, membuangnya di belakang punggungnya, dan menyerang tetangganya dengan pedang dan menuduhnya musyrik”. Aku (Hudzaifah) bertanya, “Wahai Nabi Allah, siapakah yang lebih patut disebut musyrik, penuduh atau yang dituduh?” Baginda: menjawab, “Penuduhnya”.
[Imam Bukhari, Imam Ibnu Hibban]
Catitan Penting:
Sesungguhnya perbahasan berkenaan istilah "bid'ah", pengertian sebenar menurut Ahlus Sunnah, hujjah-hujjah ilmiah dari sudut nahwu, saraf, qawaid fiqh, sangat luas perbahasannya oleh sekalian Mujtahid, Namun, In shaa Allah dengan Kurnia Ilahi, kami akan cuba ringkaskan sekira-kiranya dapat difahami pada peringkat muqallid.
SIRI 619 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
Cabang: Penjelasan Khas: Bab Bid'ah
Moga Allah Ta'ala Mempermudahkan kami untuk memberikan penjelasan "bab Bid'ah" ini kepada seluruh Ummat berdasarkan Pimpinan Allah, Rasul dan Ulama Ahlus Sunnah terpercaya, agar mereka yang tersalah jalan keluar dari kekeliruan yang mengheret kepada kesesatan, Wal Iyazubillah.
Jika dipelajari secara ilmiah berdasarkan kaeadah-kaedah yang telah ditetapkan Ulama besar Ahlus Sunnah, hal Bid'ah sangat mudah difahami, terang-benderang penjelasannya sehingga orang awam yang mubtadi (pelajar permulaan) pun mampu mencernakannya di dalam pemikiran dan jazamkannya di dalam hati, tanpa perdebatan yang sia-sia.
Secara tegas jika kamu orang yang benar-benar beriman, kamu akan mematuhi segala Fatwa Ulama Mu'tabar yang telah lama memberi fatwa berkenaan "bid'ah" ; mulai dari Fatwa Imam Syafi'e kemudian dijelaskan lagi oleh Imam-Imam Ahlus Sunnah kemudiannya dan di antaranya Imam Izzuddin Abdus Salam, Imam Nawawi dan mutakhir Imam Ibn Hajar Haythami Ridhwanullah Alayhi ajma'in.
Tetapi Iblis takkan duduk diam. Ada saja jalan-jalan penyimpangan dibuat oleh Iblis untuk menarik manusia kepada kesesatan. Dia (Iblis) membisikan tafsiran-tafsiran sesat kepada "Ulama Palsu" sehingga mereka mengeluarkan fatwa-fatwa sesat. Akibat dari fatwa-fatwa sesat yang ditaburkan oleh Iblis dan kuncu-kuncunya daripada ulama sesat, maka timbul perbalahan sesama orang Islam yang jahil. Perbalahan berkenaan pengertian "Bid'ah" dan penggunaannya di dalam Agama berpanjangan sejak dahulu sampai sekarang.
Disebabkan kekeliruan demi kekeliruan yang dibangkitkan oleh fatwa-fatwa sesat "Ulama Palsu", maka Ulama Ahlus Sunnah yang benar bangkit menjelaskan semula agar Ummat terhindar dari kesesatan.
Definisi Bid'ah:
Dari segi bahasa:
Perkataan bid'ah ( بِدْعَةٌ ) berasal dari kata bada'a (بَدَعَ) yang membawa maksud : ciptaan, penemuan, inovasi, membuat suatu yang baru, sesuatu yang menjadi permulaan.
Dari segi istilah:
Menurut Fatwa Imam Syafi'e Radhiallahu Anhu, Bid'ah terbahagi kepada dua:
Pertama : Bid'ah Hasanah — Perkara baru yang terpuji kerana sifatnya menepati Al-Qur'an, Sunnah Nabi dan Ijma Qias Ulama Mu'tabarah
Kedua : Bid'ah dholalah — Perkara baru yang sesat atau tercela kerana sifatnya bertentangan dengan Al-Qur'an, Sunnah Nabi dan Ijma Qias Ulama Mu'tabarah.
Imam Izzuddin Abdus-Salam Radhiallahu anhu menjelaskan lagi perkara Bid'ah kepada 5 macam hukum:
1. Wajib
2. Sunnat
3. Haram
4. Makruh
5. Harus
SIRI 620 :
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
Penjelasan
(1) Imam-Imam Besar Ahlus Sunnah sudah lama mengeluarkan Fatwa berkenaan " Bid'ah". Mereka telah menjelaskan pengertiannya, pembahagiannya serta contoh-contohnya sehingga tiada sebab bagi orang jahil bergelar "Ulama", "mufti" "kiyai" membuat fatwa-fatwa baru.
(2) Imam Syafi'e membahagikan pengertian Bid'ah kepada dua:
Pertama : Bid'ah Hasanah — Perkara baru yang terpuji kerana sifatnya menepati Al-Qur'an, Sunnah Nabi dan Ijma Qias Ulama Mu'tabarah
Kedua : Bid'ah dholalah — Perkara baru yang sesat atau tercela kerana sifatnya bertentangan dengan Al-Qur'an, Sunnah Nabi dan Ijma Qias Ulama Mu'tabarah.
(3) Imam Izzuddin Abdus-Salam pula berikan fatwa bahawa wujud 5 macam Hukum terhadap Bid'ah;
1. Wajib
2. Sunnat
3. Haram
4. Makruh
5. Harus
(4) Ulama Ahlus Sunnah yang Mu'tabar sepakat berkenaan Tafsiran Imam Syafi'e kepada Bid'ah Hasanah dan Bid'ah Dholalah serta pembahagian hukumnya kepada 5 perkara oleh Imam Izzuddin Abdus-Salam.
(5) Pendokong Ahlus Sunnah sudah lama memahami hakikat ini dan berpegang kepadanya.
(6) Orang-orang beriman mudah sahaja menerima pembahagian "bid'ah" yang dilakukan oleh Ulama Ahlus Sunnah yang Mu'tabar. Ringkasnya bukan semua perkara bid'ah itu haram tetapi yang haram dan bid'ah sesat adalah perkara baru yang bertentangan dengan Al-Qur'an, Sunnah Rasul serta Ijma Qias Ulama Mu'tabarah. Dan orang yang benar-benar layak membuat fatwa perkara baru sebagai bid'ah wajib, bid'ah sunnat, bid'ah haram, bid'ah makruh, bid'ah harus... hanyalah haq Ulama Ahlus Sunnah yang bertaraf Mujtahid yang benar-benar menepati syaratnya.
(7) Adapun Profesor, Kiyai, Ustaz atau lain-lainnya yang tiada kelayakan sebagai pewaris Nabi yang sah serta tiada kelayakan sebagai Mujtahid, haram bagi mereka, berdosa besar, kufur dan sesat mengeluarkan fatwa. (Bab ini telah disentuh pada awal tajuk).
Bersambung siri 621 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=======================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment