Tuesday, June 30, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 9

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 9:

SISTEM TARBIYYAH dan TAZKIYYAH MURSYID



9.3 Matlamat Pendidikan Mursyid



 

Matlamat Pendidikan Mursyid tiada lain melainkan mencapai Matlamat manusia di-Ciptakan oleh Allah, iaitu Ma’rifat dan Ubudiyyah, menjadi hamba Allah yang benar-benar Bertaqwa, di-Redhai dan di-Kasihi Allah.

 

Allah Ta’ala menciptakan manusia untuk Mengenal Allah dengan Pengenalan yang sempurna menurut tuntutan-Nya.  Pengertian “Mengenal Allah dengan Pengenalan yang sempurna” disebut sebagai Tauhid yang hakiki, Keimanan Sejati atau Ma’rifat dan Ubudiyyah yang suci murni.  Ketiga-tiga pengertian ini mendokong maksud yang sama tetapi dibincangkan oleh Ulama di dalam bentuk berbeza-beza menurut pendekatan Ilmiyyah.

 

Matlamat ini yang tertulis dengan tinta emas di dalam Kitabullah, sebagaimana Kalam-Nya Yang Maha Tinggi:

 

Firman Allah:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

“Dan tidaklah Aku ciptakan Jin dan Manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku.”

[Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 56]

 

 Kata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

"Yang dikehendaki dengan Kalam Allah   يَعْبُدُونِ  "   (Ya'budun)  pada ayat di atas adalah sebenarnya   " يعرفون "  (ya'rifun)  iaitu Mengenal Allah (di dalam Pengertian mendalam disebut Ma'rifat).  

[Tafsir Ibnu Abbas]

 

Sekalian Ulama Arif Billah sepakat dengan “pentafsiran” dan “penta’wilan” Ibnu Abbas behubung ini ayat ini.  Dengan demikian maksud Perintah Allah di atas adalah:

 

"Tidaklah Allah Ta'ala ciptakan jinn dan manusia melainkan untuk Mengenal Allah dengan sebenarnya dari dalam hati dan ruhnya, dan melakukan Ubudiyyah — ketaatan kepada Allah dan beribadah kepada-Nya dengan tulus Ikhlas (Tauhid hakiki, Iman Sejati, Ma’rifat dan Ubudiyyah yang suci murni).”

 

Terkait dengan Perintah Allah ini, terdapat dua perkara yang menjadi kekeliruan Ummat Islam sehingga sebahagian daripada mereka ghurur (tertipu) dan sebahagian lagi menjadi fasiq (berdosa besar) dan sebahagian lagi jatuh kepada Firqah-firqah sesat.  Wal Iyazubillah.

 

Kekeliruan Pertama :  Pengertian Tauhid itu sendiri.

Menurut pendirian Ahlus Sunnah, orang beriman terbahagi kepada beberapa tingkatan.  Sebahagiannya beriman berdasarkan pemikiran aqal, iaitu berdasarkan dalil dan bukti yang mampu difahami aqal.  Ini adalah tingkatan Iman orang awam.

Tauhid “orang awam” ini tidak tetap, sebaliknya terumbang-ambing di antara keimanan dan kesyirikan (syirik khafi).  Mereka amat sukar untuk memperoleh khusyu’ di dalam solat.  Mereka tak mampu untuk mencapai “Ikhlas” di dalam erti kata yang sebenar.  Mereka sentiasa bergelumang di dalam ‘ujub, riya’, sum’ah, takabbur dan lain-lain.  Kebanyakan orang Islam berada pada tingkatan ini.

 

Sebahagian hamba Allah yang lain beriman kepada Allah dengan penghayatan hati dan ruh.  Iaitu hati dan ruh mereka menyaksikan Kewujudan Allah tanpa sebarang syarat atau kaifiyyat yang mampu dihuraikan. Ia semata-mata pancaran Cahaya Ketuhanan di dalam hati mereka. Dan inilah Tauhid yang sebenarnya sebagaimana tuntutan Allah yang disebut Tauhid hakiki atau Iman Sejati atau Ma’rifat.

 

Tauhid peringkat ini adalah Kurnia Allah khusus bagi mereka yang berbai’at dengan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dan sungguh-sungguh Mujahadah pada Jalan-Nya, iaitu Jalan Ma’rifat yang diwarisi oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah turun-temurun daripada Rasulullah sebagaimana yang telah disebut berulangkali di dalam Risalah ini.

 

Tiada siapa mampu mencapai Tauhid yang hakiki, Iman sejati, Ma’rifat, mengenal Allah dan menyempurnakan Ubudiyyah ini melainkan dia melalui proses penyucian hati dan ruh menurut “Jalan Ma’rifat” yang dipimpin oleh Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.

 

 

Kekeliruan Kedua : Pengertian Ubudiyyah

Kebanyakan orang Islam memahami perkataan “Ubudiyyah” sebagai ibadah. Kefahaman ini tidak menepati pendirian Ahlus Sunnah yang benar.

 

Ungkapan Ubudiyyah itu pada hakikatnya adalah "Perhambaan" dan bukan semata-mata ibadah.  Pengertian "ibadah"   membawa maksud umum  kerana pekerjaan "ibadah"  dikerjakan  juga oleh manusia-manusia lain yang menganut agama lain, atau tegasnya orang kafir dan Musyrik. Berbeza dengan Ubudiyyah, kerana ia membawa pengertian yang amat suci dan mulia — Memperhambakan diri - penyerahan diri sebagai hamba yang faqir  di Hadapan Allah.

 

Oleh yang demikian pengertian "Ma'rifat"  (Mengenal Allah dengan sebenar kenal)  dan "Ubudiyyah" (Perhambaan sempurna)  itulah sebenarnya yang di-Kehendaki oleh Allah Ta'ala ke atas manusia, (tujuan penciptaan manusia),   BUKAN pengertian sempit "ibadah". 

 

Bagaimanakah cara untuk Mengenal Allah  ....  " يعرفون " ?

Bagaimanakah cara sebenar Ubudiyyah?

Bagaimanakah cara menyempurnakan tuntutan Allah di dalam ayat tersebut?

  

Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu menjelaskan darihal ayat ini:

 

"Ada dua macam ilmu yang diturunkan kepada kita. 

Pertama Ilmu Zahir, disebut Syari'at.    

Kedua  Ilmu Batin, di sebut Ma'rifat atau Toriqat.

Syari'at untuk jasad  kita dan Ma'rifat (yang terbit dari Toriqat)  adalah untuk batin.  Kedua-duanya WAJIB dipadu dan dari perpaduannya membuahkan Haqiqat.  Seperti halnya pohon dan daunnya yang menghasilkan buah.  Sebagaimana Firman-Nya di dalam Surah Ar Rahman : ayat 19  ( مَرَجَ ٱلۡبَحۡرَيۡنِ يَلۡتَقِيَانِ  ).  Dengan ilmu zahir sahaja, manusia tidak akan mencapai Haqiqat dan tidak akan sampai kepada Matlamat Ubudiyyah.  Ubudiyyah yang benar dan sempurna hanya akan wujud oleh perpaduan antara Ilmu Zahir (Syari'at Rasulullah) dan Ilmu Batin (Toriqat Rasulullah). Dengan ini dapat menyempurnakan tuntutan Ma'rifat dan Ubudiyyah  sebagaimana Firman Allah    "وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ".

[Tamat Nukilan dari Kitab Sirrul Asrar]

 

Di dalam bahasa yang mudah difahami:

Tujuan Penciptaan manusia adalah untuk Mengenal Allah dengan sebenarnya, yakni Ma'rifat.  Untuk memperoleh "Ma'rifat" dan seterusnya "Ubudiyyah" yang hakiki, setiap orang beriman wajib mempelajari dan amalkan kedua-dua Ilmu yang diterima dari Junjungan Besar    Rasulullah   ,  iaitu Ilmu Zahir (Syari'at) dan Ilmu Batin (Toriqat) dengan pimpinan Mursyid yang Siddiq.

 

Jika seseorang hanya amalkan Ilmu Zahir (Syari'at) sahaja dan tinggalkan Ilmu Batin (Toriqat)  atau dia hanya amalkan Ilmu Batin (Toriqat )  sahaja dan abaikan Ilmu Zahir (Syari'at), maka dia sama sekali tidak akan dapat Mengenal Allah dengan sebenar dan tidak mungkin dapat Ubudiyyah (perhambaan diri) di dalam erti kata yang sebenar sebagaimana yang dituntut oleh Allah.  Bahkan orang-orang seperti ini di dalam bahaya kebinasaan Iman. 

Ringkasnya:

Matlamat pokok Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq tidak lain melainkan menyempurnakan tujuan Allah Ta’ala menciptakan manusia atas muka bumi, iaitu Ma’rifat dan Ubudiyyah kepada Allah Ta’ala setulus hati.

Matlamat cabang:

Selain dari Matlamat pokok dari segala Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, terdapat beberapa matlamat cabang yang kesemuanya kembali kepada Matlamat pokok tadi, iaitu:

 

(1)    Memperoleh hati yang benar-benar suci bersih.

(2)    Memperoleh hati yang sentiasa Zikir mengingat Allah   setiap masa

(3)    Mencapai Khusyu’ di dalam solat (dan ibadah yang   lain).

(4)    Mencapai Ikhlas yang hakiki di dalam setiap   pekerjaan dan Ibadah.

(5)    Mengenal Ahlus Sunnah yang benar dan jauhi   firqah-firqah sesat.

(6)    Mencapai sifat-sifat mahmudah (kepujian) dan   terhapus sifat mazmumah (kekejian).

(7)   Memperoleh hati yang benar-benar bersih dari Syirik khafi (syirik tersembunyi).

(8)   Memperoleh hati bercahaya sehingga terhapus hijab-hijab hati menghalang manusia dari Taqarrub Ilallah, iaitu hampir kepada Allah.

(9)   Mencapai ketenangan di dalam kehidupan.

 (10)   Selamat dari bisikan dan gangguan jinn syaitan.

 

Apabila diperhatikan secara mendalam, setiap satu daripada matlamat cabang ini adalah Perintah Allah Ta’ala.  Dan kesemuanya kembali kepada matlamat utama, iaitu Ma’rifat (Tauhid, Iman) dan Ubudiyyah (perhambaan Mutlaq) kepada Allah Ta’ala, menjadi hamba Allah yang benar-benar Bertaqwa, di-Redhai dan di-Kasihi Allah.

 

Perhatian dan Amaran:

Pada zaman ini berbagai pendapat dan pendirian Ummat Islam berhubung dengan istilah “Ma’rifat”.  Sebahagiannya memandang sinis atau curiga. Sebahagian lagi menganggap ianya sesuai untuk orang-orang tua.  Ada yang mengatakan ia terlalu tinggi untuk dibicarakan.  Bahkan ada juga yang terlalu jahil sehingga menuduhnya sebagai ajaran sesat.  Wal Iyazubillah.  Sedangkan menurut pendirian Ahlus Sunnah turun-temurun, semua istilah-istilah ini  (Syari’at, Toriqat, Haqiqat, Ma’rifat, Tasawwuf, Ihsan, Taqwa) dan beberapa istilah yang sering digunakan oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah adalah saling berkait dan bersumber dari Al-Qur’an, Sunnah dan Ijma’ Qias Ulama Mu’tabar.  Itulah keseluruhan Agama yang wajib dipegang dan disempurnakan oleh setiap orang yang mengaku beriman.

Malangnya pada zaman ini, istilah “Ma’rifat” yang merupakan Matlamat insan dijadikan oleh Allah Ta’ala dipandang remeh dan kehinaan.  Mereka memperolok-olok istilah Ma’rifat dan sekalian yang berkait dengannya. Sesungguhnya mereka inilah pendusta-pendusta Agama, meskipun mereka ini bergelar Professor, Kiyai, Mufti, Qadhi atau lainnya.  Mereka ini serupa dengan golongan kafir yang mengejek-ngejek Rasulullah .  Imam Ghazali menyebutkan hal ini di dalam kitab “Munqiz-Min-Adh-Dholal”.

 

Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:

“Di luar mereka (iaitu orang Islam yang ingkar akan segala hal ihwal Ma’rifat) adalah orang-orang jahil menolak semua itu dari dasarnya dan merasa hairan mendengar kisahnya.  Mendengar sambil mengejek dan menganggapnya sebagai omong kosong.  Tentang mereka itu Allah Taala berfirman;

 

وَمِنۡہُم مَّن يَسۡتَمِعُ إِلَيۡكَ حَتَّىٰٓ إِذَا خَرَجُواْ مِنۡ عِندِكَ قَالُواْ لِلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ مَاذَا قَالَ ءَانِفًا‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ طَبَعَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِہِمۡ وَٱتَّبَعُوٓاْ أَهۡوَآءَهُمۡ

"Dan di antara mereka yang mendengar ajaran-mu (dengan sambil lewa), sehingga apabila mereka keluar dari sisi-mu berkatalah mereka (secara mengejek-ejek) kepada orang-orang yang diberi ilmu ; Apa yang dikatakan oleh Muhammad tadi?  Mereka itu ialah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah atas hati mereka dan ialah orang-orang yang menurut hawa nafsunya.”

[Muhammad (47) : Ayat 16]

 

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فَأَصَمَّهُمۡ وَأَعۡمَىٰٓ أَبۡصَـٰرَهُمۡ

“(Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya.”

[Muhammad (47) : Ayat 23]

[Tamat Nukilan dari  KItab Munqiz Ala-Adh Dholal]



....bersambung ke Fasal 9  Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Mursyid 

9.4  Silibus Pendidikan Mursyid

  ..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه

No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 9

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 9: SISTEM TARBIYYAH dan TAZKIYYAH...