Saturday, June 27, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 9

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 9:

SISTEM TARBIYYAH dan TAZKIYYAH MURSYID



9.2 Asas dan Sumber Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi Yang Siddiq



DASAR dan SUMBER Pendidikan  Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dan Manhaj mereka terbina dari 7 (tujuh) sumber utama:

 

Pertama:

Al-Qur’an

 

Kedua:

Sunnah Rasulullah

 

Ketiga:

Ijma’ dan Qias Ulama

 

Keempat:

Limpahan Cahaya Ketuhanan yang terpancar ke dalam hati, ruh dan sirr beliau. 

 

Kelima:

Limpahan Nur Muhammad dari Junjungan Rasulullah

 

Keenam:

Limpahan Cahaya Rabitah dari Guru beliau sendiri.

 

Ketujuh:

Pengalaman keruhanian sendiri.  Mutiara-mutiara rahsia Ketuhanan yang tidak ternilai yang didapati beliau sepanjang perjalanan beliau kepada Allah dengan bimbingan Guru beliau yang juga merupakan Pewaris Nabi yang Siddiq.

Inilah 7 (tujuh) Gedung Ilmu yang menjadi sumber bagi Tarbiyyah dan Tazkiyyah seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Iaitu Sistem Pendidikan Istimewa Warisan Nabi ini sentiasa terikat dengan Petunjuk Allah dan Pimpinan ruhaniyyah Rasulullah .

  

Beberapa dalil dan bukti yang mengisyaratkan kelebihan-kelebihan yang di-Kurniakan oleh Allah kepada Mursyid yang Siddiq.


Dalil (1) ;  Firman Allah:

وَعَلَّمۡنَـٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلۡمً۬ا

"....dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami."

[Al-Kahfi (18 ) : Ayat 65]


Dalil (2) ;  Firman Allah:

وَاتَّقُواْ اللَّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ

Bertaqwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu.”

[Al-Baqarah(2) : Ayat : 282]

 

Dalil (3) ;  Sabda Nabi :

Takutilah firasat orang Mu' min kerana mereka melihat dari cahaya Allah.”

[Imam  Tirmizi]

 

Dalil (4) ;  Sabda Rasulullah :

Barang siapa yang beramal dengan ilmu yang dia tahu, Allah akan pusakakan padanya ilmu yang dia tidak tahu.”

[Imam Abu Nuaim]

 

Dalil (5) ;  Rasulullah   bersabda: 

مَا صَبَّ اللهُ فِى صَدْرِىْ إِلاَّ صَبَبْتُ فِى صَدْرِ أَبِى بَكـْرٍ

 Apa-apa yang Allah tuangkan ke dalam dada-ku, aku tuangkannya ke dada Abu Bakr”

[Imam Bukhari]

 

Dalil (6)Rasulullah bersabda:

 

مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ ، فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً ، وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَة

“Perbandingan teman duduk yang soleh dan buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang  besi.  Adapun penjual minyak wangi, boleh jadi dia akan memberikan kamu minyak wangi, atau kamu akan membeli darinya atau kamu akan mendapat bau harum darinya.  Adapun tukang pandai besi, boleh jadi dia akan membuat pakaianmu terbakar, atau kamu akan mendapat bau yang tidak sedap darinya.”

[Imam Bukhari dan Imam  Muslim ]

 

Dalil (7) ;  Rasulullah     bersabda:

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”

[Imam Hakim]


Dalil-dalil ini adalah menjadi bukti  kepimpinan seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang sentiasa terikat kepada Petunjuk Allah dan Rasul-Nya, sekaligus membezakan antara sumber ilmu dan kepimpinan mereka (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) dengan orang alim biasa dan pemimpin-pemimpin dunia lainnya.  Ini yang dimaksudkan oleh Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu ketika beliau berkata:

 

Berkata Imam Al-Jilani Radhiallahu anhu:

“Seseorang tidak dapat dikatakan Sufi (Mursyid Pewaris Nabi yang sebenar) sehingga dia sampai ke maqam di mana dia di-Anugerahi pandangan kepada Rasulullah di dalam mimpinya dan diberi arahan dan tegahan.  Jika keadaan ini terjadi maka hatinya akan dinaikkan ke maqam lebih tinggi serta disucikan batinnya.  Beliau seterusnya akan memperoleh kehampiran dengan Allah Ta'ala sementara tangannya di dalam pimpinan tangan Rasulullah .”

[Fath-Ar-Rabbaniy Wa Faidh Ar-Rahmaniy]

 

Beliau berkata lagi:

"Dalam semua itu mereka mengikut teladan daripada pengikut-pengikut Rasulullah  yang terkenal sebagai Ahli Sufi yang memakai pakaian bulu yang telah meninggalkan semua urusan keduniaan untuk berdiri di pintu Rasulullah dan berada hampir dengan baginda.  Mereka menyampaikan khabar sebagaimana mereka menerimanya secara langsung daripada mulut Rasulullah ".

[Sirrul Asrar Fi ma Yahtaju Ilaihil Abrar]

 

Demikian lagi Imam Ghazali Radhiallahu anhu menyebut hal yang sama setelah beliau habiskan masa untuk sungguh-sungguh mujahadah pada Jalan Ma’rifat dengan pimpinan Guru beliau yang Arif selama 11 tahun.

 

Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:

"Selama waktu khilwah (uzlah mengikut disiplin Ahli Sufi atau Ahli Ma’rifat) itu terbukalah bagiku rahsia yang tak terhitung jumlahnya, tak mungkin di-istiqsa (membahas sesuatu sejauh-jauhnya dan sedalam-dalamnya).  Yang ku katakan untuk mengambil manfaatnya – ialah aku benar-benar yaqin, kaum  Sufi (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) itulah yang benar-benar telah menempuh jalan yang di Kehendaki Allah Ta’ala.  Merekalah golongan yang paling utama cara-cara hidupnya, paling tepat tindak lakunya dan paling tinggi budi pekertinya.  Bahkan andai kata aqal para uqala, hikmah para hukama, dan ilmu para ulama yang tahu rahsia syara’, semua itu dihimpun untuk menciptakan suatu cara yang lebih utama dari cara Ahli Sufi itu, tiada akan memberi hasil sebab segala gerak-geri mereka (Mursyid, Ahli Sufi) baik zahir maupun batin, diterangi cahaya Kenabian.”

[Munqiz Min-Adh-Dholal]

 

Daripada Mutiara kata Imam Jilani dan Imam Ghazali Radhiallahu anhu, kamu tentu dapat memahami sekarang bahawa Manhaj Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah Sistem Pendidikan Rabbani – yang sentiasa di dalam Pimpinan Allah dan Rasul-Nya, yang benar-benar membawa manusia Mengenal Allah dan Ubudiyyah dengan tulus hati, menjadi hamba Allah yang benar-benar bertaqwa serta di-Redhai Allah.

 

Ini kerana Mursyid Pewaris Nabi adalah insan-insan Pilihan Allah yang istimewa yang menjadi “Wakil Allah” atas muka bumi.  Mereka menjalankan Amanah Allah dan Rasul-Nya.  Mereka TIDAK sesekali membawa manusia kepada kesesatan.  Mereka TIDAK sesekali cenderung kepada golongan sesat (72 golongan sesat),  apa lagi menyertai mereka …jauh sekali. 

 

Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq juga TIDAK sesekali masuk ke dalam kelompok-kelopok parti politik yang wujud pada zaman ini, yang menipu Ummat dengan memutarbelitkan Ayat Qur’an.  Di kalangan mereka, ada yang bergelar “Ulama” dan “pejuang Islam” menjual Ayat-ayat Allah dan menjadikannya barang dagangan politik.  Perangai mereka tidak ubah seperti pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani yang mengubah kandungan Kitab Allah demi keuntungan dunia yang hina.  Wal Iyazubillah.

 

Ahli-ahli politik fasiq seperti ini bukan baru muncul.  Mereka ini sudah wujud pada zaman pemerintahan zalim yang disebut oleh Rasulullah sebagai Mulkan Addhan - zaman pemerintahan “menggigit” ertinya “zalim”. 

Golongan Ulama dunia, Ulama Nafsu dan Ulama politik jahat ini bangkit setelah tamatnya pemerintahan Sayyidina Ali Radhiallahu anhu sebagai Khalifah terakhir dari kalangan Khulafa Ar-Rasyidin.

 

Ahli-ahli politik ini menamakan diri mereka sebagai “Khalifah”, “Amirul Mu’minin” atau lain-lain yang sedap didengari tetapi mereka memerintah dengan kezaliman dan kefasikan.  Mereka habiskan masa berfoya-foya dengan muzik, wanita, arak dan lain-lain yang jelas berlawanan dengan sifat-sifat pemimpin Islam yang diamanahkan oleh Rasulullah .                        

Wal Iyazubillah.

 

Inilah sebabnya sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq menjauhkan diri dari Sultan-sultan yang zalim dan “Ulama As-su” ini.  Mereka membentuk Sistem dan Peradaban sendiri menepati Kehendak Allah dan Rasul-Nya yang kemudian dinamakan “Jalan Ma’rifat”. 

 

Sesungguhnya Jalan Ma’rifat inilah Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang benar, yang menjadi pegangan sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah sepanjang zaman.  Dari Jalan suci inilah lahirnya Mursyid Pewaris Nabi yang terdiri dari berbagai disiplin Ilmu - Ahli Tafsir, Ahli Hadith bahkan sekalian Mujtahid dan Mujtahid, kesemua ulama Pilihan Allah ini adalah lahir dari Institusi Mursyid, Madrasah Ahli Sufi, Jalan Ma’rifat.  Ertinya sekalian Mufassir dan Muhaddith dan juga Mujtahid dan Mujaddid adalah juga merupakan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Mereka juga Ahli Sufi dan Ahli Ma’rifat yang tinggi.

 

Jika kamu benar-benar memahami apa yang kami perkatakan ini, kamu akan melihat jurang perbezaan yang amat luas antara Sistem Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq ini dengan Sistem-sistem buatan manusia berdasarkan aqal pemikiran semata-mata tanpa Petunjuk Allah ke dalam hati mereka.  Meskipun mereka yang membuat berbagai sistem moden ini terdiri dari pakar-pakar - “alim fiqh” atau “pakar motivasi” atau “pakar psikologi” dan sebagainya, mereka akan sentiasa gagal.  Mereka takkan mampu membangunkan insan-insan bertaqwa sebagaimana dibangunkan oleh Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang mewarisi Rasulullah

 

Bahkan bijak pandai yang cuba mencipta sistem-sistem moden itu sendiri pun bergelumang dengan berbagai penyakit hati.  Mereka bergelar “Ustaz”, “Muallim”, “Kiyai”, “Professor” dan sebagainya mengajar manusia berkenaan kesucian hati, Ikhlas, khusyu’ dan nilai-nilai kesucian yang lain, namun mereka sendiri bergelumang dengan berbagai kesyirikan - syirik khafi, mazmumah, ghaflah,  aghyar.  Mereka sendiri tidak “ikhlas” di dalam erti kata yang sebenar.  Mereka sendiri lalai di dalam mengerjakan Solat dan ibadah lain.  Maka mana mungkin mereka mencipta jalan untuk sucikan hati dan mencapai nilai-nilai murni sebagaimana tuntutan Allah?

 

Hal yang kami gambarkan di atas adalah  contoh keadaan yang telah dialami oleh Hujjatul Islam Imam Ghazali sebelum beliau masuk ke Jalan Ma’rifat sebagaimana kami kisahkan di dalam lembaran-lembaran terdahulu. Meskipun beliau menjadi Guru Besar Universiti Nizamiyyah dan terkenal sebagai Ulama Besar dunia, namun beliau belum mampu Ikhlas di dalam melakukan ketaatan kepada Allah dan tak mampu khusyu’ di dalam solat beliau.  Sehingga beliau meninggalkan segala kebesaran beliau dan masuk kepada Jalan Ma’rifat, merendahkan diri berkhidmat kepada Mursyid beliau selama 11 tahun, barulah beliau mencapai Keimanan dan Ketaqwaan sejati, sebagaimana kami kisahkan sebelum ini.


Manusia sehebat Imam Ghazali Radhiallahu anhu saja merendahkan diri berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (Benar) untuk memperoleh kesucian hati dan keluar dari sekalian kesyirikan dan kekejian hati, apa lagi Profesor atau Kiyai yang ilmu mereka cuma sebesar “debu” di kaki Imam Ghazali?  Imam Ghazali yang sedemikian hebat ilmu syari’at beliau, mengakui bahawa haqiqat Iman dan Islam tidak akan dicapai melainkan dengan Sistem Pendidikan Ahli Sufi atau disebut Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.

 

Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:

“Pendeknya barangsiapa yang belum di-Kurnia Tuhan mengalaminya (mencapai Keimanan sejati melalui Sistem Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi) belumlah ia mengenal Haqiqat Kenabian, lebih dari namanya sahaja.”

[Muqiz Min-adh-dholal]

Sepatutnya manusia “cerdik” yang beraqal sihat mampu memahami sekalian penjelasan kami ini dengan mudah, jika mereka jujur dan Amanah di dalam menjalankan Agama Allah.  Sebaliknya hati yang keras, penuh ego kesombongan tidak akan menerimanya bahkan akan menentangnya.  Wal Iyazubillah.

 

Ringkasnya penegasan kami di sini adalah:

 

Asas Sistem Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang mereka warisi daripada Junjungan Rasulullah adalah jauh berbeza, bagaikan langit dan bumi dengan Sistem Pendidikan buatan aqal fikir manusia.  Pendekatannya juga berbeza.  Hasilnya jauh berbeza.


Apabila kamu Berbaiat dan berpegang teguh kepada Pimpinan Mursyid, kamu akan memperoleh keberuntungan dunia Akhirat.  Kamu akan Mengenal Allah dengan sebenarnya menurut tuntutan Allah Ta’ala, iaitu Tauhid hakiki, Iman Sejati.  Hati kamu akan bersih dari segala syirik yang membelenggu hati kamu. Kamu akan selamat dari ‘ujub, riya’, sum’ah, Takabbur dan lain-lain.  Kamu akan memperoleh keikhlasan sejati di dalam setiap ibadah (bukan buat-buat Ikhlas seperti orang awam).  Kamu akan memperoleh khusyu’ yang sebenar (bukan buat-buat khusyu’).  Semua itu terhasil setelah kamu mujahadah sungguh-sungguh dengan penuh keikhlasan menurut segala peraturan, syarat dan adab-adabnya sebagaimana kami huraikan sebelum ini.


Sedangkan Sistem Pendidikan ciptaan aqal manusia awam dipenuhi nafsu, kepentingan duniawi dan berebut-rebut pangkat dan kedudukan.  Bahkan orang yang lahir dari Sistem Pendidikan moden penuh dengan kesombongan, berbangga-bangga dengan pencapaian diri dan lupakan Ni’mat Allah. Sebahagian daripada kepincangan dan kebinasaan ini kami sudah huraikan di dalam risalah-risalah kami.  Selebihnya kamu dapat melihat sendiri di hadapan mata kamu!  



....bersambung ke Fasal 9  Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Mursyid 

9.3 Matlamat Pendidikan Mursyid 

  ..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه

No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 9

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 9: SISTEM TARBIYYAH dan TAZKIYYAH ...