Tuesday, November 12, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 563)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 66:

Putus silatur-rahim

I  قَاطِعَ رَحِمٍ   I

...sambungan....



Kemusykilan dan Jawapan

====================


Kemusykilan 1:

Saya tak tahu selama ini yang putuskan silatur-rahim itu dosa besar.  Saya juga banyak berdosa dengan mereka. Masalahnya saudara yang saya putuskan itu sudah meninggal. Apa patut saya buat?


JAWAPAN:

Sebelum ini kami telah huraikan Bab Taubat Nasuha.  Syarat ke-5 Taubat Nasuha adalah : Menebus kesalahan kamu dengan manusia iaitu, memohon maaf kepada mereka yang berkenaan dan jika kamu telah berbuat zalim padanya seperti pernah memukulnya atau cederakannya, maka hendaklah kamu serahkan diri untuk dia menuntut balas atau jika kamu pernah merampas hartanya, maka wajib kamu kembalikannya atau gantikan hak-haknya dengan yang serupa atau jika kamu pernah mencalar maruahnya, maka wajib kamu  sungguh-sungguh mohon ampun padanya serta bersihkan namanya daripada fitnah yang pernah kamu lakukan.


Persoalannya:

Apakah yang patut dilakukan ketika orang yang dizalimi telah meninggal dunia dan waris-warisnya tidak dapat ditemui?  Ini kerana dosa sesama manusia tidak akan terampun selagi tidak diampuni oleh mereka yang telah terzalim. Ertinya di samping memohon ampun kepada Allah, maka orang yang bersalah wajib memohon ampun kepada mereka yang berkenaan sehingga orang itu mahu ampunkan dan redha.


Rasulullah   ﷺ  bersabda:

“Kezaliman itu ada tiga  macam: Kezaliman yang tidak diampunkan Allah, kezaliman yang dapat keampunan Allah, dan kezaliman yang tidak dibiarkan oleh Allah.  Adapun kezaliman yang tidak diampunkan Allah adalah syirik, Firman Allah : “Sesunggahnya syirik itu kezaliman yang amat besar!”,  adapun kezaliman yang dapat keampunan Allah adalah kezaliman seseorang hamba terhadap dirinya sendiri di dalam hubungan dia terhadap Allah, Tuhannya dan kezaliman yang tidak dibiarkan Allah adalah kezaliman hamba-hamba-Nya di antara sesama mereka,  kerana pasti dituntut kelak oleh mereka yang dizalimi."

[Imam Bazzar,  Imam Abu Nu'aim, Imam Thiyalisi]


Di dalam hal ini, Masyaikh kita menegaskan, barangsiapa tidak menemui orang yang dizalimi untuk dia memohon ampun dan gantikan hak-haknya, maka hendaklah dia sempurnakan Taubatnya dengan cara-cara berikut:


(1) Taubat kepada Allah Ta'ala serta memohon sungguh-sungguh kepada Allah moga hamba Allah yang dia telah zalimi akan ampunkannya dan tidak menuntutnya di Akhirat.


(2) Banyak bersedekah atas nama orang yang dia telah zalimi.  Misalnya setiap kali dia bersedekah hendaklah berkata dalam hati, contoh seperti ini:


"Ya Allah Ya Tuhanku, inilah sedekah yang ku niatkan pahalanya kepada si fulan yang aku telah zaliminya.  Jadikanlah sebagai penebus dosaku dengannya."


(3) Hadiahkan pahala bacaan Surah Yaasin atau pahala Zikir Tahlil kepada orang yang telah dia zalimi sebanyak mungkin kerana di Akhirat tiada wang dinar dan dirham untuk digantikan.  Maka dengan membanyakkan sedekah pahala atas nama orang yang telah dizalimi, moga diharapkan dia dapat menebus dosa-dosanya.


Semoga dengan banyakkan sedekah atas namanya, di samping taubat terus-menerus, moga akan tertebus dosa-dosa dengan manusia berkenaan.


Bersambung siri 564  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI  

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...