SIRI 434
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 5: Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Fasal 9: Bai'at kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
sambungan....
9.2 Definisi Bai'at
Dari segi Bahasa:
Bai’at berasal dari kata dasar Arab: ( بيعة , يبيع , باع ) yang membawa pengertian: aqad, penjanjian, beri dan terima, jual beli, janji setia, sumpah setia, penjanjian di antara dua pihak.
Dari segi Istilah:
Bai’at adalah: Perjanjian di antara Pemimpin dan Orang yang dipimpin untuk mempertahankan Agama Suci Allah di dalam dirinya, keluarganya, masyarakatnya, negaranya dan dunia umumnya.
Di dalam Risalah ini kita akan bicarakan secara khusus Bai’at pada Jalan Ma’rifat, iaitu perjanjian di antara Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dan Salik (hamba yang berjalan kepada Allah). Mursyid berikrar kepada Allah Ta’ala untuk memimpin si murid kepada Allah Ta’ala dan murid berjanji untuk ta’at setia kepada Mursyidnya agar tercapai Matlamat Agama, iaitu mencapai Tauhid hakiki, Ubudiyyah yang suci murni dan Keredhaan Allah serta Kasih-Nya.
Beberapa noktah penting untuk diperhatikan:
• Pada hayat Rasulullah ﷺ Bagindalah Pemimpin Zahir dan Batin, maka Baginda ﷺ dibai’at oleh Ummat Islam.
• Setelah kewafatan Rasulullah ﷺ, Khulafa Ar-Rasyidin menjadi Pemimpin Ummat Zahir dan Batin, maka mereka dibai’at oleh Ummat Islam.
• Setelah kewafatan Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah, kepimpinan bercampur aduk antara haq dengan batil. Nilai-nilai kesucian Agama dikotori oleh Pemimpin-pemimpin fasiq dan zalim. Mereka ini hanya “khalifah” pada nama saja, kerana Khalifah Rasulullah ﷺ yang benar adalah hamba Allah yang Taqwa.
• Walau bagaimanapun Kepimpinan Keruhanian yang diwariskan oleh Rasulullah ﷺ kepada para Sahabat Baginda ﷺ yang terpilih tetap bersambung dengan keluhuran tanpa campur tangan “kuasa-kuasa” nafsu dan syaitan. Merekalah Wakil Allah dan Wakil Rasulullah ﷺ yang Sebenar. Ini yang dipanggil Kepimpinan Mursyid atau Ahli Sufi atau Ahli Ma’rifat Pewaris Nabi yang Siddiq. Setiap Mursyid yang Siddiq mempunyai Silsilah perguruan sampai kepada Rasulullah ﷺ. Mereka tetap unggul mempertahankan kesucian Islam (kesucian Ahlus Sunnah Wal Jama’ah sampai Qiamat).
• Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, Wakil Sebenar Rasulullah ﷺ, menjauhkan diri daripada perebutan kuasa dan ketamakan ahli politik yang zalim dan fasiq. Mereka membentuk Sistem dan Peradaban tersendiri berdasarkan Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah ﷺ yang suci murni, sehingga terbeza dari aliran-aliran, doktrin dan kefahaman-kefahaman sesat.
Bersambung siri 435 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
___________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment