Thursday, March 05, 2026

SIRI 67


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf)

sambungan...



Kenyataan 5:

Wahyu Pertama dan Zikir Allah Allah Allah

Sambungan...


Sekali lagi diberi peringatan:

Maksud daripada "Zikir Allah Allah Allah di dalam hati" sebagaimana yang dituntut adalah bermaksud:  


"Terus-menerus mengingat Allah di dalam hati tanpa putus"


Jika kamu dapat memahami maksud ini dan kaitannya dengan Wahyu Pertama [  ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ  ] maka kamu sudah mendapat faedah besar di dalam memahami pengertian Zikir Allah Allah Allah dan memahami maksud Toriqat Rasulullah ﷺ yang paling awal ini.


Dalil-dalil Al-Qur'an yang memerintahkan Zikir Allah Allah di dalam hati (Ingat Allah terus-menerus di dalam hati):


Dalil 1: Firman Allah:


وَٱذۡكُر رَّبَّكَ فِى نَفۡسِكَ تَضَرُّعً۬ا وَخِيفَةً۬ وَدُونَ ٱلۡجَهۡرِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأَصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ 


Dan ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai."

[Al-A'raf (7) : Ayat 205]


Kalam Allah ini hampir serupa seperti Wahyu pertama yang memerintah: 

Sebut atau ingat Tuhanmu...!

Apakah nama bagi Rabb (Tuhan ) yang di-Perintahkan zikir padanya?

Apakah nama Paling Agung bagi Tuhan yang menciptakan?


Nama Paling Agung atau disebut Ismul A'zhom iaitu nama:

             "Allah" 

Maksud keterangan di sini:

" Zikirlah Allah Allah di dalam hati terus-menerus"


Imam Fakhruddin Ar-Razi (Mujaddid kurun ke 6 Hirriyyah) mentafsirkan ayat ini:

"Berdasarkan ayat 205 al-A’raf ini, Rasulullah ﷺ (dan Ummat Baginda) diwajibkan berzikir dalam hati (senyap —tanpa  suara) dengan ingatan Allah,  Allah,  Allah ....  terus-menerus sepanjang waktu siang dan malam.   

Kalimat  ini  " بِٱلۡغُدُوِّ  "     mewakili seluruh waktu siang dan  "  وَٱلۡأَصَالِ  " mewakili seluruh malam"

[Tafsir Al-Kabir / Tafsir Ar-Razi]



Dalil 2: Firman Allah:

        وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَڪۡبَرُ‌  


"....dan Zikir Allah itu sebesar-besar ibadah ...."

[Al-Ankabut (29) : Ayat 45]    


Menurut Tafsiran Ibnu Abbas dan Ahli Ma'rifat lain-lainnya:


(1) Zikrullah (ingat Allah di dalam hati, sebut nama Allah, tafakkurkan nama Allah)  adalah sebesar-besar Ibadah.  Orang yang tekun mengerjakan ibadah Zikrullah (ingat Allah )  siang malam tanpa berhenti dengan penuh ikhlas dan menurut adab, hukum dan kaifiyyatnya, maka dia akan memperoleh  darjat kedudukan paling tinggi di Sisi Allah. 


(2) Setiap ibadah yang dikerjakan dengan Zikrullah (ingat Allah) di dalamnya, maka ibadah tersebut adalah ibadah yang terlebih baik, sempurna yang memperoleh Redha Allah.  Ibadah yang tiada zikir di dalamnya adalah "kosong" dan "kerugian". 


(3) Ingatan Allah terhadap hamba-hamba-Nya yang Zikrullah (mengingat Allah) adalah lebih utama.  Ertinya Limpahan Rahmat dan Inayah (pertolongan Allah) terhadap hamba-hamba-Nya yang zikrullah adalah jauh lebih hebat dari ingatan hamba kepada Tuhannya.  Hamba cuma buat sedikit tetapi Allah Ta’ala melimpahkan Rahmat yang banyak.



Dalil 3: Firman Allah:


      وَٱذۡكُرِ ٱسۡمَ رَبِّكَ بُكۡرَةً۬ وَأَصِيلاً۬


"Dan Zikir akan nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang."

[Al-Insan (76) : Ayat 25]


Ayat ini adalah ayat amr  — Perintah — Suruhan yang wajib — amalkanlah.. Zikirkanlah  nama Allah terus-menerus atau  ingat nama Allah terus-menerus di dalam hati.


Sekali lagi Perhatikanlah sungguh-sungguh:

Sama maksudnya apabila disebut: 

Zikirlah kamu Allah Allah Allah di dalam hati kamu sebanyak-banyaknya — ingatlah Allah terus-menerus tanpa henti siang dan malam.



Bersambung siri 68 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 66


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf)

sambungan...



Kenyataan 5:

Wahyu Pertama dan  Zikir Allah Allah Allah


Pada beberapa siri yang lalu,  kita telah menjelaskan hubungan erat di antara Wahyu Pertama dengan Toriqat. Matlamat Toriqat adalah untuk menyucikan batin (hati dan ruh) daripada semua macam kekotoran maknawiyah  (yang tersembunyi) sehingga jiwanya benar-benar suci bersih.  Iaitu suci bersih daripada syirik khafi (syirik tersembunyi), mazmumah  (kekejian) dan ghaflah (kelalaian) sehingga apabila jiwa itu telah benar-benar suci bersih, maka di sana akan bercahayalah hati dengan Cahaya Iman, Tauhid yang benar-benar bersih — dipanggil Ma'rifat.  


Baik..

Persoalan sekarang apakah amalan yang terkandung di dalam Toriqat Rasulullah ﷺ  itu?  

Apakah amalan yang diwahyukan kepada Baginda? Apakah amalan yang dilaksanakan oleh Rasulullah ﷺ untuk mendidik jiwa supaya amalkannya sungguh-sungguh untuk mencapai Keimanan yang teguh? 


Jawapannya terkandung di dalam Wahyu pertama  [    ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ    ]  —   "Iqra'   bismi Rabbikallazi khalaq" (bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan)


Menurut penjelasan Ahli Ma'rifat, pengertian kedua bagi ayat tersebut iaitu:

Maksud "Bacalah itu adalah:

"Sebutlah nama Tuhanmu"   

"Sebutlah nama Allah," 

"Sebutlah Allah Allah banyak-banyak"  

"Zikirlah Allah Allah terus-menerus" 

"Ingatlah kepada Allah terus-menerus di dalam hati".


Berkata _Al-Qutb Tajul Arifin_ Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu:

"Ya anakku, Wahyu permulaan Risalah (Iqra') adalah menyuruh Zikr akan Kalimah Allah.  Kerana makna Iqra' dan zikir bersamaan jua.  (pada pengertian kedua — pent)  —  yakni Kalimah yang muradif  — berlainan lafaz bersatu makna."

[Risalah Ma'rifat :  Siri 1,  ms 26]


Intisari dari penjelasan ini adalah:


(1) Wahyu pertama memerintahkan —  Zikirlah Allah Allah Allah di dalam hati — terus-menerus tanpa henti siang dan malam.


(2) Inilah Toriqat Pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah ﷺ  iaitu Toriqat yang amalannya asasnya melakukan Zikir Allah Allah di dalam hati.


(3) Toriqat yang pertama diwahyukan kepada Rasulullah ﷺ dikenali sebagai Toriqat Naqsyabandiah pada zaman ini.


Adakah dalil sokongan lain bagi semua keterangan ini?

Dalil yang menyokong keterangan ini amat banyak sekali di dalam Kitabullah, Hadith serta fatwa Ulama Mu'tabar Ahlus Sunnah (Ulama bertaraf Auliya Allah).


Bersambung siri 67 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 65


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf)

sambungan...




Kenyataan 4:

Wahyu Pertama dan Ilmu Toriqat

sambungan...




Beberapa Rumusan Penting yang perlu diperhatikan di sini adalah:


(1) Selama 10 tahun di Makkah,  Rasulullah ﷺ mendidik jiwa para sahabat dengan Ilmu Tazkiyyatun-nafs — yang kemudiannya dinamakan Toriqat Rasulullah ﷺ.  Ini adalah BUKTI KUKUH berkenaan ilmu Penyucian Jiwa atau Ilmu Toriqat yang diwarisi turun-temurun oleh Sekalian Mursyid — Pewaris Nabi yang sebenar.  


(2) Ilmu mendidik jiwa — Ilmu Toriqat diturunkan terlebih dahulu dari Ilmu Syari'at bertujuan mendidik jiwa sahabat menjadi suci bersih dan bersedia menanggung Amanah Besar — Amanah Syari'at.  Ini menunjukkan keutamaan pendidikan jiwa dan nafs sehingga hati dan ruh ditundukkan untuk menjadi hamba-hamba Allah yang sebenar.  Tanpa pendidikan kejiwaan ini, manusia tidak akan memperoleh sifat kehambaan dan ubudiyyah sebenar.  Tanpa pendidikan melalui Ilmu Toriqat Rasulullah ﷺ , tidak mungkin bagi seseorang memperoleh Iman sejati, Taqwa dan Ihsan.  


(3) Selama proses penyucian tersebut (10 tahun di Makkah)  tidak ada satu pun Perintah Syari'at diturunkan.  Tidak diperintahkan Solat, puasa, zakat, haji atau lain-lainnya. Ibadah Syari'at yang pertama difardhukan kepada Rasulullah ﷺ  dan Ummat Baginda adalah Ibadah Solat yang diterima oleh Rasulullah ﷺ pada Peristiwa Isra' Mi'raj.  Hal ini BUKAN menunjukkan Syari'at tidak penting, bahkan menurut Ulama Mu'tabar kedua-duanya sama penting dan WAJIB didokong oleh semua orang beriman. 


(4) Bagi ummat Islam selepas turun perintah Solat, kedua-dua Ilmu menjadi Wajib serentak.  Maksudnya WAJIB amalkan Syari'at dan Toriqat Rasulullah serentak, tanpa meninggalkan salah satu darinya.  Ertinya  dilarang meninggalkan syari'at dan semata-mata menumpukan kepada Toriqat dengan alasan sirah Rasul demikian.  Ini kerana apabila Agama telah sempurna turun, maka WAJIB secara mutlaq bagi setiap orang yang aqil baligh memperlajari dan amalkan kedua-duanya (syari'at dan Toriqat) sekaligus.   


 (5) Ulama Mu'tabar Ahlus Sunnah telah sepakat bahawa sesiapa meninggalkan salah satu dari Ilmu tersebut, maka adalah dia termasuk ke dalam golongan fasiq atau zindiq — sebagaimana peringatan terdahulu.  Wal Iyazubillah


(6) Barangkali kini sudah terbuka sedikit minda orang-orang Islam awam yang selama ini keliru, ragu-ragu, musykil dan tertanya-tanya berkenaan Ilmu Toriqat.  Barangkali selepas membaca keterangan ini terbuka kefahaman berkenaan jalan sebenar Rasulullah ﷺ — Jalan Lurus kepada Allah.  Orang awam telah sekian lama dikelirukan dengan dakyah propaganda  yang amat keji bahawa semua Toriqat adalah bahaya, syirik, bid'ah sesat.  Iblis dan kuncu-kuncunya dari bangsa jinn dan manusia Yahudi Nasrani, kafir asli, munafiq dan golongan sesat terus berusaha momokkan nama "toriqat"  dengan wajah yang amat buruk sehingga banyak orang Islam  menjadi mangsa kepada dakyah jahat tersebut.


Semua ini terjadi kerana beberapa faktor kejahilan diri dan dakyah musuh-musuh Allah seperti yang telah disebutkan terdahulu. 


Bersambung siri 66 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

 SIRI 64


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf)

sambungan...


Kenyataan 4:

Wahyu Pertama dan Ilmu Toriqat

sambungan...



Ungkapan…   وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ

( "…..dan Menyucikan mereka,  serta Mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah…” )


Mendokong perutusan khusus ini, iaitu para sahabat adalah golongan terpilih yang diasuh, dididik, dibimbing dan dipimpin oleh Rasulullah ﷺ dengan ilmu yang sehingga mereka menjadi manusia-manusia istimewa. Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat sungguh-sungguh sehingga hati mereka suci bersih dari semua macam syirik (syirik jali dan syirik khafi), bersih dari mazmumah (sifat keji), ghaflah (kelalaian) dan keluarkan mereka dari segala suatu selain Allah. Maka terbentuklah di sana satu generasi Ahli Ma’rifat yang  mengenal Allah dengan sebenar kenal, serta ubudiyyah dengan tulus ikhlas.


Kenyataan dari Al-Qur'an yang telah dijelaskan memberikan kita fakta terpenting pendidikan Rasulullah selama 10 tahun di Makkah:


Pertama :   Jawapan kepada pertanyaan sebelum ini, apakah amalan Rasulullah dan sahabat selama 10 tahun sebelum turunnya fardhu Solat, maka jawapannya yang terang tanpa keraguan adalah :  Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat dengan Ilmu Sucikan Jiwa —  Ilmu Toriqat selama 10 tahun.  


Kedua  :     Ilmu  Toriqat  — iaitu ilmu menyucikan jiwa diturunkan terlebih dahulu sebelum diturunkan ilmu Syari'at.


Al Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi menjelaskan perkara ini:


"Ya anakku, terdahulu syari'at yang batin (Ilmu Toriqat untuk menyucikan jiwa) diturunkan untuk mendidik hati dan ruh Nabi dan sahabat iaitu 10 tahun sebelum Mi'raj dan Syari'at zahir diturunkan selepas Mi'raj (iaitu bermula dengan diwajibkan fardhu Solat)

[Risalah Ma'rifat, Jilid 1,  ms 6]


Apakah Ilmu mendidik jiwa ini?

Apakah dia Ilmu Menyucikan jiwa?


Bagaimanakah  Rasulullah ﷺ melakukan penyucian tersebut?


Bagaimanakah kaifiyyat (cara) melakukan penyucian jiwa ini?


Ketahuilah ilmu Menyucikan jiwa tersebut adalah Ilmu mengerjakan Zikrullah (dan amal lain yang berkaitan dengannya — akan dijelaskan kemudian) serta berbagai latihan melawan nafsu-nafsu rendah dan nafsu kejahatan. Para Ulama Ahlus Sunnah yang Mu'tabar (Ulama bertaraf Auliya Allah) mengambil dalil-dalil dari Kitabullah dan Sunnah Rasul dan melakukan ijtihad  menyusun kaifiyyat (cara-cara) mengerjakan Zikrullah dan cara-cara memerangi nafsu-nafsu jahat sehingga terbentuk lah Suatu Sistem Tarbiyyah atau Tazkiyyah yang lengkap dinamakan Toriqat Rasulullah.


Ilmu Toriqat diturunkan terlebih dahulu untuk membersihkan hati para sahabat dari segala kekufuran, kesyirikan, mazmumah dan ghaflah sehingga hati mereka bersinar bagaikan mutiara yang sangat cemerlang.  Pendidikan Rasulullah ﷺ benar-benar berkesan di dalam hati mereka sehingga mereka menjadi  Kekasih Allah.



Bersambung siri 65 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Tuesday, March 03, 2026

 SIRI 63


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf):

sambungan...




Kenyataan 4: 

Wahyu Pertama dan Ilmu Toriqat


Telah sepakat sekalian Arif Billah (Ulama Mu'tabar Ahlus Sunnah atau Ulama bertaraf Auliya Allah) bahawa sesungguhnya yang membangkitkan Generasi Pertama yang paling cemerlang, Generasi Sahabat yang paling istimewa, Generasi Rabbaniyyah yang terulung adalah tazkiyyatun-nafs  — Ilmu menyucikan JIwa dan ruh. Ilmu dan amal soleh yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ dan para Sahabat selama 10 tahun setelah turunnya Wahyu pertama "  اقْرَأْ "  (iqra') adalah Ilmu Menyucikan Jiwa —  jelasnya iaitu Ilmu mengerjakan zikrullah dan mujahadah melawan nafsu-nafsu rendah, nafsu kejahatan yang kemudian dinamakan Ilmu Toriqat.


Maksudnya mulai dari saat Peristiwa Agung Kenabian Sayyidina Muhammad Rasulullah ﷺ diangkat menjadi Rasul dengan turunnya Wahyu pertama  "  اقْرَأْ "  (iqra') sampai 10 tahun lamanya Rasulullah ﷺ  mendidik jiwa para sahabat dengan Ilmu tertentu yang sangat istimewa —  dengannya para sahabat menjadi manusia yang suci, mulia,  di-Redhai dan di-Kasihi Allah.  Dengan ilmu yang khusus ini para sahabat menjadi insan-insan cemerlang, memperoleh Taqwa yang tinggi, menjadi Ahli Hikmah dan Ahli Ma'rifat yang tinggi.  


Dalil yang menguatkan keterangan tersebut bersumber dari Kalimat Allah yang Maha Agung ini.


Firman Allah:


هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬


“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan menyucikan mereka serta mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam Rahsia-Rahsia Ketuhanan dan kehambaan) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad ﷺ ) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”

[Al-Jumu’ah (62) : Ayat 2]


Terdapat faedah yang amat besar dari Kalimat Allah Yang Maha Agung ini, hampir serupa dengan kalimat 

pertama  "  اقْرَأْ "  (iqra') yang mengandungi dua pengertian Agung:


Pertama :   يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِ   —   yang membacakan kepada mereka Ayat-ayat Allah           


Kedua     :    وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ   —    Menyucikan mereka serta Mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam Rahsia-rahsia Ketuhanan dan kehambaan)                           


Kalimat yang kedua itu mengandungi pengertian berkenaan Tarbiyyah khusus kepada para sahabat, sehingga mereka benar-benar menjadi insan suci, insan mulia di Sisi Allah Ta’ala.  


Ungkapan…   وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ

( "…..dan menyucikan mereka,  serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah…” )

mendokong perutusan khusus ini, iaitu para sahabat adalah golongan terpilih yang diasuh, dididik, dipimpin oleh Rasulullah ﷺ dengan ilmu yang  sehingga mereka menjadi manusia istimewa.  Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat sungguh-sungguh sehingga hati mereka suci bersih dari semua macam syirik (syirik jali  dan syirik khafi), bersih dari mazmumah  (sifat keji), ghaflah  (kelalaian) dan keluarkan mereka dari segala suatu selain Allah.  Maka terbentuklah di sana satu generasi Ahli Ma’rifat yang  mengenal Allah dengan sebenar kenal, serta ubudiyyah dengan tulus ikhlas.


Bersambung siri 64 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 62


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf):

sambungan...



Kenyataan 3:

Wahyu Pertama  dan Rahsia Tarbiyyah Rasulullah ﷺ

sambungan....


Renungi  fakta ini sungguh-sungguh ....

Selama 10 tahun itu Nabi ﷺ sungguh-sungguh mendidik para sahabah dengan suatu sistem Tarbiyyah khusus sehingga para sahabah menjadi manusia-manusia terunggul.  Pernahkah kita selidik apakah rahsia didikan Nabi ﷺ ini?


Renungi fakta ini sungguh-sungguh...

Dalam masa 10 tahun tersebut, tiada satu pun Syari'at (zahir) diturunkan —  Solat belum diturunkan.  Puasa, Zakat, Haji belum diturunkan.  Belum ada kewajipan jihad qital (memerangi musuh dengan senjata).  (Ibadah syari'at yang pertama adalah fardhu Solat yang diwajibkan oleh Allah pada tahun Ke-10 Kenabian pada malam Isra' Mi'raj. Jika demikian, apakah ibadah Rasulullah ﷺ dan para sahabah selama 10 tahun tersebut?  Tidak mungkin mereka cuma duduk goyang kaki tak berbuat apa-apa.


Renungi fakta ini sungguh-sungguh...

Tempoh 10 tahun adalah suatu masa yang sangat panjang.  Dalam tempoh itu Nabi ﷺ telah mendidik para sahabat sehingga mencapai keimanan dan Ma'rifat yang amat tinggi (baca : TAUHID yang amat tinggi).  Apakah Sistem Tarbiyyah Baginda sehingga terbentuk satu generasi insan yang sangat hebat, beriman teguh bertaqwa?


Renungi fakta ini sungguh-sungguh...

Bagaimanakah caranya para Sahabat mencapai keimanan yang tinggi?  Tidak mungkin para sahabat cuma duduk tak berbuat apa-apa lalu mencapai kecemerlangan Iman atau Tauhid atau MA'rifat.  Tidak mungkin.   


Memang benar — tidak mustahil bagi Allah untuk anugerahkan seseorang dengan Keimanan tanpa usaha, tetapi ianya mustahil pada hukum ketentuan Allah demikian.  Ini kerana Allah Ta'ala melakukan setiap sesuatu dengan hukum, peraturan, syarat dan adab serapi-rapinya.  Allah Ta'ala menjadikan setiap sesuatu dengan asbab dan musabbab.  Allah Ta'ala menjadikan sekalian makhluq saling berkait dan bergantung kepada yang lain.  Jika bodoh, dan kamu ingin pandai, maka wajiblah  kamu menuntut ilmu.  Jika lapar berusahalah cari rezeki. Jika ingin anak, berkahwin dan bersatulah dengan isteri kamu.


Inilah ketentuan Allah Ta'ala sebagai hukum Sunnatullah atas muka bumi.


Sebahagian orang Islam mendakwa para sahabat mencapai keimanan yang tinggi dengan membaca kelebihan-kelebihan amal dan pahala-pahala.

Sebahagian orang Islam menyangka para Sahabat mencapai kecemerlangan kerana ekonomi.

Sebahagian lagi menyangka para Sahabat menjadi insan pilihan kerana mereka pandai berpolitik.

Yang akhir sekali ada yang beranggapan, para sahabat tak berbuat apa-apa, cuma duduk  diam terus mendapat Iman yang tinggi.


Semua pendapat ini adalah pendapat nafsu dan tertolak.  Semua dakwaan tersebut hanyalah dakwaan tanpa sebarang bukti.  Ataupun dakwaan yang ditiup dari sangkaan longgar berdasarkan profession seseorang...!  Apakah rahsia sebenarnya?


Bersambung siri 63 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 61


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf):

sambungan...



Kenyataan 3:

Wahyu Pertama dan Rahsia Tarbiyyah Rasulullah ﷺ


Kita semua sedia maklum, sejak Kalimat Agung yang pertama 

"  اقْرَأْ "  (iqra') diturunkan, Nabi kita telah bersungguh-sungguh memikul AMANAH ALLAH iaitu untuk melaksanakan Misi Baginda atas muka bumi — mendirikan Kalimah Suci La Ilaha Illallah, dengan cara menyeru manusia kepada Tauhid yang benar dan  menjauhi segala macam kesyirikan (syirik Jali dan Syirik Khafi), kemunafikan dan kekafiran.  Kemudian Baginda mendidik mereka supaya manusia menjadi hamba-hamba yang sebenar — bertauhid mengenal Allah dengan sebenar kenal dan  mendirikan Ubudiyyah menjadi hamba-hamba yang di-Redhai Allah.   


Ringkasnya Baginda menggalas dua tugas besar:

(1)  Da'wah secara umum kepada semua manusia.

(2) Tarbiyyah (didikan) khusus kepada para sahabat Baginda.


Yang pertama adalah lebih umum, yang kedua adalah lebih khusus dan inilah fokus Utama Rasulullah ﷺ

iaitu melahirkan seberapa banyak Sahabat Nabi yang cemerlang, mencapai Ma'rifat yang tinggi dan sanggup mempertahankan kesucian Agama dengan harta dan nyawa mereka.  Sungguh ini suatu TUGAS yang amat berat.


Dalam jangka masa perjuangan 10 tahun (sebelum turun kewajipan Solat), Baginda telah berjaya membentuk sejumlah insan-insan yang bertaqwa — ahli Ma'rifat yang tinggi yang benar-benar kenal Allah, berubudiyyah tulus ikhlas kerana Allah, serta sanggup mati kerana Allah.  Dalam hati mereka tiada lain melainkan Allah.  Mereka berdiri menghadap Allah dengan penuh khusyu'.  Mereka berdiri menghadap musuh-musuh Allah bagaikan singa yang berani.  Matlamat mereka tiada lain melainkan Allah...!


Pernahkah kita bertanya apakah dia Tarbiyyah yang Nabi lakukan ke atas para Sahabat Baginda?

Pernahkah kita mengkaji sungguh-sungguh  jalan yang ditempoh oleh insan-insan yang mendapat Tarbiyyah Baginda?

Pernahkah kita bertanya apakah rahsia didikan Baginda sehingga terbentuknya Sahabat-sahabat yang cemerlang zahir batin?


Bersambung siri 62 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 15 - AKHIR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Fasal 15 :   Khotimah Demikianlah kami m...