Tuesday, March 03, 2026

 SIRI 63


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf):

sambungan...




Kenyataan 4: 

Wahyu Pertama dan Ilmu Toriqat


Telah sepakat sekalian Arif Billah (Ulama Mu'tabar Ahlus Sunnah atau Ulama bertaraf Auliya Allah) bahawa sesungguhnya yang membangkitkan Generasi Pertama yang paling cemerlang, Generasi Sahabat yang paling istimewa, Generasi Rabbaniyyah yang terulung adalah tazkiyyatun-nafs  — Ilmu menyucikan JIwa dan ruh. Ilmu dan amal soleh yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ dan para Sahabat selama 10 tahun setelah turunnya Wahyu pertama "  اقْرَأْ "  (iqra') adalah Ilmu Menyucikan Jiwa —  jelasnya iaitu Ilmu mengerjakan zikrullah dan mujahadah melawan nafsu-nafsu rendah, nafsu kejahatan yang kemudian dinamakan Ilmu Toriqat.


Maksudnya mulai dari saat Peristiwa Agung Kenabian Sayyidina Muhammad Rasulullah ﷺ diangkat menjadi Rasul dengan turunnya Wahyu pertama  "  اقْرَأْ "  (iqra') sampai 10 tahun lamanya Rasulullah ﷺ  mendidik jiwa para sahabat dengan Ilmu tertentu yang sangat istimewa —  dengannya para sahabat menjadi manusia yang suci, mulia,  di-Redhai dan di-Kasihi Allah.  Dengan ilmu yang khusus ini para sahabat menjadi insan-insan cemerlang, memperoleh Taqwa yang tinggi, menjadi Ahli Hikmah dan Ahli Ma'rifat yang tinggi.  


Dalil yang menguatkan keterangan tersebut bersumber dari Kalimat Allah yang Maha Agung ini.


Firman Allah:


هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬


“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan menyucikan mereka serta mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam Rahsia-Rahsia Ketuhanan dan kehambaan) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad ﷺ ) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”

[Al-Jumu’ah (62) : Ayat 2]


Terdapat faedah yang amat besar dari Kalimat Allah Yang Maha Agung ini, hampir serupa dengan kalimat 

pertama  "  اقْرَأْ "  (iqra') yang mengandungi dua pengertian Agung:


Pertama :   يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِ   —   yang membacakan kepada mereka Ayat-ayat Allah           


Kedua     :    وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ   —    Menyucikan mereka serta Mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam Rahsia-rahsia Ketuhanan dan kehambaan)                           


Kalimat yang kedua itu mengandungi pengertian berkenaan Tarbiyyah khusus kepada para sahabat, sehingga mereka benar-benar menjadi insan suci, insan mulia di Sisi Allah Ta’ala.  


Ungkapan…   وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ

( "…..dan menyucikan mereka,  serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah…” )

mendokong perutusan khusus ini, iaitu para sahabat adalah golongan terpilih yang diasuh, dididik, dipimpin oleh Rasulullah ﷺ dengan ilmu yang  sehingga mereka menjadi manusia istimewa.  Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat sungguh-sungguh sehingga hati mereka suci bersih dari semua macam syirik (syirik jali  dan syirik khafi), bersih dari mazmumah  (sifat keji), ghaflah  (kelalaian) dan keluarkan mereka dari segala suatu selain Allah.  Maka terbentuklah di sana satu generasi Ahli Ma’rifat yang  mengenal Allah dengan sebenar kenal, serta ubudiyyah dengan tulus ikhlas.


Bersambung siri 64 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 450 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...