Thursday, September 19, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 504)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 60:

Mencela, Mencaci Masa  ( سُبُّوا الدَّهْرَ )

.....sambungan......




Rawatan dan Penjagaan

==================


Rawatan dan Penjagaan 1:

Menyedari dan menginsafi bahawa mencaci maki " masa "  merupakan dosa besar, kefasikan, kesyirikan dan kekufuran

Sebagaimana kami katakan, hal ini jarang didedahkan kepada Ummat sehingga kebanyakan orang Islam menyangka tidak mengapa mereka mencaci dan mempertikaian masa, zaman, waktu, cuaca, musim, iklim,  panas terik,musim dingin dan lainnya berhubung dengan masa atau waktu. Akibatnya mereka seringkali mencaci-maki "masa" sebagai "tak guna", "celaka", "menyusahkan hidup" dsb. Wal Iyazubillah

Orang yang berbuat demikian menyangka mereka cuma mengutuk dan mencerca masa dan bukan mencaci Allah sedangkan berdasarkan Petunjuk Al-Qur'an, Hadith dan fatwa Masyaikh Ahlus Sunnah, terbukti bahawa perlakuan demikian merupakan kekufuran, kefasikan sehingga boleh membawa kepada kesyirikan — syirik akbar dan kekafiran, Wal Iyazubillah. 



Rawatan dan Penjagaan 2:

Setiap sesuatu terjadi Menurut Taqdir Ilahi

Allah Yang Maha Menciptakan "masa" dan Mentaqdirkan segala sesuatu yang terjadi di dalamnya. Tiada suatu zarrah pun bergerak atau diam di alam ini melainkan ianya Taqdir Ketentuan Ilahi yang tertulis di  _Lauhil-Mahfuz_ (Papan Suratan Taqdir) sejak _Azali_ lagi. Ia semata-mata Haq dan Kuasa Ilahi.  Tiada kuasa makhluq mana pun mampu mengubahnya. 


Firman Allah:


سُوۡرَةُ الفُرقان

ٱلَّذِى لَهُ ۥ مُلۡكُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَمۡ يَتَّخِذۡ وَلَدً۬ا وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ شَرِيكٌ۬ فِى ٱلۡمُلۡكِ وَخَلَقَ ڪُلَّ شَىۡءٍ۬ فَقَدَّرَهُ ۥ تَقۡدِيرً۬ا


Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam Pemerintahan-Nya dan Dialah yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluq itu dengan ketentuan Taqdir yang Sempurna."

[Al-Furqan (25) : Ayat 2]


Firman Allah:


 إِنَّ ٱللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْراً


"Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."

[At-Talaq (65) : Ayat 3 ]



Rawatan dan Penjagaan 3:

Allah Ta'ala menetapkan segala sesuatu dan merapikannya serapi-rapinya


Firman Allah:


وَتَرَى ٱلۡجِبَالَ تَحۡسَبُہَا جَامِدَةً۬ وَهِىَ تَمُرُّ مَرَّ ٱلسَّحَابِ‌ صُنۡعَ ٱللَّهِ ٱلَّذِىٓ أَتۡقَنَ كُلَّ شَىۡءٍ‌ إِنَّهُ ۥ خَبِيرُۢ بِمَا تَفۡعَلُونَ 


"Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Dia Amat Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan"

[An-Naml (27) : Ayat 88]


Bersambung siri 505 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Friday, September 13, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 503)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 60:

Mencela, Mencaci Masa  ( سُبُّوا الدَّهْرَ )

.....sambungan......




Akibat mencaci maki masa

====================


Akibat 1: Rosak atau musnah Iman

Orang yang mencaci-maki "masa", pada hakikatnya dia telah mempertikaikan Taqdir, mencaci-maki, menghina dan menyakiti Allah.  Orang yang mencaci maki, menghina dan menyakiti Allah jatuh kepada dosa besar, kefasikan atau kekafiran.  Wal Iyazubillah.



Akibat 2: Menerima azab kerana kufur Ni'mat Allah

Orang yang mencaci-maki "masa" tidak mensyukuri Ni'mat Allah, atau di dalam perkataan lain dia telah kufur Nikmat.  Orang yang kufur Ni'mat Allah diancam dengan 'Azab yang sangat pedih.


Firman Allah Ta'ala:


لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ 


“Dan jika kamu sekalian bersyukur atas nikmat yang Aku berikan, maka niscaya akan Aku tambah nikmat-Ku untukmu.  Dan jika kamu sekalian kufur atas nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku itu sangat pedih”.

[Ibrahim (14) : Ayat 7]



Akibat 3: Terkena La'nat Allah

Orang yang mencaci-maki "masa", mempersoalkan Taqdir Ketentuan Allah telah menyakiti Allah.  Orang yang menyakiti Allah menerima La'nat Allah.  Wal Iyazubilah.


Firman Allah:


إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا


“Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya,  Allah akan melaknatinya di dunia dan di Akhirat, dan Menyediakan baginya siksa yang menghinakan.”

[Al-Ahzab (33) : Ayat 57]


Bersambung siri 504 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 502)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 60:

Mencela, Mencaci Masa  ( سُبُّوا الدَّهْرَ )

.....sambungan......



Punca mereka mencela masa

=====================


Mengapakah manusia, khususnya orang Islam caci maki masa? Apakah unsur-unsur yang mempengaruhi seseorang Islam sehingga bertindak luar kawalan. Sebab-sebab terjadi hal ini mungkin banyak tetapi tertumpu kepada beberapa sebab utama seperti berikut:


Pertama: Kejahilan

Seperti penyakit-penyakit batin yang lain, punca pertama adalah kejahilan.  Mereka tidak mengetahui bahawa mencaci maki "masa", "zaman" dan "waktu"  adalah dosa besar.  Mereka juga tak menyedari bahawa dosa mencaci masa ini mempunyai hubung-kait dengan Taqdir ketentuan Allah, ertinya perbuatan mencaci "masa" adalah suatu penentangan terhadap Allah, maka orang ini terjerat kepada kefasikan dan kekufuran.  Wal Iyazubillah


Kedua: Tekanan perasaan dan kejiwaan

Perbuatan mencaci-maki "masa" atau "zaman" bangkit dari tekanan perasaan, rasa tak puas hati, rasa tak adil dan sebagainya kepada "masa" atau "zaman".  Iaitu ketika terjadinya suatu musibah kepada dirinya, keluarganya atau harta bendanya, pemikiran orang ini menjadi kacau bilau dan hilang kewarasan.  Ketika kemarahan memuncak, tersemburlah kata-kata makian, cacian dan laknat kepada "masa" atau "zaman". 


Ketiga: Bisikan Syaitan

Sepertimana kita telah bincangkan hal-hal seperti ini, ketika hati seseorang sedang meluap-luap dengan rasa tak puas hati, Syaitan segera menyelit ke dalam hatinya lalu meniupkan api kemarahan.


Keempat: Kesedihan melampau

Kesedihan melampau juga boleh menjadi punca seseorang jatuh kepada perlakuan mencaci-maki masa dan taqdir Ilahi.


Kelima: Abaikan Toriqat (Tasawwuf)

Boleh jadi ini punca utama orang Islam terjerat kepada perlakuan mencaci-maki "masa", menyalahkan Taqdir dan jahat sangka kepada Allah.


Golongan ini tidak jahil, sebaliknya mereka adalah golongan terpelajar, ertinya mereka tahu bahawa "masa" itu merupakan ciptaan Allah yang menurut Ketentuan Allah tetapi mereka tetap menyalahkan "masa", menyalahkan Taqdir dan jahat sangka kepada Allah.  Mereka lebih berat akibatnya kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan berkenaan "masa", "Penciptaan masa" dan Taqdir Ilahi tetapi mereka tetap menyalahkan "masa",  menyalahkan Taqdir bahkan sehingga mereka jahat sangka kepada Allah.


Jika kamu bertanya mengapa golongan terpelajar yang tahu hukum syara' juga tewas kepada mainan hati, hawa nafsu jahat dan bisikan syaitan, maka jawapannya; Iman mereka hanya terhenti pada batas aqal semata-mata dan tidak meresap ke dalam hati.  Inilah tingkatan Iman orang awam, yang sentiasa berbolak-balik keimanan mereka dengan kesyirikan (syirik khafi).  Meskipun boleh jadi mereka adalah lulusan pondok atau lulusan Universiti sehingga mencapai PhD, Masters, Drs, Profesor, namun Tauhid mereka berlegar pada aqal semata-mata, tidak masuk ke dalam hati. Akibatnya ketika datang berbagai dugaan, mereka tak mampu menghadapinya dengan kekuatan Iman.  Mereka tewas kepada bisikan nafsu dan syaitan.


Hal ini kami telah bicarakan secara meluas di bawah tajuk kecil syirik khafi (syirik tersembunyi) - 'ujub. riya', sum'ah, takabbur dan tawakkal selain Allah.  Sila rujuk semula. 


Bersambung siri 503 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Thursday, September 12, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 501)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 60:

Mencela, Mencaci Masa  ( سُبُّوا الدَّهْرَ )

.....sambungan......



Contoh-contoh

===========


Sebahagian dari pengertian "mencaci maki masa" adalah:


(1) Kutukan manusia terhadap peristiwa-peristiwa kejadian alam yang tidak disukai seperti kemarau, hujan lebat, banjir, kesakitan, kemiskinan dan kemusnahan harta benda.


(2) Termasuk di dalam larangan adalah: mencaci maki hari, bulan atau tahun sebagai tahun tertentu sebagai "hari-hari sial" atau "tahun-tahun celaka", atau lain-lain sepertinya. 


(3) Menyalahkan Taqdir sebagai tidak adil kerana pada hakikatnya Taqdir yang terjadi adalah ketentuan Allah. 


Semua ini merupakan dosa besar yang boleh menjerumuskan seseorang kepada kefasikan atau kekafiran, jika dia tidak bertaubat segera.


Contoh 1:

Menganggap hari tertentu sebagai hari sial atau anggap bulan tertentu sebagai bulan sial.


Contoh 2:

Mencaci maki masa kerana jamuan makan atau perhimpunan atau suatu keramaian yang terhalang kerana hujan lebat. 


Contoh 3:

Peniaga-peniaga mengutuk hujan yang turun dengan lebat kerana perniagaan mereka terjejas, barang-barang tak laris dan kurang keuntungan.


Contoh 4:

Seseorang wanita yang kematian anak atau suami atau saudara mara, mencaci-maki masa atau menyalahkan Taqdir sebagai tidak adil.


Contoh 5:

Seseorang yang miskin menyalahkan keadaan kehidupannya yang miskin sebagai sial.


Contoh 6:

Pelajar yang gagal di dalam pelajaran mengutuk masa dan menyalahkan Taqdir.


Contoh 7:

Orang yang sakit berpanjangan dan tak sembuh-sembuh mencaci-maki masa sebagai celaka atau kadangkala menyalahkan Allah terus sebagai tidak adil kepadanya.


Bersambung siri 502 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 500)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 60:

Mencela, Mencaci Masa  ( سُبُّوا الدَّهْرَ )

.....sambungan......



Dalil 2: Hadith Qudsi:

Rasulullah ﷺ bersabda, Allah Berfirman:


قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: يُؤْذِينِي ابْنُ آدَمَ يَسُبُّ الدَّهْرَ وَأَنَا الدَّهْرُ، بِيَدِي الأَمْرُ أُقَلِّبُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ


“Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, “Anak Adam telah menyakiti-Ku (kerana) dia suka mencela waktu (masa).  Padahal Aku-lah Maha Pencipta masa.  Aku-lah yang menggilir antara siang dan malam”.

[Imam Bukhari, Imam Muslim]


Dalil 3: Hadith Qudsi:

Rasulullah ﷺ bersabda, Allah Berfirman:


لَا تَسُبُّوا الدَّهْرَ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ: أَنَا الدَّهْرُ، الْأَيَّامُ وَاللَّيَالِي لِي، أُجَدِّدُهَا وَأُبْلِيهَا، وَآتِي بِمُلُوكٍ بَعْدَ مُلُوكٍ


“Janganlah kamu mencela masa kerana Allah berfirman, “Aku adalah masa, malam dan siang adalah milik-Ku, Aku menjadikannya baru dan berlalu, dan Aku mengganti para raja dengan para raja yang baru”. “

[Imam Ahmad]


Dalil 4: Rasulullah ﷺ bersabda:


لاَ تَسُبُّوا الدَّهْرَ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ الدَّهْرُ


"Janganlah kamu mencela masa kerana sesungguhnya Allah adalah (Menguasai, Mentadbir, Mengurus) masa.”

[Imam Muslim]


Dalil 5: Rasulullah ﷺ bersabda:


لا يَقُولَنَّ أحَدُكُمْ يا خَيْبَةَ الدَّهْرِ، فإنَّ اللَّهَ هو الدَّهْرُ


“Janganlah seseorang dari kamu berkata: "ini waktu yang sial", kerana Allah adalah masa.”

[Imam Muslim]



Imam An Nawawi Radhiallahu anhu berkata:

“Pengertian kalimat "Allah adalah masa" adalah:  Allah yang Mentaqdirkan sekalian peristiwa yang terjadi dan Allah adalah Pencipta sekalian kewujudan” 

[Syarah Shahih Muslim]


Sebagaimana kami jelaskan terdahulu, Asbab al-wurud  (Sebab-sebab terbit hadith dari Rasulullah ﷺ,)   ini adalah, orang-orang Arab jahiliyyah ketika itu mencaci maki "masa" ketika ditimpa bencana atau suatu musibah, seperti kematian, kemusnahan harta benda, bencana alam dan sebagainya dengan ungkapan ... "celakanya waktu ini", "sial sungguh masa" atau "buruknya masa" dan lain-lain sepertinya berupa cacian dan makian kerana pada anggapan mereka semua kejadian buruk yang menimpa datang dari "masa" atau semua kecelakaan dibuat oleh "masa".  Maka Rasulullah ﷺ menempelak perbuatan dan perkataan mereka dengan Sabda Baginda : "janganlah sekali-kali kamu mencaci-maki masa, kerana cacian itu akan tertuju kepada Allah Ta'ala  yang Maha Pencipta dan Pengatur masa tersebut.  Pada hakikatnya "masa" hanyalah makhluq Allah yang tiada memiliki sebarang kuasa. "Masa" akan menurut Perintah Allah Ta'ala Yang Maha Bijaksana, Yang Maha Mengatur setiap sesuatu di Alam Semesta Menurut Kehendak-Nya.


Bersambung siri 501 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Wednesday, September 11, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 499)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 60:

Mencela, Mencaci Masa  ( سُبُّوا الدَّهْرَ )

.....sambungan......




Dalil-Dalil

=========


Dalil 1: Firman Allah


وَقَالُواْ مَا هِىَ إِلَّا حَيَاتُنَا ٱلدُّنۡيَا نَمُوتُ وَنَحۡيَا وَمَا يُہۡلِكُنَآ إِلَّا ٱلدَّهۡرُ‌ وَمَا لَهُم بِذَٲلِكَ مِنۡ عِلۡمٍ‌ إِنۡ هُمۡ إِلَّا يَظُنُّونَ


"Dan mereka berkata: Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini.  Kita mati dan kita hidup (silih berganti) dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman (masa). Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata ."

[Al-Jathiah (45) : Ayat 24]


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Dan mereka, (orang-orang yang mengingkari kehidupan setelah mati, di alam kubur dan ingkari kehidupan di Akhirat) berkata : "Kehidupan ini tidak lain, melainkan kehidupan di dunia saja di mana kita mati dan kita hidup di dalamnya, tidak ada tempat bagi kita melainkan dunia.  Dan singkatnya tidak ada yang membinasakan kita dan tidak ada yang mematikan kita selain masa (orang-orang kafir ini mempercayai masa itulah yang mematikan dan mendatangkan bencana)."

[Al-Jathiah (45) : Ayat 24]


Berkata Imam Qurtubi Rahiallahu anhu:

"Orang jahiliah Arab berkata: "Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia, kita hidup dan kita mati."  Mereka ingkar terhadap hari kebangkitan dan ingkar terhadap hari pembalasan di Akhirat.  (Menurut anggapan kafir jahiliah, hidup dan mati hanyalah suatu proses perubahan yang silih berganti ruh berganti jasad, dari satu jasad kepada jasad lain. Fahaman ini dianuti oleh Buddha, Hindu dan setengah puak Kristian - pent.)


Ibnu Uyainah berkata,"Orang-orang jahiliyah dulu berkata,"Masa adalah sesuatu yang binasakan kita dan dia pula yang menghidupkan kita dan matikan kita, maka turun ayat ini."


Abu Hurairah meriwayatkan dari Nabi ﷺ, Baginda bersabda;

"Orang-orang jahiliyah dulu  berkata, "Tidak ada yang akan membinasakan kita selain malam  dan siang.  Itulah yang akan membinasakan kita, mematikan kita, dan menghidupkan kita."  Oleh sebab itulah mereka memaki masa.  Allah Ta'ala berfirman; "Akan menyakiti-Ku manusia yang memaki masa, dan Aku-lah masa. Di dalam kekuasaan-Ku lah semua urusan.  Aku-lah yang menggantikan siang dan malam."


Menurut saya (AI-Qurtubi), Sabda Rasulullah ﷺ, "Allah berfiman...,"  merupakan redaksi dan lafaz Bukhari. 


Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Dawud. Sementara di dalam Muwatta, diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: 

" Janganlah sesekali salah seorang dari kamu berkata, "Wahai masa yang membinasakan" kerana sesungguhnya Allah adalah (Yang Menguasai dan Mengatur) masa."

[Tafsir Qurtubi]



Poin-poin penting dari tafsiran Ulama


1. Orang-orang jahiliyyah tidak percaya wujud Hari Qiamat, hisab dan pembalasan.


2. Orang jahiliyyah meyakini "masa" yang menentukan kebahagiaan dan kecelakaan, hidup dan mati.


3. Ketika terjadi suatu musibah, orang jailiyyah segera menyumpah dan caci maki "masa" kerana mereka anggap "masa" itu menyebabkan kecelakaan.


4. Setengah orang Islam anggap Ad-dahr (masa) itu Sifat Allah. Pendapat ini tidak benar dan keliru kerana "masa" adalah Ciptaan Allah iaitu makhluq.  Sedangkan Sifat Allah adalah Qadim, iaitu setiap suatu yang dinisbahkan kepada Allah yang tiada permulaan baginya.  


5.  Ada pun Hadith Qudsi yang menyebut : "Allah adalah masa" adalah bermaksud : "Allah Menguasai Masa"


Bersambung siri 500 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 498)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 60:

Mencela, Mencaci Masa  ( سُبُّوا الدَّهْرَ )

.....sambungan......



Penjelasan

==========


(1) "Masa" adalah Ciptaan Allah yang sangat unik, ajaib dan membingungkan kebanyakan manusia.  Ahli Sains sejak dahulu sampai sekarang cuba mencipta berbagai teori, teorem, hipotisis...namun tiada jawapan kepada persoalan-persoalan mereka. 


(2) Orang awam tidak mengetahui hakikat "masa" dan "Rahsia kewujudan "masa".  Hanya hamba-hamba Pilihan Allah dari kalangan Ahli Ma'rifat mengetahuinya.


(3) Orang-orang jahiliyah mempercayai "masa" berkuasa menentukan sesuatu.  Ketika ditimpa suatu musibah, mereka menyumpah-nyumpah dan caci maki kepada "masa".  Mereka itu tersangat bodoh kerana "masa" hanyalah makhluk Allah yang tiada kuasa apa-apa dan hanya menurut Ketentuan Allah Ta'ala Yang Maha Mentadbir dan Mengatur segala sesuatu.


(4) Barangsiapa mencerca, mencela, caci maki, menghina atau mengutuk "masa", maka dia telah menjatuhkan diri ke dalam kebinasaan, berdosa besar, bahkan kufur kerana "mencaci  maki masa" adalah pada hakikatnya mencaci maki Allah yang Menciptakannya. 


(5) Tiga golongan menghadapi persoalan "masa":


Pertama:  

Mengakui dan meyakini "masa" itu adalah makhluq Ciptaan Allah yang sentiasa menurut Perintah-Nya.  Mereka menyempurnakan haq-haq waktu menurut Perintah Allah dan Rasul-Nya serta sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah yang mewarisi Nabi zahir dan batin. Inilah orang yang beriman dan mereka termasuk Ahlus Sunnah yang benar.


Kedua:

Mengakui "masa" itu Ciptaan Allah tetapi tidak menunaikan haq-haq waktu yang diwajibkan oleh Allah Ta'ala.  Apabila mereka gagal mencapai sesuatu atau apa yang terjadi berlainan dari cita-cita mereka, mereka salahkan "masa" dengan ungkapan buruk, caci maki, menghina "masa".  Mereka ini golongan fasiq.


Ketiga:

Mereka menganggap "masa" itu makhluq jahat yang membawa keburukan, kesialan dan kesusahan hidup.  Apabila tertimpa suatu musibah, mereka segera salahkan masa kerana pada sangkaan mereka, "masa" yang menentukan sekalian yang terjadi di dunia.  

Golongan ini tidak percaya wujudnya hari Qiamat  dan Hari Kebangkitan, kata mereka :

"Yang wujud hanyalah "masa" yang menghidupkan dan mematikan." Mereka inilah golongan kafir. 


(6) Orang Islam yang mempercayai "masa" mempunyai kuasa menghidupkan dan mematikan atau meyakini "masa" mempunyai kuasa menimpakan mudarat kepada manusia atau kepada dunia, telah melakukan dosa Syirik hati yang amat besar.


(7) Orang yang percaya "masa" mampu berikan manfaat dan menolak mudharat, maka orang ini telah melakukan Syirik.


Berkata Imam Al-Haythami Radhiallahu anhu:

"Percelaan atau kutukan terhadap masa meliputi siang dan malam, boleh menyebabkan kufur. Sesuatu yang membawa kepada kekufuran, hukum paling ringan adalah dosa besar.  Orang Arab (jahiliyyah) apabila ditimpa sesuatu bencana atau dia tidak mencapai sesuatu yang dia harapkan, dia mencaci masa, dengan keyakinan bahawa "masa" itulah yang menyebabkan kecelakaan."

[Az-Zawajir]


Bersambung siri 499 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 15 - AKHIR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Fasal 15 :   Khotimah Demikianlah kami m...