■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 502)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 60:
Mencela, Mencaci Masa ( سُبُّوا الدَّهْرَ )
.....sambungan......
Punca mereka mencela masa
=====================
Mengapakah manusia, khususnya orang Islam caci maki masa? Apakah unsur-unsur yang mempengaruhi seseorang Islam sehingga bertindak luar kawalan. Sebab-sebab terjadi hal ini mungkin banyak tetapi tertumpu kepada beberapa sebab utama seperti berikut:
Pertama: Kejahilan
Seperti penyakit-penyakit batin yang lain, punca pertama adalah kejahilan. Mereka tidak mengetahui bahawa mencaci maki "masa", "zaman" dan "waktu" adalah dosa besar. Mereka juga tak menyedari bahawa dosa mencaci masa ini mempunyai hubung-kait dengan Taqdir ketentuan Allah, ertinya perbuatan mencaci "masa" adalah suatu penentangan terhadap Allah, maka orang ini terjerat kepada kefasikan dan kekufuran. Wal Iyazubillah
Kedua: Tekanan perasaan dan kejiwaan
Perbuatan mencaci-maki "masa" atau "zaman" bangkit dari tekanan perasaan, rasa tak puas hati, rasa tak adil dan sebagainya kepada "masa" atau "zaman". Iaitu ketika terjadinya suatu musibah kepada dirinya, keluarganya atau harta bendanya, pemikiran orang ini menjadi kacau bilau dan hilang kewarasan. Ketika kemarahan memuncak, tersemburlah kata-kata makian, cacian dan laknat kepada "masa" atau "zaman".
Ketiga: Bisikan Syaitan
Sepertimana kita telah bincangkan hal-hal seperti ini, ketika hati seseorang sedang meluap-luap dengan rasa tak puas hati, Syaitan segera menyelit ke dalam hatinya lalu meniupkan api kemarahan.
Keempat: Kesedihan melampau
Kesedihan melampau juga boleh menjadi punca seseorang jatuh kepada perlakuan mencaci-maki masa dan taqdir Ilahi.
Kelima: Abaikan Toriqat (Tasawwuf)
Boleh jadi ini punca utama orang Islam terjerat kepada perlakuan mencaci-maki "masa", menyalahkan Taqdir dan jahat sangka kepada Allah.
Golongan ini tidak jahil, sebaliknya mereka adalah golongan terpelajar, ertinya mereka tahu bahawa "masa" itu merupakan ciptaan Allah yang menurut Ketentuan Allah tetapi mereka tetap menyalahkan "masa", menyalahkan Taqdir dan jahat sangka kepada Allah. Mereka lebih berat akibatnya kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan berkenaan "masa", "Penciptaan masa" dan Taqdir Ilahi tetapi mereka tetap menyalahkan "masa", menyalahkan Taqdir bahkan sehingga mereka jahat sangka kepada Allah.
Jika kamu bertanya mengapa golongan terpelajar yang tahu hukum syara' juga tewas kepada mainan hati, hawa nafsu jahat dan bisikan syaitan, maka jawapannya; Iman mereka hanya terhenti pada batas aqal semata-mata dan tidak meresap ke dalam hati. Inilah tingkatan Iman orang awam, yang sentiasa berbolak-balik keimanan mereka dengan kesyirikan (syirik khafi). Meskipun boleh jadi mereka adalah lulusan pondok atau lulusan Universiti sehingga mencapai PhD, Masters, Drs, Profesor, namun Tauhid mereka berlegar pada aqal semata-mata, tidak masuk ke dalam hati. Akibatnya ketika datang berbagai dugaan, mereka tak mampu menghadapinya dengan kekuatan Iman. Mereka tewas kepada bisikan nafsu dan syaitan.
Hal ini kami telah bicarakan secara meluas di bawah tajuk kecil syirik khafi (syirik tersembunyi) - 'ujub. riya', sum'ah, takabbur dan tawakkal selain Allah. Sila rujuk semula.
Bersambung siri 503 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment