Tuesday, September 19, 2023

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 289)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 38:

Meremehkan Dosa

==============



Definisi

=======


Definisi Dosa:

Menurut bahasa:

Dosa adalah pelanggaran ( حَراَمٌ ) atau  penderhakaan (مَعْصِيةٌ) atau penentangan  ( عِصْياَنٌ ) atau kerosakan  ( فَساَدٌ) atau kejahatan ( ذَنْبٌ)  


Menurut istilah :

Setiap pelanggaran atau penderhakaan atau keingkaran terhadap Perintah Allah dan Rasul-Nya, sama ada yang berupa suruhan atau larangan, sama ada yang bersifat ZAHIR (anggota tubuh) atau BATIN (hati) menurut ketetapan Ulama yang mempunyai autoriti menetapkan Hukum, iaitu Ulama bertaraf Mujtahid, maka ia adalah termasuk DOSA. 


Definisi Dosa Besar:

Dosa besar adalah setiap keingkaran atau pelanggaran atau  penderhakaan terhadap Perintah Allah dan Rasul-Nya yang Allah Ta'ala memberi anacaman Neraka atau Kemurkaan-Nya, atau Azab-Nya yang pedih atau La'nat-Nya atas penderhakaan tersebut.  


Definisi Meremehkan Dosa:

Berani terhadap Allah atau menganggap dosa sebagai perkara kecil atau boleh diabaikan atau gembira ketika melakukan dosa atau tidak terasa ketakutan langsung ketika melakukan hal-hal membawa kepada dosa. 



Penjelasan:

==========


(1) Al-Qur'an dan Hadith menggambarkan DOSA dengan berbagai istilah yang berbeza-beza,  tetapi kesemuanya kembali kepada maksud dosa akibat pelanggaran, keingkaran atau penentangan terhadap ketentuan Allah dan Rasul-Nya.  Di antaranya : 


Haramun  ( حَراَمٌ )     — larangan, kejahatan, dosa

Ma'siatun  ( مَعْصِيةٌ) — penentangan, pelanggaran

'Isyanun     ( عِصْياَنٌ ) — penderhakaan, pembangkangan, 

Fasadun      ( فَساَدٌ)     — kebusukkan, kerosakan, kekejian

Zambun       ( ذَنْبٌ )     — dosa, larangan, kejahatan

Khati'atun   (خَطِيْئةٌ )   — dosa, kesalahan

Fusuqun     ( فُسُوقٌ )   — penderhakaan

Fujurun         (فُجُورٌ )    — derhaka, dedah kehormatan

Hinthun        ( حِنْثٌ )    — lawan, langgar sumpah

Mungkarun, ( مُنْكَرٌ )    — ingkar, langgar larangan

Fahisyatun ( فاَحِشَتٌ ) — kekejian, yang memalukan

Ithmun,         (إِثْمٌ  )       — dosa, kesalahan


(2) Sebahagian Ulama mengatakan setiap keingkaran dan pelanggaran perintah Allah adalah semuanya dosa besar. Sebahagian Ulama lain menghalusi pengertian DOSA kepada dua bahagian, iaitu :  DOSA BESAR dan DOSA KECIL. 


(3) Menurut Ibn Abbas Radhiallahu anhu, 

Dosa besar adalah setiap dosa yang diancam oleh Allah dengan  Ancaman Neraka, atau Kemurkaan, atau La'nat atau Azab siksa.


(4) Hamba-hamba Allah yang benar-benar layak menentukan bahawa suatu hal itu HARAM atau WAJIB (atau hukum-hukum lainnya) yang mengakibatkan DOSA BESAR atau DOSA KECIL adalah Ulama yang mempunyai autoriti menetapkan Hukum, iaitu Ulama bertaraf Mujtahid, dan BUKAN pendapat peribadi, BUKAN pendapat ulama politik, apa lagi Ulama Wahhabi atau Ulama Syi'ah atau lain-lainnya. 

Dengan demikian sekalian Ummat Islam yang awam, muqallid dan muttabi', wajib mengikuti fatwa mereka.


(6) Dosa-dosa besar ada yang bersifat zahir (anggota tubuh) dan ada yang bersifat batin (hati).  Kedua-duanya bahaya kepada orang beriman. 


(7) Jangan sesekali meremehkan apa saja dosa sama ada yang besar atau kecil, sama ada yang zahir atau batin (hati).  Hendaklah sentiasa waspada terhadap apa jua dosa dan segera Taubat kembali kepada Allah.  Meremehkan apa jua dosa adalah dosa besar.


(8) Sebahagian dosa lebih bahaya dari sebahagian lain.  Hampir semua dosa batin (hati) adalah sangat merbahaya, bahkan lebih merbahaya dari dosa zahir lantaran keadaannya yang tersembunyi di dalam hati. 


Berkata Imam Al-Haythami Radhiallahu anhu

"Dosa besar yang bersifat batin (hati) lebih berbahaya dan dosa kemaksiatannya lebih hina dan sangat rendah.  Juga kerana sebahagian besar dosa itu mudah terjadi dan cepat merebak. Terutama apabila seseorang berasa bebas dari sebahagian dosa-dosa tersebut kerana meremehkan kehadirannya"

[Al-Zawaajir]


Bersambung siri 290 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================                                                                                                                                                                                                                                                                                                         MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 288)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 37:

Sumpah Palsu

....sambungan.....



Rawatan dan Penjagaan:

==================


(1) Berkenaan rawatan dan penjagaan, sila rujuk tajuk-tajuk berikut kerana pendekatannya hampir serupa. 


1. Dosa dusta, berbohong

2. Dosa khianat

3. Dosa cinta dunia

4. Dosa tamak

5. Dosa dendam.

6. Dosa memfitnah



(2) Setiap Muslim wajib sungguh-sungguh menjauhkan diri daripada  melakukan sumpah palsu kerana dosanya yang amat besar dan akibatnya yang sangat mengerikan.  Sumpah palsu melibatkan dosa sesama makhluq dan dosa berat terhadap Allah kerana orang berkenaan mempermainkan nama Allah.


(3) Jika seseorang telah terlibat dengan sumpah palsu dan kemudian insaf, maka wajib atas dia Taubat dengan Taubat Nasuha. 


(4) Orang yang Taubat Nasuha kerana terlibat di dalam sumpah palsu, wajib tunaikan syarat-syarat Taubat Nasuha.


■  Jika sumpah palsu berkaitan dengan hak Muslim, maka wajib mohon ampun kepada orang yang teraniaya akibat sumpah palsunya. 


■ Wajib pulangkan setiap harta yang telah dirampasnya dengan sumpah palsu.  Jika dia telah memakannya maka wajib diganti dengan yang serupa. 


■ Jika sumpah palsu melibatkan maruah, maka dia wajib mohon ampun kepada mangsa sumpah palsunya.  Dia wajib sebutkan satu persatu sekalian sumpah palsu dan tuduhan palsu yang telah di lemparkannya terhadap mangsa dan mohon ampun serta redhanya. 


■ Jika seseorang jatuhkan Kehormatan seseorang di khalayak ramai dengan sumpah palsu, dia wajib bersihkan nama hamba Allah di khalayak ramai.   


 Jika dia tidak berbuat demikian, maka perhitungannya di Akhirat amatlah menyiksakan.  Boleh jadi dia akan menjadi "papa kedana" akibat dari segala amal kebaikan diserahkan kepada mangsa dan dosa-dosa mangsa ditimpakan ke atasnya sehingga dicampakkan ke dalam Neraka.  Wal Iyazubillah.


Rasulullah   ﷺ  bersabda:

 “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?”  Sahabat menjawab:  “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham dan juga tidak memiliki harta.”  Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ”Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan ummatku ialah seseorang yang datang pada hari Qiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) dia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan.  Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya , dia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.”

[Imam Muslim]


Bersambung siri 289  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 287)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 37:

Sumpah Palsu

....sambungan.....



Akibat Sumpah Palsu

================


(1) Menanggung dosa yang amat berat kerana mempermainkan nama Allah.


(2) Menanggung dosa kezaliman sesama manusia kerana merampas haq manusia lain dengan tipu daya, helah dan sumpah palsu. 


(3) Hilang kewibawaan dan dipandang hina oleh masyarakat kerana terkenal sebagai orang yang melakukan helah dan sumpah palsu.


(4) Tiada keberkatan di dalam hidup.  Meskipun hartanya banyak,  namun tiada keberkatan, sentiasa merasa tak cukup, tiada ketenangan, sebaliknya sentiasa di dalam kegelisahan.  


(5) Terkena berbagai penyakit misteri dan musibah yang menghabisi segala hartanya.


(6) Cahaya hati akan hilang sedikit demi sedikit akibat memakan harta dengan cara haram. 


(7) Dosa sumpah palsu jauh lebih berat dari perbuatan "dusta" semata-mata, kerana Sumpah palsu melibatkan nama Allah, dan ini membinasakan.  Oleh yang demikian sebahagian Ulama memandang orang ini bukan sahaja berdosa besar dan fasiq, bahkan jatuh kepada kekafiran. Wal Iyazbillah


Berkata Imam Al-Haythami Radhiallahu anhu:

"Sebahagian Ulama berpendapat bahawa berdusta dengan menggunakan nama Allah dan Rasul-Nya adalah kafir."

[Al-Zawaajir]


Bersambung siri 288  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 286)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Dosa Besar 37:

Sumpah Palsu

....sambungan.....



Contoh-Contoh

===========


Sesungguhnya perbuatan Sumpah palsu sudah menjadi perkara biasa di kalangan orang Islam.  Mereka menjual keimanan mereka dengan kenikmatan dunia yang sedikit. 


Contoh 1 : Sumpah Palsu dalam jual beli:

Seorang peniaga yang menjual suatu barang dengan harga yang mahal bersumpah bahawa barang tersebut mahal kerana kosnya mahal.  Yang sebenarnya dia sumpah palsu untuk memperdayakan pembeli.

Atau menjual barangan yang rendah kualiti tetapi sumpah palsu bahawa barangan tersebut dari luar negara yang berkualiti tinggi.


Rasulullah ﷺ. bersabda :

“Hati-hatilah dengan banyak bersumpah dalam menjual dagangan kerana ia memang melariskan dagangan tetapi menghapuskan keberkatan.” 

[Imam Muslim]



Contoh 2:  Sumpah palsu untuk merampas hak orang lain :

Seseorang melakukan sumpah palsu dan mencipta berbagai helah untuk merampas tanah milik orang lain. 


Rasulullah ﷺ bersabda :

“Barangsiapa mengambil hak seseorang muslim dengan sumpahnya (sumpah palsu), maka Allah telah mewajibkan Neraka baginya dan mengharamkan Syurga atasnya”.  Lalu seseorang bertanya, “Walaupun ianya sedikit, wahai Rasulullah?”.  Baginda menjawab, “Walaupun hanya sepotong kayu arak (kayu untuk bersugi).

[Imam Muslim, Imam Ahmad, Imam Ibn Majah, Imam Al-Bayhaqi, Imam Thabrani]



Contoh 3: Kesaksian palsu — saksi sumpah palsu:

Seseorang menjadi saksi di Mahkamah di atas suatu perbicaraan pembunuhan, melakukan sumpah palsu bahwa dia sendiri melihat Si pembunuh sehingga orang tersebut dijatuhkan hukuman, sedangkan saksi tidak melihatnya.  Ini dosa kezaliman yang amat berat. Rasulullah ﷺ gandingkan kesaksian palsu dengan syirik. 


Rasulullah ﷺ bersabda :

“Tidak mahukah aku beritahukan kepada kamu sesuatu yang termasuk dari dosa besar?  Kami menjawab; “Tentu wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Menyekutukan Allah dan mendurhakai kedua orang tua.”  Ketika itu Baginda sedang bersandar, kemudian Baginda duduk lalu melanjutkan Sabda Baginda:  “Perkataan dusta dan kesaksian palsu",   "perkataan dusta dan kesaksian palsu.”   Baginda terus  mengulanginya hingga saya mengira Baginda tidak akan berhenti.” 

[Imam Bukhari]


Rasulullah ﷺ. bersabda :

"Kesaksian palsu sebanding dengan syirik kepada Allah"

[Imam Abu Dawud, Imam Ahmad, Ibn Majah, Ath-Thabrani]



Contoh 4:  Sumpah Palsu pemimpin:

Pemimpin politik seringkali melakukan sumpah palsu bahawa mereka tak pernah ambil satu sen pun duit rakyat. Namun setelah di siasat, terbukti mereka terlibat dengan berbagai "rompakan" terhadap wang milik rakyat.  Rasulullah ﷺ tidak mengakui mereka sebagai Ummat Baginda (ertinya balasan siksaan yang amat berat disebabkan kezaliman yang melampau terhadap Ummat Islam. Wal Iyazubillah)


Rasulullah ﷺ. bersabda :

“Sesungguhnya akan ada setelahku Pemimpin yang berdusta dan zalim.  Barangsiapa masuk kepada mereka (menyertai mereka) kemudian membenarkan pendustaan mereka, atau membantu mereka dalam kezalimannya, maka dia bukan dari golonganku dan aku bukan dari golongannya.  Dan dia tidak akan minum dari telagaku.  Dan barangsiapa tidak membenarkan kebohongan mereka dan tidak membantu mereka dalam berbuat kezaliman, maka dia adalah dari golonganku dan aku adalah dari golongannya.  Dan kelak ia akan minum dari telagaku.” 

[Imam Ahmad]


Bersambung siri 287  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

( Siri 285)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 37:

Sumpah Palsu

....sambungan.....



Dalil-Dalil

========


Firman Allah:


إِنَّ ٱلَّذِينَ يَشۡتَرُونَ بِعَهۡدِ ٱللَّهِ وَأَيۡمَـٰنِہِمۡ ثَمَنً۬ا قَلِيلاً أُوْلَـٰٓٮِٕكَ لَا خَلَـٰقَ لَهُمۡ فِى ٱلۡأَخِرَةِ وَلَا يُڪَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ وَلَا يَنظُرُ إِلَيۡہِمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ وَلَا يُزَڪِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ۬


"Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari kiamat dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa) dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya."

[Aali Imran (3) : ayat 77]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu :

"Kemudian Allah menyebutkan hukuman berat ke atas orang-orang Yahudi yang utamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan melanggar sumpah mereka kepada Allah dan janji-janji mereka kepada Rasul-Rasul.  Juga dikatakan ayat ini di turunkan berkenaan 'Abdan Ibn A-Ashu' dan Imra' A-Qays disebabkan pertelingkahan diantara mereka."

[Tafsir Ibnu Abbas] 


Berkata Imam Al-Qurtubi Radhiallahu anhu:

"Para Imam berkata, dari Al Asy'at bin Qais, "Antara diriku dengan seseorang dari kaum Yahudi terdapat sebidang tanah, namun dia mengingkari tanah itu milikku. Maka aku membawanya kepada Rasulullah.  Rasulullah bertanya kepadaku, "Apakah kamu memiliki saksi?"  Aku menjawab,"Tidak".  Baginda pun berkata kepada orang Yahudi, "Bersumpahlah''   Lantas, orang Yahudi itu pun bersumpah. Kemudian dia mengambil harta milikku itu.  Allah pun menurunkan Firman-Nya :  [Aali Imran (3) : ayat 77]

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَشۡتَرُونَ بِعَهۡدِ ٱللَّهِ وَأَيۡمَـٰنِہِمۡ ثَمَنً۬ا قَلِيلاً أُوْلَـٰٓٮِٕكَ لَا خَلَـٰقَ لَهُمۡ فِى ٱلۡأَخِرَةِ وَلَا يُڪَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ وَلَا يَنظُرُ إِلَيۡہِمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ وَلَا يُزَڪِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ۬ 


[Tafsir Al-Qurtubi]



Firman Allah:


وَلَا تَتَّخِذُوٓاْ أَيۡمَـٰنَكُمۡ دَخَلاَۢ بَيۡنَڪُمۡ فَتَزِلَّ قَدَمُۢ بَعۡدَ ثُبُوتِہَا وَتَذُوقُواْ ٱلسُّوٓءَ بِمَا صَدَدتُّمۡ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۖ وَلَكُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٌ۬


"Dan janganlah kamu jadikan sumpah kamu sebagai tipu daya sesama kamu kerana dengan yang demikian itu akan menyebabkan tergelincir kaki kamu sesudah ia tetap teguh (di atas jalan yang benar) dan kamu pula akan merasai balasan buruk (di dunia) dengan sebab kamu menghalangi manusia dari jalan Allah dan bagi kamu juga disediakan azab yang besar (di akhirat kelak)."

[An-Nahl (16) ; ayat 94]


Rasulullah ﷺ. bersabda :

“Dosa-dosa besar itu adalah sekutukan Allah, derhaka kepada kedua orang tua, membunuh dan bersumpah palsu”. 

[Imam Bukhari]


Hadith Rasulullah ﷺ:

Seorang Arab Badwi datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata, “Wahai Rasulullah! Apakah dosa-dosa besar itu?” Baginda menjawab, “Isyrak (syirik — menyekutukan Allah)”, dia bertanya lagi, “Kemudian apa?”, Baginda menjawab, “Kemudian derhaka kepada kedua orang tua”, dia bertanya lagi, “Kemudian apa?”, Baginda menjawab, _"Al-yamin Al-ghamus"_  (Sumpah yang menjerumuskan). Aku bertanya, “Apa sumpah yang menjerumuskan itu?” Baginda menjawab, “Sumpah dusta yang menjadikan dia mengambil harta seorang Muslim”. 

[Imam Bukhari]


Rasulullah ﷺ bersabda :

“Barangsiapa mengambil hak seseorang muslim dengan sumpahnya (sumpah palsu), maka Allah telah mewajibkan Neraka baginya dan mengharamkan Syurga atasnya”. Lalu seseorang bertanya, “Walaupun ianya sedikit, wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab, “Walaupun hanya sepotong kayu arak (kayu untuk bersugi) 

[Imam Muslim, Imam Ahmad, Imam Ibn Majah, Imam Al-Bayhaqi, Imam Thabrani]


Bersambung siri 286  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

 ■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 284)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 37:

Sumpah Palsu  ( الْيَمِينُ الْغَمُوسُ )

□□□□□□□□□□□□□□□□□□



Definisi

=======

Menurut bahasa:

Ghamus berasal dari kata "  غَمَسَ - يغمس  "  yang bermaksud memasukkan, mencelupkan, membenamkan, merendamkan, menenggelamkan, menjerumuskan


Menurut istilah :

Al-yamin Al-ghamus  ( الْيَمِينُ الْغَمُوسُ ) adalah Sumpah palsu untuk mengambil hak orang lain atau melariskan barang dagangan atau menganiaya seseorang atau memberikan kesaksian palsu semata-mata memperoleh nikmat duniawi. 


Penjelasan:

========


(1) Ulama sepakat bahawa Sumpah palsu ( الْيَمِينُ الْغَمُوسُ )

adalah haram dan pelakunya menanggung dosa besar.


(2) Sumpah palsu ialah seseorang yang menggunakan Nama Allah atau Asma' Allah (Nama-Nama Allah Yang Maha Agung) untuk bersumpah sedang sumpah tu mengandungi pembohongan. 


(3)  Sumpah Palsu mempunyai impilikasi yang amat berat kerana mempermainkan Nama Allah. 


(4) Dosa Sumpah palsu menjadi dosa yang amat berat kerana Rasulullah ﷺ menyebut dosa Sumpah palsu seiring dengan dosa Syirik.


(5) Sumpah palsu menarik seseorang beberapa dosa lain yang berat-berat semuanya:

(i) Dosa bohong, menipu daya

(ii) Dosa merampas hak manusia secara batil

(iii) Dosa khianat

(iv) Dosa Tamak haloba

(v) Dosa mempermainkan nama Allah


Berkata Imam Al-Haythami Radhiallahu anhu:

"Sebahagian Ulama berpendapat bahawa berdusta dengan menggunakan nama Allah dan Rasul-Nya adalah kafir."

[Al-Zawaajir]



Bersambung siri 285  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 283)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 36 :

Tidak Redha dengan Taqdir

....Sambungan.....



Hadith Rasulullah  ﷺ :

Sayyidina Umar Radhiallahu anhu  bertanya Nabi ﷺ  :

"Apakah pandanganmu tentang amalan (manusia) yang dilakukan adakah ia sudah ditetapkan sebelumnya atau baru berlaku? Maka dijawab oleh Baginda : "Sesungguhnya segala sesuatu telah pun ditetapkan pada setiap perkara.  Lalu dibalas oleh Umar:  "Jika demikian, adakah kita harus menyerah sahaja?"  Baginda Bersabda:  "Beramallah wahai Ibnu al-Khattab.  Segala sesuatu itu sudah dipermudahkan.  Sesiapa yang tergolong di kalangan ahli kebaikan (Syurga), maka dia dijadikan beramal dengan amalan ahli Syurga dan sesiapa yang tergolong dalam ahli Siksa, maka dia dijadikan beramal jahat untuk ke Neraka."

[Imam Ahmad]



(5) Persoalan Taqdir ini sememangnya memeningkan bagi kebanyakan orang Islam awam.  Pendirian yang selamat ketika menghadapi persoalan Taqdir adalah : 


Pertama :  Apabila seseorang berada pada jalan yang benar, jalan lurus, jalan yang di Redhai Allah (iaitu Ahlus Sunnah), maka banyakkan Syukur kepada Allah dan terus istiqomah, pegang teguh Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ.  

Sebaliknya barangsiapa berada pada jalan-jalan kesesatan (selain Ahlus Sunnah), hendaklah segera Taubat dan bergabung dengan Ahlus Sunnah yang benar iaitu satu-satunya Jalan Allah dan Rasul-Nya yang benar.  Inilah Bahtera Rasulullah ﷺ yang akan terus belayar merentas zaman sampai Akhirat. 


Ke-2 :  Ketika kamu memperoleh berbagai Nikmat Allah, katakan : Sesungguhnya semua Nikmat ini dari Kurnia Tuhanku. Aku wajib bersyukur".  Maka bersyukurlah atas Kurniaan-Nya.  JANGAN sesekali mengaku atau mendabik dada mengakui semua Nikmat itu hasil dari kebaikan yang kamu kerjakan.  Jika demikian kamu akan binasa kerana yang demikian itu sifat Takabbur yang di Murkai Allah. 


Ke-3 :  Ketika datang berbagai dugaan seperti kemiskinan, kecelakaan atau musibah yang lain, katakan :  Sesungguhnya ini dugaan Allah untuk hapuskan dosa-dosaku yang banyak.  Aku mesti bersabar dan bertaubat.


Ke-4 :  Ketika datang keraguan berkenaan Taqdir palingkan segera kepada Allah.....katakan Allah lebih Mengetahui tentang kamu. Katakan : "Ketentuan Allah padaku yang terbaik."


Ke-5 : Jika datang bisikan : "Kamu tak perlu ikut hukum-hakam semua sebab Allah telah tentukan tempat engkau di dalam Syurga atau Neraka, jadi tak guna pun kau beramal."  

Itu adalah bisikan nafsu dan Syaitan, maka katakan : 

"Allah Ta'ala menunjukkan aku jalan kebaikan mengikut Ahlus Sunnah, dan Dia menunjukkan aku Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, maka aku mesti pegang teguh dengan Perintah Allah, aku mesti istiqomah dengan semua Perintah Allah dan pegang teguh dengan Pewaris Nabi yang Siddiq.   In shaa Allah aku termasuk hamba-hamba yang di Redhai-Nya."


Bersambung siri 284  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 15 - AKHIR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Fasal 15 :   Khotimah Demikianlah kami m...