■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 286)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 37:
Sumpah Palsu
....sambungan.....
Contoh-Contoh
===========
Sesungguhnya perbuatan Sumpah palsu sudah menjadi perkara biasa di kalangan orang Islam. Mereka menjual keimanan mereka dengan kenikmatan dunia yang sedikit.
Contoh 1 : Sumpah Palsu dalam jual beli:
Seorang peniaga yang menjual suatu barang dengan harga yang mahal bersumpah bahawa barang tersebut mahal kerana kosnya mahal. Yang sebenarnya dia sumpah palsu untuk memperdayakan pembeli.
Atau menjual barangan yang rendah kualiti tetapi sumpah palsu bahawa barangan tersebut dari luar negara yang berkualiti tinggi.
Rasulullah ﷺ. bersabda :
“Hati-hatilah dengan banyak bersumpah dalam menjual dagangan kerana ia memang melariskan dagangan tetapi menghapuskan keberkatan.”
[Imam Muslim]
Contoh 2: Sumpah palsu untuk merampas hak orang lain :
Seseorang melakukan sumpah palsu dan mencipta berbagai helah untuk merampas tanah milik orang lain.
Rasulullah ﷺ bersabda :
“Barangsiapa mengambil hak seseorang muslim dengan sumpahnya (sumpah palsu), maka Allah telah mewajibkan Neraka baginya dan mengharamkan Syurga atasnya”. Lalu seseorang bertanya, “Walaupun ianya sedikit, wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab, “Walaupun hanya sepotong kayu arak (kayu untuk bersugi).
[Imam Muslim, Imam Ahmad, Imam Ibn Majah, Imam Al-Bayhaqi, Imam Thabrani]
Contoh 3: Kesaksian palsu — saksi sumpah palsu:
Seseorang menjadi saksi di Mahkamah di atas suatu perbicaraan pembunuhan, melakukan sumpah palsu bahwa dia sendiri melihat Si pembunuh sehingga orang tersebut dijatuhkan hukuman, sedangkan saksi tidak melihatnya. Ini dosa kezaliman yang amat berat. Rasulullah ﷺ gandingkan kesaksian palsu dengan syirik.
Rasulullah ﷺ bersabda :
“Tidak mahukah aku beritahukan kepada kamu sesuatu yang termasuk dari dosa besar? Kami menjawab; “Tentu wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Menyekutukan Allah dan mendurhakai kedua orang tua.” Ketika itu Baginda sedang bersandar, kemudian Baginda duduk lalu melanjutkan Sabda Baginda: “Perkataan dusta dan kesaksian palsu", "perkataan dusta dan kesaksian palsu.” Baginda terus mengulanginya hingga saya mengira Baginda tidak akan berhenti.”
[Imam Bukhari]
Rasulullah ﷺ. bersabda :
"Kesaksian palsu sebanding dengan syirik kepada Allah"
[Imam Abu Dawud, Imam Ahmad, Ibn Majah, Ath-Thabrani]
Contoh 4: Sumpah Palsu pemimpin:
Pemimpin politik seringkali melakukan sumpah palsu bahawa mereka tak pernah ambil satu sen pun duit rakyat. Namun setelah di siasat, terbukti mereka terlibat dengan berbagai "rompakan" terhadap wang milik rakyat. Rasulullah ﷺ tidak mengakui mereka sebagai Ummat Baginda (ertinya balasan siksaan yang amat berat disebabkan kezaliman yang melampau terhadap Ummat Islam. Wal Iyazubillah)
Rasulullah ﷺ. bersabda :
“Sesungguhnya akan ada setelahku Pemimpin yang berdusta dan zalim. Barangsiapa masuk kepada mereka (menyertai mereka) kemudian membenarkan pendustaan mereka, atau membantu mereka dalam kezalimannya, maka dia bukan dari golonganku dan aku bukan dari golongannya. Dan dia tidak akan minum dari telagaku. Dan barangsiapa tidak membenarkan kebohongan mereka dan tidak membantu mereka dalam berbuat kezaliman, maka dia adalah dari golonganku dan aku adalah dari golongannya. Dan kelak ia akan minum dari telagaku.”
[Imam Ahmad]
Bersambung siri 287 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment