Wednesday, July 08, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN


10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al


Sesungguhnya beruntunglah hamba-hamba Allah yang disucikan batinnya sehingga tercurah Nur Rabbaniyyah (Cahaya Ketuhanan) yang Tinggi ke dalam hatinya, sehingga diangkat ke Maqam Tauhid yang hakiki.  Tauhid yang hakiki ini disebut juga sebagai Iman Sejati atau Ma’rifat dan Ubudiyyah setulus hati.

 

Inilah Tauhid dan Iman yang sebenar yang terbit dari hati yang benar-benar suci bersih dari segala bentuk kesyirikan atau mazmumah.  Hatinya bersinar bagaikan permata, memantulkan Cahaya Af’al, Asma’, Sifat dan Zat Allah. Tauhid hakiki ini adalah semata-mata penghayatan hati dan ruh, dan BUKAN fiqir aqal.  Ia semata-mata pandangan mata hati hamba Allah yang terbuka kepada Ketuhanan yang Laisa-Kamithlihi-Syai’un (Tiada umpama sesuatu sepertinya).

 

Hamba-hamba Allah yang telah di-Kurniakan oleh Maqam Tauhid ini akan merasai sendiri sejumlah bukti di dalam dirinya.  Hatinya dapat melihat dan merasai sendiri  Kurnia Allah ini di dalam hatinya yang dipenuhi Cahaya gilang-gemilang. Berikut adalah tanda-tanda yang terang nyata menunjukkan seseorang telah sampai ke Maqam Tauhid Af'al. 

  

Tanda Pertama :  Terbuka mata hati menyaksikan Af'al Allah

Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid pertama ini akan menyaksikan sekalian Af'al (Perbuatan) Allah dengan pandangan ainul-basirah (mata hatinya) yang terbuka kepada Ketuhanan.  Dia akan diperlihatkan setiap yang bergerak atau diam pada haqiqatnya Af'al Allah.  Dia akan diperlihatkan pada setiap saat berlakunya Taqdir Allah ke atas dirinya dan sekalian makhluq. Inilah permulaan Tauhid yang sebenar, Esakan Allah dengan pandangan mata hati yang jernih.   

Ketika berada pada tingkatan orang awam, dia hanya mengenal Af'al Allah dengan aqalnya, iaitu teori dan hujjah yang diterima aqal, namun sekarang dia saksikan sendiri Af'al Allah melalui pandangan mata hatinya, iaitu penyaksian melalui Cahaya Ketuhanan yang terang-benderang yang terlimpah ke dalam hatinya.  Ianya sebuah penghayatan hati dan ruh tanpa kaifiyyat atau cara untuk dikhabarkan.

Keyakinan yang terhasil dari pandangan ainul basirah (mata hati) ini yang dinamakan Ainul-Yaqin, iaitu sebenar-benar yakin tanpa keraguan sedikit pun, keyakinan yang disaksikan dengan pandangan mata hati, keyakinan yang terbit dari cahaya hati yang terhubung kepada Cahaya Ketuhanan.  Inilah keyakinan penuh — keyakinan 100% yakin tanpa sebarang keraguan. Sedangkan di peringkat orang awam, keyakinannya cuma di peringkat Ilmul-Yaqin iaitu keyakinan bercampur keraguan — bercampur-campur antara syak, zonn atau waham. 

Perbandingan bagi memahami hal ini...

Misalnya seseorang meyakini "manis dan lazatnya buah durian" semata-mata berdasarkan khabar yang didengarinya atau teori atau hujjah aqal yang diketahuinya sedangkan dia sendiri tak pernah melihat dan merasai kelazatannya, maka keyakinan seperti ini adalah kepercayaan yang rapuh, belum teguh, bercampur-campur dengan keraguan.  Amat jauhlah perbezaannya dengan orang yang benar-benar "melihat sendiri buah durian" dan "merasai sendiri isinya yang lazat", baginya tiada keraguan sedikit pun berkenaan "buah durian" dan "kelazatan rasanya" kerana dia sudah merasai sendiri akan kebenarannya, bukan sekadar pengetahuan aqal atau khayalan atau teori semata-mata.

Penyaksian kepada Af'al Allah dan Tauhid yang penuh yakin dalam hati dengan pandangan Ainul-Yaqin ini adalah hasil terpenting dan tanda paling utama bagi orang yang sampai ke Maqam Tauhid pertama ini.

Firman Allah:

أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدْرَهُۥ لِلْإِسْلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍۢ مِّن رَّبِّهِۦ

“Apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya (untuk) berserah diri lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang tertutup mata hatinya?)”

[Az Zumar (39) : Ayat 22]

 

Tanda ke-2 :  Musnah Syirik khafi (syirik tersembunyi)

Di antara tanda-tanda yang menjadi keberuntungan bagi Salikin yang sampai ke Maqam Tauhid ini adalah terhapusnya sekalian Syirik Khafi, iaitu ego sombong takabbur, riya', ujub, sum'ah dan lain-lainnya yang merosakkan Iman dan batalkan Ibadah.

Orang yang sampai ke Maqam Tauhid Af'al tidak akan ego, megah, sombong, takabbur atau lainnya, sebaliknya semua kesyirikan (syirik khafi) itu musnah dengan sendirinya.  Dia akan sentiasa merendah diri kepada sekalian hamba-hamba Allah.  Meskipun dia hartawan atau jutawan atau cendikiawan atau Raja yang memerintah sekalipun, dia tidak akan membesarkan dirinya, sebaliknya sifat tawadhu menguasai dirinya.  Dia sentiasa menyedari kehinaan dirinya di hadapan Allah.  Dia sedar segala harta, pangkat, kekayaan, kedudukan atau apa saja keistimewaan yang ada padanya bukan miliknya tetapi milik Allah Yang Maha Agung.

Orang Islam yang berada pada tingkatan awam seringkali tewas dengan nafsu kesombongan, riya', 'ujub, sum'ah dan lain-lain terutama ketika mereka sedang melakukan kebaikan atau mencapai suatu kejayaan hidup atau mereka memiliki suatu keistimewaan atau mereka mempunyai pangkat, kedudukan, ketinggian di kalangan masyarakat.

Misalnya apabila mereka mengerjakan solat sunnat yang banyak atau sedekah, atau Qiamullail yang banyak maka datanglah perasaan riya', ujub atau sum'ah, atau seseorang pelajar mencapai kejayaan cemerlang lalu datang perasaan hebat di dalam dirinya, atau seorang pensyarah, guru, pakar motivasi dan sebagainya mencapai kecemerlangan di dalam kerjaya masing-masing, lalu mereka merasai kemegahan di dalam dirinya.

Setengah orang awam yang mempunyai kesedaran, cuba atasi masalah tersebut dengan berbagai cara.  Kadangkala mereka cuba menafikan, namun sifat-sifat tersebut tetap datang menguasai mereka berulang-ulang.   Kadangkala mereka berjaya menolak dengan cara menggagahinya iaitu buat-buat merendah diri atau buat-buat menghina diri, namun ianya sebentar sahaja, sifat-sifat tersebut kembali menguasainya.

Tetapi jauhnya perbezaan hal ehwal orang awam ini dengan hamba-hamba Allah yang sudah sampai ke Maqam Tauhid yang hakiki.  Bagi mereka semua macam kesyirikan (syirik khafi) musnah berkat Zikrullah dan mujahadah pada Jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq.  Hati mereka yang sentiasa berzikir Allah Allah menolak semua macam kesombongan atau kesyirikan.  Maka selamatlah Tauhid mereka daripada kerosakan.

 

Tanda ke-3 :  Musnah Sifat Mazmumah (kekejian)

Sesungguhnya sifat Mazmumah (sifat kekejian) menguasai hampir seluruh kehidupan orang Islam.  Mereka sentiasa bergelumang dengan sifat-sifat kekejian — jahat sangka, hasad dengki, mengumpat, adu domba, tipu daya, fitnah dan lain-lain tanpa henti.

Namun Alhamdulillah, berkat didikan pada Jalan Ma'rifat, mereka akan menjadi hamba-hamba Allah yang suci bersih hatinya.  Mereka akan dapat melepaskan diri daripada belenggu kekejian ini.  Sekalian sifat-sifat kekejian akan hancur musnah apabila Cahaya Ketuhanan meliputinya.

Inilah hasil didikan pada Jalan Ma'rifat.  Dan inilah setengah dari tanda menunjukkan seseorang yang telah sampai ke Maqam Tauhid Af'al.

 

Tanda ke-4 :  Melihat Rahmat Allah pada setiap ibadah atau kebajikan

Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Af'al akan melihat Kurnia Allah dan Rahmat-Nya pada setiap Ibadah dan kebajikan  yang dilakukannya.  Hilang keupayaan dirinya, hilang keakuan dirinya. 

Ketika berdiri untuk solat, dia akan melihat Rahmat Allah.  Ketika dia ruku' dan sujud, dia melihat Rahmat Allah.  Ketika dia bersedekah dia melihat Rahmat Allah yang membolehkannya sedekah.  Ketika dia melakukan kebajikan, dia melihat Anugerah dan Rahmat Allah.  Ketika dia mencapai kejayaan dia melihat di dalamnya Rahmat dan Ke-Agungan Allah. 

Inilah sebenar-benar Tauhid, iaitu sentiasa melihat Anugerah dan Rahmat Allah pada setiap ibadah dan kebajikan yang dilakukannya dan hilang keupayaan dirinya untuk melakukan sesuatu.  Hilang keakuan dirinya walau apa pun kejayaan yang dia capai.

Firman Allah:

وَمَا تَشَآءُونَ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًۭا

“Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang di-Kehendaki Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya)”.

[Al-Insan  (76) : Ayat 30]

 

Firman Allah:

 مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ

Sekaliannya menurut barang yang di-Kehendaki Allah.  Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah.

[Al-Kahfi (18) : Ayat 39]

 

Rasulullah bersabda:

“Dan ketahuilah bahawa jikalau makhluq sekaliannya berhimpun untuk memberi kamu suatu manfaat tidaklah perkara itu bermanfaat bagi kamu melainkan Allah telah menetapkannya untukmu dan jikalau mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu maka tidaklah akan memudaratkan kamu melainkan Allah jua yang telah menetapkannya bagimu, telah diangkat Qalam dan telah selesai ditulis suhuf (tempat tulisan takdir)”.

[Imam Tirmizi,  Imam Ahmad]

Sesungguhnya pandangan dan perasaan Tauhid ini merupakan di antara tanda-tanda pencapaian Salikin yang terpenting.  Orang awam yang belum sampai ke Maqam ini akan mendapati diri mereka amat sukar berdiri pada Maqam ini, iaitu hati mereka tidak melihat Rahmat Allah sebaliknya mereka akan melihat kekuatan dan keupayaan diri sendiri untuk melakukannya, maka sentiasalah mereka dikuasai syirik khafi.  Wal Iyazubillah.

 


...bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al - Tanda ke-5 :  Memperoleh Ikhlas yang sebenar

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه


Tuesday, July 07, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN


10.3  Dalil-dalil Berkenaan Cahaya Ketuhanan Yang Menerbitkan Tauhid

 

Berikut kami cantumkan beberapa dalil berkenaan Tauhid hakiki atau Iman sejati atau Ma’rifat dan Ubudiyyah yang suci murni yang diperoleh oleh Salikin melalui Pancaran Cahaya Ketuhanan ke dalam hati mereka.


Firman Allah:

 

ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ۚ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشۡكَوٰةٍ۬ فِيہَا مِصۡبَاحٌ‌ۖ ٱلۡمِصۡبَاحُ فِى زُجَاجَةٍ‌ۖ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّہَا كَوۡكَبٌ۬ دُرِّىٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ۬ مُّبَـٰرَڪَةٍ۬ زَيۡتُونَةٍ۬ لَّا شَرۡقِيَّةٍ۬ وَلَا غَرۡبِيَّةٍ۬ يَكَادُ زَيۡتُہَا يُضِىٓءُ وَلَوۡ لَمۡ تَمۡسَسۡهُ نَارٌ۬‌ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ۬‌ۗ يَہۡدِى ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن يَشَآءُ‌ۚ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَـٰلَ لِلنَّاسِ‌ۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمٌ۬

“Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi.  Perumpamaan cahaya-Nya adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar.  Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkahnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api.  Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

[An-Noor (24) : Ayat 35]

 

Firman Allah:

أَوَمَن كَانَ مَيْتًۭا فَأَحْيَيْنَـٰهُ وَجَعَلْنَا لَهُۥ نُورًۭا يَمْشِى بِهِۦ فِى ٱلنَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُۥ فِى ٱلظُّلُمَـٰتِ لَيْسَ بِخَارِجٍۢ مِّنْهَا

Dan apakah orang yang sudah mati (hatinya) kemudian Kami hidupkan dia dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya.”

[Al-An’am (6) : Ayat 122]

 

Firman Allah:

وَمَن لَّمْ يَجْعَلِ ٱللَّهُ لَهُۥ نُورًۭا فَمَا لَهُۥ مِن نُّورٍ

“Barangsiapa yang tiada diberi Cahaya oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun”

[An Nuur (24) : Ayat 40]

 

Firman Allah:

أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدْرَهُۥ لِلْإِسْلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍۢ مِّن رَّبِّهِۦ

Apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya (untuk) berserah diri lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang tertutup mata hatinya?)”

[Az Zumar (39) : Ayat 22]

 

Rasulullah bersabda:

“Takutlah akan  firasat Mu’min, sesungguhnya dia melihat dengan cahaya Allah“

[Imam Tirmizi] 

                    

Rasulullah   bersabda:

"Hati itu ada empat macam: Pertama, qalbun ajrad (hati yang murni tak bernoda) di dalamnya seperti ada pelita yang bersinar.  Kedua, qalbun aghlaf (hati yang tertutup) yang terikat tutupnya.  Ketiga, qalbun mankuus (hati yang terbalik).  Keempat, qalbun musfah (hati yang terlapis).  Ada pun qalbun ajrad adalah hati seorang Mu’min, pelita dalam hatinya adalah cahaya, qalbun aghlaf adalah hati orang kafir, qalbun mankuus adalah hati orang munafik, yang mengetahui kemudian mengingkari.  Qalbun musfah adalah hati yang di dalamnya bercampur iman dan nifaq, iman yang ada di dalamnya seperti tanaman yang disirami air yang segar dan nifaq yang ada di dalamnya seperti bisul yang disirami darah dan nanah, mana dari dua unsur di atas yang lebih kuat, maka itulah yang akan menguasai hatinya.”

[Imam Ahmad]




....bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه



MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN



10.2  Fakta-fakta Penting Tauhid Hakiki, Iman Sejati, Ma’rifat Suci Murni


Ini suatu penjelasan ringkas berkenaan pencapaian Tauhid oleh sekalian Salikin yang mujahadah pada Jalan Allah, iaitu jalan Ma'rifat yang dipimpin oleh Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.


Fakta 1 :  Tauhid yang benar dari Penghayatan Hati dan Ruh

Sesungguhnya pencapaian Tauhid oleh sekalian Salikin adalah sebenar-benar Tauhid yang terbit dari hati yang suci bersih daripada kesyirikan atau kekejian.  Inilah sebenar Tauhid yang tiada waham, syak atau zonn di dalamnya.  Salikin yang di-Kurniakan oleh Allah "Tauhid yang suci murni" menghayatinya dari dalam hati dan ruhnya, bukan sekadar mengulang-ulangi teori aqal tentang Ketuhanan, dan bukan sekadar orang yang petah berhujjah sedangkan batinnya kosong.

 

Fakta 2 :  Mujahadah pada Jalan Ma'rifat

Tauhid yang suci murni ini hanya terhasil setelah seseorang Islam mujahadah sungguh-sungguh pada Jalan Ma'rifat dengan mematuhi sekalian syarat dan adab-adabnya dengan pimpinan Mursyid pewaris Nabi yang Siddiq.  Belajar menyucikan hati dan menundukkan nafsu-nafsu kerendahan, berusaha merawat penyakit batinnya yang amat berat — ego takabbur, 'ujub, riya', sum'ah dan lain-lain.

 

Fakta 3 :  Pemimpinnya Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq

Sesungguhnya Pemimpin yang menunjukki Jalan memperoleh Tauhid yang hakiki ini adalah Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq.  Merekalah, dan hanya mereka yang mewarisi Ilmu Rasulullah zahir dan batin.  Allah Ta'ala Kurniakan mereka Rahsia-rahsia Ketuhanan dan rahsia-rahsia kehambaan yang dengannya mereka memimpin manusia mencapai Keimanan sejati  (Ma'rifat suci murni).

 

Fakta 4 :  Mengenal Allah melalui pancaran Cahaya Ilahiyyah

Ketika hati Salik telah suci bersih dari segala penyakit-penyakit hati dan mula bersinar dengan cahaya Zikrullah yang meliputi seluruh tubuhnya, maka ketika itu Allah Ta'ala Yang Maha Pemurah Melimpahkan Nur Rabbaniyyah (Cahaya Ketuhanan) ke dalam hatinya.  Maka melihatlah Salikin kepada Ketuhanan melalui pancaran Cahaya Ilahi ini tanpa sebarang kaifiyyat atau cara.

 

Fakta 5 :  Ainul Yaqin, Haqqul Yakin, Kamalul Yaqin

Salikin yang telah mencapai Tauhid yang hakiki atau Iman sejati ini tidak lagi bergantung kepada dalil-dalil untuk beriman kepada Allah sebagaimana orang awam.  Orang Islam awam memerlukan dalil dan hujjah-hujjah aqal untuk percaya Wujud Allah dan Sifat-sifat-Nya, Asma'-Nya dan Af'al-Nya.  Sedangkan Salikin "melihat Wujud Allah dari dalam hati".  Mereka dibukakan oleh Allah "mata hati” menyaksikan sekalian Af'al, Asma', Sifat dan Zat Allah dengan penuh keyakinan.  Inilah Ainul Yaqin, Haqqul Yakin, Kamalul Yaqin sehingga Tajallul Yakin.


Fakta 6 :  Pencapaian Tauhid Salikin bertingkat-tingkat

Pencapaian Tauhid yang hakiki yang dicapai oleh Salikin bukan satu darjat melainkan bertingkat-tingkat bermula dari Maqam Af'al, kemudian Maqam Asma', kemudian Maqam Sifat, kemudian Maqam Zat dan Maqam Tajalli Zat.  Ertinya seseorang Salikin tidak akan sampai kepada “Maqam Tauhid tertinggi sekaligus melainkan mata hatinya terbuka beransur-ansur melihat kepada Af’al Allah terlebih dahulu.  Kemudian akan terbuka lebih luas berdasarkan kesungguhan mujahadahnya dan Kemurahan Allah Ta’ala kepada-Nya.

 

Fakta 7 :  Tingkat pertama Tauhid — Maqam Af'al

Permulaan Pencapaian Tauhid hakiki ini adalah "Maqam Tauhid Af'al", iaitu Esakan Allah Ta'ala pada Af'al-Nya (Perbuatan-Nya).  Ertinya apabila seseorang telah sampai ke Maqam Tauhid Af’al, maka ketika itulah permulaan dia mencapai Tauhid yang sebenar atau disebut juga sebagai Keimanan sejati. Inilah sebenar-benar Tauhid, yang jauh dari sebarang bentuk Syirik di dalam hati.  Sebelum dia mencapai Maqam ini, hati dia sentiasa berbolak-balik antara keimanan dan kesyirikan (syirik hati).

 

Fakta 8 :  Pilihan Allah (Anugerah Allah)

Pembukaan mata hati dan Maqam-Maqam Tauhid yang hakiki adalah Kehendak Allah Ta'ala semata-mata, BUKAN kehendak atau pilihan Guru yang memimpinnya.  Gurunya hanya menzahirkan (isytiharkan)  pencapaian  murid-muridnya berdasarkan Kehendak Allah.


Fakta 9 :  Kewajipan setiap Muslim

Setiap Muslim wajib berusaha mencapai Tauhid yang hakiki ini.  Mereka wajib mencari Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq (Benar) agar mereka dipimpin kepada Allah bagi mencapai Keimanan sejati.


Fakta 10 : Alim Kitab, Alim Fiqh, Alim Usuluddin wajib berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Hal ini telah disebut beberapa kali sebelum ini.  Setiap orang Alim Fiqh yang sudah memahami selok-belok Ilmu fiqh, meskipun sudah sampai ribuan kitab, atau Alim Usuluddin yang sangat hebat mensyarahkan Sifat 20 atau orang Alim yang sangat mahir hafal Hadith dan sangat bagus hafalannya, kesemua mereka wajib berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq untuk menyucikan batin mereka daripada berbagai syirik khafi, mazmumah, ghaflah dan aghyar.  Dan seterusnya  memperoleh Tauhid yang hakiki, Iman Sejati, Ma’rifat dan Ubudiyyah yang suci murni.

 

Tanpa menempuh jalan Ma’rifat dengan bimbingan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sehingga mencapai Tauhid hakiki ini, orang Alim fiqh atau Alim Usuluddin yang paling hebat sekalipun akan tetap berada pada tahap Iman orang awam, iaitu hatinya berbolak-balik di antara keimanan dan kesyirikan (syirik khafi) dan bercampur aduk dengan nifaq (nifaq kecil).  Mereka akan sentiasa bergelumang dengan ‘ujub, riya’, sum’ah, takabbur dan sifat-sifat mazmumah.  Bahkan mereka di dalam bahaya terjatuh kepada golongan-golongan sesat Aqidah atau sesat di dalam keruhanian.

Kami kemukakan dua bukti paling kukuh bagi kenyataan ini:

 

Pertama:

Pelopor dan pengasas bagi fahaman-fahaman sesat berjumlah 72 golongan adalah terdiri daripada orang-orang Alim fiqh dan cerdik pandai Agama. Mereka adalah penghafal Qur’an dan Hadith.  Mereka hebat berpidato dan kalahkan lawan di dalam berhujjah.

 

Kedua:

Bukti paling kukuh bagi kenyataan ini adalah jalan hidup Imam Ghazali Radhiallahu anhu yang telah masyhur kisahnya, sebagaimana yang telah dinukilkan kisah beliau di dalam Risalah ini dan beberapa Risalah kami yang lain.  Pada awal perjalanan hidup beliau, Imam Ghazali merupakan orang yang sangat alim di dalam  hukum-hakam Agama dan mampu mengalahkan lawan di dalam perdebatan Agama.  Tetapi beliau tak mampu keluar daripada sifat riya’ dan kecenderungan pada kemasyhuran duniawi.

 

Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

“Sesiapa tidak memperolehi ilmu ini (Ma’rifat mengenal Allah – Tauhid Hakiki) tidak akan menjadi bijaksana dan ‘Arif walaupun dia membaca seribu kitab”.

[Sirrul Asrar]

  

Beliau berkata lagi:

“Walau bagaimanapun tinggi dan sempurna ilmu Zahir (Syari’at) seseorang itu tidak akan membantunya untuk masuk ke Majlis Ketuhanan, iaitu Hadratul Quddus,  berserta Allah.”

[Sirrul Asrar]

 

Berkata Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu:

“Pendapat ini (Ahli Usuluddin) hanya 70 peratus yaqin (zonn) kerana yaqin peringkat ini sebagai khabar jua (fikir aqal).  Adapun ‘Ainul Yaqin itu iaitu tiap-tiap Ma’rifat yang didapat dilihat dengan mata hati, keadaan yaqin 100 peratus.”

[Risalah Ma’rifat]

 

Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:

“Pendeknya barangsiapa yang belum di-Kurnia Tuhan mengalaminya (Mengenal Allah melalui Sistem pendidikan Ahli Sufi) belumlah ia mengenal haqiqat Kenabian, lebih dari namanya sahaja.”

[Muqiz Min-adh-dholal]

 

 

....bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.3  Dalil-dalil Berkenaan Cahaya Ketuhanan yang Menerbitkan Tauhid

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه

Friday, July 03, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN


10.1   Pengenalan



Setelah kami jelaskan Sistem Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (Jalan Ma’rifat), yang mereka warisi daripada Junjungan Besar Rasulullah  , maka di sini kami jelaskan pula berkenaan Tingkatan Pencapaian Salikin yang menempuh Sistem Pendidikan tersebut.

Tingkatan Pencapaian Salikin yang menempuh jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq terdiri dari 5 Tingkatan Tauhid:

Tingkatan 1 :  Maqam Tauhid Af'al

Tingkatan 2 :  Maqam Tauhid Asma'

Tingkatan 3 :  Maqam Tauhid Sifat

Tingkatan 4 :  Maqam Tauhid Zat

Tingkatan 5 :  Maqam Kesempurnaan Tauhid Zat (Tajalli Zat)

 

Setiap Tingkatan Tauhid ini terdiri dari beberapa darjat yang lain yang bercabang-cabang, masing-masing dengan Amanah tersendiri.  Sesungguhnya setiap Maqam ini adalah semata-mata Anugerah Allah Ta'ala kepada Salikin yang telah mujahadah sungguh-sungguh pada Jalan-Nya dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. 

 

Firman Allah:

 

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَا‌ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh pada jalan Kami nescaya Kami tunjukkan mereka jalannya.  Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat ihsan”

[Al-Ankaboot (29) : Ayat 69]


Sebagaimana kita bicarakan hal ini di dalam beberapa siri yang telah lalu, sesungguhnya Pencapaian Tauhid inilah sebenar-benar Tauhid, iaitu Tauhid yang terbit dari hati yang suci bersih dari kekotoran ma'nawiyyah yang menutup pandangan mata hati.  Inilah Ma'rifat dan Ubudiyyah yang dituntut oleh Allah Ta'ala sebagaimana Isyarat-Nya:

 

Firman Allah:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

“Dan tidaklah Aku ciptakan jinn dan manusia kecuali untuk berubudiyyah kepada-Ku”

[Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 56]


Kata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

"Pengertian  "  يَعْبُدُونِ  "   (Ya'budun) pada ayat ini adalah  " يعرفون "  (Ya'rifun), iaitu Mengenal Allah dan berubudiyyah kepada-Nya,  (bukan dengan maksud fahaman ibadah yang sempit)".

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Manusia tidak akan mampu beribadah secara sempurna kepada Allah tanpa Ma'rifat yang sebenar.  Ma'rifat dapat terwujud setelah hilangnya segala sesuatu yang menghalangi cermin hati dengan terus sungguh-sungguh membersihkannya sehingga manusia dapat melihat indahnya sesuatu yang terpendam dan tertutup di dalam rasa di lubuk hati."

[Sirrul Asrar Fi-Ma-Yahtaju Ilayhil-Abrar]


Setiap Salikin yang mujahadah sungguh-sungguh, menempuh perjalanan yang panjang dengan penuh keikhlasan serta kesabaran, dan mematuhi sekalian adab-adabnya, maka akan terbuka baginya pintu-pintu Tauhid yang hakiki ini. Maka jadilah dia hamba Allah yang Kenal Allah dengan sebenarnya dan Ubudiyyah setulus hati.


Mengenal Allah dan Ubudiyyah ini BUKAN fikir aqal, BUKAN berhujjah-hujjah, BUKAN berdebat-debat berkenaan Ketuhanan, sebaliknya ia adalah pancaran Cahaya Rabbaniyyah  kepada Salikin yang melaluinya dia melihat kepada Ketuhanan dari dalam hati dan ruhnya.  Inilah Tauhid yang hakiki yang di-Kehendaki oleh Allah.


Firman Allah:

أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدۡرَهُ ۥ لِلۡإِسۡلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ۬ مِّن رَّبِّهِۦ‌ۚ

Apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya (untuk) berserah diri lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang tertutup mata hatinya?)”

[Az Zumar (39) : Ayat 22]



....bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.2   Fakta-fakta Penting Tauhid Hakiki, Iman Sejati, Ma’rifat Suci Murni

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه


MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 9

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 9:

SISTEM TARBIYYAH dan TAZKIYYAH MURSYID 


9.5  Proses Penyucian Hati

 

Proses penyucian hati melibatkan usaha yang sungguh-sungguh bagi hapuskan berbagai bentuk kekotoran ma'nawiyyah dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq.

 

Pertama : Hapuskan Syirik khafi

Syirik Khafi adalah syirik tersembunyi di dalam hati ; iaitu Takabbur, Sum'ah, Riya', Ujub, Tawakkal bi Gharillah.

 

Kedua: Hapuskan Sifat-sifat Mazmumah (sifat kekejian)

Mujahadah hapuskan sifat-sifat keji yang bersarang di dalam hati — hasad, khianat, bakhil, adu domba, mengumpat, tajassus, dusta, fitnah dan lain-lain.

 

Ketiga: Hapuskan Ghaflah (kelalaian)

Mujahadah hapuskan ghaflah, yang menjadi sebab-sebab manusia lupa Syukur kepada Allah, lupa segala Ni'mat-ni’mat Kurnia Allah yang tidak terkira banyaknya, tidak khusyu’ di dalam solat, lupa kepada Amaran Allah, lupa kepada suruhan dan larangan Allah sehingga menjadi manusia zalim.  Tidak ikhlas di dalam ibadah kerana ibadah hanyalah dianggap oleh mereka sekadar "rutin yang diulang-ulang”.

 

Keempat : Hapuskan Aghyar (sesuatu selain Allah)

Aghyar adalah perkara-perkara yang asalnya "harus" tetapi boleh menjerumuskan seseorang kepada kebinasaan kerana tidak berhati-hati mengendalikan atau menggunakannya.

 

Inilah Kejayaan dan kemenangan!

 

Setiap murid pada jalan Ma’rifat dilatih menempuh mujahadah melawan segala nafsu-nafsu jahat dan bisikan syaitan yang sentiasa menariknya kepada kefasikan, penyelewengan, kesesatan dan kekafiran. Setelah seseorang salikin menempuh perjalanan yang jauh dan mencabar ini, dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq, sehingga berjaya di dalam mujahadahnya, maka inilah Langkah permulaan bagi memperoleh Keimanan sejati atau Tauhid yang hakiki.  Inilah keberuntungan dan kemenangan terbesar.

 

Firman Allah:

 

قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا   وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan merugilah orang yang mengotorinya”

[Asy-Syams (91) : Ayat 9-10]

 

Ayat Allah ini dengan tegas menyebut bahawa orang yang beruntung adalah mereka yang menyucikan jiwanya dan sebaliknya orang yang membiarkan hatinya di dalam kekotoran, maka menemui kerugian. 

 

Penjelasan yang luas dan terperinci berkenaan hal ini iaitu “ penyakit hati, jenis-jenis penyakit hati, punca penyakit hati dan bahayanya kepada keimanan” kami sudah himpunkan  di dalam Risalah kami Tajuk “Penyakit Hati Manusia Bahaya Yang Tidak Disedari”.  Sila Rujuk.

 

Jika kamu perhatikan dari dalam hati yang murni, maka kamu akan mendapat jawapan kepada tujuan Rasul dan Nabi diutuskan oleh Allah ke muka bumi,  yang ini selalu disebut-sebut sebagai menyeru kepada Mentauhidkan Allah. Sesungguhnya proses untuk Mentauhidkan Allah bermula dari penyucian hati, iaitu suci hati daripada syirik khafi (dalam hati), mazmumah, ghaflah dan aghyar.  Ertinya seseorang Islam tidak akan menjadi orang yang benar-benar beriman dan Mentauhidkan Allah sebelum dia menyucikan hatinya daripada segala kekotoran hatinya.  Cahaya Tauhid tidak akan masuk ke dalam hati yang di dalamnya bersarang Syirik yang tersembunyi, mazmumah dan kekotoran ma’nawiyyah yang lain.

 

Firman Allah:

 

هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬

Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Ilmu rahsia dan pengetahuan mendalam).  Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”

[Al-Jumu’ah (62) :  Ayat 2]

 

Inilah matlamat sekalian Anbiya dan Mursalin yang diutuskan ke muka bumi, iaitu mendidik jiwa manusia supaya tunduk kepada Allah dengan cara menyucikan batin mereka. Maka inilah juga yang diwarisi oleh sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.

 

Tanpa melalui proses penyucian hati yang telah dilaksanakan oleh Junjungan Besar Rasulullah  , yang kemudian diwarisi turun- temurun oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah (Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat, Warisatul Anbiya yang sebenar) manusia Muslim tidak akan mencapai Keimanan Sejati atau Tauhid yang hakiki atau Ma'rifat yang suci murni ; iaitu tanpa sungguh-sungguh berusaha menyucikan hati dan sungguh-sungguh mujahadah melawan sekalian nafsu-nafsu kejahatan sehingga tumpas semuanya dan terus-menerus berzikir sehingga hatinya bersinar dengan cahaya Rabbaniyyah dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq, maka tidak mungkin seseorang muslim memperoleh Keimanan sejati atau Tauhid yang suci murni.  Mereka tetap akan berada di dalam tingkatan keimanan orang awam yang bergelumang dengan kekeruhan hati, kekejian dan sifat nifaq.   Wal Iyazubillah.


 

....bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.1   Pengenalan

  ..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه


MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 15 - AKHIR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Fasal 15 :   Khotimah Demikianlah kami m...