بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
FASAL 9:
SISTEM TARBIYYAH dan TAZKIYYAH MURSYID
9.5 Proses Penyucian Hati
Proses penyucian hati melibatkan usaha yang
sungguh-sungguh bagi hapuskan berbagai bentuk kekotoran ma'nawiyyah
dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq.
Pertama : Hapuskan Syirik khafi
Syirik Khafi adalah syirik tersembunyi di dalam
hati ; iaitu Takabbur, Sum'ah, Riya', Ujub, Tawakkal bi Gharillah.
Kedua: Hapuskan Sifat-sifat Mazmumah (sifat
kekejian)
Mujahadah hapuskan sifat-sifat keji yang bersarang di
dalam hati — hasad, khianat, bakhil, adu domba, mengumpat, tajassus,
dusta, fitnah dan lain-lain.
Ketiga: Hapuskan Ghaflah (kelalaian)
Mujahadah hapuskan ghaflah, yang menjadi
sebab-sebab manusia lupa Syukur kepada Allah, lupa segala Ni'mat-ni’mat Kurnia
Allah yang tidak terkira banyaknya, tidak khusyu’ di dalam solat, lupa kepada
Amaran Allah, lupa kepada suruhan dan larangan Allah sehingga menjadi manusia
zalim. Tidak ikhlas di dalam ibadah
kerana ibadah hanyalah dianggap oleh mereka sekadar "rutin yang
diulang-ulang”.
Keempat : Hapuskan Aghyar (sesuatu selain Allah)
Aghyar adalah perkara-perkara
yang asalnya "harus" tetapi boleh menjerumuskan seseorang kepada
kebinasaan kerana tidak berhati-hati mengendalikan atau menggunakannya.
Inilah Kejayaan dan kemenangan!
Setiap murid pada jalan Ma’rifat dilatih menempuh
mujahadah melawan segala nafsu-nafsu jahat dan bisikan syaitan yang sentiasa
menariknya kepada kefasikan, penyelewengan, kesesatan dan kekafiran. Setelah
seseorang salikin menempuh perjalanan yang jauh dan mencabar ini, dengan
pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq, sehingga berjaya di dalam
mujahadahnya, maka inilah Langkah permulaan bagi memperoleh Keimanan sejati
atau Tauhid yang hakiki. Inilah
keberuntungan dan kemenangan terbesar.
Firman Allah:
قَدۡ
أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا وَقَدۡ خَابَ
مَن دَسَّٮٰهَا
“Sesungguhnya beruntunglah orang yang
menyucikan jiwa itu dan merugilah orang yang mengotorinya”
[Asy-Syams (91) : Ayat 9-10]
Ayat Allah ini dengan tegas menyebut bahawa orang yang
beruntung adalah mereka yang menyucikan jiwanya dan sebaliknya orang yang
membiarkan hatinya di dalam kekotoran, maka menemui kerugian.
Penjelasan yang luas dan terperinci berkenaan hal ini
iaitu “ penyakit hati, jenis-jenis penyakit hati, punca penyakit hati dan
bahayanya kepada keimanan” kami sudah himpunkan
di dalam Risalah kami Tajuk “Penyakit Hati Manusia Bahaya Yang Tidak
Disedari”. Sila Rujuk.
Jika kamu perhatikan dari dalam hati yang murni, maka
kamu akan mendapat jawapan kepada tujuan Rasul dan Nabi diutuskan oleh Allah ke
muka bumi, yang ini selalu disebut-sebut
sebagai menyeru kepada Mentauhidkan Allah. Sesungguhnya proses untuk
Mentauhidkan Allah bermula dari penyucian hati, iaitu suci hati daripada syirik
khafi (dalam hati), mazmumah, ghaflah dan aghyar. Ertinya seseorang Islam tidak akan
menjadi orang yang benar-benar beriman dan Mentauhidkan Allah sebelum dia
menyucikan hatinya daripada segala kekotoran hatinya. Cahaya Tauhid tidak akan masuk ke dalam hati
yang di dalamnya bersarang Syirik yang tersembunyi, mazmumah dan kekotoran
ma’nawiyyah yang lain.
Firman Allah:
هُوَ
ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ
ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن
كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬
“Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf
seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka,
menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Ilmu rahsia
dan pengetahuan mendalam). Dan
sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
[Al-Jumu’ah (62) :
Ayat 2]
Inilah matlamat sekalian Anbiya dan Mursalin yang
diutuskan ke muka bumi, iaitu mendidik jiwa manusia supaya tunduk kepada Allah
dengan cara menyucikan batin mereka. Maka inilah juga yang diwarisi oleh
sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.
Tanpa melalui proses penyucian hati yang telah
dilaksanakan oleh Junjungan Besar Rasulullah
ﷺ, yang kemudian diwarisi
turun- temurun oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah (Mursyid, Ahli Sufi,
Ahli Ma'rifat, Warisatul Anbiya yang sebenar) manusia Muslim tidak akan
mencapai Keimanan Sejati atau Tauhid yang hakiki atau Ma'rifat yang suci murni
; iaitu tanpa sungguh-sungguh berusaha menyucikan hati dan sungguh-sungguh
mujahadah melawan sekalian nafsu-nafsu kejahatan sehingga tumpas semuanya dan
terus-menerus berzikir sehingga hatinya bersinar dengan cahaya Rabbaniyyah
dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq, maka tidak mungkin seseorang
muslim memperoleh Keimanan sejati atau Tauhid yang suci murni. Mereka tetap akan berada di dalam tingkatan
keimanan orang awam yang bergelumang dengan kekeruhan hati, kekejian dan sifat nifaq. Wal Iyazubillah.
....bersambung ke Fasal 10 : Tingkatan Pencapaian Salikin
10.1 Pengenalan
..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه
No comments:
Post a Comment