Wednesday, July 08, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN


10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al


Sesungguhnya beruntunglah hamba-hamba Allah yang disucikan batinnya sehingga tercurah Nur Rabbaniyyah (Cahaya Ketuhanan) yang Tinggi ke dalam hatinya, sehingga diangkat ke Maqam Tauhid yang hakiki.  Tauhid yang hakiki ini disebut juga sebagai Iman Sejati atau Ma’rifat dan Ubudiyyah setulus hati.

 

Inilah Tauhid dan Iman yang sebenar yang terbit dari hati yang benar-benar suci bersih dari segala bentuk kesyirikan atau mazmumah.  Hatinya bersinar bagaikan permata, memantulkan Cahaya Af’al, Asma’, Sifat dan Zat Allah. Tauhid hakiki ini adalah semata-mata penghayatan hati dan ruh, dan BUKAN fiqir aqal.  Ia semata-mata pandangan mata hati hamba Allah yang terbuka kepada Ketuhanan yang Laisa-Kamithlihi-Syai’un (Tiada umpama sesuatu sepertinya).

 

Hamba-hamba Allah yang telah di-Kurniakan oleh Maqam Tauhid ini akan merasai sendiri sejumlah bukti di dalam dirinya.  Hatinya dapat melihat dan merasai sendiri  Kurnia Allah ini di dalam hatinya yang dipenuhi Cahaya gilang-gemilang. Berikut adalah tanda-tanda yang terang nyata menunjukkan seseorang telah sampai ke Maqam Tauhid Af'al. 

  

Tanda Pertama :  Terbuka mata hati menyaksikan Af'al Allah

Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid pertama ini akan menyaksikan sekalian Af'al (Perbuatan) Allah dengan pandangan ainul-basirah (mata hatinya) yang terbuka kepada Ketuhanan.  Dia akan diperlihatkan setiap yang bergerak atau diam pada haqiqatnya Af'al Allah.  Dia akan diperlihatkan pada setiap saat berlakunya Taqdir Allah ke atas dirinya dan sekalian makhluq. Inilah permulaan Tauhid yang sebenar, Esakan Allah dengan pandangan mata hati yang jernih.   

Ketika berada pada tingkatan orang awam, dia hanya mengenal Af'al Allah dengan aqalnya, iaitu teori dan hujjah yang diterima aqal, namun sekarang dia saksikan sendiri Af'al Allah melalui pandangan mata hatinya, iaitu penyaksian melalui Cahaya Ketuhanan yang terang-benderang yang terlimpah ke dalam hatinya.  Ianya sebuah penghayatan hati dan ruh tanpa kaifiyyat atau cara untuk dikhabarkan.

Keyakinan yang terhasil dari pandangan ainul basirah (mata hati) ini yang dinamakan Ainul-Yaqin, iaitu sebenar-benar yakin tanpa keraguan sedikit pun, keyakinan yang disaksikan dengan pandangan mata hati, keyakinan yang terbit dari cahaya hati yang terhubung kepada Cahaya Ketuhanan.  Inilah keyakinan penuh — keyakinan 100% yakin tanpa sebarang keraguan. Sedangkan di peringkat orang awam, keyakinannya cuma di peringkat Ilmul-Yaqin iaitu keyakinan bercampur keraguan — bercampur-campur antara syak, zonn atau waham. 

Perbandingan bagi memahami hal ini...

Misalnya seseorang meyakini "manis dan lazatnya buah durian" semata-mata berdasarkan khabar yang didengarinya atau teori atau hujjah aqal yang diketahuinya sedangkan dia sendiri tak pernah melihat dan merasai kelazatannya, maka keyakinan seperti ini adalah kepercayaan yang rapuh, belum teguh, bercampur-campur dengan keraguan.  Amat jauhlah perbezaannya dengan orang yang benar-benar "melihat sendiri buah durian" dan "merasai sendiri isinya yang lazat", baginya tiada keraguan sedikit pun berkenaan "buah durian" dan "kelazatan rasanya" kerana dia sudah merasai sendiri akan kebenarannya, bukan sekadar pengetahuan aqal atau khayalan atau teori semata-mata.

Penyaksian kepada Af'al Allah dan Tauhid yang penuh yakin dalam hati dengan pandangan Ainul-Yaqin ini adalah hasil terpenting dan tanda paling utama bagi orang yang sampai ke Maqam Tauhid pertama ini.

Firman Allah:

أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدْرَهُۥ لِلْإِسْلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍۢ مِّن رَّبِّهِۦ

“Apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya (untuk) berserah diri lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang tertutup mata hatinya?)”

[Az Zumar (39) : Ayat 22]

 

Tanda ke-2 :  Musnah Syirik khafi (syirik tersembunyi)

Di antara tanda-tanda yang menjadi keberuntungan bagi Salikin yang sampai ke Maqam Tauhid ini adalah terhapusnya sekalian Syirik Khafi, iaitu ego sombong takabbur, riya', ujub, sum'ah dan lain-lainnya yang merosakkan Iman dan batalkan Ibadah.

Orang yang sampai ke Maqam Tauhid Af'al tidak akan ego, megah, sombong, takabbur atau lainnya, sebaliknya semua kesyirikan (syirik khafi) itu musnah dengan sendirinya.  Dia akan sentiasa merendah diri kepada sekalian hamba-hamba Allah.  Meskipun dia hartawan atau jutawan atau cendikiawan atau Raja yang memerintah sekalipun, dia tidak akan membesarkan dirinya, sebaliknya sifat tawadhu menguasai dirinya.  Dia sentiasa menyedari kehinaan dirinya di hadapan Allah.  Dia sedar segala harta, pangkat, kekayaan, kedudukan atau apa saja keistimewaan yang ada padanya bukan miliknya tetapi milik Allah Yang Maha Agung.

Orang Islam yang berada pada tingkatan awam seringkali tewas dengan nafsu kesombongan, riya', 'ujub, sum'ah dan lain-lain terutama ketika mereka sedang melakukan kebaikan atau mencapai suatu kejayaan hidup atau mereka memiliki suatu keistimewaan atau mereka mempunyai pangkat, kedudukan, ketinggian di kalangan masyarakat.

Misalnya apabila mereka mengerjakan solat sunnat yang banyak atau sedekah, atau Qiamullail yang banyak maka datanglah perasaan riya', ujub atau sum'ah, atau seseorang pelajar mencapai kejayaan cemerlang lalu datang perasaan hebat di dalam dirinya, atau seorang pensyarah, guru, pakar motivasi dan sebagainya mencapai kecemerlangan di dalam kerjaya masing-masing, lalu mereka merasai kemegahan di dalam dirinya.

Setengah orang awam yang mempunyai kesedaran, cuba atasi masalah tersebut dengan berbagai cara.  Kadangkala mereka cuba menafikan, namun sifat-sifat tersebut tetap datang menguasai mereka berulang-ulang.   Kadangkala mereka berjaya menolak dengan cara menggagahinya iaitu buat-buat merendah diri atau buat-buat menghina diri, namun ianya sebentar sahaja, sifat-sifat tersebut kembali menguasainya.

Tetapi jauhnya perbezaan hal ehwal orang awam ini dengan hamba-hamba Allah yang sudah sampai ke Maqam Tauhid yang hakiki.  Bagi mereka semua macam kesyirikan (syirik khafi) musnah berkat Zikrullah dan mujahadah pada Jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq.  Hati mereka yang sentiasa berzikir Allah Allah menolak semua macam kesombongan atau kesyirikan.  Maka selamatlah Tauhid mereka daripada kerosakan.

 

Tanda ke-3 :  Musnah Sifat Mazmumah (kekejian)

Sesungguhnya sifat Mazmumah (sifat kekejian) menguasai hampir seluruh kehidupan orang Islam.  Mereka sentiasa bergelumang dengan sifat-sifat kekejian — jahat sangka, hasad dengki, mengumpat, adu domba, tipu daya, fitnah dan lain-lain tanpa henti.

Namun Alhamdulillah, berkat didikan pada Jalan Ma'rifat, mereka akan menjadi hamba-hamba Allah yang suci bersih hatinya.  Mereka akan dapat melepaskan diri daripada belenggu kekejian ini.  Sekalian sifat-sifat kekejian akan hancur musnah apabila Cahaya Ketuhanan meliputinya.

Inilah hasil didikan pada Jalan Ma'rifat.  Dan inilah setengah dari tanda menunjukkan seseorang yang telah sampai ke Maqam Tauhid Af'al.

 

Tanda ke-4 :  Melihat Rahmat Allah pada setiap ibadah atau kebajikan

Hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Af'al akan melihat Kurnia Allah dan Rahmat-Nya pada setiap Ibadah dan kebajikan  yang dilakukannya.  Hilang keupayaan dirinya, hilang keakuan dirinya. 

Ketika berdiri untuk solat, dia akan melihat Rahmat Allah.  Ketika dia ruku' dan sujud, dia melihat Rahmat Allah.  Ketika dia bersedekah dia melihat Rahmat Allah yang membolehkannya sedekah.  Ketika dia melakukan kebajikan, dia melihat Anugerah dan Rahmat Allah.  Ketika dia mencapai kejayaan dia melihat di dalamnya Rahmat dan Ke-Agungan Allah. 

Inilah sebenar-benar Tauhid, iaitu sentiasa melihat Anugerah dan Rahmat Allah pada setiap ibadah dan kebajikan yang dilakukannya dan hilang keupayaan dirinya untuk melakukan sesuatu.  Hilang keakuan dirinya walau apa pun kejayaan yang dia capai.

Firman Allah:

وَمَا تَشَآءُونَ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًۭا

“Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang di-Kehendaki Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya)”.

[Al-Insan  (76) : Ayat 30]

 

Firman Allah:

 مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ

Sekaliannya menurut barang yang di-Kehendaki Allah.  Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah.

[Al-Kahfi (18) : Ayat 39]

 

Rasulullah bersabda:

“Dan ketahuilah bahawa jikalau makhluq sekaliannya berhimpun untuk memberi kamu suatu manfaat tidaklah perkara itu bermanfaat bagi kamu melainkan Allah telah menetapkannya untukmu dan jikalau mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu maka tidaklah akan memudaratkan kamu melainkan Allah jua yang telah menetapkannya bagimu, telah diangkat Qalam dan telah selesai ditulis suhuf (tempat tulisan takdir)”.

[Imam Tirmizi,  Imam Ahmad]

Sesungguhnya pandangan dan perasaan Tauhid ini merupakan di antara tanda-tanda pencapaian Salikin yang terpenting.  Orang awam yang belum sampai ke Maqam ini akan mendapati diri mereka amat sukar berdiri pada Maqam ini, iaitu hati mereka tidak melihat Rahmat Allah sebaliknya mereka akan melihat kekuatan dan keupayaan diri sendiri untuk melakukannya, maka sentiasalah mereka dikuasai syirik khafi.  Wal Iyazubillah.

 


...bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al - Tanda ke-5 :  Memperoleh Ikhlas yang sebenar

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه


No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

FASAL 10: TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN 10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al ....... sambungan... Tanda ke-5 :  Mem...