FASAL 10:
TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN
10.4 Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al
....... sambungan...
Tanda ke-5 : Memperoleh Ikhlas yang sebenar
Di antara tanda-tanda
hamba Allah telah mencapai Maqam Tauhid yang hakiki adalah, memperoleh Ikhlas
yang sebenar-benar suci murni.
Maksud Ikhlas yang suci
murni adalah:
(1) Setiap ibadah yang dikerjakannya hanya semata-mata kerana Allah, mencari Keredhaan dan Kasih-Nya BUKAN kerana
mencari pahala-pahala, BUKAN kerana ganjaran-ganjaran, BUKAN juga kerana
inginkan mahligai indah, bidadari atau kebendaan lain yang disukai nafsu di
Syurga. Sebaliknya matlamat dan
harapannya hanya Allah, berserta Allah, daripada Allah, kembali kepada Allah.
(2) Setiap amal kebajikan yang diperbuatnya atau sedekah atau kerja-kerja
kebaikan untuk Ummat, jihad fi Sabilillah, semua itu hanya kerana Allah. Bukan
kerana pujian, BUKAN kerana habuan dunia, BUKAN kerana nama, pangkat,
kedudukan. BUKAN kerana merebut-rebut
kerusi politik dunia (seperti yang banyak berlaku pada zaman ini).
(3) Niat sekalian suatu "kerana Allah" adalah : Melihat dari dalam hati bahawa setiap Ibadah, ketaatan dan kebajikan yang dilakukannya adalah dari Rahmat Allah dan Kemurahan-Nya, BUKAN kerana usaha ikhtiar atau kemampuannya atau kekuatannya.
Ketika berdiri untuk solat, dia melihat Rahmat Allah dan Kemurahan-Nya untuk melakukannya. Ketika takbiratul ihram, ketika ruku', ketika sujud semunya dipandang Kurnia Allah kepadanya BUKAN keupayaan dirinya atau kekuatannya.
Ketika dia mengerjakan puasa, haji, da'wah,
jihad, sedekah dan ibadah yang lain-lain tidak dipandang akan kekuatannya atau
kemampuannya, melainkan hanya dipandangnya Kurnia Allah dan Kemurahan Allah
kepadanya.
Jika pada suatu saat dia berjaya melakukan suatu
perkara misalnya kejayaan di dalam pelajaran, cemerlang di dalam perniagaan
atau mencapai kemajuan di dalam pentadbiran atau lain-lain sepertinya, semua kejayaan, kecemerlangan, kehebatan
tersebut dilihatnya Rahmat dan Kurnia Allah kepadanya, BUKAN kerana
keupayaannya.
(4)Tidak sama sekali mempersekutukan Allah di dalam ibadahnya dengan
kebanggaan, kemegahan, takabbur, riya', 'ujub, sum'ah dan lain-lain. Sekalian
keakuan diri sudah musnah apabila Cahaya Af'al Allah menyinari hatinya.
(5)
Tidak sama sekali merasakan dirinya sudah "ikhlas" sebaliknya
dia hanya melihat dirinya berserta Allah di dalam setiap Ibadah dan
ketaatannya.
(6) Segala daya upayanya hilang di dalam Qudrat Allah dan Limpahan Kurniaan
dan Kemurahan-Nya, lalu dia
berkata: لَا
حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّه
(Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan
Allah)
Sesungguhnya inilah gambaran hamba Allah yang
sebenar-benar mencapai Maqam Ikhlas dan inilah hakikat Ikhlas yang dituntut
atas setiap orang beriman sebagaimana Firman Allah:
Firman
Allah:
وَمَآ أُمِرُوۤاْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ ٱللَّهَ
مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
"Pada hal mereka
tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan
ibadat kepada-Nya"
[Al-Bayyinah (98) : Ayat
5]
Kata Ibnu
Abbas Radhiallahu anhu:
" Kalam Allah mukhlisin (orang yang sebenar Ikhlas sebagaimana
perintah Allah pada ayat di atas)
adalah Tauhid yang murni."
[Tafsir Ibnu Abbas]
Tafsiran Ibnu Abbas
menunjukkan hubungan antara "Ikhlas" dan "Tauhid",
seolah-olah beliau berikan isyarat bahawa niat Ikhlas yang suci murni itulah
Tauhid yang hakiki. Mereka yang menempuh
Jalan Ma'rifat akan dipermudahkan mencapai Maqam Ikhlas yang sebenar-benar suci
ini kerana Cahaya Af'al Allah yang melimpah ke dalam hati dan ruhnya. Mereka akan memperoleh "Ikhlas
suci" ini tanpa menggagahi dirinya atau memaksa-maksa fikirannya,
sebaliknya semua itu terjadi secara langsung dengan penuh kelembutan.
Penjelasan
Ringkas: Tujuh Tingkatan Ikhlas
Ini suatu penjelasan ringkas berkenaan
maqam-maqam Ikhlas orang beriman sebagai tambahan kepada huraian sebelumnya.
Sesungguhnya Maqam Ikhlas
tidak sama di antara seorang dengan seorang yang lain. Ia bergantung kepada Keimanan, Tauhid atau
Ma'rifat seseorang iaitu sama ada hatinya dikuasai oleh Syirik Khafi
(syirik tersembunyi) ataupun
"Cahaya Ketuhanan" yang melimpah ke dalam hatinya.
Ulama Mu'tabar
membahagikan Ikhlas kepada beberapa peringkat dan tingkatan seperti:
1. Ikhlas orang awam
2. Ikhlas orang abrar
3. Ikhlas orang Arif
Sebahagian lainnya memberikan perincian lebih
halus dengan pembahagian berikut:
1. Ikhlas orang awam - 3
tingkatan
2. Ikhlas salikin - 3
tingkatan
3. Ikhlas Arifin - 1
tingkatan
Tiga Tingkatan Ikhlas Orang Awam
Peringkat 1 (awam):
Melakukan amal ibadah dengan qasad (niat) kerana Allah,
tetapi pada masa yang sama dia menuntut pahala-pahala atau ganjaran-ganjaran
dari Allah Ta'ala atau dia mempunyai
cita-cita di dalam hatinya kepada kesenangan-kesenangan syurga berupa bidadari,
mahligai indah-indah, segala macam makanan enak dan hiburan Syurga.
Peringkat ke-2 (awam):
Melakukan amal ibadah dan
ketaatan dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah, dan tiada keinginan atau
menuntut-nuntut pahala atau ganjaran-ganjaran tetapi dia melihat kemampuan
dirinya untuk melakukan amal ibadah dan ketaatan.
Peringkat ke-3 (awam):
Melakukan amal ibadah dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah
dan tiada cita-cita melainkan Allah saja, tetapi dia merasakan dirinya sudah
Ikhlas, iaitu dia melihat dirinya mempunyai kemampuan melakukan Ikhlas.
Inilah 3 Peringkat dan
Tingkatan ikhlas orang awam.
Pada sisi Fiqh,
ketiga-tiga bentuk " Ikhlas orang awam" ini adalah SAH, yakni sah
amal ibadahnya dan terlepas daripada taklif syara' (kewajipan sebagai
mukallaf) namun apabila direnungi pada
sisi Tasawwuf atau Ma'rifat, ketiga-tiga bentuk Ikhlas ini masih belum bebas sepenuhnya
daripada 'mempersekutukan' Allah. Ini
kerana menuntut selain Wajah Allah di dalam ibadah adalah suatu bentuk
'penyekutuan' kepada Ketuhanan. Demikian
lagi melihat keupayaan dan kekuatan diri
untuk melakukan ketaatan dan ibadah, merupakan satu lagi bentuk syirik
khafi yang sangat tersembunyi.
Firman
Allah:
ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُوا۟ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلْيَعْمَلْ
عَمَلًۭا صَـٰلِحًۭا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدًۢا
"Barangsiapa yang
mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah mengerjakan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah
kepada Tuhannya.”
[Al-Kahfi (18) : Ayat 110]
Kata Ibn
Abbas Radhiallahu anhu:
“Jangan mempersekutukan suatu
apa pun di dalam ibadahnya, maksudnya adalah : Janganlah dia riya' dan jangan
sertakan di dalam ibadahnya itu sesuatu benda atau sesiapa pun."
[Tafsir Ibn Abbas]
...bersambung ke Fasal 10 : Tingkatan Pencapaian Salikin
10.4 Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al - Tanda ke-6 : Khusyu’ di dalam Solat
..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه
No comments:
Post a Comment