FASAL 10:
TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN
10.4 Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al
....... sambungan...
Tanda ke-6 : Khusyu’ di dalam Solat
Di antara tanda-tanda lain
seseorang yang diangkat ke Maqam Tauhid yang benar adalah : Khusyu’ di dalam solat. Pada saat seseorang Salikin sampai ke Maqam
Tauhid yang suci bersih, dia akan memperoleh Khusyu’ yang sebenar di dalam
solatnya iaitu Khusyu’ dengan penghayatan hati dan ruh, menepati tuntutan
Allah.
Firman
Allah:
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى
صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ
"Sesungguhnya
mencapai kemenangan (kejayaan, selamat) orang Mu'min, iaitu mereka yang khusyu' di dalam
Solatnya."
[Al-Mu'minun (23) : Ayat
1-2]
Khusyu’ tanda Mu'min ini sudah pasti khusyu' di
dalam pengertian sebenar, iaitu "Hadir hati berserta Allah" tanpa
paksaan, tanpa digagahi. Bukan buat-buat
khusyu' sedangkan hati masih lalai dari
mengingat Allah.
Khusyu’ ini hadir sendiri
sebaik sahaja Salikin ini mengangkat Takbiratul Ihram. Bahkan sebelum angkat Takbir pun dia sudah
merasai dirinya menghadap Allah tanpa sebarang kaifiyyat yang dapat
huraikan bagaimana caranya. Ianya
semata-mata sebuah "perasaan" dan "pandangan mata hati"
yang terbuka kepada Ketuhanan. Inilah
Rahmat dan Kurniaan Allah kepada Salikin yang telah mujahadah menyucikan
hatinya sehingga memperoleh Cahaya Ilahiyyah.
Inilah Khusyu' sebenar
sebagaimana tuntutan Allah ke atas orang beriman. Sebelum Salikin memperoleh
khusyu’ yang sebenar ini, iaitu ketika dia masih di peringkat awam, dia pun
cuba juga untuk Khusyu’ dengan berbagai cara, iaitu memaksa diri atau menggagahi
untuk berbuat khusyu' mengingat-ingat Allah, namun tak berjaya. Terkadang dia
rasa mula khusyu' namun selang beberapa saat fikirannya sudah pun melayang jauh
kepada pekerjaan dunia seperti ke pejabat, kedai kopi, taman permainan, tepi
pantai, kenduri kahwin dan lain-lain.
Mengapakah orang awam tersangat susah untuk khusyu’?
Mengapakah dia sering
terhalang dari berbuat khusyu’?
Apakah anasir yang
menyebabkan halangan tersebut?
Penjelasan bagi persoalan ini
amat panjang kerana sebab-sebab yang menghalang seseorang dari khusyu’ juga
amat banyak. Namun punca dan
sebab-sebabnya dapat dihimpunkan jadi satu, iaitu hatinya terhijab.
Maksud hati yang terhijab
adalah:
Hatinya terhalang dari
menyaksikan Ketuhanan. Hatinya masih
diselaputi berbagai lapisan-lapisan syirik khafi, mazmumah, dosa-dosa zahir dan
dosa-dosa batin, maka terhalanglah dia dari menyaksikan Ketuhanan. Apabila hatinya terhalang dari menyaksikan
Ketuhanan, maka terhalanglah dari khusyu’, kerana terbitnya khusyu’ itu dari
hati, bukan aqal fikiran.
Maksud khusyu’ adalah Hadir
Hati berserta Allah, Merasai Keagungan-Nya, Merasai Kehebatan-Nya sehingga
terasa diri tersangat hina, lemah, faqir, takut dan mengharap Keampunan dan
Rahmat-Nya.
Inilah sebabnya Salikin
dididik, diasuh, dilatih membersihkan hatinya dengan zikrullah, mujahadah
melawan nafsu-nafsu jahat dan bisikan syaitan serta latihan-latihan khusus yang
lain sehingga hatinya benar-benar suci bersih. Ketika hatinya suci bersih dari
sekalian aghyar, maka cermin hatinya memancarkan Cahaya Ketuhanan yang
melimpah ke atasnya.
Ketika cermin hatinya
memancarkan Cahaya Ilahiyyah yang terlimpah ke atasnya, maka melihatlah dia
kepada Ketuhanan sehingga hatinya menjadi khusyu’. Sekalian anggota zahir dan batinnya tunduk
Mengagungkan-Nya. Ketika dia angkat Takbiratul Ihram, hati dan ruhnya sudah pun
menghadap Rabbul Jalil, Tuhan Yang Maha Agung.
...bersambung ke Fasal 10 : Tingkatan Pencapaian Salikin
10.4 Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al - Tanda ke-7 : Zikrullah di dalam hati pada setiap masa
..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه
No comments:
Post a Comment