بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
FASAL 10:
TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN
10.2 Fakta-fakta Penting Tauhid Hakiki, Iman Sejati, Ma’rifat Suci Murni
Ini suatu penjelasan ringkas berkenaan pencapaian Tauhid oleh sekalian Salikin yang mujahadah pada Jalan Allah, iaitu jalan Ma'rifat yang dipimpin oleh Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.
Fakta 1 : Tauhid yang benar dari Penghayatan Hati dan Ruh
Sesungguhnya
pencapaian Tauhid oleh sekalian Salikin adalah sebenar-benar Tauhid yang terbit
dari hati yang suci bersih daripada kesyirikan atau kekejian. Inilah sebenar Tauhid yang tiada waham,
syak atau zonn di dalamnya. Salikin
yang di-Kurniakan oleh Allah "Tauhid yang suci murni" menghayatinya
dari dalam hati dan ruhnya, bukan sekadar mengulang-ulangi teori aqal tentang
Ketuhanan, dan bukan sekadar orang yang petah berhujjah sedangkan batinnya
kosong.
Fakta
2 : Mujahadah pada Jalan Ma'rifat
Tauhid yang suci murni ini hanya terhasil setelah
seseorang Islam mujahadah sungguh-sungguh pada Jalan Ma'rifat dengan mematuhi
sekalian syarat dan adab-adabnya dengan pimpinan Mursyid pewaris Nabi yang
Siddiq. Belajar menyucikan hati dan
menundukkan nafsu-nafsu kerendahan, berusaha merawat penyakit batinnya yang
amat berat — ego takabbur, 'ujub, riya', sum'ah dan lain-lain.
Fakta 3 : Pemimpinnya Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq
Sesungguhnya
Pemimpin yang menunjukki Jalan memperoleh Tauhid yang hakiki ini adalah
Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq.
Merekalah, dan hanya mereka yang mewarisi Ilmu Rasulullah ﷺ zahir dan batin. Allah
Ta'ala Kurniakan mereka Rahsia-rahsia Ketuhanan dan rahsia-rahsia kehambaan
yang dengannya mereka memimpin manusia mencapai Keimanan sejati (Ma'rifat suci murni).
Fakta 4 : Mengenal Allah melalui pancaran Cahaya
Ilahiyyah
Ketika
hati Salik telah suci bersih dari segala penyakit-penyakit hati dan mula
bersinar dengan cahaya Zikrullah yang meliputi seluruh tubuhnya, maka ketika
itu Allah Ta'ala Yang Maha Pemurah Melimpahkan Nur Rabbaniyyah (Cahaya
Ketuhanan) ke dalam hatinya. Maka
melihatlah Salikin kepada Ketuhanan melalui pancaran Cahaya Ilahi ini tanpa
sebarang kaifiyyat atau cara.
Fakta
5 : Ainul Yaqin, Haqqul Yakin, Kamalul
Yaqin
Salikin
yang telah mencapai Tauhid yang hakiki atau Iman sejati ini tidak lagi
bergantung kepada dalil-dalil untuk beriman kepada Allah sebagaimana orang
awam. Orang Islam awam memerlukan dalil
dan hujjah-hujjah aqal untuk percaya Wujud Allah dan Sifat-sifat-Nya, Asma'-Nya
dan Af'al-Nya. Sedangkan Salikin
"melihat Wujud Allah dari dalam hati". Mereka dibukakan oleh Allah "mata hati”
menyaksikan sekalian Af'al, Asma', Sifat dan Zat Allah dengan penuh
keyakinan. Inilah Ainul Yaqin, Haqqul
Yakin, Kamalul Yaqin sehingga Tajallul Yakin.
Fakta 6 : Pencapaian Tauhid Salikin bertingkat-tingkat
Pencapaian
Tauhid yang hakiki yang dicapai oleh Salikin bukan satu darjat melainkan
bertingkat-tingkat bermula dari Maqam Af'al, kemudian Maqam Asma', kemudian
Maqam Sifat, kemudian Maqam Zat dan Maqam Tajalli Zat. Ertinya seseorang Salikin tidak akan sampai
kepada “Maqam Tauhid tertinggi sekaligus melainkan mata hatinya terbuka
beransur-ansur melihat kepada Af’al Allah terlebih dahulu. Kemudian akan terbuka lebih luas berdasarkan
kesungguhan mujahadahnya dan Kemurahan Allah Ta’ala kepada-Nya.
Fakta
7 : Tingkat pertama Tauhid — Maqam Af'al
Permulaan
Pencapaian Tauhid hakiki ini adalah "Maqam Tauhid Af'al", iaitu
Esakan Allah Ta'ala pada Af'al-Nya (Perbuatan-Nya). Ertinya apabila seseorang telah sampai ke
Maqam Tauhid Af’al, maka ketika itulah permulaan dia mencapai Tauhid yang
sebenar atau disebut juga sebagai Keimanan sejati. Inilah sebenar-benar Tauhid,
yang jauh dari sebarang bentuk Syirik di dalam hati. Sebelum dia mencapai Maqam ini, hati dia sentiasa
berbolak-balik antara keimanan dan kesyirikan (syirik hati).
Fakta
8 : Pilihan Allah (Anugerah Allah)
Pembukaan mata hati dan
Maqam-Maqam Tauhid yang hakiki adalah Kehendak Allah Ta'ala semata-mata, BUKAN
kehendak atau pilihan Guru yang memimpinnya.
Gurunya hanya menzahirkan (isytiharkan)
pencapaian murid-muridnya
berdasarkan Kehendak Allah.
Fakta
9 : Kewajipan setiap Muslim
Setiap Muslim wajib berusaha mencapai Tauhid yang
hakiki ini. Mereka wajib mencari
Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq (Benar) agar mereka dipimpin kepada Allah
bagi mencapai Keimanan sejati.
Fakta 10 : Alim Kitab, Alim Fiqh, Alim Usuluddin wajib
berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Hal ini telah disebut beberapa
kali sebelum ini. Setiap orang Alim Fiqh
yang sudah memahami selok-belok Ilmu fiqh, meskipun sudah sampai ribuan kitab,
atau Alim Usuluddin yang sangat hebat mensyarahkan Sifat 20 atau orang Alim
yang sangat mahir hafal Hadith dan sangat bagus hafalannya, kesemua mereka
wajib berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq untuk menyucikan batin
mereka daripada berbagai syirik khafi, mazmumah, ghaflah dan aghyar. Dan seterusnya memperoleh Tauhid yang hakiki, Iman
Sejati, Ma’rifat dan Ubudiyyah yang suci murni.
Tanpa menempuh jalan Ma’rifat
dengan bimbingan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sehingga mencapai Tauhid
hakiki ini, orang Alim fiqh atau Alim Usuluddin yang paling hebat sekalipun
akan tetap berada pada tahap Iman orang awam, iaitu hatinya berbolak-balik di
antara keimanan dan kesyirikan (syirik khafi) dan bercampur aduk
dengan nifaq (nifaq kecil).
Mereka akan sentiasa bergelumang dengan ‘ujub, riya’, sum’ah,
takabbur dan sifat-sifat mazmumah.
Bahkan mereka di dalam bahaya terjatuh kepada golongan-golongan sesat
Aqidah atau sesat di dalam keruhanian.
Kami kemukakan dua bukti
paling kukuh bagi kenyataan ini:
Pertama:
Pelopor dan pengasas bagi
fahaman-fahaman sesat berjumlah 72 golongan adalah terdiri daripada orang-orang
Alim fiqh dan cerdik pandai Agama. Mereka adalah penghafal Qur’an dan
Hadith. Mereka hebat berpidato dan kalahkan
lawan di dalam berhujjah.
Kedua:
Bukti paling kukuh bagi
kenyataan ini adalah jalan hidup Imam Ghazali Radhiallahu anhu yang telah
masyhur kisahnya, sebagaimana yang telah dinukilkan kisah beliau di dalam
Risalah ini dan beberapa Risalah kami yang lain. Pada awal perjalanan hidup beliau, Imam
Ghazali merupakan orang yang sangat alim di dalam hukum-hakam Agama dan mampu mengalahkan lawan
di dalam perdebatan Agama. Tetapi beliau
tak mampu keluar daripada sifat riya’ dan kecenderungan pada kemasyhuran
duniawi.
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir
Jilani Radhiallahu anhu:
“Sesiapa tidak memperolehi ilmu ini (Ma’rifat mengenal
Allah – Tauhid Hakiki) tidak akan menjadi bijaksana dan ‘Arif walaupun dia
membaca seribu kitab”.
[Sirrul Asrar]
Beliau berkata lagi:
“Walau bagaimanapun tinggi dan sempurna ilmu Zahir
(Syari’at) seseorang itu tidak akan membantunya untuk masuk ke Majlis
Ketuhanan, iaitu Hadratul Quddus,
berserta Allah.”
[Sirrul Asrar]
Berkata Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi
Radhiallahu anhu:
“Pendapat ini (Ahli Usuluddin) hanya 70 peratus yaqin
(zonn) kerana yaqin peringkat ini sebagai khabar jua (fikir aqal). Adapun ‘Ainul Yaqin itu iaitu tiap-tiap
Ma’rifat yang didapat dilihat dengan mata hati, keadaan yaqin 100 peratus.”
[Risalah Ma’rifat]
Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:
“Pendeknya barangsiapa yang belum di-Kurnia Tuhan
mengalaminya (Mengenal Allah melalui Sistem pendidikan Ahli Sufi) belumlah ia
mengenal haqiqat Kenabian, lebih dari namanya sahaja.”
[Muqiz Min-adh-dholal]
....bersambung ke Fasal 10 : Tingkatan Pencapaian Salikin
10.3 Dalil-dalil Berkenaan Cahaya Ketuhanan yang Menerbitkan Tauhid
..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه
No comments:
Post a Comment