بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
FASAL 10:
TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN
10.10 Penjagaan Penting Salikin
Ini suatu bab pada
menyatakan "Penjagaan" yang wajib diperhatikan oleh sekalian Salikin
yang di-Kurniakan oleh Allah mencapai Maqam Tauhid Pertama — Maqam Tauhid Af'al
(dan juga Maqam-maqam Tauhid yang lebih tinggi).
Sesungguhnya pencapaian
Salikin ke Maqam Tauhid yang hakiki atau Iman sejati adalah suatu Rahmat Allah
yang tiada tolok bandingnya. Dunia dan
seisinya tidak akan mampu membayar nilainya, bahkan jika ditambah lagi beribu
kali ganda sekali pun tidak sama sekali menyamai satu zarrah Ni'mat Allah
tersebut. Dengan demikian hamba-hamba
Allah yang di-Kurniakan Ni'mat tersebut, wajib memeliharanya sungguh-sungguh
sampai mati. Moga mencapai kemenangan
Abadi di Sisi-Nya.
Penjagaan
Pertama : Kekalkan Zikrullah dan
Mujahadah Terus-menerus
Salikin yang sampai Maqam
Tauhid hakiki yang pertama ini, meskipun sudah cukup tinggi berbanding dengan
Iman orang awam, namun mereka belum mendapat jaminan ketetapan hati. Keimanan mereka akan turun naik menurut kadar
mujahadah mereka. Jika mereka terus dan
tetap mengerjakan zikrullah, mujahadah dan menjaga adab-adabnya, maka Tauhid
mereka akan terus bersinar. Jika mereka
kurang berzikir atau lemah dari mujahadah, maka Keimanan mereka mungkin turun sedikit.
Penjagaan ke-2 :
Kekalkan Keyakinan Bahawa Ianya Rahmat Kurnia Allah
Kekalkan keyakinan bahawa segala pencapaian mereka adalah Kurnia dan Rahmat Allah Ta'ala semata-mata dan BUKAN kerana usahanya yang gigih. Sememangnya semua orang Islam diperintah jihad sungguh-sungguh melawan hawa nafsunya siang dan malam tanpa henti. Sememangnya mereka wajib mujahadah sungguh-sungguh menyucikan hati mereka dengan sungguh-sungguh zikrullah siang dan malam. Namun kejayaan mereka BUKAN kerana usaha mereka yang gigih, BUKAN kerana mujahadah mereka, BUKAN kerana kepandaian mereka tetapi kejayaan yang mereka capai adalah Rahmat dan Kurnia-Nya yang Maha Pengasih. Hal ini sudah pun diyakini oleh Salikin yang sampai maqam kesucian hati, namun keyakinan ini wajib dikekalkan sepanjang masa.
Penjagaan
ke-3 : Jangan Buka Rahsia Ketuhanan
Sekalian pemberian berupa berbagai jenis Zikrullah dan Natijah Zikrullah seperti cahaya-cahaya istimewa, kenyataan Alam Ghaib dan lain-lain sepertinya merupakan Rahsia Ketuhanan dan Amanah yang wajib disimpan baik-baik dan dilarang keras sebarkannya kepada umum. Jika dia sebarkan, maka dia telah khianat kepada Allah. Perbuatan ini merupakan pelanggaran adab yang amat besar, maka segala Ni'mat akan ditarik balik dan dia akan jadi orang awam, bahkan dikhuatiri menjadi istidraj. Wal Iyazubillah.
Penjagaan
ke-4 : Jangan Abaikan Syari'at
Hal ini telah pun dijelaskan, namun di sini kita ulang sebagai penjagaan penting. Seseorang yang di-Limpahi Cahaya Ketuhanan sehingga mencapai Keimanan sejati adalah hamba Allah yang berdiri teguh pada sekalian hukum Syara', bukan abaikannya apa lagi ingkarinya. Jika ada manusia mengaku sudah mencapai haqiqat dan
Ma'rifat, lalu menganggap
Syari'at tak penting lagi, maka dia adalah zindiq (kafir yang tidak sedar sudah
jatuh kepada kekafiran). Wal
Iyazubillah. Orang-orang seperti ini
BUKAN Salikin yang mengikut Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq, sebaliknya
mereka menganut fahaman "ilmu batiniah" atau "ilmu haqiqat
palsu".
Penjagaan
ke-5 : Pegang Teguh pada Adab
Hal ini juga telah dijelaskan sebelum ini beberapa kali. Namun di sini perlu diingatkan lagi bahawa "Adab" adalah ibarat "Pagar" yang melindungi dan memelihara tanaman di sebuah kebun. Jika seseorang Salikin melanggar "adab-adab besar" seperti Jahat sangka dengan Allah, atau jahat sangka pada Gurunya, maka binasalah sekalian buah-buahan yang lazat-lazat di dalam kebunnya.
Pada beberapa siri sebelum
ini kami telah jelaskan asas-asas pengetahuan berkenaan sampainya Salikin
kepada Tingkatan Pertama Tauhid yang sebenar-benar suci murni, iaitu Maqam
Tauhid Af'al — Esakan Allah Ta'ala pada sekalian Af'al-Nya.
Pada peringkat-peringkat
Mujahadah seterusnya, seseorang Salikin yang sungguh-sungguh abdikan diri
kepada Allah dengan mengekalkan keikhlasan dan adab-adab perjalanan Ma'rifat
dengan teguh, maka di sana akan terbukalah kepadanya pintu-pintu Tauhid yang lebih
tinggi, dengan Limpahan Rahmat Allah dan Kemurahan-Nya.
Oleh kerana ini adalah
forum umum, maka tidaklah kami terangkannya secara mendalam, melainkan sedikit
sahaja, sekira-kiranya memadai bagi orang awam dan Salikin yang mubtadi
dan mutawassit memperoleh gambaran keseluruhan perjalanannya kepada
Allah.
...bersambung ke Fasal 11 : Penjelasan - Maqam Auliya Allah
...اِ نْ شَآ ءَ اللّه
No comments:
Post a Comment