Sunday, July 19, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 11

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Fasal 11 :  Penjelasan - Maqam Auliya Allah


Berikut kami sampaikan beberapa catitan ringkas berhubung dengan Auliya Allah atau Maqam Kewalian sebagai tambahan di dalam perbincangan ini bagi menolak kekeliruan dan sebagai amaran kepada pendusta-pendusta dari kalangan Wahhabiyyah (Khawarij), Syi’ah (rafidhi), Sekular, Liberal, demokrasi atau lainnya yang wujud pada zaman ini.

 

Definisi

Dari sudut bahasa: 

Auliya (أَوْلِيَاءَ) adalah dekat, wakil, penolong, pemimpin yang menolong mengurus suatu bagi pihak lain.

Dari sudut Istilah: 

 Auliya (أَوْلِيَاءَ) adalah Kekasih Allah dan Wakil-Nya atas  muka bumi yang Allah Ta'ala pilih Khusus bagi mentadbir dunia menurut Kehendak dan Perintah-Nya.  Mereka adalah Mu'min sejati, benar-benar Taqwa kepada Allah, Arif Billah, istiqamah Ubudiyyah kepada Allah zahir dan batin, istiqamah melaksanakan Perintah Allah tanpa ketakutan pada siapa pun dari kalangan makhluq.  Mereka hanya takut kepada Allah semata-mata.

 

Dalil Al-Qur’an, Hadith dan Fatwa Ulama Ahlus Sunnah

Berdasarkan keterangan Al-Qur'an, Hadith dan Ijma' Ulama, insan-insan pilihan Allah yang khusus dipanggil " Auliya Allah " benar-benar wujud atas muka bumi.  Meyakini kewujudan mereka serta kemuliaan yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada mereka adalah setengah dari cabang-cabang Keimanan. Ertinya wajib beriman akan keberadaan mereka dan ingkarinya membawa kepada kekafiran. 

Wal Iyazubillah.


Dalil 1 :  Firman Allah Ta'ala:

أَأَلاۤ إِنَّ أَوْلِيَآءَ ٱللَّهِ لاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ.  ٱلَّذِينَ آمَنُواْ وَكَانُواْ يَتَّقُونَ.  لَهُمُ ٱلْبُشْرَىٰ فِي ٱلْحَياةِ ٱلدُّنْيَا وَفِي ٱلآخِرَةِ لاَ تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ ٱللَّهِ ذٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

"Ketahuilah! Sesungguhnya para Auliya Allah itu, tidak ada ketakutan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.  Mereka (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman (Mu'min sejati) serta mereka pula sentiasa bertaqwa (sebenar-benar Taqwa).  Bagi mereka diberi berita gembira di dalam kehidupan dunia dan di Akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.”

[Yunus (10) : Ayat 62-64]

 

Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

“Sesungguhnya mereka yang benar-benar beriman (Mencapai Keimanan sejati) adalah Auliya Allah (Kekasih Allah) yang tiada takut apa pun terhadap sesuatu yang mendatang, dan tiada dukacita terhadap suatu yang mereka tinggalkan di belakang.  Kemudian Allah tegaskan lagi bahawa mereka yang dimaksudkan adalah orang-orang yang beriman (benar-benar beriman) dan bertaqwa     (sebenar Taqwa)       kepada      Allah.     Kalimah  

" ٱلْبُشْرَىٰ " (Al-Busyra), khabar gembira bermaksud dua macam kebahagiaan:  Pertama: Kebahagiaan di dunia dengan mendapat mimpi-mimpi benar. Kedua: Jaminan masuk Syurga (tanpa hisab).  Yang demikian itu adalah jaminan Allah kepada mereka. Dan itulah sebesar-besar kemenangan.”

[Tafsir Ibn Abbas]

 

Penjelasan:

Firman Allah di atas menjelaskan beberapa keistimewaan yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada hamba-hamba Allah yang mencapai Keimanan sejati, Maqam Tauhid tertinggi, Maqam Taqwa yang sebenar-benarnya, Maqam  Ma'rifat dan Ubudiyyah yang sempurna.

 

(1)    Mereka disebut oleh Allah sebagai Auliya, iaitu Wakil-Nya dan Kekasih-Nya.

(2)    Allah Ta'ala hilangkan ketakutan atau kebimbangan dari hati mereka.

(3)  Allah Ta'ala berikan jaminan kepada mereka bahawa mereka akan masuk Syurga tanpa hisab.

(4)    Allah Berikan khabar gembira bahawa mereka di dalam Pemeliharaan Allah Ta'ala.

(5)    Mereka sentiasa di Hadratul Quddus menyaksikan Wajah Allah pada setiap ketika dan ruang waktu.  Tiada terpaling walau sesaat.  Dengan demikian, mereka dipelihara oleh Allah daripada terjerumus kepada dosa-dosa besar atau kefasikan.  Jika pada suatu ketika mereka terbuat dosa kecil, maka mereka akan bertaubat pada seketika itu juga. Bagi Rasul dan Nabi, hal ini dinamakan Ma'sum.  Bagi Auliya Allah yang lain, ia dinamakan Mahfuz. 

 

 

Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Para Nabi dan Wali Allah tidak luput dari kegelinciran.  Hanya para Nabi adalah Ma'sum terpelihara dari dosa besar setelah diangkat menjadi Nabi dan Rasul.  Sedangkan para Wali Allah tidaklah ma'sum tetapi mereka adalah disebut Mahfuz, dipelihara oleh Allah daripada dosa-dosa besar setelah darjat kewaliannya sempurna."

[Sirrul-Asrar]

 

Dalil 2 :  Firman Allah:

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

“Dan wajah-wajah (orang-orang Mu’min) pada hari itu berseri-seri.  Kepada Rabb (Tuhan)  mereka melihat.”

[Al Qiyamah (75) : Ayat 22-23]

 

Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

Keadaan kehampiran sedemikian itulah yang dikatakan umpama satu Syurga padanya tidak ada taman dan kebun, tidak ada sungai madu dan susu.  Itulah Syurga memandang hanya Wajah Allah.

[ Sirrul Asrar Fi Ma Yahtaju Ilaihil Abrar]

 

Penjelasan:

Memandang Wajah Allah dengan pandangan Sirriyah (rahsia Ketuhanan yang sangat dalam) itulah dikatakan Syurga yang disegerakan bagi hamba-hamba Allah yang mencapai Maqam Tauhid yang sempurna dan inilah haqiqat Syurga.

 

Apakah Ni'mat terbesar bagi Ahli Syurga?  Tidak ada Ni'mat yang lebih besar di dalam Syurga melainkan memandang Wajah Allah.

 

Dengan demikian, Hamba-hamba Allah yang sampai ke Maqam Tauhid Zat, Maqam Tauhid yang sempurna, dibukakan mata Sirriyah melihat kepada Zat Yang Laisa Kamithlihi Syai'un (ketika hayat mereka di dunia), maka dikatakan: Mereka telah memperoleh Syurga (Syurga yang disegerakan) ketika hayat mereka di dunia lagi.  Bagi mereka tiada keinginan lain lagi kerana mereka sudah mencapai kemuncak Ni'mat memandang Wajah Allah setiap waktu

 

Dalil  3 :  Hadith Qudsi:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ اللهَ تَعَالَى قَالَ : مَنْ عَادَى لِيْ وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِيْ بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عَلَيْهِ، وَلاَ يَزَالُ عَبْدِيْ يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِيْ يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِيْ يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِيْ يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِيْ يَمْشِيْ بِهَا، وَلَئِنْ سَأَلَنِيْ لأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِيْ لأُعِيْذَنَّهُ

Dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu beliau berkata, bahawa Rasulullah   bersabda :  “Sesungguhya Allah Ta’ala berfirman:

"Barangsiapa yang memusuhi Wali-Ku maka Aku telah mengisytihar perang dengannya.  Tidak ada taqarrubnya seorang hamba kepada-Ku yang lebih Aku cintai kecuali dengan beribadah dengan apa yang telah Aku fardhukan kepadanya.  Dan hamba-Ku yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (perkara-perkara sunnat) maka Aku akan mencintainya dan apabila  Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan.  Jika dia meminta kepada-Ku niscaya akan Aku berikan dan jika dia minta perlindungan dari-Ku niscaya akan Aku lindungi. ”

[Imam Bukhari]

 

Dalil 4 :  Rasulullah bersabda:

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

"Ihsan ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya.  Jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia (Allah) melihat engkau"

[Imam Muslim, Imam Abu Dawud, Imam Tirmizi, Imam Ahmad]

 

Penjelasan:

Dalil ke-3 dan ke-4 di atas adalah di antara bukti-bukti terkuat Maqam Tauhid Zat, Keimanan tertinggi, Maqam Ihsan, iaitu sempurna Ma'rifat dan Ubudiyyah kepada Allah Ta'ala.  Tiada yang mampu melakukannya melainkan mereka yang telah diangkat oleh Allah kepada Maqam Tauhid Zat yang sempurna.


...bersambung ke Fasal 11 :  Penjelasan - Maqam Auliya Allah - Ciri-ciri Penting Auliya Allah


...اِ نْ شَآ ءَ اللّه 



 

 

 


No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 12

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Fasal 12 :   Penjelasan - Karomah Ketah...