Saturday, July 11, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN


10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al


sambungan....


Tanda ke-10 :  Sempurnakan Amanah


Setengah daripada tanda-tanda benarnya seseorang sampai ke Maqam Tauhid yang suci bersih adalah "Amanah" iaitu dia sempurnakan sekalian Amanah yang dipikulkan ke atas bahunya. Hal ini adalah sebagaimana penegasan Allah Ta'ala:

 

Firman Allah Ta'ala:

وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمۡ وَعَهۡدِهِمۡ رَٲعُونَ

"Dan (tanda orang yang benar-benar beriman adalah) mereka yang menjaga amanah dan janjinya."

[Al-Mu'minoon (23) : Ayat 8]


Di antara Amanah terbesar yang dipenuhi berbagai cabaran adalah Amanah mentadbir manusia sama ada di peringkat kampung, pekan, daerah, negeri atau negara seluruhnya.  Hanya hamba-hamba yang suci hatinya sehingga bercahaya dengan Keimanan sejati mampu menunaikan Amanah ini dengan sempurna menurut Ketentuan Allah Ta'ala.  Pada setiap ketika mereka akan melihat diri mereka berdiri di hujung pedang yang tajam kerana mereka sedar kesilapan yang sedikit membawa padah yang amat berat! Setiap langkah dan tindakan ditimbang pada neraca "Keredhaan Allah" bukan keredhaan manusia.

 

Contoh terbaik bagi menggambarkan kebenaran ini adalah para Sahabat yang dididik oleh Junjungan Rasulullah selama 13 tahun di Makkah.  Rasulullah telah mendidik mereka menjadi insan yang benar-benar suci hatinya dan bersinar dengan Cahaya Ketuhanan. Mereka telah menempuh perjalanan yang panjang, mujahadah melawan nafsu-nafsu rendah sehingga tiada lagi kecintaan mutlaq melainkan semata-mata kepada Allah.  Hanya insan-insan yang memiliki jiwa suci ini mampu mentadbir dan tunaikan Amanah menurut Kehendak Allah.  Hasilnya terlihat pada era kepimpinan Khulafa Ar-Rasyidin Ridwanullah.

 

Sistem Pendidikan unggul Rasulullah diwarisi oleh Sahabat-sahabat Baginda, kemudian bersambung kepada Ulama Warisatul Anbiya sehingga ke hari ini, tiada putus.  Pewaris Nabi yang Siddiq (Benar) yang dikenali sebagai Mursyid, Ahli Sufi atau Ahli Ma'rifat meneruskan Warisan Rasulullah dengan penuh dedikasi dan amanah sampai Qiamat.  Hanya mereka yang mendapat didikan Jalan Ma'rifat yang diwarisi daripada Rasulullah ini, mampu tunaikan segala Amanah Allah dengan sempurna menurut Kehendak-Nya.

 

Adapun manusia Muslim yang tidak melalui proses pendidikan seperti ini, tidak akan mampu menunaikan segala Amanah Allah atas muka bumi.  Jiwa mereka belum cukup bersih, bahkan dipenuhi oleh segala ketamakan dunia yang hina.  Jiwa mereka berkobar-kobar ingin mengaut keuntungan duniawi. Mereka tak mampu menahan nafsu terhadap kilauan harta kekayaan yang membayangi mereka.  Apabila mereka diberikan amanah dan kuasa, mereka memerintah mengikut nafsu.  Hati mereka tertutup daripada Akhirat.

 

Hal ini terang-terang berlaku di hadapan Ummat pada zaman ini.  Orang-orang Islam "berubah" menjadi korup, fasiq dan zalim apabila mereka berkuasa.  Sewaktu mereka berkempen, mereka bentangkan menifesto yang mengandungi janji-janji manis dan indah.  Setelah mereka mendapat kuasa, mereka menjadi syaitan.  Mereka melakukan berbagai penipuan, kejahatan dan kezaliman.  Hal ini termasuklah mereka yang bergelar "Ulama".  "Ulama-ulama" ini sewenang-wenang menjual Agama mereka dengan secebis dunia yang hina.  Mereka memutar belitkan ayat Qur'an demi membenarkan pendapat nafsu mereka. 

 

Mengapakah pemimpin-pemimpin Islam ini gagal tunaikan Amanah Allah?

 

Mengapakah mereka menjadi korup, jahat, fasiq dan zalim?

 

Mengapakah mereka sanggup menipu Ummat?

 

Puncanya :  Keimanan belum masuk ke dalam hati.  Cahaya Ketuhanan belum masuk ke hati mereka.  Hati mereka dipenuhi kesyirikan (syirik tersembunyi), kekejian dan nafsu ketamakan kepada dunia.

 



...bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al - Tanda ke-11 :  Hati Tenang Tenteram

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه 




No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 10: TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN 1...