بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
FASAL 10:
TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN
10.4 Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al
sambungan....
Tanda
ke-11 : Hati Tenang Tenteram
Ketenangan dan ketenteraman
yang dimaksudkan adalah ketenangan dan ketenteraman berserta Allah, yang
terhasil secara automatik tanpa dipaksa-paksa atau diusahakan dengan kekuatan
fikir aqal. Hal ini cuma mampu dihayati
oleh hamba-hamba Allah yang telah disucikan hatinya. Inilah setengah daripada tanda-tanda
kebenarannya.
Hidup manusia umumnya dan
Muslim khususnya dipenuhi berbagai ujian, cabaran dan dugaan. Kadangkala mereka diuji dengan kemiskinan
atau diuji dengan kehilangan pekerjaan, hilang mata pencarian atau diuji dengan
penyakit-penyakit berat yang tidak tertanggung atau diuji dengan kematian anak,
isteri, suami, sanak saudara yang tersayang.
Pada saat-saat seperti ini ketenangan dan ketenteraman jiwa akan hilang,
diganti dengan keresahan, ketakutan.
Kadangkala dia menjadi marah tidak menentu. Kadangkala dia menyalahkan Taqdir. Atau dia mempersoalkan ketentuan Allah dan
keadilan-Nya. Setengahnya putus asa dari
Rahmat Allah. Semua ini amat merbahaya
kepada Aqidah atau Iman atau Tauhidnya.
Orang awam akan mendapati amat sukar menghadapi dugaan-dugaan berat ini kerana hati mereka tertutup dari melihat Ketuhanan. Meskipun kadangkala mereka sudah pun mempelajari sifat 20, sudah mahir memahami teori-teorinya, namun mereka tak mampu menghadapinya kerana pelajaran mereka masih berada pada aqal (ilmu-yaqin).
Berbeza dengan hamba-hamba
Allah yang telah terbuka mata hatinya kepada Ketuhanan, iaitu mereka yang telah
mencapai Maqam Tauhid yang suci bersih, mata hati mereka terbuka kepada
Ketuhanan, mereka melihat dengan ainul-yaqin akan segala ketentuan Allah
Ta'ala.
Pertama : Melihat Ni'mat Allah yang telah mereka kecapi
teramat banyak sehingga mereka tak mampu mensyukurinya.
Firman Allah Ta'ala:
وَءَاتَٮٰكُم مِّن ڪُلِّ
مَا سَأَلۡتُمُوهُۚ وَإِن تَعُدُّواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ لَا تُحۡصُوهَآۗ إِنَّ
ٱلۡإِنسَـٰنَ لَظَلُومٌ۬ ڪَفَّارٌ۬
“Dan Dia telah memberikan
kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah,
tidaklah dapat kamu menentukan bilangannya (menghitungnya). Sesungguhnya
manusia itu, sangat zalim dan sangat kufur (kepada Ni’mat Allah)”.
[Ibrahim (14) : Ayat 34]
Kedua : Mereka sabar ketika diuji dan penuh yakin bahawa Allah Ta'ala akan menolong mereka.
Firman
Allah:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ
بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأَنفُسِ
وَالثَّمَرَاتِ
“Sungguh, Kami akan
menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan
buah-buahan. Dan berikan khabar gembira
bagi orang-orang yang bersabar”.
[Al Baqarah (2) : Ayat
155]
Ketiga : Mereka sedar bahawa ujian Allah itu akibat
dosa-dosanya dan Allah ampuni dosa-dosanya jika dia sabar.
Rasulullah
ﷺ bersabda:
“Sentiasalah ujian itu
menerpa Mu’min atau Mu’minah pada jasadnya, harta dan anaknya sampai ia bertemu
dengan Allah dalam keadaan tidak mempunyai dosa.”
[Imam Ahmad dan Imam
Tirmidzi]
Keempat : Mereka yakin bahawa diri mereka dan sekaliannya akan kembali kepada Allah untuk menerima balasan. Segala Pemberian Allah Ta'ala hanya pinjaman (yang mengandungi dugaan) dan Dia berhak mengambil kembali menurut Kehendak-Nya.
Firman
Allah:
كُلُّ نَفْسٍ ذَاۤىِٕقَةُ الْمَوْتِۗ ثُمَّ اِلَيْنَا
تُرْجَعُوْنَ
“Setiap yang bernyawa akan
merasakan mati. Kemudian hanya kepada
Kami, kamu dikembalikan.”
[Al-Ankabut (29) : Ayat
57]
Maka kembalilah jiwa ini kepada Allah dengan
penuh ketenangan.
...bersambung ke Fasal 10 : Tingkatan Pencapaian Salikin
10.4 Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al - Tanda ke-12 : Menyeru kebaikan Mencegah Kemungkaran
..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه
No comments:
Post a Comment