Saturday, July 11, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN


10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al


sambungan....


Tanda ke-9 :  Berpegang Teguh dengan Syari'at Rasulullah


Setengah dari tanda-tanda benarnya seseorang Salikin sampai kepada Maqam Tauhid hakiki adalah :  Berpegang teguh dengan Syari'at Rasulullah , bahkan lebih kukuh daripada sebelumnya.  Tanda ini adalah di antara bukti-bukti terpenting benarnya seseorang Salik sampai ke Maqam Tauhid yang hakiki dan bukan pura-pura, bukan dibuat-buat, bukan kepalsuan, bukan penyamaran dan bukan tertipu dengan angan-angan atau bisikan syaitan.


Cahaya Ketuhanan yang meliputi menjadikannya mudah melakukan sekalian tuntutan Allah tanpa sebarang keterpaksaan.  Dia dipermudahkan menunaikan segala ketaatan kepada Allah dengan penuh kesungguhan dan kerelaan.  Dia sempurnakan Ibadah yang wajib dengan segera, dan banyakkan perkara sunnat dan tinggalkan perkara makruh.


Hal ini jauh berbeza dengan suasana ketika dia masih di peringkat orang awam.  Di peringkat orang awam, terasalah baginya amat berat melakukan ibadah yang fardhu sekalipun.  Apa lagi yang sunnat-sunnat.  Bahkan ada waktu-waktu tertentu dia tinggalkan ibadah yang fardhu dan sewenang-wenang melanggar yang dilarang.  Ini sebabnya kita perhatikan ramainya orang Islam tinggalkan solat sewenang-wenangnya.  Ilmu fardhu 'ain diabaikan.  Para wanitanya mendedahkan aurat.


Di peringkat Maqam Tauhid yang suci murni, kesyirikan (syirik khafi), mazmumah (kekejian) dan dosa-dosa batin yang lain hilang musnah dan diganti dengan Cahaya Keimanan yang sentiasa menarik kepada ketaatan, kebaikan dan ubudiyyah setulus hati.  Jika pada suatu ketika dia tertarik kepada kejahatan, maka segeralah Cahaya Keimanan di dalam hatinya segera menolaknya.


Ringkasnya, orang yang di-Kurniakan Maqam Tauhid yang suci murni, (iaitu permulaan Ma'rifat) akan tetap berpegang teguh dengan Syari'at zahir (hukum-hakam zahir syara') dan bukan melemahkannya atau abaikannya.  Apa lagi hamba-hamba Allah yang di-Kurniakan Maqam Tauhid yang lebih tinggi atau Ma'rifat lebih tinggi, maka lebih teguh pegangannya pada Syari'at, bahkan sempurna Syari'atnya.  Tidak mungkin seseorang yang telah diangkat ke peringkat Ma'rifat meninggalkan Syari'at zahir kerana pada setiap ketika mereka melihat Suruhan dan Tegahan Allah Ta'ala.


Dengan demikian orang-orang yang mengaku sudah sampai Ma'rifat tetapi abaikan Syari'at Nabi atau mengurangkannya atau melemahkannya atau mereka menganggap tidak perlu lagi memakai Syari'at lalu abaikan solat, puasa, zakat dan lain-lain, maka dia BUKAN Ahli Ma'rifat sebaliknya dia adalah termasuk golongan zindiq.  Wal Iyazubillah.  Hal ini telah disepakati sekalian Ulama Mu'tabar. 


Imam Malik Radhiallahu anhu berkata:

"Amalkan fiqh tanpa tasawwuf adalah fasiq.  Amalkan tasawwuf tanpa fiqh adalah zindiq.  Barangsiapa menghimpun  keduanya itulah muhaqqiq (yang benar)."

[Nukilan kitab :  Qutul Qulub, Ihya Ulumuddin dan Risalah Ma’rifat]


Sememangnya telah lama wujud sebahagian orang Islam salah gunakan Ilmu Tasawwuf atau Ma'rifat untuk kepentingan nafsu dan dunia mereka. Setengah mereka campur adukkan teori-teori Tasawwuf dengan ilmu batiniah, ilmu silat, ilmu nujum, ilmu sihir.  Golongan ini cuba meniru-niru Ahli Tasaawuf dan menamakan diri mereka sebagai Ahli Tasawwuf sedangkan mereka adalah Sufi PALSU, Ahli Ma'rifat PALSU, Mursyid PALSU.  Ulama Mu'tabar telah lama berikan amaran akan wujudnya golongan ini.  (Rujuk Risalah:  Sufi benar dan Sufi Palsu).


Orang awam tidak mampu membezakan antara kebenaran dengan kelompok-kelompok tersesat disebabkan penyamaran dan tipu daya iblis yang amat halus. Ini sebabnya orang Islam diperintah mencari Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq dan berguru dengan mereka.

 


...bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al - Tanda ke-10 :  Sempurnakan Amanah

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه 


No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 10: TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN 1...