Friday, July 10, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 10:

TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN


10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al


sambungan....


Tanda ke-8 :  Bertemu Rasulullah


Hamba-hamba Allah yang telah disucikan hatinya dan Cahaya Ketuhanan menyinarinya, akan memperoleh Kurnia Allah melihat Rasulullah sama ada di dalam mimpinya atau di dalam keadaan sedar (jaga).  Dalil dan syarah bagi keterangan ini:

 

Rasulullah   bersabda:

"Barangsiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya, bererti dia akan dapat melihat-ku di dalam keadaan sedar (jaga).  Sesungguhnya syaitan tidak boleh menjelma dengan rupa-ku ".

[Muttafaq Alaih]

 

Berkata Imam Sayuthi berkenaan Hadith tersebut:

"Dari hadith ini kita faham bahawa sesiapa yang benar-benar beriman dengan Nabi (Mukmin sejati) tetapi tidak dapat melihat Baginda kerana mereka tidak hadir (di zaman Nabi ), Hadith ini memberikan khabar gembira bahawa mereka akan dapat melihat Baginda sebelum mereka mati.  Hadith-hadith ini juga dalil yang mengesahkan sesiapa yang pernah melihat Baginda di dalam mimpinya, pasti akan melihat Baginda di dalam keadaan jaga (yaqazah)".

 

Selanjutnya Imam Sayuthi menambah:

Ada sebahagian orang tidak mempercayainya dan berkata : "Bagaimanakah mungkin orang hidup melihat orang mati"?

 

Untuk dakwaan ini, Imam Saytuhi menjawab:

"Orang-orang yang berkata demikian jatuh kepada dua bahaya:  Pertama kerana tidak mempercayai kebenaran Hadith Nabi yang sahih dan yang kedua kerana mengingkari Kekuasaan Tuhan Yang Maha Perkasa."

[Tamat nukilan Kitab — Al Hawi-Lil Fatawi]                                                         

 

Fatwa Imam Ibnu Hajar Al-Haythamy Radhiallahu anhu:

Imam Ibn Hajar Al-Haytamy ditanya : "Adakah mungkin bertemu Nabi di dalam keadaan sedar (jaga)?"  Beliau  menjawab :  "Ya. Benar.  Melihat dan bertemu Nabi di dalam keadaan sedar adalah mungkin (harus) hukumnya.  Telah dikhabarkan kepada kami bahawa ianya adalah Karomah para Auliya Allah oleh Al-Ghazali, Al-Barizi, Al-Taj al-Subki, dan Al-Yafi`i dari kalangan Asy-Syafiiyah dan al-Qurtubi dan Ibn Abi Jamra dari kalangan Malikiyah."                  

Beliau seterusnya menegaskan: "Sesiapa yang menafikannya, adalah dia tersesat.  Mereka yang menafikannya adalah mereka menafikan kebenaran Nabi dan menafikan Kekuasaan Tuhan serta menafikan juga Karomah Auliya Allah yang telah dibuktikan oleh Sunnah yang sahih ."

[Fatawa Hadithiyyah, Ibnu Hajar Al-Haytahmi]

 

Rumusan ringkas:


Hadith Rasulullah ini adalah khabar gembira bagi Mu'min yang benar-benar mencintai Baginda.

Hanya mereka yang mencapai darjat Mu'min sejati di-Kurniakan oleh Allah keluasan untuk melihat Baginda setelah kewafatan Baginda.

Permulaan melihat Baginda adalah di dalam bentuk mimpi.  Kemudian Allah Ta'ala akan bukakan lagi hijabnya bagi melihat Baginda di dalam keadaan sedar (jaga). 

Kurnia Allah kepada Mu'min pilihan ini adalah suatu Karomah (Kemuliaan), ertinya bukan kemampuan dirinya, tetapi semata-mata Anugerah Allah kepada hamba-hamba Allah yang benar-benar suci hatinya.

Sebahagian murid tidak terbuka hijab melihat Baginda meskipun mereka telah sampai Maqam Tauhid yang benar-benar suci.  Ini mempunyai hikmah tersendiri bagi memelihara murid itu daripada kebinasaan, iaitu kerosakan akibat 'ujub atau riya'.

Guru yang memimpinnya (Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq) akan mengesahkan sama ada murid itu telah benar-benar melihat Rasulullah atau semata-mata angan-angannya.  Ini kerana setengah dari khayalan atau angan-angan atau cita yang kuat boleh dimanupulasi oleh syaitan dan mendatangkannya di dalam bentuk bayangan mimpi.  Maka pengesahan Gurunya yang benar-benar Arif adalah ukuran kebenaran.

Tujuan Allah Ta'ala Kurniakan kemuliaan ini bagi Salikin adalah bagi memantapkan lagi Keimanan dan Keyakinannya kepada Allah Taala.  Dan juga lebih yakin dengan Jalan Ma'rifat yang diwarisi dari Rasulullah .  BUKAN untuk kebanggaan atau riya.  Dengan demikian salikin DILARANG KERAS hebah-hebahkannya kepada umum. 



...bersambung ke Fasal 10 :  Tingkatan Pencapaian Salikin

10.4  Penjelasan Tingkatan Tauhid Pertama – Maqam Tauhid Af’al - Tanda ke-9 :  Berpegang Teguh dengan Syari'at Rasulullah

..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه 




No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 10

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 10: TINGKATAN PENCAPAIAN SALIKIN ...