Tuesday, June 23, 2026

SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ - FASAL 7

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 7:

PANDUAN MENCARI  MURSYID YANG SIDDIQ



Pada sessi yang lalu kami telah bentangkan dalil-dalil kesinambungan  Risalah  dan  Nubuwwah ditangan Warisatul Anbiya yang Siddiq yang dipanggil Khalifah, Mursyid, Imam, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat.  Ini yang diakui sebagai Pewaris Rasulullah  yang sebenar oleh Ahlus Sunnah Wal Jama’ah sepanjang zaman.  Sedangkan selain mereka adalah dipanggil alim kitab atau alim fiqh.  (Perkara ini telah ditegaskan berulangkali oleh Imam Jilani, Imam Ghazali, Imam Fakhruddin Ar-Razi serta Imam-Imam Ahlus Sunnah lain yang terkenal sepanjang sejarah Ummat).

Dengan demikian tak berlaku pertikaian darihal perkara ini.  Kecuali golongan Wahhabiyah (Khawarij), Syi'ah (rafidhi), Sekular dan lain-lain tidak akui hakikat ini, tak perlu dihiraukan kerana golongan-golongan tersebut sudah pun terkeluar dari Ahlus Sunnah Wal Jama’ah.

Jika kamu benar-benar memahami sekalian Dalil, Fakta, Syarat dan Tanda-tanda mereka yang dikatakan sebagai Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, maka kamu akan memahami dengan sesungguhnya bahawa mereka bukan tokoh politik yang ternama, mereka bukan orang bergelar Dato', Tan Sri, mereka bukan orang yang pandai pidato tundukkan lawan, mereka bukan petapa, mereka bukan juara yang menunjuk-nunjuk keajaiban-keajaiban atau karomah-karomah hissiyyah, sebaliknya mereka adalah hamba-hamba Pilihan Allah yang Allah Zahirkan atas muka bumi bagi menyambung Amanah Rasulullah Mereka tidak ada tujuan lain melainkan memimpin manusia kepada Allah Ta’ala menurut Petunjuk Allah dan Rasul-Nya.  Mereka memimpin manusia sebagaimana Amanah yang mereka warisi daripada sekalian Masyaikh turun temurun daripada Rasulullah tanpa dicemari unsur-unsur hawa nafsu atau syaitan.  Inilah Mursyid sebenar yang wajib dicari dan dipegang erat sampai mati.

Berikut kami sebutkan langkah-langkah yang wajib diambil oleh “Pencari Kebenaran”, “Pencari Jalan Lurus”, “Pencari Jalan Allah dan Rasul yang sebenar” untuk Kembali kepada Allah dengan selamat:

 

Pertama: Perhatikan dan teliti Syarat-syarat Mursyid yang Siddiq.

                        

Kedua: Rasai sendiri kesan-kesan di dalam hati akan kebenaran mereka ketika duduk di  dalam Majlis-majlis umum mereka.

 

Ketiga: Lakukan solat hajat dan istikharah pada malam Tahajjud, dan mohon pada Allah menunjukki Guru Mursyid Pewaris Nabi yang akan memimpinnya kepada Allah. 



Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu:

"Jika seseorang tidak dapat membezakan di antara Guru Kerohanian (Shaikh Mursyid)  yang sebenar dan yang palsu, dia perlu mengerjakan solat nafil dua rakaat di waktu malam tahajjud, untuk memohon petunjuk Allah Ta'ala.  Dia kemudiannya memohon kepada Allah menunjukki manusia-manusia suci ini yang akan memimpinnya kepada jalan kebenaran.  Dia mesti sungguh-sungguh merayu kepada Allah agar Dia memperlihatkan kepadanya orang yang akan membawa kepada Kasih akan Allah Ta'ala dan yang akan menyinari mata hatinya dengan cahaya Ketuhanan.  Dan yang akan membuka kepada kejadian-kejadian ghaib yang beliau sendiri telah menyaksikannya.  Dengan berbuat demikian, Insya Allah seseorang akan mendapat jawapannya dari Allah Ta'ala.”

[Fathur-Rabbaniyy Wa Faidhur-Rahmani]

 

Keempat    :  Pegang Teguh Setelah Bai’at.

Setelah ikuti semua panduan di atas lalu ditunjukki oleh Allah akan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq itu, kemudian kamu Bai'at dengannya, dengan keyakinan yang teguh, maka pegang teguhlah sampai mati.  Jika datang keraguan selepas itu, ia adalah dari bisikan syaitan.  Sekali pun kamu melihat suatu pada sangkaan kamu bertentangan dengan hukum, ia cuma sangkaan kamu bukan kebenaran, maka hendaklah palingkan kepada kebaikan. Ini kerana tujuan seorang Pewaris Nabi yang Siddiq tidak lain melainkan menolong muridnya sepanjang perjalanan sehingga selamat sampai kepada Allah.  Sangkaan yang datang setelah wujud keyakinan mengandungi tipu daya iblis.  Ini sebabnya kata Imam Ghazali;


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:

Di antara adab-adab penuntut ilmu (murid) adalah :

"Jangan sekali-kali su’uz-zan terhadap Shaikhmu mengenai tindakan yang  kelihatannya mungkar atau tidak di-Redhai Allah menurut pandanganmu,   sebab Shaikh kamu lebih mengerti rahsia-rahsia yang terkandung dalam tindakannya."

[Bidayatul Hidayah]

 

Berkata Imam Ghazali lagi:

"Hendaklah murid itu bersikap kepada gurunya seumpama tanah kering yang disirami hujan Iebat.  Maka meresaplah ke seluruh bahagiannya dan meratalah keseluruhannya air hujan itu.  Manakala guru itu menunjukkan jalan belajar kepadanya, hendaklah dita'ati dan tinggalkanlah pendapat sendiri.  Ini kerana meskipun guru itu bersalah, tetapi lebih berguna baginya dari kebenaran dirinya sendiri.  Sebab, pengalaman mengajari yang halus-halus, yang ganjil didengar tetapi besar faedahnya (dari pengalaman keruhanian yang telah ditempuh oleh Guru pada waktu yang panjang).  Berapa banyak orang sakit yang dipanasi, dirawat oleh doktor dengan menambah panas pada waktu tertentu supaya kekuatannya bertambah sampai batas yang sanggup menahan pukulan ubat.  Maka hairanlah orang yang tak berpengalaman tentang itu.”

[Ihya Ulumuddin]



.....bersambung ke Fasal 8 Bai'at Kepada Mursyid yang Siddiq 

8.1 Pengenalan Berhubung dengan Bai'at....... اِ نْ شَآ ءَ اللّه


No comments:

Post a Comment

SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ - FASAL 8

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 8: PANDUAN MENCARI MURSYID YANG SI...