Monday, June 22, 2026

SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ - FASAL 6

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


FASAL 6:

MURSYID PALSU


sambungan....



Mursyid Palsu atau Sufi Palsu Pada Zaman Terdahulu

 

Berikut adalah nukilan mutiara hikmah dari Al-Imam Sulton Auliya Qutb-ar-Rabbaniy, Muhyiddin Shaikh Abdul Qodir Jilani رضي الله عه berhubung dengan Mursyid Palsu atau Sufi Palsu yang wujud pada zaman beliau.

 

Berkata Imam Jilani رضي الله عه:

Orang-orang yang mengikuti Jalan kerohanian menuju Allah  (Jalan Ma’rifat, Jalan Allah, Jalan Rasulullah yang sebenar) terbahagi kepada dua golongan atau kaum.

 

Golongan pertama adalah yang termasuk ke dalam kumpulan Ahlus Sunnah; iaitu mereka yang mengikuti sepenuhnya Syari’at dan Toriqat. Mereka mematuhi peraturan Quran dan amalan serta peraturan yang berasal daripada kelakuan dan perbuatan Rasulullah .  Mereka ikuti peraturan ini dalam perkataan, perbuatan, pemikiran dan perasaan, dan mereka mengikuti maksud batin Agama – iaitu mereka mengerti bukan ikut secara taqlid buta. Mereka beramal dan hidup menurut peraturan Agama, merasainya dan menikmatinya, bukan semata-mata menanggung sesuatu yang dipaksakan ke atas mereka.  Inilah jalan keruhanian yang mereka ikut.  Inilah persaudaraan hamba-hamba Allah yang berkasih sayang.  Mereka adalah kaum pencinta Allah yang sebenar!

Sebahagian daripada mereka dijanjikan Syurga tanpa hisab, yang lain akan menderita sedikit azab hari Qiamat dan kemudian masuk Syurga.  Namun ada juga sebahagian yang memasuki Neraka beberapa ketika yang singkat untuk menyucikannya daripada dosa sebelum masuk Syurga.  Tiada yang akan kekal di dalam Neraka.  Yang akan kekal di dalam Neraka ialah orang kafir dan munafiq.

 

Golongan kedua adalah terdiri daripada kumpulan-kumpulan yang bida’ah sesat.  Golongan bida’ah sesat ini banyak.  Di bawah ini dinyatakan sebahagian daripada jalan bida’ah sesat yang dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengakui diri mereka orang kerohanian (mengaku mengikut Ahli Sufi atau Mursyid tetapi mengikuti jalan kesesatan):

 

1. Hululiyyah – Mereka percaya mendakwa halal melihat tubuh dan wajah yang cantik yang menggiurkan nafsu dan mendorong kepada perzinaan sama ada perempuan atau lelaki, siapa sahaja sama ada isteri-isteri atau suami-suami, anak-anak perempuan atau saudara-saudara perempuan orang lain.  Mereka juga bercampur dan menari bersama-sama.  Ini jelas bertentangan dengan peraturan Islam dan menjaga kesucian dan kehormatan di dalam peraturan tersebut.

 

2.  Haliyyah – Mencari kerasukan  dengan cara menari, menyanyi, menjerit dan bertepuk tangan.  Mereka mendakwa Syaikh mereka berada dalam suasana yang mengatasi batasan Syari’at.  Jelas sekali mereka terpesong jauh daripada perjalanan Nabi yang dalam tindak tanduk Baginda sentiasa mematuhi hukum Agama.


Penjelasan:


Imam Jilani bermaksud dengan Haliyyah ini adalah mereka yang tidak bertujuan zikir kepada Allah.  Tetapi sebaliknya sengaja bertujuan mencari kerasukan sedangkan ini dilarang di dalam perjalanan Ma’rifat.  Zauk atau pemerasaan mendadak yang mendatang pada hati dan tubuh bagi ahli zikir  yang menurut jalan yang benar adalah yang di luar kawalannya (idhtirari). Oleh kerana asyik dengan Allah atau ketika kerinduan yang di luar kawalannya maka terjadi zauk yang tidak dapat dikawal, BUKAN suatu yang diusahakan dengan  niat mencari  kerasukan zauk. Inilah yang menyebabkan mereka terpesong kerana apabila niat amal berubah kepada lain, maka iblislah yang menjadi pemimpinnya.  Wal Iyazubillah.


 

3. Awliya’iyyah – Mendakwa mereka berada dalam kehampiran dengan Allah.  Dengan kata lain mereka telah mencapai peringkat Auliya Allah. Menurut mereka, apabila telah menjadi Auliya Allah maka tak perlu solat, puasa, haji dan lain-lain Ibadah (kononnya semua kewajipan Agama terangkat daripada mereka).  Seterusnya mereka mendakwa seorang wali, orang yang hampir dengan Allah, menjadi sahabat akrab-Nya, mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Nabi.  Mereka mengatakan ilmu sampai kepada Rasulullah melalui Jibrail sementara wali menerima ilmu secara langsung dari Tuhan.  Pandangan salah tentang suasana mereka dan apa yang mereka sifatkan kepada diri mereka adalah dosa mereka yang paling besar yang membawa mereka kepada bida’ah dan kekufuran.

 

Penjelasan:

Golongan ini meniru kata-kata Auliya Allah yang masyhur lalu menjadikan perkataan mereka yang direka-reka sedangkan orang-orang ini  BUKAN Ahlillah.  Mereka sengaja mereka-reka cerita kononnya sudah sampai kepada Allah dan menerima ilmu terus dari Allah sedangkan ianya pembohongan.  Auliya Allah yang sebenar bukan makin meninggalkan Syari’at tetapi sebaliknya lebih teguh syari’atnya daripada sekalian manusia lain.  Maka nyatalah golongan ini tersesat dengan bisikan iblis La’natullah.

 

4. Syamuraniyyah – Mereka percaya Kalam (Perkataan) Allah adalah kekal dan barangsiapa menyebut Kalam ini (Kalam Allah) tidak terikat dengan hukum atau Syari’at Agama.  Mereka tidak peduli halal atau haram. Dalam ibadat mereka menggunakan muzik (yang diharamkan – pent.). Perempuan dan lelaki bercampur gaul.  Tiada beza lelaki dan perempuan.  Ini sudah menyimpang jauh dari ajaran Al-Qur’an.

  

5.  Hubbiyyah – Golongan ini mengatakan bila manusia sampai ke peringkat cinta mereka bebas daripada semua kewajipan Agama. Mereka tidak memperdulikan tentang pakaian, kadang-kadang mereka bertelanjang bogel.  Tiada lagi perasaan malu.  Inilah ajaran sesat dan menyesatkan.


 

6.   Huriyyah – Gemar berteriak , memekik, menyanyi, menari dan bertepuk tangan, mereka menjadi kerasukan dan di dalam suasana kerasukan itu mereka mendakwa mengadakan hubungan jenis dengan bidadari, bila keluar dari kerasukan mereka mandi junub.  Mereka dimusnahkan oleh pembohongan mereka sendiri.

 

7. Ibahiyyah – Enggan mengajak kepada kebaikan dan melarang kemungkaran.  Mereka menghalalkan yang haram.  Mereka mendakwa semua perempuan halal bagi semua lelaki.  Ini ternyata golongan sesat yang akan menerima siksaan pedih!


 

8. Mutakasiliyyah – Mengamalkan prinsip bermalas-malas dan mencari nafkah dengan meminta sedekah dari rumah ke rumah.  Mereka beranggapan mereka telah meninggalkan segala hal ehwal dunia.  Maka musnahlah mereka di dalam perbuatan mereka.



9   Mutajahiliyyah – Berpura-pura jahil dan dengan sengaja berpakaian sopan, cuba menunjukkan dan berkelakuan seperti orang kafir, sedangkan Allah berfirman,

   

وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ

 وَمَا لَڪُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah.  Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”

[Hud (11) : Ayat 113]

 

Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda;  “Barangsiapa menyerupai suatu kaum, maka mereka dikir



10. Wafiqiyyah Mendakwa hanya Allah yang boleh kenal Allah.  Jadi, mereka  membuang jalan kebenaran.  Dengan ini mereka enggan berusaha mencari hakikat kebenaran. Kerana kebodohan mereka membawa menuju kerosakan  dan kesesatan


 

Penjelasan:


Imam Jilani bermaksud, golongan Wafiqiyyah beri’tiqad bahawa segala peraturan dan adab-adab yang diijtihadkan oleh Ulama sebagai panduan pada Jalan menuju Allah adalah sia-sia kerana mereka berpegang bahawa itu semua urusan makhluk.  Mereka menafikan terus usaha ikhtiar yang Allah Ta’ala Kurniakan kepada manusia mencari kebenaran dan berusaha sungguh-sungguh atasnya.

 

Sebahagian dari mereka menggelarkan diri mereka sebagai “majzub” dan mengaku sudah mencapai maqam yang tinggi tanpa menuntut Ilmu dan tidak mahu berusaha ikhtiar melakukan ibadah dengan bimbingan Mursyid.  Menurut I’tiqad mereka, Allah yang kenalkan diri-Nya tanpa asbab apa pun dari hamba.  Maka mereka membuang usaha ikhtiar mencari Jalan menuju Allah.  Inilah pegangan batil  yang sesat



11.    Ilhamiyyah – Golongan yang mementingkan ilham (semata-mata)  tidak mahu menuntut ilmu.  Mereka melarang belajar, dan berkata Quran adalah hijab bagi mereka. Mereka gunakan puisi karangan mereka sebagai ganti kepada Qur’an. Mereka meninggalkan Quran dan sembahyang, sebaliknya mengajarkan anak-anak mereka puisi.  Maka jadilah mereka sesat! 


     Demikian banyak ajaran-ajaran sesat dari Guru Sufi Palsu (Guru menyamarsebagai Mursyid atau Ahli  Sufi).


     Penjelasan:


Golongan Ilhamiyyah ini gemar berangan-angan mereka sudah mendapat Ilham-ilham dari Allah Ta’ala.  Kadangkala mereka mengaku mendapat ilmu Ladunni, mengaku belajar terus dari Allah Ta’ala.  Sedangkan pada hakikatnya ia Cuma khayalan dan  angan-angan yang datang dari  bisikan iblis.  Iblis menipu daya mereka dengan kepalsuan dan kebatilan.

[Tamat nukilan Kitab Sirrul Asrar Fi Ma Yahtahju Ilayhil Abrar]






....bersambung Mursyid Palsu atau Sufi Palsu 

pada Zaman Ini ...... اِ نْ شَآ ءَ اللّه

 


No comments:

Post a Comment

SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ - FASAL 6

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 6: MURSYID PALSU sambungan.... Mu...