Monday, June 22, 2026

SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ - FASAL 6

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


FASAL 6:

MURSYID PALSU


Setelah kami paparkan Dalil-dalil kewujudan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (sebenar) dan kewajipan setiap Muslim mencari dan mengikuti mereka, berserta dengan syarat-syarat dan tanda-tanda Mursyid yang Benar yang dapat disaksikan sendiri oleh hamba-hamba Allah yang jujur hatinya, maka di samping semua maklumat tersebut setiap Muslim wajib juga waspada terhadap “Mursyid Palsu” atau “Sufi Palsu” yang berlagak seperti Mursyid tetapi hakikatnya mereka hanya pura-pura untuk menipu daya Ummat yang lemah.  Tujuan mereka tidak lain melainkan memenuhi keinginan peribadi dan mengaut keuntungan dunia yang hina. 


Asli dan Palsu

 

Keaslian dan kebenaran akan sentiasa menghadapi kepalsuan dan kebatilan.

 

Bagi setiap kebaikan dan kecemerlangan yang Allah Ta’ala Ciptakan bagi manusia, pasti ada musuh dan kejahatan yang tersembunyi di sebaliknya yang cuba menghalang dan menyelewengkannya kepada kebatilan dan kesesatan. Zahirnya terlihat seperti kemuliaan dan kebenaran sedang pada hakikatnya ia adalah kepalsuan yang membawa kepada kesesatan dan kekafiran.

 

Musuh tersembunyi yang sangat licik di dalam menerbitkan kepalsuan di dalam Agama adalah iblis La’natullah.  Iblis sentiasa membayangi manusia terutama orang Islam dan menerbitkan “kepalsuan-kepalsuan” sehingga manusia awam menyangka ianya kebenaran.  Iblis akan datang dari segala arah dan dengan berbagai penyamaran dan tipu daya yang mempersonakan sehingga manusia terpedaya dan jatuh kepada kesesatan dan kekufuran tanpa disedarinya.

 

Sejarah Ummat Islam buktikan kenyataan ini.  Banyak sekali orang Islam termasuk “orang alim” (iaitu alim yang hanya mahir di dalam Syari’at  semata-mata) jatuh tersungkur kepada perangkap iblis ini.  Mereka tak kenal iblis dan tipu daya dia sangat halus, akibatnya mereka terpedaya dan mengikut iblis ke gerbangnya.

 

Firman Allah:

 

الَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٲطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ  ثُمَّ لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡ‌ۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِينَ

 

“Iblis berkata:  Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.“

[Al-A’raf (7) : Ayat 16-17]

 

Firman Allah:

 

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِين

Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan buruk, keji, ma’siat, kemungkaran) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas.”

[Al-‘Hijr (15) : Ayat 39-40]

 

Sifat-Sifat Umum Mursyid Palsu atau Sufi Palsu


Sesungguhnya para Masyaikh (Ulama bertaraf Auliya Allah) seperti Imam Besar Ahlus Sunnah Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu,  Imam Asy-Syazili, Imam Ghazali dan lain telah memberikan amaran keras supaya berhati-hati  terhadap  golongan Sufi PALSU.  Tanda-tanda Sufi PALSU atau Mursyid PALSU amat banyak.  Namun sebahagian besar daripadanya adalah berkaitan dengan perkara-perkara berikut:

 

1.  Tidak pernah berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. 


Mursyid palsu tidak pernah berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang mempunyai Silsilah sampai Rasulullah .  Orang ini lazimnya akan mengaku belajar secara ghaib dengan orang tertentu atau mengaku berguru kepada Wali Songo secara batin atau mengaku belajar dari Wali di gunung-gunung.

 

Pengakuan ini batil dan tertolak.

 

Sekalian Masyaikh telah menetapkan bahawa wajib mempelajari Agama sama ada yang bersifat Zahir (Syari’at – fiqh) maupun Toriqat (Toriqat - tasawwuf) dengan menghadap Guru (yang hidup) Pewaris Nabi yang Siddiq yang mempunyai Silsilah perguruan yang sahih, yang sampai kepada Rasulullah . 

 

Bahkan semua Ulama Pewaris Nabi termasuk mereka yang Mujaddid dan Mujtahid berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang hidup yang mempunyai Silsilah Pengambilan Ilmu Warisan Nabi dengan kaedah khusus yang terpelihara kesuciannya iaitu melalui Bai’at (janji setia) dan Talaqqi Musyafahah (menghadap dan menerima ilmu dari lisan Guru).

 

Adapun pengakuan seseorang yang mempelajari Ilmu daripada Auliya yang telah wafat adalah suatu peringkat yang tinggi setelah dia mencapai Ma’rifat yang tahqiq, lazimnya sudah melepasi maqam Mukasyafah dan Gurunya sendiri mengesahkan hal tersebut.


 

2.   Tidak mempunyai silsilah pengambilan ilmu.


Perkara kedua ini mempunyai hubung kait dengan perkara pertama.  Orang ini tidak mempunyai Mursyid yang Siddiq sebagai Pemimpinnya kepada Ketuhanan.  Jika ada pun dia mempunyai seorang Guru, namun Gurunya tidak ada Silsilah pengambilan Ilmu sampai Rasulullah .  Ilmu yang dimilikinya rekaan sendiri dengan mencampur adukkan berbagai ajaran falsafah batil atau ilmu batiniah.  Atau campur adukkan  ajaran-ajaran asing yang jelas bertentangan dengan Ahlus Sunnah seperti reiki, kundalini, ilmu cakra dan lain-lain yang nyata tersesat.

 

3.    Tidak ada Manhaj (sistem) Tarbiyyah yang lengkap.


Guru PALSU tidak mempunyai Sistem lengkap Tarbiyyah keruhanian yang meliputi, Zikrullah, Tawajjuh dan Suluk.  Mereka hanya meniru sana sini menggunakan amalan biasa orang awam.

 

 

4.   Ilmu Ma’rifat dicanangkan bukan dari pengalaman keruhanian sendiri.


Orang ini sering bercakap soal Haqiqat dan Ma'rifat yang tinggi-tinggi  sedangkan semua itu bukan dari pengalaman keruhanian sebaliknya mereka kutip dari kitab-kitab Tasawwuf yang tinggi-tinggi lalu mengaku sudah miliki ilmu Ma'rifat.  Atau ungkapan berbelit-belit keluar dari hembusan atau bisikan iblis.

 

5.    Terang-terangan Menyalahi Syari’at.


Mursyid PALSU seringkali melanggar  Syari'at atau menyalahi hukum yang jelas haram seperti meninggalkan solat, puasa dan lain-lain dengan alasan sudah sampai kepada Tuhan atau mengaku sudah menjadi Tuhan.  Atau mendakwa boleh melakukan zina atau minum arak dengan dakwaan telah bebas dari syari'at.  Ini adalah pegangan orang Zindiq.

 

6.    Menunjuk-nunjuk keajaiban.


Hal ini suatu yang sangat digemari oleh Mursyid PALSU kerana ianya merupakan suatu cara licik mempengaruhi dan menundukkan pemikiran orang yang minat kepada jalan keruhanian.  Mereka mengaku sudah mendapat karomah dan sangat gemar menunjuk-nunjuknya kepada umum,  pada hal yang sebenarnya semua macam “keajaiban-keajaiban” yang dipamerkan adalah sihir mainan iblis, jinn syaitan. Sesungguhnya menunjuk-nunjuk kehebatan dan perkara-perkara keajaiban yang mencengangkan aqal bukan cara Mursyid yang Benar,  sebaliknya ia perbuatan ahli sihir, bomoh, dukun, pawang atau lain-lain sebangsanya.



7.    Menarik Tenaga Alam.

Sebahagian dari tanda Sufi Palsu atau Mursyid Palsu adalah pengakuan bahawa dia mampu menarik Tenaga Alam untuk menjadi kuat dan sihat. Mereka cuba buktikan pengakuan mereka dengan menunjuk-nunjuk berbagai kehebatan menggerakkan benda-benda dengan kekuatan minda atau batin. Semua ini termasuk sihir bantuan jinn syaitan.  Tetapi mereka tidak mengetahuinya kerana tak kenal bagaimana tipu daya halus jinn syaitan masuk menyesatkan manusia.


8.    Abaikan Syari’at atau Toriqat Rasul


Setengah-setengah dari tanda Mursyid PALSU adalah mengabaikan Syari’at dan Toriqat. Sesungguhnya kedua-duanya (Syari’at dan Toriqat) datang dari Rasulullah  , yang pada hakikat Wahyu Ilahi.  Maka barangsiapa meninggalkan salah satu daripadanya atau menafikannya atau ingkarinya, maka dia bukan dari kalangan orang beriman.  Apa lagi mengakuinya sebagai Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, tak mungkin!


9.    Campur aduk lelaki wanita ketika berzikir.


Masyaikh kita telah menetapkan, ketika diadakan Majlis Zikrullah, maka WAJIB dipisahkan lelaki dan wanita dengan dinding (tidak memadai dengan tirai biasa).  Ini bertujuan elakkan berbagai kemungkinan fitnah kerosakan hati di samping bahaya terjadi kemungkaran.  Maka orang  yang membawa pengikutnya berzikir campur aduk antara lelaki dan perempuan tak mungkin menjadi Mursyid.



10. Mengaku dirinya sebahagian dari Tuhan atau menjadi Tuhan.

Lazimnya orang yang mengeluarkan ucapan-ucapan ini adalah dari Golongan Hakikat PALSU atau Golongan Batiniah atau Zindiq.  Wal Iyazubillah.

 

Demikianlah  sebahagian dari tanda-tanda Mursyid PALSU atau Sufi PALSU.  Walau bagaimanapun tidak semestinya semua sifat tersebut terkumpul pada seseorang.  Mungkin sebahagian sifat-sifatnya wujud pada satu golongan dan sebahagian lagi pada golongan lain.

Sebagaimana juga pemimpin bagi golongan Wahhabiyyah (khawarij), Syi'ah (rafidhi), golongan Sekular dan lain-lainnya berjumlah 72 golongan sesat juga dipimpin oleh iblis,  golongan Ilmu keruhanian PALSU atau Sufi PALSU juga  dipimpin oleh iblis sedang mereka tidak menyedarinya.

Inilah sebabnya sekalian Ulama Mu'tabar telah memberi peringatan dan AMARAN... jangan kamu berjalan sendirian kerana iblis, jinn syaitan akan pimpin kamu kepada gerbang iblis — kepada kesesatan.  Sebaliknya kamu WAJIB berguru kepada Guru Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Jangan sesekali terpesona dengan “wayang” dan “keajaiban-keajaiban yang membuat manusia tercengang”  atau “menembusi hukum alam” yang mana semua ini BUKAN matlamat Mursyid Pewaris Nabi dan BUKAN Matlamat Toriqat Nabi .

 


....bersambung Mursyid Palsu atau Sufi Palsu 

pada Zaman Terdahulu...... اِ نْ شَآ ءَ اللّه

No comments:

Post a Comment

SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ - FASAL 6

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 6: MURSYID PALSU sambungan.... Mu...