Wednesday, June 17, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 2 :

FAKTA-FAKTA PENTING BERKENAAN MURSYID


Alhamdulillah sebesar-besar kesyukuran kepada Allah Ta’ala yang mengutus Junjungan Besar Sayyidina Maulana Muhammad Mustafa , menjadi   Cahaya yang menerangi sekalian Alam Semesta.  Dan sebesar-besar kesyukuran kepada Allah yang mengutus Sekalian Warisatul-Anbiya,  Pewaris Nabi sebagai Khalifah-Nya atas muka bumi bagi menyambung   Risalah Junjungan sampai Qiamat.

 

Berikut adalah sejumlah Fakta Penting berhubung dengan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar) yang perlu diketahui oleh seluruh Ummat Islam agar mereka mencapai keselamatan dunia Akhirat, menurut Jalan Allah dan Rasul-Nya (Ahlus Sunnah Wal Jama’ah) dan selamat daripada penyelewengan, kesesatan dan kekufuran.

 

 Fakta 1 :  Mursyid Adalah Warisatul Anbiya Yang Sebenar

Ketahuilah berdasarkan keterangan Al-Qur’an, Hadith dan Fatwa Ulama Mu’tabar, Mursyid adalah Warisatul Anbiya  Pewaris Rasulullah   yang Siddiq  (benar), yang  mewarisi  zahir dan batin Baginda Nabi   ﷺ.   Mereka mewarisi keseluruhan Agama dari Baginda, meliputi Syari'at dan Toriqat Rasulullah dengan sempurna. Allah Ta’ala memilih mereka dan meninggikan Darjat mereka (Iman, Tauhid, Ma’rifat) mengatasi manusia lain. 


Firman Allah:

 

يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬‌ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٌ

"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan."

[Al-Mujadilah (58) : Ayat 11]

 

Berkata Al Imam Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

Para Ulama (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) adalah hamba-hamba Allah yang memiliki kedudukan istimewa, yang Allah Pilih sebagai Pelita Agama-Nya.  Allah Menganugerahi petunjuk kepada mereka dengan berbagai kelebihan dan keutamaan.  Mereka adalah Pewaris para Nabi, pengganti mereka, dan pemimpin kaum muslimin, sebagaimana Sabda Nabi  :  “Ulama adalah Pewaris para Nabi kerana ilmu yang mereka miliki.  Penduduk langit mencintai mereka, dan bahkan para penghuni lautan pun memohon ampunan untuk mereka hingga Hari Qiamat.”  [Riwayat Imam  Ad-Dailami].

[Tamat nukilan Sirrul Asrar]

 

Orang yang hanya memiliki Ilmu Syari’at sahaja dan tidak mengenal Allah dengan sebenarnya melalui pandangan mata hati, dan tidak mempunyai hubungan keruhanian dengan Rasulullah tidaklah mereka dikatakan sebagai “Pewaris Nabi” tetapi mereka itu hanyalah “alim fiqh” atau disebut “alim kitab”, meskipun mereka sudah menghafal seribu kitab atau mereka memiliki PhD, Profesor, Sarjana atau lain-lain ijazah Universiti yang banyak sekalipun.

 

Berkata Sulton Auliya Imam Jilani Radhiallahu anhu:

"Seseorang tidak dapat dikatakan Ahli Sufi (Mursyid Pewaris Nabi yang Benar) sehingga dia sampai ke maqam di mana dia di-Anugerahi pandangan kepada Rasulullah di dalam mimpinya dan diberi arahan dan tegahan.   Jika keadaan ini terjadi maka hatinya akan dinaikkan ke maqam lebih tinggi serta disucikan batinnya.  Beliau seterusnya akan memperoleh kehampiran dengan Allah Ta'ala sementara tangannya di dalam pimpinan tangan Rasulullah

[Fath-Ar-Rabbaniy Wa Faidh Ar-Rahmaniy]

 

 Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya Allah dan malaikat, penghuni langit serta bumi sehinggakan semut yang berada di dalam lubangnya dan ikan-ikan (di lautan) solawat (berdoa) ke atas Orang alim (Alim Billah) yang mengajar kebaikan kepada manusia.”

[Imam Tirmizi]

 

Rasulullah bersabda:

“Dan sesungguhnya seorang ‘alim (Sohibul Ilm, atau Alim Billah, Ahli Ma'rifat) itu, akan memohonkan ampun baginya penduduk langit dan bumi, dan juga ikan dalam air.”

[Imam Ahmad , Imam  Abu Dawud]

 

 Tafsiran:

Menurut tafsiran Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani, Imam Ghazali, Imam Fakhruddin Ar-Razi, Imam Sayuthi, yang dikehendaki dengan kalimah "orang berilmu", "orang alim", "orang mu'min" di dalam ayat Qur'an dan Hadith di atas adalah ditujukan kepada para Auliya Allah yang telah mencapai Ma'rifat dan mengenal Allah dengan pengenalan yang sempurna. Merekalah Mursyid Pewaris Nabi yang sebenar.  Ikan di lautan, semut di sarang, burung di angkasa raya mengenal para Pewaris Nabi kerana Allah Ta’ala Ilhamkan akan keberadaan mereka sebagai Kekasih-Nya.

 

Fakta 2 :  Mursyid Menduduki Maqam Nubuwwah (Kenabian)

Mursyid yang Siddiq di-Anugerahi oleh Allah akan Maqam Risalah dan Maqam Nubuwwah (maqam Kenabian).  Mereka BUKAN Nabi atau Rasul yang membawa Syari’at baru ,  tetapi mereka menduduki Maqam Kenabian dan menanggung Amanah Rasulullah .

 

Berkata Imam Besar Ahlus Sunnah, Sultan Auliya, Imam Jilani رضي الله عه:

"Wali-wali yang menjadi guru memiliki kehampiran yang serupa dengan Nabi dengan Tuhannya.  Amanah dan penjagaan terhadap ilmu ketuhanan yang serupa di-Anugerahkan kepada mereka.  Mereka merupakan Pemegang sebahagian daripada kenabian.”

[Sirrul Asrar]

 

Berkata Imam Ibn Hajar Asqalani رضي الله عه:

Wafatnya Nabi memberi isyarat terhentinya "wahyu" kepada Rasul yang membawa Syari'at baharu.  Tetapi bukan "wahyu" tanpa Syari'at yang akan berterusan sehingga Hari Qiamat.

[Fathul Bari]

 

Berkata Imam Asy-Sya'rani:

"Wahyu" berserta Risalah Kenabian yang membawa syari'at terhenti dengan kewafatan Rasuulullah ,  Risalah tanpa Syari’at baru," akan tetap ada sehingga ke Hari Qiamat".

[Al-Yawaqeet wal Jawahir]

Berkata Imam Ibn Arabi, Pemimpin Ulama Ahlus Sunnah dan Auliya Allah yang masyhur:

"Wafatnya Rasulullah menunjukkan tamatnya Nubuwaah yang membawa Syari'at baru.  Namun maqam-maqam Kenabian akan berterusan sehingga ke hari Qiamat.”

[Futuhatul-Al-Makkiyah]

 

“Wahyu tanpa Syari’at baru“ yang disebut oleh Imam Ahlus Sunnah) adalah bermaksud : Limpahan Ilmu Allah Ta’ala berupa khitob, iaitu seruan Sirr (seruan rahsia) Allah Ta’ala ke dalam hati mereka.  Mereka sentiasa di dalam Limpahan Petunjuk Allah dan pimpinan Ruhaniyah Rasulullah .  Dengan demikian mereka dipelihara oleh Allah daripada kesesatan (mahfuz). 

 

Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu:

"Para Nabi dan Wali Allah tidak luput dari kegelinciran.  Hanya para Nabi adalah Ma'sum terpelihara dari dosa besar setelah diangkat menjadi Nabi dan Rasul.  Sedangkan para Wali Allah tidaklah Ma'sum tetapi mereka adalah disebut Mahfuz, dipelihara oleh Allah daripada dosa-dosa besar setelah darjat kewaliannya sempurna."

[Sirrul-Asrar]

 

 Fakta 3 :  Mursyid Adalah Pilihan Allah

Mursyid yang sebenar adalah semata-mata Pilihan Allah yang telah mengangkatnya kepada Hadrat-Nya yang Maha Suci.  Pilihan Allah ini diilhamkan kepada Guru yang sedang memimpinnya.  Guru yang memimpinnya juga merupakan Mursyid sebenar yang telah menerima Irsyad  (kelayakan memimpin manusia pada Jalan Ma'rifat Ilahiyyah) dari Guru Mursyid sebelumnya dan ke atas sambung Sisilah Perguruan sampai Rasulullah .  Gurunya tidak menentukan dengan kehendak beliau sendiri, sebaliknya beliau hanya mengisytiharkan apa-apa yang diilhamkan oleh Allah (pemilihan Mursyid)  kepada Jama’ah beliau.  

 

Firman Allah:

 

ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ

 

“Kemudian Kami jadikan Al-Kitab (Al-Quran) itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami Pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah.  Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).”

[Faathir (35) : Ayat 32]

 

Ertinya pemilihan atau perlantikan Mursyid BUKAN barang mainan,  BUKAN boleh dipilih suka-suka nafsu.  Mursyid BUKAN pilihan undian manusia, BUKAN pilihan pemerintah, BUKAN pilihan parti politik atau lain-lainnya. 

 

Berkata Sulton Auliya Imam Jilani Radhiallahu anhu:

“Orang-orang yang berilmu dan hikmah ( Mursyid - Ahli Sufi - Ahli Ma'rifat) adalah hamba Allah yang sejati yang dipilih-Nya untuk menerima  “Risalah-Risalah dari pengajaran-Nya”.   Allah Ta'ala melimpahkan mereka ilmu dan hikmah dan dengan ilmu hikmah itulah mereka menjadi manusia yang lebih tinggi darjatnya dari manusia lain.  Mereka berhubung dengan Nabi melalui perasaan yang halus dan dengan aqal yang bijaksana (Kehalusan Ma’rifat atau disebut juga kasyaf Ilahiyyah).  Allah memuji mereka yang memiliki ilmu Hikmah dengan Firman-Nya:

ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ

[Tamat petikan kitab :  Sirrul-Asrar Fi-ma-Yahtaju Iyahil-Abrar]

 

 Fakta 4 :  Warisan Terpelihara Keaslian dan Kesuciannya

Mursyid menerima dan memindahkan  Ilmu Agama dan rahsia-rahsia Ketuhanan dengan jalan yang sangat murni — yang tetap terpelihara kesuciannya.  Iaitu kaedah pemindahan Ilmu yang terpelihara daripada noda dan gangguan nafsu.  Dan terpelihara daripada dimasuki iblis dan kuncu-kuncunya.   Dan terpelihara daripada dipintas oleh mana-mana Penguasa Dunia, baik kafir, fasiq atau munafiq.

 

Kaedah Kesinambungan yang bersifat Rabbani yang membawa petanda khusus Pemeliharaan Allah ke atas Warisan Suci Rasulullah. Keistimewaan Kesinambungan Generasi Mursyid Pewaris Nabi yang memegang AMANAH Rasulullah sebagai Pewaris Nabi adalah terletak pada kaedah penerimaan atau perpindahan Ilmu dalam bentuk yang sangat rapi dan terpelihara keasliannya, iaitu:

 

(1)    Penerimaan Ilmu zahir syari'at dengan wasilah Bai'at (janji setia) dan Talaqqi Musyafahah (berhadapan dan menerima langsung dari lisan Gurunya, yang sambung-menyambung ilmu sampai Rasulullah ).

 

(2)    Penerimaan Ilmu Haqiqat dan Ma'rifat melalui limpahan HATI (Mursyid)  ke dalam HATI (murid). 

 

(3)    Penerimaan ilmu  langsung dari Allah — Limpahan Anugerah Nur Allah terus  ke dalam dada Mursyid, yang dipanggil Kasyaf, Khitob,  firasat, ladunni.

 

Dengan disiplin perpindahan ilmu yang sangat ketat ini, Warisan Rasulullah terus-menerus terpelihara keaslian dan kesuciannya sampai Qiamat di tangan sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Sementara ilmu yang disebarkan oleh Ulama selain mereka sentiasa terdedah kepada unsur-unsur penyelewengan dan kesesatan.

 

Guru-guru biasa atau Ulama awam, Ulama fiqh, Alim kitab, yang hanya mahir di dalam Syari’at semata-mata, tidak sunyi dari melakukan penyelewengan mengikut nafsu dan bisikan-bisikan syaitan.  Bahkan berdasarkan bukti-bukti sejarah, inilah kebenarannya.  Orang alim fiqh yang tidak mempunyai Mursyid sebagai pemimpin inilah yang jatuh menjadi “Ulama as-su”, “Ulama dunia”, “Ulama politik keji dan kufur”,  “Ulama ilmu Kalam sesat”  yang membuat firqah-firqah sesat yang berjumlah 72 golongan sesat Aqidah dan golongan sesat di dalam keruhanian berjumlah 11 golongan (sebagaimana fatwa oleh Al-Imam Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu anhu).

 

Pada zaman ini lahir lagi berbagai-bagai kelompok yang jelas bertentangan dengan Prinsip-prinsip Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang tulen. Mereka mencipta jalan-jalan sendiri lalu mendakwa merekalah pendokong Ahlus Sunnah yang benar.  Mereka tertipu dengan angan-angan sendiri.

 

Ringkasnya… 

Hanya Ilmu yang diwarisi oleh Mursyid yang Siddiq, turun-temurun daripada Rasulullah , benar-benar terpelihara keaslian dan kesuciannya.  Sedangkan ilmu yang datang dari sumber-sumber lain terdedah kepada pencemaran, penyelewengan dan kesesatan.  Inilah sebabnya setiap Muslim diperintah mencari Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dan berpegang teguh kepada beliau sampai akhir hayatnya.

 

 Fakta 5 :  Mursyid Adalah Pemimpin Ahlus Sunnah

Mursyid adalah Pemimpin bagi Ummat Rasulullah , Pemimpin Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang benar (tulen), satu-satunya golongan yang tidak pernah berpisah daripada Jalan Rasulullah sedangkan selain Ahlus Sunnah adalah kelompok-kelompok yang berpecah daripada Jama’ah induk Ummat Islam – berpisah dari Jamaah Warisan Rasulullah yang suci murni.

 

Setelah kewafatan Rasulullah , merekalah Pemimpin bagi Ummat Islam, merekalah Pemimpin Ahlus Sunnah Wal Jama’ah.  Mursyid pertama bagi Ummat adalah Sahabat Baginda yang terpilih, yang menjadi pemimpin dan Penunjuk Jalan kebenaran kepada bagi Ummat ini.  Kemudian diwarisi oleh Mursyid-mursyid Pewaris Nabi berikutnya dan berikutnya, turun-temurun sampai ke zaman ini dan akan berterusan sampai Qiamat. 

 

 

bersambung Fakta 6....... اِ نْ شَآ ءَ اللّه

No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 2 : FAKTA-FAKTA PENTING BERKENAAN ...