Wednesday, June 17, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


FASAL 2 :

FAKTA-FAKTA PENTING BERKENAAN MURSYID


sambungan.....


Fakta 6 :  Mahir Selok-belok Keruhanian

 

Mursyid adalah pakar keruhanian yang sangat mahir di dalam selok-belok perjalanan menuju Allah.  Mereka Mengenal Allah dengan pandangan mata-hati, mata-ruh dan mata-Sirr (rahsia yang sangat mendalam).  Mereka pakar mengenal hakikat insan dan hakikat kehidupan seluruhnya.  Bahkan mereka mengenal seluruh perjalanan keruhanian yang akan ditempuh oleh seseorang salik (murid) sehingga dia selamat sampai ke destinasi terakhir  kepada Tuhan Rabbul Jalil, memperoleh Tauhid yang hakiki, Keimanan sejati. 

 

Sebagai penegasan semula….kemahiran di dalam Ilmu Keruhanian, dan keluasan pengetahuan yang tahqiq berhubung Ketuhanan dan segala yang berhubung dengan alam ghaib, bukan diperoleh oleh Mursyid Pewaris Nabi dengan hanya sekadar mentelaah kitab-kitab tetapi mereka mujahadah sendiri melawan hawa nafsu yang rendah, melawan segala keinginan duniawi yang keji, berzikir, Muraqabah, Musyahadah dan latihan-latihan Keruhanian yang keras selama puluhan tahun sehingga akhirnya Allah Ta’ala sucikan hati mereka sebersih-bersihnya dan Kurniakan mereka Ilmu dari Sisi-Nya.

 

Fakta 7 :  Memiliki Senjata dan Perisai Melawan Bisikan Syaitan

 

Allah Ta’ala Mengurniakan kepada seorang Mursyid Senjata dan Perisai Ghaib bagi melawan dan hapuskan sekalian bisikan syaitan yang mengganggu perjalanan Salik.  Bisikan dan gangguan syaitan datang di dalam berbagai rupa yang amat sulit dikesan.

 

Meskipun seseorang itu bergelar “Ulama” dan alim fiqh atau mempunyai berbagai gelaran PhD, Profesor, Master Universiti atau lain-lainnya, dia tidak dapat mengenal bisikan-bisikan halus syaitan ini.  Ini kerana syaitan datang di dalam berbagai bentuk penyamaran untuk menipu daya manusia.

 

Berdasarkan sejarah Ummat ini, banyak sekali orang alim (alim fiqh) terpedaya dengan bisikan-bisikan halus syaitan dan jatuh tersungkur di kakinya, menjadi manusia terhina.  Bukti paling nyata adalah kesesatan “Ulama” politik, “Ulama” As-su, “Ulama” dunia, dan lain-lain menjadi sesat dan menyesatkan Ummat.  Contoh lain adalah bangkitnya “Ulama” ilmu Kalam yang mendirikan berbagai firqah sesat.

 

 

Fakta 8 :  Memiliki Ubat dan Penawar Bagi Sekalian Penyakit Hati Manusia


Sesungguhnya penyakit hati manusia mempunyai hubungan erat dengan nafsu-nafsu kejahatan.  Nafsu kejahatan yang menguasai hati manusia mempunyai kekuatan dan tingkatan yang berbeza-beza dari seorang kepada seorang yang lain.  Hanya seorang Mursyid mengenal dan mampu merawat segala penyakit hati manusia yang berbagai-bagai rupa dan bercabang-cabang tumbuh subur dari nafsu-nafsu kejahatan. 

 

Mursyid  adalah “Doktor Keruhanian” yang sangat mahir mengenal nafsu-nafsu kejahatan dan penyakit-penyakit hati manusia.  Allah Ta’ala Kurniakan mereka ubat dan penawar bagi sekalian penyakit hati manusia.

 

Sesungguhnya penyakit hati manusia lebih merbahaya daripada penyakit Zahir kerana penyakit Zahir hanya membawa maut kepada tubuh zahir sedangkan “penyakit hati” membawa “maut” kepada Keimanan.  Malangnya kebanyakan manusia buta dari melihat kebenaran ini.


Fakta 9 :  Memiliki Ubat dan Penawar Untuk Penyakit Tubuh Manusia Yang Kronik


Selain dari mengubati penyakit-penyakit hati manusia, seorang Mursyid juga di-Kurniakan oleh Allah kemampuan merawat berbagai penyakit jasad (tubuh) badan manusia yang sangat kronik dan tak mampu dirawat oleh doktor moden termasuk doktor pakar sekalipun.  Di antaranya :  Cancer (barah), sclerosis, bipolar, skizo, stress, thalassemia, anemia, leukemia, myocarditis, fibroid, polyst, cyst dan lain-lain.

 

Berdasarkan pengalaman kami merawat mereka yang terkena penyakit-penyakit kronik ini, mereka telah lama menderita penyakit-penyakit tersebut, namun tiada rawatan dari perubatan moden.  Sebahagian besar daripada mereka telah pun menghabiskan wang puluhan ribu ringgit, namun keadaan penyakit tetap sama bahkan bertambah teruk dari hari ke hari. Kaedah perubatan unik berdasarkan Ma’rifat yang Allah Ta’ala Kurniakan kepada seseorang Mursyid yang Siddiq, membawa berbagai Rahmat kepada pesakit. 


Fakta 10 :  Mujaddid dan Mujtahid Lahir Dari Institusi Mursyid Pewaris Nabi Yang Siddiq


Seluruh angkatan Ulama Ahlus Sunnah Mu’tabar (yang silsilah mereka sampai kepada Rasulullah ) termasuk Ulama bertaraf Mujtahid dan Mujaddid  lahir dari Madrasah Mursyid atau dikenali juga sebagai Madrasah Ahli Sufi atau Ahli Ma’rifat.  Setiap Mujtahid dan Mujadddid telah menempuh tarbiyyah Mursyidnya yang mempunyai Silsilah sampai kepada Rasulullah .  Mereka telah menerima didikan Guru mereka yang benar-benar Arif pada waktu  yang panjang dan menempuh latihan keruhanian yang sangat keras. 

 

Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani, Imam Ghazali, Imam Fakhruddin Ar-Razi, Imam Syazili, Imam Ar-Rifai’e, Imam Asy-Sya’rani, Imam Qusyairi, Imam Rofie’, Imam Abu Hanifah (pendiri mazhab Hanafi), Imam Malik (pendiri mazhab Maliki), Imam Syafi’e (pendiri mazhab Syafi’e), Imam Ahmad Ibn Hanbal (pendiri mazhab Hambali), Imam Sayuthi, Imam Haythami adalah di antara nama-nama besar di kalangan Ulama Ahlus Sunnah yang telah menerima didikan dan asuhan dari Mursyid mereka masing-masing sehingga mereka juga diangkat oleh Allah menjadi Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.

 

Maksudnya sekalian Ulama Ahlus Sunnah yang Mu’tabar yang telah memimpin Ummat Islam sepanjang zaman adalah kesemuanya Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, kesemua mereka adalah Ahli Sufi, Ahli Ma’rifat, Auliya Allah.  Sebahagian dari mereka memperoleh Kurnia Allah yang lebih tinggi sehingga mencapai Darjat Mujtahid atau Mujaddid.  Maka kita katakan Mujtahid dan Mujaddid yang benar hanya wujud dikalangan Ahlus Sunnah dan kesemua mereka adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.

 

Selain dari Ahlus Sunnah, orang-orang yang bergelar “Ulama” bukanlah Ulama pada haqiqatnya.  Mereka hanya “alim fiqh” atau “Ulama as-su” yang menjual Agama dengan habuan duniawi.  Mereka memutar-belitkan Ayat Allah dan mentafsirkannya menurut hawa nafsu dan bisikan syaitan. 

Wal Iyazubillah.


Fakta 11:   Berbagai Panggilan Kepada Mursyid


Sebagaimana kami menyebutnya dari awal Risalah ini, Mursyid yang Siddiq (Benar) adalah Pewaris Nabi yang sebenar, yang mewarisi Nabi zahir dan batin.  Mereka juga dikenali dengan istilah-istilah lain sesuai dengan Maqam dan Kelayakan yang Allah Ta’ala Kurniakan kepada mereka, iaitu : Khalifah Allah dan Khalifah Rasulullah  (yang khusus di Pilih oleh Allah), Sahabat, Ahli Sufi, Ahli Ma’rifat.

 

Ertinya apabila disebut Ahli Sufi, maka yang dimaksudkan adalah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Merekalah Ahli Ma’rifat, Sahabat Rasulullah   dan  Khalifah  Rasulullah    di dalam pengertian yang luas.  

 

Fakta 12 :  Khulafa Ar-Rasyidin - Generasi Pertama Mursyid

 

Generasi Mursyid yang pertama adalah sekalian Khulafa Ar- Rasyidin    Sayyidina Abu Bakr, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman, Sayyidina 'Ali Ridhwanullahi alayhi ajma'in.  Kemudian diikuti Generasi Tabi’in,  kemudian diikuti Tabi’it-Tabi’in, kemudian diikuti  generasi Imam dan Masyaikh berikutnya sebagai Mursyid sambung-menyambung, yang di-Pilih khusus oleh Allah sampai Qiamat.

 

Sesungguhnya  Khulafa Ar-Rasyidin  Sayyidina Abu Bakr, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman, Sayyidina Ali Ridhwanullah adalah Generasi Pertama Mursyid.  Kunci memahami hal ini adalah pada ungkapan "Ar-Rasyidin". Istilah "Ar-Rasyidin" bermaksud "Guru-guru yang rasyid" atau Pemimpin-pemimpin yang "rasyid"....  yang menunjukki Jalan Lurus dan Jalan Kebenaran, Jalan Ahlus Sunnah yang benar.  Yang dimaksudkan dengan " Jalan lurus "  adalah " Jalan Allah " sepertimana yang ditunjukki oleh Rasulullah dan pimpinan Baginda ke atas sekalian Sahabat Baginda .

 

Generasi Kedua Mursyid yang Siddiq (Benar) adalah Ulama Tabi'in yang menerima Ijazah kebesaran Mursyid dari Khulafa Ar-Rasyidin yang menerima  isyarat lantikan oleh Allah Ta'ala. 

 

Generasi Ketiga Mursyid yang Siddiq (Benar) adalah Tabi'it-Tabi'in yang menerima Ijazah kebesaran Mursyid dari Tabi'in yang menerima  isyarat lantikan oleh Allah Ta'ala. 

 

Generasi Keempat  Mursyid yang Siddiq (Benar)  adalah Imam-imam, Masyaikh kemudian yang menerima Ijazah kebesaran Mursyid dari Tabi'it Tabi-in yang menerima  isyarat lantikan oleh Allah Ta'ala. 

 

Generasi Kelima Mursyid yang Siddiq dan seterusnya ke bawah dan ke bawah menerima Ijazah kebesaran Mursyid dari Shaikh yang sebelumnya yang menerima  isyarat lantikan oleh Allah Ta'ala.

 

Beginilah berlakunya perlantikan Mursyid-mursyid yang Siddiq (Benar) sepanjang zaman sehingga ke hari ini dan seterusnya hingga hari Qiamat tiada putus.  Iaitu perlantikan itu semata-mata Kurnia Allah kepada seseorang hamba Allah yang telah mujahadah pada waktu yang sangat panjang dengan pimpinan Mursyidnya sehingga dia menewaskan sekalian nafsu-nafsu kejahatan di dalam dirinya, menewaskan nafsu keduniaan, menewaskan tipu daya iblis dan syaitan sehingga akhirnya sampai ke Hadratul Quddus — Hadrat Tuhan Yang Maha Suci,  sehingga Allah Ta'ala Redha serta berkenan mengangkatnya menjadi Warisatul Anbiya atau Pewaris Nabi yang Siddiq.



bersambung Fakta 13....... اِ نْ شَآ ءَ اللّه


No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 2 : FAKTA-FAKTA PENTING BERKENAAN ...