Friday, June 26, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 8

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



FASAL 8:

BAI'AT KEPADA MURSYID YANG SIDDIQ


sambungan...



8.7 Bai’at Berterusan Sampai Qiamat

Sebahagian Ummat ini beranggapan Bai’at tidak wujud lagi setelah kewafatan Rasulullah .  Sebahagian lagi berpegang Bai’at tidak wujud lagi selepas kejatuhan Kerajaan Islam Othmaniyyah dan menafikan terus konsep Bai’at. Golongan ini beranggapan Bai’at itu cuma bagi Khalifah atau Amir yang memerintah Negara. 

Semua anggapan ini keliru, jahil dan jelas bertentangan dengan Al-Qur’an, Sunnah dan fatwa Ulama Mu’tabar.

Yang benar adalah:  Selepas kewafatan Rasulullah , warisan suci Bai’at ini diteruskan oleh Khulafa’ Ar-Rasyidin, Tabiin, Tabiit-Tabiin, Imam-Imam dan Masyaikh Ahlus Sunnah dan Ummat Islam yang mendokong Ahlus Sunnah Wal Jama’ah seluruhnya. Sekalian Ulama Ahlus Sunnah yang ternama mengambil Bai’at dengan Guru mereka masing-masing yang juga merupakan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.

Sekurang-kurangnya kita dapat mengenal dua bentuk Bai’at berterusan pada zaman Sahabat, Tabiin, dan generasi Ahlus Sunnah kemudiannya sampai ke hari ini dan akan berterusan sampai Qiamat. 


Pertama:

Bai’at kepada Kepala Negara yang memegang Kekuasaan Politik atau Pentadbiran Negara, yang digelar Khalifah yang TAQWA.

 

Kedua:

Bai’at kepada Warisatul Anbiya yang mewarisi Ilmu, Ruhaniah dan Rahsia Kenabian yang dikenali sebagai Mursyid, Imam, Ahli Sufi, Ahli Ma’rifat, Murobbi yang Siddiq (Benar).

Di sana wujud perbezaan ketara antara Bai’at kepada Pemerintah dengan Bai’at kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Sebahagian daripadanya kami telah huraikan di dalam bahagian-bahagian yang telah lalu.


Perbezaan paling uatama adalah:

Bai’at bentuk pertama sentiasa berubah-ubah mengikut Sistem Pemerintahan yang menguasai dunia dan negara bangsa.  Bai’at kepada Pemerintah hanya sah dan layak dilakukan ketika Kekuasaan di tangan seorang Khalifah yang memerintah secara ‘adil menurut Undang-undang Allah.  Dan tidak berlaku Bai’at ketika dunia dikuasai oleh Pemerintah kafir dan Undang-undang Kafir.


Hal ini berbeza dengan Bai’at kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Bai’at akan terus berlaku di dalam Sistem Warisan Rasulullah kerana mereka yang benar-benar memegang Kekuasaan di dalam warisan ini hanyalah hamba-hamba Allah yang Bertaqwa.  Allah Ta’ala Memilih mereka secara khusus, sebagaimana kami huraikan pada fasal Fakta dan Dalil-dalil kewujudan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (sila rujuk semula untuk mendapat gambaran yang tepat).

 

Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sentiasa di dalam Petunjuk dan Pemeliharaan Allah Ta’ala (mahfuz) dan pimpinan tangan Rasulullah  .  Bagi mereka tiada suatu kepentingan apa pun di dunia ini.  Mereka hanya memimpin manusia kepada Allah.  Mereka mendidik manusia menjadi hamba-hamba Allah yang bertaqwa menurut Sistem Warisan Rasulullah yang diterima dan dipindahkan dari satu Generasi Mursyid kepada Generasi berikut dan berikutnya tanpa putus sehingga terpelihara kesucian dan keasliannya daripada dinodai oleh segala pendapat nafsu manusia atau iblis.


Hal tersebut jauh berbeza dengan Pemerintah Negara bangsa dunia yang sentiasa berubah-ubah di antara yang Taqwa atau fasiq atau sesat atau Kafir. Sistem pemerintahan dan undang-undangnya juga berubah-ubah antara Sistem Islam yang hakiki dengan Sistem Kuffar.


Umpamanya pada zaman sekarang kita dapat menyaksikan dunia dikuasai oleh Sistem Kafir dan pemimpin-pemimpin juga terdiri daripada mereka yang fasiq atau kafir kecuali sedikit.  Pemimpin-pemimpin politik ini saling berbalah, adu domba, tuduh menuduh, fitnah memfitnah sampai akhirnya berbunuh-bunuhan demi menguasai pemerintahan.  Maka tak mungkin berlaku Bai’at kepada manusia-manusia seperti itu. 


Tetapi Bai’at kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq terus berlaku pada zaman ini,  sama sebagaimana sebelumnya turun-temurun para Masyaikh Ahlus Sunnah mewarisinya daripada Junjungan Mulia Rasulullah dalam bentuk yang suci murni tanpa campur tangan nafsu atau syaitan atau mana-mana kuasa dunia atau pemimpin fasiq.


Ringkasnya…

Sistem Warisan Rasul sentiasa terpelihara di tangan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dan diri mereka sendiri merupakan acuan dari diri Rasulullah , maka Bai’at kepada mereka adalah Bai’at yang suci bersih dari pengaruh hawa nafsu atau kepentingan duniawi.  Bai’at inilah yang akan kekal berterusan sampai Qiamat tanpa sebarang perubahan.

 

Sebagaimana kami huraikan juga sebelum ini, melalui Sistem Warisan Suci Rasulullah ini berserta Bai’at kepada pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, dunia akan sentiasa dilimpahi Sinar Islam, Hidayah dan Petunjuk Allah Ta’ala. Meskipun ummat Islam sentiasa berubah-ubah di antara Dunia Keimanan dan Dunia kekafiran, namun Sistem Warisan Rasulullah dan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq akan sentiasa terpelihara.  Panji-panji Islam akan tetap berkibar di tangan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sampai Qiamat.      

 

Dengan demikian Bai’at kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq juga akan berterusan sampai Qiamat.


Berkata Al-Imam, Sulton Auliya, Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani رضي الله عه :

"Ilmu tersebut  (iaitu Ilmu Rahsia yang tersangat rahsia) dimasukkan kepada Nabi  pada malam Baginda Mi'raj kepada Tuhannya.  Rahsia itu tersembunyi di dalam diri Baginda di balik tiga ribu tabir hijab.  Baginda tidak membuka rahsia tersebut melainkan kepada sebahagian pengikut Baginda yang sangat cinta dengan Baginda.  Melalui penyebaran dan keberkatan Rahsia (Rahsia di dalam dada Pewaris Nabi yang Siddiq) inilah Islam akan terus memerintah sehingga ke hari Qiamat."

[Sirrul Asrar Fi-ma-Yahtaju Ilayhil Abarar]



....bersambung ke Fasal 9  Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Mursyid 

9. 1 Pengenalan

  ..........اِ نْ شَآ ءَ اللّه

No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 8

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 8: BAI'AT KEPADA MURSYID YANG...