بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
FASAL 3:
DALIL MURSYID DI DALAM AL-QURAN, HADITH DAN FATWA ULAMA'
sambungan.....
Dalil 21 : Fatwa Imam Ibn Hajar Asqalani رضي الله عنه
Wafat nya Nabi ﷺ, memberi isyarat
terhentinya "wahyu" kepada Rasul yang membawa Syari'at baharu. Tetapi bukan "wahyu" tanpa Syari'at
yang akan berterusan sehingga Hari Qiamat.
[Fathul Bari]
Dalil
22 : Kewujudan “Wakil Allah” Adalah
Kemestian
Manusia memerlukan
“Wakil Allah” atau “Utusan Allah” untuk menunjukki Jalan lurus dan Agama yang
benar. Manusia pada setiap zaman
memerlukan “Wakil Allah” yang bersifat “Rabbaniyyah” (bersifat Ketuhanan
yang sudah mengenal Allah), ini untuk manusia mengenal Allah dan melakukan
Ubudiyyah kepada-Nya sesuai dengan Kehendak-Nya.
Ini kerana asalnya
tiada siapa pun mengenal Allah, tiada manusia mana pun tahu wujudnya Allah yang
wajib disembah. Kalaupun mereka sedar
wujud suatu Kuasa Besar Yang Maha Perkasa yang menguasai sekalian alam, mereka
tak ada pengetahuan berkenaan cara menyembah-Nya sehingga akhirnya mereka
menyembah patung, matahari, bulan, bintang dan lain-lain sesuai dengan bisikan
yang wujud dalam hati mereka.
Sesuai dengan Ilmu
dan Kehendak-Nya, Allah Ta’ala Mengirimkan Utusan-Nya, iaitu sekalian Rasul dan
Nabi silih berganti untuk menunjukki manusia “Jalan Lurus”, “Jalan Benar”,
“Jalan Suci” yang akan menyelamatkan mereka daripada ‘Azab Allah. Sehingga
akhirnya dikirimkan Utusan Teragung Sayyidina Maulana Muhammad Mustafa ﷺ ke muka bumi sebagai
Rasul terakhir bagi menyelamatkan manusia seluruhnya. Ketika telah sempurna tugas Baginda di atas
muka bumi, maka Baginda dijemput Kembali oleh Allah Ta’ala ke Sisi-Nya.
Tetapi persoalan
meruncing di sini adalah:
Manusia tetap
memerlukan Pemimpin Rabbaniyyah yang bersifat Ketuhanan yang sentiasa
berhubung dengan Allah dan Rasul-Nya.
Manusia tetap memerlukan “Wakil Allah” atau disebut “Utusan Allah” yang
menunjukki manusia kepada kebenaran dan kesucian. Tanpa pemimpin seperti ini manusia akan
menjadi sesat sebagaimana telah terjadi sebelumnya. Iaitu ketika wafatnya seorang Rasul, maka
manusia Kembali menjadi sesat dan kafir.
Sejarah membuktikan setiap kali terjadi kewafatan seorang Rasul, maka
manusia Kembali menjadi penyembah berhala sehingga Allah Ta’ala menurunkan
seorang Rasul lain bagi menunjukki jalan Tauhid dan menarik manusia keluar
daripada kekafiran. Dengan demikian
kewujudan seseorang “Wakil Allah” atau “Utusan Allah” di atas muka bumi adalah
suatu kemestian sepanjang zaman sampai Qiamat.
Persoalannya lagi
: Siapakah mereka?
Jawapannya:
Mereka adalah Ulama
Warisatul-Anbiya’ yang kemudian dikenali sebagai Mursyid Pewaris Nabi yang
Siddiq atau disebut Ahli Sufi atau Ahli Ma’rifat. Hal ini sudah pun dihuraikan pada Fasal Fakta
Mursyid yang Siddiq. Sila rujuk dan
fahami baik-baik untuk elakkan kekeliruan.
Memang benar, menurut
ketentuan Allah Ta’ala, Junjungan Rasulullah ﷺ
adalah Rasul terakhir, namun yang dimaksudkan dengan sebutan “Rasul terakhir”
adalah “Wakil Allah” yang membawa Syari’at baru. Adapun “Wakil Allah” yang bersifat Rabbaniyyah
tanpa Syari’at baru, akan tetap di-Zahirkan oleh Allah Ta’ala sampai Hari
Qiamat. Mereka inilah yang digambarkan
oleh Allah sebagai “Pilihan Allah”. Ertinya Allah Ta’ala yang memilih mereka
menjadi “Wakil Allah” atas muka bumi dan sebagai “Pewaris Nabi” yang akan memimpin
manusia kepada Ketuhanan. Perhatikan
baik-baik Kalam Allah berikut dan tafsirannya Ulama Terulung Ahlus Sunnah:
Firman Allah:
ثُمَّ
أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ
ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ
بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ
“Kemudian Kami
jadikan Al-Kitab (Al-Quran) itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami Pilih dari
kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada
dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya
ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang
lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah.
Yang demikian itu ialah limpah Kurnia yang besar (dari Allah
semata-mata).”
[Faathir (35) : Ayat
32]
Berkata
Sulton Auliya Imam Jilani Radhiallahu anhu:
“Orang-orang yang
berilmu dan hikmah ( Mursyid - Ahli Sufi - Ahli Ma'rifat) adalah hamba Allah
yang sejati yang dipilih-Nya untuk menerima
“Risalah-Risalah dari pengajaran-Nya”.
Allah Ta'ala Melimpahkan mereka ilmu dan hikmah dan dengan ilmu hikmah
itulah mereka menjadi manusia yang lebih tinggi darjatnya dari manusia
lain. Mereka berhubung dengan Nabi
melalui perasaan yang halus dan dengan aqal yang bijaksana (Kehalusan Ma’rifat atau disebut juga kasyaf
Ilahiyyah). Allah memuji mereka yang memiliki
ilmu Hikmah dengan Firman-Nya:
ثُمَّ
أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ
ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ
بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ
[Tamat petikan kitab
: Sirrul-Asrar Fi-ma-Yahtaju
Iyahil-Abrar]
Firman
Allah:
يَرۡفَعِ
ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬ۚ
وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٌ۬
"Allah
meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang
diberi ilmu pengetahuan Agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan
(ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu
lakukan."
[Al-Mujadilah (58) :
Ayat 11]
Berkata
Al Imam Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
Para ulama (Mursyid
Pewaris Nabi yang Siddiq) adalah hamba-hamba Allah yang memiliki kedudukan
istimewa, yang Allah Pilih sebagai Pelita Agama-Nya. Allah Menganugerahi petunjuk kepada mereka
dengan berbagai kelebihan dan keutamaan.
Mereka adalah Pewaris para Nabi, pengganti mereka, dan Pemimpin kaum
muslimin, sebagaimana Sabda Nabi ﷺ :
“Ulama adalah Pewaris para Nabi kerana ilmu yang mereka miliki. Penduduk langit mencintai mereka, dan bahkan
para penghuni lautan pun memohon ampunan untuk mereka hingga Hari Qiamat.”
[Imam Ad-Dailami].
[Tamat nukilan --
Sirrul Asrar]
Berkata
Imam Ghazali Radhiallahu anhu:
"Dan sebelum
Rasulullah ﷺ wafat, Baginda telah menetapkan para Khalifah
sebagai wakil Baginda untuk menunjukkan manusia ke Jalan Allah. Begitulah
seterusnya sampai hari Qiamat. Oleh kerana itu, seorang Salik (hamba Allah yang
menempuh jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid) mutlak memerlukan seorang
Mursyid.”
[Khulasah at-Tasaniff
Fit-Tasawwuf]
Maksud di sini:
Setelah kewafatan
Rasulullah ﷺ,
akan tetap wujud “Wakil Allah” yang menyeru manusia kepada Tauhid, menyucikan
batin mereka daripada kesyirikan (syirik khafi) melalui Zikrullah serta
Mujahadah sungguh-sungguh pada Jalan-Nya sehingga manusia benar-benar mencapai
Keimanan sejati. Mereka ini yang
dikenali sebagai Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq atau Ahli Sufi atau Ahli Ma’rifat. Merekalah Khalifah Rasulullah
ﷺdi dalam erti kata yang sebenar.
Setiap Muslim wajib
mencari Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq ini, pegang kepada mereka
sungguh-sungguh dan berjuang bersama mereka, kerana mereka adalah Pewaris Nabi
yang Benar, yang memimpin manusia kepada Allah Ta’ala dengan selamat.
Mereka tiada
kepentingan apa pun pada dunia ini.
Mereka menjauhkan diri dari semua bentuk dunia politik kotor dan keji
yang sudah berleluasa di atas muka bumi.
Mereka bukan pengampu yang menagih dunia yang hina. Mereka BUKAN pendusta yang mengubah-ubah Ayat
Allah mengikut hawa nafsu. Sebaliknya
mereka hamba-hamba Allah yang benar-benar Taqwa dan takut kepada Allah. Pada setiap saat mereka memandang wajah Allah
dan di dalam Pimpinan Ruhaniyah Rasulullah ﷺ.
Dalil 23 : Kitab dan Sunnah Tanpa “Wakil Allah”, Manusia
Akan Menjadi Sesat
Kitab dan Sunnah Nabi
tanpa “Wakil Allah” yang benar-benar Arif mengenal Allah, akan menyebabkan
manusia terpesong dari Jalan Benar, iaitu mereka akan terpesong dari Jalan
Allah dan Rasul-Nya yang sebenar.
Sejarah Ummat
terdahulu membuktikan hal ini. Manusia
yang asalnya beriman, berpaling dan menjadi kafir sebaik sahaja Nabi mereka
wafat. Sehingga apabila kesesatan dan kekafiran telah merata atas dunia, maka
Allah Ta’ala Utuskan lagi seorang Rasul untuk kembalikan mereka kepada Tauhid.
Demikian zaman berputar dan berulang lagi keadaan yang sama. Utusan Allah silih berganti dizahirkan untuk
selamatkan manusia sepanjang zaman.
Persoalan terpenting
di sini:
Mengapakah mereka menjadi sesat
dan kafir meskipun di tangan mereka wujud Kitab Allah dan Sunnah Nabi
mereka? Rahsia terpenting untuk
dijadikan renungan di sini adalah:
Kewujudan “Wakil
Allah” yang bersifat Rabbani adalah suatu ketentuan Allah yang pasti
bagi keselamatan manusia. Tanpa “Wakil
Allah” ini manusia pasti sesat menuruti nafsu dan iblis. Tanpa mereka manusia akan mentafsirkan Kitab
Allah berdasarkan pendapat aqal mereka atau menurut hawa nafsu dan bisikan
syaitan.
Hal yang sama berlaku
setelah kewafatan Rasulullah ﷺ. Orang-orang Islam berpecah-pecah menjadi
fasiq, sesat atau kafir. Wal
Iyazubillah. Mereka mentafsirkan
Al-Qur’an dan hadith menurut nafsu dan bisikan syaitan. Mereka campur adukkan
Islam dengan falsafah-falsafah kafir dan menerbitkan Ilmu Ketuhanan yang
batil. Orang-orang bergelar “Ulama”
menjual Ayat-ayat Allah dengan harga yang murah demi mendapatkan dunia yang
hina.
Penguasa-penguasa
menjadi zalim dan fasiq. Mereka
menggantikan Undang-undang Allah dengan undang-undang yang dicipta oleh
“Ulama-ulama” jahat. Mereka menamakannya
“Undang-undang Islam” tetapi mereka sendiri mentadbir mengikut selera nafsu
mereka. Mereka habiskan wang rakyat
dengan minum arak, perempuan dan muzik.
Ringkasnya ramai yang
menjadi sesat atau fasiq atau kafir setelah kewafatan Rasulullah ﷺ, sehingga
berpecah-pecah dan berpuak-puak menjadi 72 golongan dari Jalan Utama Rasulullah
ﷺ.
Hanya satu Golongan sahaja yang selamat, iaitu Ahlus Sunnah yang
benar-benar berpegang kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.
Sebagaimana kami
jelaskan pada awal Risalah ini, Generasi pertama Mursyid Pewaris Nabi yang
benar ini adalah Khulafa Ar-Rasyidin. Mereka dikatakan “Ar-Rasyidin”
diambil dari perkataan مُرْشِد - رَشَدَ
- يَرْشُدُ “Rashada, Yurshidu, Mursyid” bererti Penunjuk
Jalan Lurus, Penunjuk Jalan Kebenaran, Pembimbing yang Siddiq yang terpercaya
yang mewarisi Baginda Zahir dan Batin.
Mereka memimpin manusia kepada Allah dengan kesucian dan kebenaran
sebagaimana Rasulullah ﷺ memimpin mereka
semasa hayat Baginda.
Daripada Khulafa
Ar-Rasyidin inilah lahirnya sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang berikutnya
dan berikutnya sambung-menyambung keilmuan dan keruhanian mereka sampai ke hari
ini dan akan berterusan sampai Qiamat. Ilmu mereka benar-benar suci murni
daripada dicampuri falsafah kuno maupun falsafah moden atau dicampuri nafsu
atau bisikan syaitan. Mereka menerima
Ilmu seolah-olah mereka menerima dari lisan Rasulullah ﷺ sendiri. Ilmu mereka bercahaya gemilang dari Pancaran Cahaya
Rabbani. Mereka inilah Golongan Ahlus
Sunnah yang dijamin oleh Allah dan Rasul-Nya sebagai Golongan yang selamat.
Rasulullah ﷺ
bersabda:
“Aku berwasiat kepada kamu untuk mengikuti
sahabat-sahabatku, kemudian mengikuti orang-orang yang datang setelah mereka,
kemudian mengikuti yang datang setelah mereka.”
Dan termasuk rangkaian hadith ini: “Tetaplah bersama al-Jama’ah dan
jauhi perpecahan karena syaitan akan menyertai orang yang sendiri. Dia (syaitan) dari dua orang akan lebih
jauh, maka barang siapa menginginkan tempat lapang di Syurga hendaklah ia
berpegang teguh pada al-Jama’ah.”
[Imam Tirmizi, Imam Al-Haakim - sahih]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya barang siapa di antara kalian
yang masih hidup setelahku, niscaya akan mendapati banyak perselisihan. Maka berpegang teguhlah kepada sunnahku dan
sunnahnya Khulafa-Al- Rasyidin.”
[Imam Ahmad, Imam Abu
Dawud ]
Rasulullah ﷺ
bersabda:
“Telah terpecah
orang-orang yahudi menjadi tujuh puluh satu golongan dan terpecah orang Nasara
menjadi tujuh puluh dua golongan. Dan
akan terpecah ummatku menjadi tujuh puluh tiga golongan. Semuanya dalam Neraka, kecuali satu golongan.
Para sahabat bertanya: Siapakah mereka, wahai Rasulullah? Baginda
bersabda: Mereka adalah orang yang
berdiri di atas apa yang aku dan para sahabatku berdiri di atasnya.”
[mam Abu Daud ]
Berkata
Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
“Yang dimaksudkan
dengan sunnah adalah apa yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ (meliputi ucapan, perilaku serta ketetapan Baginda). Sedangkan yang dimaksudkan dengan pengertian
“Jama’ah” adalah sesuatu yang telah disepakati oleh para sahabat Nabi ﷺ pada masa Khulafa’ Al-Rasyidin yang
empat yang telah diberi Hidayah oleh Allah SWT.”
[Al-Ghunyah Li Talibi Toriqail
Haqq]
Rumusan
keseluruhannya adalah:
Kitab Allah dan
Sunnah Nabi sahaja tanpa Mursyid Pewaris Nabi yang menjadi “Wakil Allah” di
atas muka bumi, manusia akan terpesong
dari jalan kebenaran. Mereka akan
dipesongkan oleh nafsu jahat, bisikan
syaitan, makhluq (Ulama jahat, pemerintah fasiq) dan dunia.
Dalil
24 :
Mursyid Pewaris Nabi Di-Kurniakan Ubat dan Penawar Bagi Rawat Penyakit
Hati Manusia
Sesungguhnya setiap
manusia mempunyai penyakit hati atau batin yang amat serius. Di antara penyakit hati manusia yang paling
berat sehingga membawa kebinasaan adalah
Syirik khafi - Takabbur, Riya’, Ujub, Sum’ah dan Tawakkal
Bi Ghairillah. Kemudian yang tak
kurang bahayanya adaah Sifat Mazmumah dalam hati – Kazib, Khianat,
Ghibah, Namimah, Fitnah, Su-uz-zon, Tajassus, bahkan banyak lagi penyakit hati yang lain
yang benar-benar membinasakan orang Islam. (Rujuk Risalah kami bertajuk “Penyakit
Hati Manusia Bahaya Yang Tak Disedari” )
Sesungguhnya penyakit
dan dosa batin lebih banyak terjadi berbanding dosa zahir. Boleh dikatakan setiap hari orang Islam
terlibat dengan dosa hati atau batin tetapi mereka tidak menyedarinya
disebabkan semua itu tersembunyi di dalam hati.
(Rujuk Risalah kami bertajuk “Penyakit Hati Manusia Bahaya Yang Tak Disedari”
)
Ubat dan Penawar bagi
sekalian penyakit batin ini hanya ada pada Mursyid Pewaris Nabi yang
Siddiq. Mereka mengenal sekalian
penyakit hati manusia dan mengetahui ubat dan penawar yang sesuai bagi penyakit
tersebut. Mereka telah menempuh perjalanan yang jauh pada Jalan Allah sehingga
terlatih mengenal segala penyakit hati manusia dan sangat Arif dengan cara-cara
merawatnya.
Orang Islam awam tak mungkin
mampu sucikan sendiri segala penyakit hati yang terhimpun di dalam hatinya
kerana mereka tidak mempunyai Ilmu berkenaan dengan penyakit hati serta ubat
dan rawatan yang sesuai dengan penyakit tersebut. Bahkan sebahagian besar orang Islam tidak
menyedari wujud penyakit-penyakit tersebut.
Mereka sentiasa hidup di dalam sangkaan bahawa mereka sudah baik dan
bersih dengan amal ibadah yang mereka lakukan. Setengah-setengahnya menyangka
amal ibadah mereka sudah banyak kerana banyak solat Tahajjud, banyak sedekah,
banyak mengerjakan Haji tetapi mereka
tak menyedari tersimpul “dosa yang tidak disedari di dalam amal ibadah
sekalipun”. Mereka tertipu dengan diri
sendiri.
Dua bahaya paling besar akibat
dari penyakit hati:
Pertama: Terhapusnya
amal Ibadah
Kedua: Rosaknya Iman seseorang sehingga jatuh kepada fasiq atau
sesat
Wal Iyazubillah.
Begitulah besarnya
akibat dosa-dosa hati dan syirik dalam hati manusia. Bayangkan amal ibadah yang
dilakukan selama hidup terbang sia-sia begitu saja? Mereka menyangka amal Ibadah mereka banyak
tetapi “api” kesyirikan (Syirik khafi – syirik di dalam hati) dan dosa mazmumah
telah memakan segala kebaikannya sehingga habis. Mereka menyangka mereka ahli Jihad, mereka
menyangka mereka orang alim, mereka menyangka mereka ahli ibadah yang hebat
tetapi mereka tidak menyangka atau sememangnya tidak tahu yang sekalian
kebajikan mereka terbang melayang begitu sahaja hanya kerana satu dosa syirik
khafi atau kerana satu dosa khianat atau lain-lainnya.
Sesungguhnya Dosa syirik
khafi (syirik dalam hati) lebih
ditakuti oleh Rasulullah ﷺ
berlaku kepada Ummat Baginda berbanding dengan Syirik terang-terangan, kerana
orang beriman mana pun tidak sesekali sembah berhala atau patung atau matahari
atau lain-lain yang berupa berhala kebendaan, tetapi mereka seringkali
terpedaya dengan syirik dalam hati.
Bahaya besar tersembunyi yang sedang menyelubungi orang Islam dapat
diperhatikan daripada Firman Allah dan Hadith Rasulullah ﷺ.
Firman Allah Ta'ala:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟
لَا تُبْطِلُوا۟ صَدَقَـٰتِكُم بِٱلْمَنِّ وَٱلْأَذَىٰ كَٱلَّذِى يُنفِقُ مَالَهُۥ
رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۖ فَمَثَلُهُۥ
كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌۭ فَأَصَابَهُۥ وَابِلٌۭ فَتَرَكَهُۥ صَلْدًۭا
ۖ لَّا يَقْدِرُونَ عَلَىٰ شَىْءٍۢ مِّمَّا كَسَبُوا۟ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ
ٱلْكَـٰفِرِينَ
Wahai orang-orang
yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan
membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal
sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada
manusia (Riya') dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu
licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu
ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang
kafir dan Riya' itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu pun dari apa yang
mereka usahakan (segala amal soleh
terhapus dan menjadi sia-sia) dan (ingatlah),
Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.
[Al-Baqarah (2) :
Ayat 264]
الَّذِينَ هُمْ يُرَآءُونَ
“(Maka celakalah)
bagi orang-orang yang mengerjakan kebajikan untuk dilihat orang”
[Al-Ma’un (107) : Ayat 6]
Sabda
Rasulullah ﷺ:
“Aku sangat takut
syirik pada Ummatku. Walaupun mereka tidak menyembah berhala, matahari, bulan
dan batu. Akan tetapi memperlihatkan
kepada orang (berbuat Riya’) dengan amal mereka.”
[Imam Ibnu Majah,
Imam Al-Hakim]
Oleh kerana bahaya
besar inilah sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah sepakat bahawa mencari Mursyid
Pewaris Nabi yang Siddiq, serta berpegang teguh dengan mereka adalah Fardhu
Ain. Setiap Muslim diperintah berguru
kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dan mujahadah sungguh-sungguh melawan
nafsu sehingga terhapus segala penyakit hati ini. Kewajipan ini bukan hanya kepada orang awam
yang jahil tetapi juga kepada mereka mempunyai berbagai ijazah atau masters
atau PhD. Mereka juga wajib berguru
kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq bagi membuang segala penyakit hati
mereka. Bahkan mereka ini lebih perlu
sungguh-sungguh mujahadah kerana berbagai penyakit takabbur dan riya’ yang
sentiasa menguasai hati mereka.
Secara umum, mereka
yang mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu seperti kelebihan llmu, banyak
ibadah, memiliki kekuatan tubuh, kekayaan, kecantikan, kekuasaan, pangkat dan kedudukan
dan lain-lain, lebih banyak dikuasai penyakit hati kerana kewujudan Riya’,
‘Ujub dan Takabbur yang lebih kuat mencengkam hati mereka. Bahaya yang lebih besar bakal menimpa
orang-orang yang mempunyai kelebihan-kelebihan ini jika mereka tidak
membersihkan hati mereka kerana mereka lazimnya akan condong kepada kezaliman,
kefasikan atau kesesatan.
Hal ini bukan omongan
kosong kerana begitulah terbukti di dalam sejarah kemanusiaan. Perhatikan bagaimana orang-orang yang
diberikan kelebihan-kelebihan duniawi berupa kekuasaan, kekayaan, kedudukan dan
pangkat yang tinggi, akhirnya binasa kerana sombong, takabbur, riya’ atau
lain-lain penyakit hati yang membinasakan.
Wal Iyazubillah.
......bersambung ke Dalil 25....... اِ نْ شَآ ءَ اللّه
No comments:
Post a Comment