بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
FASAL 3:
DALIL MURSYID DI DALAM AL-QURAN, HADITH DAN FATWA ULAMA'
sambungan.....
Dalil 25 :
Hanya Mursyid memiliki Perisai Hapuskan Tipu daya halus Iblis dan
kuncu-kuncunya
Sebagaimana kami
jelaskan pada bicara “Fakta-fakta berkenaan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq”,
Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah hamba Allah dan Kekasih Allah yang
menempuh perjalanan yang panjang (mujahadah puluhan tahun) dengan melawan hawa
nafsu dan bisikan-bisikan syaitan. Mereka mengenal Allah dengan
sebenar-benarnya sampai ke Maqam Mukasyafah .
Apabila seseorang
telah tahqiq di dalam Tauhid yang suci murni, maka akan terbuka sekalian Rahsia
Ketuhanan dan rahsia-rahsia kehambaan, termasuk di dalamnya rahsia-rahsia
kejadian iblis dan syaitan serta cara-cara makhluq halus ini membisikan
kejahatan dan penentangan terhadap Allah. Mereka tersangat Arif mengetahui tipu
daya iblis, syaitan dan kuncu-kuncunya dan diberi kekuatan oleh Allah untuk
menghapuskan segala gangguan Iblis dan kuncu-kuncunya.
Orang alim “kitab”
(yang mahir di dalam fiqh sahaja) atau ustaz, ustazah, Muallim, Hafiz Qur’an
atau kiyai pondok sekalipun tidak mempunyai pengetahuan berkenaan tipu daya
halus iblis dan syaitan. Akibatnya
mereka seringkali tertipu dengan berbagai helah iblis dan kuncu-kuncunya. Jika mereka sendiri tertipu dengan hasutan
iblis, maka mana mungkin mereka memimpin Ummat?
Perhatikan sejarah
kesesatan orang-orang alim yang mahir di dalam Fiqh, setengah dari mereka Hafiz
Qur’an dan selalu berpuasa Sunnat, mendirikan Tahajjud dan ibadah-ibadah lain
yang kelihatan hebat pada pandangan umum, namun mereka tewas kepada iblis dan
syaitan dan kuncu-kuncunya.
(1) Pelopor kepada fahaman, doktrin,
falsafah dan ajaran sesat berjumlah 72 golongan adalah terdiri dari orang-orang
alim yang mahir berhujjah.
(2) Golongan Khawarij (sekarang
dinamakan Wahhabiyyah) adalah orang Islam yang berdiri Tahajjud, berpuasa
sunnat yang banyak, solat sunnat yang banyak.
(3) Pembunuh Sayyidina Ali Karramallahu
wajhah adalah seorang hafiz Qur’an yang mengajar Qur’an kepada orang Islam.
(4) Hajjaj Yusuf As Saqafi menyerang
Makkah dan membunuh ribuan Ummat Islam yang tak berdosa adalah panglima Islam.
(5) Ustaz-ustaz politik yang
memberikan fatwa yang bertentangan dengan hukum serta menyelewengkan ayat-ayat
Qur’an kepada kebatilan dan menjualnya dengan harga yang murah adalah orang
alim syari’at dan petah berhujjah berkenaan undang-undang Islam.
Kesemua mereka yang
tersebut di atas adalah “orang alim yang mahir di dalam fiqh” serta “orang yang
abid” tekun mengerjakan Ibadah, namun mereka terpedaya dengan bisikan-bisikan
syaitan sehingga menjadi sesat dan menyesatkan Ummat. Sudah tentu ramai hairan dan tertanya-tanya
mengapa orang alim, hafiz Qur’an, orang abid pun menjadi sesat. Jawapan lengkap kepada kemusykilan ini sudah
dijawab di dalam Risalah bertajuk:
“Mengapa Orang Alim
(fiqh), Hafiz Qur’an, Ahli ibadah Terkena gangguan Jinn Syaitan”. Sila rujuk.
Ringkasnya mereka
tewas kepada tipu daya syaitan yang amat halu sekira-kira tidak disedari oleh
kebanyakan manusia termasuk orang yang alim di dalam fiqh dan ahli Ibadah. Mereka tidak mempunyai pengetahuan berkenaan
cara-cara iblis masuk ke dalam hati membisikan berbagai kejahatan, kekeliruan
dan kesesatan.
Firman Allah Ta'ala:
قَالَ
رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ
وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِين
Iblis berkata:
"Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti
aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan buruk, keji, ma'siat, mungkar) di muka bumi, dan
pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang
ikhlas".
[Al-'Hijr (15) : Ayat
39-40]
Firman
Allah Ta'ala:
قَالَ
فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٲطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ثُمَّ
لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ
وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِينَ
"Iblis berkata: Oleh
kerana Engkau 9wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya
aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang
lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang
mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan
dapati kebanyakan mereka bersyukur."
[Al-A'raf (7) : Ayat
16-17]
Iblis dan
kuncu-kuncunya mempunyai ribuan helah bagi menyesatkan manusia. Hanya Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq mengetahui akan sekalian tipu daya
iblis yang sangat halus dan licik ini.
Hanya mereka di-Kurniakan Ilmu membezakan di antara seruan Allah yang
suci dengan bisikan syaitan. Hanya
mereka di-Kurniakan perisai dan senjata bagi hapuskan tipu daya tersebut.
Inilah sebabnya
orang-orang Islam wajib berpegang kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq,
termasuk mereka yang memiliki gulungan Ijazah Universiti yang hebat-hebat –
tetap wajib merendahkan diri di hadapan Guru yang Arif sehingga mereka mencapai
keselamatan dari tipu daya iblis dan kuncu-kuncunya. Sejarah membuktikan berapa banyak orang
bergelar “Ulama” disesatkan oleh iblis dengan tipu helah liciknya. Demikian lagi pada zaman ini berapa ramai
orang-orang yang bernama Ustaz, Ustazah, Kiyai, Profesor, PhD, Drs, jatuh
kepada perangkap iblis – menjadi pendokong Wahhabiyyah (khawarij) atau Syi’ah
(rafdhi) atau Secular dan Liberal pembela ideologi kufur. Wal Iyazubillah.
Mulai Wahyu Pertama
sehinggalah kepada Isra’ Mi’raj, dan sampai akhir hayat Rasulullah ﷺ, Baginda
sentiasa dipimpin oleh Jibril Alaihis Salam.
Sejak Baginda diutus menjadi Rasul, Baginda sentiasa bertanya kepada
Jibril darihal sesuatu hal yang Baginda tidak memahaminya. Pada peristiwa Isra’ Mi’raj, Jibril memimpin
Baginda sepanjang perjalanan sehingga ke Sidratul Muntaha.
Apakah hikmah dan
rahsia tersirat di sebaliknya?
Mengapakah Rasulullah
ﷺ di-Taqdirkan
untuk dipimpin oleh Jibril Alaihis Salam sedangkan Maqam Rasulullah ﷺ lebih tinggi daripada Jibril?
Apakah hikmahnya Rasulullah ﷺ bertanya sesuatu kepada Jibril darihal
perkara Ghaib sedangkan Rasulullah ﷺ
sendiri adalah Sahibul-Asrar (pemilik rahsia Ketuhanan) yang jauh lebih
tinggi ilmu Baginda berbanding sekalian makhluq yang wujud? Sesungguhnya di
dalam kejadian-kejadian tersebut tersimpul Rahsia tersirat, iaitu setiap
manusia memerlukan Pemimpin Keruhanian untuk mengenal Allah. Jika Rasulullah ﷺ yang demikian hebat Ilmu Baginda mengenal
Allah di-Taqdirkan untuk dipimpin, apa lagi manusia awam yang sangat jahil?
Renungkan!
Ini suatu analogi
bagi mendekatkan faham akan kedudukan Mursyid pewaris Nabi yang Siddiq sebagai
Doktor Ruhani yang sangat pakar mengetahui sekalian penyakit hati manusia dan
sangat Arif berkenaan ubat dan penawar baginya.
Analogi…
Jika kamu memiliki
segudang ubat bagi mengubati berbagai penyakit manusia seperti demam, selsema,
batuk, sakit mata, sakit telinga, sakit perut, sakit jantung, sakit kepala,
luka-luka dan lain-lain, kamu tak mungkin menggunakan ubat-ubat tersebut
sewenang-wenangnya. Kamu perlukan doktor
perawat untuk mengesahkan penyakit kamu.
Setelah mengesahkan penyakit kamu, doktor akan berikan ubat yang sesuai
pada kadar yang sesuai dan untuk jangka waktu yang diperlukan untuk
sembuh. Kamu tak boleh mengambil ubat tersebut
menurut fikir aqal kamu kerana kemungkinan ubat yang kamu sangka penawar itu
sebenarnya racun pembunuh. Kamu juga tak
boleh mengambil ubat tersebut melebihi “dos” yang diberikan oleh Doktor kerana
ia boleh membawa kemudaratan yang lebih atau membawa maut.
Jika penyakit kamu
serius sehingga tak mampu dirawat oleh Doktor biasa, kamu perlukan Doktor pakar
untuk merawatnya. Kamu takkan mampu
merawatnya sendiri. Doktor biasa pun tak
mampu merawatnya disebabkan pengetahuannya tak sampai ke peringkat “pakar”.
Jika penyakit kamu
tersangat serius sehingga nyawa terancam, kamu perlukan rawatan Doktor pakar di
hospital pakar berserta penjagaan rapi di bilik jagaan yang terkawal di ICU,
CCU, ICCU dengan kawalan yang sangat rapi dan dirawat oleh doktor pakar. Kamu akan ditahan di pusat jagaan tersebut
dan dirawat sehingga kamu sembuh.
Sesungguhnya setiap manusia
mempunyai penyakit HATI, sebahagian besarnya adalah penyakit yang sangat serius
sehingga boleh membawa “maut” kepada HATI dan IMAN jika tidak dirawat dengan segera. Terdapat sekurang-kurangnya tiga kategori
penyakit hati yang serius:
Pertama : Syirik Khafi
(syirik tersembunyi) – Takabbur, Riya’, ‘Ujub, Sum’ah, Tawakkal bi
Ghairillah.
Kedua : Mazmumah
(sifat keji dalam hati) – Hasad,
Su-uz-Zonn, Khianat, Ghibah, Namimah, Fitnah, Kazib, Ghadhab, Bakhil, Toma',
Tajassus, Thulul amal, Hubbud-dunya, Hubbuj-jah, Hubbul Maal.
Ketiga : Ghaflah (lalai dari mengingat Allah).
Pakar Doktor Ruhani
yang mengetahui sekalian penyakit HATI manusia adalah Mursyid Pewaris Nabi yang
Siddiq. Mereka memiliki ubat dan penawar
bagi setiap penyakit manusia yang serius dan sangat ‘arif akan cara-cara merawatnya. Hanya Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
di-Kurniakan ilmu ini. Kiyai, Ustaz
biasa, Muallim, pemegang Ijazah, PhD dan lain-lain sepertinya TIDAK
mengetahuinya.
Mursyid Pewaris Nabi
yang Siddiq memperoleh Ilmu mengenal penyakit hati manusia dan cara-cara
merawatnya dengan dua macam limpahan:
Pertama : Limpahan Rasulullah ﷺ
.
Ini adalah Warisan Rasulullah ﷺ daripada Guru Mursyid
mereka dan mereka mengambil dari Mursyid mereka, dan bersambung sampai kepada junjungan Rasulullah ﷺ
Kedua : Limpahan Cahaya Rabbaniyyah.
Limpahan Allah Ta’ala ke dalam
hati mereka secara Sirriyah (rahsia Ketuhanan yang sangat tinggi) yang
dikenali sebagai Kasyaf, Ladunni, Khitob.
Setiap orang Islam
yang beriman WAJIB mengambil Ubat dan Penawar dari Mursyid Pewaris Nabi yang
Siddiq untuk sembuhkan penyakit-penyakit kronik yang bersarang di dalam lubuk
hati mereka. Mereka (murid) perlu
sungguh-sungguh berzikir dan mujahadah melawan nafsu menurut panduan yang Guru
mereka berikan. Mereka perlu mematuhi
syarat, peraturan, kaifiyyat dan adab-adab yang mereka tetapkan.
Seorang Mursyid yang benar-benar Arif mengetahui penyakit setiap muridnya dan beliau akan berikan “ubat dan penawar” sesuai dengan penyakit mereka masing-masing sehingga akhirnya hati mereka sembuh dan suci bersih daripada sekalian penyakit yang merosak dan membinasakan Iman mereka. Apabila hati mereka sembuh dari berbagai penyakit kronik yang mencengkam hati mereka, barulah Cahaya Ketuhanan akan masuk ke dalam hati mereka dan melimpah sehingga menjadi Mukmin yang sebenar. (Untuk keterangan penuh sila baca Risalah bertajuk : “Suluk Menurut Ahlus Sunnah”.
Firman Allah:
هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى
ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ
وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن
قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬
“Dia-lah yang
mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang
membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan
kepada mereka Kitab dan Hikmah (Ilmu rahsia dan pengetahuan mendalam). Dan
sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
[Al-Jumu’ah (62)
: Ayat 2]
Rasulullah ﷺ bersabda:
أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ
مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ
الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
"Ketahuilah, dan
sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging, apabila baik
ia nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila jahat ia nescaya
jahatlah seluruh anggota tubuhnya.
Ketahuilah! iaitulah Qalb (hati).”
[Imam Bukhari]
Mana-mana Muslim yang
tidak mengikut Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, dan tidak berusaha
sungguh-sungguh menyucikan batinnya (hatinya) melalui jalan yang ditunjukki
oleh mereka, maka hatinya akan kekal di dalam kekotoran Ma’nawiyyah – Syirik
Khafi, mazmumah dan Ghaflah, iaitu menanggung dosa besar, bahkan dikhuatiri
menjadi sesat atau mati su-ul Khatimah (jahat kesudahan) dan sebahagian
Ahli Ma’rifat memandang, lidah mereka terkekang dari menyebut Kalimah Allah
ketika Sakratul-maut. Wal Iyazubillah.
Imam
Abu Hassan Asy-Syazili Radhialahu anu berkata:
"Barangsiapa
yang tiada masuk dan mengetahui akan ilmu ini yakni Ilmu Tasawwuf (melalui
seorang Shaikh Sufi) , nescaya dia mati di dalam keadaan mengekalkan dosa-dosa
besar tanpa diketahuinya.”
[Nukilan oleh Imam
Ghazali di dalam Ihya]
Imam Ghazali Radhiallahu anhu berkata:
(Mujaddid
Kurun ke-5 Hijriyyah)
“Sesiapa yang tidak
mendapat bahagian di dalam Ilmu Qaum Sufi, maka ditakuti mati terkekang lidah
(tiada dapat mengucap Kalimah).”
[Ihya Ulumuddin]
Berkata
Imam Fakhruddin Ar-Razi Radhiallahu anhu:
(Mujaddid
Kurun ke-6 Hijriyyah)
“Seorang murid tidak
memiliki jalan untuk sampai ke maqam-maqam Hidayah dan Mukasyafah, kecuali dia
mengikuti mursyidnya (Shaikh Sufi atau Ahli Sufi) yang menunjukkannya ke jalan
yang lurus serta menghindarkannya dari titik-titik kesalahan dan jalan yang
sesat.”
[Tafsir Mafatih
Al-Ghaib]
Amaran para Auliya Allah ini benar-benar terjadi ke atas Ummat ini. Mereka yang tidak berpegang kepada Mursyid
Pewaris Nabi yang Siddiq, akhirnya jatuh kepada Golongan sesat – Syi’ah (Rafidhi),
Wahhabiyyah (Khawarij), Mujassimah dan lain-lain yang jumlahnya 72
golongan. Atau mereka menjadi sesat di
dalam keruhanian berjumlah 11 golongan (menurut Fatwa Al-Imam Sulton Auliya
Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu).
Atau mereka menjadi pemerintah dan ahli politik yang fasiq. Wal Iyazubillah
No comments:
Post a Comment