Tuesday, April 28, 2026

SIRI 365


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 5:  Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Fasal 3:  Fakta-Fakta Penting Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq


Fakta 19:  Berpegang Teguh dengan Syari’at dan Toriqat Rasulullah ﷺ


Sesungguhnya fakta ini merupakan sebahagian dari sifat Mursyid yang Benar, terbeza dari Mursyid PALSU.  In Shaa Allah akan datang penjelasan lanjut.


Sebagaimana kami sebutkan pada Muqaddimah kitab ini, setiap Mursyid adalah Pilihan Allah Ta’ala, BUKAN pilihan manusia, BUKAN pilihan pemerintah Negara, BUKAN pilihan Jabatan Agama, BUKAN pilihan parti-parti politik atau lain-lain – mereka ini semua tiada kaitan dan tiada kuasa apa pun di dalam pemilihan dan perlantikan seorang Mursyid Pewaris Nabi.  Bahkan Guru mereka (yang merupakan Mursyid Pewaris Nabi yang mempunyai Silsilah perguruan sampai Rasulullah ﷺ) juga tiada kuasa apa-apa untuk menentukan seseorang sebagai Pewaris Nabi.  Ia semata-mata Pilihan Allah yang Di-Ilhamkan oleh Allah kepada Gurunya yang 'Arif. 


Oleh yang demikian Mursyid BUKAN Ulama politik kotor dunia, Mursyid BUKAN guru silat, Mursyid BUKAN ahli hakikat palsu, Mursyid BUKAN perawat sakti, Mursyid BUKAN ahli silap mata, Mursyid BUKAN guru ilmu abjad, Mursyid BUKAN Ahli Petapa  (reiki, budi suci, kundalini, cakra dan lain-lain yang jelas berlawanan dengan Ahlus Sunnah).  Sebaliknya Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah semata-mata hamba Pilihan Allah yang mewarisi Rasulullah ﷺ, berpegang teguh kepada Al-Qur’an, Sunnah Rasulullah ﷺ dan Ijma Qias Ulama. 


Mereka adalah Ulama Billah, Kekasih Allah yang berpegang teguh kepada hukum-hakam Syari’at dan adab-adab Ma’rifat.  Mereka bersungguh-sungguh mempertahankan  Syari’at  dan Toriqat Rasulullah ﷺ.  Mereka tidak sewenang-wenang melanggar  Syari’at  sebaliknya merekalah yang menanggung dan mempertahankan  Syari’at  Rasulullah ﷺ dengan nyawa mereka.  Mereka tidak akan “menjual Agama” dengan harga yang murah sepertimana yang dilakukan oleh “Ulama” politik dunia yang keji.  Mereka tidak sesekali memutarbelitkan ayat Al-Qur’an demi sesuap dunia yang hina. 


Mana-mana Guru yang mendakwa diri dia Mursyid atau orang lain mengangkat dia sebagai Mursyid tetapi TIDAK memenuhi syarat-syarat seorang Mursyid, TIDAK mematuhi Peraturan dan Adab Ma’rifat. , TIDAK berpegang kepada hukum Syari’at   atau adab Toriqat yang telah ditetapkan oleh Masyaikh terdahulu, maka dia BUKAN Mursyid Pewaris Nabi yang sebenar.  Sebaliknya dia adalah Mursyid PALSU atau Sufi PALSU atau Pendusta Agama.


Menurut Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu, sufi PALSU dan Guru PALSU lebih merbahaya dari Guru sesat kerana Guru yang tersesat jalan sudah dikenali orang ramai sebagai sesat, maka manusia akan menjauhinya.  Sedangkan Mursyid PALSU atau sufi PALSU adalah di dalam penyamaran sehingga orang awam tertipu dan masuk perangkap iblis.  Akan datang penjelasan lanjut bab ini pada halaman-halaman akan datang. In Shaa Allah.


Bersambung siri 366 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 387 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...