SIRI 362
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 5: Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Fasal 3: Fakta-Fakta Penting Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Fakta 16: Mursyid dan Kerajaan Ma’rifat
sambungan....
Zaman pemerintahan yang zalim, kufur dan keji ini telah pun diberi gambaran oleh Junjungan Rasulullah ﷺ bahawa akan datang zaman-zaman yang dipenuhi dengan kezaliman — manusia diperintah oleh Pempimpin-pemimpin zalim, fasiq dan kafir.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Fasa Nubuwwah (Pemerintahan Kenabian) akan berlangsung pada kalian, atas Kehendak Allah (beberapa tahun). Kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia Kehendaki. Kemudian pemerintahan Khilafah 'ala Minhaj-An-Nubuwwah (Pemerintahan yang mengikuti jejak Baginda ﷺ), yang ada atas Kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya atas Kehendak-Nya. Kemudian Mulkan Addhan (Kekuasaan menggigit) yang ada atas Kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya atas Kehendak-Nya. Kemudian akan ada Mulkan Jabriyyan (Pemerintahan memaksa, diktator, pembesar-pembesar yang keras kepala) yang ada atas Kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya atas Kehendak-Nya. Kemudian akan ada Khilafah 'ala Minhaj-An-Nubuwwah (Pemerintahan yang menempuh jejak Kenabian), kemudian Nabi ﷺ diam.”
[Imam Ahmad]
Ini suatu fakta Agung berkenaan Pemerintahan Kerajaan Ma’rifat atau disebut Majlis Wali-Wali:
Bahawa sesungguhnya Kerajaan Ma’rifat tidak akan rosak atau musnah kerana ianya di dalam Pemeliharaan Allah Ta’ala. Pemerintahan Kerajaan Ma’rifat ini akan tetap wujud sampai Qiamat, diperintah silih berganti oleh sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (Benar).
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:
"Ilmu tersebut (iaitu Ilmu Rahsia yang tersangat rahsia) dimasukkan kepada Nabi ﷺ pada malam Baginda ﷺ Mi'raj kepada Tuhannya. Rahsia itu tersembunyi di dalam diri Baginda ﷺ di balik tiga ribu tabir hijab. Baginda ﷺ tidak membuka rahsia tersebut melainkan kepada sebahagian pengikut Baginda ﷺ yang sangat cinta dengan Baginda ﷺ. Melalui penyebaran dan keberkatan rahsia inilah Islam akan terus memerintah sehingga ke hari Qiamat."
[Sirrul Asrar]
Ini bermakna pada hakikatnya Islam tak pernah jatuh. Tidak pernah mundur. Tidak pernah musnah. Keagungan Islam tetap bersinar dengan Pemerintahan Kerajaan Ma’rifat yang ditadbir oleh sekalian Mursyid Pewaris Nabi, dan ini akan tetap berterusan sampai Qiamat.
Adapun Islam yang kelihatan pada zahirnya jatuh bangun dan musnah, itu adalah Kerajaan Duniawi yang zahir yang mentadbir kehidupan manusia. Apabila negara bangsa dikuasai dan diperintah oleh pemimpin-pemimpin fasiq, zalim atau kafir, lalu diikuti oleh rakyatnya…. maka runtuhlah segala peradaban Agama, runtuhlah nilai-nilai kemanusiaan, runtuhlah Tauhid dalam diri mereka sehingga mereka hidup bagaikan haiwan yang tiada peraturan, undang-undang dan adab.
Bersambung siri 363 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
___________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment