SIRI 361
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 5: Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Fasal 3: Fakta-Fakta Penting Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Fakta 16: Mursyid dan Kerajaan Ma’rifat
Pada setiap zaman, berlaku dua macam Pemerintahan di atas muka bumi:
Pertama : Pemerintahan Kerajaan Ahli Ma'rifat
Kedua : Pemerintahan Kerajaan Duniawi
Kerajaan Ma’rifat adalah Kerajaan Ghaib Pilihan Allah (disebut juga sebagai Majlis Wali-Wali) yang Di-Pilih Khusus oleh Allah bagi mentadbir dunia keruhanian manusia. Merekalah Mursyid Pewaris Nabi yang sebenar. Kerajaan Ma’rifat tidak boleh dimasuki oleh anasir-anasir kotor dan keji. Jinn syaitan atau nafsu tidak akan mampu memasukinya.
Ertinya Pemerintahan Kerajaan Ma’rifat sentiasa dipimpin oleh hamba-hamba Allah yang telah disucikan batin mereka daripada sebarang bentuk kesyirikan atau kekejian dan dinaikkan Maqam mereka ke Maqam Quddus — sentiasa muwajihah akan Allah Ta’ala (memandang Wajah Allah). Mereka sentiasa di dalam keadaan ubudiyyah dan ketaatan zahir batin. Mereka menjunjung tinggi hukum-hakam Syari’at Allah dan adab-adab Ma’rifat.
Sedangkan Kerajaan Duniawi adalah Kerajaan negara bangsa yang mentadbir urusan kehidupan manusia. Kerajaan Duniawi ini ada kalanya dikuasai dan diperintah oleh hamba-hamba Allah yang bertaqwa. Mereka adalah Ahli Ma’rifat dan Kekasih Allah dari Kerajaan Ma’rifat sebagaimana disebutkan di atas. Pada ketika yang lain ia dikuasai dan diperintah oleh manusia fasiq, sesat, munafiq atau kafir.
Ringkasnya kami katakan di sini…
Rasulullah ﷺ dan Khulafa Ar-Rasyidin memerintah kedua-dua Kerajaan, iaitu Kerajaan Ma’rifat_ dan Kerajaan Duniawi. Pada hayat mereka masing-masing, merekalah yang memerintah Dunia Ma’rifat dan pada masa yang sama mereka juga menjadi Khalifah Kerajaan Dunia yang menguruskan kehidupan manusia menurut Undang-Undang Allah. Inilah Kerajaan yang dipenuhi Limpahan Rahmat Allah, Limpahan Cahaya Keimanan, Petunjuk Allah dan Kasih-Nya.
Masyarakat Arab dan dunia seluruhnya diliputi keamanan. Namun setelah kewafatan Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah, Kerajaan Duniawi tidak lagi diperintah oleh Ahli Ma’rifat. Mereka mengasingkan diri dari perebutan kuasa oleh manusia-manusia tamak dan gila kuasa. Mereka hanya menumpukan kepada usaha pembinaan insan-insan yang bertaqwa menurut Kehendak Allah dan Rasul-Nya.
Golongan yang tamak kuasa menjadikan “kepimpinan Ummat” dan “kekuasaan Pemerintahan” sebagai bahan rebutan. Mereka berlumba-lumba dan saling berbunuhan demi mencapai pangkat, kedudukan dan dunia yang hina. Orang yang menang di dalam perebutan kekuasaan tersebut, kemudiannya memerintah negara dengan kefasikan, kezaliman dan kekufuran. Mereka memerintah menurut hawa nafsu dan syaitan. Mereka habiskan wang rakyat dan negara dengan berfoya-foya, muzik, arak dan perempuan. Mereka menangkap dan menyiksa orang-orang beriman yang cuba mendirikan kebenaran. Inilah perangai ahli politik yang berlumba-lumba merebut kekuasaan, saling menuduh, adu domba, saling memfitnah, melakukan penipuan dan pendustaan sehingga bunuh-berbunuhan demi mencapai dunia yang hina.
Bersambung siri 362 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
___________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment