SIRI 354
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 5: Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Fasal 3: Fakta-Fakta Penting Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Fakta 5: Mursyid Adalah Pemimpin Ahlus Sunnah
Mursyid adalah Pemimpin bagi Ummat Rasulullah ﷺ, Pemimpin Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang benar (tulen), satu-satunya golongan yang tidak pernah berpisah daripada Jalan Rasulullah ﷺ sedangkan selain Ahlus Sunnah adalah kelompok-kelompok yang berpecah daripada Jama’ah induk Ummat Islam – berpisah dari Jama'ah Warisan Rasulullah ﷺ yang suci murni.
Setelah kewafatan Rasulullah ﷺ, merekalah Pemimpin bagi Ummat Islam, merekalah Pemimpin Ahlus Sunnah Wal Jama’ah. Mursyid pertama bagi Ummat adalah Sahabat Baginda yang terpilih, yang menjadi Pemimpin dan Penunjuk Jalan kebenaran kepada Ummat ini. Kemudian diwarisi oleh Mursyid-mursyid Pewaris Nabi berikutnya dan berikutnya, turun-temurun sampai ke zaman ini dan akan berterusan sampai Qiamat.
Fakta 6: Mahir Selok-belok Keruhanian
Mursyid adalah pakar keruhanian yang sangat mahir di dalam selok-belok perjalanan menuju Allah. Mereka Mengenal Allah dengan pandangan mata hati, mata Ruh dan mata Sirr (rahsia yang sangat mendalam). Mereka pakar mengenal hakikat insan dan hakikat kehidupan seluruhnya. Bahkan mereka mengenal seluruh perjalanan keruhanian yang akan ditempuh oleh seseorang Salik (murid) sehingga dia selamat sampai ke destinasi terakhir kepada Tuhan Rabbul Jalil, memperoleh Tauhid yang hakiki, Keimanan sejati.
Sebagai penegasan semula….kemahiran di dalam Ilmu Keruhanian, dan keluasan pengetahuan yang tahqiq berhubung Ketuhanan dan segala yang berhubung dengan alam ghaib, bukan diperoleh oleh Mursyid Pewaris Nabi dengan hanya sekadar mentelaah kitab-kitab tetapi mereka mujahadah sendiri melawan hawa nafsu yang rendah, melawan segala keinginan duniawi yang keji, berzikir, Muraqabah, Musyahadah dan latihan-latihan Keruhanian yang keras selama puluhan tahun sehingga akhirnya Allah Ta’ala sucikan hati mereka sebersih-bersihnya dan Kurniakan mereka Ilmu dari Sisi-Nya.
Fakta 7: Memiliki Senjata dan Perisai Melawan Bisikan Syaitan
Allah Ta’ala Mengurniakan kepada seorang Mursyid Senjata dan Perisai Ghaib bagi melawan dan hapuskan sekalian bisikan syaitan yang mengganggu perjalanan Salik. Bisikan dan gangguan syaitan datang di dalam berbagai rupa yang amat sulit dikesan.
Meskipun seseorang itu bergelar “Ulama” dan alim fiqh atau mempunyai berbagai gelaran PhD, Profesor, Master Universiti atau lain-lainnya, dia tidak dapat mengenal bisikan-bisikan halus syaitan ini. Ini kerana syaitan datang di dalam berbagai bentuk penyamaran untuk menipu daya manusia.
Berdasarkan sejarah Ummat ini, banyak sekali orang alim (alim fiqh) terpedaya dengan bisikan-bisikan halus syaitan dan jatuh tersungkur di kakinya, menjadi manusia terhina. Bukti paling nyata adalah kesesatan “Ulama” politik, “Ulama" As-su, “Ulama” dunia, dan lain-lain menjadi sesat dan menyesatkan Ummat. Contoh lain adalah bangkitnya “Ulama” ilmu Kalam yang mendirikan berbagai firqah sesat.
Bersambung siri 355 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
___________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment